“HOME sweet home. Coming in,” ucap Putra setelah mereka sampai di rumah awal pagi itu.
Tania berdiri lama tanpa berbuat apa-apa
setelah masuk ke dalam. Masih segar dalam ingatannya, kali pertama dia berada
di rumah ini. Hidup seperti telah celaka. Kini dia akan berada di rumah ini
entah untuk berapa lama lagi.
“Nia...” panggil Putra lantas mendekati gadis
itu. Tania berpaling. Langkah lelaki itu ke arahnya dipandang tanpa berkelip.
“Rehatlah dulu. Jangan banyak fikir. I bawak
beg you masuk bilik dulu ya?” ucap Putra lantas tersenyum.
Seperti orang yang sedang dipukau, Tania masih
juga seperti tadi. Dia sekadar memandang suaminya berlalu ke bilik membawa beg
pakaian mereka. Seterusnya kembali memerhatikan persekitaran rumah itu
sehinggalah Putra kembali semula kepadanya.
“Kenapa?” tanya Putra.
“Tak
ada apa-apa.”
“Semuanya akan baik-baik saja, sayang.” Lelaki
itu berbisik sebelum mengucup dahi Tania dengan penuh kelembutan. Tania hanya
terkebil-kebil memandang Putra berdiri di hadapannya. Diri seperti sedang
berada di awang-awangan.
“Masih awal ni. Hari ni kita tak ada urusan
penting. I rasa nak rehat di rumah aje.” Putra bersuara sambil menarik jemari
isterinya ke arah sofa.
Tania membuka beg tangan untuk mendapatkan
telefonnya setelah punggung dilabuhkan di sofa. Sekian lama telefon itu tidak
dihidupkannya. Kini dia memberanikan diri menghidupkannya semula. Menderu-deru
mesej masuk tidak lama kemudian. Ada 111 panggilan tidak berjawab daripada Puan
Sri Karmila. Dan seterusnya berpuluh-puluh lagi panggilan daripada Kamil yang
tidak dapat disambungkan kepadanya.
Tania memejamkan mata rapat-rapat setelah
meletakkan telefon itu ke tepi. Kembali ke sini, perasaan gusar, takut dan
tertekan itu kembali semula tanpa dipintanya. Sedar yang dia harus berterus
terang dengan Puan Sri Karmila dan Tan Sri Falaq akan statusnya kini.
Tetapi tiba-tiba telefon itu berbunyi. Tania
tersentak. Terpancul nama ‘mak long’ di skrin telefon itu. Dada Tania sudah
mula bergemuruh.
“Jawablah. Tak selamanya you boleh mengelak,”
ucap Putra.
Menggigil tangan Tania saat mencapai semula gadget
itu. Antara berani dan tidak, Tania menyambungkan talian.
“Tania!”
“Mak long...”
“Mana
Nia pergi ni? Berkali-kali orang call tak pernahnya dapat! Apa Nia dah
buat sebenarnya ni???” bentak Puan Sri Karmila segera. Tania tunduk setelah
telinganya diterpa jerkahan itu.
“Jawablah! Jangan membisu aje!” Masih dalam
bentakan Puan Sri Karmila bersuara lagi.
“Nia... Nia...”
“Balik sekarang!” tekan wanita itu garang.
“Mak long, Nia minta maaf sebab buat macam ni.
Nia tak mahu balik. Nia tak mahu jumpa Kamil.”
“Di mana Nia sekarang???”
“Nia... err... Nia tinggal dengan
Putra.”
“Apa Nia dah buat ni? Kenapa bodoh sangat
ha???” jerkah Puan Sri Karmila kian meninggi. Betapa terkejutnya dia dengan
permintaan Tania itu.
“Janganlah you terus tengking dia macam tu.
Tanya elok-elok. Kalau you terus berkasar, lagilah dia tak mahu balik!” tekan
satu suara di hujung talian.
“You tahu dia cakap apa? Dia bersekedudukan
dengan anak musuh ketat you tu. Dah tak ada lelaki lain agaknya yang dia nak
kan!” Balasan Puan Sri Karmila itu hanya didengari oleh Tania dengan hati yang
pedih.
“Bila you layan dia macam tu... dia cari orang
lain untuk berpaut kasih sayang, Mila. Sudahnya orang lain yang ambil
kesempatan pada dia. Biar I cakap dengan dia!”
