TERBUKA luas
mata Iman saat kakinya melangkah keluar dari perut teksi. Rumah banglo yang
tersergam indah di hadapan matanya itu direnung dengan perasaan kagum. ‘Mak,
aii! Besarnya rumah. Ni kalau masuk kat dalam, mesti sesat ni.’
Bukan
setakat mata Iman saja yang bulat, siap dengan mulutnya sekali ternganga luas.
Pertama kali di dalam hidupnya, dia melihat rumah semewah dan sebesar itu.
Mata
Iman terus meliar kesegenap laman rumah banglo itu. Lanskapnya sungguh cantik.
Ada taman bunga mini, ada kolam ikan, siap dengan air pancutnya sekali. Di
hadapan rumah pula tersadai beberapa buah kereta besar dan mewah. Sebuah
daripadanya berbungkus kemas. Gila! Macam mimpi saja dia dapat tengok semua tu.
Tudung yang terasa jatuh sedikit ke depan itu, laju dibetulkan. Rasa terganggu
pula pandangannya.
“Yang
kamu tercegat lagi dekat situ, kenapa?” Laung Mak Su Normah sedikit kuat. Dari
tadi lagi dia tercegat di hadapan pintu besar rumah banglo itu, menunggu Iman.
“Ya,
datanglah ni!” Bentak Iman, geram. ‘Mak su ni memanglah! Dekat sini pun nak
tunjuk kuasa... Menyampah!’ Terkedek-kedek Iman berjalan ke pintu besar. Senget
rasa bahunya menggalas beg pakaian yang boleh tahan juga besarnya. Macam dah
tak nak balik dah! Mulut pula sudah memuncung panjang. Mengalahkan muncung
itik.
“Buat
muka! Ingat sikit Iman, ini rumah orang. Mak su nak kamu jaga perangai kamu
tu!” Berdecit mulut Mak Su Normah menitip pesan. Muka Iman dipandang lama.
Bukan boleh percaya sangat dengan budak Iman ni. Kalau tidak dipesan, mahunya
diredah saja.
Iman
juihkan bibir. Mula bosan dengan mulut Mak Su Normah yang tidak henti-henti
bersiul dari tadi. Rasanya, sudah beratus kali Mak Su Normah menitip pesanan
yang sama. Naik bernanah dah telinga dia. Kalau tidak fikir sekarang ini dia
berada di rumah orang, pasti sudah lama dia menjawap mulut emak saudaranya itu.
Kalau dia menjawap dekat sini, alamat gali lubang terjun sendirilah! Wan Bedah
tak ada untuk membela dia. Mahunya masak dia kena gulai dengan Mak Su Normah
nanti. Garang wooo!
“Haa...
eloklah tu! Terjuih-juih bibir tu. Kalau kamu buat perangai dekat sini, siap
kamu!” Mak Su Normah celikkan kedua belah matanya luas-luas kepada Iman. Budak
Iman ni kalau tak gertak macam tu, memang tak jalan. Mahunya perangai menjawap
dia tu, dibawa ke sini.
“Mak
su ni, bising betullah! Kalau Iman tahu mulut mak su macam ni, sumpah Iman tak
ikut. Dari tadi asyik berbunyi aje. Naik cair tahi telinga Iman ni.” Hah! Iman
dah mula dah. Dah mula perangai menjawap dan kepala angin dia tu.
Makin
bulat mata Mak Su Normah. Kalau ikutkan hatinya yang tengah geram itu, rasa
mahu dicili-cilikan saja mulut Iman saat ini. Menjawap saja kerjanya! Tapi itulah...
Kerana dia tahu perangai Iman itu memang sama saja dengan perangainya, sedaya
upaya dia menyabarkan diri. Takut pula dia hilang sabar dengan budak bertuah
sorang ni.
Mak
Su Nomah urut dada sendiri. Berkali-kali dia menarik nafas dan hembus kembali.
Terasa sedikit tenang.
