Thursday, 23 February 2017

Jujurlah... Sayang! - Bab 3



HARI ni aku memang bersemangat nak kerja,
demi menghapuskan kenangan jahanam semalam. Haha.
Malam tadi kepala dah asyik fikir perkara tu sampai otak
tambah sakit. Janganlah aku jumpa dia kat mana-mana lagi.
Aku doa dalam hati. Aku tak nak jumpa mamat sengal tu lagi.
Memalukan kehidupan yang aman sejahtera selama ni aje.
Aku dan Iqa tengah berbincang mengenai satu
persepakatan dengan klien yang namanya Puan Jamiliah,
seorang wanita mualaf berbangsa Cina. Puan seorang ni nak
ambil khidmat interior designer untuk menghias kondonya
dekat Jalan Seputeh. Kondominium Fajaria. Tengah hari ni,
kami ada meeting dengan Puan Jamiliah tercinta itu. Tapi Iqa
tak nak pergi sebab dia ada pertemuan dengan seorang klien
yang dah berbulan-bulan berurusan tapi masih tak selesai
lagi. Masalah betullah kalau dapat klien yang banyak songeh
macam tu.
“What do you say?” tanyaku kepada Puan Jamiliah
yang sedang meneliti kertas kerja yang aku tunjukkan tadi.
Aku turut pandang kertas kerja di atas meja. Gelas
besar berisi Coffee Float, aku tolak ke tepi sedikit. Karang
tertumpah atas kertas ni, mahu Puan Jamiliah ni ternganga
dan terbeliak mata kat sini juga.
“Your idea was quite great. Tapi biasanya I akan pergi
ke tempat tu sendiri sebelum memberi sebarang pandangan
sebab kadang-kadang apa yang pelanggan mahu mungkin
tak masuk dengan kesesuaian keadaan. You nak warna yang
berlainan kat bahagian ni, kan?” Aku tunjuk pada gambaran
yang diberikan.
Puan Jamiliah mengangguk tanda mengiakan
kata-kataku.
“I definitely think soft colours are much more
suitable.”
Pelanggan di depan aku itu tersenyum.
“Okey. Kalau macam tu, I serahkan semua dekat you.
I cuma mahu gaya kontemporari kat bilik utama. The rest is
up to you.”
Aku pantas senyum manis.
“Okay... All on me.”
“Thank you.”
“Welcome, madam.”
Lembut benar pertuturan wanita berbangsa Cina
ini. Setiap kali dia tersenyum, matanya pasti tenggelam.
Kulit mukanya licin tanpa cacat cela. Tidak sampai sejam
perbincangan, Puan Jamiliah meminta diri sebelum
mengucapkan terima kasih atas khidmat yang diberikan.
Aku? Lega sangat-sangat dapat pelanggan yang kena dengan
jiwa kali ni.
Berurusan dengan manusia ini memanglah pelbagai
ragam. Ada yang begitu, ada yang begini. Sebagai seorang
yang kerap kali bersua muka dengan pelanggan, aku tahu
kehendak pelanggan menjadi keutamaan. Namun, dalam
keadaan tertentu, kalau sudah melebihi batas itu, memanglah
boleh membuatkan dada berombak kasar dan emosi meragam
sepanjang hari.
Aku pulang ke pejabat sesudah itu. Banyak lagi kerja
yang memerlukan semakan.
“Apa hal bahu jatuh semacam ni? Jin bertandang kat
atas bahu kau ke weh?” Usikan Ruden buat aku mengangkat
penumbuk. Ruden tergelak cuma.
“Hesy kau ni Ruden, banyak sangat pahala si Aira
ni...” sampuk Iqa yang muncul entah dari mana.
“Pandai pula kau orang ni mengukur pahala dosa
bagai...” gerutuku seraya meletakkan beg tangan ke atas meja
Ruden. Sungguh, bahu aku dah kejang.
“Hoi... serius sangat kau ni... macam mana? Kerja
beres?”
Aku angkat ibu jari kepada Iqa.
“The most sopan santun klien yang aku pernah
jumpa.”
“Untunglah!” jerit Iqa dan Ruden serentak buat
ketawa lantang berbunyi. Jealouslah tu!

AKU MEMICIT kepala berulang kali. Sungguh, sedikit masa
lagi, memang aku pengsan. Mana taknya, fail tadi dah hilang.
