Wednesday 11 April 2018

TUKANG MASAK CIK MAFIA - BAB 7


SYED Haidar memarkirkan keretanya di petak khas untuknya. Dia melirik jam di pergelangan tangan. Sudah pukul dua belas tengah hari. Heaven Kitchen akan mula beroperasi pukul 4 petang pada bulan Ramadan. Sengaja dia datang awal kerana banyak kerja yang perlu diselesaikan. Selepas menekan alarm kereta, langkah diayun menuju ke pintu depan restoran miliknya.
Dari jauh dia terlihat satu susuk tubuh sedang bersandar lesu pada salah satu tiang restorannya. Dia mempercepatkan langkah. Hatinya tidak dapat menepis sangkaan buruk yang bertandang. Risau kalau-kalau ada orang pengsan di hadapan restorannya.
“Cik Mafia?” Terpacul nama itu dari bibir Syed Haidar sebaik sahaja terlihat wajah pemilik susuk tubuh tadi. Dia memandang ke langit. Diangkat tangan kanan untuk melindungi wajahnya daripada terkena sinaran matahari. Kagum sebentar dengan Cik Mafia kerana mampu lelap di bawah terik mentari.
 “Siapa ni?”
Syed Haidar menoleh ke sebelahnya. Cef Sufi sudah pun sampai.
“Pekerja baru kita,” jawab Syed Haidar.
“Lagi beberapa hari je Heaven Kitchen nak beroperasi... kenapa dia tak kerja lepas raya je?” soal Cef Sufi pelik. Tapi dia tak boleh kata apa kalau bos sudah buat keputusan.
“Adalah sejarahnya... kita masuk dalam dulu. Kenapa datang awal?” tanya Syed Haidar. Timbul pertanyaan dalam hatinya melihat Cef Sufi.
“Pagi tadi Tan Sri Kamarul call nak buat jamuan raya kat Heaven Kitchen. Tu yang datang awal nak tengok tarikh mana yang kosong,” terang Cef Sufi.
“Berapa pax?”
“Anggaran dalam seribu orang.”
“Ramai jugak tu. Eh kita bincang kat dalamlah. Saya nak kejutkan budak katik ni dulu.”
Cef Sufi mengangguk. Sempat dia mencuri pandang ke arah gadis yang sedang tidur itu. Comel dengan rambut pendek ala tomboi. Dia ingin bertanya lebih lanjut namun dibatalkan kerana perlu membuka kunci pintu restoran itu.
“Assalamualaikum Cik Orked.” Syed Haidar menepuk bahu Orked perlahan. Namun tiada sebarang tindak balas. Dia bertinggung di sebelah gadis itu.
“Cik Orked... Cik Orked oi!” Kali dia menggoyangkan bahu gadis itu sedikit keras. Boleh pula gadis ni tidur mati.
“Orked bangun... kalau awak tak bangun nanti saya viralkan gambar awak.” Syed Haidar mendekatkan mukanya ke wajah gadis itu. Dia berbisik di telinga Orked.
Serta-merta Orked celikkan mata. Melihat kelibat
lelaki di depannya, diayunkan penumbuk. Tepat terkena pada perut lelaki di hadapannya. Sepantas kilat dia menolak tubuh itu.
“Ya Allah, sakitnya...” Syed Haidar hampir terlentang akibat tolakan Orked. Tangannya menekan perut yang sakit.
“Awak... maaf. Saya tak sengaja.” Orked segera mendapatkan Syed Haidar. Kenapalah tangannya begitu pantas bertindak.
“Saya kejut awak bangun tapi awak tumbuk saya Orked. Awak anggap saya ni apa?” Syed Haidar berusaha untuk bangun. Sakit juga penangan perempuan kecil molek ni. Urat besi tulang dawai ke?
“Saya minta maaf, saya tak sengaja.” Orked membantu Syed Haidar untuk bangun. Waktu kerja belum mula tapi dia sudah bikin onar. Habislah dia kalau Syed Haidar tak jadi ambil dia bekerja.
“Awak ni memang kaki pukul agaknya. Sikit-sikit nak tumbuk... nak pukul... nak belasah! Awak ingat saya ni punching bag awak. Macam mana saya nak bagi awak kerja. Silap hari bulan saya patah riuk nanti.” Syed Haidar tak dapat mengawal marahnya. Pertama kali dia kena tumbuk dengan perempuan. Salahnya sebab cuba kejutkan Cik Mafia yang sedang tidur. Inilah agaknya yang dimaksudkan jangan kejut harimau yang sedang tidur. Mujur harimau acah-acah sahaja. Kalau harimau betul memang dia dah kena baham agaknya.