“Dahlah,
mari masuk.” Suara Mak Su Normah sudah mengendur. Pintu utama rumah banglo itu
ditolak perlahan dan berhati-hati.
Iman
tersengih kecil. ‘Yes! menang.’ Hatinya
menjerit suka.
“Mak
aii! Ini, rumah ke istana mak su?” terbeliak biji mata Iman sebaik sahaja
kakinya memijak marmar putih bercorak bunga di lantai rumah banglo itu. Terasa
sejuk tapak kakinya. Segenap ruang di dalam rumah banglo itu dijelajah dengan
penuh minat.
Perabot-perabot dan barang-barang hiasan yang
berharga ribuan ringgit tersusun kemas dan cantik. Nampak sungguh mewah! Memang
jauhlah bezanya dengan rumah papan Wan Bedah di kampung.
Seketika
mata Iman terpaku pada sebuah potret lama yang tergantung kemas di sudut tengah
ruang tamu besar itu. Potret seorang kanak-kanak lelaki berumur dalam
lingkungan tiga tahun sedang duduk di riba seorang perempuan yang nampak anggun
berkebaya. Saat matanya tersorot tepat pada gambar perempuan itu, dadanya rasa
berdebar dengan tiba-tiba. Darahnya tiba-tiba saja rasa gemuruh. ‘Kenapa dengan
aku ni?’ Dahinya berkerut seribu.
“Yang
kamu termenung tengok gambar tu kenapa?” Mak Su Normah sudah mula balik. Sudah
mula hendak pasang radio buruknya semula. Muka Iman direnung tidak berkelip.
Iman
mengeluh kecil. ‘Mak su nak mula lagilah tu!’ Detik hati Iman sambil tangan
sudah naik menggaru kepala yang tidak gatal.
“Mmm,
tak ada apalah mak su. Cuma tertarik dengan budak lelaki dalam gambar tu.”
Dalih Iman.
“Tertarik
kenapa? Itu gambar lama,” giat Mak Su Normah. Dahinya berkerut juga.
“Kenapa
muka budak lelaki dalam gambar tu nampak lain?” tanya Iman.
“Apa
yang lainnya? Mak su nampak macam biasa aje.” Mak Su Normah kecilkan matanya.
Muka budak lelaki di dalam gambar itu, direnung bersungguh.
“Hish,
mak su ni! Cuba buka mata tu luas-luas.. Bukan ke muka budak lelaki tu nampak
macam muka anak orang korea sikit? Mata sepet, hidung mancung.. Tapi, kulit dia
tak adalah putih melepak.” Bersungguh Iman cuba menyakinkan mak sunya.
Mentang-mentanglah dia tu hantu cerita korea, terus dia bagi macam muka anak
orang korea.
“Ooo...
itu...” Mak Su Normah tersengih kecil.
“Mah?”
Baru
saja Mak Su Normah mahu menyambung kata, nama dia tiba-tiba saja diseru. Laju
dia menoleh pada tangga kayu yang berkilat dan terukir cantik itu. Mata Iman
juga sudah fokus pada tempat yang sama. Di hujung anak tangga berdiri seorang
wanita yang berumur dalam lingkungan lewat 50-an, tetapi perwatakannya masih
lagi nampak anggun dan menawan.
Sekali
lagi mata Iman terpaku lama di situ. Wanita yang nampak sebaya dengan Wan Bedah
itu ditilik lama. Memang masih nampak anggun dan bergaya. Kebaya nyonya yang tersarung
cantik di tubuhnya itu, dipadankan pula dengan kain batik jawa yang bercorak
burung merak dan rambut yang disanggul tinggi itu, menampakkan dia lima tahun
lebih muda daripada usianya yang sebenar.
Potongan
badannya juga masih langsing dan cantik. Dalam hati Iman mula berasa kagum
dengan wanita itu. ‘Agaknya, inilah mak engku. Mak aii, boleh tahan juga
orangnya! Hmm, kalau dah duit banyak... tak mustahil Iman oii! Sekelip mata aje
boleh cantik.’ Getus hati Iman.
