DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Arsha Wee. Show all posts
Showing posts with label Arsha Wee. Show all posts

Friday, 4 March 2016

TIRAI DOSA KELMARIN - BAB 19



“Abang, ada hal penting ke sampai nak jumpa saya dekat luar ni? Saya ingat esok baru nak pergi office abang aje.” Ujar Iman Faliq sebaik melabuhkan duduk.
“Kebetulan aku ada kerja dekat area sini. Kau sibuk ke?” Soal Aiman Iqbal pula. Ikatan tali leher dileraikan. Terasa rimas tubuhnya saat itu walaupun restoren itu lengkap dengan penghawa dingin.
“Alhamdulillah. Sibuklah jugak bang… Erm, ada apa-apa yang penting abang nak bincang dengan saya ke?” Iman Faliq tidak senang melihat wajah Aiman Iqbal yang sedikit resah itu.
“Hm… Kau serius ke nak kahwin dengan adik aku tu?” Tutur Aiman Iqbal beserta keluhan halus.
“Kenapa abang tanya macam tu?” Iman Faliq mula berasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan soalan yang diajukan.
Aiman Iqbal tidak jadi menjawab pertanyaan Iman Faliq apabila pelayan restoran menghampiri mereka untuk menghantar minuman yang dipesan tadi. “Aku rasa, baik kau cepat-cepatlah kahwin dengan Iman.” Balasnya lambat setelah pelayan restoren beredar dari meja mereka. Disisp perlahan jus tembikai yang baru sahaja tiba.
Iman Faliq berkerut dahi. Kini gilirannya pula meleraikan ikatan tali leher yang elok kemas di kolar baju kemejanya. Tidak senang dengan kata-kata Aiman Iqbal. “Abang tak percayakan saya ke?” Soal Iman Faliq dengan debar yang mula menjentik tangkai hati. Risau seandainya Aiman Iqbal menukar fikiran dan apa yang diharapkan selama ini hanya tinggal harapan. Dia tidak mahu itu terjadi.
“Bukan aku tak percayakan kau Faliq… Cuma…” Aiman Iqbal mematikan kata. Dia menyandarkan tubuh beserta keluhan berat meniti bibirnya.
“Cuma apa?” Iman Faliq tidak sabar menyoal. Menanti bait kata yang tergantung daripada bibir Aiman Iqbal. Dalam hati dia berdoa agar perkara yang akan disampaikan oleh Aiman Iqbal, baik belaka. Cuba diusir tanggapan-tanggapan negatif yang menerjah benaknya.
“Aku takut kau tak sempat kahwin dengan Iman…” Balas Aiman Iqbal berserta keluhan.
“Hah?” Hampir terhampur jus oren dari dalam mulutnya apabila mendengar kata-kata Aiman Iqbal. Tidak senang duduk jadinya.
“Tadi Mak Ita call aku. Dia kata tadi ada orang masuk merisik Iman.” Tutur Aiman Iqbal berserta keluhan. Ibu angkatnya itu terus memaklumkan kepadanya selepas rombongan merisik pulang.
“What?” Membulat mata Iman Faliq. Mujur dia tidak terjerit di situ. Dia menyisip perlahan jus oren di hadapannya untuk menenangkan sedikit hatinya yang mula berubah rentak. Terasa sempit ruang dadanya saat itu.
Aiman Iqbal tersenyum kecil. Lucu melihat wajah Iman Faliq yang tiba-tiba berubah pucat. Tidak salah perhitungannya sebelum ini. Iman Faliq serius ingin bertanggungjawab ke atas adiknya. Melihatkan perubahan adiknya akhir-akhir ini, dia mula berlapang hati.
“Abang, boleh saya tahu siapa yang masuk merisik Iman?” Soal Iman Faliq dengan suara yang tertahan. Perasaan ingin tahu begitu membuak di hatinya.
“Fahmi…” Jawab Aiman Iqbal sepatah selepas mendiamkan diri sebentar.
“Fahmi?” Sebaris nama itu meniti bibir sebelum Iman Faliq melepaskan nafas berat. Dia semakin tidak senang duduk. Terasa seperti duduk atas bara api. Ingin saja dia memaksa Nur Imanina agar bernikah dengannya saat itu juga. Namun, dia masih lagi waras untuk berbuat perkara-perkara yang mungkin sahaja akan memusnahkan kepercayaan Nur Imanina yang baru saja terbina.
Berulang kali dia beristighfar dalam hati agar kembali tenang dan berfikir jalan yang terbaik supaya Nur Imanina tidak menjadi milik orang lain. Niat untuk bertanggungjawab ke atas diri gadis itu bukanlah semata-mata kerana tanggungjawab dari apa yang dilakukan sebelum ini. Tetapi, hatinya sendiri terusik sejak pertama kali bertemu semula dengan gadis itu ketika dia baru pulang dari mengerjakan umrah beberapa bulan lalu. Wajah mulus itu sudah mula mengambil tempat di hatinya tanpa dipaksa.
“Faliq, aku rasa ada baiknya kau cepat-cepat selesaikan semua benda ni sebelum Fahmi yang bertindak dulu. Buat masa ni, Ayah Nan dengan Mak Ita pun tak buat lagi apa-apa keputusan. Dia tanya pendapat aku dulu. Cuma aku rasa, kalau kau tak bertindak… Aku risau Mak Ita dengan Ayah Nan terima Fahmi tu. Sebab sebelum ni memang Fahmi pernah rapat dengan keluarga Ayah Nan, dengan keluarga aku. So, aku harap kau cepat-cepatlah bertindak. Buat apa yang patut.” Nasihat Aiman Iqbal panjang lebar.
“Habis tu, abang pun nak terima Fahmi ke?” Soal Iman Faliq terburu-buru. Gejolak hati tidak lagi dapat dibendung. Berita yang disampaikan oleh Aiman Iqbal benar-benar merunsingkan hatinya. Mana mungkin dia akan melepaskan Nur Imanina begitu sahaja walaupun masih jelas kedinginan wanita itu untuk menerima dirinya.
“Kau rasa?” Aiman Iqbal sengaja ingin menduga. Dia sembunyi senyum.
“Biar betul abang ni?” Balas Iman Faliq semakin kalut dengan perasaannya sendiri.
Aiman Iqbal melepaskan tawa kecil. “Faliq, kau jangan risaulah. Kalau aku nak terima dia, dari awal aku dah suruh Ayah Nan dengan Mak Ita say yes. Takdanya aku jumpa kau hari ni.” Balasnya dalam senyuman.
Iman Faliq tersenyum kelat. Malu dengan kekalutan sendiri.
“Kalau dulu memang aku percayakan Fahmi. Iman sendiri pernah rapat dengan Fahmi sebab dari kecik kita orang dah kenal. Cuma.. Lepas kes kau…” Ayatnya tidak jadi diteruskan. Sebak hatinya tiba-tiba apabila teringat kisah lalu. Sebolehnya, dia sendiri ingin melupakan peristiwa hitam yang berlaku. Malam di mana ibu bapanya juga kembali kepada maha Pencipta.
“Abang…” Seru Iman Faliq perlahan. Dia turut menyesali apa yang telah berlaku.
