Wednesday, 11 April 2018

TUKANG MASAK CIK MAFIA - BAB 8




“SIAPA budak tu?”
Syed Haidar tidak menjawab. Sebaliknya dia terus labuhkan punggung.
“Siapa?” tanya Cef Sufi sekali lagi. Soal pengambilan pekerja memang urusannya, sebab itulah dia pelik kenapa tiba-tiba ada pekerja baru pada akhir Ramadan.
“Saya kemalangan dengan dia semalam. Saya terlanggar dia.” Akhirnya Syed Haidar membuka mulut.
“Hah?” Cef Sufi kurang faham. Apa kena-mengena kena langgar dengan bekerja di Heaven Kitchen.
“Saya langgar dia sampai cedera kat lutut. Katanya nak viralkan kes tu kalau tak bagi dia kerja.” Dengan berat hati Syed Haidar bercerita. Badan disandarkan ke belakang sambil tangan diletakkan ke dahi.
“Pelik, biasanya orang ugut sebab nak duit. Ni cuma nak kerja je. Ada niat lain ke?” Cef Sufi menoleh ke belakang sekilas. Melihat Orked yang sedang duduk berlunjur di sofa
sambil membelek tablet.
“Itu pun saya pelik jugak tu. Dia ugut nak patahkan hidung saya kalau tak bagi dia kerja. Melampau sangat. Jadi terpaksalah saya bagi dia kerja.” Syed Haidar enggan bercerita lebih-lebih. Nanti terbongkar rahsianya diugut perempuan. Hilang machonya nanti.
Hamboi... ganasnya. Tak padan dengan kecik.”
“Itulah... nanti minta Aaron tolong ajar dia apa yang patut. Buat masa ni dia akan ganti Nurul yang sedang bercuti. So, lepas raya nanti kita ada tiga steward. Soal gaji saya akan potong dari gaji saya. Saya harap dia tak kerja lama kat sini.” Syed Haidar memerhati Orked. Apalah dugaan yang bakal hadir. Kenapa tiba-tiba dia ditemukan dengan budak tak cukup umur ni.
“Muka dia comel...”
“Memang dia comel... budak lagi.” Syed Haidar tersedar. Kenapa mulutnya tiba-tiba puji Cik Mafia yang ganas tu. Matanya dah tak betul agaknya. Asyik ternampak kecomelan gadis itu saja. Cef Sufi ni pun satu. Sengaja kenakan dia.
“Muda sangat. Patutlah... pucuk muda memang selalu orang cari.” Cef Sufi sengih. Kenapa pula Tuan Syed ni? Takkan menggelabah hanya kerana sebut comel.
“Dia tu hampir separuh umur saya. Adik saya pun lebih tua dari dia.” Syed Haidar cuba menutup ketelanjuran kata-katanya.
Cef Sufi sembunyikan senyum. Jarang lelaki cari pucuk tua. Nak yang lagi muda adalah. Kalau Orked baru habis SPM maknanya sebaya dengan anak ketiganya. Remaja baru nak membesar memang banyak tingkah. Harap-harap Heaven Kitchen tak huru-hara kerana Orked Adelia.
“Biarkan jelah dia. Tarikh yang Tan Sri Kamarul tu
minta, kosong ke?”
“Alhamdulillah... tercapai jugak hasrat Tan Sri Kamarul nak buat jamuan hari raya kat sini. Cadangan menu saya akan e-mel secepat mungkin. Nampaknya sepanjang hujung minggu bulan Syawal kita akan sibuk.”
Syed Haidar mengangguk mendengar penerangan cef eksekutifnya. Selepas majlis perkahwinan Suhaila tahun lepas banyak permintaan untuk mengadakan majlis seumpama itu. Mungkin ini semua rezeki kerana berjumpa semula dengan adiknya.
“Cef Sufi aturkan apa yang patut. Nanti saya akan hubungi Faizal dan bincangkan berapa duit raya kita nak bagi kepada pekerja. Bulan depan saya ada jemputan mengadili rancangan masakan dekat Dubai. Tarikh tu nanti Faizal akan confirmkan. Dan... tolong jaga budak kecik ni baik-baik. Saya tak nak restoran saya huru-hara.”
ORKED...” SYED Haidar berdiri berpeluk tubuh sambil memanggil. Langsung tiada tindak balas. Malah Orked kelihatan tidur nyenyak.
“Orked...” panggil Syed Haidar lagi. Memang mustahillah dia nak kejut Orked macam tengah hari tadi. Tak fasal-fasal bocor pula usus dia kali ini.
“Orked Adelia...”
Hmm...” Terbit suara dari bibir Orked. Bukannya dia terjaga tapi berkalih tempat lagi adalah.
Syed Haidar naik angin. Sudahlah kena ugut. Sekarang dia jadi tukang kejut pula. Dia tak perasan bila masa Orked terlentok. Selesai perbincangan dengan Cef Sufi selesai berganti pula perbincangan dengan Faizal. Skrip yang
sama terpaksa diceritakan kepada Faizal.
“Orked Adelia!” Syed Haidar panggil Orked dengan nada keras. Namun masih lagi tiada tindak balas. Tahap sabarnya sudah hampir menipis. Dengan mulut terkumat-kamit dia mengayun langkah keluar dari pejabatnya menuju ke kawasan bar.
“Tolong ambilkan saya satu bucket air batu...”
Fairuz hairan dengan permintaan majikannya tapi diambil juga air batu seperti yang diminta. Entah apa yang majikannya mahu lakukan dia pun tak pasti. Satu baldi kecil air batu bertukar tangan.
“Siaplah kau budak kecik... menyusahkan je!” Syed Haidar tersengih nakal. Dia mengayun langkah kembali ke pejabatnya. Dengan baldi kecil berisi air batu di tangannya, dia sudah fikirkan sesi balas dendam.
