DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 11 April 2018

MR & MRS LIAR - BAB 5



SEHARI dua itu aman hidup Tania. Putra tidak lagi datang mencarinya. Hanya mereka sering berkirim mesej. Itu lebih baik memandangkan dia perlu menyediakan proposal yang diminta oleh emak saudaranya itu.
Tidak begitu mahir dengan projek besar, Tania mula sibuk mencari bahan rujukan. Penuh mejanya dengan timbunan buku dan dokumen lama.
Bip! Tania mengalihkan pandangan ke arah telefonnya. Skrinnya berkelip sekali. Lambat-lambat dia mencapainya.
Sayang... buat apa?
Sudah diagaknya. Putra sudah pasti tidak akan membiarkan dia hidup aman tanpa setiap pertanyaan seolah-olah dia budak kecil yang tidak tahu menguruskan hidup sendiri. Datang satu lagi mesej ketika Tania masih ralit merenung laman perbualan mereka itu.
I nak dengar suara you, sayang. Dah lama tak kena marah dengan you. Sunyi hidup I.
Tania merengus perlahan. Belum sempat dia menjawab mesej itu, Putra sudah menghubunginya melalui panggilan video. Mahu tidak mahu Tania menjawab juga.
Ahh... dapat jugak tengok you walaupun dari jauh.”
“Nak apa? Cakaplah cepat!” rengus Tania sambil tertunduk-tunduk di sebalik dokumen yang bersusun di hadapannya.
“Kenapa you berbisik ni?” ucap Putra pelik dengan gelagat Tania yang kelam-kabut semacam.
“Tak ada apalah. Cakaplah cepat. You nak apa?”
“Hari ni I nak lunch dengan you. I ambil you sekejap lagi ya?” ujar Putra lantas menyeringai di skrin itu.
“Janganlah!” rengus Tania tidak senang. Kamil sepanjang hari ini asyik melekat di pejabat. Dia risau.
“Apa yang jangan? Kalau you tak senang time lunch nanti apa kata kita dinner bersama?”
Tania diam seketika. Lebih mudah mengelak daripada Kamil jika dia berada di rumah kerana Kamil tinggal di rumah sendiri.
“Okey, malam nanti.”
“I tunggu you di tempat biasa pukul 8 setengah. Kalau you tak datang, I ketuk pintu.”
“You ni kalau tak ugut-ugut I, tak sah, kan?” bentak Tania dalam nada tertahan. Putra menyeringai lagi.
Cute bila you marah-marah I macam ni,” ucap Putra dengan tawa kecil.
“Nia...” Tania tersentak namanya dipanggil dari
pintu biliknya. Spontan dia menutup skrin telefon itu dengan helaian kertas di atas mejanya.
“Ya, ya... ada apa?” balas Tania lantas memanjangkan leher ke arah ambang pintu.
“Buat apa?” tanya Kamil dengan kerutan di kening.
Err... tengah semak proposal lama ni,” jawab Tania sambil mengawal reaksi wajahnya.
“Abang lalu kat depan ni tadi. Dengar suara Nia bercakap. Cakap dengan siapa?”
“Tak adalah. Nia menyanyi tadi,” jawab Tania bersungguh.
Kamil mengangguk dengan kerutan di kening. Tak dengar macam menyanyi pun. Sudahnya dia keluar semula dari situ.
“Ada apa lagi?” bisik Tania setelah dia mengalihkan kertas dari atas telefonnya.
“Kamil?” tanya Putra. Mahu tahu siapa yang bercakap dengan Tania tadi.
“Ya.”
“Takkanlah sekadar bercakap dalam telefon pun Kamil sibuk nak tahu?” ujar Putra benar-benar tidak senang dengan nama itu.
“You tak faham apa masalah I!”
“I tahu you dikawal keluarga. Tapi ini luar biasa, Nia. You bukannya budak darjah satu.” Putra membalas segera. Ayahnya juga suka mengongkong. Tetapi tidaklah sampai begini sekali.
“Dahlah. I malas nak cakap banyak pasal tu.”
I’ll see you tonight, baby...” balas Putra akur juga dengan ketidakterbukaan Tania akan hal keluarganya.