“Faliq, sekarang ni aku harap pada kau sorang aje yang boleh jaga Iman. Aku pun yakin yang Iman takkan terima Fahmi. Dia sendiri pernah percayakan Fahmi dulu. Tapi lepas apa yang jadi, Iman bukan Iman yang dulu. Pernah jugak sebelum ni Fahmi cuba pujuk Iman untuk kahwin dengan dia. Tapi Iman sendiri yang tolak. Dan aku rasa, memang kau yang sepatutnya bertanggungjawab pada Iman. Bukan Fahmi.” Luah Aiman Iqbal meletak harapan tinggi pada Iman Faliq.
Iman Faliq meraup wajahnya beserta keluhan. Terharu dengan apa terucap di bibir lelaki di hadapannya itu. Penuh pengharapan. Dia sendiri telah berjanji dengan dirinya sendiri untuk melakukan yang terbaik buat diri Nur Imanina. Dan akan memastikan Nur Imanina hidup bahagia di sampingnya nanti. “Abang, apa yang saya kena buat sekarang ni?” Soalnya perlahan. Buntu memikirkan cara terbaik untuk memiliki Nur Imanina sebelum segalanya musnah kerana Fahmi. Dia cukup yakin Fahmi akan melakukan apa sahaja untuk memiliki gadis itu. Masih segar lagi diingatan pada malam dia menodai Nur Imanina, Fahmi sendiri ada menyatakan hasrat hatinya untuk memiliki wanita itu.
“Faliq, aku sebenarnya tak boleh nak tolong apa. Semuanya bergantung pada keputusan Iman jugak. Cuma sekarang ni, aku dah serah sepenuhnya pada Ayah Nan dengan Mak Ita untuk buat keputusan. Tapi kau janganlah risau, aku yakin Iman takkan terima Fahmi. Aku pun dah cakap dengan Mak Ita jangan terima pinangan Fahmi tu.” Balas Aiman Iqbal tenang.
Iman Faliq menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya peluang masih menyebelahinya. Cuma dia risau Fahmi akan melakukan lebih dari apa yang dapat dijangkakan.
“Ada baiknya kau jumpa Iman, bincang hal ni elok-elok sebelum Fahmi buat apa-apa. Hujung minggu ni Iman nak balik kampung. Kau pergilah jumpa dia dekat sana. Lepas tu kau terus mintak izin Ayah Nan dengan Mak Ita sekali. Lagipun dia orang dah kenal kau kan. Aku rasa tak susah kau nak buat semua tu…” Tutur Aiman Iqbal lagi memberi cadangan.
“Hujung minggu ni? Ya Allah… Lusa saya dah kena pergi Penang. Tak tahu balik bila.” Keluh Iman Faliq dengan urusan kerja yang turut sama menuntut perhatiannya. “Erm… Abang, kalau saya terus hantar wakil datang merisik Iman hujung minggu ni boleh tak?” Usulnya apabila teringat akan Datuk Hamzah.
“Erm… Aku rasa elok jugak macam tu. Macam apa yang aku cakap tadi, semua keputusan aku dah serah pada Ayah Nan dengan Mak Ita. Hujung minggu ni pun aku tak dapat balik kampung. Esok dah kena pergi Johor sampai Ahad ni. Tu yang kena jugak jumpa kau hari ni.” Balas Aiman Iqbal senang. “Erm.. Kalau confirm kau nak hantar wakil, nanti aku boleh bagi tahu Ayah Nan dengan Mak Ita. Takdalah dia orang terkejut kalau wakil kau datang nanti.” Lanjutnya lagi.
“Erm.. Kalau dah macam tu kata abang, kira jadilah. Hal-hal lain, nanti saya discuss dengan mama.” Putus Iman Faliq akhirnya. Kini dia berharap agar segalanya akan berjalan dengan lebih lancar.
“Erm.. Iman macam mana?” Tanya Aiman Iqbal yang tidak mahu hak adiknya itu diketepikan walau apa pun rancangan yang akan mereka lakukan.
“Hal Iman, nanti saya akan cuba cakap dengan dia waktu terdekat ni. Abang doakanlah yang terbaik untuk kami… Inshaa Allah saya akan buat yang terbaik untuk Iman.” Tutur Iman Faliq lirih. Benar-benar berharap agar apa yang dilakukan sentiasa di bawah pelindungan dan keredaan Dia.
“Inshaa Allah Faliq. Aku dengan Zu, selalu doakan yang terbaik untuk kau dengan Iman. Aku pun harap sangat dia dapat terima kau.” Balas Aiman Iqbal dengan senyuman nipis.
“Terima kasih bang…” Ucap Iman Faliq seraya menghulurkan tangan.
Aiman Iqbal pula menyambut huluran tangan itu seraya bangun. Menepuk perlahan bahu Iman Faliq persis memberi semangat. “Buatlah yang terbaik Faliq. Inshaa Allah..” Ucap Aiman Iqbal ikhlas mendoakan yang terbaik untuk masa depan Aiman Faliq dengan adiknya. “Faliq, aku ada urusan lain lagi lepas ni. Apa-apa hal nanti, kau call aje aku. Mana yang aku boleh tolong, aku tolong nanti. Inshaa Allah..” Ujar Aiman Iqbal yang ingin meminta diri dahulu. Ada urusan lain yang menantinya.
“Inshaa Allah bang.. Terima kasih.” Balas Iman Faliq menarik senyuman lega. Bersyukur tidak terhingga kerana Allah permudahkan lagi jalan untuknya. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Aiman Iqbal yang mempercayai dan menyokong hasratnya untuk memperisterikan Nur Imanina.
“Faliq, bil air ni takpa kan kalau bakal adik ipar yang bayar untuk bakal abang iparnya..” Sempat Aiman Iqbal mengusik sebelum berlalu. Dia menampar perlahan bahu Iman Faliq. Bukan sengaja ingin mengambil kesempatan pada bakal adik iparnya yang berada itu. Tetapi dia yakin Iman Faliq akan melakukan apa sahaja demi meraih kepercayaan darinya untuk memiliki Nur Imanina.
“Takpa bang… Boleh.” Balas Iman Faliq dengan senyuman. Sedikit pun tidak terbeban untuk membayar harga dua gelas minuman. Apa yang diberitahu oleh lelaki itu jauh lebih mahal dari harga yang perlu dibayar.
*********
Entah kenapa sejak akhir-akhir itu hatinya terasa tenang melalui hari-hari yang mendatang. Sama tenang dengan angin pagi yang menyapu wajah kala itu. Kicau burung dan geseran daun yang disapa angin membawa irama cukup indah menjadi halwa telinga. Sama indah apa yang dirasakan saat itu di hatinya. Mata dipejam cuba menghayati. Tanpa sedar bibirnya menguntum senyuman paling manis yang telah lama tidak kelihatan.
Kelopak mata diangkat tatkala teringat cebisan ayat yang mengusik hatinya sejak akhir-akhir ini daripada Iman Faliq. Lelaki itu memang sabar mananti. Sungguhpun lelaki itu tidak pernah memaksa, namun setiap cebisan ayat yang dihantar sudah cukup memberi impak yang amat besar dalam hidupnya. Cara yang lebih halus itu juga sedikit sebanyak berjaya membuka pintu hatinya untuk menerima kehadiran insan bernama lelaki. Dan peluang itu hanyalah untuk Iman Faliq.
Tembok kebencian dan kemarahan yang pernah terbina kukuh selama ini, semakin terhakis. Mungkin tidak lama lagi akan musnah sama sekali hingga tidak meninggalkan kesan. Kerana lelaki itu juga dia mula mempertimbangkan semula baik buruk masa depannya nanti. Kerana Iman Faliq dia cuba membahagiakan hati ahli keluarga lain yang selama ini tidak henti memberi semangat dan dorongan.
