“ALIFF Imtiyaz!” Dian menjerit kuat sebaris nama itu. Bulat matanya
menjegil ke arah Aliff; juga jiran sebelah rumahnya yang tiba-tiba muncul dan
dengan gembiranya menggoyang-goyangkan tangga yang menjadi tempat dia berdiri
sejak setengah jam yang lalu.
Cepat-cepat dia turun dari tangga itu. Dia
tidak mahu jatuh ditimpa tangga pula.
Rumah Dian terletak di tengah-tengah; rumah
Nana di sebelah kiri rumahnya; rumah Aliff di sebelah kanan rumahnya. Mereka
bertiga sudah berkawan sejak zaman sekolah lagi dan selalu menjadikan sempadan
pagar rumah masing-masing sebagai tempat bersembang.
“Yang korang suka memanjat tangga ni
kenapa? Teringin nak jadi nyet?” soal Aliff sambil bercekak pinggang
memandang Dian dan Nana silih berganti. Tak habis-habis suka memanjat tangga.
Kalau jatuh ditimpa tangga kan susah!
“Yang
kau tiba-tiba muncul dekat rumah aku dengan gaya ala-ala pencuri ni kenapa?
Teringin nak jadi penyangak?” balas Dian kembali. Dia sudah biasa bergurau
kasar dengan Aliff sejak kecil. Tak perlu susah-susah untuk cakap berlapik.
Mencerlung mata bulat Aliff memandang Dian
yang sudah merah padam wajahnya. Penyangak?
“Kalau aku report dekat abah kau apa
yang kau dah buat hari ni, barulah kau tahu langit tu tinggi ke rendah,” ugut
Aliff sambil menjongketkan keningnya. Dia sengaja sebenarnya. Sengaja
menggunakan nama abah Dian.
Dian dan Nana saling berpandangan.
“Kau nak report apa?” soal Dian berani
sambil bercekak pinggang. Ingat dia takut sangat ke walaupun si Aliff ni polis?
Bukannya dia buat salah apa-apa.
“Kau jadi gadis li...”
“Alifffffffff!!!!”
Aliff yang masih dengan persalinan seragam
polisnya ketawa menang. Dian pula mendengus geram. Memang Alif Ba Ta sungguhlah
dia ni!
“Inspektor Aliff Imtiyaz, kau memang tak ada
kerja ke dekat Bukit Aman tu? Tak ada ke penjenayah nak kena tangkap?”
Aliff hanya ketawa sambil berpeluk tubuh.
“Kau jaga-jaga, Dian. Mata-mata aku ada dekat
mana-mana aje,” balas Aliff selamba.
“Kenapa pulak mata kau nak kena ada
merata-rata? Mata kau sepatutnya ada dekat soket matalah, nanti biji mata kau
jatuh tergolek.”
Terus Nana ketawa terbahak-bahak. Jika Dian
dan Aliff berbalah, memang dia yang akan jadi tukang gelak. Dia selalunya di
pihak atas pagar memandangkan Dian dan Aliff
merupakan kawan rapatnya.
“Kau buat apa dekat Sepang? Sejak bila dah
pandai buat kerja macam tu?” soal Aliff dengan suara yang sudah berubah nada.
“Apa yang aku dah buat?” soal Dian, pura-pura
tidak memahami.
“Kau nak aku kuatkan suara supaya abah kau
boleh dengar?” ugut Aliff.
“Eeee... korang ni!
Sudah-sudahlah bergaduh tu. Suara korang tu sebatu jauhnya dah boleh
dengar!” sampuk Nana sambil menggelengkan kepalanya.
“Kau buat apa dekat laman rumah aku ni?” Dian
bercekak pinggang memandang Aliff. Memang dasar busybody, suka menyibuk
hal orang!
“Kau buat apa dekat Sepang hari ni?” soalan
Dian dibalas dengan soalan juga.
Dian mendengus kuat.
“Aku pergi ukur keluasan tanah dekat sana. Tak
sangka, boleh tahan luasnya jugak,” jawab Dian selamba.
Terus Nana gelak mengekek, masih setia dengan
peranannya sebagai tukang gelak.
“Aliff, dah sampai? Kenapa tak terus masuk?”
Suara Puan Marina, ibu Dian yang sedang menegur itu mematikan perbalahan Dian
dan Aliff. Terus senyap kedua-duanya.
“Aliff baru nak tanya Dian keluasan tanah
dekat Sepang tu. Tu yang tengah berbincang dekat luar ni,” jawab Aliff selamba
sambil tersenyum ke arah Puan Marina.
Terus Dian menjegilkan biji mata. Aliff ni
bukan setakat busybody, tetapi kuat mengadu juga. Menyampah betul!
“Nak beli rumah dekat sana ke?” soal Puan
Marina
yang semestinya tidak tahu apa yang sedang
berlaku. Wajah Dian yang sedang berkerut-kerut itu dipandang. Kenapa tiba-tiba
Dian mahu membeli rumah di Sepang pula?
