DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 11 April 2018

TAKRUT - BAB 8








Shah Alam...
“DARI Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW
bersabda: ‘Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka
terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah,
ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan
untuknya.” Di halaman rumah, tok imam masih memberi
nasihat kepada Wafiq sebelum berangkat pulang.
“Insya-Allah, imam.” Wafiq membalas.
“Ikhlas itu apabila kita terus beristiqamah walau
apa pun yang berlaku. Teruslah berdoa untuk ibu bapa yang
sudah pergi selagi ada hayat kita di dunia ini. Mereka sangat
mengharapkan kita. Moga-moga dengan ingatan dan kasih
sayang yang tidak putus-putus ini Allah bentang reda dan
rahmat-Nya untuk kita.”
Wafiq termenung sendiri. Masih tidak terbayang
hari-hari yang bakal mendatang. Meskipun begitu, dia
bersyukur kerana majlis tahlil itu berjalan dengan lancar
dalam suasana yang teratur tanpa masalah. Dia juga tidak
nampak lelaki tua yang menyerupai ayahnya di mana-mana.
Itu juga memberikan satu kelegaan.
“Mak cik, periksa semua pintu ya. Saya dah tak larat
sangat ni.”
Selepas semua jemputan pulang, Wafiq masuk
ke dalam rumah untuk berehat. Ketika itu masih ramai di
halaman rumah menguruskan hal katering dan lain-lain.
Dia sudah tidak larat untuk ambil tahu apa-apa. Kesemuanya
diserahkan sahaja kepada Zuwaidah.
“Baik, tuan.” Zuwaidah memerhati sahaja Wafiq naik
ke bilik. Langkah Wafiq begitu lesu.
Setibanya di tingkat 2, langkah kaki Wafiq terhenti.
Terpersil rasa rindu sehingga memaksanya menoleh ke arah
kanan seketika. Dan jauh di hujung koridor, bilik ayahnya
seakan melambai-lambai.
Dia tunduk pada kata hati. Kakinya diayun perlahan
tetapi sebaik sahaja dia masuk, dia hanya disambut oleh rasa
sunyi yang mencengkam persis semalam. Dia diterpa rasa
kehilangan seperti ada satu ruang kosong dalam hatinya yang
masih dibelit rasa bersalah.
Akhirnya dia menghempas punggung di atas katil
ayahnya. Diusap tilam yang pernah menampung tubuh
ayahnya selama ini. Dia memeluk bantal yang masih berbau
rambut ayahnya; mengalah pada rasa rindu.
“Wafiq!” Semena-mena, satu suara menyergah dari
muka pintu.
Dengan spontan Wafiq melompat dari katil sehingga
terlanggar lampu meja. Lampu meja bergoyang-goyang.
Tubuhnya ketar.
“Penakut rupanya.” Haidar menegur dalam ketawa
yang belum berhenti. Merah padam wajahnya seraya
menyengih.
Wafiq tidak menjawab. Dia tidak sangka akan melihat
Haidar di situ pada waktu ini. Sungguh tidak sangka.
“Sorry, bro.” Melihatkan keadaan Wafiq yang pucat
sedikit, kesedaran datang ke dalam hati Haidar. Dihulurkan
tangan untuk bersalam dan menarik Wafiq ke dalam pelukan.
Salam Haidar bersambut. Wafiq menarik nafas
dalam-dalam. Mujurlah Haidar yang datang. Kalau orang lain
pasti sudah ditumbuk sekuat hati. Ini bukan masa yang sesuai
untuk bergurau senda.
“Aku cuba balik cepat, tapi flight delayed. Ini pun
dari airport aku terus berkejar ke sini.”
Wafiq masih kelu. Nafasnya masih menderu laju
akibat terkejut tadi. Tetapi tetap terselit rasa gembira apabila
terlihat Haidar di situ. Kawan gembira senang dicari, kawan
menangis memang susah. Dan pada waktu-waktu beginilah
dia kenal siapa kawan sejati, siapa kawan yang sekadar
mengambil kesempatan.
“Semua dah selesai. Malam ni malam kedua.” Wafiq
duduk semula di birai katil ayahnya. Tubuhnya berayun
sedikit. Begitu juga Haidar yang masih merenung wajahnya.
“Apa yang menimpa uncle tu teruk betul... Mak
dan ayah juga kirim salam takziah. Kalau boleh mereka nak
ke sini, tapi tahu sajalah kesihatan ayah aku tu. Baru lepas
chemo.”
Wafiq cuma tertunduk. Tidak ada sebarang komen.
Terlalu pahit untuk diingatkan semula.
“Pak Cik Hamid ke mana, tak nampak pun dia
kat bawah?” Haidar tukar topik. Daripada riak wajah Wafiq
yang keruh, dia faham Wafiq masih terkesan apabila hal itu
dibangkitkan semula. Mungkin dia boleh bertanya semula
pada waktu yang lebih sesuai.
“Dia tak ada malam ni. Dia ada hal di Singapura. Tak
sempat balik. Mungkin esok.”
Haidar angguk faham.
“Tidur sini malam ni ya?” Wafiq mahukan kepastian.
Raut keletihan dapat dibaca pada wajah Haidar. Tentu Haidar
tergesa-gesa ke rumahnya dari lawatan kerja di Mesir.
Perjalanan pula mengambil masa yang panjang. Dia terharu
dengan kesanggupan Haidar datang dengan susah payah.
“Tentu. Tapi... aku tumpang bilik kau ya?”
“Banyak bilik lain. Bilik aku juga yang kau nak.”
Langkah Wafiq terhenti.
Haidar cuma menyengih.
“Nak guna bilik ini pun boleh. Bilik ni dah kosong.”
Wafiq tersenyum mengusik.
Dengan spontan Haidar tergelak besar.
“Kenapa aku pula? Bilik ini kan dah jadi bilik kau.
Kau patut biasa-biasakan diri,” bidas Haidar sambil memaut
bahu Wafiq lebih erat.
Sayangnya Wafiq tidak menyambut usikan itu. Dia
faham Haidar tidak tahu apa-apa. Dia belum bersedia untuk
menghuni bilik ini buat masa sekarang.
Mereka melangkah keluar dari bilik. Sewaktu
dia mahu menutup pintu, dia terdengar bunyi ketawa
kanak-kanak.
“Kenapa?” Haidar menegur.
Wafiq cuma menggeleng.