“Awak tolonglah jangan pecat saya. Tolonglah...” Bersungguh-sungguh Orked merayu.
“Tuan Syed tau... panggil saya Tuan Syed.”
“Tolong jangan pecat saya Tuan Syed.” Tabahlah aduhai hati, kerja punya fasal. Orked menahan dirinya dari berkasar. Angkuh betul!
“Belum kerja lagi tak ada istilah pecat tau.”
 “Tuan Syed... saya merayu pada tuan.” Tanpa segan silu Orked menarik lengan Syed Haidar. Dia berharap rayuannya diterima.
Syed Haidar menolak tangan Orked. Pelik juga melihat gelagat gadis ini. Sekejap garang ibarat harimau mengaum. Baru tadi pula dia merayu. Siapakah sebenarnya Orked? Seakan-akan seorang gadis dengan dua personaliti. Orked versi garang dan Orked versi terdesak.
“Tuan Syed janganlah tak bagi saya kerja. Saya nak sangat kerja ni.” Sekali lagi Orked menarik lengan Syed Haidar. Tak kisahlah dia nampak terdesak atau apa. Yang penting dia perlukan pekerjaan.
“Okey... saya ambil awak bekerja. Tapi jangan buat drama kat sini. Jom kita masuk dalam. Panas kat luar ni.” Syed Haidar menolak tangan Orked. Matanya meliar melihat sekeliling. Bimbang kalau-kalau ada paparazi di sekitar situ. Boleh menimbulkan fitnah.
“Terima kasih Tuan Syed.” Orked tersenyum. “Oh ya, fasal saya merayu tadi jangan beritahu siapa-siapa tau. Kalau Tuan Syed bocor rahsia... anggap jelah perut Tuan Syed yang bocor nanti,” tambah Orked. Terus diatur langkah menuju ke pintu masuk. Jalannya masih berdengkot-dengkot seperti semalam. Cuma agak laju sedikit hari ini.
Syed Haidar tercengang. Pelik betul manusia bernama Orked ni. Syed Haidar dongakkan kepala melihat sudut atas tiang. Cik Mafia tidak perasan kewujudan CCTV yang betul-betul menghala ke arah mereka. Segala perbuatan mereka telah terakam. Dia akan simpan rakaman itu sebagai bukti. Kalau sampai perutnya bocor sebab gadis itu, dia akan pastikan gadis itu mendapat balasan.
Syed Haidar mengekori Orked masuk ke dalam restoran. Seterusnya dia mengunci kembali pintu restoran memandangkan waktu kerja belum lagi bermula. Pekerjanya
yang lain akan datang pukul 2 petang nanti.
“Kenapa kunci pintu? Tuan Syed ada niat tak baik ya.”
“Hah?” Syed Haidar hanya mampu bersabar. Dia malas nak menjawab pertanyaan Orked. Laju saja dia melangkah menuju ke bahagian dapur. Dia langsung tak pandang Orked yang sedang berdiri mencekak pinggang.
“Tuan Syed...” Orked cuba berlari anak mengejar Syed Haidar yang sudah pun menghilang di sebalik pintu bertulis NO ENTRY. Langkahnya kembali perlahan disebabkan lututnya yang masih sakit.
Orked cuma risaukan dirinya. Tak salah bertanya. Dia terus merempuh pintu tadi. Risau kalau-kalau lelaki itu tinggalkan dia. Manalah tahu kot-kot ada pintu rahsia di belakang. Ternyata telahannya salah apabila melihat Syed Haidar berdiri di hadapan sebuah lagi pintu. Di sebelah kirinya terdapat satu ruang dapur yang luas dan bersih. Orked tercengang sebentar. Beginikah rupa dapur sebuah restoran terkenal?
“Orked.” Syed Haidar menggamit Orked untuk masuk ke dalam.
“Tuan Syed... tak elok tau lelaki dengan perempuan berdua-duaan dalam bilik.” Orked jadi gelisah.
“Kata gengster... takkan takut kut. Setakat orang macam saya ni tak susah nak belasah. Kan... Cik Orked?” sindir Syed Haidar sebelum menolak pintu dan masuk ke dalam biliknya. Terbit senyuman nakal di bibirnya. Sengaja buat-buat tak nampak wajah resah gelisah Orked.