Tania tunduk menahan sedih. Hanya lelaki itu
yang sering menahan dia daripada dibentak-bentak oleh emak saudaranya. Tidak
lama kemudian suara bertukar kepada Tan Sri Falaq.
“Nia... balik rumah. Jangan buat macam ni,”
ucap Tan Sri Falaq lembut
“Nia
tak nak balik.”
“Pak long faham Nia tertekan selama ni. Nia
nak bebas. Tapi ini bukan caranya.”
“Putra baik. Dia layan Nia baik,” ujar Tania
rendah.
“Nia, jangan cepat tertipu dengan luaran
seseorang. Nia tak kenal dia siapa. Dengar cakap pak long. Balik rumah, ya?
Kita selesaikan masalah ni baik-baik,” pujuk Tan Sri Falaq.
Tania diam pula. Biarpun tidak sampai hati
mahu mengecewakan lelaki tua itu, hatinya tidak terasa ingin pulang. Dia senang
hidup begini. Dia suka dibawa ke mana-mana saja oleh Putra. Buat pertama kali
dalam hidupnya, dia merasa bebas sekali! Dan dia ingin terus menikmati rasa
ini.
“Nia, pak long tak mahu Nia terlalu ikutkan perasaan.
Jangan lekas percaya kepada seseorang yang bermulut manis. Tak semua orang
boleh kita percaya, Nia. Jangan musnahkan masa depan Nia kerana orang lain,”
ucap Tan Sri Falaq.
“Nia... pernah terlanjur dengan Putra beberapa
minggu dulu, pak long. Dia dah janji dia akan jaga Nia. Dia tak akan sia-siakan
Nia.”
Penjelasan pendek itu cukup membuatkan Tan Sri
Falaq terdiam di hujung talian.
“Nia minta maaf.”
“Nia masih terlalu naif untuk faham semua tu,”
balas Tan Sri Falaq rendah. Sungguh dia merasa hampa mendengar itu. Tetapi kini
dia mula menghitung kesilapan mereka dalam mendidik anak ini. Terlalu banyak
silapnya.
“Ini hidup Nia. Nia mahu memilih apa yang
terbaik untuk Nia. Nia tak mahu balik. Maafkan Nia,” jawab Tania. Seterusnya
dia pegun di sofa itu setelah mematikan panggilan.
“Nia...”
Lambat-lambat Tania menoleh kepada Putra yang
duduk di sebelahnya.
“Dia marah you?”
Bola mata Tania berkaca tanpa dapat menjawab
soalan itu. Dia benar-benar terasa lemah. Ingin menangis. Saat ini dia
merasakan dirinya seperti berseorangan di dunia ini. Tidak lagi punya apa-apa.
Mungkin emak saudaranya itu sudah membencinya.
“Jangan sedih, sayang...” Putra menarik gadis
itu ke dalam pelukannya. Dahi Tania dikucup berkali-kali.
“Bila kita memendam rasa terlalu lama, jiwa
kita akan rasa sangat sakit. Kalau menangis boleh memberikan kelegaan,
menangislah, Nia. Tak apa sekali-sekala kita nampak lemah asalkan selepas itu
kita kembali kuat,” ucap lelaki itu lembut. Sungguh! Bicara itu membuatkan
Tania benar-benar menangis.
Simpati. Putra mengusap belakang isterinya
berkali-kali. Seketika kemudian gadis itu dipeluknya erat-erat. Agak lama
mereka berdiam sehingga tangisan Tania berhenti sendiri. Tania pegun sambil
bersandar ke dada Putra.
“Jangan lap hingus dekat baju I,” tegur Putra.
Spontan Tania menolak lelaki itu. Melihat riak wajah Putra, dia tersenyum pula
sambil menyeka air matanya. Malu membiarkan lelaki itu menatap kekusutan di
wajahnya.
“Nia, dengar sini... I tahu keluarga you akan
minta you kembali semula ke sana. I tahu mak long you minta you tinggalkan I.
Tapi you masih ingat apa yang mek cakap dengan you sebelum ni? Inilah dunia you
sekarang. Dengan I... dan apa pun keadaannya nanti, you jangan takut, sayang. I
ada dengan you. I akan jaga you baik-baik.”