DETIK DEMI detik berlalu. Malam kian tua. Haidar sudah
berdengkur keletihan. Wafiq pula masih terkebil-kebil
merenung siling. Meskipun badannya letih, namun entah
kenapa matanya masih segar-bugar.
Terlalu banyak perkara yang bermain dalam kepala;
tentang kuliah agama yang belum habis; tentang masa
hadapan dan lain-lain. Semuanya muncul silih berganti
mengganggu rasa kantuk. Namun, tepat pada pukul 3 pagi,
lampu tidur berkelip-kelip. Dan bunyi-bunyi bising pula
muncul.
Malam ini, bunyinya lebih kuat dan lebih nyaring
berbanding semalam. Bunyi itu berdengung-dengung dan
bergema seakan memantul-mantul. Sekejap kuat, sekejap
perlahan dan adakalanya seperti orang meratib beralun-alun.
Semakin didengar, semakin merinding bulu roma. Wafiq
jadi makin khayal. Dia makin terbawa-bawa mengikut
alunan ratib yang sampai ke telinga. Belum sempat lama, dia
tersedar. Bunyi yang didengar tadi terus hilang tetapi diganti
bunyi yang lain.
Uwek!” Bunyi seseorang muntah pula kedengaran.
Langsung Wafiq menoleh ke arah bunyi yang
datangnya dari arah luar. Seolah-olah hanya dipisahkan oleh
pintu bilik.
Uwek!” Bunyi itu berulang.
Tanpa berlengah, Wafiq menolak selimut ke tepi.
Dia bingkas bangkit untuk melihat tetapi sebaik sahaja pintu
dibuka, dia tertegun kaget. Ada seorang lelaki berwajah pucat
sedang merangkak di hadapan pintu biliknya.
“Ayah?” Bibir Wafiq ketar. Dia terkaku, tidak tahu
apa yang harus dilakukan. Fikirannya keliru dan buntu.
Akan tetapi ‘ayahnya’ terus sahaja memuntahkan darah
dan ketulan daging di hadapannya. Dalam masa yang sama,
ayahnya berubah wajah menjadi makhluk hodoh dengan
kudis-kudis bernanah di seluruh tubuh; tidak ubah seperti
lelaki yang selalu mengikutnya selama ini.
Wafiq terlopong dan terundur. Tubuhnya menggigil
kuat apabila melihat longgokan muntah yang berlambak di
tepi kakinya. Isinya daging yang masih berdarah, tangan,
kaki, mata dan rambut manusia.
Lututnya langsung lemah. Dia tidak mampu berdiri
dan akhirnya terjelepok pengsan di situ sampai ke pagi.

