“COME here, Dee...” gamit Puan Shamila. Tubuh Dee diraih ke dalam
pelukan. “Janganlah sedih. Mama pergi 15 hari je... Pejam celik, pejam
celik mama dah balik,” pujuknya seraya mengeratkan pelukan.
“15 hari tu lama, ma. Mama dengan
papa mana pernah pergi bercuti lama macam ni? Selalunya kejap-kejap je,”
ngomel Deja manja. “Dan selalunya, papa mesti bawak kita orang semua
pergi bercuti sekali.”
“Ni kan kali pertama mama dengan papa
nak pergi bercuti ke luar negara berdua. Bagilah peluang kita orang pergi holiday
lama sikit... Lagipun, papa dah lama janji dengan mama nak bawak mama
bercuti ke Eropah, just the
two of us.” Encik Fahmi pula bersuara. Kepala
Deja yang masih dalam dakapan isterinya diusap perlahan. “Ni hadiah ulang tahun
papa kepada mama.” Encik Fahmi tersenyum ke arah isterinya.
“Hesy, budak ni. Tepilah! Angah pun
nak peluk mama jugak! Karang banjir pulak KLIA ni,” rengus Irfan
dalam nada gurauan. Drama queen betul si Deja ni tau! Manja!
“Ma... tengoklah angah ni. Bila mama takde
nanti, angah mesti suka-suka hati buli Dee!” adu Deja memancing simpati
daripada mama dan papanya.
Puan Shamila merungkaikan pelukan.
Wajah si anak manja diusap perlahan.
“Dee jaga diri tau. Kerja elok-elok,
jangan nakal-nakal ya?” pesannya. “Jangan balik lambat!”
Kepala Deja mengangguk. Riak sedih menghiasi
wajah.
“Along, papa serahkan tanggungjawab
untuk jaga adik-adik semua pada along. Ingat semua yang papa pesan sebelum ni?”
Encik Fahmi memandang ke setiap wajah anak lelakinya. Matanya mencari kepastian
daripada mata Aidan, Irfan serta Nazran.
Masing-masing mengangguk.
“Ya, pa. Kita orang ingat,” jawab
Irfan bagi pihak yang lain.
Wajah Deja sudah berkerut. Papa ada
beri pesanan ke? Kenapa dia tak tahu pun? Kenapa papa tak beritahu dia apa-apa?
“Dah, jangan buat muka tak puas hati
macam tu,” tegur Encik Fahmi sebaik melihat wajah Deja. “Ni, papa pun ada
pesanan untuk Dee. Malam tadi papa nak bincang dengan Dee, tapi Dee dah tidur.
Pagi tadi pulak, Dee dah sibuk nak pergi ofis.”
“Oh...”
“Dee... semua yang berkenaan dengan
Dee, papa dah serahkan pada Uncle Ismail, kawan yang paling rapat dengan
papa kat firma tu. Papa pun dah jelaskan semuanya pada along. Dee tak payah
risau tentang masa depan Dee... It’s all taken care of.”
“Pa! Apa ni? Tu semua tak penting pun
pada Dee,” tangkis Deja. Bukan dia tak tahu tentang kewujudan tabung amanah
yang ditinggalkan oleh arwah babanya yang selama ini diuruskan oleh Encik
Fahmi. Dia tahu, tapi baginya, tu bukanlah suatu keutamaan dalam hidupnya.
Kasih sayang yang dicurahkan oleh Encik Fahmi sekeluarga, dan semua tanda mata
peninggalan arwah orang tuanya sudah lebih daripada mencukupi untuknya. Dia tak
perlukan apa-apa lagi. Sumpah!
“Tak penting bagi Dee, tapi tu tetap
amanah yang arwah baba tinggalkan untuk Dee. Semuanya akan jadi milik Dee bila
Dee berumur dua puluh lima tahun nanti. Dee tahu kan?” pesan Encik Fahmi untuk
sekian kalinya.
“Tahu...” jawab Deja meleret.
“Apa pun terjadi, kita orang semua
dah jadi keluarga Dee. Dan kalau apa-apa terjadi pada mama dan papa...”
“No!” cantas Deja sedikit
kuat. “Dee tak nak dengar papa cakap macam tu. Takde apa-apa pun yang
akan terjadi pada mama dan papa!”
Encik Fahmi tersenyum. Bahu Deja
dirangkul lalu ditarik rapat ke dadanya.
“Dee kena dengar jugak,” desak
Encik Fahmi dengan suara yang lunak. Mata Deja ditatap. “Kalau apa-apa jadi
pada papa atau mama, along akan bertanggungjawab.”
Deja menggelengkan kepala. Pautan di
bahunya semakin kuat. Tidak mengizinkan Deja melepaskan diri.
“Listen to me, Dee. Listen!” Nada
Encik Fahmi berubah tegas.
Mata ditongkat lemah ke wajah Encik
Fahmi.
“Percayakan along. Trust him! Promise
me!”
“Pa?” Deja terpinga-pinga tidak
mengerti.