Sekurang-kurangnya dia tidak ingin berbual tentang itu di dalam telefon.
“Yalah. Dahlah tu!” Tania segera mematikan talian.
Petang itu, ketika dalam perjalanan pulang Tania berbual dengan ibu saudaranya.
“Mak long, Nia ada hal penting malam ni. Boleh Mia keluar tak?”
Puan Sri Karmila menoleh ke sebelahnya. “Hal apa?” nada wanita itu kedengaran serius. Membuatkan Tania gentar.
“Nia nak keluar dengan Putra.”
“Keluar? Dating?” teka Puan Sri Karmila lagi.
Dinner. Just dinner.” Tania kalut dalam diam. Seolah-olah dia sedang buat kesalahan besar pula.
“Dengar sini, Tania. Mak long suruh you dekati dia bukan untuk ada hubungan cinta. Putra bukan lelaki yang sesuai dengan you untuk jadikan pasangan hidup. Selesaikan apa yang mak long suruh. Jangan lebih, jangan kurang. Kemudian tinggalkan dia!”
Tania terus mengangguk.
“Jangan balik lewat.”
Thanks, mak long.”
Puan Sri Karmila hanya diam tidak menjawab ucapan itu. Tania memandang ke luar kereta sambil berfikir sendiri.
“Apa maksud mak long yang Putra tu tak sesuai dijadikan pasangan hidup? Apa yang Nia tak tahu tentang dia?” tanya Tania tiba-tiba. Puan Sri Karmila menoleh semula kepada anak saudaranya.
“Pertama sekali, pak long dengan ayah Putra sudah lama bermusuh. Apa sebabnya, you tak perlu tahu. Keduanya,
lelaki kaki perempuan begitu, apa kelas Nia? Kamil jauh lebih baik daripada dia. Pasangan hidup you nanti mesti jauh lebih hebat daripada Kamil. Tapi jangan berangan ke arah itu sehingga you jumpa calon yang paling tepat!”
Tania diam semula. Nada emak saudaranya itu kedengaran angkuh.
“Kita tak perlu lagi bergantung kepada orang lain kalau you berjaya dapatkan apa yang kita perlukan tu, Nia. Mak long percaya you mampu buat apa yang mak long suruh.”
Tania memandang semula emak saudaranya itu. Lama dia memerhatikan wanita itu. Tidak begitu mengerti bicara yang penuh maksud itu.
MALAM YANG dinantikan. Ketika Tania keluar dari banglo milik Tan Sri Falaq, lelaki tua itu masih belum pulang ke rumah. Lelaki itu sebetulnya memang jarang berada di rumah. Sentiasa ada hal di luar.
Di luar pintu pagar, Tania sudah terpandangkan Subaru BRZ metalik milik Putra. Kereta itu segera mendekati tempat dia berdiri.
“Hai...” sapa lelaki itu mesra sebaik sahaja Tania masuk.
“Hai...” balas Tania biasa. Putra sempat tersenyum memerhatikan Tania sebelum melarikan kereta pergi.
“You nampak cantik malam ni,” puji lelaki itu.
Tania hanya diam. Ayat manis yang seakan-akan wajib kedengaran dari setiap mulut lelaki apabila mahu memikat.
Aik? Diam aje?”
 Thanks...” jawab Tania macam orang tidak berperasaan.
“Hari ni I janji I akan hantar you balik dengan selamat. Jangan risau ya?” ucap Putra dalam nada ceria.
Hmmm...” jawab Tania biasa.
“Nia, berapa umur you sebenarnya?”
“26.” Tania menjawab sepatah.
Hmm... daging muda,” komen Putra spontan.
Excuse me?”
“Mak... maksud I, masih muda. Sorry, I tersasul. Masih muda...”
Tania menjeling meluat dengan gelagat lelaki itu. Putra tersengih kepadanya.
So, you dulu study di Aussie?” tanya Putra lagi. Tania hanya mengangguk sambil memandang ke luar.
“You nak dengar cerita tak? Dulu I study di Berlin. Sepatutnya I jadi engineer sekarang. Tapi, daddy I tu tak akan suka I buat kerja untuk orang lain.”
“Berlin?”
Yup,” sambut Putra sekalian dengan anggukan.