Seperti sebelum ini juga, setiap hari dia menerima kuntuman ros merah daripada lelaki itu. Tetapi kali ini, kembali dengan cara mula-mula lelaki itu ingin mengenalinya. Jika dahulu disertakan dengan sekeping kad comel dan pantun dua kerat yang menggunakan nama Zarif Aimin. Tapi kali ini, kad comel bertulis cebisan ayat yang mampu menggetarkan hatinya. Semua cebisan ayat yang diberi, menyentuh hingga ke dasar hatinya yang paling dalam.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang;…. Al-hujurat:49:12
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. An-nahl:16:126
Tanpa dipaksa, air jernih mula bertakung di tubir mata. Terpaksa ditelan kata-kata kakak iparnya sebelum ini. ‘Manusia boleh berubah!’ Hanya dia sahaja yang tidak mahu melihat dan menerima perubahan yang berlaku. Sengaja dikeraskan hatinya selama ini dengan tanggapan negatif kepada insan bernama lelaki yang telah memusnahkan masa depannya. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia membuat keputusan yang terbaik demi kebahagian dirinya dan orang yang sentiasa memberi sokongan kepadanya selama ini.
Pandangan mata dibuang ke sekitar pondok kayu yang dijaga baik oleh Ayah Nannya. Daun-daun kering sudah berlonggok tidak jauh dari pohon itu. Buah rambutan pula sudah kelihatan  jarang. Hanya tinggal sebiji dua di hujung-hujung pucuk yang tinggi. Di pondok itu jugalah tempat dia bermain waktu kecil dahulu bersama Ema dan abangnya. Tidak ketinggalan juga Fahmi. Lelaki yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri sanggup mengkhianati dirinya. Keluhan berat pula yang meniti bibir menggantikan senyuman manisnya tadi. Menunduk pandangan matanya melihat hujung selipar yang tersarung di kaki. Namun hanya seketika apabila terdengar derap kaki yang kian menghampiri.
“Apa abang buat dekat sini?” Soalnya dengan suara yang mendatar. Tidak mahu lagi berkasar walaupun lelaki itu pernah menyakiti hatinya. Dia akan cuba belajar menerima dan memaafkan orang yang pernah menyakitinya dahulu. Teringat pada keratan ayat Al-quran yang dihadiahkan oleh Iman Faliq kepadanya Jumaat lalu.
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Ali-Imran:3:134
Pandangan mata direndahkan semula. Tidak mahu bertatapan dengan Fahmi yang berdiri tidak jauh darinya.
“Nur sihat?” Fahmi tidak menjawab sebaliknya sengaja mencipta soalan lain untuk berbual panjang dengan gadis itu.
“Macam yang abang tangok…” Jawab Nur Imanina seadanya. Entah kenapa sukar benar dia menerima kembali kehadiran Fahmi dalam hidupnya seperti dahulu. Sukar mempercayai apa yang pernah dilakukan dulu semata-mata kerana duit. Kepercayaan dan kasih sayang yang diberi seperti abang kandungnya sendiri sebelum ini hilang sama sekali selepas apa yang berlaku.
“Erm… Makin cantik Nur sekarang…” Puji Fahmi cuba memancing perhatian gadis itu memandang ke arahnya.
“Takda apa yang berubah…” Balas Nur Imanina malas. Sedikit pun matanya tidak singgah ke wajah Fahmi.
“Nur macam mana sekarang? Kerja okey?” Tanya Fahmi lagi.
“Macam biasa aje.” Balas Nur Imanina dalam nada yang sama.
“Nur mesti benci dengan abang kan? Nak pandang muka abang pun Nur dah tak sudi.” Tutur Fahmi sengaja melirihkan suara. Dia tahu gadis dihadapannya itu tidak pernah memaafkannya selama ini. Malah jelas kedinginan di sepasang mata bundar itu.
“Taklah. Kan Nur dah cakap dengan abang, Nur dah maafkan abang.” Balas Nur Imanina seraya matanya singgah sebentar ke wajah Fahmi yang berdiri di pohon rambutan hadapannya. Dia perasan mata lelaki itu sedikit pun tidak lepas memandangnya. Terasa dirinya seperti ditelanjangkan oleh mata lelaki itu.
“Abang tak rasa pun Nur dah maafkan abang…” Balas Fahmi menduga.
“Terpulanglah pada abang nak rasa apa pun. Cuma apa yang Nur tahu, Nur tak nak pun ungkit lagi benda lepas. Nur dah tak nak ingat lagi hal tu semua.” Balas Nur Imanina semakin tidak selesa berlamaan di situ.
“Maknanya, tak salahkan kalau abang masuk meminang Nur?” Ujar Fahmi lagi terus kepada agenda utama dia datang bertemu Nur Imanina di situ.
“Apa maksud abang ni?” Soal Nur Imanina dengan dahi yang mula berkerut. Matanya tajam menikam ke wajah Fahmi.
“Abang ada hantar wakil untuk merisik Nur. Tapi Mak Ita dengan Ayah Nan tak bagi keputusan lagi. Dia suruh abang sendiri yang tanya Nur.” Jelas Fahmi. Rasa bersalah dalam dirinya membuatkan dia tekad untuk bertanggungjawab ke atas diri itu. Tanpa pengetahuan Nur Imanina dia telah menghantar wakil untuk merisik beberapa hari lepas. Dia akan cuba sedaya upaya memujuk hingga Nur Imanina bersetuju. Malah sanggup melakukan apa saja demi memiliki gadis yang sudah lama bertakhta di hatinya itu. Dia tidak mampu lagi menafikan apa yang dirasakan. Sesungguhnya dia sendiri menahan keperitan hati apabila terpaksa merelakan orang yang disayangi menjadi habuan kepada orang lain semata-mata kerana duit.
“Hah? Abang ni gila ke? Kan Nur dah cakap dengan abang sebelum ni. Nur takkan kahwin dengan siapa-siapa pun termasuk abang!” Balas Nur Imanina tegas dan berpaling. Rasa geram dan marah mula terkepung di dada dengan tindakan berani Fahmi menghantar wakil untuk merisiknya. Agak terkejut dengan apa yang diungkapkan kerana kedua-dua orang tua angkatnya langsung tidak memaklumkan hal itu ketika dia tiba semalam. Kini ketenangan hatinya kian pudar apabila mendengar kata-kata Fahmi.
“Tapi sampai bila Nur? Nur tak teringin ke nak ada keluarga sendiri?” Kata Fahmi lagi berusaha memujuk.
“Memang Nur teringin. Tapi tu semua dah tak penting bagi Nur. Nur bahagia dengan hidup Nur sekarang!” Jawab Nur Imanina dengan suara yang tertahan. Semakin tidak keruan hatinya menahan perasaan marah yang mula berputik. Fahmi memang sengaja ingin menguji tahap kesabarannya saat itu.
“Tapi abang sayangkan Nur… Kita dah lama kenal Nur. Dari dulu lagi abang sayangkan Nur. Abang sanggup jaga Nur sampai bila-bila. Abang sanggup terima Nur… Kita kahwin Nur…” Pujuk Fahmi sehabis lembut dengan harapan Nur Imanina terpujuk dengan kata-katanya.
