DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Yusnida Tajudin. Show all posts
Showing posts with label Yusnida Tajudin. Show all posts

Wednesday, 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 20

MALAM yang semakin lewat membataskan
masa bagi keluarga Qaid mengenali Acam lebih rapat.
Mudah benar keluarga itu bermesra dengan Acam
walaupun hanya baru sekali bersua. Lebih-lebih lagi adik
Qaid yang hanya setahun lebih muda daripada Acam.
Yalah, umur pun sudah hampir sebaya, kepala pun sama
gila-gila. Memang boleh masuk sesangat. Kalau duduk
berbual berdua, asyik riuh ketawa sahaja. Isy, tidak ada lagi
control ayu pun.
Kadang-kadang sampai tersenyum Puan
Sahara melihatnya. Hati wanita itu amat menyenangi
Acam. Walau baru pertama kali berjumpa tapi jauh di
sudut hati tuanya, sudah dapat merasakan kemesraan itu.
Andai itulah jodoh Qaid, memang tidak akan ada satu
alasan pun untuk dibantah. Berkenan benar di matanya.
Bahkan, sempat gak Puan Sahara berbisik di telinga
suaminya tadi dan reaksi yang sama juga diberikan
oleh si papa.
“Aunty, saya minta diri dulu ya. Dah malam ni,”
ucap Acam sambil menghulurkan tangan menyalami Puan
Sahara.
“Alah, sekejap aje dapat berborak-borak dengan
Acam. Tidurlah sini, esok tak ada kuliah, kan.” Puan Sahara
melepaskan rasa tidak puasnya dengan hasrat Acam yang
ingin pulang.
“Esok memang tak ada kelas aunty, tapi esok saya
ada projek sikit nak kena buat dengan kumpulan saya. Pagi
pula tu, nanti bising pula mereka kalau saya tak ada,” ujar
Acam memberi alasan.
“Lah, ya ke? Kalau macam tu nanti balik Batu
Pahat, datang rumah aunty ya. Nanti bagi tahu Qaid bila
balik, aunty suruh Qaid pergi ambil. Boleh aunty masak
sedap-sedap untuk Acam. Aunty suka dapat borak-borak
dengan Acam tahu,” pesan Puan Sahara. Ada nada sedikit
sedih dalam suara itu. Tubuh Acam diraih lalu dipeluknya
erat. Hendak menangis pun ada Acam rasa saat itu.
“Alah... kau dah nak balik ke Acam. Tak ada
kawanlah aku nak borak. Angah ni bukan boleh buat
kawan pun,” sampuk Qaliesya, adik bongsu Qaid yang baru
menjengahkan diri dari dapur. Acam mengganggukkan
kepala.
“Hish, anak dara ni. Kan Acam tu tua setahun
daripada Qaliesya, mana boleh kau aku kau aku aje, panggil
kakaklah,” tukas Encik Quzair yang sedang duduk di sofa
sambil memerhatikan isterinya yang agak sebak.
“Betul tu papa.. apalah anak mama ni.”
“Eleh, tak mainlah kakak mak kak ni, kita orang
brutallah mama, papa... kan Acam kan,” balas Qaliesya lalu
merapati Acam.
“Alah, tidurlah kat sini. Esok pagi-pagi suruh
Angah hantar. Bolehlah... aku tak ada memberlah. Nak
harapkan Angah tu, huh, hampeh..” pujuk Qaliesya.
Beria-ia memek mukanya merayu Acam. Terseringai
senyuman di bibir Acam. Alah.. comellah pula wajah
anak dara ni bila dibuat begitu.
“Bukan tak nak, tapi esok memang serius ada
project discussion. Nanti dia orang tu kata aku mengelat
pula.” Bukan tidak kasihan kepada Qaliesya tapi hati
Acam masih menidakkan usul untuk bermalam di situ.
Wajah cemberut Qaliesya diusap lembut oleh
Acam. Rasa sayang terhadap gadis di hadapannya sudah
menular ke hati. Mudah sungguh mesra dengan gadis itu.
Walaupun hanya berbeza setahun, tapi sifat manja dan
gila-gilanya memang serasi bersama. Maaflah, terpaksa
menipu tapi tidak betah rasanya untuk bermalam di situ.
Kasih sayang yang dihulurkan membuatkan Acam
rasa serba salah. Dia tidak mahu hatinya tersalah membuat
pilihan. Dia tidak mahu kerana rasa terharu dengan kasih
yang dihulur dia akan membuat pilihan yang salah dan
terpaksa menerimanya sepanjang hidup. Dia mahu setiap
satu yang dipilih berdasarkan rasa yang terbit di hatinya,
bukan rasa terharu atau serba-salah.
Seorang demi seolah-olah ahli keluarga Qaid
disalaminya. Sebelum dia beredar, Puan Sahara sempat
menarik tangannya lalu diletakkan sesuatu di atas tapak
tangan Acam. Terbuntang mata Acam melihat pemberian itu.
“Aunty, apa ni? Saya tak boleh terima ni,” ujar
Acam menolak pemberian Puan Sahara. Seutas gelang
tangan emas yang ada di tapak tangannya dihulurkan
kembali kepada Puan Sahara.
“Aunty nak bagi ni kepada Acam. Tanda kenangan
aunty, janganlah tolak,” balas Puan Sahara pula. Diambil
gelang tangan emas itu lalu dipakaikan ke pergelangan
tangan Acam. Memang cantik tapi hati Acam sudah mula
berdesah.
“Aunty...”
“Dah, jangan nak tolak. Ni niat aunty nak bagi,
ambil aje,” ujar Puan Sahara memintas penolakan Acam.
Tubuh Acam yang kecil itu sekali lagi dipeluknya. Terasa
seperti memeluk anak sendiri.
Ya Allah, jika ini jodoh untuk anak aku, aku terima
sepenuh hati, bisik hati Puan Sahara. Ada genangan di tubir
mata wanita itu. Hatinya senang melihat Acam, senang jika
benar Acam menjadi pilihan Qaid.
Acam yang tidak betah lagi berlelama di situ,
segera mengucapkan salam dan beredar menuruti Qaid
yang telah dulu melangkah ke keretanya. Hati Qaid gak
dipalu resah melihatkan harapan mamanya yang terlalu
tinggi. Mama, andai mama tahu betapa sukarnya Angah
hendak mendapatkan sedikit ruang di hati gadis ini, tentu
mama akan sedih. Angah berjanji mama, selagi
Angah mampu, Angah akan cuba menawan hati
gadis ini.Pertama kali dalam hidup Angah, hati ini dijentik
rasa kasih melihat dia. Qaid melayan rasa hatinya sendiri.
Suasana menjadi sayu dan hening menghantar pemergian
Acam.
“Qaid, boleh tak kau tolong aku?” Qaid hanya
merenung wajah Acam. Tak usah kata nak tolong sekali,
sepuluh kali pun sanggup Acam oii.
“Ni, kau tolong pulang balik kat aunty ya,” kata
Acam sambil membuka gelang emas yang tersarung cantik
di tangannya. Dia perasan wajah Qaid yang telah mula
berkerut.
“Janganlah nak kerut dahi bagai. Bukan aku tak
suka, bukan aku tak sudi tapi tolong cakap kat aunty,
aku rasa aku tak layak terima ni daripada aunty. Kasih
sayang yang mama dan keluarga kau hulurkan pada aku
pun dah cukup memadai.”
“Tapi nanti mama mesti kecil hati bila aku
pulangkan ni semula,” balas Qaid. Ada rasa nada sendu
dalam suara lelaki itu. Dia amat tahu hati mamanya.
“Kau cakap pada aunty, bukan aku tak nak tapi
nanti kalau aku pergi rumah kau bila cuti semester, baru
aku terima. Ini baru kali pertama, tak layak aku terima
hadiah yang mahal macam ni. Tadi pun anak Aunty Sahara
ni dah belikan aku macam-macam. Aku ni dah jadi
macam Maya Karin dalam cerita Pisau Cukur tu pula,”
kata Acam memujuk Qaid.
“Heh, tak ada maknanya kau macam Maya Karin tu.”
“Tak sama ke?”
“Mana nak sama, Maya Karin tu cun lebih sikit
daripada kau,” usik Qaid. Cebikan Acam melahirkan tawa
Qaid. Acam juga turut tertawa. Apalah mamat ni, macam
ni ke nak mengurat makwe. Harus kena reject.
“Hish, patutlah kau tak ada awek tau. Nak
mengurat pun tak pandai. Nasib baik aku ni brutal,
kalau perempuan lain sorrylah, hi hi bye bye,” bebel Acam.
Tawa Qaid masih lagi tidak berkurangan.
“Sebab tu aku suka mengurat kau. Aku tahu kalau
Mengurat kau aku tak payah nak overacting. Aku boleh jadi
Qaid Firdaus aje, bukan Remy Ishak.”
Acam mencapai beg-beg kertas yang mengandungi
barangan yang dibelikan Qaid di Ipoh Parade ketika mereka
mencari hadiah pagi tadi. Mengenangkan gelang emas
yang dipulangkan semula itu hatinya dipagut rasa gelisah,
risau mama Qaid akan terasa hati. Tapi rasanya, Puan
Sahaja pasti dapat menerima alasannya.
“Nah, ni untuk kau juga,” unjuk Qaid sambil
menghulurkan satu lagi beg kertas yang agak besar kepada
Acam.
Ketika itu mereka sudah pun berada di luar kereta.
Lampu ruang tamu rumah sewa Acam terang benderang
dan nampak sangat bayang-bayang rakan-rakannya yang
sedang menyibuk memerhatikan mereka di sebalik langsir
sliding door. Hmm, kejap lagi jenuhlah nak menjawab.
“Apa lagi ni. Aku penatlah kalau keluar dengan kau
ni. Macam-macam nak dibelinya untuk aku. Takutlah, nanti
terhutang budi tergadai body tau,” usik Acam namun
tangannya tetap menyambut pemberian Qaid. Kalau
ditolak, memang seratus peratus mamat tu akan merajuk.
Dah faham sangat fiil yang seorang ni.
“Wei, kau ingat aku jahat sangat ke? Kalau aku
jahat, dah lama dah aku angkut kau bawa pergi Selatan
Thailand. Bukan susah sangat pun, dah tentu sah jadi
bini aku. Hish, mulut kau ni, nasib baik anak dara
orang, kalau bini aku dah lama...”
“Hah, jangan nak mention yang bukan-bukan tu
ya, otak kuning punya orang,” sampuk Acam mematikan
kata-kata Qaid.
Wajahnya yang mencuka mengundang tawa Qaid.
Hish Acam, janganlah kau buat muka macam tu, comel aje
aku tengok. Nanti jenuh aku rindu-rinduan Acam.
Penat juga ya bermain dengan perasaan sendiri ni, Yalah,
nak diluahkan takut pula rosakkan hubungan persahabatan
mereka tu.
“Okeylah, aku masuk dulu. Nanti sampaikan salam
sayang aku pada semua kat sana ya. Ingat pesan aku pasal
gelang tu, kau jangan belit-belit cerita pula tau. And thank
you for all these...” ucap Acam sebelum mengucapkan
salam perpisahan.
Qaid hanya mengganguk dan menghantar langkah
Acam yang laju menapak masuk ke dalam kawasan pagar
dengan pandangan sayu. Namun hatinya gembira, dapat
juga melepaskan rindu walaupun sekejapan cuma.
Sekejaplah kalau dah banyak masa mama dan saudaramaranya
yang concure.
“Amboi, seronok keluar ya. Tak ingat kawan-kawan
langsung,” tegur Yanie yang turut sama bersekongkol
dengan rakan-rakannya yang lain yang asyik skodeng di
balik langsir tadi.
“Hmm... dah puas ke skodeng aku?” perli Acam
namun senyuman tetap dilemparkan kepada rakanrakannya
itu. Dia tahu, mereka faham yang dia hanya
bergurau.
“Err...err... obvious sangat ke kita orang skodeng?”
tanya Rita terpinga-pinga. Alamak, kantoi sungguh.
“Yalah. Kalau pun nak skodeng, tutuplah lampu.
Ini lampu terang benderang, lepas tu asyik skodeng balik
langsir, nampak mak cik oii dari luar tu. Member aku tu
pun asyik sengih aje tengok perangai kau orang,” balas
Acam. Tergolek-golek dia mentertawakan rakan-rakan
serumahnya tu.
Masing-masing pun tak mampu menahan gelak,
malu juga sebenarnya apabila nampak sangat kekepohan
mereka. Betul jugalah, kan. Nak mengintai tapi terangbenderang.
“Hmm... nah ni ada bekal sikit. Aunty Sahara
bekalkan tadi.”
“Aunty Sahara?”
“Ha’ah, mak kawan aku tu tadi.”
Acam menghulurkan dua beg plastik besar kepada
Yanie. Dia sendiri pun tidak perasan waktu bila Puan
Sahara memasukkan bekalan untuknya. Tahu-tahu ada
sahaja yang dibawa pulang.
“Wah, banyaknya makanan. Kau sebenarnya dari
mana ni?” tanya Rita yang turut mengendeng di sebelah
Yanie. Dia orang ni kalau bab makan, memang tidak pernah
tolak.
“Aku temankan kawan aku tu pergi kenduri
kahwin sepupu dia kat Persiaran Cempaka. Tu nasi dan lauk
kenduri pengantinlah tu. Rugi tak makan, sedap gila.”
“Uii... aku dengar ada lauk orang kahwin ya...
mana?” sampuk Halina yang baru turun dari tingkat atas.
“Kau kan minah, asal dengar makan aje laju kau,
kan,” bebel Rosma yang sudah menatang dulang dan
pinggan-pinggan kosong ke ruang tamu. Dua kali lima
aje dia orang ni. Pantang jumpa makanan, yang tengah
diet pun sanggup cancel diet. Postpone esok pun tak apa.
Tengah-tengah malam buta pun sanggup turun makan.
Bukan main seronok lagi mereka malam itu
dijamu dengan nasi beriani dan lauk-pauk pengantin
yang mewah. Udang galah tiga ekor sebesar tapak tangan
yang dimasukkan ke dalam pinggan sudah tinggal ekor
sahaja. Rendang daging, ayam masak merah, pajeri nenas,
dan lauk-lauk lain gak sudah tinggal suku pinggan. Bukan
selalu dapat peluang begini.
Mulut masing-masing penuh dengan makanan
namun masih becok mencungkil cerita daripada Acam. Yanie
menyiku lengan Acam sambil memberikan isyarat mata agar
lebih rapat kepadanya.
“Cam, tadi Dzil dua kali berulang ke sini cari kau.
Aku cakaplah yang kau keluar. Dia kata dah banyak kali dia
telefon kau, tapi tak dapat,” bisik Yanie. Tidak mahu rakanrakan
yang lain mendengar bicara mereka.
Laju tangan Acam menyelongkar handbagnya.
Telefon bimbit diteliti.
“Patutlah hari ni aku rasa telefon ni tak berbunyi.
Bateri kong,” bebel Acam perlahan.
“Okeylah, kau orang makan eh. Aku naik dulu,
nak mandi.”
Biasalah, rakan-rakan Acam kalau dah dapat
menghadap makanan, mana nak dihiraukan lagi hal lain.
Kalau gempa bumi ke, tsunami ke tak tentu lagi mereka
tu sedar. Perlahan Acam meninggalkan rakan-rakannya
dengan hati yang sedikitgelisah. Mesti satu hari Dzil
tertanya-tanya ke mana dia. Entah kenapa, hatinya rasa
bersalah. Eh, kenapa pula nak bersalah ya. Bukan mereka
ada hubungan apa-apa pun. Tapi alasan itu masih tidak
mampu menenangkan hatinya.
Cepat-cepat telefon bimbit dicas semula. Jam di
dinding sudah menunjukkan angka 12. Rasanya tadi dia
sampai baru pukul 11.00 malam. Lama gak duduk di ruang
tamu melayan kerenah rakan-rakan serumahnya.
Tuala yang bersidai di belakang pintu ditarik perlahan.
Kaki melangkah laju ke bilik air namun terhenti apabila
suara merdu Pasha kedengaran dari telefon bimbitnya.
“Helo, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Amboi, seronok berjalan ya.”
Kedengaran ton agak berlainan suara di hujung talian itu.
“Err... awak tak seronok ke berjalan ke? Ke lagi
suka merangkak,” lawak Acam cuba untuk tidak
menegangkan suasana.
“Erk... loyar buruk pula. Awak keluar dengan siapa
lama betul. Dua kali saya datang awak tak ada.”
“Awak ingat tak kawan tempat praktikal saya
yang awak jumpa tu? Dia datang sini tadi, ajak saya
temankan dia ke kenduri kahwin sepupu dia. Jadi saya
temankanlah, lagipun dah jauh-jauh dia datangkan,
takkanlah saya nak tolak.”
“Oh, patutlah. Sampai telefon pun tak dapat,”
rungut Dzil, ada nada perli di suara itu.