Hilang! Aku tak tahu kat mana. Sah-sahlah aku kena marah
dengan bos nanti.
Iqa turut menggeleng kepala melihat aku yang dah
macam kucing hilang anak.
 “Dahlah tu...”
“Iqa!!!” Aku jerit kuat. Berani dia sebut ‘dahlah tu’
waktu aku tengah tension ni.
Seketika Iqa gelak rambang, menambahkan nanah
dalam hati aku.
“Kau calm down dulu, kalau cemas macam ni pun
tak jadi apa juga. Duduk... bertenang. Lepas tu cari balik.”
“Kalau aku bertenang, masa tetap berjalan. Pukul
lima, confirm aku kena tembak dengan Mr. Choo,” jeritku
kelam-kabut. Satu per satu fail aku belek. Habis bersepah
meja aku. Waaa... stres... macam mana aku boleh hilangkan
fail kerja aku dengan Puan Jamiliah tu? Gosh! Rasanya lepas
menempel di meja Ruden tadi, aku tak ke mana-mana.
Aku segera menuju ke bilik Mr. Choo. Dan seperti
yang aku jangka, sememangnya Mr. Choo menjerkah aku di
dalam biliknya.
“You know what, Aira? Miss Jamiliah is our
important customer. You hilangkan fail dia seolah-olah
you hilangkan gaji you for one year. Stupid!” herdik Mr.
Choo. Aku terkebil-kebil dengan mata tak berkelip. Sekadar
mengunci mulut.
Aku menahan air mata melihat kemarahan Mr.
Choo. Tak pernah-pernah aku kena jerkah macam ni. Hatta di
rumah, walau semarah mana pun ma dan pa, tak pernah aku
kena tengking macam tak punya hati macam ni.
“You have built such a great reputation all this
while but today you make it all in vain. I've got no choice but
to pass this tender to Atiqa.” Mr. Choo melepaskan keluhan
kasar. Marah benar dia. Matanya tajam merenungku.
“Kalau ikutkan hati I yang marah ni, I nak pecat you,
Aira. However, mengenangkan your good reputation selama
ni... I sabar.”
Sabar??? Hampir buntang mata aku. Nak sahaja aku
mengamuk bila dia cakap macam tu. Kalau sabar tak adalah
aku kena maki sekarang ni. But it’s okay. Take your time!
Punya lama aku kena marah, pukul enam petang
baru boleh keluar ke basement. Aku duduk di dalam kereta.
Air mata yang aku tahan menitis juga akhirnya. Memang
salah aku, tapi tak sepatutnya dia lemparkan kata-kata yang
menyakitkan aku. Dah lama rasanya aku tak kena marah
macam ni. Kali terakhir dulu ketika aku bekerja di sebuah
syarikat yang terletak di Desa Pandan yang hanya bertahan
enam bulan. GS Design ni sebenarnya syarikat ketiga tempat
aku cari makan.
Air mata yang masih hangat, aku sapu lembut. Aku
tak kisah pun dia nak bagi tender tu kepada Iqa, Ruben,
Lilen atau Dot sekalipun, tapi paling kurang pun hormatilah
maruah aku. Tegur secara berhemah.
Fail tu pun satu hal. Seingat aku, memang lepas
balik daripada pertemuan dengan Puan Jamiliah tadi, elok je
aku kelek fail tu masuk ke dalam pejabat. Macam mana boleh
hilang? Musykil pula aku.
Argh! Aku dah malas nak fikir. Buat sakit otak aje.
Aku terus hidupkan enjin kereta. Masa untuk balik!
Sampai sahaja di rumah, aku nampak Ajrun sedang
menutup pintu utama. Dia angkat kening kepada aku.
“Lambatnya kakak yang dicintai dengan sepenuh
hati ni balik hari ni.” Ajrun menyengih.
Aku jeling. Dia dah mula nak menyindir aku
tengah-tengah emosi aku yang tak berapa okey ni. Tapi bila
mata Ajrun menatap lama mata aku, dia memicingkan mata.
“Kau kenapa, Ra? Kau nangis ke?” Cemas nada
suara Ajrun bertanya, dan tanpa sedar buat aku tersenyum
dalam hati. Jahat-jahat mulut Ajrun ni, dialah satu-satunya
adik-beradik yang aku ada.
“Aku kena marah dengan Mr. Choo...”
“What?” Mata Ajrun membulat.
