SYED Haidar mendukung Cik Mafia masuk ke dalam klinik. Dia sedar ada
beberapa pasang mata yang memandang. Namun sebaik sahaja terlihat kecederaan
Cik Mafia, mereka tak ambil peduli seakan-akan faham dengan situasi yang
dihadapi. Wajarlah kalau dia mendukung orang yang tercedera. Sebaik tiba di
kaunter pendaftaran, dia perasan kaunter itu kosong, tiada jururawat.
“Apa yang kau tercegat ni? Baik kau turunkan
aku. Kalau tak aku tumbuk karang!”
Syed Haidar memandang Cik Mafia. Dari tadi
asyik ugut nak tumbuk saja. Badan kecil, muka comel tapi ganas ya amat. Dia
perasan ada tahi lalat halus di bawah kening sebelah kiri gadis itu. Terletak
cantik hampir ditutupi bulu kening. Kenapa tadi dia tak nampak tadi? Comel
sangat. Dah kenapa pula dia asyik sebut comel?
“Cepat turunkan aku. Aku boleh daftar
sendiri!”
Sibuk menilik kening Cik Mafia, Syed Haidar
terleka. Cepat-cepat dia menurunkan gadis itu
sebelum dia kena tumbuk betul-betul. Seorang jururawat muncul dan menghadiahkan
senyuman. Namun riak muka jururawat itu tiba-tiba berubah. Syed Haidar angkat
tangan.
“Sempat lagi nak menggatal. Pergi duduk sana.”
Syed Haidar membiarkan Cik Mafia berjalan
berdengkot-dengkot ke kaunter pendaftaran. Orang sombong tak perlu ditolong.
Dia duduk di kerusi menunggu. Matanya melihat gadis seperti lelaki itu berjalan
ke arahnya. Dibuat tak tahu. Sudah selesai dengan pendaftaran agaknya. Syed
Haidar keluarkan telefon bimbit. Tentu mamanya risau kenapa dia masih belum
pulang.
“Orked Adelia... sila masuk bilik satu.”
Kedengaran jururawat memanggil nama seseorang.
Mata Syed Haidar masih melekat pada skrin handphone.
Sedang berbalas WhatsApp dengan Datin Hanis. Saat dia risaukan Suhaila, dugaan
lain yang timbul. Pengumuman tadi dia tak ambil peduli. Pesakit lain agaknya.
“Orked Adelia, sila masuk bilik satu.”
Jururawat mengulangi pengumuman sekali lagi. Kali ini dengan nada lebih keras.
Syed Haidar mengangkat kepala. Jururawat yang
memanggil nama Orked memandangnya dengan senyuman pelik sambil ibu jari
menunjuk ke arah gadis di sebelahnya. Baru dia perasan hanya dia dan Cik Mafia
yang sedang menunggu giliran. Ditoleh sebelah memandang gadis itu. Melihat pandangan
tajam Cik Mafia, dia terfikir sesuatu. Takkanlah...
“Gelaklah kalau berani. Rongak gigi depan tu kang!”
Cik Mafia angkat kening sebelah dengan muka garangnya. Matanya disepetkan.
Syed Haidar tutup mulut. Janganlah Cik Mafia
ni tumbuk dia di sini. Hilang ketampanannya nanti. Gadis ini
pun satu, tak reti ke cakap elok-elok.
“Papah aku cepat! Nanti lambat-lambat nurse
marah pulak.”
“Tadi elok je boleh jalan sendiri.”
Syed Haidar tak puas hati.
“Kaki aku dah sakit sebab banyak berjalan
tadi. Jangan banyak cakap boleh tak. Cepat papah aku!”
“Baik Cik Orked.” Syed Haidar menurut arahan
gadis itu. Dia memapah tubuh kecil molek itu menuju ke bilik rawatan.
“Orked Adelia... hmm... cantik nama
tu,” gumam Syed Haidar. Senyuman terukir di bibir.