“Yang itu awak jangan salah faham ya. Serius saya
tak sedar bateri habis. Sampai rumah tadi baru saya perasan
bila Yanie bagi tahu saya awak call saya tak dapat.”
“Yalah, nak bandingkan saya dengan mamat tu,
siapalah saya ni, kan.”
“Awak, saya dapat bayangkan buruknya rupa awak
sekarang ni tau. Kalau letak cuka kat sebelah, masam lagi
muka awak.”
Dzil tersenyum mendengar kata-kata Acam.
Ceh, pandai juga minah ni memujuk. Hajat hati nak
merajuk lama sikit pun kantoi. Alahai, memang tak
pernah dapat nak tunjuk perasaan pun kalau bercakap
dengan minah ni. Cair terus.
“Baru sampai rumah ke?” soal Dzil.
“Dah lama dah sampai tapi sangkut kat bawah
kena inspection dengan sarjan-sarjan pencen kat bawah tu.
Ni baru naik atas nak mandi,” balas Acam. Hatinya sedikit
senang mendengar suara Dzil yang sudah kembali normal.
“Oh, ya ke? Kalau macam tu awak pergi mandi
dulu. Kejap lagi saya call balik.”
“Alright, nanti telefon balik ya.”
Acam menepuk dahinya sendiri setelah talian
dimatikan. Tidak percaya dia yang berkata-kata begitu.
Nanti telefon balik ya, isy... betul ke aku yang cakap
macam tu, desis Acam. Dengan senyuman meleret dia
mengheret kakinya ke bilik air. Sejuk pun sejuklah,
mesti kena mandi sebelum tidur.
Setelah mengenakan pijama tidurnya, Acam
berbaring malas di atas katil. Matanya masih tidak terasa
mengantuk apatah dia sememangnya sedang menantikan
panggilan Dzil. Dikerlingnya jam di dinding. Wah, hampir
jam 12.30. Mungkin Dzil sudah pun tidur agaknya.
Esokkan hari berkuliah, pasti tidak bangun awal kalau
berjaga malam-malam.
Fikirannya melayang mengenangkan keluarga
Qaid yang sangat mesra dengannya. Masih terasa pelukan
hangat Puan Sahara yang menerimanya sepenuh hati.
Tidak mungkin gak dia lupa kepada Qaliesya yang semakin
rapat dengannya walaupun hanya seketika sahaja. Ada sahaja
bahan yang hendak dibualkan lebih-lebih lagi bila bercerita
tentang novel. Mereka berkongsi minat yang sama rupanya.
Tanpa disangka pula yang gadis semuda itu sudah
mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan e-novel. Link
laman web yang diberikan oleh Qaliesya tadi dibeleknya.
Tiba-tiba Acam teringat barang-barang yang
dibawa bersamanya sebentar tadi. Diambil beg kertas
yang mengandungi tudung dan jubah yang dibelikan
oleh Qaid. Dikeluarkan satu per satu lalu digantung
cantik di dalam almari. Kemudian, tangannya laju
mencapai sebuah lagi beg kertas yang lebih besar.
Kotak yang tersembunyi di dalam beg itu dikeluarkan lalu
dikoyakkan pembalutnya perlahan-lahan.
“Masya-Allah, cantiknya,” puji Acam.
Lampu tidur berbunga ala Inggeris itu memukau
matanya. Sungguh cantik. Bukan ini ke yang dibeleknya
tadi. Kalau tidak silap harga pun dalam seratus lebih juga.
Acam teringat ketika di Lovely Lace tadi, Qaid
menyuruhnya memilih hadiah untuk pengantin dan
lampu itulah yang mula-mula dipegangnya tadi.
Memang dua tiga kali gak dia menilik lampu itu tetapi
dia tidak mengusulkannya kepada Qaid.
Padanya, lampu itu terlalu romantik, segan
pula jika Qaid perasan jiwanya. Huh, malunya!
Tapi tidak disangka pula yang mamat itu boleh
hadiahkan lampu yang sama untuknya. Mesti si Qaid tu
asyik perhatikan dia sahaja tadi. Ceh, macam mana boleh
tak perasan.
Esok, Acam berkira akan menitipkan mesej
kepada Qaid untuk berterima kasih atas segala yang
telah diberikan. Memang susah bersahabat dengan
orang yang pemurah ni. Kalau silap orang, memang
sudah lama kering poket si Qaid tu. Acam bukan jenis
orang begitu, dia tidak akan sesekali menggunakan
hubungan persahabatan mereka untuk kepentingan diri
sendiri.
Suara Pasha kumpulan Ungu sekali lagi
memenuhi ruang bilik. Tidak sampai tiga saat, telefon
bimbit dicapai. Memang Acam ternanti-nantikan panggilan
itu.
“Tak tidur lagi?” siapa Dzil setelah memberikan
salam.
“Belum.”
“Tunggu call saya ya?”
“Yalah, tadi kan awak yang janji nak call. Saya
tunggulah, nanti ada pula orang tu merajuk.” Sengaja
Acam menegaskan perkataan akhir tu. Terdengar tawa
kecil di hujung talian.
“Seronok ke pergi kenduri tadi? Ramai orang?”
“Makan free seronoklah. Isy, dah nama kenduri
kahwinkan, mestilah ramai orang,” balas Acam. Dia
tergelak sendiri mendengar soalan Dzil itu.
“Hai, orang tu seronok dapat jalan-jalan. Saya aje
yang asyik tertunggu-tunggu. Maklumlah, saya tak ada
kereta, yang ada motor cabuk dan kaki ni ajelah.”
“Awak, saya tak pernah pandang pangkat ke darjat
ke bila berkawan. Kalau saya gilakan kereta besar orang
lain, tak adanya saya sanggup berjalan kaki keluar pergi
makan dengan awaklah.”
“Hmm...”
“Kalau itu aje yang awak nak cakap, okeylah,
saya nak tidur. Goodnight.”
Acam mematikan talian telefon. Hatinya sedikit
terguris namun hanya seketika. Segaris senyuman mula
menghiasi wajahnya. Apakah Dzil cemburu dengannya?
Orang kata kalau cemburu itu tanda sayang. Ya ke
sayang? Hish, perasaan aku aje kut, bisik Acam.
Bunyi beep mesej masuk mengganggu lamunan
Acam. Pantas dia mencapai telefon bimbit yang baru
sahaja dicampakkannya ke tepi bantal.
Sorry my girl, didn’t mean to hurt you.
It just so bad thinking of you with someone
else and that someone is better than me
and worst, impossible for me to compete.
But whoever it is, I only want the best for
you even if it needs me to step down from
yourlife... Good night my girl, dream of me ..
Always yours, Dzil.
Setiap kata yang tertera di skrin telefon bimbitnya
itu ditenung berkali-kali. Hatinya dirundung rasa pilu.
Dzil, saya tak tahu apa status kita. Di mana saya di hati
awak. Di mana awak di hati saya. Tapi yang nyata, ada
sesuatu di hati saya setiap kali mendengar suara awak,
setiap kali memandang wajah awak dan setiap kali
memikirkan awak. Tapi rasa itu belum kukuh untuk saya
bukakan pintu hati ini sepenuhnya. Kadang-kadang sikap
awak yang mengambil berat itu memberi harapan kepada
saya.
Tapi kadang-kadang sikap ignorance awak ketika
bersama gadis berbaju biru itu membuatkan saya rasa
bukan sesiapa pun kepada awak. Berilah saya sedikit waktu
lagi untuk mencari jawapan yang sebenarnya. Saya sendiri
keliru dengan hati saya! Kata-kata itu hanya mati di situ.
Hanya bantal dan katil yang menjadi pendengarnya. Dibia
kan bicara hatinya itu dibawa angin lalu bersama linangan
jernih yang gugur satu per satu di wajahnya. Malam itu,

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 19

HUJUNG-HUJUNG minggu begini memang
dah jadi kebiasaan Acam untuk bangun tidur agak lewat.
Biasalah, selepas subuh sambung tidur semula. Mandi pun
kadang-kadang sudah hendak masuk zuhur baru jumpa
bilik air. Jimat air katanya. Kalau di rumah, sudah
semestinya bernanah telinga mendengar bebelan Puan
Radziah. Tidak pun, jelingan maut Encik Daud saja sudah
cukup buat Acam menciput lari ke bilik air. Sebenarnya
tidur selepas subuh ini bukanlah amalan yang baik dalam
Islam. Pernah dalam satu kisah, Rasulullah terlihat
Fatimah radiallahuanha berbaring selepas subuh, lalu
baginda bersabda yang bermaksud: Wahai anakku,
bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, janganlah
engkau terdiri daripada kalangan orang yang lalai,
sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di
antara terbit fajar sehingga terbit matahari.
Seronoknya berbaring-baring malas di atas katil
sambil memeluk Teddy Bear kecil pemberian Kak Haniza.
Sesekali digomolnya Teddy Bear kecil itu. Nasib baiklah
hanya dia seorang sahaja mendiami bilik kecil itu, kalau
berkongsi mahu kantoi dengan teman sebilik. Bukan baru
sekarang Acam minat dengan Teddy Bear dan patung-patung
kecil tu, dari kecil pun memang dia gemar mengumpul
benda-benda tu semua. Cuma orang saja yang tidak tahu
minat Acam itu dek kerana sikap kasarnya selama ini. Pandai
cover line.
Pintu bilik Acam tiba-tiba diketuk. Cepat-cepat
Acam menyanggul rambutnya yang panjang berjurai agak
tidak ketara kelihatan seperti baru bangun tidur. Wajah
Yani tersembul di sebalik daun pintu yang terkuak sedikit.
“Wei, kau baru bangun tidur ke? Ada orang cari
kaulah kat depan,” tegur Yani.
“Cari aku? Siapa? Mamat tu lagi ke? Alahai malas
betul aku nak mandi,” getus Acam.
“Aku tak kenallah, kau pergilah turun kejap,” balas
Yani sambil menjungkitkan bahunya.
Tak kenal? Lagilah buat Acam terpinga-pinga.
Siapa pula yang datang hendak bertemu dengannya pagi
pagi alam ni.
Yani memang tahu sangat fiil Acam tu, kalau dapat
bantal satu hari suntuk pun tak apa menternak badan.
Lagipun Acam memang jarang keluar kalau hujung
minggu kecuali kalau datang mamat perasan kacak,
si Dzil itu. Yani memang sudah hafal sangat dengan hobi
Acam, kalau tidak menternak taik mata melayan e-novel di
blog. Malah, bukan Acam sahaja, dia dan rakan-rakan
serumah yang lain pun sudah terjerumus sama dengan
minat Acam itu.
Mulanya hairan gak mereka melihat Acam yang
suka sangat terperuk di dalam bilik sehinggakan kadangkadang
sampai sanggup tidak makan tengah hari. Tapi
apabila dirisik-risik rupanya minah itu tengah seronok
melayan e-novel. Apa lagi, bila dah terjerumus sama
sudahnya seisi rumah tengah menggila dengan pelbagai
e-novel baru. Pantang tahu ada penulis baru yang
menulis di blog, cepat sahaja mereka mencarinya.
Nama-nama seperti Ayumi Syafiqah, Rehan
Makhtar, Zura Asyfar, Rinsya Chasiani, Puan Yati, dan
beberapa nama penulis yang melakar nama di blog-blog
mereka dengan hasil nukilan yang mantap sudah sebati
dengan mereka kini. Malah sudah ada banyak platform
untuk mengetengahkan karya-karya hebat penulis-penulis
ini seperti Penulisan2u.com, Ilham.karangkraf.com dan
NovelMelayuKreatif.com.
Kini ada di antara mereka gak sudah mula
berblogging. Tidak pandai menulis cerita, dapat menulis
entri-entri semasa pun sudah dikira hebat juga.
ACAM menarik cardigan yang tergantung di almari.
Kepalanya hanya dilutupi dengan tuala panjang. Itu sahaja
yang sempat disauknya saat itu. Segera dia menuruni anak
tangga dengan hati yang tertanya-tanya siapalah tetamu
yang datang itu. Mustahil ibu dan ayah pula. Kalau ibu dan
ayah hendak datang, tentu mereka akan menelefon terlebih
dahulu.
Hampir terloncat Acam apabila melihat kereta
yang terparkir di luar pagarnya. Tubuh lelaki yang
bersandar pada pintu kereta itu diamatinya lama. Hati
disapa rasa gembira dan rindu pada wajah itu.
“Wei, kau buat apa kat sini?” jerit Acam dari muka
pintu. Hish, sudah tidak ada hendak sopan-santun lagi
sudah. Selipar disarung lalu Acam melangkah laju ke arah
lelaki yang sudah pun tersenyum memandangnya. Cermin
mata hitam yang terlekat di wajah lelaki itu ditanggalkan.
Tergambar sinar gembira di anak matanya.
“Aku rindu kat kaulah aku datang sini. Nak tunggu
kau balik sana, sampai kucing berjanggutlah,” balas Qaid.
Terubat rindunya melihat wajah gadis itu. Biarpun
hanya bertutupkan tuala, namun wajah itu tetap ayu di
matanya. Nampak sangat baru bangun tidur. Hish, minah
ni. Gelak Qaid dalam hati.
“Kenapa tak telefon sebelum datang. Kalau telefon
awal-awal aku dah siap tunggu kau tahu,” bebel Acam
menyedari yang dia hanya bertudung menggunakan tuala
dan lebih parah, belum mandi pagi pun lagi.
“Huh, saja aku nak terjah macam ni. Barulah
boleh tengok rupa kau belum mandi,” gurau Qaid
disambung dengan gelak sakan. Rakan-rakan serumah
Acam sudah mula bertempek di tingkap hadapan
melihatkan mereka.
“Ada ajelah kau ni. kau dari mana sebenarnya,
dah tu tahu pula rumah aku kat sini?” tanya Acam masih
tidak puas hati dengan kehadiran Qaid.
Yalah, bukan dekat Batu Pahat ke Ipoh tu kalau
saja-saja hendak datang. Tentu ada alasan lain tambahan
melihatkan Qaid yang berpakaian sikit punya kemas.
Handsome juga mamat ini kalau tengok betul-betul,
mungkin pada mata dia susah hendak nampak ketampanan
tu. Kalau pada mata orang lain memang dah cukup kriteria
yang ahu dipastikan dikatakan handsome tu. Dah tentu
rakan-rakan yang sedang sibuk menghendap tu akan
membenarkan kenyataannya tadi.
“Aku datang sini sebab nak pergi kenduri kahwin
sepupu aku. Isteri dia orang sini juga, orang Persiaran
Cempaka Sari 24 itu. Semalam dia orang dah nikah, tapi
aku tak dapat datang. Aku baru balik dari kursus kat
Melaka, dari sana aku terus ke sini ni. Jomlah, temankan
aku pergi kenduri sepupu aku tu.”
“Eii.. tak naklah. Seganlah aku. Lagipun aku mana
ada kena jemput, tak baik tau pergi kenduri tak dijemput.”
“Banyaklah kau punya tak baik. Aku dah calling
calling sepupu aku tu cakap aku bawa awek datang,” balas
Qaid serius. Awek? Walawei... minta ampun mamat ni.
Entah bila aku isi borang jadi awek dia entah.
“Siapa entah awek kau. Alah... aku seganlah.”
Wajah Acam sudah mula membahang. Kalau
setakat keluar dengan Qaid okeylah lagi, ini mahu hadir
kenduri kahwin pula, lagipun kaum keluarga Qaid semua
ada di sana. Huh, tidak dapat dia bayangkan macam mana
hendak bawa diri.
“Please, Acam. Tak kesian ke kat aku, ni aku nak
ajak kau pergi bandar Ipoh sekali cari hadiah. Tengok,
kesian aku, kan. Hadiah pun aku tak sempat nak beli.
Dahlah aku mana tahu nak terjah kat bandar ni, takkan
aku nak pergi tangan kosong aje,” rayu Qaid dengan
wajah mohon simpati.
Alahai, apasallah mamat ni merayu bagai, kan dah
terlembut hati aku yang macam apam beras ni. Terdetik
rasa sayu di hati Acam melihatkan lelaki itu. Yalahkan,
dahlah datang dari jauh, takkanlah nak dikecewakan
hatinya tu. Hai, kecik aje mamat ni aku tengok, getus
Acam. Namun, akhirnya Acam mengangguk perlahan tanda
bersetuju dengan pelawaan Qaid. Tak sampai hati nak
menolak lagipun memang dia rindu nak berbual dengan
Qaid.
“Okeylah, aku temankan. Tunggu aku siap kejap.”
“Bereh... 15 minit ya. Sekarang dah pukul 9.00,
nanti lambat pulak.” kata Qaid.
“Banyaklah kau punya lima belas minit, aku belum
mandilah. Setengah jam, kau tunggu aku kat sini. Tak
boleh jemput masuk, anak dara aje semua kat dalam
tu,” balas Acam sambil mengenyitkan sebelah mata.