“Mak
engku...” Mak Su Normah sudah tersenyum lebar.
Perlahan
langkah Tengku Faridah diatur menuruni anak tangga. Nampak begitu sopan dan
bergaya. Mata Iman tidak berkelip, penuh kagum melihat wanita itu. ‘Mak aii,
kalau nak bandingkan dengan mak su pun, memang dia nampak jauh lebih mudalah!’
dalam hati Iman tidak henti-henti memuji.
Entah
kenapa saat wanita anggun itu berhenti betul-betul di hadapannya, hati Iman
berdebar-debar. Rasa macam hendak gugur saja jantungnya. Lebih lagi bila mata
wanita anggun itu tidak lepas daripada merenung dia. Serba tidak kena jadinya.
“Mak
Engku, inilah Nurul Iman... Anak saudara saya.” Mak Su Normah perkenalkan Iman kepada
Tengku Faridah. Awal-awal lagi dia sudah maklumkan tentang kedatangan Iman
kepada Tengku Faridah.
Mata
Tengku Faridah masih terpaku lama pada Iman. Perasaannya tiba-tiba saja terasa
lain. Terpandangkan saja wajah Iman yang comel dan lembut itu, hatinya
tiba-tiba saja terjatuh sayang. Wajah itu mengingatkan dia kepada seseorang.
Seseorang yang sudah lama pergi dari hidupnya. Seseorang yang sudah lama
menghilang. Hatinya disapa sayu dengan tiba-tiba.
“Apa
khabar mak engku?” Laju Iman menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan
Tengku Faridah. Dalam hati terasa pelik juga melihat wajah wanita itu, yang
berubah riak, menjadi mendung dengan tiba-tiba.
“Panggil
nenda saja.” Laju tangan Iman disambut oleh Tengku Faridah. Tanpa
disangka-sangka, tubuh ramping milik Iman diraih kejap ke dalam pelukannya.
Lama. Terpinga-pinga Iman dibuatnya.
Mata
Iman mula mencari anak mata Mak Su Normah. Dalam hati Iman, jangan ceritalah! Berdesup-desup
persoalan datang bertamu. Apa dah jadi ni? Kenapa kena peluk dengan tiba-tiba
aje ni?
Mak
Su Normah nampak tenang saja. Walaupun ada riak keruh pada wajahnya, namun dia
berusaha juga untuk berlagak setenang yang mungkin. Anak mata Iman ditentang
juga. Ada senyuman kelat yang terukir di wajahnya. ‘Ini baru permulaan...’ Hati
Mak Su Normah berbisik yakin.
IMAN
bergolek ke kiri dan kanan. Kemudian bangun berdiri pula di atas katil. Macam
budak-budak baru dapat gula-gula, dia melompat-lompat di atas tilam yang empuk
itu. Melantun-lantun macam bola hoki yang dilambung.
“Wah...
lembutnya tilam ni!”
Iman
teruja. Mahunya, tidak! Kalau tilam dia dekat kampung tu, kalau dia melompat
macam tu.. mesti sudah patah katilnya. Makin seronok pula dia melompat dan
melompat.
“Ya
Allah! Kau turun sekarang! Budak bertuah ni.” Mak Su Normah sudah menjerit
macam halilintar. Lagaknya lebih dari mak tiri cinderella.
Gedebuk!!!
Dek
terlampau terkejut dengan jerkahan Mak Su Normah, Iman terjatuh dari katil
macam nangka busuk. Berpisat-pisat dia bangun semula.
“Apa
ni, mak su... Suara macam petir! Nasib baik tak patah pinggang orang ni,” runggut
Iman sambil menggosok pinggangnya yang terasa sengal. Dia buat nampak tidak nampak
sahaja muka cemberut mak sunya itu. Allah, bukan tak biasa tengok pun! Sudah
biasa sangat dah.
“Kamu
jangan nak buat hal dekat sini, ya? Geramnya aku dengan budak bertuah ni! Kalau
runtuh katil tu tadi, kamu ada ke duit nak ganti?” Mata Mak Su Normah sudah
mencerlung tajam kepada Iman.