“Panggil aku Del. Aku tak suka nama Orked!”
Orked mendengus. Mujur dia sedang sakit. Kalau tidak memang kena pijak kaki mamat
handsome ini.
“Nama Orked cantik,” ujar Syed Haidar yang
tidak mahu mengalah. Dia suka nama Orked. Unik dan menarik.
“Kalau kau mengada-ada panggil aku Orked...
bukan setakat gigi rongak, aku simbah asid kat muka kau nanti.”
Syed Haidar sengih sekilas. Nama dah cukup
cantik. Rupa pun boleh tahan tapi sayang mulut berbisa. Garang sungguh! Rasa
tak sesuai nama Orked dengan Cik Mafia ni. Tuan punya badan langsung tak ada
ciri-ciri sekuntum bunga. Perangai tak cantik.
“Aku pernah nampak muka kau ni. Tapi kat mana
ya?” Orked kerutkan dahi. Sejak tadi dia rasa muka lelaki yang melanggarnya
macam biasa nampak. Tapi dia tak rasa dia kenal lelaki itu. Puas dia berfikir
di mana dia pernah nampak.
“Dalam mimpi agaknya...” Syed Haidar menjawab.
Mereka sudah berada di depan bilik rawatan.
“Aku mimpikan kau? Kirim salamlah. Muka bukannya
handsome sangat. Apek jual sayur lagi handsome.”
“Tak kisahlah aku handsome ke tak.
Bukannya kita akan bercinta. Sekarang tutup mulut, cuba jadi budak baik. Kita
nak jumpa doktor ni.” Syed Haidar memulas tombol dan menolak pintu. Dia memberi
laluan agar Orked masuk dahulu. Kemudian dia bantu Cik Mafia duduk di kerusi.
“Encik tolong lipatkan kaki seluar isteri
encik.”
Arahan doktor membuatkan Syed Haidar
terpinga-pinga. Ada rupa suami isteri ke mereka ni? Doktor ni tak nampak ke
muka matang dia dan muka kanak-kanak Orked? Lagipun tak mahulah dia berjodoh
dengan mafia acah-acah macam Orked ini.
“Dia bukan suami saya doktor. Dia penjahat
yang langgar saya.” Selamba saja Orked menyebut. Matanya sengaja menjeling Syed
Haidar yang sedang berdiri berpeluk tubuh di sebelahnya. Dah tahu tak ada
kena-mengena cepatlah keluar. Sibuk berdiri kat situ buat apa!
“Kalau macam tu sila tunggu di luar ya.”
Syed Haidar mengangguk dan terus keluar dari
bilik rawatan dengan hati membengkak. Sesuka hati saja Cik Mafia panggil dia
penjahat.
Setelah pintu bilik rawatan ditutup, seorang
jururawat datang membantu doktor. Orked membiarkan jururawat melipat seluarnya.
Manakala seorang lagi jururawat menyediakan keperluan untuk mencuci luka.
“Tak sangka kan Syed Haidar versi live lebih
handsome dari yang kita tengok kat TV. Fuhh, boleh ‘meletup
ovari’ ni.” Jururawat yang mencuci luka Orked membuka mulut.
“Syed Haidar tukang masak tu ke? Memang handsomelah.
Lepas ni nak minta selfie dengan dialah. Agak-agak dia sombong tak?” Seorang
jururawat lagi
menyampuk.
“Saya ni doktor. Saya tak boleh nak bayangkan
macam mana ovari meletup. Tapi memang betul-betul dia handsome.” Si
doktor pula menyampuk perbualan.
Orked menutup mulutnya ketat-ketat dan
membiarkan telinganya bekerja. Mendengar perbualan daripada orang yang
merawatnya dengan teliti. Dia pernah dengar nama Syed Haidar. Rasanya ada
antara kawan-kawan sekolah dia yang sangat meminati Syed Haidar. Tukang masak
terkenal yang pernah muncul di kaca televisyen. Dengarnya lebih terkenal di
luar negara. Perangai serupa penjahat itu yang orang kagum? Bagi dia memang
taklah nak kagum segala bagai.