“Tak boleh eh... kau? Kau takut aku mengurat
member kau ke?”
“Banyaklah kau punya mengurat.” Acam
menunjukkan jari-jemarinya yang dikepal kemas. Eleh,
ingat besar sangatlah penumbuk dia tu!
“Alah, tak ada kopi ke teh ke sementara tunggu
kau?” Banyak pula songeh encik abang seorang ni. Kata
suruh orang cepat, siap minta kopi pula.
“Helo Encik Qaid, kalau nak teh ke, kopi ke... tu
nampak tak kat depan simpang sana tu? Ha, ada mapley
ya kat situ. Silalah angkat diri sendiri bawa pergi sana,
bukan setakat teh dengan kopi aje, latte, mocha, kapucino
semua pun ada. Mapley gred AAA tu.” Amboi. Sinis.
Yalah, sudah bagi masa 15 minit untuk bersiap
lepas tu boleh pula demand nak kopilah, nak tehlah. Ada
juga mamat ni kena tinggal seorang-seorang kat luar ni
nanti. Acam mengecilkan anak matanya memandang Qaid
dengan muka tidak puas hati. Berlainan pula dengan Qaid,
tersengih-sengih memandang Acam. Sukanya dapat
menyakat budak seorang ni. Alahai, rindunya.
RINDU yang dipendam selama ini akhirnya terlerai juga
apabila melihat gelagat gadis itu. Suka melihat sikap
cemerkap Acam jika dalam keadaan kelam kabut. Ada-ada
saja yang tak betulnya. Jika selama ini hanya kenangan dan
gambar-gambar yang ditangkap secara curi-curi sahaja
yang menjadi penemannya, tapi hari ini wajah itu segar di
depan mata.
Akan dia pastikan, hari ini dihabiskan
sepenuhnya dengan gadis itu. Biarlah tiada ruang di hati
gadis itu untuk menerima cintanya, asalkan gadis itu sudi
berkawan dan melayan kedatangannya. Dia sanggup
menunggu jika itu yang diperlukan untuk mendapatkan
gadis itu. Acam, kau terlalu istimewa.
Setengah jam kemudian, kelihatan seorang gadis
bertudung ayu dengan baju kurung biru berbunga coklat
yang sedondon dengan tudungnya. Mata Qaid terpaku
melihat kecantikan gadis yang sedang berdiri di hadapannya
itu. Matanya tidak mampu berkelip. Adakah benar di
hadapannya kini gadis yang dikenalinya, hatinya berperang
sendiri. Sejak bila Acam mula merubah penampilan.
Bukankah selalunya Acam agak sempoi, bukan agak lagi,
memang sempoi habis. Kalau bertudung, setakat tudung
bawal biasa dan tudung ala-ala Ekin itu sahajalah. Tapi hari
ini berlainan benar penampilan Acam.
Melihat Qaid yang seakan-akan terpaku
menggeletek hati Acam. Heh, lawa sangat ke aku ni? Silap
bergaya ke hari ni? Tangannya dilambai-lambaikan di
hadapan mata Qaid.
“Pstt... tengok apa tu sampai melopong aje. Tutup
mulut tu nanti lalat masuk,” tegur Acam yang sudah pun
berdiri betul-betul di hadapan Qaid. Segera Qaid
merapatkan mulutnya yang sedikit ternganga.
Rakan-rakan serumah Acam yang mengintai di sebalik
langsir sliding door juga riuh-rendah mentertawakan
Qaid.
“Kau nampak lainlah, Acam. Kalau macam ni,
aku nak telefon pejabatlah, tambah cuti sehari lagi,”
ucap Qaid sambil tangannya lincah membukakan pintu
kereta buat Acam.
Sudah menjadi tabiat Qaid untuk membuka
pintu kereta untuk Acam ketika naik mahu pun turun
dari kenderaan. Malah, bukan sekadar Acam, mama,
kakak, adik dan semua wanita yang pernah menaiki
keretanya dilayan begitu. Memang dia amat menghormati
kaum hawa itu dan perlakuannya itu melambangkan
penghormatannya.
“Tak ada maknanya. Aku ni Acam, Acam... A.C.A.M,
as usual, sempoi aje.”
“Kita nak ke mana dulu ni? Kata nak cari
hadiahkan?” soal Acam apabila Qaid sudah mula
melabuhkan punggung di kerusi pemandu.
“Ikut kaulah. Aku mana tahu kat Ipoh ni kat nama
nak dicekau,” ujar Qaid.
Kereta sudah mula dipandu keluar dari kawasan
taman perumahan Acam. Sayup-sayup meninggalkan
Taman Cempaka jauh.
“Kalau macam tu kita pergi Ipoh Parade sajalah.
Nanti kalau jauh-jauh, lewat pula sampai kat rumah
pengantin,” cadang Acam. Qaid hanya angguk bersetuju.
Ikutlah Acam, asalkan kau ada kat sebelah kat langit biru
pun aku sanggup. Eh, langitlah sangat!
Udara yang dingin dan segar di dalam kereta
Mitsubishi Evo 10 milik Qaid itu menenangkan
perasaan Acam. Sesekali matanya mengerling ke arah
Qaid yang fokus memandu. Mamat ini kalau dengan kereta
memang tidak mengalah. Dahlah harga kereta pun boleh
tahan, diriasnya lagi dengan pelbagai aksesori keretanya
ini. Acam pun tahu, Qaid ni bukanlah daripada keluarga
yang susah.
Dengar katanya, mak dan ayah Qaid pun
berharta juga orangnya. Hendak pula Qaid hanya tiga
beradik sahaja, sudah tentulah hidup mereka lebih daripada
senang. Malahan, gaji bulanan Qaid pun bukan sedikit. Itu
belum lagi elaun tambahan yang diberikan oleh syarikat.
Acam bertindak sebagai jurupandu hari itu. Jalan
raya yang agak lengang memudahkan perjalanan mereka.
Bukanlah jauh sangat rumah Acam dengan pusat bandar
tu, lima kilometer sahaja. Jadi memanglah sekejap sahaja
kalau jalan raya lengang begitu. Kereta Mitsubishi Evo 10
milik Qaid sudah pun menyusuri laluan parkir di dalam
bangunan Ipoh Parade. Mudah sahaja mendapatkan
tempat.
“Kau nak beli hadiah apa ni?” tanya Acam ketika
mereka sudah berada di dalam perut bangunan.
“Entahlah kan. Aku bab-bab hadiah untuk orang
kahwin ni memang fail. Kau ajelah tolong aku cari.
Lagipun kaukan handal bab-bab hadiah ni.”
Qaid mula menggaru kepala. Memang kalau
bab-bab hadiah ni dia agak kurang sedikit. Selalunya pun,
kalau teman-teman sepejabat berkahwin, mereka
hanya akan mengutip duit dan seorang staf akan
dipertanggungjawabkan untuk urusan pembelian hadiah.
Senang sahajalah kerjanya, hulurkan Ringgit Malaysia saja,
tahu-tahu semuanya sudah beres.
“Hmm... jomlah kita usyar dulu. Aku pun bukan
pandai sangat. Kalau shopping untuk aku, memanglah aku
lebih daripada pandai. Yang itu aku pakar.”
Qaid merenung Acam yang selamba badak sahaja
menuturkan kata. Penampilan memang berbeza, tapi mulut
itu memang tidak ada maknanya untuk berubah. Acam...
Acam... memanglah aku rindu sangat kat kau, bisik hati
Qaid. Dalam diam, hatinya berbunga riang.
Mata Acam tertangkap pada sesuatu yang menarik
minatnya. Tanpa disedari, Acam menarik lengan baju
Qaid agar menuruti langkahnya. Apabila disedarinya,
segera tangannya dileraikan. Masih bersikap selamba
walaupun wajahnya sudah pun membahang. Hish,
memalukan betul. Macam mana boleh tertarik lengan
baju anak bujang orang ni. Nasib baik mak ayah dia
tak ada, kalau ada harus aku kena kahwin dengan anak
dia orang ni nanti.
“Kau, tengok ni. Cantiklah lampu tidur ni.
Aku rasa kalau belikan hadiah lampu tidur pun okey juga,”
saran Acam.
“Alasan?” Hukaloh, boleh pula encik abang ni
tanya alasan. Acam mencebir bibir. Haish malas sungguh
untuk beralasan bagai ni. Namun segera otaknya ligat
berfikir mencari alasan yang logik. Macam inilah kalau
bercakap dengan orang teknikal, semua nak alasan.
“Lampu tidur tu kan letak dalam bilik. Romantis
sangat. Lagipun praktikal sebab akan digunakan setiap
hari, tak adalah membazir.” Fuh, itu ajelah pun jawapan
yang terlintas di kepalanya. Jangan lepas ni ditanya siapa
pencipta lampu tidur pula sudahlah.
“Hmm... alasan yang baik. Okey, kita cari satu.”
Dibelek satu per satu barisan lampu tidur yang ada
di kedai Lovely Lace itu. Dari yang mahal hinggalah yang
sederhana harganya, semuanya cantik-cantik. Teringin juga
dia tapi bila difikirkan duit belanja pun hanya cukup sampai
hujung bulan, jangan nak berangan. Qaid hanya menjadi
pemerhati. Suka dia melihat gelagat Acam apabila memilih
barang.
Teringat ketika mereka mencari hadiah untuk hari
keluarga di Wiracourt ketika Acam masih menjalani
praktikal bersamanya dahulu. Kisah yang sama,
berulang lagi kini. Apa sahaja yang disentuh oleh jejari
Acam, memang akan tepat dan kena sahaja di matanya.
Memang gadis itu mempunyai anugerah istimewa yang
jarang dijumpai pada orang lain. Ketelitian dan kehalusan
rasa yang sukar dimengertikan. Cerewet… memang tapi
itulah yang istimewanya.
“Okey tak yang ini?” tanya Acam.
“Cantik!”
“Err... tapi harganya mahal sikit. Aku tak tahu
berapa budget kau.”
“Tak kisahlah. Janji cantik. Err.. kau tak nak ambil
satu ke? Ambillah, aku belanja,” pelawa Qaid. Acam hanya
menggelengkan kepala.
“Aku belum nak kahwin, kalau aku kahwin nanti
bolehlah kau hadiahkan.” Selamba Acam mengenakan
Qaid. Eceh minah ni!
“Ha’ah, kalau kita dah kahwin nanti bilik kita tak
payah pakai lampu tidur, gelap lagi romantik, kan.”
Fuh, padan muka. Itulah lagi nak mengenakan orang,
dah diri sendiri yang terkena. Acam mempamerkan riak
tidak puas hati dengan kata-kata Qaid namun Qaid sudah
sakit perut menahan gelak melihat wajah Acam.
Ambil kau!
“Okey, aku panggil salesgirl tu kejap. Suruh dia
balut sekalilah,” ucap Qaid pantas tanpa menunggu lama.
Bukan apa, takut kena flying kick saja dengan minah
yang dah merah padam muka tu.
Gadis jurujual yang sedari tadi memerhatikan
mereka pantas sahaja tiba apabila digamit Qaid. Acam
yang malas hendak mendengar butir bicara antara Qaid
dan gadis itu beredar menjelajah ke bahagian belakang
kedai yang menempatkan lebih banyak cenderamata.
Wah, boleh rambang mata melihatnya. Sabar hati, sabar.
Nanti tak makan sampai hujung bulan baru tau, pujuk
Acam sendiri.
“Ambillah kalau berkenan, aku belanja,” tegur
Qaid yang tiba-tiba sudah berada di belakang Acam.
“Kus semangat, terkejut mak. Kau ni boleh sakit
jantung aku dibuatnya tau. Eh... tak naklah. Aku temankan
kau aje.”
Setelah membayar harga barangan yang dibeli,
Qaid dan Acam laju melangkah ke kawasan parkir.
Mata Acam mengerling ke arah beg-beg yang dijinjing
oleh Qaid. Tadi rasanya beli satu saja lampu, ni dah
dua tiga beg plastik yang dibawanya. Sempat juga
mamat ni shopping, desis Acam.
Acam hanya membimbit beg plastik yang
mengandungi sehelai tudung dan jubah. Itupun Qaid
yang beria-ia menyuruh dia memilihnya ketika mereka
melalui butik tudung Ratu yang terletak berhampiran
pintu keluar tadi. Mulanya Acam menolak juga, tapi
melihatkan Qaid yang mula menampakkan riak rajuk,
segera dia bersetuju. Jenuh mencari dan membelek
barisan tudung yang tergantung.
Bukan mudah hendak memilih yang berkenan di
hati, apatah lagi jika di hati sudah disetkan untuk memilih
tudung yang berharga paling murah. Tak mahu dikatakan
demand pula oleh Qaid. Tapi apa yang terjadi, memang
sebaliknya. Setiap satu yang diambil, mesti mendapat
tentangan daripada Qaid.
Sudahnya, terbang juga seratus lebih duit mamat
tu untuk sehelai tudung. Dah tu, sempat pula mamat tu
menyambar sehelai jubah moden yang berwarna sedondon
dengan tudung yang dipilihnya.
“Qaid, janganlah boros sangat. Kau manjakan aku
nanti aku lebih-lebih esok, kau yang tak larat,” ugut Acam.
“Heh, tak ada maknanya. Bukannya hari-hari kau
menempel dekat aku pun nak perabiskan duit aku.
Sekali-sekali biarlah aku belanja kau. Kau macam tak
sudi aje kan,” balasnya. Ada nada rajuk yang bertandang.
“Alah... tak comellah kau merajuk. Okeylah, aku
ambil. Kalau kau nak borong semua pun tak apa,” suara
Acam mula mengendur. Susah juga kalau dah terasa hati
mamat ni. Dahlah datang dari jauh, kasihan pula.
Lamunan Acam terhenti apabila pintu lif terbuka.
Segera dia membuntuti Qaid melangkah ke petak kereta.
Kalau mahu suruh dia berjalan di hadapan, masak
hangitlah nak mengingatkan petak kereta diletakkan
tadi. Memang dia kantoi sentiasa kalau bab itu. Setelah
membayar tiket parkir, kereta dipandu laju menyusuri
jalanraya yang lengang menuju ke Persiaran Cempaka
Sari.
Jam pada dashboard kereta menunjukkan angka
12.30. Lagi sejam, mesti pengantin sudah tiba untuk
bersanding. Kalau boleh, mereka ingin hadir lebih awal.
Acam pun sudah lama tidak pergi makan kenduri, tentu
seronok dapat menyaksikan pengantin yang cantik
dan berseri-seri duduk bersanding.
Hati Acam berdebar kencang apabila Mitsubishi
Evo 10 mula memasuki lorong ke rumah pengantin.
Kelihatan deretan kereta tetamu di parkir sepanjang bahu
jalan. Khemah-khemah yang terpasang juga kelihatan sesak
dengan tetamu. Wah, bukan kecil kenduri ni. Lapan kanopi
terpasang kemas bertemakan warna putih ungu di
sepanjang jalan menghala ke rumah pengantin.
Setelah mendapat ruang yang boleh memuatkan
keretanya, Qaid terus meminggirkan kereta ke ruang itu.
Susah juga hendak mencari kawasan parkir, maklumlah
banyak kenderaan yang telah lebih awal tiba.
Hadiah yang terletak di belakang kereta diambil
Acam sebelum keluar. Langkah diatur perlahan menuruti
langkah Qaid yang memahami rasa segan Acam. Bukan
Qaid tidak perasan resah gelisah Acam semenjak enjin
kereta dimatikan lagi. Sengaja dia membiarkannya.
Suka sebenarnya melihat rona-rona merah yang
bertandang di wajah gadis itu. Hish, kalaulah mudah
ditakluki hati gadis itu, dah lama rombongan dihantar.
Tidak perlu lama-lama, bertunang hari ni, esok terus
menikah. Heh, mimpilah Qaid. Tersengih dia sendiri
mengenangkan gelodak hatinya itu.
Mereka disambut oleh pak cik dan mak cik Qaid,
iaitu kedua orang tua pengantin lelaki yang sudah
berkumpul di situ. Khabarnya pengantin lelaki sedang
bersiap di rumah sebelah. Sekejap lagi majlis bersanding
akan diadakan. Kesempatan itu diambil oleh Qaid dengan
membawa Acam berjumpa dengan kedua ibu bapanya
yang sedang berbual-bual di perkarangan rumah
tempat pihak lelaki bertamu.
“Mama,” siapa Qaid lalu menghulurkan tangan
menyalami ibunya. Tubuhnya dirangkul dan dicium mesra
oleh wanita itu.
“Sampai pun anak mama ni. Ingatkan tak jadi
datang. Terus dari Melaka ke tadi?” tanya Puan Sahara.
“Ha’ah, Angah terus dari sana tadi. Singgah rumah
kawan sekejap,” ujar Qaid.
Puan Sahara menjungkitkan kening apabila
mendengar perkataan kawan dari mulut anak jejakanya
itu. Pandangannya dibuang ke arah gadis yang berdiri di
belakang Qaid. Comel!