“Dulu waktu I belajar di Berlin, I ada kawan. Sekarang ni dah kahwinlah. Dia nikah dengan kawan perempuan I, sama pelajar macam kami. Diaorang buat majlis ringkas aje. Tapi adalah pengapit tu semua. You tahu... pengapit isteri dia waktu tu, girlfriend I tau. Sekarang ni dia dah jadi ex-girlfriendlah. Tup-tup tiga bulan lepas kawan baik I tu kahwin, isteri dia tak mengandung. Sebaliknya ex-girlfriend I yang pregnant. Ironisnya, I tak tahu anak siapa. Sebaliknya orang tuduh itu anak I. Ajaib, kan?”
Tania terus mengerutkan kening memandang lelaki
itu. “Kenapa you cerita semua ni pada I?”
“Saja...” jawab Putra selamba. Tania diam memandang ke hadapan.
“I terpaksa putuskan hubungan dengan perempuan tu. Bila I tinggalkan dia kerana dia mengandungkan anak orang lain, orang tuduh I ni lelaki jahat. Kaki perempuan! I masih ingat nama ex-girlfriend I tu. Hani namanya. Cantik dan sopan santun. I jaga dia baik-baik sebab I terlalu sayangkan dia. Dengan harapan, suatu hari nanti I nak kahwin dengan dia. Tapi ada orang lain potong jalan I.”
“Siapa lelaki tu? You tak tahu?” tanya Tania.
“I tak tahu siapa. I tak kenal,” ucap Putra. Tania diam namun lama dia memandang lelaki itu.
“Lelaki macam I... tak akan rosakkan perempuan yang I nak jadikan isteri, Nia.”
“Tapi you rosakkan perempuan yang you tak mahu jadikan isteri? Contohnya I ni,” perli Tania.
Putra hanya senyum sambil memandang ke hadapan. Bicara gdias itu itu seolah-olah tidak masuk ke dalam fikirannya. Tania menghela nafas sambil memandang ke luar. Fikirannya berpusar hebat. Lelaki inilah yang meranapkan kegadisannya. Tetapi... apakah yang dia buat di sebelah lelaki ini? Rendah benarkah maruahnya sehingga dia rela menadah diri kepada setiap kehendak lelaki ini? Sedangkan hati tidak rela.
“I kena balik cepat,” ujar Tania perlahan.
Parents you bising?”
“Baguslah kalau you tahu,” jawab Tania selamba.
“You kenal siapa ibu bapa kandung you?”
“Kenal. Ayah I adik-beradik dengan mama Kamil.”
“Oh, jadi sebenarnya you dengan Kamil sepupu?”
ucap Putra agak terkejut.
“Ya.”
“Menarik ni...”
“Apa yang menarik?”
“Youlah. Menarik perhatian I,” sambut Putra lantas menyengih miang. Tania mencebik menyampah.
“Tadi you kata dulu you belajar di Berlin. Kamil pun study di Berlin dulu.”
Really? I tak tahu pulak dia pun student di Berlin. Di mana tu?” ujar Putra sedikit terkejut.
“Humboldt. Tahun 2008 sampai 2013.”
“Oh... patutlah. Tak sama tahun. I bukan di Humboldt,” ujar Putra biasa.
“Jadi you di mana?”
“Dekat-dekat dengan Humboldt jugak.”
“Oh...” Tania diam lantas memandang ke hadapan.
Perjalanan terhenti ke sekitar Menara Kuala Lumpur. Macam sudah tahu dia akan dibawa makan malam di mana malam ini. Pastinya di puncak menara itu.
“Pernah datang sini, kan?”
“Selalu.” Tania memandang sekeliling. Agak ramai orang di dalam restoran itu.
“I tak pernah jemu singgah di sini,” ucap Putra tanpa disuruh.
Pelayan membawa mereka ke sebuah meja dua kerusi yang saling berhadapan. Sesudah membuat pesanan, Putra kembali memandang gadis di hadapannya.
“Sebetulnya dah lama I nak ajak you dating kat sini. Tapi seminggu dua ni I busy dengan kerja di ofis.”
 “Ada projek baru?” tanya Tania sekadar berbasa-basi kononnya.