“Okey, dah selesai Cik Orked. Nanti saya akan
minta nurse panggilkan Syed Haidar.” Doktor melipat kembali kaki seluar
Orked.
“Takpelah, saya boleh keluar sendiri.”
Orked bangun perlahan-lahan. Agak sakit luka di lututnya. Dia harus belajar
berjalan sendiri tanpa perlu bantuan orang lain, terutama penjahat yang
melanggarnya tadi. Perlahan-lahan dia keluar dari bilik rawatan. Jururawat tadi
membukakan pintu untuknya keluar.
“Cik Orked.” Syed Haidar segera mendapatkan
Orked sebaik sahaja pintu dibuka.
“Aku boleh jalan sendirilah.”
“Kejap minta papah, kejap nak jalan sendiri...
banyak ragam betul.” Syed Haidar mengekori Orked. Melihat kegigihan gadis itu
berjalan perlahan sambil berdengkot-dengkot dia rasa geram. Lebih bagus kalau
dia tolong. Cepat sikit sampai ke tempat duduk.
Orked beriak biasa. Dia tidak membalas
kata-kata Syed Haidar. Malas mahu bergaduh dengan lelaki kacak idaman seantero
dunia itu. Bukan dia tak perasan jururawat
di kaunter pendaftaran sibuk mengambil gambar
lelaki itu.
“Betul ke kau boleh jalan sendiri ni?” Syed
Haidar jadi risau pula.
“Kau ingat aku ni lemah sangat sampai tak
mampu nak jalan sendiri? Nak tunjuk hero dukung aku dengan jarak sekangkang
kera ni? Simpan angan-angan nak jadi hero tu dalam poket!” Orked bersuara.
Kenapalah penjahat ni sibuk nak tunjuk sikap gentleman dia.
Orked melangkah dengan agak perlahan. Bukan
jauh sangat jarak bilik rawatan dengan tempat menunggu. Namun dengan kesakitan
yang dia tanggung, terasa seperti jauh sangat.
“Orked Adelia, sila ambil ubat.”
Setelah memastikan Orked betul-betul duduk
dengan selesa, Syed Haidar menghampiri kaunter ubat. Dia mengambil ubat sekali
gus membuat pembayaran.
Orked memerhatikan Syed Haidar yang sedang
tersenyum dan sekali-sekala ketawa. Lelaki itu kelihatan sangat ramah. Tiada
rupa penjahat pun. Mulut dia saja yang gatal nak panggil penjahat.
Dia tahu Syed Haidar seorang selebriti
terkenal dan dia kagum kerana lelaki itu sanggup melayan peminatnya di sini.
Alangkah bagusnya kalau dia punyai abang yang bertanggungjawab seperti Syed
Haidar. Hendak jadikan kekasih, sudah tentu lelaki itu tak akan memandangnya.
Awal-awal lagi mereka sudah bercakaran.
‘Haish... kenapa pula aku melalut
sampai bab kekasih ni? Aku muda lagi kut!’
“Cik Orked... dah sampai mana ni?”
Teguran Syed Haidar membuatkan Orked terkejut.
Leka memikirkan sesuatu hingga tidak perasan lelaki itu sudah berdiri di
sebelahnya. Bungkusan plastik berwarna
putih di tangan selebriti itu bertukar
pemilik.
“Dah sampai London kut, jumpa Daniel Craig,”
jawab Orked selamba.
“Daniel Craig... awak minat James Bond ke?
Biasanya orang muda macam Cik Orked ni minat Daniel Radcliff atau paling tidak
Robert Pattinson. Kenal kan siapa Robert Pattinson.”