Tania sekadar mengangguk. “I tak nak balik
pun,” ucap Tania perlahan.
Bersama Putra dia tidak perlu menadah diri dan
perasaan kepada tengking herdik emak
saudaranya. Lebih dari itu tiada Kamil yang suka menambah kusut hidupnya.
Bersama Putra dia rasa lebih selamat. Lebih tenang.
“Good girl. Cium sikit, boleh?”
“Tak nak!” Cepat-cepat Tania menutup wajah
dengan kedua-dua belah tangannya.
“Kenapa pulak tak boleh? Dah beberapa
hari I mengidam ni. You yang pregnant. I pulak yang mengidam.”
Bicara Putra tiba-tiba perasaan Tania berubah.
Dua tangannya itu dikalihkan dari menuntup wajahnya. Renungan Putra tidak mampu
untuk disambutnya.
“Nanti kita pergi klinik sama-sama ya? I nak
tengok rupa baby kita macam mana,” ujar Putra sambil menyentuh perut
gadis itu. Tania diam menelan liur. Kelat!
“I nak pergi beli breakfast. Nak ikut?”
Tania segera menggeleng. “I nak mandi. Penat.”
“Okey. I pergi sekejap aje. Tapi jangan tidur
dulu,” pesan Putra lembut.
Tania hanya mengangguk. Dia ikut bangun
mengekori Putra ke pintu utama. Menunggu sehingga lelaki itu berlalu. Kemudian
pintu itu ditutupnya. Tania tersandar di belakang pintu itu memikirkan
segala-galanya.
Biar seberapa lembut atau baik lelaki itu
kepadanya, dia tetap merasa hatinya kosong. Lelaki itu tidak mampu dibawa masuk
ke dalam hidupnya. Dan dia tertanya-tanya mengapa dan sampai bila dia akan
terus begini.
“DO YOU like cooking?” tegur satu suara saat Tania sedang
berada di dapur.
“Bolehlah sikit-sikit,” jawab Tania rendah.
Buat seketika Putra hanya berdiri memerhatikan
isterinya menyelongkar peti ais. Lama Tania merenung isi di dalam tempat sejuk
beku. Kemudian kepala digaru. Tiada apa pun di dalam sana.
“Kalau you nak masak, kita boleh pergi beli
barang keperluan dapur. Macam mana you nak masak kalau semuanya tak ada,” ujar
Putra. Dapurnya ini jarang digunakan. Dia tidak rajin memasak di rumah. Hanya
ada sedikit barang keperluan harian yang berada di dapur itu.
Tania berpaling ke arah suaminya. “I malas nak
keluarlah,” ujar Tania.
Putra tidak terus menjawab. Sebaliknya dia
mendekati isterinya itu. Jemari Tania diambilnya. “Kalau selalu kena air inai
ni akan pudar tak?”
“Taklah. Kenapa pulak you cakap macam
tu?” jawab Tania hairan.
“I suka tengok inai ni. Jari ni nampak
berseri. I tak mahu nanti inai ni jadi pudar sebab you selalu buat kerja di
dapur,” balas Putra lantas tersenyum.
“Lama-lama akan hilang jugak,” ujar
Tania biasa. Jemarinya ditarik semula dari pegangan lelaki itu. Sehari dua ini
terpaksa menghadap keramaian orang, dia sudah penat. Dia hanya mahu berada di
rumah.
“You ajelah pergi beli barang dapur. Lain kali
baru kita pergi beli sama-sama.”
“Betul ni? Nanti kalau I salah beli, you
jangan marah pulak,” balas Putra sedikit lunak.
Tania hanya diam sambil mencari sesuatu dari
dalam kabinet di bahagian atas. Namun sedang dia terjingkit-jingkit mencari
paket gula, ada tangan yang memeluknya dari arah
belakang. Spontan Tania berpaling lalu menolak
tangan Putra.
“Why? Tak suka I dekat dengan you?”
tanya Putra biasa. Tidak lagi merasa terkejut dengan gelagat seumpama itu.
“Taklah. I cuma terkejut.” Tania berpaling
semula. Cuba menyembunyikan rasa tidak senang dengan perbuatan Putra.
“You tahu... I tak suka pukul perempuan. I
bukan lelaki begitu, sayang.” Putra bersuara lembut tatkala isterinya masih
sibuk mencari kerja semata-mata mahu mengelak daripadanya.