Putra mengangguk. “Kompeni I tengah merancang nak rebut tender Kota Cyber. Nilainya memang besar. Kalau gagal, I akan kena pancung dengan daddy I,” ucap Putra dengan senyuman.
“I tak berapa tahu tentang semua tu.”
So, apa tugas you sebenarnya?”
Tania terdiam seketika. Tidak sangka Putra berminat hendak tahu tugasnya di dalam syarikat milik pak longnya itu.
“Tukang bancuh teh,” jawab Tania selamba. Putra ketawa kecil. Bersinar matanya memandang Tania.
“I suka kalau tukang bancuh teh di ofis I secantik ini. Apa kata you kerja dengan I aje? Hari-hari I boleh pandang you.”
“Putra, tak payahlah terlalu memuji. I tak akan tidur dengan you malam ni,” sambut Tania mula meluat mendengar bicara lelaki itu. Putra tergelak pula mendengar bicara gadis itu.
“I ikhlas ni, Nia.”
Whatever,” desis Tania lantas memandang ke arah lain.
“Ceritalah sikit hubungan you dengan abang angkat you... Kamil.”
“Kenapa you nak tahu pasal I dan Kamil?” balas Tania lantas memandang semula ke arah lelaki itu.
“You anggap dia macam abang?”
“Yalah. Habis tu?”
“Rapat dengan dia?”
 “Dulu. Sekarang tak lagi.”
“Kenapa?” tanya Putra bersungguh-sungguh hendak tahu.
“I tak berapa selesa,” ujar Tania perlahan. Putra sekadar mengangguk dengan jawapan Tania. Agak puas hati dengan jawapan itu.
So, macam mana pulak dengan Kamil? Dia pun tak berapa selesa rapat dengan you?”
Tania menentang lama pandangan Putra. Entah kenapa dia seperti terdengar nada itu seakan-akan sedang menyelidik status hubungannya dengan Kamil. Fikirannya mula berputar ligat memikirkan sesuatu tentang Putra dan Kamil.
“Nia?” tegur Putra apabila gadis itu dilihatnya hanya termenung.
“Ha?” Tania tersedar semula dari lamunannya.
About Kamil.”
Why bother? Penting ke untuk you tahu tentang itu?” balas Tania mula tidak senang dengan begitu banyak soalan Putra tentang dirinya.
“I hanya nak tahu, Nia.”
“Dalam banyak-banyak perkara tentang I, you lebih berminat tentang perasaan Kamil pada I. Are you jealous or hidding something from me?” balas Tania sedikit jengkel.
Putra diam merenung Tania. Seketika kemudian dia mengalihkan tatapannya ke arah luar cermin sana. Fikir apa yang hendak diluahkan.
So, is he in love with you?” tanya Putra seketika kemudian.
Yes! But I don’t want him. And of course I don’t have a dream to marry my own brother. Not even in a dream.
Is there anything else you want to know about Kamil and me?” jawab Tania sedikit kasar.
Okay. I’m done asking,” sambut Putra perlahan. Jawapan Tania awal tadi merusuhkan hati dan fikirannya. Hati lekas diamuk cemburu dalam diam. Sakit!
Tania turut perasan lelaki di hadapannya itu mula berdiam. Agaknya terguris dengan layanannya.
“I minta maaf kalau kata-kata I tadi melampau untuk you. I was overreacted.”
No. Don’t be sorry. I tak ambil hati. Cuma I kurang selesa bila perempuan yang I suka turut disukai oleh lelaki lain,” sambut Putra pantas. Dia tersenyum sedikit kepada Tania.
Don’t waste your time for me. I bukannya baik sangat pun.”
“I pun bukannya terlalu baik, Nia. I tak pernah kata I mencari wanita yang serba-serbinya baik.”
So, you mencari wanita yang sama jahat macam you?”
Putra ketawa pula. “Why not?” katanya dalam tawa yang masih bersisa.
“Nanti bila you rasa you tak boleh blah dengan I, kita boleh stop bila-bila masa saja, kan? No heart feelings.”
“Apa pendirian you? Apa yang you nak dari seorang lelaki sebenarnya?” sambut Putra hanya tenang. Sedang dirinya sedang diduga oleh gadis itu.