“Kenapa?” tanyanya hairan.
“Aku hilangkan fail penting. Tender orang kaya...”
Lemah suara aku. Teringat balik ayat-ayat menusuk kalbu Mr.
Choo tadi.
Ajrun gosok belakang badan aku.
“Olololo... manjanya kakak aku ni. Marah sikit dah
berair.”
“Masalahnya, ni bukan marah sikit tau,” sangkalku.
Ajrun garu hujung pelipis.
“Okey-okey... Jangan nangis, Ra... Dah tak cantik
kakak aku ni...”
Aku mengetap bibir.
“Tak apa, Ra... Kalau berurusan dengan orang kaya,
salah sikit, memang kita yang miskin ni kena sembur. Bos
kau tu tak tahu, kita lagi kaya daripada client dia tu.” Ajrun
gelak.
Aku pandang Ajrun dengan pandangan membunuh.
Ajrun segera angkat tangan ke paras telinga.
“Oh baby, sorry. Salah tempat dan masa ya! Dah,
jangan nangis. Tengok, air hidung pun dah keluar. Dah makin
tak cantik...”
Aku merengus keras. Pujuk apa macam ni? Macam
berceramah pun ada. Hampeh punya adik-beradik. Aku kesat
air mata. Malas aku nak fikir lagi.
Dan malam itu, seperti biasa, seisi keluarga akan
sama-sama berteleku di atas tikar sejadah. Alunan bacaan
al-Quran yang dibaca oleh pa terasa meresap ke hati. Ma
tunduk menatap al-Quran. Aku dan Ajrun juga turut serta.
Setiap malam Khamis, tadarus di rumah dah jadi amalan
wajib dari kecil dan sebarang alasan adalah salah di sisi
undang-undang di banglo hak milik Dr. Yasman. Sejak kami
berumur lima tahun lagi, pa dan ma sudah menerapkan
amalan gaya hidup sihat lagi bahagia dunia dan akhirat ni.
Insya-Allah.
Pa merupakan bekas student medic-dentist program
sepenuh masa di Jordan. Ma dan pa aktif menyertai tarbiah,
usrah dan siap jadi murabbi lagi. Jadi bila dah berumah
banglo dengan ma, pa praktikkan semua tu kepada anak-anak.
Kata pa, mungkin dia bukan ustaz tapi tak bermakna dentist
tak boleh jadi alim, tak boleh ajar anak-anak mengaji. Jadi
pekerjaan bukan penghalang untuk mengajar dan mendengar
bacaan al-Quran anak-anak.
Sungguh aku bersyukur kerana tuan pakar doktor
gigi, Dr. Yasman bin Hasan tu pa aku. Sungguh bersyukur.
Walau sesibuk mana pun pa dan ma di klinik, aku tak pernah
rasa diabaikan.
“Adik’s turn...” Kata pa bila bacaannya sudah habis.
“Adik dah baca surah apa ni?” Ma menyoal.
“Al-Nahl, halaman 268.”
Kami sama-sama membelek ke muka surat 268. Aku
dah rasa berdebar. Lepas Ajrun, giliran bacaan aku pula yang
bakal diselidiki. Memang aku jarang kena tegur dengan pa
tapi cuak sikit sebab dah lama tak baca Al-Quran. Bendera
merah naik seminggu.
Suara Ajrun yang tak berapa sedap tu berubah
bagaikan lemak-lemak manis kalau bab baca Al-Quran ni.
Lembut dan mendamaikan lubang telinga. Pa tegur sikit-sikit.
Ajrun biasanya salah sebutan pada huruf wa dan aku pula
salah pada sebutan huruf ain... Memang selalu sangat salah.
Tak tahulah kenapa aku susah nak tekan bila masuk huruf ain
tu. Kadang-kadang menjadi, tapi kebanyakannya tak menjadi.
“Adik baca okey tak, pa?” Ajrun sengih bila dah habis.
Pa angkat kening. “You think?”
“Akak rasa tak. He still misquotes the ‘wa’.”
“Hoi... jangan nak menjawab eh... cuba kau baca
pula...”
“Ya Allah... jangan gaduh.” Ma dah bagi amaran.
Aku dan Ajrun berpandangan. Muka masing-masing
dah berkerut seribu.
“Pa... akak nak baca pula. Ma dan pa dengar, okey.
Halaman 399. Al-Ankabut.”