“Hee...
Tak ada! Allah, bukan runtuh pun mak su. Ni katil mahallah mak su, mana boleh
senang-senang nak runtuh. Lagipun, Iman ni bukan besar sangat. Kalau mak su
yang lompat dekat atas ni tadi, Iman yakin mesti runtuh punya. He... he... he...”
Sempat
lagi Iman mengenakan mak sunya.
“Eeii..
Geramnya aku dengan budak ni! Nah, rasakan..” Satu cubitan halus sudah hinggap
di lengan Iman.
“Aduh!
Mak su... Sakitlahhh...” Iman sudah terjerit kecil.
“Padan
muka! Mulut tu kalau tak menjawap, memang tak aman kan?”
“Mak
su, ni... Mentanglah wan tak ada dekat sini, suka-suka aje nak buli orang!
Menyesallah ikut mak su ni. Patutnya Iman duduk aje dekat kampung tu. Tunggu
Abang Asyraf masuk meminang.” Iman buat muka. Sakit hati betul dengan Mak Su
Normah. Sakit tau, kena cubit!
“Hah,
baguslah! Berangan tak sudah.. Kalau perangai macam kamu ni, tak ada siapa nak
buat bini. Sepatah orang bercakap, sepuluh patah kamu menjawap!” Bidas Maksu
Normah. Geram!
“Habis
tu, mak su tu? Oo... patutlah sampai sekarang maksu tak kahwin! Kuat menjawap
rupanya...” Selamba Iman membalas. Dia sudah tersenyum senget. Suka tengok muka
mak sunya bertukar jadi merah macam biji saga.
Makin
bulat mata Mak Su Normah. Iman dekat depan dia nampak macam besar-kecik,
besar-kecik saja. Kalau ikut hati, memang selamat dah mulut anak saudaranya itu
kena cili. ‘Huh! Sabar Mah.. Kalau kau berlawan cakap dengan budak ni, sampai
esok pun belum tentu habis.’ Mak Su Normah tarik nafas dalam-dalam. Cuba menyabarkan
dirinya.
“Hmm,
malaslah mak su nak layan kamu! Dah, pergi tidur. Esok nak kena bangun awal.
Ingat tu... Esok dah mula kerja.” Suara Mak Su Normah sudah mengendur. Segaris
senyuman diberikan kepada Iman sebelum dia berlalu ke pintu.
“Mak
su!”
Langkah Mak Su Normah terus mati tatkala namanya
diseru oleh Iman. Spontan dia menoleh ke belakang.
“Iman
sayangkan mak su. Maaf, ya?” Pinta Iman perlahan. Muka Mak Su Normah ditatap
lembut. Sungguh, dia sayangkan wanita itu. Wanita yang sudah dianggap seperti
ibu kandungnya sendiri.
Mak
Su Normah terdiam sejenak. Hatinya disapa hiba dengan tiba-tiba. Kalau Iman
sayangkan dia sebesar gunung, dia sayangkan Iman lebih dari itu. Bergunung-gunung
banyaknya! Sebuah senyuman lambat-lambat terukir di bibirnya.
“Dahlah!
Mak su pun sayangkan Iman. Tidur, ya?” ucap Mak Su Normah perlahan. Dia
kemudiannya menutup semula pintu bilik Iman dan berlalu ke biliknya.
Iman
tersenyum sendiri. Tubuhnya direbahkan semula ke atas tilam yang empuk itu,
sambil matanya masih meliar ke segenap ruang bilik yang sedang dihuninya kini.
Cantik dan selesa. Tapi, kenapa hatinya tidak gembira? Dia masih rindukan tilam
kerasnya di kampung. Dia rindukan Wan Bedah. Walaupun baru saja berpisah,
rindunya pada Wan Bedah sudah menggunung tingginya. Dalam kepayahan dia cuba juga untuk lelapkan
mata. Entah pukul berapa barulah dia terlena.
No comments:
Post a Comment