“Entahlah. Buat masa ni I tak tahu apa-apa tentang itu. Tak pernah serius meletakkan harapan. I tak macam orang lain. Jarang bergaul dengan lelaki,” balas Tania perlahan. Satu bayangan hadir di dalam mindanya tanpa disuruh. Sesuatu tentang keturunannya yang tidak ramai orang tahu.
 “Masa study?”
“Itu lain. You ingat kalau kawan lelaki I tak ada gaji tinggi dan berjawatan tinggi dalam mana-mana syarikat boleh bawak I keluar? Mak long I kenal setiap seorang kawan-kawan baik lelaki atau perempuan. Vivian anak Datuk Seri Lim, bapak dia bekas menteri. Sebab tu dia boleh kekal dengan I sampai sekarang.”
“Tapi malam ni you keluar dengan I. Parents you tak tahu atau diaorang tak marah I keluar dengan anak musuh ketat keluarga you?”
Tania terdiam seketika. Terperangkap dalam bicara sendiri.
“Pak long tak tahu,” jawab Tania perlahan. Memang benar, Tan Sri Falaq tidak tahu dia keluar bersama Putra malam ini. Manakala dia sengaja tidak menyebut emak saudaranya itu. Entah kenapa dia tidak sanggup untuk berbohong.
“Kalau I bertanya tentang orang tua you, boleh?”
Serta-merta Tania mengangkat pandangan semula. Kelu. Secepat inikah Putra mahu tentang siapa ibu bapa kandungnya? Ada hakikat yang tidak seronok untuk diceritakan kepada sesiapa pun.
I can see that you’re not so comfortable. Maybe next time,” ucap Putra lantas tersenyum lembut.
I’m not suppossed to tell anyone about my father,” ujar Tania rendah.
May I know why?”
Tania menggeleng tanda tidak bersedia untuk berkongsi cerita buat masa ini. “I tak berapa suka bercakap tentang orang tua I.”
“Kedua-duanya masih hidup?”
Tania menggeleng semata.
“Tak apalah. I tak paksa,” sambut Putra hanya tenang biarpun rasa ingin tahu kian mengasak hebat.
Pandangan Tania turun merenung permukaan meja seketika. Pemikirannya kini sarat dengan kenangan dulu. Semuanya seolah-olah masih segar. Sambil itu dia masih tidak tahu apa yang hendak diberitahu agar Putra tidak lagi bertanya tentang keluarga kandungnya.
“Nia, bila tengok you macam ni... I nak tahu. Ada apa-apa yang tak menggembirakan you ke selama ni?” ujar Putra. Keningnya berkerut dalam pada bola matanya ralit membaca apa yang sedang disembunyikan Tania.
“Sejujurnya, I tak suka lelaki. I tak percaya mana-mana lelaki pun dalam dunia ni. Kisah I masa kecil dulu tak seronok dikenang apatah lagi untuk diceritakan.”
I see... I dah agak dah. Tapi bila you cakap begitu I semakin nak tahu, Nia. Sekali-sekala you perlu bercerita walaupun hal itu tak seronok diceritakan. I need to know,” pujuk Putra perlahan.
Tania mengangkat pandangan ke arah Putra. “Ayah kandung I mati di tali gantung setelah didapati bersalah membunuh orang.”
Putra tersandar serta-merta mendengar penjelasan itu. Terkejut. Tidak sangka.
“Bahagian yang paling menyakitkan dalam hidup I adalah... ayah kandung I didapati bersalah membunuh ibu kandung I. Ayah kandung I seorang penagih dadah tegar. Setiap hari di hadapan mata I dia akan mengamuk melepaskan kemarahannya kepada kami jika ketagihannya tidak terbendung. Dia selalu pukul kami. Suatu hari... ketika usia I baru 11 tahun, dia pukul mama. Teruk. Hidup kami selama itu memang sangat teruk kerana dia. Dan I melihat semua tu tanpa mampu buat apa-apa. Mama I mati di depan
mata I.”
Putra hanya mampu terkebil-kebil merenung Tania dalam keadaan dirinya masih dikuasai rasa terkejut.
