Monday, 15 August 2016

Saya Sayang Awak - Bab 7




            Panas. Rimas. Semua rasa bercampur. Ian Rayyan berasa amat tidak selesa. Masih tidak sesuaikan diri dengan cuaca di sini. Dia juga tidak dapat melakukan aktiviti luar. Sejak pulang ke sini dia masih belum berkesempatan melakukan aktiviti menunggang kuda. Aktiviti yang akan dilakukan pada waktu senggangnya. Terasa membahang di kulitnya. Dia tidak tahan cuaca panas di sini. Dia berasa tidak bebas untuk bergerak. Oleh sebab itulah dia akan hanya akan pulang setelah senja menjelma. Bukan disebabkan banyak kerja tetapi tidak tahan dengan cuaca.
Ian Rayyan masih menyesuaikan diri dengan cara bekerja di Hotel Grenz. Walaupun dia mempunyai pengalaman mengurus hotel milik bapa saudaranya, tapi cara bekerja berbeza. Dia juga masih belum sempat meninjau suasana hotel. Masih belum berkesempatan berkenalan dengan para stafnya. Dia hanya mengenali staf di bahagian pengurusan sahaja. Dia akan membuat tinjauan ke setiap unit dalam hotel ini tidak lama lagi.
Sepanjang hari, Ian akan menghabiskan masanya di Hotel Grenz. Semua urusan dilakukan dari biliknya. Dia agak kurang selesa untuk berurusan di luar. Apa lagi hendak meredah kesesakan lalu lintas di luar sana.
Belum pun masuk waktu rehat, perut Ian telah berkeroncong. Pagi tadi dia tidak sempat bersarapan. Hanya meneguk air kopi sahaja. Dia terlewat bangun. Masih jetlag. Kalau orang tahu mesti kata dia mengada-mengadakan. Jetlag di tempat sendiri.
Untuk keluar memandu mencari makan di luar hotel tidak sesekali dilakukan Ian Rayyan. Tambahan pula dia belum arif dengan jalan di sini. Menuggu hari minggu nanti Qaira berjanji akan membawanya mengukur jalan. Nasiblah adiknya kaki jalan. Boleh tahu juga selok belok jalan raya di sini. Akhirnya dia membuat keputusan untuk makan di Tanjong Kafe. Kafe yang terletak di bahagian bawah hotel. 
Ian Rayyan agak cerewet dari segi rasa hidangan yang disediakan. Prinsipnya biarlah pengguna akan berpuashati dengan nilai wang yang dikeluarkan. Selain itu dapat juga dia memerhati dan berkenalan dengan staf di bahagian dapur.
Tanjong Kafe terletak di tingkat bawah bersebelahan dengan kaunter penyambut tetamu. Ian Rayyan mengambil meja yang agak tersorok. Dari situ dia dapat melihat pengunjung yang keluar masuk ke Hotel Grenz. Nampaknya kaunter penyambut tetamu tidak lengang dengan kunjungan. Kalau beginilah, tidak hairanlah Hotel Grenz menjadi hotel yang terkenal di sini.
Ian Rayyan agak berpuashati dengan dekorasi Hotel Grenz. Memang ayahnya bercitarasa tinggi. Layanan staf di kaunter penyambut tetamu juga dirasakan baik. Matanya melilau ke segenap Tanjong Kafe pula. Tidak ramai pelanggan yang makan ketika ini. Yang ada hanya berborak santai. Di sebelah mereka terdapat beg-beg pakaian. Agaknya mereka sedang menunggu untuk dapatkan bilik masing-masing. Ian Rayyan juga berpuashati dengan kebersihan di sekitar Tanjong Kafe.
Apabila menyedari pemilik Hotel Grenz datang, penyelia dapur cepat-cepat keluar ke depan. Bertemu dengan big bossnya. Mikail, penyelia yang bertanggungjawab di bahagian dapur. Seorang penyelia yang amat tegas semasa bekerja. Telah lima tahun dia mencurah khidmat di Hotel Grenz. Sepanjang bekerja di sini, dia amat berpuas hati dengan layanan pihak pengurusan di sini.