“Tak kenallah siapa Robert Pattinson...” Orked
langsung tak berminat nak berbual dengan Syed Haidar tapi lelaki ini makin
galak pula mengajak. Dia bukan makhluk planet Marikh yang tak kenal puntianak handsome
tu. Sengaja jawab tak kenal. Malas nak layan.
“Nampaknya orang lebih kenal Edward Cullen
berbanding nama sebenar dia. Kesian dia... Cik Orked tak minat dia?” Syed
Haidar masih tegak berdiri di sebelah Orked. Sebenarnya dia menunggu gadis itu
bangun. Kurang elok jika dia memaksa pula. Risau jika Cik Mafia mahu berehat
lagi.
Orked menyepetkan mata. Tak faham bahasa
betullah lelaki ini. Tak boleh ke mereka cepat-cepat keluar dari situ. Nanti
timbul gosip-gosip liar pula.
“Kalau aku minat dia pun apa yang aku dapat?
Dia bukan kenal aku pun.” Jari-jemari Orked bermain-main di sekitar lututnya.
Dah terkorban sehelai seluar jeannya. Hendak beli yang baru memang dia tidak
mampu. Kalau dia suruh lelaki ni ganti seluar dia logik tak? Sudi tak agaknya
lelaki ini tunaikan permintaannya?
“Jom, kita beli seluar baru.”
“Hah?” Orked angkat muka melihat Syed Haidar.
Curiga seketika. Lelaki itu pandai baca fikiran orang ke? Baru saja terlintas
dalam fikirannya hendak minta ganti, lelaki itu sendiri yang pelawa.
Serta-merta senyuman diukirkan. Penjahat yang budiman.
“Baju
aku pun ganti sekali tau.” Orked memaut lengan Syed Haidar. Dia perlukan
bantuan lelaki itu untuk bangun. Lututnya agak sakit selepas menerima rawatan
tadi.
“Ewahhh... suka hati ketuk saya.
Rasanya seluar je yang rosak. Baju tak ada masalah pun.” Mata Syed
Haidar memerhatikan T-shirt Orked. Baru dia perasan pakaian gadis itu
agak lusuh. Tangan Orked pula sedang elok melingkar di lengannya. Seperti
pasangan kekasih pula.
Orked sudah pun tegak berdiri dan lengan Syed
Haidar masih dipeluk kemas olehnya. Pandangan mata selebriti itu buat dia tak
selesa. Tipikal lelaki kaya akan pandang perempuan miskin dengan pandangan
jelik.
“Shopping baju sehelai pun kedekut.
Minda aku terkejut sebab kena langgar tadi. Jadi aku tuntut ganti rugi terapi
minda. Ada faham?” Mata Orked tajam menikam anak mata Syed Haidar. Terasa dia
sangat kerdil di sisi lelaki itu.
“Terapi minda apanya. Otak awak bergegar ke
sampai perlukan terapi minda segala bagai.” Seronok pula berlawan kata dengan
Cik Mafia ni. Comel bila wajah itu marah. Syed Haidar sembunyikan senyum.
“Weh... kau nak tapak kaki kiri atau kaki
kanan? Tak sabar nak tengok muka handsome kau ada cap tapak kasut.”
Orked ketap bibir geram. Dia berjalan perlahan mengikut rentak kaki Syed Haidar
keluar dari klinik.
“Nak cium pipi pun tak sampai. Ada hati nak bagi
tapak kaki. Katik tu buatlah cara katik. Tak sedar diri pulak. Kelakar
betullah...” Syed Haidar ketawa perlahan. Geram pun nampak comel.
“Apa ni sebut benda mengarut depan budak
kecik. Ini sudah lebih... tak dapat kaki aku bagi je tapak kasut. Apa
susah. Rasanya tangan aku masih mampu nak cabut kasut lepas tu capkan kat muka
kau tu.”
“Hamboi... garang!” Syed Haidar
membukakan
No comments:
Post a Comment