Wednesday, 11 April 2018

KAHWIN PAKSA KE ? - BAB 4


“ALIFF Imtiyaz!” Dian menjerit kuat sebaris nama itu. Bulat matanya menjegil ke arah Aliff; juga jiran sebelah rumahnya yang tiba-tiba muncul dan dengan gembiranya menggoyang-goyangkan tangga yang menjadi tempat dia berdiri sejak setengah jam yang lalu.
Cepat-cepat dia turun dari tangga itu. Dia tidak mahu jatuh ditimpa tangga pula.
Rumah Dian terletak di tengah-tengah; rumah Nana di sebelah kiri rumahnya; rumah Aliff di sebelah kanan rumahnya. Mereka bertiga sudah berkawan sejak zaman sekolah lagi dan selalu menjadikan sempadan pagar rumah masing-masing sebagai tempat bersembang.
“Yang korang suka memanjat tangga ni kenapa? Teringin nak jadi nyet?” soal Aliff sambil bercekak pinggang memandang Dian dan Nana silih berganti. Tak habis-habis suka memanjat tangga. Kalau jatuh ditimpa tangga kan susah!
 “Yang kau tiba-tiba muncul dekat rumah aku dengan gaya ala-ala pencuri ni kenapa? Teringin nak jadi penyangak?” balas Dian kembali. Dia sudah biasa bergurau kasar dengan Aliff sejak kecil. Tak perlu susah-susah untuk cakap berlapik.
Mencerlung mata bulat Aliff memandang Dian yang sudah merah padam wajahnya. Penyangak?
“Kalau aku report dekat abah kau apa yang kau dah buat hari ni, barulah kau tahu langit tu tinggi ke rendah,” ugut Aliff sambil menjongketkan keningnya. Dia sengaja sebenarnya. Sengaja menggunakan nama abah Dian.
Dian dan Nana saling berpandangan.
“Kau nak report apa?” soal Dian berani sambil bercekak pinggang. Ingat dia takut sangat ke walaupun si Aliff ni polis? Bukannya dia buat salah apa-apa.
“Kau jadi gadis li...”
“Alifffffffff!!!!”
Aliff yang masih dengan persalinan seragam polisnya ketawa menang. Dian pula mendengus geram. Memang Alif Ba Ta sungguhlah dia ni!
“Inspektor Aliff Imtiyaz, kau memang tak ada kerja ke dekat Bukit Aman tu? Tak ada ke penjenayah nak kena tangkap?”
Aliff hanya ketawa sambil berpeluk tubuh.
“Kau jaga-jaga, Dian. Mata-mata aku ada dekat mana-mana aje,” balas Aliff selamba.
“Kenapa pulak mata kau nak kena ada merata-rata? Mata kau sepatutnya ada dekat soket matalah, nanti biji mata kau jatuh tergolek.”
Terus Nana ketawa terbahak-bahak. Jika Dian dan Aliff berbalah, memang dia yang akan jadi tukang gelak. Dia selalunya di pihak atas pagar memandangkan Dian dan Aliff
merupakan kawan rapatnya.
“Kau buat apa dekat Sepang? Sejak bila dah pandai buat kerja macam tu?” soal Aliff dengan suara yang sudah berubah nada.
“Apa yang aku dah buat?” soal Dian, pura-pura tidak memahami.
“Kau nak aku kuatkan suara supaya abah kau boleh dengar?” ugut Aliff.
Eeee... korang ni! Sudah-sudahlah bergaduh tu. Suara korang tu sebatu jauhnya dah boleh dengar!” sampuk Nana sambil menggelengkan kepalanya.
“Kau buat apa dekat laman rumah aku ni?” Dian bercekak pinggang memandang Aliff. Memang dasar busybody, suka menyibuk hal orang!
“Kau buat apa dekat Sepang hari ni?” soalan Dian dibalas dengan soalan juga.
Dian mendengus kuat.
“Aku pergi ukur keluasan tanah dekat sana. Tak sangka, boleh tahan luasnya jugak,” jawab Dian selamba.
Terus Nana gelak mengekek, masih setia dengan peranannya sebagai tukang gelak.
“Aliff, dah sampai? Kenapa tak terus masuk?” Suara Puan Marina, ibu Dian yang sedang menegur itu mematikan perbalahan Dian dan Aliff. Terus senyap kedua-duanya.
“Aliff baru nak tanya Dian keluasan tanah dekat Sepang tu. Tu yang tengah berbincang dekat luar ni,” jawab Aliff selamba sambil tersenyum ke arah Puan Marina.
Terus Dian menjegilkan biji mata. Aliff ni bukan setakat busybody, tetapi kuat mengadu juga. Menyampah betul!
“Nak beli rumah dekat sana ke?” soal Puan Marina
yang semestinya tidak tahu apa yang sedang berlaku. Wajah Dian yang sedang berkerut-kerut itu dipandang. Kenapa tiba-tiba Dian mahu membeli rumah di Sepang pula?