Nur Imanina merengus kasar. “Sudahlah bang. Simpan ajelah sayang abang tu untuk orang lain. Ramai lagi perempuan lain yang sesuai untuk abang. Tapi bukan Nur.” Balas Nur Imanina tegas. Meluat hatinya mendengar perkataan sayang yang meniti bibir lelaki itu. Sayang yang pernah dihulur kepada lelaki itu, telah diinjak lumat. Tidak bermakna lagi ucapan sayang yang terucap walaupun kasih sebagai seorang abang. Dia tidak rela. Padanya biarlah mereka hanya sekadar kawan. Tidak lebih dari itu.
“Tapi Nur… Abang sayangkan Nur. Abang tak pernah sayangkan perempuan lain selain Nur. Bagilah abang peluang untuk buktikannya Nur..” Rayu Fahmi lagi yang sudah menghampiri Nur Imanina. Kedegilan Nur Imanina memang mencabar egonya sebagai seorang lelaki.
“Apa yang abang nak buktikan pada Nur?” Mata tajam menentang wajah Fahmi di hadapannya.
“Abang sayangkan Nur. Nur percayalah…” Balas Fahmi yang turut sama menentang wajah yang mula memerah di hadapannya itu. Wajah ayu itu membuatkan tidur malamnya tidak lena sejak peristiwa lalu.
“Sudahlah abang.. Nur dah tak nak dengar lagi semua ni. Keputusan Nur tetap sama. Takkan berubah sikit pun.” Jawab Nur Imanina dengan suara yang sedikit mengendur. Dia menjarakkan sedikit tubuhnya dari Fahmi. Dia cuba menolak secara baik akan hasrat hati Fahmi dan pada masa yang sama berusaha mengawal diri agar tidak berlaku ketegangan antara dia dengan lelaki itu. Tidak mahu lagi mengeruhkan hubungan mereka yang sedia keruh itu. Baru sekejap tadi dia berjanji akan cuba memberi sedikit ruang hatinya kepada seorang lelaki bernama Iman Faliq. Tapi kini, dengan berani pula dia menyatakan tidak akan menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya di hadapan Fahmi.
“Nur… Susah sangat ke Nur nak maafkan abang? Tak boleh ke Nur terima abang? Abang nak bertanggungjawab atas apa yang abang dah buat pada Nur!” Fahmi merapati Nur Imanina dan menarik kasar kedua-dua bahu wanita itu agar berpaling kepadanya.
“Abang!” Nur Imanina yang terkejut dengan tindakan drastik Fahmi, cuba melepaskan diri. “Apa yang abang buat ni!” Bentaknya geram.
“Nur dengar sini. Abang sedia nak terima Nur seadanya Nur. Abang sayangkan Nur… ” Pujuk Fahmi lagi tanpa melepaskan kedua-dua belah bahu Nur Imanina. Dia mahu gadis itu tahu yang dia begitu ikhlas dan bersungguh untuk melakukan apa yang diucap sebelum ini.
Nur Imanina pula sedaya upaya melepaskan diri. Semakin kuat dia meronta, semakin kejap cengkaman Fahmi di bahunya. Sedikit pun tangan sasa itu tidak terlepas. “Abang! Lepaskan Nur! Sakitlah…” Nur Imanina menyeringai kesakitan dengan cengkaman Fahmi. Pada masa yang sama dia semakin takut melihat mata Fahmi yang memandangnya dari atas ke bawah.
“Nur terimalah abang sayang… Apa kurangnya abang… Abang sanggup terima Nur.. Abang sayangkan Nur..” Tutur Fahmi lembut sambil memegang pula kedua-dua belah pipi Nur Imanina. Merasai kehalusan kulit wajah itu menimbulkan satu perasaan lain pula di hatinya. Sungguh dia tidak sanggup melepaskan Nur Imanina lagi.
“Abang… Tolong lepaskan Nur… Bukan macam ni caranya abang nak Nur terima abang.. Lepaskan Nur bang…” Rintih Nur Imanina cuba berlembut. Dia semakin takut melihat nafas Fahmi yang dirasakan kian tidak teratur. Pandangan mata itu saja sudah cukup membuatkan Nur Imanina teringat kembali peristiwa lapan tahun lalu. Fahmi memandangnya dengan penuh bernafsu sekali. Sejuk kaki dan tanggannya apabila Fahmi semakin berani mengusap perlahan kedua-dua belah pipinya. “Abang… Lepaskan Nur abang…” Tuturnya lagi seperti ingin menangis. Bila-bila masa sahaja air matanya akan tumpah. Senyuman yang terukir di bibir Fahmi begitu menggerunkan. Seperti sedikit pun tidak terkesan dengan kata-katanya tadi.
“Nur… Abang dah lama tunggu Nur…” Ucap lelaki itu lagi. Tidak diendahkan rayuan Nur Imanina.
Nur Imanina cuba mengelak setiap kali jemari kasar Fahmi merayap di seluruh wajahnya. “Abang.. Kesiankanlah Nur..” Rayunya lagi dengan harapan Fahmi sedar apa yang dilakukan. Dia tidak mahu peristiwa lapan tahun lalu berulang kembali. Dia tidak sanggup melalui detik hitam itu sekali lagi. “Abang… Jangan macam ni…” Dia cuba memujuk lagi. Begitu hampir wajah Fahmi di hadapan wajahnya sehingga terasa nafas hangat yang menampar.
“Nur cantik sangat…” Kata Fahmi yang mula hilang kawalan. Nafsu lelakinya mula menguasai diri melihat wajah Nur Imanina yang memerah. Semakin berani tangannya bertindak. Tudung kepala yang tersarung di kepala Nur Imanina direntap hingga terurai rambut yang tersimpan kemas tadi.
“Abang… Jangan buat Nur macam ni bang…” Pinta Nur Imanina lagi yang sudah mengalirkan airmata. Dia tidak mampu lagi bertahan. Kini tubuhnya diasak hingga tersandar ke dinding pondok. Rambutnya dielus jemari kasar itu hingga meremang semua bulu romanya. Tidak tergambar apa yang akan dilakukan oleh Fahmi selanjutnya.
“Ab…” Belum sempat dia meneruskan mata, tangan Fahmi sudah menutup mulutnya.
“Abang sayang Nur. Kenapa Nur tak boleh terima abang? Kalau bukan sebab lelaki jahanam tu, Nur dah jadi milik abang…” Kata Fahmi lagi dengan dada yang mula turun naik menahan perasaan. Sudah lama Nur Imanina mendapat tempat di hatinya. Hanya gadis itu yang sering menolaknya sebelum ini kerana hanya menganggapnya sebagai abang.
Nur Imanina cuba menolak sekuat hati tubuh Fahmi yang sudah melekap ke tubuhnya. Namun, tenaga yang dimiliki tidak sekuat mana untuk menolak tubuh yang jauh lebih besar dari tubuhnya. Untuk menjerit meminta tolong, dia tidak mampu. Dalam hati tidak berhenti dia berdoa dan berharap agar ada orang membantunya di situ. Sebelah tangan Fahmi mula berani menyentuh bahagian tubuhnya yang lain membuatkan dia lebih kuat meronta. Tidak rela diperlakukan begitu. Sekuat hati dia meronta tetapi Fahmi lebih cepat bertindak. Rambutnya dicengkam kuat menyebabkan dia tidak mampu bergerak bebas. Pipinya pula menerima tamparan kuat hingga terasa ada cecair panas yang mengalir di tepi bibir.