“Aunty, apa khabar?” siapa Acam lalu menyalami
ibu Qaid. Wah, anggun wanita yang berada di hadapannya.
Tidak berkelip-kelip wanita itu memerhatikannya. Dari
atas ke bawah, dari bawah ke atas. Agaknya apa yang tidak
kena, getus Acam.
Terkejut dan terharu apabila tubuhnya gak turut
dirangkul dan pipinya dicium mesra oleh wanita itu. Qaid
yang memerhatikan hanya tersenyum. Minta-mintalah
hati gadis itu tersentuh dan terbuka untuknya dengan
layanan first class mama, desis hati kecilnya. Penat
betullah, tiap kali bersama Acam, asyik nak bercakap
dalam hati saja. Bilalah dapat bercakap depan-depan.
“Mama, ni kawan Angah, Acam,” Qaid
memperkenalkan Acam. Sepatutnya diperkenalkan dahulu
barulah nak bersalam dan berpeluk bagai. Ini tidak, terlebih
mesralah pula.
“Acam?” Puan Sahara terpegun dan mengerutkan
dahi mendengar nama itu.
“Err... Acam tu panggilan saya aunty. Nama saya
Puteri Darlina,” terang Acam serba salah. Hish, Qaid ni
pun, agak-agaklah kalau hendak sebut. Terdengar letusan
tawa daripada wanita itu. Geli hati agaknya mendengar
nama Acam itu.
“Ini kena cerita kat aunty ni macam mana boleh
dapat nama Acam tu. Rare names,” usik Puan Sahara, suka
melihat wajah putih gadis itu kemerah-merahan. Alahai,
mak dengan anak sama aje, suka benar mengusik. Ini
bukan like father, like son tapi sudah jadi like mother like
son.
Suasana mula meriah di situ. Seorang demi
seorang datang menyalami Acam. Masing-masing sibuk
hendak berkenalan dengan Acam. Maklumlah, Qaid itu
anak lelaki tunggal keluarga, malah susah pula hendak
mengusung anak gadis orang berjumpa mereka. Papa
Qaid juga tidak terkecuali turut serta dalam sesi
temuramah itu. Tercungap juga Acam dibuatnya dengan
lontaran-lontaran soalan yang bertalu-talu.
Masing-masing sibuk ingin mengetahui mengenai
Acam sehingga pengantin lelaki yang segak dengan
persalinan raja sehari berdiri di muka pintu pun tidak
dihiraukan. Nasib baiklah adik perempuan Qaid datang
menghentikan sesi temu ramah itu, kalau tidak mahu
sampai ke malam pengantin lelaki tercegat di situ.
Tangan Acam diraih oleh Puan Sahara. Tidak
dilepaskan tangan gadis itu ke mana sahaja dia pergi.
Malah, semasa menepung tawar pun sibuk wanita itu
menyeret Acam sama. Sudah macam belangkas pula
kisahnya. Qaid hanya tersenyum melihat sikap mamanya
yang nampak seperti berkenan benar dengan Acam. Kalau
mama berkenan, Angah seratus kali berkenan mama oii,
tapi dia saja yang tidak berkenan kat anak mama ni.
Gelodak di jiwa semakin mencengkam. Aduhai…
“Acam, kau okey ke?” bisik Qaid ketika mereka
sedang menjamu selera. Duduk semeja dengan pengantin
makan beradab memang istimewa.
“Okey aje, tapi penatlah kena interview,” balas
Acam namun masih tersenyum.
“Oh, sorry ya. Kesian kat kau, kan.”
Qaid seperti mengerti perasaan Acam. Yalah,
ingat tak penat ke nak melayan masing-masing sibuk
bertanya itu dan ini. Lebih-lebih lagi mama dan kak
longnya. Qaid pun bosan juga apabila terasa dirinya
kurang mendapat perhatian, nasib baik ada Qiera anak
buahnya yang baru berusia dua tahun tu. Boleh juga
didukung-dukung dan diajak bergurau.
“Eh... tak ada hal. Aku tak kisah pun, seronok pula
ada. Macam VVIP pula aku rasa.” Meleret senyum Acam
apatah lagi tertangkap mata Puan Sahara yang redup
merenungnya. Ada garis gembira di wajah ibu itu.
Lensa kamera sibuk dipetik. Cahaya flash sesekali
mengenai wajah Acam dan Qaid. Rasa macam mereka pula
yang bersanding. Aduhai, perasan sungguh si Qaid ni.
Seketika, hatinya dibuai rasa gembira yang tiada bertepi.
Alangkah indah jika semua ini berkekalan. Dialah insan
yang paling bertuah jika hati gadis itu dapat dimilikinya.
Dalam diam dia berdoa agar Allah membuka ruang
di sudut hati gadis bernama Puteri Darlina itu untuknya.
Kalaulah sepuluh tahun diperlukan untuk menambat hati
gadis itu, dia rela.

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 18

GELI hati juga apabila terkenangkan sikap
terlalu mengambil berat Dzil tu. Melampau betul.
Macamlah ada orang nak culik dia jalan seorang di kawasan
taman tu. Tidak ada maknanya. Melihatkan Dzil yang telah
jauh meninggalkan kawasan rumah Ros, Acam segera
menuju ke pintu utama. Matanya terpandang kelibat rakan
serumah Ros yang sedang mengangkat pakaian di ampaian.
Sebenarnya sudah lama dia terpandangkan Lydia
yang berada di ampaian itu. Jelingan tajam Lydia yang
memerhatikan mereka juga disedarinya. Oleh sebab itulah
Acam menyuruh Dzil segera beredar, takut pula kedatangan
membawa masalah kepada seisi rumah. Ada juga rasa tidak
senang menyelinap di hati Acam. Yalah, terfikir juga dia
kenapa agaknya gadis itu mencerut apabila terpandangkan
mereka.
“Hai Lydia, Ros ada?” tegur Acam berbahasa basi.
“Ada, carilah kat dalam,” jawab Lydia acuh tidak
acuh.
Gadis itu masih lagi di ampaian langsung tidak
berpaling ke arahnya. Masih lagi dengan kain baju di
tangannya. Hendak menjemput masuk ke dalam rumah
jauh sekali. Malah, hanya itu sahajalah yang terkeluar dari
mulut gadis itu.
Bukan Acam tidak terasa hati dengan sikap Lydia
tapi dibiarkan sahaja dibawa angin lalu. Tidak luak pun
dengan tingkah laku Lydia malahan bukan mereka
bersahabat rapat pun. Hanya kenal-kenal begitu sahaja.
Cuma agak tertanya-tanya kenapa dia tidak disukai oleh
gadis itu. Ada hutang yang tidak berbayar ke dengan gadis
itu? Rasanya tak pernah berhutang dengan orang pun.
Lantaklah, tidak luak pun kalau dia tidak suka.
Berlainan pula dengan rakan serumah Ros yang lain.
Kedatangan Acam disambut dengan baik. Acam
menghulurkan tangan bersalaman dengan dua tiga
orang lagi teman serumah Ros yang tersenyum manis
menyambutnya. Kemudian langkah disusun mendaki
tangga menuju ke bilik Ros. Pintu bilik
dikuak lebar setelah dua kali ketukan ditalu. Terkejut Ros
melihat kedatangan Acam namun segera dia memeluk erat
bekas teman sebiliknya itu.
Rindu sungguh kepada temannya itu, lama tidak
bertemu Acam. Lain benar penampilan Acam sekarang.
Dari ekor mata, dia dapat melihat wajah meluat Lydia yang
sengaja mundar mandir di hadapan biliknya itu. Cepatcepat
Ros menarik tangan Acam masuk ke biliknya.
Tidak mahu gadis yang kelat mencuka itu mendengar
perbualan mereka. Bukan dia tidak tahu, Lydia sering
mengutuk Acam di rumah mereka. Mungkin Lydia
tidak tahu yang Ros sebenarnya agak rapat dengan
Acam.
“Hmm... lamanya tak jumpa kau Acam oii, lain
sungguh dah,” tegur Ros. Sekali lagi tubuh Acam
dipeluknya. Tidak mempedulikan sikap kasar Acam duludulu,
mana suka dipeluk-peluk begitu.
“Mana ada lainnya. Sama juga macam dulu,
rindulah kat kau, Ros,” balas Acam malu.
Lama mereka berbual-bual. Daripada cerita mulamula
tinggal bersama, sehinggalah kisah Acam diusik
hantu pada hujung semester pertama itu yang mengundang
tawa mereka. Riuh-rendah bilik Ros bergema dengan gelak
dua gadis itu. Deheman di luar bilik mematikan tawa dari
mulut Acam dan Ros. Nampak benar ada orang yang tidak
senang dengan kehadiran Acam di situ.
“Ops!” Kedua-duanya menekup mulut lantas
kembali tertawa. Lantak kaulah labu.
“Err... tadi masa kau datang, ada kau jumpa Lydia
ke?” tanya Ros tiba-tiba. Acam hanya mengangguk.
“Baik kau hati-hati dengan dia tu. Entahlah, aku
tengok dia tu lain macamlah. Apa kes dia dengan kau?”
tanya Ros.
“Entah. Aku kenal dia gitu-gitu aje. Tapi yang aku
tahu, dia tu selalu lepak dengan budak perempuan baju
kurung biru yang aku cerita kat kau dulu tu,” balas Acam.
“Hmm... selalu gak aku dengar dia mengata kau
kat sini, tapi aku diam aje. Dia tak tau aku kenal baik
dengan kau. Budak satu course aku tu, kenal dengan Dzil,”
kata Ros.
“Tak apalah, biarkan aje dia. Aku malaslah nak
ambil tahu lagi dengan dia orang ni. Apa yang aku tahu,
aku naik gred tahun ni,” ujar Acam tenang. Ros hanya
tersenyum. Berubah sungguh sahabatnya itu. Daripada
seorang yang cepat panas, dia sudah nampak
kematangannya.
Lagu Tercipta Untukku sekali lagi kedengaran.
Laju tangan Acam menyambut panggilan itu.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
“Lagi 15 minit saya sampai ya, awak tunggu aje
kat rumah Ros tu.” Sayup terdengar suara Dzil di hujung
talian.
“Yalah, saya tahu. Saya nak solat maghrib dulu.
Seronok berborak dengan Ros, terlupa dah awak.”
“Hish, itulah orang perempuan kalau dah dapat
bergosip semua terlupa.”
“Eii... mana ada orang gosip-gosip. Orang cerita
yang baik-baik aje tau. Okeylah, nak solat dulu. Nanti
lambat pula.”
“Okey, nanti tunggu ya,” pesan Dzil sekali lagi.
Acam menggelengkan kepala mengenangkan sikap
Dzil. Hish, susah betul orang terlebih ambil berat ni. Talian
dimatikan dan Acam tersedar dirinya diperhatikan oleh Ros
dengan sebuah senyuman melebar di bibir gadis itu.
“Hmm... dah seriuslah tu dengan Dzil eh?” usik
Ros.
“Haish... mana ada. Kawan ajelah. Dia tak propose
pun kat aku nak serius. Dia kirim salam kat kau tadi
Ros, kirim salam rindu,” balas Acam. Besar gelak Ros
mendengarnya.
“Hahaha... takut aku nak jawab. Takut kena sengat
dengan kau aje salam-salam rindu ni,” lawak Ros. Sengaja
memancing senyum di bibir Acam.
“Ros, aku nak tumpang maghrib kat bilik kaulah.
Kejap lagi cik abang tu sampai bising pula kat aku. Dia ajak
aku makan kat gerai hujung simpang tu. Jom join,” pelawa
Acam ikhlas. Sudah lama tidak makan bersama Ros.
“Hish, tak naklah aku kacau daun. Kat depan bilik
aku tu bilik air, nanti aku siapkan sejadah dan telekung.
Pergilah cepat, nanti membebel mulut mamat tu, boleh
tahan juga kalau membebel dia tu.” Terlerai gelak tawa
mereka berdua. Seronok apa dapat mengutuk orang.
Usai solat maghrib, cepat-cepat Acam bersiap
apabila melihat mesej masuk daripada Dzil. Pasti mamat
tu sudah tercegat di bawah. Acam dan Ros berpelukan di
hadapan pintu rumah sebelum Acam meninggalkan rumah
Ros. Sempat dia menangkap jelingan tajam daripada Lydia
di balik pintu. Jika ikutkan hati hendak sahaja dia bertanya
apa yang gadis itu tidak puas hati dengannya. Namun, bila
difikirkan dua kali, buat penat saja. Acam ingat kata-kata
Qaid, dalam melakukan apa pun, letakkan akal mendahului
hati. Qaid, terasa rindu pula pada mamat tu.
Dzil yang menunggu di bawah pokok di luar pintu
pagar tersenyum melihat Acam yang menghampirinya.
Jalan yang disirami lampu neon disusuri mereka menuju
ke arah gerai makan di hujung simpang Taman Cempaka.
Malam itu, pelanggan agak ramai. Tidak dapatlah Dzil
dan Acam mencari meja yang jauh daripada pelanggan
lain. Siapa cepat dia dapatlah. Kira sudah dapat tempat pun
sudah bersyukur sangat.
Tidak banyak yang dibualkan ketika mereka
menikmati hidangan. Alunan lagu Hatimu Milikku
dendangan Nera AF memenuhi ruang. Acam seakan-akan
terpaku dengan lirik lagu itu. Sungguh indah dan seakanakan
terkena dengan hatinya. Matanya menekur ke meja
saat bersabung mata dengan redup mata Dzil yang tidak
henti-henti merenung wajahnya. Aduh! Lemah longlai
segala sendi direnung begitu.
Akhirnya, hampir jam 10.30 malam mereka telah
berada di hadapan rumah Acam. Setelah mengucapkan
selamat malam Dzil berlalu meninggalkan Acam yang telah
pun selamat masuk ke dalam rumahnya. Memang Dzil akan
sentiasa memastikan Acam selamat masuk ke dalam rumah
dahulu sebelum dia beredar. Keselamatan Acam menjadi
keutamaan jejaka itu.
Goodnight my girl, thank you for letting
me to do what I did today. Dream of me..
always yours. ~ Dzil.
Butang send ditekan.
Bip mesej masuk yang kedengaran menampar
deria dengar Acam. Segera telefon bimbit dicapai dan mesej
masuk dijengok. Semenjak dua menjak ni, senyuman
seolah-olah menjadi sahabat paling baik buat Acam.
Mana tidaknya, asyik tersenyum sahaja. Naik penat pun
ada bibir itu.
And thank you for being so nice too, bisik Acam
sendirian. Mulut masih lagi lancar melagukan lagu Hatimu
Milikku yang telah mengusik jiwanya.
Di sisimu aku terdiam seribu bahasa
Di hatiku bergetar sejuta rasa
Namun sukar untuk aku meluahkan
Ku cinta padamu
Nafasku terhenti bila melihat dirimu
Terasa batas degupan jantungku
Mungkinkah hatimu milikku jua
Ku sayang padamu
Benarlah seperti lirik lagu itu, ketika bersama
Dzil, dia sering terdiam seribu bahasa. Tidak pandai untuk
meluahkan rasa yang terbuku. Namun dia mula menyedari
ada perasaan senang mula menjalari tangkai hati setiap kali
bersama jejaka itu.

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 17

SEMESTER akhir di PUO memang sangat
mencabar. Tugasan yang semakin banyak kadang-kadang
membuatkan pelajar-pelajar menghadapi tekanan perasaan
dan stres. Tapi walau apa pun, semua tu harus diharungi
demi segulung sijil dan diploma yang dapat membantu
mereka di luar sana kelak. Zaman kemajuan dunia
pendidikan yang semakin bertaraf tinggi, apalah sangat
pekerjaan yang dapat dilakukan jika tidak mempunyai
sekurang-kurangnya segulung sijil. Malah kadang-kala,
sijil pun masih tidak mencukupi. Di luar sana, ramai
siswazah lepasan universiti yang masih mencari pekerjaan.
Bukan masalah terlalu memilih, kadang-kadang majikan
juga tidak mahu mengambil mereka untuk jawatan yang
tidak setaraf dengan pendidikan mereka. Disebabkan itu
jugalah ramai lulusan universiti yang hanya menggunakan
sijil SPM atau STPM ketika memohon pekerjaan.
Acam dan Dzil juga tidak terkecuali dengan tempias
semester akhir ini. Masing-masing sibuk menyiapkan diri
untuk mengakhiri zaman pelajar namun perasaan dan hati
masih tetap sama. Bagi Acam, semester terakhir ini
merupakan semester yang sangat luar biasa. Apa tidaknya,
penampilan Acam yang sedikit berbeza membuatkan banyak
mata yang mula terbuka dengan kehadirannya. Kalau dulu,
sepuluh kali lalu di hadapan pelajar-pelajar lelaki pun tidak
tentu lagi ada seorang yang menoleh.