Terus Nana dan Aliff ketawa serentak.
“Bau kuah durian yang Che Na masak tu sedap sangatlah,” terus Aliff menukar topik perbualan dan membuka kasutnya untuk masuk ke dalam rumah Dian. Dia baru teringatkan tujuan asalnya berkunjung ke rumah keluarga Dian.
Dian menjeling tajam melihat Aliff yang selamba membuka kasutnya sebelum disusun kemas. Selamba betul! Memang spesies yang sejak kecil sudah pandai-pandai menjadikan rumahnya sebagai rumah sendiri!
“Jom, makan. Che Na dah beli roti putih yang tak ada kulit. Aliff kan suka makan cecah dengan kuah durian.” Puan Marina tersenyum memandang Aliff. Walaupun plannya mahu menjodohkan Dian dengan Aliff dibangkang kuat oleh suaminya, tetapi dia sentiasa menganggap Aliff seperti anak sendiri.
“Ibu, Dian kadang-kadang confuse tau. Dian anak ibu atau dia ni?” soal Dian geram. Riak wajah selamba Aliff yang sedang menjongketkan kening ke arahnya membuatkan Dian semakin bengang.
“Mestilah Dian anak ibu. Aliff pun ibu dah anggap macam anak sendiri.” Puan Marina tersengih memandang Dian sebelum dia berlalu masuk ke dalam rumah.
Babe, ibu kau masih tak give up nak kenenkan kau dengan Aliff ke?” bisik Nana sebaik sahaja Aliff mengikut langkah Puan Marina ke dapur.
Dian terus menggelengkan kepalanya.
“Aku rasalah kan...” Jeda seketika dan Nana mengetuk-ngetuk hujung dagunya. “Abah kau suka tengok  
drama kahwin paksa. Jadi, dia carikan jodoh untuk kau,” ujar Nana.
Dian mengerutkan dahi.
“Ibu kau pulak, suka baca novel yang ada tema jodoh sebelah rumah. Jadi, ibu kau nak jodohkan kau dengan Aliff yang memang duduk sebelah rumah kau. Kelassss kau, Dian! Fefeeling heroin tu!” Nana sambung ketawa lagi.
Dian pening!
“PETANG TADI Aliff ada datang rumah kita ke?”
Soalan Encik Zulkarnain membuatkan Dian dan Daniel, adik bongsunya mula berpandangan sesama sendiri.
“Na buat kuah durian. Jadi, ajaklah Aliff datang makan sini. Tu kan memang makanan favourite dia,” jawab Puan Marina sambil menyenduk kuah kari ke pinggan nasi suaminya. Entah kenapa, suaminya tidak begitu berkenan dengan Aliff walaupun Dian sendiri rapat dengan Aliff sejak kecil.
“Ajak makan tak apa, Na. Jangan ajak dibuat menantu,” balas Encik Zulkarnain tanpa nada.
Dian dan Daniel saling berpandangan lagi.
“Kak, drama macam nak start,” bisik Daniel perlahan.
“Kalau nak dibuat menantu pun apa salahnya,” jawab Puan Marina bersahaja.
“Tak boleh!” jawab Encik Zulkarnain pantas.
Dian cepat-cepat menghabiskan nasi di dalam pinggan, sementara Daniel menghabiskan air sirap limau di dalam gelas.
 “Kenapa pulak tak boleh?” soal Puan Marina.
“Sebab Aliff tu polis.”
“Jadi, kenapa?”
“Abang tak nak Dian kahwin dengan polis.”
“Abang pun polis jugak. Tapi Na kahwin dengan abang elok je.”
Dian dan Daniel yang sejak tadi menahan tawa sudah tersedak-sedak. Nampaknya ibu mereka menang.
“Abang nak Dian kahwin dengan Ariq.”
Dian terus tersedak nasi sebelum tangan kirinya cepat mencapai gelas yang berisi air limau. Takkanlah abahnya dah tahu?
“Nak kahwin apanya kalau ayah calon menantu tak jadi abang tu dah batalkan niat mereka?” balas Puan Marina.
Dian bangun dan perlahan-lahan menarik kerusi yang menjadi tempat duduknya sejak tadi. Dia sempat menghantar isyarat mata ke arah Daniel supaya turut sama bangun.
“Azhar beritahu abang yang Ariq dah setuju nak jadikan Dian isteri dia.” Encik Zulkarnain tersenyum mengenangkan perbualannya dengan Dato’ Azhar di talian selepas isyak tadi. Walaupun dia agak terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Dato’ Azhar, tetapi dia tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya ada berita positif yang diterima.
Say what??? Jadikan isteri?’ Pinggan makan yang berada di pegangan Dian hampir sahaja terlepas ke bawah.
Ah, sudah! Ariq sudah tahu identiti sebenar Bibs ke?


No comments:

Post a Comment