“Sampai hati abang buat Nur macam ni… Abang kata, abang sayangkan Nur.. Nur sakit bang…” Rintih Nur Imanina. Semakin mencurah-curah air matanya membasahi pipi.
“Abang sayangkan Nur. Tapi tak salahkan kalau abang…” Fahmi semakin berani menyentuh tubuh mulus itu. Nafsu lelakinya kian memuncak apabila melihat leher putih Nur Imanina yang terdedah.
“Abang… Jangan buat Nur macam ni…” Rayu Nur Imanina lagi dalam esak tangis apabila terasa bibir Fahmi singgah ke batang lehernya. Tubuhnya yang terasak di dinding pondok kayu itu membataskan segala-segalanya.
“Toll….” Sekali lagi mulutnya ditutup.
“Sayang abang ni kenapa… Abang belum buat apa lagi sayang.. Sayang janganlah jerit. Kalau tak..”
Fahmi semakin kuat mencengkam rambut panjang Nur Imanina hingga kepalanya terhantuk kuat ke dinding pondok. Terasa pandangannya semakin kabur dan berpinar-pinar. Sakit! Sedaya upaya tangannya cuba melepaskan cengkaman tangan Fahmi di rambutnya. Kini seluruh tubuhnya terasa sakit. Bukan sahaja hantukkan di kepala sahaja diterima. Tapi, sekali lagi tangan lelaki itu dilayangkan ke wajah. Perit! Tubuhnya ditolak kuat hingga rebah ke tanah. Dan kini Fahmi sudah mula menindih tubuhnya hingga dia tidak lagi mampu bergerak.
“Ya Allah… Bantulah hambaMu yang lemah ini…” Rintihnya perlahan. Dia tidak mampu lagi bersuara apabila dirasakan kedua-dua tepi bibirnya pecah menerima tamparan kuat daripada Fahmi. Kepala yang dirasakan semakin memberat, membuatkan seluruh tenaganya kian menghilang. Tanpa ada rasa belas, lelaki itu mula melunaskan tuntutan nafsunya. Habis seluruh wajahnya menerima sentuhan kasar Fahmi. Dia tidak mampu lagi berbuat apa. Hanya hatinya merintih sedih dengan air mata yang mengalir lesu. Namun jauh di sudut hati masih tetap berharap agar apa yang dilaluinya kini hanyalah mimpi buruk semata-mata.

TIRAI DOSA KELMARIN - BAB 18



“Kak, janganlah masam sangat muka tu. Dari tadi muka akak macam tu… Kita orang nak tegur pun takut…” Ujar Zura yang duduk di sisi Nur Imanina yang tenang memandu.
“Habis tu, Zura nak akak buat muka macam mana? Memang dah macam ni muka akak.” Balas Nur Imanina yang sedikit pun tidak berpaling ke sisinya.
“Ala… Sorry la kalau sebab kita orang, akak terpaksa pergi rumah Datin…” Celah Hanim pula yang duduk di belakang.
“Bukan sebab koranglah…” Balas Nur Imanina dengan keluhan berat.
“Habis tu?” Soal Zura pula.
“Hm… Datin sendiri yang call akak bila dia dapat tahu akak nak balik kampung hari ni…” Jawab Nur Imanina perlahan. Dia tidak mampu mengelak apabila Datin Farah sendiri menjemputnya ke majlis tahlil malam itu.
Zura dan Hanim sudah berpandangan antara satu sama lain beserta senyuman penuh makna terukir di bibir.
“Tapi kan. Macam mana Datin tahu yang akak nak balik kampung?” Ujar Nur Imanina sambil mengerling sekilas ke wajah Zura yang membuang pandang ke luar tingkap. Kedua-duanya hanya mendiamkan diri. Tidak menjawab sepatah pun. Dia memandang pula ke wajah Hanim melalui cermin pandang belakang. “Sudahlah korang… Jangan nak buat muka tak bersalah dekat sini. Jangan ingat akak tak tahu. Kalau bukan dari mulut gatal korang, mesti Kak Ema. Dah takda orang lain yang rajin mulut bagi tahu Datin.” Serkap Nur Imanina sambil menjeling ke wajah kedua-duanya.
“Err… Akak pasti ke kita orang yang bagi tahu? Anak kesayangan akak tu, akak ada bagi tahu dia jugak kan?” Balas Zura yang puas mencari alasan yang sesuai. Dia tahu pasti Nur Imanina akan mengesyakisnya dan Hanim.
Nur Imanina gigit bibir. Baru dia teringat yang Zarif Aimin begitu beriya mengajaknya menghadiri kenduri tahlil di rumah itu semalam. Tetapi dia ada memberi alasan untuk pulang ke kampung.
Semenjak perbincangan singkat di rumah banglo itu dua minggu lalu, dia tidak lagi ternampak kelibat Iman Faliq menghantar dan menjemput Zarif Aimin seperti biasa. Hanya kiriman kuntuman ros yang akan diterima setiap pagi. Tapi tidak disertai dengan kad comel seperti sebelum ini. Dan setiap kali diterima, mesti di hadapan Pak Hashim. Ingin dipulangkan semula, Pak Hashim kerap melarang dan selalu berpesan kepadanya agar sentiasa menghargai pemberian orang.
Ada beberapa kali pula, si kecil itu menyerahkan bunga ros tersebut di hadapan abangnya yang kebetulan menghantar anak saudaranya ke taska. Sejak itu, dia cuba mengikhlaskan hati. Setiap hari bunga ros di biliknya akan bertukar ganti. Cuma kini dia tidak dapat meneka apa yang cuba dilakukan oleh lelaki itu.
“Kak… Terus senyap aje…” Tegur Zura tiba-tiba menyentakkan lamunannya.
“Takda apalah..” Jawabnya malas. Mata tetap terhala ke tengah jalan. Mereka sudah pun masuk ke kawasan perumahan elit. Tidak sampai lima minit lagi mereka akan tiba ke destinasi yang dituju.
“Kak, kalau akak tak nak pergi, biar kita orang ajelah yang pergi. Nanti kita orang boleh balik dengan Kak Ema.” Ujar Hanim yang faham keadaan dingin Nur Imanina dengan anak majikannya.
“Kalau akak tak nak pergi, baik akak tak payah hantar korang kan?” Balas Nur Imanina sambil mengukir senyum nipis. Dia tahu kedua-dua teman serumahnya itu bijak menilai apa yang sedang berbuku di hatinya.
“Eh, kenapa tak ramai pun orang?” Soal Zura setelah Nur Imanina memberhentikan kereta di kawasan berhampiran. Tidak terlalu hampir dengan pintu pagar utama rumah Datin Farah.
“Kan awal lagi… Kenduri lepas maghrib…” Sahut Nur Imanina seraya mematikan enjin kereta. Jam di pergelangan tangan dikerling sekilas. Hampir jam 6.30 petang. Berdebar hatinya saat membuka pintu kereta. Tidak tahu untuk bereaksi apa jika bertemu dengan Iman Faliq nanti. Dia tahu lelaki itu sabar menanti jawapan darinya.