“Mana budak tadi?” Cef Sufi ajukan pertanyaan sebaik sahaja melihat Syed Haidar.
“Ada kat luar,” jawab Syed Haidar tenang sambil labuhkan punggung. Dia menunduk sambil tangannya
membuka satu per satu laci. Matanya mencari sesuatu. Sesekali mata Syed Haidar melirik ke arah pintu.
“Tuan Syed ni kan...” Pintu dirempuh kasar.
Cef Sufi menoleh ke belakang.
Orked terkejut dengan kewujudan seorang lelaki yang agak berumur sedang duduk berhadapan Syed Haidar. Terus mulutnya terkunci. Tak jadi menghamburkan kata-kata ganasnya. Fikirnya mereka hanya berdua di situ.
“Ini Cef Sufi... executive chef kat sini. Cef Sufi orang kanan saya. Kalau saya tak ada, dia bos. So, jangan bantah cakap dia, jangan lawan cakap dia. Paling penting awak kena hormat dia, Orked.” Keras suara Syed Haidar pada perkataan hormat. Dia mahu Orked faham.
Cef Sufi merupakan cef paling veteran di Heaven Kitchen. Dia bukan seperti Syed Haidar yang boleh dibuli-buli atau cakap kasar. Cef Sufi ni seperti pangkat ayah kepada Orked.
“Cef Sufi, kenalkan Orked Adelia... steward kita yang baru.” Syed Haidar memperkenalkan Orked pula.
Cef Sufi mengangguk dengan senyuman terukir.
“Hai cef. Salam kenal. Sila beri tunjuk ajar.” Orked turut angguk tanda perkenalan. Dia tak pasti apa ayat pemula yang harus dituturkan. Cef Sufi nampak berusia dan berbadan agak tegap. Masih terserlah ketampanan walaupun rambut sudah mula beruban.
Good girl.” Syed Haidar puas hati.
“Eh kejap. Steward... macam pramugara ke?” Orked musykil. Dalam restoran ada pramugara ke. Dia mendekat ke meja Syed Haidar dan tayang muka peliknya.
“Nampak macam kita ni dalam kapal terbang ke? Tunggu petang nanti. Awak tahulah steward tu apa kerjanya. Habislah penumpang kapal terbang kalau awak jadi
pramugari.” Syed Haidar sinis. Dia bangun dengan memegang sesuatu di tangannya. Tablet dan headphone. Langkah diatur berjalan ke arah Orked yang kelihatan masih bingung.
“Mulut tu...” Orked geram. Hampir sahaja penumbuk dinaikkan. Apabila ternampak pandangan Cef Sufi pantas tangannya pantas dijatuhkan. Kenapa dia nampak aura arwah papa dalam diri Cef Sufi. Matanya melekat mengikut pergerakan Syed Haidar.
“Cik Orked meh sini. Cik Orked duduk diam-diam kat sini. Waktu kerja Cik Orked mula pukul empat nanti. Lambat lagi.” Syed Haidar mengarahkan Orked duduk di sofa. Ditepuk sofa empuk itu dengan tangannya. Seperti menyuruh gadis itu duduk di situ.
Tanpa sebarang bantahan, Orked mengikuti arahan Syed Haidar. Dia duduk di tempat yang ditunjukkan oleh lelaki itu tadi.
“Ni headphone dengan tablet. Silalah tengok movie atau layan K-Drama.” Syed Haidar menyerahkan tablet kepada Orked. Tablet yang biasanya adik perempuannya gunakan untuk layan K-Drama apabila berkunjung ke situ.
Orked memandang gadget di tangannya dengan penuh tanda tanya. Matanya sekejap memandang Syed Haidar dan sekejap beralih ke arah gadget tadi.
“Saya tak nak perbincangan saya dengan Cef Sufi terganggu. Dan lagi satu jangan gelak kuat-kuat. Be a good girl.” Syed Haidar memakaikan headphone ke kepala Orked. Sempat lagi dia mengusap ubun-ubun Cik Mafia sambil tersenyum.
Terkebil-kebil mata Orked melihat perlakuan Syed Haidar. Mujur ada orang lain dalam bilik itu. Kalau tak memang patahlah jari-jemari Tuan Syed si hidung seksi ni.

No comments:

Post a Comment