Tapi kali ini, walau hanya bebayang Acam melintas
pun sudah ramai yang tertunggu. Siulan masih lagi tidak
berhenti cuma cara dan bunyi siulan itu sudah berbeza. Dah
bukan bunyi ungka tapi bunyi siulan mamat gatal pula.
Selepas menjalani latihan praktikal, Acam
merasakan sudah masanya untuk dia mengubah sedikit
penampilannya. Bertukar daripada 100% tomboi kepada
sedikit kegadisan. Bukan bermakna selama ini dia tidak
pernah berbaju kurung dan bertudung, tapi selalunya
kalau dahulu, rentak jalan dan pembawaannya tu memang
kasar betul. Muka pun, tidak pernah ada secalit warna.
Kalau ada pun rona-rona merah ketika Acam naik
angin atau ketawa yang bertamu. Sementalah wajahnya
yang putih bersih itu memang cepat benar terlihat garisgaris
merah yang suka menumpang. Bukanlah macam Betty
la Fea, terus bertukar jadi cantik.
Kali ini, Acam sudah mulai pandai bergaya dalam
berpakaian. Masih berbaju kurung tapi dengan warna-warna
lembut yang lebih menampakkan kelembutan dirinya.
Digandingkan pula dengan kasut yang sedikit bertumit.
Malah, tudung pula sudah pandai memilih selendang
panjang dan pashmina. Gaya pun sudah ala-ala
Hana Tajima.
Namun, selalunya tudung ekspres fesyen terbaru
juga yang menjadi kegemarannya. Bukan apa, lebih mudah
dan cepat untuk bersiap. Cara berjalan juga sudah banyak
berubah. Sebenarnya sebelum ni bukan Acam tidak pandai
bergaya, cuma dia hanya menyimpan niat itu untuk satu
waktu yang sesuai. Juliana banyak membantu dalam
proses perubahan penampilan itu. Di samping gambargambar
pelakon Diana Amir yang telah berhijrah memakai
jilbab turut sama membantu. Dia suka dengan penampilan
pelakon itu. Manis dan ayu bertudung walaupun kadangkadang
berbagai fesyen tudung digayakan. Tetap kelihatan
manis dan sopan.
Rakan serumah mahupun sekuliah Acam masingmasing
tertanya-tanya apa penyebab Acam berubah.
Rakan-rakan pelajar perempuan yang sememangnya
bersahabat baik dengan Acam, menerima perubahan itu
dengan hati yang terbuka malah suka pun ada. Suka melihat
Acam tidak lagi sekasar dulu walaupun masih ada saki-baki
sikap kasarnya itu terselit dalam kelembutan yang baru
timbul.
Namun ada juga yang tidak senang dengan
perubahan Acam. Bukan apa, rasa diri mreka tergugat
sedikit. Risau bila mata boyfriend masing-masing mula
menjuling apabila terlihat Acam melintas di hadapan
mereka. Sedangkan, Acam sedikit pun tidak pernah
memberi perhatian kepada pelajar-pelajar lelaki di PUO tu.
Tak kuasa!
Perubahan Acam itu juga turut memberikan
tempias kepada Dzil. Sudah tentu Dzillah orang yang
paling gembira dengan perubahan Acam. Suka apabila
melihat gadis idaman semakin cantik, semakin manis,
semakin menawan hati dan sedikit demi sedikit menjadi
gadis melayu terakhir idaman Malaya. Tapi, dalam pada
itu, hatinya tetap juga dipukul badai. Dipukul dengan rasa
cemburu dan gusar.
Mana tidaknya, kalau dulu hanya dia seorang
sahaja yang memuja Acam, sekarang nama Acam telah
mula meniti dari mulut ke mulut pelajar-pelajar
lelaki di situ. Malah yang junior pun ramai yang
memasang niat nak cuba tackle Acam. Isy, Mior yang asyik
sibuk-sibuk mengutuk si Acam ini dahulu pun sudah mula
usyar Acam dari jauh. Ada juga yang mahu kena cepuk nanti.
Beranilah kacau daun, mahu bertelur dahi dua tiga biji. Mior
sudah sedia maklum akan ugutan Dzil itu namun apakan
daya, mata sudah berkenan hendak memandang setiap kali
kelibat Acam tersua di mata. Itulah orang kata, jangan nak
kutuk lebih-lebih, takut suatu hari nanti rahang pun boleh
terjatuh kepada orang yang sama. Macam ini ceritalah!
PETANG itu, Acam seperti biasa melangut di atas katilnya
sambil membelek beberapa buah novel terbaru yang baru
sahaja diserahkan oleh abang Poslaju. Tersenyum sahaja
wajah comelnya ketika menerima bungkusan itu.
Senyumannya makin lebar apabila teringatkan insiden dia
dan abang Poslaju pagi tadi.
“Puteri Darlina ya,” ujar abang Poslaju sambil
menyerahkan bungkusan serta kertas yang perlu
ditandatanganinya itu. Acam hanya menggangguk.
“Errm... dah lama abang tak hantar buku adik ni
kat sini. Rasanya abang selalu hantar barang untuk Puteri
Darlina ni, tapi macam lain pula orangnya,” kata abang
Poslaju lagi. Acam masih membuat wajah biasa, seperti tiada
apa yang berubah.
Yalah, selalunya kalau abang Poslaju itu datang, dia
hanya akan keluar dengan berbaju-T dan jean lusuh. Kepala
pula yang kadang-kadang hanya ditutupi dengan tuala
panjang sahaja. Tidak pernah hendak senyum pun. Ketat
saja muka.
“Sayalah tu, bang. Tak ada orang lain dah kat
sini nama Puteri Darlina tu,” balas Acam masih lagi
melemparkan senyuman ikhlas kepada abang Poslaju yang
banyak berjasa tu.
“Hmm, dulu si Puteri tu kasar sikit. Kalau ambil
barang, tak nak lama-lama bercakap dengan orang. Nak
cepat aje dia. Tapi adik ni lain pula. Tak macam dia pun.”
Tercuit juga Acam dengan kata-kata abang poslaju
yang cukup tulus mulus itu. Wajah abang Poslaju itu pun
beriak biasa sahaja, tidak sedikit pun ada rasa kesal dengan
pernyataan yang baru sahaja diluahkannya.
Alahai abang Poslaju, teruk sangat ke aku layan kau
dulu, bisik hati Acam.
“Erm... abang, minta maaflah ya kalau saya dulu
kasar dengan abang. Dulu saya jahiliah lagi, tapi sekarang
sudah insaf. Terima kasih ya, bang.” Abang Poslaju hanya
tersenyum lalu mengangguk sebelum beredar. Macam ini
pun ada?
Bungkusan yang diterima sebentar tadi dibawa ke
bilik. Balutan plastik bungkusan terus dibuka dan memang
benar telahannya, sudah tentu novel. Inilah hasil
tangkapannya sepanjang hari melayari blog-blog penerbitan
di alam maya. Bukan susah pun hendak beli novel-novel di
alam maya ni, yang penting kena rajin dan ada akaun bank.
Senang untuk berurusan dengan hanya menggunakan
khidmat transfer wang ke akaun bank syarikat penerbitan
yang hendak dibeli novelnya. Maybank2u ada, CIMB Clicks
pun ada. Tok nenek pun boleh dibeli kalau ada perkhidmatan
perbankan online ni.
Setelah membelek-belek kulit serta membaca
sinopsis novel-novel yang baru diterimanya, Acam
menyusun kesemuanya di atas rak berhampiran meja
belajar. Kena tunggu giliran, masih banyak yang berstatus
tergendala untuk dibaca. Hajat di hati malam nanti akan
dilakukan operasi membalut novel-novelnya itu.
Kertas kecil diambil lalu ditulis sesuatu di
atasnya. . Hmm... dia
tersenyum. Harus kena tulis nota kecil tu kalau tidak,
tidak sampai sehari memang lesaplah novel-novelnya itu.
Asal ada novel baru saja mesti ramai seperti semut datang
menghurung. Kalau semut-semut itu tahu meminjam dan
pulangkan semula tidak apa. Ini ramai yang jenis hendak
pergi minta barulah tahu untuk pulangkan. Lagi sakit hati
kalau novel-novel itu sudah jadi macam belacan ketika
dipulangkan semula. Langsung tidak serupa bentuk asal
ketika dipinjam. Siapa yang tidak sakit hati, merana jiwa
raga.
Tiba-tiba, hatinya teringatkan Ros. Wah, lama
sungguh tidak bertemu dengan Ros, sahabat lamanya yang
merupakan teman sebilik semasa di kolej dahulu. Demi
teringatkan Ros, Acam terus bangkit dari katilnya. Rambut
yang hitam dan panjang mengurai itu segera disanggulkan.
Baju-T putihnya diganti dengan baju-T Muslimah lengan
panjang Sumayya yang dihadiahkan oleh Kak Haniza. Cantik
baju-T itu, cukup syarat menutup aurat, tidak terlalu ketat
dan tidak pula terlalu longgar. Memakainya sahaja
sudah nampak ciri-ciri gadis melayu. Belum lagi dipadankan
dengan palazzo hitamnya serta tudung ala-ala Fareeda yang
kemas tergantung di dalam almari. Nak beli tudung Fareeda
original tak mampu weh, bukan main puluh-puluh ringgit
harganya, kalau tak ada seratus dua tak dapatlah nak
bergaya. Dapat yang imitation pun jadilah, apatah lagi
bergelar pelajar, itu pun dah lebih daripada cukup hebat.
SETELAH bersiap ala kadar dengan secalit lipstik merah
jambu yang nipis di bibirnya, Acam segera mencapai purse
serta kunci rumah. Yani yang terlihat Acam menuruni
tangga hanya tersenyum memandangnya. Memang cantik
gadis bernama Acam ni, patutlah si Dzil gila meroyan
sampai sanggup asyik bersidai kat tepi pagar rumah anak
dara orang. Nak-nak pula sekarang ni ramai yang asyik kirim
salam kepada Acam, lagilah meroyan pak cik Dzil tu, getus
Yani. Senyuman Yani dibalas dengan siapaan Acam.
“Aku keluar kejap eh.”
“Hmm.. datinglah tu. Amboi, orang dah ada
boyfriend ni,” usik Yani.
“Isy... kau ni. Siapa yang ada boyfriend, aku single
lagi ni. Still single and available,” balas Acam.
Meledak tawa Yani mendengarnya. Eleh mahu
sorok lagi, macamlah orang tidak nampak yang si Dzil tu
asyik menempek sahaja dengan dia. Asal petang saja, depan
pagar itulah jadi lokasi rasmi Dzil. Buat apa lagi, kalau tidak
bersiul-siul mencari Acam. Masih seperti dahulu, tidak
pernah hendak kalah si Acam ini.
“Tu si Dzil tu bukan boyfriend kau ke?” tebak Yani.
Kali ini dia ingin memancing hati Acam.
“Mana ada. Pernah ke dia cakap dia tu boyfriend
aku? Tak ada, kan. Kawan ajelah.” Wajah Acam
sudah kemerah-merahan menahan malu. Yani tergelak
mendengarnya.
Alahai Acam, memanglah kau kata kawan, tapi si
Dzil tu dah angau satu kampus ni tau dia tergila-gilakan
kau. Kalau tidak, mustahil dari semester pertama lagi sudah
sibuk minta tolong abang-abang senior korek biodata kau,
bisik Yani sendiri.
Sengaja tidak mahu diluahkan apa yang tersirat
di fikirannya ketika itu. Biarlah mereka berdua yang settle
sendiri. Lagipun hal hati masing-masing tak boleh masuk
campur. Dia suka aje kalau menjadi. Baik Acam mahu pun
Dzil, kedua-duanya dia suka. Cuma dia agak gusar dengan
seseorang saja. Risau juga kalau hubungan Acam dan Dzil
nanti akan terhalang disebabkan seseorang itu.
“Kau nak pergi mana lawa-lawa ni?” soal Yani.
“Lawa ke? Alahai, terima kasihlah puji aku. Aku nak
pergi rumah Ros kejap. Dah lama tak jumpa dia, rindu pula.”
“Okeylah, kirim salam kat Ros ya. Hati-hati kat
rumah dia orang tu. Nanti balik kau tolong belikan aku
Maggie Tom Yam satu peket,” pesan Yani. Hatinya tidak
berapa sedap apabila Acam menyatakan akan ke rumah Ros.
Dia tahu Ros itu sahabat Acam, tapi ada sesuatu yang tidak
kena di situ. Entahlah...
Setelah mengucapkan salam, Acam beredar. Dia
masih berfikir tentang kata-kata akhir Yani tadi yang
menyuruhnya berhati-hati di rumah orang itu. Puas
mentafsirkan apakah yang tersirat di sebalik kata-kata Yani
itu, namun akalnya masih tidak dapat menemui jawapan.
Langkah ke rumah Ros diatur perlahan. Sempat juga dia
singgah sebentar membeli goreng pisang panas di tepi jalan
menghala ke rumah Ros. Ros hanya tinggal di taman
bersebelahan dengan taman yang didiaminya.
Melintasi rumah yang disewa Dzil dan rakanrakannya,
hampir hendak pekak telinga Acam mendengar
namanya disiul-siulkan. Hati rasa panas juga tapi pelik
sungguh sekarang, cepat sahaja panas itu surut. Kalau dulu
mahu sahaja dijelingnya ungka-ungka yang rajin bersidai
dan bersiul-siul tu.
“Assalamualaikum Acam, nak ke mana tu?”
Satu suara menegurnya. Tentu sekalilah dari
rumah yang penuh dengan pelajar lelaki itu. Acam berpaling
ke arah pemilik suara yang menegurnya. Rasanya dia kenal
pemilik suara itu.
“Waalaikumussalam. Nak ke rumah Ros sekejap,”
balas Acam, lembut.
Mior, si empunya suara itu tersenyum lebar.
Bergetar hati lelakinya tatkala melihat gadis yang berdiri di
hadapannya itu. Satu transformasi yang sungguh luar biasa.
Wajah putih merah milik Acam itu ditenung lama sehingga
Acam merasa serba salah. Cepat-cepat Acam mengalihkan
pandangan apabila ditenung begitu. Huh, dulu kemain lagi
mengata aku, sekarang mulalah, sampai nak terjojol mata tu
tenung muka aku ni, getus hati Acam. Korek biji mata nanti,
jadi Kassim Selamat baru tahu.
“Okeylah, saya jalan dulu, nanti lewat petang pula.”
Acam bermohon diri lalu mengatur langkah laju. Tak manis
dilihat orang lama-lama di hadapan rumah yang didiami
oleh pelajar lelaki itu.
Tidak sampai sepuluh meter, tiba-tiba lagu Tercipta
Untukku nyanyian Pasha kumpulan Ungu yang popular itu
nyaring kedengaran. Lagu itu menjadi nada dering telefon
bimbit Acam. Itu kerja si Yanilah tu, pandai-pandai saja
tukar nada dering. Segera telefon dijawab.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam, awak kat mana?” Lembut
suara di hujung talian.
“Saya kat tengah jalanlah awak, nak ke rumah Ros,”
balas Acam. Hati berbunga riang mendengar suara itu.
“Dah jauh ke dari rumah saya? Tadi Mior bagitahu
awak lalu kat depan tu, tunggu kejap, saya temankan awak.”
“Eh, tak apalah. Saya boleh aje jalan sendiri, tak
payah susah-susahlah.”
“Mana ada susah, lagipun mana boleh biarkan
awak jalan seorang-seorang. Kat sini banyak buaya, nanti
dingapnya awak, haru saya,” tukas Dzil.
“Lah, kat atas darat ni mana ada buaya. Bagilah
alasan logik sikit encik Dzil, oiii” bebel Acam. Dah mulalah
tu nak mula bertekak.
“Buaya atas daratlah lagi bahaya. Kalau dia makan,
tiada ampun. Tak kira, awak tunggu aje kat depan tu.” Talian
dimatikan. Acam mengeluh mengenangkan sikap Dzil yang
tidak tahu kalah. Hish, mengalahkan pakwe pula dia ni.
Buayalah konon. Awak tu lagi dahsyat, naga terus.
Hendak tergelak pula Acam mengenangkan alasan Dzil
menemaninya sebentar tadi.
Acam masih mengatur langkah perlahan-lahan
ketika terdengar namanya diseru. Termengah-mengah Dzil
yang berhenti di belakangnya. Dia berpusing menghadap
mamat yang berbaju-T putih dan track bottom hitam itu.
Sempoi saja mamat ni, tapi memang handsome gila, detik
hatinya. Eh, apa pasal sekarang aku dah semakin nampak
tahap handsome mamat ni ya? Dulu tak pula nak perasan
sangat.
“Lah, kan dah penat. Susah-susah pula nak
temankan saya. Macamlah saya tak pernah jalan seorangseorang,”
bebel Acam.
“Tak adalah, saya baru balik joging tadi, bila Mior
bagi tau tu yang terus datang. Jom, nanti dah lewat pula,”
ucap Dzil.