“Selepas ayah I masuk penjara, I kena tinggal dengan mak long. Yang mana, hidup dengan mak long jugak bukan seindah dipandang orang. Penuh dengan segala macam tekanan.”
Putra menelan liur agar payah tanpa dapat memberi sepatah kata buat gadis itu. Sesuatu yang tidak pernah tercapai dek akalnya. Kini dia mengerti mengapa Tania jadi begitu sukar hendak difahami. Inilah sebab yang menjadikan dia begini.
“I masih ingat setiap rasa sakit yang terpaksa telan ketika I masih kecil dulu. Kalau I cuba halang dia pukul mama, dia akan pukul I jugak. Sebab tu I tak percaya lelaki. I tak suka lelaki!”
I’m so sorry. I tak sepatutnya tanya,” ujar Putra perlahan.
“You nak tahu, kan? I boleh ceritakan semua.”
“Cukup. I tahu you tak selesa bercerita tentang itu. Mungkin lain kali saja,” balas Putra bersungguh. Tiba-tiba hadir rasa bersalah atas apa yang sudah dilakukannya kepada Tania.
Tania membuang pandang. Masih tidak mampu lepas dari kenangan itu. Teramat sukar hendak dilupakan. Kembali menyebutnya ibarat menoreh semula luka yang masih belum sembuh sepenuhnya.
Buat seketika mereka berdua diam melayan perasaan. Putra menghela nafas perlahan sambil memandang sekeliling. Tiba-tiba suasana menjadi agak suram di sekelilingnya. Fikirannya sarat oleh bayangan tangisan Tania pagi itu. Sungguh, dia merasa amat berdosa kerana membiarkan gadis
itu berada dalam keadaan begitu.
“I harap you tak akan beritahu sesiapa tentang itu,” ucap Tania seketika kemudian.
“Kita cakap pasal lain. I tak sengaja merosakkan suasana,” balas Putra cuba berlagak biasa.
Tidak sedar dia menghabiskan masa yang lama melayan Putra berbual. Dia tersedar ketika terlihat kebanyakan pengunjung sudah pergi dan kakitangan restoran sudah mula mengemas lantai luar. Tania sudah mula resah. Malam makin larut. Bimbang emak saudaranya itu mengamuk setelah dia pulang nanti.
“Tolong I hantar I balik, boleh tak? Dah lewat.”
“Okey.” Putra segera melambai pelayan.
Namun ketika dia meraba poket jaketnya, dompetnya entah di mana. Ah! Sudah... Putra mula menggelabah dalam diam sedangkan pelayan sudah menunggu di sisinya. Seterusnya dia meraba poket belakang seluarnya. Memang dompetnya tiada.
“Kenapa?”
“I... I... tak jumpa wallet I.”
Tania segera mengeluarkan beberapa helai not 50 dari dalam beg tangannya lalu diserahkan kepada pelayan.
I’m so sorry. I rasa dompet I hilang,” ucap Putra. Merah mukanya menahan malu.
“Hilang atau tertinggal?”
“Hilang. I yakin I letak dompet I di sini tadi. I memang selalu letak wallet kat sini,” ucap Putra sambil meraba lagi poket jaket di dadanya.
Tania hanya buat selamba. Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, Tania mengeluarkan sebuah beg duit lelaki dari dalam beg tangannya. Ketika Putra tidak memandang, dia 71
menyelitkan di tepi kerusi lelaki itu. Kemudian dia buat-buat memandang ke luar.
“I tak sepatutnya biar you bayar tadi. I minta maaf,” ucap Putra ketika mereka dalam perjalanan pulang.
“Tak apa.” Tania menjawab tanpa memandang lelaki itu.
“Lain kali biar I yang belanja,” ujar Putra cuba menutup kecanggungan suasana ketika itu.
Tania diam semata. Namun bibirnya tersenyum sendiri. Ketika di dalam lif sewaktu mereka tiba di restoran itu tadi, Putra mengambil kesempatan memeluknya oleh kerana ada orang lain bersama mereka. Lelaki itu tidak sedar apa yang berlaku.
Siapa kata dia bayar pakai duit dia? Dia ambil duit dari dalam dompet lelaki itu tadi.

No comments:

Post a Comment