“Selamat datang tuan Ian Rayyan.” Formal sekali ucapan daripada Mikail. “ Tuan nak pesan apa-apa?” tanyanya lagi.
“Duduk dulu. Panggil saja saya Mr. Ian.” pelawa Ian Rayyan. Dia mahu mendengar serba sedikit perihal Tanjong Kafe daripada penyelia tersebut. Tidak selesa hendak bercakap jika dia duduk, sedangkan pekerjanya berdiri.
Mikail melayan Ian Rayyan. Sambil itu dia menerangkan serba sedikit mengenai keadaan di bahagian ini. Layanan yang terbaik diberikan kepada pemilik hotel ini.
Ian Rayyan tidak mengambil makanan buffet yang disediakan. Hidangan hotel pada hari ini lebih kepada nasi. Citarasanya tentulah makanan barat. Dia memesan beef steak dan jus epal.
 “Hmm.. not bad.” Ujar Ian Rayyan perlahan. Hanya untuk pendengaran dirinya.
Ian Rayyan berpuashati dengan rasa hidangan yang dipesanannya. Cukup kena dengan seleranya. Dalam dia menghayati hidangannya, kedengaran suara riuh rendah. Ian Rayyan melihat jam di tanggannya. Patutlah telah masuk waktu makan tengah hari. Kelihatan para pekerjanya menuju ke pintu utama hotel. Tentulah mereka makan di luar. Setahunya Hotel Grenz menyediakan kupon untuk para pekerjanya, takkanlah mereka tidak suka makan di sini. Lagipun dia rasakan makanan di sini bagus juga. Akan ditanya kepada Kak Yati nanti. Orang kepercayaan papanya yang kini telah bertukar menjadi orang pentingnya. Tempat dia merujuk segala hal berkaitan dengan Hotel Grenz.
Matanya tertumpu kepada sekumpulan perempuan yang menghampiri pintu utama. Mereka baru keluar dari lift. Matanya terpaku kepada seorang gadis yang menarik perhatiannya. Walaupun gadis tersebut hanya mengenakan baju kurung sahaja, tetapi penampilannya amat menarik. Terasa ada aura yang tidak membenarkan matanya berganjak daripada memerhati figura di hadapannya. Tudung yang melilit di kepalanya juga kelihatan kemas dan menarik.
Di luar negara dia jenuh diperkenalkan dengan wanita-wanita cantik oleh sepupu-sepupunya tapi tidak seorang pun yang boleh membuatkan hatinya bergetar hebat. Hanya dijadikan teman untuk bersuka ria. Walaupun Ian Rayyan agak bebas di luar negara tapi dia tidak pernah membawa pulang perempuan ke rumah. Apatah lagi ke bilik tidur. Dia hanya nakal untuk menghabiskan masanya sahaja. Untuk mempunyai hubungan yang serius tidak sesekali. Tapi tidak gadis itu! Matanya tidak berkelip memerhati. Timbul rasa ingin mendekatinya. Tidak sangka gadis melayu juga yang bisa membuatkan hatinya bergetar. Resah!
“Itu semua pekerja hotel kan? Kenapa diaorang tak makan kat sini. Bukankah kita ada sediakan kupon makanan kepada diaorang?” tanya Ian Rayyan kepada Mikail.
“Ada juga yang makan kat sini Mr. Ian. Tapi bergantung pada selera masing-masingla. Kadang-kadang diaorang ni akan makan di warung-warung yang terdapat kat bahagian belakang hotel ni.”
Ian Rayyan hanya mengangguk. “Selera masing-masingkan. Mungkin diaorang dah jemu masakan di sini,” ujarnya pula.
Ian Rayyan selama ini tidak pernah serius dengan perempuan. Berebut gadis-gadis ingin mendekatinya tapi tidak satu pun dilayannya lebih dari seorang kawan. Mungkin juga mereka itu gadis-gadis Inggeris yang agak bebas tingkah lakunya. Walaupun Ian Rayyan dibesarkan di luar negara tapi dia masih menjunjung adat Melayu.