“Bismillahirahmanirrahim...” ujarku perlahan
setelah melafaz taawauz.

KALAU TIDAK kerana Ajrun mendesak sampai naik angin
aku jadinya, memanglah aku tidak akan sampai ke sini. Aku
mendongak sedikit sebelum kaki kuatur kemas ke Lizzmae
Beauty, Kota Damansara. Huh... bila ingat je Kota Damansara
ni, aku memang tak mampu nak fikir lain lagi. Teringat terus
dekat pertemuan aku dengan lelaki berbulu lebat kat Jalan
Semantan tu walaupun dah dekat sebulan benda tu jadi.
Arghh... tak nak ingat lagi perkara memalukan tu.
Okey, ceritanya macam ni. Seorang kawan Ajrun ni
dapat kupon percuma masuk ke Amarylizz Beauty. Dia dapat
lima keping. Jadi, dia bagi Ajrun satu dan disebabkan adik aku
tu punyalah pemalu dan beriman sikit kalau bab aurat-aurat
ni, dia bagilah kupon tu kat aku. So, here I am.
Sungguhlah sepanjang hidup ni tak pernah aku
masuk ke tempat-tempat pelik macam ni. Kali pertama dan
insya-Allah kalau memuaskan, tidak akan menjadi yang
terakhir. Sampai di sana, aku diminta naik ke tingkat kedua
dan disambut oleh seorang wanita berpakaian gaun pendek,
ketat dan berwarna hitam. Wow! Kalau Ajrun datang ni, mahu
terjojol biji mata mamat sorang tu.
Alamak! Takkan kena pakai benda alah ni pulak? Aku
terkejut bila awek gebu suruh salin pakaian dan hulur benda
peribadi tu. Aku senyum tawar. Hentam sajalah...
Aku diminta berbaring di atas tempat khas yang
disediakan lalu aku menurut. Lepas selesai sesi lap badan,
proses mengurut bermula. Bermula dari hujung kaki sampai
ke bahagian belakang badan. Ermm... dia juga mengurut di
bahagian depan badan. Berkali-kali aku menahan tangannya
lantaran geli. Perut aku ni rupanya sensitif teramat.
Selepas itu bermulalah sesi rawatan muka. Siap
dengan rawatan resdung menggunakan lilin. Rasa geli-geli
sangat kat lubang telinga. Hesy! Taubat aku tak nak cuba
lagi. Masa ni dah terbayang Ajrun, apalah gamaknya reaksi si
Ajrun tu kalau tiba-tiba telinga dia berasap- asap macam ni.
Mesti dia menjerit.
Hampir sejam, semua selesai. Aku diminta bersiap.
“Miss Aira?”
“Ya!”
“Cik boleh tunggu di bahagian bawah dulu ya. Saya
nak ambil voucher untuk cik di tingkat atas sekejap,” arah
sorang pekerja wanita di sini. Aku cuma angguk.
Aku duduk di atas sofa merah hati sambil membelek
majalah kat situ. Dan tiba-tiba je, aku terdengar ada suara
lelaki dan perempuan sedang bercakap sambil turun tangga.
“You are most welcomed here,” ujar perempuan itu.
“I know that, Mae. Thank you.”
Oh, Cina rupanya, bisik hatiku tatkala telinga
menangkap dua manusia itu saling berbalas kata dalam bahasa
Cina. Sempat ekor mata mengerling pada si perempuan.
Alahai, cantik dan seksi sangat. Aku yang dengar perbualan
itu cuma diam.
“A minute. Stay here.” Perempuan yang bernama
Mae itu naik ke tingkat atas. Dari hujung mata, aku perasan
lelaki yang menemani Mae itu sudah mula mendekati sofa.
Sebab harum sangat bau minyak wangi yang dipakainya tu,
aku mendongak, memandangnya. Mata bertembung dengan
mata.
Erk! Darah terasa hilang dari muka. Betul ke mata
aku ni? Mata aku terjegil melihatnya. Seksi! Terkejut yang
teramat-amat sangat. Aku menelan liur berkali-kali. Hesy...
kenapa aku perlu terserempak dengan lelaki ini lagi?
Tiba-tiba, lelaki itu tersenyum.. Errr... sumbing.
Kening diangkat dengan riak yang agak nakal. Cepat-cepat
aku kalih pandang. Kepala dah tak dapat nak menelan liur.
“Hei... hai...”