Terus Nana dan Aliff ketawa serentak.
“Bau kuah durian yang Che Na masak tu sedap
sangatlah,” terus Aliff menukar topik perbualan dan membuka kasutnya untuk
masuk ke dalam rumah Dian. Dia baru teringatkan tujuan asalnya berkunjung ke
rumah keluarga Dian.
Dian menjeling tajam melihat Aliff yang
selamba membuka kasutnya sebelum disusun kemas. Selamba betul! Memang spesies
yang sejak kecil sudah pandai-pandai menjadikan rumahnya sebagai rumah sendiri!
“Jom, makan. Che Na dah beli roti putih yang
tak ada kulit. Aliff kan suka makan cecah dengan kuah durian.” Puan Marina
tersenyum memandang Aliff. Walaupun plannya mahu menjodohkan Dian dengan
Aliff dibangkang kuat oleh suaminya, tetapi dia sentiasa menganggap Aliff
seperti anak sendiri.
“Ibu, Dian kadang-kadang confuse tau.
Dian anak ibu atau dia ni?” soal Dian geram. Riak wajah selamba Aliff yang sedang
menjongketkan kening ke arahnya membuatkan Dian semakin bengang.
“Mestilah Dian anak ibu. Aliff pun ibu dah
anggap macam anak sendiri.” Puan Marina tersengih memandang Dian sebelum dia
berlalu masuk ke dalam rumah.
“Babe, ibu kau masih tak give up nak
kenenkan kau dengan Aliff ke?” bisik Nana sebaik sahaja Aliff mengikut langkah
Puan Marina ke dapur.
Dian terus menggelengkan kepalanya.
“Aku rasalah kan...” Jeda seketika dan Nana
mengetuk-ngetuk hujung dagunya. “Abah kau suka tengok
drama kahwin paksa. Jadi, dia carikan jodoh
untuk kau,” ujar Nana.
Dian mengerutkan dahi.
“Ibu kau pulak, suka baca novel yang
ada tema jodoh sebelah rumah. Jadi, ibu kau nak jodohkan kau dengan Aliff yang
memang duduk sebelah rumah kau. Kelassss kau, Dian! Fefeeling heroin
tu!” Nana sambung ketawa lagi.
Dian pening!
“PETANG TADI Aliff ada datang rumah
kita ke?”
Soalan Encik Zulkarnain membuatkan Dian dan
Daniel, adik bongsunya mula berpandangan sesama sendiri.
“Na buat kuah durian. Jadi, ajaklah Aliff
datang makan sini. Tu kan memang makanan favourite dia,” jawab Puan
Marina sambil menyenduk kuah kari ke pinggan nasi suaminya. Entah kenapa,
suaminya tidak begitu berkenan dengan Aliff walaupun Dian sendiri rapat dengan
Aliff sejak kecil.
“Ajak makan tak apa, Na. Jangan ajak dibuat
menantu,” balas Encik Zulkarnain tanpa nada.
Dian dan Daniel saling berpandangan lagi.
“Kak, drama macam nak start,” bisik
Daniel perlahan.
“Kalau nak dibuat menantu pun apa salahnya,”
jawab Puan Marina bersahaja.
“Tak boleh!” jawab Encik Zulkarnain pantas.
Dian cepat-cepat menghabiskan nasi di dalam
pinggan, sementara Daniel menghabiskan air sirap limau di dalam gelas.
“Kenapa
pulak tak boleh?” soal Puan Marina.
“Sebab Aliff tu polis.”
“Jadi, kenapa?”
“Abang tak nak Dian kahwin dengan polis.”
“Abang pun polis jugak. Tapi Na kahwin
dengan abang elok je.”
Dian dan Daniel yang sejak tadi menahan tawa
sudah tersedak-sedak. Nampaknya ibu mereka menang.
“Abang nak Dian kahwin dengan Ariq.”
Dian terus tersedak nasi sebelum tangan kirinya
cepat mencapai gelas yang berisi air limau. Takkanlah abahnya dah tahu?
“Nak kahwin apanya kalau ayah calon menantu
tak jadi abang tu dah batalkan niat mereka?” balas Puan Marina.
Dian bangun dan perlahan-lahan menarik kerusi
yang menjadi tempat duduknya sejak tadi. Dia sempat menghantar isyarat mata ke
arah Daniel supaya turut sama bangun.
“Azhar beritahu abang yang Ariq dah setuju nak
jadikan Dian isteri dia.” Encik Zulkarnain tersenyum mengenangkan perbualannya
dengan Dato’ Azhar di talian selepas isyak tadi. Walaupun dia agak terkejut
dengan berita yang disampaikan oleh Dato’ Azhar, tetapi dia tetap bersyukur.
Sekurang-kurangnya ada berita positif yang diterima.
‘Say what??? Jadikan isteri?’ Pinggan
makan yang berada di pegangan Dian hampir sahaja terlepas ke bawah.
Ah, sudah! Ariq sudah tahu
identiti sebenar Bibs ke?
No comments:
Post a Comment