Melihat gadis tadi membuatkan dia tidak senang duduk. Ingin mengetahui unit mana gadis itu bekeja. Tapi macamana? Takkan nak bertanyakan kepada Kak Yati. Apa pula alasan yang hendak diberi. Sedangkan dia tidak kenal pun staf-stafnya. Nampaknya dia perlu berusaha sendiri. Kepala Ian Rayyan ligat berfikir. Steak di depan dimainkan dengan hujung pisau. Ooo... yes!! Diakan pemilik Hotel Grenz. Jadi dia boleh mengakses semua maklumat stafnya. Maklumat tersebut hanya boleh diakses oleh unit pengurusan sahaja. Tidak sabar untuk mencari gadis pujaannya.
“Terima kasih temankan saya.”
Ian Rayyan bangun sebaik sahaja selesai menjamah hidangannya. Ada misi yang perlu diselesaikan. Mikail juga turut bangun.
Satu misi perlu dijalankan. Cepat-cepat Ian Rayyan bergerak ke arah lift. Melintasi kaunter penyambut tetamu. Staf yang bertugas memberikan tanda hormat kepadanya. Dia hanya mengangguk sahaja. Masuk ke dalam lift butang aras lima di tekan. Tidak sabar menunggu lift sampai ke atas.
Ian Rayyan keluar dengan laju dari lift. Nasib baik masa rehat. Tidak ada pekerja di unitnya. Kalau tak mesti mereka hairan melihat gayanya. Persis dikejar sesuatu. Paling haru kalau dikatakan buang tabiat. Laju tangannya memulas tombol pintu. PC yang telah dihidupkan ditatap. Tangannya mencapai tetikus. Dia klik pada folder maklumat staf. Nasiblah dalam sistem ada meletakkan sekali gambar beserta resumenya. Senang dia hendak mencari.
Penuh teliti Ian Rayyan menilik maklumat yang ada di depannya. Yes!! Aku telah jumpa. Terjerit kecil Ian. terkejut dengan reaksinya, Ian tersengih. Nasib dia berada di dalam bilik. Maklumat yang dicari berada di depan mata. Dia mencetak maklumat tersebut.
Arleena Sofia binti Mohd. Khalid. 22 tahun. Bujang. Unit pemasaran..
Itulah maklumat yang sedang dihafalnya. Ian Rayyan menggunting gambar Arleena. Gambar tersebut ditenungnya. Terpikat dengan senyuman manis Arleena. Dia mengambil cluth bag yang diletakkan di atas meja bersebelahan dengan komputer. Wallet dikeluarkan. Dia memasukkan gambar Arleena di celah-celah ruang yang disediakan dalam walletnya. Mulut Ian Rayyan tidak berhenti tersengih. Ibarat anak remaja yang baru dilamun cinta.  Tidak pernah dia mempunyai perasaan sebegini.
            Otaknya masih memikirkan perihal gadis bernama Arleena Sofia. “Unit pemasaran”. Ulang Ian Rayyan perlahan. Ini sudah bagus. Unit pemasaran masih berada satu aras dengan pejabatnya. Mereka masih berada di aras yang sama. Unit pemasaran di bahagian kanan manakala pejabatnya terletak di bahagian kiri. Tak terfikir pula sama ada gadis tersebut telah mempunyai teman lelaki atau tidak. Entah-entah isteri orang. Tapi tengok daripada gaya takkan la.
Ian Rayyan tersenyum melihat gambar Arleena sebelum meletakkannya di dalam walletnya... mesti terdapat sesuatu pada gadis ini. Kalau tak tak kanlah selepas tamat praktikal Arleena Sofia ditawarkan kerja tetap di sini. Baginya bukan senang sesebuah hotel yang terkemuka untuk mengambil pekerja. Apatah lagi yang baru tamat belajar dan tidak mempunyai pengalaman kerja. Apa lagi berada di unit pemasaran yang memerlukan mereka peka dengan perkembangan sesebuah perniagaan. Peka untuk mengatur strategi untuk menarik pelanggan. Meminati dalam diam. Kerja gila.