“Orked Adelia, bangun.” Syed Haidar panggil sekali lagi. Lepas tiga kali dia panggil Orked tidak bangun, masa untuk dia jalankan rancangannya. Dia berdiri betul-betul di lengan sofa tempat kepala Cik Mafia mendarat.
Segenggam air batu diletakkan di dahi gadis itu. Setelah selesai, cepat-cepat Syed Haidar menunduk dan bersembunyi di balik lengan sofa. Dia tutup kedua belah telinganya. Sekejap lagi harimau akan bangun dari tidur.
“Sejuk, sejuk, sejuk...” Orked melompat bangun. Dia mengesat air batu di mukanya. “Mana datang air batu ni?” Orked melihat sekeliling. Terdengar suara ketawa seseorang. Dia meninjau di sebalik lengan sofa.
“Hei!”
“Apa hei-hei? Nak kerja ke tak nak ni.” Syed Haidar sudah pun berdiri tegak.
Orked terdiam. Mestilah dia nak kerja.
“Melampau! Tak reti nak kejut orang elok-elok.
Nasib baik aku tak beku kat sini. Aku tumbuk muka kau tu baru tahu.” Orked membersihkan sisa-sisa air di dahi dan rambutnya.
“Dah tu awak nak saya kejut macam mana? Orked ku sayang... bangunlah... macam tu?” Syed Haidar sepetkan matanya sambil mulut menyindir Orked.
“Memang taklah.”
“Dah, jom keluar. Orang dah mula kerja dia membuta lagi.” Syed Haidar berjalan melintasi Orked dengan perasaan takut-takut. Bimbang kalau Cik Mafia tiba-tiba bertindak di luar alam. Bukan boleh percaya perempuan ni. Dia pandang gadis itu sekilas sebelum membuka pintu.
“Air liur basi. Pergi cuci muka sana.”
Orked menyentuh tepi bibirnya dengan jari. Sedikit basah di situ. Segan pula dia nak angkat muka menghadap Syed Haidar.
“Tandas kat sana.” Syed Haidar menunjukkan pintu yang terletak di hujung bilik.
Orked menunduk. Langkah kakinya laju menghala ke tandas. Kalau boleh dia mahu tampal simen dua atau tiga inci ke atas mukanya. Segan punya fasal.
“AARON, DIA ni pekerja baru. Nama dia Orked Adelia. Dia...”
“Panggil Del.” Orked mencelah.
Syed Haidar pandang tajam ke arah Orked. Pantang dia kalau pekerja suka-suka mencelah. Hatinya bertambah panas bila gadis itu buat tak tahu.
“Orked, ni sabun cuci. Itu singki tempat kerja awak.
Lepas cuci pinggan, lap bersih-bersih ya. Buat masa ni belum ada pinggan kotor yang perlu dicuci. Jadi awak kena ikut arahan Aaron.” Syed Haidar maniskan muka dan bertutur selembut yang mungkin. Para pekerja sedang memerhatikan dia dengan Orked. Kalau tiba-tiba dia naik angin, imejnya bakal tercalar.
Syed Haidar nampak muka berkerut Aaron. Seakan-akan mahu bertanyakan sesuatu. Tangan Aaron menunjuk ke arah dishwasher. Sebaliknya Syed Haidar memberi isyarat agar buat tak tahu.
“Kena cuci pinggan ke? Ini yang namanya steward... habislah tangan saya nanti. Kecut dan berkedut-kedut. Tak cantik dah.” Orked membebel sambil membelek tapak tangannya. Dekat rumah dulu nak cuci pinggan sendiri pun jarang. Sekarang kena cuci pinggan untuk orang lain.
“Habis tu awak nak kerja apa Cik Orked?” Syed Haidar bengang.
Waitress.” Orked tersengih sambil kelip-kelipkan mata. Tentu dia nampak comel dengan kemeja merah dan skirt hitam. Pakaian seragam pelayan perempuan Heaven Kitchen yang pernah dia lihat di Internet. Apa yang penting dengarnya kalau jadi pelayan boleh dapat tips yang banyak.
No! Tak boleh. Nanti habis pelanggan kena tumbuk.”
“Alah... kejamnya.” Orked tarik muka. Syed Haidar selalu saja jadi penjahat dalam kisah dia.
Take it or leave it Orked. Ini je kerja yang ada.”
“Okey, saya kerja. Cuci pinggan pun cuci pingganlah.”
Good girl.” Syed Haidar usap ubun-ubun kepala Orked.
Terbeliak mata Orked dengan gelagat majikannya. Sekali lagi rasa nak karate tangan tu sampai patah. Suka-suka saja nak sentuh aurat orang. Tapi dia juga yang salah sebab tak tutup aurat. Maka dia diamkan sahaja.
“Aaron, saya tinggalkan dia.”
“Okey Tuan Syed.” Aaron angguk. Sedari tadi dia melihat dan mendengar perbualan majikannya dengan gadis comel berambut pendek itu. Sedikit pelik apabila majikannya sendiri yang memperkenalkan gadis itu dan bukan Cef Sufi. Apa yang bertambah pelik dia seakan terlihat sesuatu antara mereka.
“Kerja baik-baik, jangan buat hal.”
Orked menjeling Syed Haidar. Pandai pula ugut-ugut orang. Mujurlah Syed Haidar bakal pembayar gaji dia. Jadi dia haruslah berbaik-baik dengan lelaki itu.
“Orked Adelia kan?” Aaron bersuara.
“Del saja...”
“Okey Del, mari saya tunjukkan apa kerja kamu. Lepas ni boleh tukar uniform.”



No comments:

Post a Comment