Matanya sesekali mengerling ke arah Acam. Comel
sungguh, pujinya dalam diam. Walaupun penampilan Acam
sudah bertukar menjadi semakin lembut dan ayu namun
yang ketara, sifat kasarnya masih berbaki. Tidak pula Acam
bertukar menjadi ala-ala gedik seperti kebanyakan gadis
lain. Itu adalah penyebab kenapa Dzil meminati Acam.
“Lama ke awak kat rumah Ros nanti?” soal Dzil.
Langkah masih disusun beriringan, seronok pula
dapat bersama Acam berjalan santai. Walaupun dekat sahaja
rumah mereka, tapi Acam ni bukan suka sangat pun untuk
berjumpa. Setakat bersidai lima enam minit di pagar rumah
Acam tu sahajalah. Kalau hendak diajak keluar makan
memang susah, macam-macam alasan. Apatah lagi kalau
sebut dating. Harus ditolak mentah-mentah. Namun, semua
itu menjadikan Dzil lebih tertarik dengan gadis itu.
“Kenapa?” soalan Dzil dibalas soalan juga.
“Taklah, ingat nak ajak awak makan. Kita pergi
town nak?” pelawa Dzil.
“Makan? Town? Nak naik apa? Kalau rempit dengan
awak, isy.. tak ingin saya,” bebel Acam menjeling Dzil yang
tersengih.
“Eii.. saya tak pernah lagi bawa perempuan naik
motor saya tu tahu, kalau awak sanggup cemar duli, awak
seorang ajelah yang pecah rekod teruna motor saya tu,”
balas Dzil berseloroh. Muncung Acam sudah panjang 14
inci. Comelnya, getus Dzil.
Hish, nasib baik anak gadis orang, kalau sah isteri
dia, mahu sahaja digigit-gigit bibir mungil tu. Tak apa,
sabarlah hati, habis saja belajar nanti pasti rombongannya
akan sampai ke pintu rumah gadis di sebelahnya itu. Orang
kata, kalau jodoh tak ke mana. Save for the best!
“Tak mahulah,” ucap Acam dengan muka kelatnya.
“Okeylah, tak nak naik motor, kita makan kat sini
ajelah. Kat gerai hujung simpang tu ya,” pujuk Dzil lagi.
Mana boleh mengaku kalah cepat sangat.
“Hmm... kalau kat situ okeylah. Lepas maghriblah
saya balik dari rumah Ros.”
“Hmm, saya tunggu awak kat depan rumah Ros.
Nanti kirim salam rindu kat Ros juga ya,” seloroh Dzil.
Direnungnya wajah Acam yang kemerahan.
“Awak jealous ya,” tegur Dzil lalu terhambur tawa
di bibirnya. Acam hanya mendiamkan diri. Geram dengan
usikan Dzil.
“Tak ada maknanya nak jealous dengan awak,”
bantah Acam. Menyampah betul mamat ni. Eh, nampak
sangat ke aku jealous ya?
Tawa Dzil masih lagi kedengaran ketika lelaki itu
melangkah pergi berlari-lari anak meninggalkan Acam di
hadapan pintu pagar rumah Ros. Memastikan keselamatan
Acam menjadi matlamat sampingan Dzil sekarang. Kalau
boleh tidak mahu gadis itu tercuit dek sesuatu apa pun.
Dari jauh Dzil memerhatikan Acam melangkah
memasuki perkarangan rumah Ros sehingga ke pintu
rumah. Kelihatan dia berhenti bercakap sebentar dengan
rakan serumah Ros yang berada di luar rumah. Hatinya
senang, malam nanti hendak bertemu gadis idaman hatinya
itu lagi. Masa untuk pulang mensucikan diri dan
mengabdikan diri kepada Dia yang Maha Esa. Mentari pun
tidak lama lagi akan pohon diri untuk beradu.

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 16

LANGKAH Dzil terhenti. Matanya terpaku
melihat gelagat gadis bertudung hitam itu yang sedang
ligat tangannya terawang ke sana ke mari. Sebelah lagi
tangan gadis itu memegang telefon bimbit yang dirapatkan
ke telinganya. Hatinya tertanya-tanya. Sejak bila minah
bertudung hitam ni mula ada telefon bimbit. Tidak pula
dia mengetahuinya. Amboi, bukan reti pun nak bagi kat
aku nombor dia ya, marah Dzil sendiri. Langkah yang
terhenti diatur kembali mendekati pagar rumah yang
dahulunya sering menjadi tempat dia bertenggek.
Lama diperhatikan gadis itu bercakap sendirian.
Wah, bukan main khusyuk lagi bercakap, sehinggakan
dia yang berdiri di tepi pagar itu pun tidak disedari.
Membiarkan sahaja gadis itu, Dzil mengambil peluang
memerhatikan Acam sepenuhnya. Wajah polos gadis itu
ditenung lama melepaskan rasa rindu di hati. Wajah yang
semakin cerah dan bersih itu merona-rona merah disimbah
cahaya mentari.
Teringat pula kata-kata Mior, sahabatnya dulu.
Kenapalah gadis kasar yang tiada pun ciri-ciri gadis melayu
terakhir itu yang menjadi pilihannya? Hanya Dzil yang tahu
jawapannya.
Dzil yang dibesarkan dalam dunia semua lelaki
ketika zaman persekolahannya telah terbiasa dengan
kekasaran dan keganasan. Hidup Dzil dikelilingi oleh lelaki
setiap hari. Dari kecil hinggalah ke sekolah menengah, dia
hanya bergaul dengan pelajar-pelajar lelaki yang rataratanya
mana ada bersikap lembut. Bertambahlah pula
jika belajar di sekolah berasrama yang kesemuanya pelajar
lelaki. Hidup dengan dunia gangsterisme, pergaduhan
malah persahabatan sejati sudah sebati dengan dirinya.
Dia bukanlah pelajar nakal jauh sekali pelajar
bermasalah. Dia merupakan pelajar cemerlang dalam
akademik mahupun sukan di sekolahnya dahulu. Menjadi
kebanggaan guru-guru dan keluarga. Menggalas harapan
yang tinggi untuk menjadi seorang pelajar cemerlang.
Namun, takdir yang meletakkan dia hanya mampu melakar
cemerlang di PUO, walaupun destinasi sebenar Dzil
adalah di puncak menara gading. Dia mempunyai cerita
yang tersendiri di sebalik lipatan sejarah hidupnya.
Demi menggalas harapan yang dibebankan
di bahunya, dia sanggup berkorban mengetepikan segalanya.
Hidupnya belajar dan belajar. Setiap hari Dzil dan rakanrakan
akan mengadakan belajar berkumpulan di tepi tasik
yang berhampiran. Sehinggalah hari peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia pun, mereka masih tidak meninggalkan
rutin itu. Oleh kerana terlalu asyik hinggakan mereka
agak lewat menyedari waktu peperiksaan hampir tiba.
Biasalah, dengan keadaan gopoh-gapah dan hati
yang sudah bercelaru serta perasaan yang berperang sendiri,
motor yang ditunggang dipecut laju. Akhirnya, insiden
kemalangan di selekoh berhampiran sekolah itulah
menjadi penyebab keputusan peperiksaan Dzil kurang
memberangsangkan. Dzil menduduki peperiksaan dengan
luka-luka di tangan, kaki dan badan. Walau apapun yang
terjadi, peperiksaan harus didahulukan.
Pengawas yang bertugas juga masing-masing risau
melihat keadaan Dzil. Betullah, kalau dah degil tu, tetap
degil. Mana mahu mendengar kata orang. Hanya selepas
menduduki peperiksaan, barulah Dzil mendapatkan
bantuan rawatan di klinik berhampiran. Itupun puas dipaksa
oleh guru mereka.
Mungkin ada hikmah di sebalik semua yang
terjadi. Andai keputusan SPMnya cemerlang, mana
mungkin dia akan berada di PUO ini. Mana mungkin dia
akan dapat peluang mengenali gadis bertudung hitam
itu. Mana mungkin dia akan merasakan debar merindu
gadis itu saban hari dan mana mungkin dia sanggup
tercegat di tepi pagar itu hanya untuk berbalas gaduh
dengan gadis idamannya.
“Acam, tu bukan Dzil ke yang bersidai kat pagar
tu?” laung Yani.
Lamunan Dzil terhenti dek laungan Yani yang
bagai guruh di langit tu. Minah bertubuh kecil itu nampak
sahaja ala-ala ayu, tapi sekali menjerit, kalah mak tiri. Acam
yang baru sahaja selesai berbual-bual di telefon bimbit
terus berpusing 180 darjah melihat ke arah Dzil yang
tersengih bersidai pada pagar seperti dahulu. Rindu juga
dia sebenarnya dengan situasi itu. Senyuman dilemparkan
kepada Dzil. Wah, hati Dzil yang rindu dendam terusterusan
dijentik rasa bahagia melihat senyuman yang
terukir di wajah Acam. Ingat senangkah hendak dapat
senyuman itu. Kena tunggu hampir tiga semester tahu
baru dapat, kalau tidak muka ketat dan kelat saja
dipamerkan olehgadis bertudung hitam ini.
“Ei, awak buat apa tercegat kat tepi pagar ni?
Sambung hobi lama ya,” soal Acam dengan muka tak
bersalahnya. Mulut memang tak ada alas minah seorang ni.
“Assalamualaikum, awak,” balas Dzil.
Kali ini Acam bukan sahaja tersenyum malah sudah
menyeringai sengih di mulutnya. Dzil yang pertama kali
melihatnya seakan-akan terpaku. Apakah benar Acam
di depan matanya? Sudah semakin mesrakah mereka
sehinggakan Acam sudah tidak kedekut lagi menyerahkan
senyuman dan sengihan kepadanya. Hish, hilanglah nama
‘cik kede’ itu.
“Waalaikumussalam... ermm... tak boleh nak jawab
panjang-panjang sebab awak dah bagi sepanjangpanjangnya,
kan.” Lancar sahaja mulut Acam berbicara.
Entah kenapa, saat itu dia rasakan seperti sudah
mula boleh menerima Dzil. Namun, masih ada ruang
kosong yang menidakkan kehadiran Dzil sepenuhnya.
Biarlah masa yang menentukan, bisik Acam.
“Hah, ada apa awak datang ni? Nak jumpa Yani
ke?” sambung Acam kembali. Sengaja ingin bertanya
walaupun sebenarnya dia tahu selama ini pun kedatangan
Dzil ke situ adalah semata-mata untuk berjumpa dengannya.
“Hmm... tak adalah. Saja singgah nak tengok awak.
Rindu pula kat awak.” Tu dia, statement lentok Dzil yang
menjemput rona-rona merah menyimbah ke wajah Acam.
Selamba gila saja mamat ini bercakap, tidak berlapik
langsung.
“Kalau tak ada apa-apa saya nak masuklah,” ujar
Acam. Kekok sebenarnya bertemu muka dengan Dzil
walaupun ini bukan pertama kali mereka bertemu.
Setiap kali wajah jejaka itu ditatapnya, setiap kali
itu jugalah jantungnya bagaikan hendak terkeluar daripada
badan. Hish, jenuh nak kutip kalau melompat sungguhsungguh.
“Dah siap berkemas ke? Nak saya tolong?”
Sengaja Dzil menawarkan diri sedangkan dia sedar,
3000 tahun pun tidak tentu lagi si Acam yang berada di
depan mata itu hendak izinkan dia menolongnya mengemas
di rumah itu. Maklumlah, rumah pelajar perempuan pula,
mana boleh senang-senang untuk masuk.
Juling 270 darjah mata-mata jiran keliling nanti.
Sedangkan kedatangan Dzil yang gemar bersidai di
pagar itu pun dah menjemput muncung dua tiga ela jiran
tetangga. Ada juga mak cik-mak cik yang sibuk bergosip
tentang pelajar-pelajar yang menyewa di kawasan kejiranan
mereka termasuklah penghuni rumah Acam. Biasalah,
mesyuarat tingkap mak cik-mak cik mestilah kena
masukkan topik-topik hangat tu. Kalau tidak, mana hendak
datang meriahnya.
“Erm... tak banyak pun yang nak dikemas. Kain
baju aje pun, bukan susah sangat,” balas Acam. Hati sedikit
tersentuh dengan keprihatinan Dzil. Saat itu, dia disapa rasa
rindu pada wajah tampan lelaki itu. Teringat hampir setiap
malam suara lelaki itu menemaninya sebelum tidur.
“Jom, makan malam dengan saya nak? Saya
belanja,” pelawa Dzil.
“Err... err... tak apalah awak, saya tak laparlah,”
balas Acam teragak-agak. Hendak terima ke tidak,
perasaannya berbelah bagi.
“Oh, kalau saya ajak awak tak nak, kalau kawan
lelaki awak yang kat sana tu ajak, bukan main lagi.
Laju aje awak, kan. Yalah, nak banding saya dengan dia,
siapalah saya ni. Dia tu ada kerjaya, handsome, ada kereta,
saya ni apalah yang ada, harapkan handsome lebih
sikit aje daripada dia,” ujar Dzil sengaja bernada rajuk. Biar
rasa minah kat depan ni bila dia sekali-sekali merajuk.
Wajah Acam bertukar putih seketika. Alahai,
merajuk ke mamat ni. Bunyi macam jealous pun ada juga.
Tapi yang tak menahan tu, tang mengaku diri tu lebih
handsome. Aduh... dalam merajuk sempat lagi promote
diri sendiri. Acam menekup mulut menahan tawa.
Bimbang juga jika terhambur tawa di situ, kecil pula hati
Dzil.
“Okeylah, tapi tak naklah lewat sangat. Kita makan
kat gerai hujung simpang tu ajelah ya. Awak tunggu saya
kat sini lepas maghrib. Jalan aje tau, tak nak saya jadi minah
rempit.”
“Eleh, kata brutal. Rempitlah sekali-sekala,” usik
Dzil. Suka melihat muncung Acam yang kini jarang
kelihatan.
“Eii... nanti saya tak nak keluar dengan awak
nanti,” ugut Acam. Mencerlung matanya memandang
wajah Dzil yang masih tersengih bagai kerang busuk
tu. Kerang busuk pun tak ada tersengih-sengih macam
mamat ni.
“Okey, saya tunggu kat sini. Chow dulu, dah lama
kat sini nanti juling mata mak cik-mak cik jiran awak tu
yang asyik terhendap-hendap dari tadi.” Sengaja suaranya
dikuatkan.
Acam masih lagi tersenyum walaupun deruman
motor Dzil sudah jauh meninggalkannya. Memerhatikan
keadaan sekeliling yang semakin menggelap, cepat-cepat
Acam kembali melangkah ke dalam rumah. Pandai buat
janji, kenalah kotakan. Tidak terima ajakan Dzil, bimbang
kecil hati pula. Yalah, sudah berkait-kait pula dengan kisah
dia dan Qaid, tidak seronok juga. Lagipun, hati kecil Acam
rasa pilu bila melihat wajah suram mamat itu ketika
ajakannya ditolak tadi.
TEPAT jam 8.00 malam, Dzil sudah terpacak di hadapan
pintu pagar rumah sewa Acam. Senyuman tersimpul di
bibir Dzil apabila melihat Acam yang baru sahaja keluar
dari pintu rumah. Matanya terpaku pada penampilan Acam
yang nampak comel pula malam itu. Selalunya Acam yang
sering mengenakan baju-T dan jean, berlainan pula malam
itu. Gadis itu nampak comel dengan blaus bunga-bunga
halus, dipadankan pula dengan long pants hitam lembut
yang beralun-alun apabila dia melangkah. Nampak lebih
keperempuanan ditambah pula dengan selendang bawal
yang dipin kemas di kepalanya. Berlainan sungguh.
Memang sangat berlainan dengan penampilannya ketika
mula berkenalan.
Teringat ketika dia mula-mula terserempak dengan
Acam bersama teman sepejabatnya di Wiracourt tempoh
hari. Beginilah juga penampilan Acam. Manalah hati
lelakinya tidak tercuit melihat mata teman sepejabat
Acam yang tidak lepas-lepas terpaku kepada gadis
idamannya itu. Kalau Acam itu milik dia, mahu sahaja
dikorek-korek mata mamat tu. Suka-suka aje nak merenung
Acam. Hish, melalut ke laut dah kau ni Dzil oii, orang dah
ada depan mata, kau asyik teringat-ingat, desis hati kecil
Dzil.
Pintu pagar yang tidak berkunci dikuak lebar.
Tersungging senyuman di bibir Acam apabila melihat Dzil
yang sungguh menepati masa.
“Sorry ya awak, lambat sikit. Tu mak cik-mak cik
dalam rumah tu kirim salam. Dia orang tanya, tak nak
belanja dia orang sekali ke?” ucap Acam menyampaikan
amanat teman-teman serumahnya. Cemburu sungguh
teman-teman serumahnya itu apabila mendengar Dzil
mengajak Acam keluar makan. Lebar sengihan Dzil
mendengarnya.