“Promise me, Dee. Trust along!”
ulang Encik Fahmi sekali lagi. Matanya tidak lepas daripada mata Deja yang
jelas keliru.
Deja mengalihkan mata. Terkedu dengan
pandangan daripada Aidan yang memandangnya dengan begitu... begitu dalam. Tidak
pernah Aidan memandangnya begitu. Dia tak mengerti. Apa semua ni?
“Dee... Dee janji, pa...” Terlafaz
juga janji di bibir Deja. Demi papanya.
Encik Fahmi menghela nafas lega. Dia
tersenyum lalu mengerling ke arah isterinya. Dia mencari mata Aidan pula.
Pandangan mereka bertaut. Isyarat yang dihantar tanpa suara difahami sepenuhnya
oleh mereka berdua.
“Pa, ahli tour group yang lain
dah nak masuk tu,” Nazran bersuara. Sejak tadi dia cuma menjadi pemerhati.
Mendengar papanya memberikan pesanan seolah-olah ini kali terakhir mereka akan
berjumpa. Hati Nazran berbisik rasa yang kurang enak namun lekas-lekas dia
menepis rasa itu.
Aidan mengutip bagasi kecil dari atas
lantai. Tangkai bagasi dihulurkan kepada Encik Fahmi. Tangan kanan Encik Fahmi
diraih lalu dicium. Seketika kemudian dia memeluk erat papanya. Aksi yang sama
dilakukan kepada Puan Shamila. Lama Aidan memeluk mamanya.
“Jaga diri, ma. Along sayang mama.”
Deja sudah mahu menangis. Pertama
kali dalam hidup dia akan ditinggalkan serentak oleh mama dan papanya untuk
suatu jangka masa yang lama. Selalunya, kalau papa perlu ke mana-mana demi
tugasnya, tidak pernah lebih daripada tiga hari.
Giliran Irfan dan Nazran pula
menyalami dan memeluk papa serta mama mereka. Begitu juga dengan Deja.
“Jaga diri ma...” pesan Deja meniru
kata-kata Aidan. “Dee pun sayang sangat kat mama dan papa!”
Puan Shamila memaut lengan suaminya.
Senyumannya manis dan cahaya kebahagiaan yang terpancar daripada wajahnya
nampak berseri-seri. Mereka berbalas lambaian. Deja tidak mahu berganjak dari
balai pelepasan sehingga kelibat papa dan mamanya sudah hilang masuk melewati
kaunter imigresen.
“I miss them already...”
rengek Deja.
Irfan memaut bahu Deja.
“Dah, jom balik. Esok kerja...”
Tajam pandangan yang dilontar oleh
Aidan ke arah Irfan sebelum matanya berlabuh ke tangan yang melingkar di bahu
Deja. Irfan mengerti. Perlahan-lahan, agar tidak begitu ketara, dia melepaskan
pautannya. Sambil berjalan, Deja kini sibuk berbual dengan Nazran. Mereka
berjalan menuju ke kawasan parkir. Irfan mengeluh dalam hati. Bibir sudah
bergerak menyebut ‘sorry’ kepada Aidan.
Aidan mengangguk. Yakin yang Irfan
masih ingat akan bicara Aidan dua malam yang lalu.
“Kau cakap pada Rina pasal Dee?”
terjah Aidan pada malam itu. Walaupun Deja telah melarang dirinya untuk berkata
apa-apa tentang perkara ini pada Irfan, namun larangan itu tidak mahu
diendahkan. Dia perlu tahu sebab Irfan bermulut tempayan tiba-tiba, sedangkan
selama ini mereka amat prihatin dalam menjaga hati Deja, terutamanya yang
berkaitan dengan isu sensitif seperti ini.
Berubah riak Irfan. Keluhan berat
dilepaskan.
“Aku tak sengaja, long... Aku
terlepas cakap.”
“Talk!” arah Aidan inginkan penjelasan
adiknya.
“Reen nampak gambar famili kat dalam phone
aku. Dia tanya kenapa Dee lain sangat daripada kita tiga beradik? Kita
bertiga kulit Melayu, tapi Dee putih melepak. Hidung mancung semacam. Takde rupa
mama atau papa pun. Lepas tu... lepas tu aku terlepas cakap yang dia anak
angkat papa dan mama.” Irfan menguatkan ‘ter’ ketika mengungkap perkataan
‘terlepas’ itu.
Aidan mempamerkan riak kecewa.
“Tapi, long... aku yakin dengan Reen.
Dia takkan cakap pada sesiapa pun. Aku percayakan dia.”
“Yakin? Percaya?” Aidan mendengus.
“Dia dah ungkit pun pasal Dee. Kau tahu tak?”
“Aku tak percaya. Kau dengar sendiri
ke, long?” soal Irfan.
“Tak. Aku tak dengar sendiri. Tapi
malam semalam, dia ada cakap sesuatu pada Dee. Lepas tu Dee macam nak nangis.”
“Dee tak cerita pada kau ke?”
Aidan menggeleng.
“Aku yang tanya Dee sendiri.”