Aku tak membalas teguran lelaki itu. Bagai tiada
siapa di situ, majalah di tangan aku belek khusyuk.
“Huk! Huk!” Aku dengar dia batuk. Batuk sumbang
yang sebiji masa di Damansara tu. Oh, no!
“Terkejut I jumpa you.” Ucapan itu buat aku rasa air
liur yang ditelan dah bertukar jadi pasir.
Aku masih dalam lakonan. Seakan lelaki itu bercakap
dengan angin lalu sahaja. Dan aku dengar dia ketawa sinis
lagi.
“You tak perasan atau buat-buat tak perasan?” Jejaka
seksi yang menyeksakan itu gelak.
Dek rasa tersindir, aku memanggung kepala.
“Hai.”
Seketika, kami saling bertatapan. Lelaki itu
mengulum senyum.
“Dah sebulan, kan? Kadang-kadang bila masuk
pagar rumah, I pandang belakang. Mana tahu ada orang nak
tumpang tandas lagi.”
Angin lalu.
“Public restrooms are available everywhere... and
yes... my house offers that as well,” katanya sinis.
Aku cebik bibir. Aku pandang lelaki itu lama-lama.
Menilik diri lelaki Cina yang seorang ini. Dengan seluar hitam
dan t-shirt Tommy Hilfiger warna hitam pekat, ditambah lagi
dengan jambang yang makin lebat tu, macam menakutkan
sangat. Lelaki ni memang ada ciri-ciri nak jadi penculik.
Aku pandang rambut perang si bulu lebat. Gulp. Rasa
macam nak muntah je kat situ. Macam manalah agaknya Mae
tu boleh terjatuh sayang pada lelaki yang berpenampilan
begini? Warna perang tu dah okey, tapi bila masuk bahagian
rambut bergulung ala Phua Chu Kang, tu yang tak boleh
blah. Tiba-tiba teringat ayat sadis Ajrun waktu tengok watak
Phua Chu Kang... ‘Lelaki rambut macam ni misteri tau,
Ra. Seribu satu rahsia, jangan main-main dengan kategori
rambut macam ni. Mahal! Dah tu, nampak dangerous and a
trouble maker.’
“Tertarik dengan rambut I ke?” Menggeletar tubuh
aku apabila suaranya makin mendekat. Aku mendengus.
“You ni dah gila ke? I tak kenal siapa you. So please,
make some space between us...” suaraku lantang bercampur
geram.
“I know you...” Wah, dengan muka yakinnya dia
membidas kata-kataku. “The beautiful girl with her cendol
and tomyam.”
Aku pandang dia dengan dahi berkerut. Hei... lelaki
ni dah kenapa? Tak payahlah nak mengungkit kenangan masa
lalu tu. Buat tebal muka aku je.
“The ever so confident girl who sneaked into my
house.”
Oh... lagi satu drama.
“Banyak lagi ke list yang you nak buat? I tak berminat
nak dengar,” pangkahku.
“Banyak sangat... tapi sebab you tak berminat, maybe
we should spend some good time together, I akan beritahu list
I tu. How does that sound?”
“Very bad!”
Lantas, ketawa lelaki itu terburai lagi. Aku pandang
dia. Hei... meluatnya aku dengan dia ni. Sabar ajelah.
“What do you think?”
“Apa?” Keningku hampir bertaut rapat.
“Do you always stare at people like this?”
“Huh, tak kuasa!” cebikku.
“Ya? Tapi I nampak you macam berkuasa sangat
sekarang ni.”
“Ulang lagi sekali apa yang you cakap tadi. I kurang
dengarlah.”
“Nothing.”
Kami berjeda seketika. Aku sudah panas punggung
menunggu pelayan spa itu.
“Datang sini buat facial?”
“Tak... pinjam tandas.”
Kuat ketawa lelaki itu memecah ruang bilik.
Terkebil-kebil aku melihatnya. Huh! Aku mencebik. Kalau
nak gelak pun, kawallah sikit. Tak payah sampai nak
bergerak-gerak rambut Phua Chu Kang dia tu.
“You are so funny, dear...”
“You tahu tak yang you ni manusia yang sangat
kasihan,” ujar aku tiba-tiba.
Dia mengangkat kening menyoal. Lagaknya begitu
selamba.
“Mesti tak ada duit nak beli shaver, kan? Bulu penuh
satu muka.” Aku pun tak tahu apa yang aku sedang melalut.