HAIDAR HANYA menyedari keadaan Wafiq sewaktu azan
subuh berkumandang di telefon bimbit. Sebaik sahaja dia
membuka mata dan menoleh ke sebelahnya, dia dapati Wafiq
tidak berada di atas katil. Apabila dia mahu ke bilik air, baru
disedari, rupa-rupanya Wafiq sudah terlentang di lantai.
“Wafiq! Wafiq! Bangunlah!” Haidar cuba
menyedarkan Wafiq yang terbujur di hadapan pintu bilik.
Kepala Wafiq betul-betul di bawah alang pintu manakala
kaki menghala ke dalam bilik. Berderau darahnya apabila
ternampak tadi.
“Wafiq! Bangun!”
Erm...” Wafiq tersedar apabila dikejutkan Haidar
tetapi kepalanya terasa amat berat. Setiap sendi dirasakan
mencucuk-cucuk. Hendak menjawab pertanyaan Haidar juga
terasa payah.
“Kenapa ni? Tidur atas katillah.” Haidar menarik
tubuh Wafiq supaya bangun. Kesal hatinya. Seolah-olah
kerana dia menumpang katil Wafiq, Wafiq pula terpaksa tidur
di lantai. Dia rasa bersalah.
Wafiq tidak membantah apabila dipapah Haidar ke
katil. Cuma dia rasa sangat tidak berdaya pagi ini seperti tidak
bertulang. Dan sebaik sahaja tubuhnya menyentuh tilam, dia
terus hanyut dibawa mimpi.
“Panasnya badan kau. Berapi!” Haidar perasan
sewaktu memapah Wafiq tadi. Meskipun sampai ke saat
ini dia masih tidak faham apa yang telah berlaku, dia lebih
bimbangkan keadaan Wafiq.
Kali ini Wafiq langsung tidak berbunyi, sebaliknya
menarik kakinya ke dada lalu mengerekot kesejukan.
Melihatkan keadaan Wafiq begitu, Haidar yakin telahannya
benar. Lalu dia menyelimutkan tubuh Wafiq dari kaki hingga
ke leher sebelum bergegas ke bilik air.
Selesai sahaja mandi, Haidar terus menuju ke dapur
mencari Zuwaidah.