“Girls, kalau kat dalam tu ada lagi yang nama Acam
jomlah, aku belanja,” laung Dzil kuat.
Hish, mamat ni. Ada ke main laung-laung malammalam
begini. Nasib baik tidak ada jiran tetangga yang
menyahut. Buatnya dijerkah dek mereka, kan haru. Mahu
sahaja ditamparnya bahu mamat itu, tapi isy, sabar, bukan
muhrimlah untuk main tampar-tampar. Laungan Dzil
disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan serumah
Acam. Sah-sah satu rumah bergema dengan tawa mereka,
sampaikan kat luar pun boleh kedengaran.
Tanpa menghiraukan usikan rakan-rakan Acam
itu, mereka melangkah menyusuri malam yang disinari
lampu neon sepanjang jalan di taman itu ke arah gerai
makan di hujung simpang. Gerai makan Mak Tam Tom Yam
itu memang menjadi lokasi pelajar-pelajar duduk melepak
sehingga ke awal pagi. Tambahan pula ada skrin besar dan
siaran Astro. Kalau musim perlawanan bola sepak, riuh
rendahlah kawasan tu dengan sorak-sorai mereka. Jangan
terkejut kalau ada yang bersidai sampai subuh. Yang
ponteng kelas pun ramai juga. Bukan salah Mak Tam, salah
budak-budak itu sendiri. Kalau sudah layan bola, memang
tidak ingat.
Langkah diatur menuju ke arah meja yang sedikit
menjauh daripada meja yang lain. Dua tiga pasang mata
sempat juga mengerling ke arah mereka. Dzil hanya
membalas dengan senyuman dan lambaian tangan.
Mungkin rakan-rakan Dzil agaknya, desis hati Acam. Tapi
yang pasti bukan ungka-ungka yang selalu asyik bersiulsiul
kat dialah.
“Nak makan apa?”
Menu di tangan dihulurkan kepada Acam yang
masih lagi sedang menyelesakan diri dengan mata-mata
yang masih terarah kepadanya. Mata Acam menyorot satu
per satu menu yang tersenarai. Semuanya nampak
menyelerakan. Sudah lama tidak merasa masakan Mak Tam
semenjak mengikuti latihan praktikal. Kalau ikutkan hati
nak makan banyak-banyak tapi otak ligat memainkan
peranan. Control. Bukan apa, semenjak tinggal di rumah
sendiri dan makan air tangan ibu, badannya terasa seperti
sudah berisi sedikit walaupun dinafikan oleh rakan-rakan.
Dzil pula hanya membiarkan Acam membuat
pilihan. Terhibur melihat keletah gadis itu. Yalah, dia pun
perasan renungan sahabat-sahabatnya yang ada di gerai itu
ketika terlihat Acam. Macam tak pernah tengok perempuan.
Tapi ini bukan kes tak pernah tengok perempuan, tapi kes
tak pernah tengok Acam seayu malam itu. Bukanlah kata
Acam tak pernah berpakaian sebegitu, malah selalu sahaja
berbaju kurung kalau ke kuliah, tapi malam itu Acam
memang ketara berbeza. Puas juga Dzil memikirkan apakah
kelainan yang ada pada Acam malam itu, namun tidak dapat
ditelahnya.
“Dah tau nak makan apa? Kasihan abang ni tunggu
lama nak ambil oder,” usik Dzil.
“Hmm... bagi saya nasi goreng pattaya dan milo ais
ajelah, bang,” ujar Acam lalu menyerahkan menu kepada
Dzil yang sengaja duduk di hadapannya. Bukan apa, mudah
sikit untuk buat operasi tenung-menenung ini. Bukan selalu
dapat peluang macam ini pun, kan.
“Saya pun samalah, bang,” sambung Dzil pula.
Terjongket kening Acam mendengarnya. Mengada-ngada
betul. Sajalah tu malas nak pilih, nak ikut selera orang pula,
rungutnya di dalam hati.
Sementara menantikan makanan yang dipesan
tiba, masing-masing terdiam melayan fikiran sendiri.
Sesekali mata bersabung namun cepat-cepat pula Acam
melarikan pandangan matanya. Tidak sanggup direnung
oleh jejaka di hadapannya itu.
“Amboi, dah ada handphone, tak nak bagi nombor
kat saya ya,” tegur Dzil.
Sebenarnya sengaja dia menanti saat itu untuk
mengutarakan topik telefon yang dilihatnya petang tadi.
Bukan dia tidak boleh bertanya ketika bersidai di pagar
petang tadi, tapi sengaja tidak mahu menjadikan ia bahan
pergaduhan. Lagipun kalau tanya awal-awal, bimbang
peluangnya untuk makan malam bersama Acam tidak
kesampaian.
“Awak tak minta, saya tak kasilah,” selamba pula
bunyi jawapan Acam. Hish, minah ni ada aje jawabnya,
gerutu Dzil.
“Okey, bagi nombor sekarang.”
“O12-3435567.”
Segera papan kekunci di telefon bimbit Dzil
ditekan satu per satu dan ketika itu juga telefon bimbit
Acam berbunyi. Acam merenung nombor yang tertera di
skrin.
“Ah! Save nombor tu, tau!” pesan Dzil sambil
mengenyitkan mata.
Hish! Mamat ni, boleh buat gugur jantung aku
tau, rungut Acam sendiri. Dahlah muka tu handsome,
asyik main kenyit-kenyit mata pula. Nasib baiklah makanan
yang dipesan cepat saja sampai. Boleh jugalah habiskan
masa dengan melayan makanan yang sudah pun terhidang
di depan mata.
Sedang enak melayan nasi goreng pattaya, bahu
Dzil ditepuk daripada belakang.
“Woi, bro! Kau dating tak ajak aku pun,” sergah
Mior yang entah dari mana datangnya.
“Hui, sikit lagi aku nak tersedak, bro. Kalau tak,
sure aku kena tempah satu wad malam ni. Adalah kau,”
marah Dzil. Marah main-main aje pun.
“Wah... dating dengan awek tak cakap.
Ni awek mana?”
“Lah, ni Acamlah, bro. Takkan kau tak kenal,” ujar
Dzil. Acam mendongak memandang ke arah Mior yang
masih berdiri di tepi Dzil.
Bulat mata Mior memandang Acam. Matanya tidak
berkelip-kelip. Seakan-akan tidak percaya gadis bertudung
pic itu Acam. Acam, gadis brutal dan tomboi yang selalu
menjadi bahan usikan mereka dahulu. Acam yang digila-
gilakan sangat oleh Dzil dan kegilaan itulah juga yang
selalu menjadi bahan ketawa mereka.
Kerusi di sebelah Dzil ditarik, lalu Mior
melabuhkan diri di atasnya. Alahai, kenapa mata dah tidak
boleh pandang tempat lain. Mior diserang rasa kalut.
Kenapa comel sangat minah ni sekarang.
“Biar betul kau, Acam.” Mior masih tidak
mempercayai matanya.
“Wei bro, aku tau lah aku tak ada kat sini satu
semester, takkanlah satu semester aku dah jadi Angelina
Jolie,” lancar sahaja mulut Acam menyindir.
“Hah, yang ni confirm kau Acam. Mulut tak boleh
blah,” kata Mior sambil ketawa.
“Bro, dah-dahlah tu asyik usyar awek aku.
Cepat-cepatlah blah,” bisik Dzil. Tidak puas hati melihat
Acam menjadi tatapan mata si Mior. Wah, kacau daun pula
mamat ni.
“Wei, serius ni aku cakap. Kalau kau tak cakap
mati-mati aku ingat awek manalah. Hish, melepas aku bro.
Kalau tau, awal-awal aku dah tackle.” Serentak dengan itu,
terdengar jeritan kecil Mior.
Padan muka, ada hati nak mengurat gadis idaman
aku, getus Dzil. Puas hati dapat memijak kaki Mior tadi.
“Okeylah bro, aku chow dulu. Jumpa kat rumah
nanti.”
“Acam, lain kali jumpa aku tegur-tegurlah.
Comellah kau malam ni, nasib baik Dzil dah chop dulu,”
sambung Mior. Meletus tawa kecil dari mulutnya.
Terkedu Acam mendengar kata-kata yang terkeluar
dari mulut Mior. Dalam hati tertanya-tanya apalah yang
dibisikkan oleh mereka berdua sebelum Mior mengaduh
sakit sebentar tadi. Hish, lantaklah. Malas hendak
melayan kerenah dua orang lelaki yang tidak cukup
haul itu.
Waktu berlalu cukup pantas. Jam sudah
menunjukkan angka 10.00 malam. Selepas menghantar
Acam ke rumah, Dzil memohon diri pulang. Dia menunggu
seketika sehingga Acam masuk ke dalam rumah.
Bukan apa, ingin memastikan keselamatan Acam. Woi,
siapa yang tak sayang awek. Nak-nak pula awek yang susah
bukan main nak tackle. Eh... bila masa Acam setuju jadi
awek dia ya, Dzil tergelak sendirian. Boleh pula layan fikiran
sendiri sambil berlalu.
Mata Acam yang semakin kuyu terganggu dengan
bunyi beep telefon bimbitnya. Segera telefon bimbit dicapai
lalu mesej masuk dibaca.

Assalamualaikum awak,
Terima kasih ya sudi keluar makan dengan
saya. Harap ini bukan yang pertama dan
terakhir tau. Selamat malam, tidur lena-lena,
jemput saya sekali dalam mimpi awak.
Sweet dream my girl ~
Always yours, Dzil.

Senyum. Perasaan indah menjalar di segenap
ruang rasa. Tidurlah dengan senyuman itu, moga hari yang
indah bakal menyusul. Dia hanya mampu menyerahkan
segalanya kepada perancangan Yang Maha Esa. Namun
dia tahu, arah mana hatinya mula tujui. Semoga laluan
yang akan mereka susuri tidak diduga hebat dengan
onak dan duri.

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 15

LATIHAN Praktikal telah selesaikan dijalankan.
Bermacam pengalaman telah dapat ditimbanya. Koleksi
rakan juga semakin bertambah. Cuma koleksi pakwe aje
yang tetap tiada. Kini Acam bergelut pula dengan tugasan
menyiapkan laporan yang perlu diserahkan kepada ketua
kursus masing-masing. Kalau setakat satu dua helai muka
surat, tiadalah merunsingkan sangat.
Namun apabila syarat yang tertera bersama
arahan laporan tersebut menghendaki setiap pelajar yang
telah tamat menjalani latihan praktikal menyiapkan satu
laporan bertaip dalam jumlah perkataan sebanyak 2000 ke
2500 yang bersamaan dengan 15 ke 16 muka surat, Acam
sudah naik pening.
Bukan tidak pernah menyiapkan assignment tapi
berat sungguh hendak memperincikan setiap latihan
yang diterima. Bukan juga tidak ada kerja khusus yang
dilakukan di syarikat itu, tetapi selalunya Qaidlah yang
menjadi penyelamat. Bila teringatkan Qaid, hati Acam
disapa rindu. Ewah, rindulah pula. Bukan rindu
serindu-rindunya macam lagu Acik Spoon tu, tapi rindu
mengenangkan sikap ambil berat Qaid terhadapnya. Kadangkadang
Acam merasa dirinya sangat bodoh kerana
menolak mentah-mentah hasrat hati Qaid. Apa salahnya jika
dia memberi peluang hatinya menimbang tara diri Qaid.
Namun, dia yakin dalam hatinya itu sudah terisi dengan
nama seseorang yang dia sendiri kurang pasti.
Beberapa hari lagi Acam akan kembali semula ke
PUO. Menjalani kembali kehidupan sebagai seorang pelajar.
Bertemu lagi dengan ungka-ungka yang mungkin dah
naik taraf jadi orang utan setelah satu semester dia tiada di
sana. Atau mungkin masing-masing sudah dapat hidayah,
bertukar menjadi manusia semula. Entahlah, yang pasti
Acam akan merindui mereka yang rapat dengannya semasa
latihan praktikal itu. Acam melepaskan satu keluhan yang
berat.
Satu per satu butang huruf di mesin taip lamanya
ditekan. Eh, mana ada lagi orang guna mesin taip sekarang
ini. Hendak tergelak pun ada dibuatnya mengenangkan
kata-kata Juliana ketika dia sibuk mencari karbon untuk
mesin taip kesayangannya itu.
Bukan sebarang mesin taip tahu, itu mesin
taip pemberian ayahnya ketika dia mendapat keputusan
yang cemerlang dalam PMR dahulu. Kalau hendak
menyediakan laporan, bolehlah menggunakan komputer
riba, tapi kalau hendak mengisi borang, kenalah gunakan
mesin taip. Lebih mudah dan lebih kemas.
Sesekali Acam mengeluh. Ketukan jari di
papan kekunci mesin taip juga sudah beberapa kali terhenti.
Kalau berterus-terusan begini, harus tidak siaplah segala
tugasannya yang perlu dihantar pada hari pendaftaran
semester akhir nanti. Namun apakan daya, hatinya terasa
sepi. Sunyi hidupnya kini. Adik-adik telah pun ke sekolah
semuanya. Ibu pula sibuk di luar, mungkin sedang
bermesyuarat tingkap dengan para ibu. Biasalah, mengisi
masa lapang sementara menanti lori tauke ikan sampai.
Tentu banyak gosip hangat yang dibawa pulang hari ini.
Semenjak menjadi penghuni tetap di rumah ini, itu
sahajalah kerjanya. Melayan ibu dengan gosip-gosip
terhangat di pasaran.
Telefon berdering-dering menjerit minta diangkat.
Malas-malas, Acam bangkit daripada kerusi dan berlari
turun ke ruang tamu. Hendak harapkan ibu yang
mengangkat telefon, memang tidak adalah. Kalau sudah
bermesyuarat di luar, tidak adanya hendak mendengar bunyi
deringan telefon itu. Silap haribulan, kalau dengar pun buat
tidak tahu sahaja.
“Helo...”
“Apa helo, helo... Assalamualaikumlah perempuan,”
sergah suara di hujung talian. Hampeh, ada pula nak sergahsergah
orang, gerutu Acam.
“Yalah, Assalamualaikum di sana. Saya di sini, nak
bercakap dengan siapa?” balas Acam menyindir.
“Nak cakap dengan kau la, rindu gila kau tak ada
Acam oii.” Qaid. Itu suara Qaid. Acam memang kenal sangat
suara mamat berhantu tu.
“Wei, kau mengulor ya call aku time macam ni,”
balas Acam.
Terdengar tawa Qaid yang sudah pasti memenuhi
ruang bilik pejabatnya itu. Qaid kalau ketawa, minta ampun.
Pecah gegendang telinga. Serta-merta perasaan sepi dan
sunyi Acam tadi hilang. Sebaliknya, hati Acam berbunga
riang. Rindu sungguh mendengar suara-suara yang akan
ditinggalkannya itu.
“Hahaha... mana ada aku mengulor. Ini dipanggil
sela masa. Kau buat apa tu Acam, buat taik mata eh?”
“Banyaklah kau punya taik mata. Aku tengah
bersilat nak siapkan laporan praktikal ni.”
“Alah, dua minit aje laporan tu. Jom lunch dengan
aku,” ajak Qaid selamba sahaja.
“Huih, aku banyak kerjalah. Kejap lagi nak tolong
ibu aku masak.”
“Waa, macam tak percaya aje aku kau nak masak.”
“Kan aku dah cakap, T-O-L-O-N-G... I-B-U...
A-K-U... M-A-S-A-K... Telinga kau dah berapa lama tak
masuk bengkel?” Sengaja dieja perkataan itu biar lebih jelas.
“Jomlah, keluar dengan aku kejap. Aku half day
hari ni, teman aku cari barang.” Qaid masih belum beralah
memujuk Acam menemaninya.
Rindu benar pada wajah gadis itu. Seminggu tidak
merenung wajah Acam, terasa tawar sahaja. Setiap kali
memandang ke arah meja yang pernah dihuni oleh Acam,
seakan-akan ternampak gadis itu. Tersenyum, tertawa dan
muncung 14 incinya. Adoi, dah angau ke Qaid oii... Seketika
kepalanya digeleng-gelengkan.
“Jomlah..” pujuk Qaid lagi.
“Okeylah, pukul berapa kau nak datang? Lunch kat
sini eh? Aku bagi tahu kat ibu kau lunch kat sini ya, lepas tu
kau mintalah izin dengan ibu aku,” balas Acam.
Selamba badak saja budak Acam ini mengajak Qaid
makan tengah hari di rumahnya. Nanar juga Qaid seketika.
Apa tidaknya, dia bukannya biasa sangat datang ke rumah
Acam, tiba-tiba diajak makan tengah hari bersama pula.
Setakat sekali dua menghantar Acam balik dan bersalam
dengan ibu Acam tu adalah. Tak pasal-pasal nak kena bersoal
jawab dengan ibu dan ayah Acam pula nanti. Hish, susahsusah
aku risik aje budak Acam ni, getus Qaid sambil
tersengih sendirian.