“I tahu...” Perlahan sahaja balasan Tania.
“Tapi you masih biarkan I jauh daripada you.
You masih merasakan I ni orang luar. Mungkin sama macam orang lain yang pernah
melukai you. Kadang-kadang I rasa ada waktunya you tak suka I ganggu you.”
Tania terkaku dalam keadaan tubuhnya masih
membelakangi Putra. Bicara lelaki itu memberi sedikit kesan ke dalam hatinya.
Tidakkah lelaki ini juga pernah melukainya? Lupakah Putra akan kejadian malam
itu?
“Nia...” ucap Putra lantas memaut bahu
isterinya.
“You kata nak pergi beli barang dapur. I
don’t want to talk. Not for now,” jawab Tania lantas menolak sentuhan
jemari suaminya.
“Get to know me better, baby. I’m
not like him. Not even closed!” ujar Putra bersungguh.
“You cakap apa ni?”
“I tahu mengapa you jadi begini, Nia. Jangan
nafikan. I tak sebodoh itu untuk tidak memahami apa sebenarnya yang you sedang
buat. Makin you cuba sembunyikan, makin jelas kelihatan, sayang.”
Tania terdiam memandang renungan lelaki itu.
Lembut menggambarkan kesungguhan dan keikhlasannya. Tetapi dia tidak tahu
sejauh mana dia mampu mempercayai semua ini.
“Nia, I tahu apa yang berlaku pada you selama
ni. Kesannya tidak mudah untuk difahami oleh orang macam I. But let me guide
you. Let me give my love to you. Give a chance to yourself for loving people
around you. Especialy me!”
“I takut,” balas Tania rendah. Putra menaikkan
jemarinya ke pipi Tania.
“I know. Sometimes I heard you cry in your
dream. You’re in so much pained. Sayang, kalau you pandang I betul-betul,
you akan sedar yang I tak serupa langsung dengan ayah you. Dan I tak pernah
termimpi untuk melalui hidup yang tak bermakna seperti itu.”
Tania hanya diam membiarkan dua bola mata
lelaki itu meratah seluruh wajahnya.
“Mak long you tak pernah cuba bawak you
jumpa doktor?”
Tania menggeleng. “I ni cuma mengada-ada.”
“Tak apa. I boleh bawak you jumpa
doktor. You need help, Nia. Keadaan tu tak boleh dibiarkan.”
“I can hadle it. Don’t worry,” balas
Tania. Bukannya dia tidak pernah bertemu doktor psikiatri sebelum ini. Tanpa
Putra memberitahu pun dia tahu jiwanya bermasalah dengan kisah lalu yang
memberikan kesan trauma panjang.
“Apa yang ada sekarang hanya tinggal sisa-sisa
ingatan pada semua kisah dulu. I tak mahu makan ubat lagi,” luah Tania lagi.
Putra memandang lama tampang isterinya. Dia
tahu Tania tabah. Jika tidak pasti dia tidak seperti mana sekarang.
“Do
you want to talk about that?”
“Later. You kena pergi beli barang
dapur sekarang. Kalau tidak kita akan kelaparan dalam rumah ni,” ujar Tania
lantas tersenyum sedikit. Sekadar mahu menyenangkan hati lelaki itu.
Putra mencapai jemari isterinya sebelum jemari
itu dikucup penuh kelembutan. “I tahu bukan mudah untuk you letakkan
kepercayaan kepada orang lain. Tapi I nak you ambil masa untuk ubah keadaan tu.
I akan tunggu, sayang. If you want to talk, I’m here.”
“Thank you,” balas Tania sedikit
terharu dengan pengertian daripada lelaki itu.
“I nak tukar baju sekejap. You boleh listkan
apa yang I kena beli,” ujar Putra dengan sedikit senyuman. Tania sekadar
mengangguk sebelum mengekori suaminya keluar dari kawasan dapur.
Duduk bersendirian di ruang tamu Tania termenung merenung TV yang
bercakap sendirian. Masih banyak yang Putra tidak pernah tahu tentang dirinya.
Masih banyak! Dan dia tahu suaminya harus tahu tentang semua itu. Demi kebaikan
mereka berdua.
No comments:
Post a Comment