Lelaki itu tidak semena-mena bergerak ke arahku
yang duduk damai di atas kerusi. Jantung sudah mula
mengepam lebih laju. Berdebar tidak tentu hala. Jangan
macam-macam. Mataku mencerun memberi amaran.
Aku rasa diri sudah mula menggigil. Kalau ikut hati
jahat, nak aje aku tendang lelaki tu jauh-jauh tapi kaki dah
tak berdaya nak diangkat. Waaa... seram sejuk satu badan.
Tak pernah-pernah aku serapat ni dengan lelaki berbangsa
Cina sebelum ni. Hatta seorang kawan lelaki Cina pun tak
ada. Kalau ada pun cuma Mr. Choo seorang. Itu pun bukan
kawan, tapi bos. My big boss! Yang lainnya hanya pelanggan
semata-mata. Dia menunduk sedikit, menyamakan
kedudukannya denganku. Mulut lelaki itu betul-betul kat
telinga aku. Berbisik perlahan.
“Since I don’t have money, why don’t you buy for
me?”
Cis... tu aje ke ayat yang dia nak cakap? Bengang
betul! Aku punyalah takut.
“I tak berminat nak sedekahkan duit I pada orang
asing. Tambah-tambah orang macam you.”
“Macam I? Macam mana?” Sengaja agaknya dia
berteka-teki denganku.
“Annoying!” bidasku laju. Namun, tidak sedikit
pun mengurangkan senyuman di bibir lelaki itu. Dia masih
tersenyum kacak. Seakan menanti patah kata seterusnya
daripadaku.
“Boleh tolong berdiri tegak tak? Rimas I tengok you
ni!” pintaku.
“Rimas atau you tengah berdebar atau mungkin you
takut...” Meleret-leret suaranya.
“Kenapa tiba-tiba I nak takut pulak?”
“Takut jatuh cinta dengan I.”
Tidak semena-mena ketawaku meledak agak kuat.
“Oh my God! Takutnya...” ejekku dengan senyum
sinis, sengaja menyakitkan hatinya. Dalam diam, aku
menyuarakan kata bahawa aku tidak mungkin akan tersuka
pada dia.
“You makin cantik bila buat muka macam tu.”
Sweet talker. Memang dah sifat semula jadi yang
namanya lelaki kut. Aku teringat Ajrun. Kalau bergayut
dengan si Reen tu, senyum memanjang saja, lepas tu
mulutnya tak habis-habis buat ayat yang jiwang dan manis.
“Do you know what Jessie J said?”
Anak mata lelaki itu kian sepet. Penuh tanda tanya.
“Anyone I know?”
“Cause, boy, you sound so sweet, you can have it
all.” Aku senyum sinis menyanyikan lirik lagu Sweet Talker
itu. Bukan jenis aku layan lagu-lagu begitu tetapi kalau
dah telinga asyik kena sumbat dengan suara sumbang lagi
berirama daripada Ruden tu, tak ke lekat juga sebaris dua?
“Yup. I will have it all... including you.”
Senyum di bibirku mati. Gila!
“Let’s go.” Kemunculan Mae membuatkan aku
mematikan niat hendak menjawab. Dia juga serta-merta
menegakkan batang tubuhnya.
“Hei, you tak balik lagi?” Mae ramah menegur aku.
Aku senyum.
“Tak... tadi ada awek gebu tu cakap nak ambil
voucher untuk saya.”
“Awek gebu?” Mae gelak dan lelaki penyibuk kat
sebelah tu pun gelak sama. Aku rasa muka macam dah
terkena unggun api. Panas!
“Errr... maksud saya...”
“It’s okay... I think this is your first time being here
right?”
Aku mengangguk.
“Cik Aira.” Awek yang kata nak bagi voucher tu
datang. “Maaf ambil masa Cik Aira.”
“It’s okay. Thank you. Errr... saya dah lambat... saya
pergi dulu ya.”
Baru dua tiga langkah berjalan...
“Aira!” Terasa namaku dilaung agak kuat. Aku
pandang dia. Mae buat muka pelik.
“Cantik nama you.”
“I know.” Aku nampak lelaki itu beraksi terkedu
apabila aku membalas selamba begitu. Ceh, apa hal terkejut
sakan pulak? Dah memang nyata nama aku ni cantik, tengok
kakilah... Hahaha!

No comments:

Post a Comment