“TUAN WAFIQ dah bangun?” Zuwaidah menegur Haidar yang
baru tiba di meja makan. Dia yang menyambut kedatangan
Haidar pada malam tadi. Dan dia sudah jangka Haidar akan
bermalam di situ. Itu perkara biasa di rumah ini. Tuan Badruz
tidak akan membenarkan Haidar tidur di hotel.
“Wafiq demam.” Haidar terus memberitahu. Dia
harap Zuwaidah akan melakukan sesuatu.
“Tuan Wafiq demam?”
Zuwaidah tergamam beberapa saat. Perasaan
keibuannya tersentuh. Baru 2 hari Tuan Badruz meninggal,
Wafiq sudah demam. Mungkin Wafiq terlalu tertekan, malah
sudah mula melihat hal-hal aneh.
“Panggilkan Uncle Bashir.” Haidar menambah.
Biasanya kalau ada sesiapa yang sakit dalam keluarga ini,
yang dipanggil ialah doktor itu yang juga merupakan sahabat
Tuan Badruz.
Arahan Haidar terus dipatuhi Zuwaidah. Dia
bergegas mencari telefon. Telefon bimbit Doktor Bashir
dihubungi tetapi tidak berjawab. Dia meninggalkan pesanan
dalam voice mail.
“Tuan doktor tak angkat. Tapi sekejap lagi mak cik
telefon semula.”
“Hantar sarapan untuk Wafiq.” Haidar membalas.
Risau hatinya melihat keadaan Wafiq tadi.
“Mak cik masakkan bubur. Tapi Tuan Wafiq dah
bangun ke?”
“Tadi tidur semula.” Haidar mengeluh.
“Tuan makan dulu. Nanti berjangkit pula
demamnya.” Zuwaidah tersenyum tenang.
Haidar duduk di meja makan tetapi tanpa Wafiq, dia
rasa hilang selera untuk menjamah apa-apa. Akhirnya dia
hanya mencuit sedikit apa yang ada sekadar mengalas perut.
Mujurlah pada pukul 10 pagi, Doktor Bashir sampai di rumah
itu.

“DEMAM PANAS.” Doktor Bashir memaklumkan kepada
Haidar dan Zuwaidah yang menunggu di pintu bilik Wafiq.
Wafiq masih terbaring di atas katil. Masih berselimut dari
hujung kaki hingga ke leher seperti tadi.
“Saya harap keadaan dia tak begitu teruk.” Haidar
mahukan kepastian kerana belum ada tanda-tanda Wafiq
beransur sembuh. Dia bimbang keadaan berubah sebaliknya
walhal setahunya Wafiq jarang jatuh sakit.
“Buat masa ini dia cuma demam panas. Tapi tolong
paksa dia makan ubat ikut dos dan masa yang telah saya
tetapkan.” Doktor Bashir memandang Zuwaidah kerana
semua orang tahu perangai Wafiq yang susah makan ubat
sejak kecil sehingga perlu dipaksa ayahnya. Dia keluarkan
ubat demam dari dalam beg lalu menulis dos yang diperlukan.
Zuwaidah mengangguk lemah.
“You too, Haidar. Kalau dia degil, you cuba pujuk.”
Giliran Haidar pula direnung lama oleh Doktor Bashir.
“Okey.” Haidar angguk. Dia sedar kewajipannya.
“Selain tu, doktor?” Zuwaidah bertanya.
“Tekanan darahnya tinggi sikit tapi normal sebab dia
sedang demam. Batuk dan selesema tak ada. Tapi kita kena
pantau keadaan dia beberapa hari ni. Kalau tak bertambah
baik atau bertambah teruk, tolong cepat telefon saya.” Doktor
Bashir membalas. “Juga jangan lupa paksa dia makan dan
minum air kosong banyak sikit.”
Haidar mengeluh halus. Semua pesanan Doktor
Bashir buat dia sedar yang keadaan sudah berubah. Kalau
dulu, semuanya mudah kerana Tuan Badruz masih ada.
Kerana sedegil-degil Wafiq, tetap akan kalah apabila berdepan
dengan ayahnya.
“Kita semua sayang Wafiq, right?” Doktor Bashir
tutup beg yang dibawa setelah meninggalkan ubat di atas
meja. “Then, kita semua kena perhatikan dia.”
Tidak ada sesiapa yang menjawab. Baik Zuwaidah
mahupun Haidar. Apa yang mahu ditekankan oleh Doktor
Bashir itu memang betul.
Setelah Doktor Bashir beredar, Zuwaidah menoleh
ke arah Haidar.
“Sejak bila dia demam? Kenapa tak kejutkan mak cik
malam tadi?”
Haidar berubah air muka.



No comments:

Post a Comment