            Ian Rayyan berbaring di sofa dalam biliknya sambil meneliti fail di tangan. Amat santai. Fikirannya bukannya tertumpu pada fail di tangan tapi pada gadis pujaannya.Tidak dapat menahan perasaan, Ian Rayyan bingkas bangun. Memasang tekad di hati untuk pergi melawat ke unit pemasaran. Bukan hendak memerhati para stafnya membuat kerja malah ingin mencari tempat si buah hati yang telah bertakhta di hatinya.
            Tombol pintu dipulas rakus. Keluar sahaja dia teus melangkah kaki ke unit pemasaran. Para stafnya yang melihatnya hanya dibalas senyuman. Sebagai bos mestilah tunjukkan mesra dengan para pekerja. Barulah pekerja akan senang hati untuk melakukan kerja.
            Masuk sahaja ke unit pemasaran, Ian memperlahankan langkah.  Seolah-olah memerhati staf membuat kerja. Tapi mata melilau mencari seseorang. Dia berhenti dan menyapa staf yang berselisih dengannya. Melihat bos besar masuk melawat, kebanyakan staf bangun memberi hormat.  Maklumlah ini kali pertama bos besar datang ke unit mereka.
            Mendengar akan bunyi riuh di hadapan, dia mengatur langkah.
Sofa yang diletakkan untuk berbincang dengan klien yang ingin berurusan diduduki oleh Kak Yati, Arleena, Nina dan Luqman. Dari tadi mereka duduk bersembang. Itulah rutin sekiranya mereka tidak mempunyai apa-apa projek. Kalau tidak nak tegur sapa pun payah. Tiba-tiba suasana hening. Kak Yati yang mengadap pintu masuk berdiri. Mereka yang lain berpaling kea rah yang sama. Mulut masing-masing ternganga. Tidak sangka bos akan datang ke sini.
Maklumlah semenjak Mr. Ian Rayyan bin Dato’ Kamarudin mengambil alih hotel ini, dia tidak pernah lagi datang ke unit ini. Ian juga agak terperanjat apabila melihat Kak Yati, staf pengurusan boleh berada di bahagian itu. Amboi tidak cukupkah masa rehat tadi mereka telah keluar bersama. Dia juga perasan tadi stafnya itu juga bersama-sama gadis pujaannya. Melihat akan orang yang dicari berada di hadapan mata, hatinya berbunga riang.
            Melihat bosnya berada di hadapan mata, bingkas Kak Yati bangun dari sofa. Kantoila macam ni..otaknya ligat berfikir. Orang kantoi mesti kena pandai coverkan. Kak Yati mengambil kesempatan itu memperkenalkan Mr.Ian kepada rakan-rakan ofisnya. Sempat menarik nafas lega.
            “Bos kenalkan ini, Luqman, ini Nina  dan ini Arleena.”
Setelah Kak Yati memperkenalkan nama mereka, Luqman menghulurkan tangan bersalaman tanda hormat. Nina dan Arleena hanya mengangguk tanda hormat.
            Melihat Mr. Ian Rayyan duduk, mereka pun turut sama duduk. Nak melangkah pergi dirasakan biadap pula. Tadi sibuk sangat bersembang. Ian Rayyan mengambil tempat berhadapan dengan Arleena. Matanya tidak lepas daripada memandang Arleena. Cukup sempurna. Mata dan bibir mungil Arleena menarik naluri hati lelakinya.
“Kamu bertiga bekerja di unit ini lah ye?” soal Ian sekadar berbasi-basi dengan stafnya. Hatinya tidak sabar hendak menegur si pujaan hati.
            Luqman menjawab bagi pihak mereka. “Saya dan Aleen yang bekerja di bahagian ini, Nina bahagian kewangan,” jawab Luqman sopan.
            Mr Ian rayyan mengerut kening. Setahunya unit kewangan bukan di aras ini. Amboi jauhnya berjalan.