Hanim dan Zura sudah pun mendahului. Hanya dia yang sengaja menyeret lambat kedua-dua kakinya untuk melangkah masuk ke kawasan rumah besar itu. Jika tidak kerana Datin Farah yang begitu beriya inginkan kehadirannya hari itu, pasti kini dia sudah selamat tiba di kampung. Boleh juga dia bermanja dengan ibu angkatnya.
Berkali-kali tangannya naik ke kepala memperkemaskan tudung yang dipakai untuk membuang debar di hati yang semakin tidak menentu. Sesekali pula mata terhala ke arah tubuhnya sendiri tidak kelihatan canggung di mata yang melihat. Sebelum pergi tadi, berkali-kali dia menukar baju untuk memastikan pakaian yang dipakai bersesuaian dengan majlis yang bakal berlangsung.
Dalam leka melayan perasaan sendiri, tidak sedar kelibat Hanim dan Zura sudah pun hilang. Tinggallah dia berdiri tegak di pintu pagar yang sedia terbuka luas. Mata dibuang ke tempat parkir kereta. Dia perasan semua kereta telah diatur di luar rumah. Matanya meliar memandang khemah berlangsir putih yang sudah siap terpasang dan beberapa orang pemuda sedang menyusun atur meja kerusi. Tahu ianya akan menjadi ruang makan tetamu yang hadir nanti.
“Assalamualaikum…”
Sapa satu suara dari belakang membuatkan Nur Imanina mengurut dada perlahan. Sedikit tersentak walaupun suara itu cukup lembut di pendengarannya.
“Terima kasih sebab sudi datang…”
Ucap suara itu lagi membuatkan dia tidak punya pilihan. Terpaksa dia berpaling.
Iman Faliq melemparkan senyum manis. Lama dia memerhati Nur Imanina sejak wanita itu tiba tadi. Dia yang baru balik dari kedai berhampiran sedikit terkejut apabila melihat Kelisa warna merah jambu terparkir elok di belakang kereta Pak Hashim. Hinggalah dia perasan susuk tubuh itu keluar dari kereta dan kini berdiri betul-betul di hadapannya.
“Er… Mama awak jemput saya…” Tergagap Nur Imanina menjawab. Detak jantungnya semakin tidak seirama apabila melihat senyuman yang terukir di bibir lelaki itu. Secepat itu juga dia membuang pandang ke arah lain apabila dirasakan renungan Iman Faliq tepat ke dalam matanya.
“Mama Iman!” Zarif Aimin yang tiba-tiba muncul di muka pintu terus berlari mendapatkannya.
“Iman… Ajak Iman tu masuk. Dekat pukul 7 ni…” Terdengar pula suara Datin Farah menyapa di muka pintu utama.
“Mama… Jom masuk…” Ajak si kecil itu pula selepas menyalami tangan Nur Imanina. Tangan Nur Imanina terus ditarik agar menuruti langkahnya masuk ke dalam rumah.
Nur Imanina hanya menurut. Dalam debar di dada, dia bersyukur kerana tidak perlu berhadapan dengan Iman Faliq lebih lama. Dia takut andai lelaki itu menuntut jawapan yang masih belum diputuskan.
Datin Farah terus memeluk erat tubuhnya dan menghadiahkan kucupan hangat di dahi dan kedua-dua belah pipi membuatkan dia sedikit terpempan sebaik dia menyalami tangan wanita itu. Sebak hatinya tiba-tiba. Hanya arwah ibu yang melakukannya dahulu.
“Zarif, nanti ikut papa dengan daddy pergi masjid.” Ujar Datin Farah kepada cucunya selepas meleraikan pelukan.
“Okey Nek Wan!” Balas Zarif Aimin ceria yang sudah lengkap dengan baju melayu sedondon dengan baju melayu biru muda yang tersarung ditubuh Iman Faliq.
Nur Imanina tidak berkata apa. Hanya matanya sempat singgah ke wajah Iman Faliq sekilas yang memerhati sejak tadi. Masih bergayutan senyuman di bibir lelaki itu. Dan dia baru perasan baju kurung yang dipakai untuk majlis malam itu senada dengan warna baju yang tersarung di tubuh Iman Faliq dan si kecil Zarif Aimin. Jika ada mata yang memandang ke arah mereka di luar tadi, mesti akan tersalah anggap. Persis sebuah keluarga walaupun hakikatnya tidak.
“Iman… Zura dengan Hanim ada dekat atas tu. Tolong E’in siapkan goodie bag untuk tetamu nanti. Iman pergilah naik.” Arah Datin Farah sebelum berlalu.
Belum pun sempat Nur Imanina menjawab, kelibat Datin Farah sudah pun hilang di sebalik dinding batu. Terpinga-pinga dia sekejap yang sudah berdiri berhampiran tangga. Matanya sempat singgah ke ruang tengah rumah yang sudah pun siap tersedia untuk majlis tahlil yang bakal berlangsung sebentar sahaja lagi.
“Awak naiklah dulu…” Tegur Iman Faliq yang masih sama ada di situ. Terlupa seketika kewujudan lelaki itu tadi. Dilihat Zarif Aimin pula sudah berlari memanjat tangga.
Dia yang mula serba tidak kena, terpaksa menurut. Diseret juga kaki untuk memanjat tangga tanpa membalas kata-kata Iman Faliq yang berdiri tidak jauh darinya. Tidak tahu apa yang sedang bermain di hatinya saat itu. Apa yang pasti, perasaan marah dan bencinya selama ini seperti tidak pernah wujud saat wajah Iman Faliq singgah di ruang matanya tadi. Dia kini mula keliru dengan perasaannya sendiri.
…………………..
Terasa tenang saat alunan surah Yassin bergema di segenap ruang rumah banglo dua tingkat itu. Tetamu lelaki dan perempuan masing-masing tekun mengalunkan ayat suci al-Quran itu. Dalam ketenangan yang dirasai, ada rasa syahdu membelit hati. Namun bibir tetap mengalun ayat suci hingga ke penghujung.
Sebaik sahaja ayat terakhir dibaca, wajah diangkat. Menoleh sekilas ke Farihin Iman di sisinya yang sedikit keruh. Begitu juga dengan Datin Farah. Wajah tua itu lebih-lebih lagi. Dia perasan Datin Farah sesekali menyeka hujung mata sepanjang bacaan surah Yassin berlangsung menyebabkan dia turut menahan sebak. Faham akan kesedihan yang dialami atas pemergian orang tersayang seperti mana yang diceritakan oleh Ema. Dia turut bersimpati atas yang berlaku namun ia tetap tidak memberi kesan pada hati. Pada pendapatnya, Iman Faliq masih lagi bertuah kerana memiliki seorang ibu yang penyayang. Dia? Orang tuanya pergi pada masa yang sama di saat peristiwa hitam menimpa dirinya. Dia terpaksa melaluinya sendirian dan menumpang kasih orang.
“Kak…” Zura menyentuh perlahan pehanya membuatkan dia sedikit tersentak. Terhenti lamunannya tadi. Tangan terus diangkat apabila perasaan bacaan tahli telah bermula. Cukup lancar pada pendengarannya membuatkan bola matanya nakal mencari si empunya suara.
“Akak, tu..” Sekali lagi Zura menegur seperti faham apa yang dicari. Lurus pandangan matanya ke arah satu sudut. Terpempan dia seketika melihat wajah yang sedang menunduk dan khusyuk membaca doa itu. Seperti tidak percaya Iman Faliq yang mengetuai sendiri majlis tahlil tersebut. Tanpa sedar, ada air jernih yang mula bertakung di tubir mata. Entah kenapa begitu tersentuh hatinya melihat wajah Iman Faliq yang sedang memejam mata. Cukup tenang dan lancar hingga dia tidak mampu lagi memandang. Wajah terus ditundukkan.