“Mungkin Dee salah faham. Reen tu
takkan cakap apa-apa untuk sakitkan hati Dee sebab Reen tahu aku sayang gila
pada Dee.” Bersungguh-sungguh Irfan mempertahankan si buah hati.
“Ngah... jangan butakan mata kau
dengan cinta. Aku tahu kau dengan Rina dah serius, tapi tolong jaga rahsia
keluarga kita. Jaga hati Dee!”
“Aku tahu, long. Aku tahu. Aku
terlepas cakap. It won’t happen again. Nanti aku minta penjelasan
daripada Reen.”
Aidan mengangguk sekali. Berpuas hati
dengan Irfan yang tidak menidakkan kesalahan sendiri.
“Lagi satu aku nak cakap kat kau...”
keluh Aidan berat. Agak sukar untuk dia menyuarakan apa yang tersemat di hati.
“Patutnya dari dulu lagi aku cakap pasal ni, tapi aku tak sampai hati...”
“Apa long?”
“Walaupun kita tak pernah nak cerita
pada orang luar tentang siapa diri Dee yang sebenar, dia sebenarnya bukan adik
kandung kita. Haram untuk kita sentuh dia, ngah, apa lagi kalau peluk dan cium
dia...”
Berubah riak Irfan.
“Aku tahu, long... tapi aku tak
boleh... Aku tak boleh kalau tak peluk dia sebab aku sayang sangat kat dia.
Dalam hati aku ni, dia adik aku dunia akhirat. Demi Allah, long, aku tak pernah
bernafsu setiap kali aku peluk dia. Tak pernah!” Beria-ia Irfan menuturkan
kata.
“Tapi apa yang kita buat selama ni
tak betul, ngah... Aku dah lama berhenti...” tutur Aidan perlahan.
Irfan mengangguk. Dia perasan akan
perubahan Aidan suatu ketika dahulu, namun tidak pernah mahu bertanya. Takut
jawapan Aidan akan menghenyak segunung beban kesalahan ke bahunya... seperti
yang dirasakan kini.
“Aku tengok papa pun masih macam
dulu. Jadi aku pun buat-buat tak tahu...” Irfan beralasan. “Bukan aku tak
perasan kau dah tak mesra macam dulu dengan Dee, tapi aku pilih untuk tak
nampak... sebab aku tak nak kehilangan kemesraan yang dah terjalin sejak Dee
kecik lagi.”
“Aku faham, ngah. Aku faham. Tapi
sampai bila? Umur kita dah semakin meningkat. Kalau kita tak berubah sekarang,
sampai bila-bila pun kita takkan berubah... dan yang salah tu tetap salah,”
tegur Aidan lagi.
Terdiam Irfan jadinya. Perkara ini
sensitif. Amat sensitif. Antara hukum halal dan haram, dengan ingin menjaga
hati dan perasaan si adik kesayangan, mana yang perlu diutamakan?
“Betul cakap kau long. Patutnya dari
dulu lagi kita sedar tentang perkara ni. Dari waktu Dee mula baligh dulu.
Sekarang nak mulakan, aku takut dia kecik hati. Dia mesti tanya, kenapa
sekarang? Kenapa tak dari dulu?”
“Buat pelan-pelan. Kalau kau nak
sentuh dia secara berlapik, mungkin aku boleh pejam mata lagi. Tapi kau nak
peluk dan cium dia, aku tak nak tengok lagi!” Tegas kata dua daripada Aidan.
“Bukan mudah, long...”
“Aku tahu... aku pernah laluinya
dulu...” akui Aidan lemah.
Mudah? Sudah semestinya tidak. Ketika
itu, hanya Allah yang mengerti perasaannya yang berkecamuk. Dia seolah-olah
melalui fasa ‘withdrawal syndrome’, atau sindrom tarikan akibat terpaksa
meninggalkan semua yang biasa yang pernah dilakukan terhadap Deja dulu.
Mengusap kepala gadis itu, memeluk serta mencium ubun-ubun atau pipi Deja sudah
menjadi suatu tabiat. Tabiat yang selamat, tetapi tiba-tiba dan tak
disangka-sangka, bertukar menjadi sesuatu yang merubah segala-galanya buat
Aidan.
Kini hati terasa ringan sedikit sudah
berbicara empat mata dengan Irfan. Irfan pun nampaknya ingin mencuba, walaupun
sukar, namun nampak keinginan pada diri adiknya itu untuk berubah.
Alhamdulillah... Cuma satu! Doanya, hati Deja akan terpelihara tanpa sebarang
luka akibat kesedaran yang kini melanda mereka.
Semoga Deja mengerti bahawa semua
yang dilakukan ini merupakan sesuatu yang betul. Bukan kerana mereka tidak
sayang lagi pada Deja... tetapi kerana mereka terlalu sayang akan Deja dan tidak mahu Deja
jauh daripada kebenaran.
Selepas ini, dia akan cuba berbincang dengan
Nazran pula. Insya-Allah, semuanya akan baik-baik saja...
No comments:
Post a Comment