“Unit kewangan bukannya di tingkat dua ke?” soal Ian Rayyan kepada Nina. Mahu melihat reaksi stafnya.
            Nina menelan liur. Tidak disangka soalan itu yang ditanya oleh big boss. Hampeh baru nak bersembang.
 “Aah.... ye. Ya Saya datang ni nak serahkan fail kepada Aleen. Sebenarnya, tadi dah nak turun tapi tersangkut kat sini pula.” Pantas Nina memberi alasan.
Siapa tak kenal Nina. Ada-ada saja jawapan yang keluar dari mulutnya. Selepas berkata demikian Nina bangun. Takut disoal lebih banyak lagi baik dia angkat kaki dulu. Bala jangan di jemput.
“Saya gerak dulu ye.” Sambil tersenyum Nina bangun.
Aleen telah melontarkan senyuman mengejek kepada Nina. Ambik ko tuang kerja lagi. Itu kata-kata yang ingin diucapkan pada Nina. Mengata orang konon, dia pun sama. Asal la banyak-banyak hari, hari ni dia jadi malas. Kantoi dengan big boss pulak tu.
            Ooo..Aleen panggilnya. Sweet jugak. Lama-lama boleh panggil ayang pulak. Omel Ian Rayyan.
“Dah lama kerja di sini?” soal Ian Rayyan kepada Arleena.
Gadis yang agak pendiam dari tadi. Hanya Kak Yati dan Luqman yang banyak bercakap. Perasaan Ian Rayyan berkocak hebat ingin mendengar suara pujaannya.
            Arleena agak terperanjat apabila di soal oleh Mr. Ian. Tidak disangka dia yang menjadi sasaran. Dari tadi Mr. Ian hanya berbual dengan Kak Yati dan Luqman. Dia hendak mencelah tidak ada apa yang hendak ditanya. Lebih baik dia menjadi pendengar.
            “Hampir setahun lebih juga la.” Jawab Arleena. Senyuman dilontar bagi menghilangkan rasa gugupnya. 
            “Macam mana kerja di sini? tanya Ian Rayyan lagi. Hati menahan debar melihat senyuman si gadis.
Tidak jemu mendengar suara gadisnya. Cukup merdu ditelinganya. Sebolehnya dia ingin dua ulas bibir itu tidak berhenti bercakap. Arleena merasa tidak senang dengan big bossnya ini. Dirasakan mata Mr.Ian menjalari wajahnya. Dari tadi bosnya itu tidak melarikan pandangannya dari menatap wajahnya. Terasa berbahang wajahnya. Macam ini baik dia lari buat kerja, omel Arleena dalam hatinya.
Pada masa sama Kak Yati juga perasan akan tingkah Ian Rayyan. Dari cara pandangan lelaki itu memandang Arleena, dapat dirasakan bosnya itu telah terpikat dengan Arleena. Gadis secantik Arleena begitu menarik perhatian mana-mana lelaki.
 Baru tahu macam mana manisnya gadis Melayu. Ini, duduk di luar negara tak nak balik. Bukannya dia tidak pernah mendengar Dato Kamarudin meluahkan perasaannya mengenai anak bujangnya itu. Kak Yati tertawa dalam hati. Nampak secocok pula dua orang ini. Tapi bosnya telah terlewat. Ryzal dari dulu telah mengejar Arleena. Setahunya Arleena kini telah membuka hatinya untuk menerima Ryzal.
            Melihat tidak ada tanda-tanda big bossnya hendak beredar dari situ, Arleena meminta izin untuk membuat kerja. Lagi lama dirasakan hatinya semakin semput. Tidak dapat bernafas. Ditenung oleh makhluk tuhan yang cukup sempurna dari jarak dekat sebegitu membuatkan jantungnya berdegup lari daripada tempo asal. Apabila Arleena bangun dari sofa itu, Ian seakan kecewa. Tidak puas menilik sekujur wajah yang pulus itu. Apabila Arleena beredar, Kak Yati dan Luqman juga berbuat perkara yang sama.

No comments:

Post a Comment