‘Ya Allah, berilah aku petunjuk…’ Doanya dalam hati. Memohon agar dia mampu melakukan keputusan yang tepat. Air jernih yang kian memberat segera diseka dari tertumpah.
………………..
“Dah buat keputusan?” Soal Aiman Iqbal pada Nur Imanina yang menyandarkan tubuh di keretanya. Sepanjang majlis berlangsung, dia perasan wajah dingin adiknya.
Nur Imanina menggelengkan kepala perlahan. Dari tadi matanya hanya menunduk memandang hujung sandal yang dipakai. Niat hati bertemu dengan abangnya di situ ingin bertanya tentang kakak iparnya. Tetapi lain pula yang dipersoalkan oleh Aiman Iqbal. Sepatutnya dia dapat menjangka soalan yang akan ditanya oleh lelaki itu.
“Sampai bila?” Aiman Iqbal menyoal lembut diiringi helaan berat. Dia faham bukan mudah untuk berada di tempat adiknya itu.
“Adik tak tahu…” Balas Nur Imanina lambat berserta keluhan. Kepala didongakkan pula ke langit. Cantik langit malam yang dihiasi ribuan bintang ketika itu. Namun tidak pula secantik apa yang berbuku di hatinya.
“Abang tahu dik. Bukan senang kita nak terima orang yang dah musnahkan hidup kita jadi pasangan hidup kan?” Aiman Iqbal cuba menyusun kata untuk memujuk lagi adiknya itu.
Nur Imanina hanya mendiamkan diri.
“Tapi percayalah dik… Apa yang Faliq buat sekarang ni, untuk kebaikan adik jugak.” Sambung Aiman Iqbal berserta helaan panjang.
“Kenapa semua orang sekarang ni sokong dia? Kenapa dah tak sokong adik?” Aju Nur Imanina sambil menoleh ke wajah abangnya. Rasa tidak puas hatinya cuba diluahkan.
“Abang bukan nak sokong sesiapa. Cuma abang rasa apa yang Faliq cuba buat, jalan yang terbaik untuk masa depan korang bersama. Dia sendiri yang sedia nak bertanggungjawab pada adik. Kalau dia tak buat macam ni, adik akan bahagia ke hidup sorang-sorang macam ni? Sampai bila adik nak duduk sorang-sorang? Abang tahu… Lepas apa yang dah jadi, adik takkan terima mana-mana lelaki lagi dalam hidup adik.” Jawab Aiman Iqbal cuba meyakinkan.
Nur Imanina merengus halus. Dia tetap tidak berpuas hati dengan apa yang diucapkan oleh abangnya saat itu.
“Abang rasa takda salahnya adik terima dia.” Aiman Iqbal tetap meluahkan pendapatnya walaupun tahu Nur Imanina tidak bersetuju.
“Tak salah abang cakap? Abang sedar tak apa yang dia dah buat pada adik dulu? Abang ingat adik boleh lupa macam tu aje?” Tingkah Nur Imanina mula panas hati. Dia mula terasa ada unsur paksaan dari kata-kata abangnya.
Sekali lagi Aiman Iqbal melepaskan nafas berat. Semakin jelas kedegilan Nur Imanina di matanya kini. Dia semakin buntu untuk memujuk hati yang sedia keras itu. “Sekarang ni, cuba adik bagi tahu abang, atas sebab apa adik nak tolak dia?” Cuba disabarkan hatinya saat itu.
Nur Imanina tidak membalas kerana dia tidak punya jawapan pada soalan yang diajukan.
“Adik takda jawapan kan? So, nak apa tunggu lagi? Adik tahu tak, dalam kes adik ni, memang sepatutnya dia bertanggungjawab lepas apa yang dia dah buat. Sekarang ni dia dah bersedia. Adik nak tunggu apa lagi?” Ujar Aiman Iqbal penuh sabar.
“Tunggu apa abang tanya..” Sahut Nur Imanina diiringi senyum tepi. “Adik tak pernah tunggu dia bertanggungjawab pada diri adiklah bang.. Adik boleh jaga diri sendiri. Selama ni pun, adik hidup sendiri.” Lanjutnya dengan suara yang mula bergetar.
Aiman Iqbal meraup wajahnya sekali bersama helaan berat lagi. Rasa tersindir dengan apa yang terucap di bibir Nur Imanina. Memang selama ini dia sudah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang abang. “Adik.. Abang tahu selama ni abang tak jadi abang yang baik pada adik. Tapi apa yang abang cuba buat sekarang ni cuma nak pastikan hidup adik lepas ni lebih terjamin. Hidup macam perempuan lain. Tu aje dik..” Lemah dia menuturkannya dengan harapan Nur Imanina menimbang semula apa yang telah diucapkan.
“Susah abang.. Tak semudah tu adik boleh terima dia..” Balas Nur Imanina dalam nada yang sama. Hatinya kini masih keliru dengan keputusan yang harus dibuat. Tidak berani mengambil risiko walaupun separuh hatinya mula meyakini kesungguhan Iman Faliq untuk mengahwininya. Yakin Iman Faliq mampu memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan ketua keluarga dengan baik kelak. Namun separuh lagi hatinya masih tetap tidak mampu menerima kehadiran lelaki itu. Terutamanya apabila peristiwa lalu terimbau kembali.
“Abang Aiman!” Panggil satu suara menyebabkan kedua-duanya menoleh.
Nur Imanina segera menyeka air hangat yang bertakung di tubir mata. Tidak mahu Iman Faliq melihatnya.
“Eh, Iman pun ada.. Ingat dah balik tadi.” Iman Faliq berbasa-basi sebaik menghampiri. Kebetulan dia berdiri di pintu pagar untuk menghantar tetamu yang pulang tadi. Dia perasan kelibat Aiman Iqbal dan Nur Imanina berbual di situ.
“Er.. Abang, adik masuk dululah. Tadi Zura dengan Hanim pun dah ajak balik…” Ujar Nur Imanina seraya mencapai tangan Aiman Iqbal dan dikucup hormat. Sedikit pun tidak memandang ke wajah Iman Faliq.
Mula tidak senang apabila separuh hatinya mula memuji-muji keupayaan lelaki itu. Dia berperang dengan perasaannya sendiri. “Abang nanti kirim salam dengan Kak Zu.” Lanjutnya lagi.
“Inshaa Allah… Nanti drive elok-elok.” Balas Aiman Iqbal sempat berpesan sebelum dia melangkah. Dia tahu kenapa adiknya itu cepat benar ingin berlalu. Padahal soalannya tadi tidak berjawab lagi. Melihat Nur Imanina yang terus melangkah, dia menepuk perlahan bahu Iman Faliq yang berdiri di hadapannya berserta isyarat mata. Dia tahu Iman Faliq ingin bertemu dengan adiknya. Masih ada masalah yang harus diselesaikan.
Iman Faliq melemparkan senyum nipis sebelum bersalaman dengan Aiman Iqbal. Bersyukur kerana lelaki itu faham dengan keadaannya. Kemudian cepat dia mengatur langkah mahu menyaingi Nur Imanina yang kian menjauh.