“Wei, kau dengar tak,” jerit Acam mematikan
lamunan Qaid. Sempat lagi hendak mengelamun.
“Okeylah, kau punya pasal. Tapi aku seganlah Acam.
Ayah kau ada ke?”
“Ayah aku memang selalu balik makan kat rumah.
Alah, kau nak segan apa? Bukan kau tak ada hidung, ke
mulut kau kat belakang?” seloroh Acam. Kasar saja
bunyinya tapi Qaid sudah biasa sangat dengan lawak Acam.
Sudah tidak berbekas di hati dengan mulut laser Acam tu.
“Hmm... yalah. Pukul 1.30 boleh aku sampai?”
“Alright, set. Aku nak pergi kat luar, tengok ibu aku
beli lauk kejap. Jumpa kau nanti,” balas Acam.
“Masak sedap-sedap ya,” oder Qaid.
“Amboi...” kata-kata Acam disahut dengan tawa
Qaid yang nyaring. Hendak pecah gegendang telinga kalau
dengar mamat ini ketawa.
Setelah salam bertukar sahut, talian dimatikan.
Cepat-cepat Acam melangkah mendapatkan Puan Radziah
yang masih lagi sibuk bermesyuarat. Hebat ajuganya topik
yang digosipkan hari ini hinggakan kehadiran Acam pun
tidak disedari oleh kaum-kaum ibu itu. Malah, Pak Rahmat
pemilik lori yang menjual ikan itu pun sama naik melangut
mendengar perbualan mereka.
Acam segera membelek ikan-ikan dan sayursayuran
lain yang dibawa oleh Pak Rahmat. Ligat otaknya
berfikir akan menu yang hendak dimasak hari itu.
Menyedari kehadiran Acam yang tertilik-tilik barangan di
dalam lori putih Pak Rahmat, ibunya mula membuat muka
tidak percaya. Maklumlah, anak dara seorang ini bukan suka
pun bab-bab ke dapur, apatah lagi membeli barangan dapur.
Memang jauh panggang dari api.
“Mimpi apa anak dara ibu ni, tiba-tiba berminat
dengan Pak Rahmat ni?” sergah Puan Radziah.
“Mana ada orang mimpi-mimpinya. Ni orang nak
tengok lauk apa nak beli, tadi Qaid ajak orang keluar petang
ni. Temankan dia cari barang, orang pulak ajaklah dia makan
kat rumah,” balas Acam panjang lebar.
Tersengih lebar Puan Radziah mendengar jawapan
dari mulut anak daranya itu. Wah, sudah ada kemajuan.
Sudah mula hendak memperkenalkan kawan lelaki dengan
keluarga. Hati sang ibu yang selama ini risau dengan sikap
anak perempuannya bertukar senang. Senang apabila
memikirkan yang anaknya itu sudah mula lembut hati.
Sebelum ini, bukan tidak ada rakan lelaki yang ingin
mendekati Acam, tapi semuanya tak menjadi. Apa
tidaknya, disergah oleh Acam sahaja, kecut perut semuanya.
Waima, hendak melintas depan rumah pun tidak berani.
Brutal sungguh anak daranya yang seorang ini.
Kalau ibu bapa lain mungkin akan rasa menyirap
apabila anak gadis menjemput teman lelaki ke rumah tanpa
pengetahuan mereka. Yalah bimbang jika menjadi buah
mulut jiran tetangga. Namun bagi Puan Radziah,
kebimbingan itu tidak pernah timbul apabila berkisar
tentang Acam. Jiran tetangga lebih maklum akan fiil kasar
dan ganas anak gadisnya nan seorang itu. Kalau ada teman
lelaki yang datang ke rumah, memang peliklah maknanya.
“Yang ibu tersengih-sengih ni kenapa? Orang ajak
makan aje pun,” bebel Acam.
“Yalah. Dah, biar ibu yang cari lauk kat luar ni,
kamu pergilah siapkan apa-apa yang patut kat dapur tu.
Tanak nasi ke, potong-potong bawang ke,” arah Puan
Radziah.
Terkulat-kulat Acam melangkah ke dalam rumah.
Sebal juga hati tidak pasal-pasal sudah kena ke dapur. Itulah
mulut gatal sangat mahu mengajak si Qaid makan di rumah,
kalau tidak sah-sah sudah tiga empat muka surat laporannya
boleh disiapkan. Padanlah muka sendiri.
Seperti yang telah dijanji, jam 1.35 Qaid sampai di
rumah Acam. Wajah lelaki itu agak pucat sedikit. Mungkin
tidak berapa sihat, atau mungkin juga berdebar-debar
kerana inilah pertama kali akan bertemu dengan keluarga
Acam keseluruhannya. En. Daud, ayah Acam sudah menanti
di hadapan pintu apabila terdengar bunyi enjin kereta
dihentikan di hadapan rumah.
Acam yang baru sahaja melangkah menuruni anak
tangga terdengar riuh suara lelaki berbual-bual di luar
rumah. Sempat dia mengintai sebentar di sebalik langsir
tingkap. Mulutnya menguntum senyuman apabila melihat
Qaid yang ramah berbual dengan ayah. Mesra sahaja, tidak
kekok sedikit pun.
Suara ayah Acam dan Qaid semakin hampir ke
ruang makan. Acam yang sudah pun selesai menghidangkan
makanan tersenyum menyambut Qaid yang kelihatan agak
mesra dengan ibu dan ayahnya. Mudah benar lelaki itu
menyesuaikan diri.
Waktu makan lebih meriah daripada biasa dengan
suara ibu yang sibuk mengunjukkan lauk-pauk kepada
Qaid sehingga berkerut dahi Qaid untuk memilih. Ayah
pula sesekali bertanya itu ini kepada Qaid. Adik-adik Acam
pula lebih banyak mengerling ke arah Acam yang sentiasa
berlagak selamba dengan senyuman sumbing mereka. Ceh,
nak mengenakan akulah tu, bisik Acam.
“Pak cik, saya minta izin nak bawa Acam keluar
sekejap. Petang nanti saya hantar semula,” ucap Qaid
meminta izin daripada Encik Daud.
“Hmm... nak ke mana ni?” Sengaja hendak diduga
keikhlasan lelaki itu.
“Saya nak ke bandar aje, cari barang sikit.”
“Yalah, pak cik serahkan Acam ni kepada kamu,
jagalah anak pak cik ni baik-baik. Jangan balik lambat
sangat,” pesan Encik Daud bersungguh-sungguh. Puan
Radziah sudah pun terkekeh-kekeh tertawa.
“Yang awak ketawa tu kenapa?” soal En. Daud
kepada isterinya. Serta-merta tawa Puan Radziah terhenti.
“Yang abang asyik pesan bagai kat Qaid tu buat
apa. Abang tengok ajelah anak perempuan abang yang
tak berapa nak perempuan ni, tak adanya orang berani
nak dekat,” balas Puan Radziah. Acam hanya menjeling
sekilas ibunya. Amboi, sedap mengata aku ya!
Sedang elok Acam membuka pintu kereta, Normi
terjerit-jerit memanggilnya.
“Kak, ada telefon. Cepatlah,” jerit Normi.
Terpinga-pinga Acam sekejap. Namun dia sempat
mengangkat tangan menyuruh Qaid menunggunya
sebentar. Laju sahaja dia menapak menuju ke dalam rumah.
Hati Acam tertanya-tanya, siapa pulalah yang tidak ada kerja
menelefonnya.
“Helo...”
“Helo, helo... assalamualaikumlah awak,” sergah
suara di hujung talian. Acam tersentak. Alamak, Dzillah
pula. Apalah mamat ni mahu, menelefon aku siang-siang
buta ni. Selalunya dia ini burung pungguk. Siang tidur
malam berjaga. Atau ada teropong boleh nampak aku nak
keluar. Acam berperang dengan persoalan demi persoalan
dalam hatinya. Hish, seorang menunggu di luar, yang
seorang lagi menunggu di hujung talian. Adoi!!!
“Yalah, waalaikumussalam..” Mamat ni kalau tidak
mengenakan orang tidak sah.
“Tengah buat apa tu?” Alahai, nak tanya itu aje ke
telefon aku, bentak Acam.
“Awak, saya tak dapat nak cakap dengan awaklah.
Saya nak keluar, awak telefon saya malam nanti boleh?”
“Oh, nak keluar? Pergi mana? Dengan siapa?”
Alahai, macam polis pencen pula. Terseringai senyuman
di wajah Dzil apabila menyedarinya. Pelik juga, Acam ni
bukanlah jenis yang suka-suki nak keluar ke mana-mana.
“Saya nak keluar dengan kawan kejap. Nak
temankan dia cari barang,” balas Acam.
“Kawan lelaki ke perempuan?” Wah! Dzil sendiri
terkejut dengan soalan cepumas yang keluar dari mulutnya.
Tapi, hati sudah mula rasa tidak sedap apabila Acam kata
hendak keluar tadi.
“Dengan Qaidlah, awak. Dia ada kat luar tu, tunggu
saya. Dia minta tolong saya temankan dia cari barang sikit.”
Laju sahaja Acam bercerita. Alamak! Acam menekup mulut.
Macam manalah dia boleh lancar sahaja menyebut nama
Qaid. Sah-sah mamat di sana itu akan berangin.
Walaupun mereka berdua tiada hubungan apaapa,
tapi semenjak dua menjak ni, Dzil seperti
menunjukkan perasaannya secara terang-terangan.
Kadang-kadang jika bercakap dengan Dzil di telefon seperti
orang tengah bercinta pula. Terdengar keluhan keluar dari
mulut Dzil.
“Hmm... tak apalah. Awak nak keluarkan, saya tak
nak kacaulah.” Suara Dzil mendatar.
Hati Dzil terpukul dengan pengakuan Acam
sebentar tadi. Cemburu? Ya, dia memang cemburu.
Cemburu kerana Qaid dengan mudahnya mendapat tempat
di hati Acam. Mungkin bukan sebagai kekasih, tetapi layanan
Acam tetap istimewa. Dzil tidak mahu itu. Dia hanya mahu
ada nama ‘DZIL’ di hati perempuan yang bernama Acam itu.
Dia mahu hanya namanya yang terukir indah di situ. Dia
mahu itu, dia mahu ini. Argh… pedih sungguh hati bila
memikirkannya.
“Eh, awak okey ke? Malam nanti kita borak lagi ya,”
ucap Acam seperti tiada perasaan. Sebenarnya Acam sudah
dapat menangkap nada tidak puas hati Dzil namun sengaja
dia tidak mahu memikirkannya. Kasihan pada Qaid yang
telah lama menanti.
“Okay... enjoy yourself,” ucap Dzil lalu talian
dimatikan. Begitu sahaja. Hati Acam terpukul dengan
perlakuan itu. Marahkah dia? Cemburukah dia? Ah,
lantaklah!
Tergesa-gesa Acam menyambar beg tangan di atas
sofa lalu kembali menuju ke arah Qaid yang masih setia
menanti sambil berbual-bual dengan ayah. Setelah
mengucap salam, kereta meluncur laju membelah
kesibukan jalan menuju ke destinasinya.
MALAM semakin larut. Acam masih tidak dapat melelapkan
matanya. Dia masih lagi berbaring di atas sofa. Masih lagi
menanti telefon yang terletak si sudut itu berdering.
Hampir satu jam matanya dipaksa berjaga semata-mata
menanti panggilan itu. Nampaknya, malam itu dia tidak
akan mendapat panggilan. Marahkah Dzil padanya? Adakah
begini rasanya bila dilamun perasaan? Menanti dan terus
menanti. Jika benar Dzil marah, apa yang harus dia lakukan?
Untuk memujuk lelaki itu, tentu sekali tidak. Egonya terlalu
tinggi untuk tunduk merayu-rayu kepada lelaki itu.
Beg kertas kecil yang diberikan oleh Qaid petang
tadi diambil lalu dikeluarkan isinya. Terbeliak mata Acam
apabila melihat isi kotak yang terkandung di dalam beg
kertas itu. Sebuah telefon bimbit bersama kad SIMnya
sekali. Hish, dahlah telefon mahal, siap kad SIM sekali.
Melampaulah mamat ni, getus Acam.
Terimbau perbualan antara Qaid dengan dirinya di
hadapan pagar tadi.
“Nah, ni untuk kau,” ujar Qaid sambil
mengunjukkan sesuatu kepada Acam.
“Hish, apa ni? Bukan birthday akulah yang kau nak
bagi hadiah bagai,” tolak Acam.
“Ni bukan untuk birthday, ni untuk khidmat
cemerlang kau dengan aku. Kan orang lain ada bagi kau
hadiah, aku aje yang tak bagi. Ni aku bagilah, tapi kau buka
nanti.” Mahu tidak mahu terpaksalah Acam menerimanya.
Dalam sibuk membelek telefon bimbit itu, dia
terpandang secebis kertas kecil terselit di celah kotak.
Perlahan cebisan kertas diambil lalu satu per satu baris ayat
dibacanya.
Senyuman terukir mekar di bibir Acam. Haih, dia
ni buat hati aku cairlah. Kalau tidak kuat iman, dah lama
aku terima mamat ni jadi suami, getus Acam. Kemudian dia
tertawa sendirian mengenangkan apa yang difikirkannya
tadi.
Telefon yang tadinya sunyi sepi kini berderingdering
minta diangkat. Acam mengerling sekilas ke dinding.
Jam menunjukkan angka 1.00 pagi. Wah, boleh tahan mata
aku ni berjaga, bisik Acam.
“Assalamualaikum,” ucap Acam. Tidak mahu lagi
diperli oleh mamat tu.
Cik Puteri Darlina,
Jangan mengada-ngada nak tinggal telefon
ni kat rumah bila balik PUO nanti. Bawa telefon ni
sekali. Jangan risau duit top-up kalau tak ada,
roger-roger aje aku. Kau kan dah janji kita tak
akan pernah putus hubungan, jadi telefon ni aje
yang boleh hubungkan kita. Kalau kau tu rajin
sangat nak berfacebook tak apalah juga, tak pun
YM ke... boleh juga aku lepas rindu tengok muka
kau kat laptop. Okey, aku akan rindu kat kau.
Belajar rajin-rajin!
Qaid Firdaus
“Waalaikumussalam,” balas Dzil. Kemudian
masing-masing terdiam... talian hanya dibiarkan sepi.
“Hmm... awak marah saya ya,” soal Acam memecah
kesunyian di antara mereka. Kalau nak dibiarkan talian
tanpa penghuni, baiklah dia tidur sahaja.
“Awak nak saya cakap yang betul ke, tipu?” soal Dzil
semula.
“Eh, tentulah yang betul, nak tipu-tipu buat apa.”
“Memang tadi saya marah. Lebih kepada cemburu,
boleh tak saya cakap macam tu? Saya rasa jauh hati tahu bila
awak kata awak nak keluar dengan mamat tu. Tapi sekarang
perasaan saya yang tadi tu dah kalah, rindu saya lagi banyaklah
kat awak,” ucap Dzil tanpa selindung.
Penat hendak main selindung-selindung. Asyik
berselimut, sudah berpeluh-peluh kepanasan dek panahan
rasa hati. Biarlah diungkapkan sedikit demi sedikit agar hati
perempuan di hujung sana itu terkesan.
Acam yang mendengarnya terkesima seketika.
Terpukul dengan kata-kata Dzil.
“Sorrylah, awak. Tak maksud nak sakitkan hati
awak. Lagipun saya bukan ada apa-apa pun dengan Qaid tu.
We were just friends.”
“Hmm, tak apalah. Yang penting saya dah dapat
Acam saya semula malam ni. Awak tunggu saya ya, sekejap
aje telefon berdering dah diangkat,” usik Dzil. Walaupun
dia tidak nampak wajah Acam, namun dia tahu pasti wajah
itu sudah disimbah kemerahan bagai udang dibakar. Acam
memanglah macam tu.
“Tak adalah. Kebetulan aje,” nafi Acam. Masih nak
cover line. Malu kalau Dzil tahu dia sedang menantikan
panggilan mamat tu.
“Okeylah, dah dapat dengar suara awak pun dah
cukup. Boleh tidur lenalah saya malam ni. Goodnight my
girl, sweet dream. Bawa saya dalam mimpi awak ya.”
Itulah pesan lelaki itu setiap kali menghubunginya.
Macamlah boleh diseru-seru siapa yang hendak dimimpikan.
Apa pun Acam terpana dengan rasa indah yang tiba-tiba
menjalar ke tangkai hatinya.
“Awak pun, sweet dream. Assalamualaikum,” balas
Acam. Kedengaran salam berjawab dan talian telefon
dimatikan. Hati Acam berdegup kencang. Acam berperang
dengan perasaan sendiri.
Kenapa hati ini bagai dipalu-palu, bagai berada di
awangan ketika mendengar suaranya. Sudah jatuh hatikah
aku? Tak mungkin! Acam lemas dalam mengatur satu per
satu persoalan yang mula membukit di dadanya.