“Iman…” Iman Faliq cuba mempercepatkan langkah untuk menyaingi Nur Imanina beberapa langkah di hadapannya. Mujur Aiman Iqbal memakir keretanya agak jauh dari rumahnya. Sempat lagi untuk dia menyaingi langkah gadis itu.
Nur Imanina tidak pula berhenti sebaliknya memperlahankan langkahnya tadi. Jika semakin jauh dia melangkah pun, tidak mungkin dia dapat mengelakkan diri dari Iman Faliq kerana destinasi mereka masih tetap sama. “Saya belum ada lagi jawapan untuk awak.” Ujarnya mendatar seaik lelaki itu di sisi. Terbau haruman yang biasa singgah di deria baunya selama ini. Zarif Aimin miliki bauan yang sama. Cukup menyenangkan.
“Takpa. Saya tunggu.” Balas Iman Faliq lembut. Otaknya saat itu bekerja keras menyusun ayat agar dapat mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat oleh Nur Imanina kerana dia tidak mahu mendengar jawapan ‘tidak’ dari bibir gadis itu.
“Kenapa awak bagi saya bunga setiap hari?” Tanya Nur Imanina tidak bernada saat mereka berhenti betul-betul hadapan pintu pagar. Matanya singgah sebentar ke wajah Iman Faliq yang tidak lekang dengan senyuman sebelum dibuang ke sisi. Kini kerap benar jantungnya hilang rentak apabila setiap kali wajah tenang itu terlayar di ruang mata.
Iman Faliq melebarkan senyum. “Sebelum ni pun saya pernah hantar bunga kan…” Jawabnya senang. Matanya tidak lepas memandang wajah mulus yang mula serba tidak kena di hadapannya itu. “Kenapa awak tanya? Awak tak suka ya? Kalau tak suka, nanti saya tak hantar lagi.” Sambungnya lagi. Sengaja menduga. Terangkat keningnya sebelah memandang Nur Imanina yang membuang pandang ke sebuah rumah bertentangan rumahnya.
“Er.. Tak..” Jawab Nur Imanina laju. Dia telan liur. Kesat! Laju benar dua ulas bibirnya menjawab pertanyaan Iman Faliq. Wajah dipalingkan ke sisi. Malu!
Iman Faliq tersenyum lebar melihat kekalutan Nur Imanina. Sedikit sebanyak rancangannya untuk memujuk hati wanita itu hampir berjaya. Sekiranya Nur Imanina menolak pemberiannya, pastinya setiap kuntum bunga yang diberi sudah kembali ke tangannya semula. “Saya ikhlas nak jadikan awak isteri saya Nur Imanina…” Ucapnya tulus rapat ke telinga Nur Imanina sehingga wanita itu spontan berpaling.
 Bertaut seketika mata mereka sebelum terdengar suara orang berdeham beberapa kali. Iman Faliq segera menjarakkan diri. “Er… Papa Ham..” Tergagap Iman Faliq apabila melihat sahabat lama arwah papanya berdiri tidak jauh daripada mereka. Lelaki itu baru pulang ke Malaysia beberapa hari lalu dan turut sama hadir ke majlis tahli arwah papanya.
Nur Imanina pula melemparkan senyum kelat. Kebas wajahnya saat itu.
“Ni mesti Iman kan?” Tegur Datuk Hamzah dengan senyuman. Dia yakin mata tuanya tidak salah menilai. Iman Faliq selalu bercerita tentang Nur Imanina kepadanya.
“Er… Iya… Datuk..” Jawab Nur Imanina serba tidak kena. Lelaki itu tadi dilihat berbual mesra dengan Datin Farah.
“Erm… Tak sangka Iman ni lagi cantik dari apa yang Iman selalu cerita pada papa.” Puji Datuk Hamzah ikhlas. Kagum dengan pilihan Iman Faliq untuk menjadikan Nur Imanina sebagai isteri. Cuma, tidak menyangka wajah mulus itu sebenarnya telah menjadi mangsa kejahilan Iman Faliq dahulu.
Nur Imanina mengukir senyum paksa. Tidak mampu membalas. Apa yang dirasakan saat itu hanyalah bahang di wajah yang tidak terkira. Tidak sanggup membuang pandang ke arah Iman Faliq yang masih setia di sisinya.
“Tu la… Iman cakap, Papa Ham tak nak percaya…” Sahut Iman Faliq sambil melirik ke wajah Nur Imanina. Merah padam wajah di sisinya itu.
“Er… Iman, Datuk, saya masuk dulu. Dah lewat ni. Kawan-kawan lain dah tunggu nak balik…” Pinta Nur Imanina tiba-tiba yang semakin tidak selesa berada di antara kedua-dua lelaki itu.
“Iman… Nantilah dulu. Papa tak puas lagi nak berkenalan dengan Iman…” Balas Datuk Hamzah mematikan langkah Nur Imanina.
“Er… Saya kena balik dulu Datuk. Kawan-kawan saya dah lama tunggu…” Jawab Nur Imanina sengaja beralasan begitu. Padahal kelibat dua sahabatnya itu pun masih tidak kelihatan. Hanya pekerja katering sahaja yang sedang sibuk berkemas di bawah khemah.
“Panggil aje papa, Iman… Iman Faliq dah macam anak papa sendiri.” Balas Datuk Hamzah seraya menyangkutkan sebelah tangannya di bahu Iman Faliq. “Lagipun, tak lama lagi kita akan jadi satu family kan…” Sambungnya terus sambil tersenyum penuh makna kepada Iman Faliq.
“Lambat lagilah pa…” Sahut Iman Faliq perlahan apabila melihat wajah Nur Imanina yang semakin memerah. Tidak sampai hati membiarkan wanita itu berasa tidak selesa begitu.
Sekali lagi Nur Imanina mengukir senyum kelat. Jelas benar semua yang ada di sekeliling mengharapkan penyatuan mereka. Adik Iman Faliq sendiri mengharap dia bersatu dengan lelaki itu secepat mungkin.
“Er… Saya masuk dulu…” Pinta Nur Imanina seraya melangkah. Terdengar namanya dipanggil Iman Faliq, tetapi sengaja dia buat tidak dengar. Pada masa yang sama, dia turut terdengar Datuk Hamzah ketawa. Pastinya lelaki itu sedar akan perubahan di wajahnya sebentar tadi.
Walaupun lelaki itu kelihatan mesra, namun dia masih belum bersedia untuk berkenalan dengan Datuk Hamzah. Dia yakin Datuk Hamzah sudah mengetahui keadaan dirinya yang sebenar. Status sahabat baik kepada arwah papa Iman Faliq, dilihat bukanlah hanya sekadar sahabat. Malah lebih dari itu. Dia tahu lelaki itu sudah dianggap seperti seorang ayah oleh Iman Faliq. Farihin Iman sendiri dilihat amat mesra dengan Datuk Hamzah sebaik lelaki itu tiba tadi.
Nur Imanina melangkah ke dalam rumah untuk mencari kelibat kedua-dua teman serumahnya. Dia ingin segera pulang. Risau seandainya berlamaan di situ, semakin lembut pula hatinya untuk memberi kata putus kepada Iman Faliq. Dia tahu lelaki itu berani untuk berbuat apa sahaja demi mendapatkan persetujuan darinya. Hampir sahaja dia bersetuju dengan rancangan Iman Faliq tatkala melihat lelaki itu cukup syahdu membacakan doa tahlil tadi.