DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Fieyza Fadlina. Show all posts
Showing posts with label Fieyza Fadlina. Show all posts

Tuesday, 15 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 20

SURIYA bersiap-siap mahu ke pejabat. Sudah empat
hari pejabat itu dia tinggalkan. Sakit kaki je, tapi dapat MC
sampai empat hari. Entah apalah rakan sekerja di pejabat cop
dia nanti. Melangkah ke dapur, dia terpandangkan memo yang
ditampal pada peti sejuk. Memo itu dia capai dan baca.
Assalamualaikum Su. Pagi ni along tak ada.
Along terbang ke Abu Dhabi. Tapi balik nanti
along nak jumpa Su. Perkara ni takkan selesai
selagi Su mengelak daripada bercakap dengan
along. Jaga diri.
Suriya mengeluh. Kertas di tangan dia gumpal dan
campak masuk ke dalam tong sampah. Memang masalah
takkan selesai kalau dia bersikap begini. Tapi dia tak sanggup
nak berdepan dengan semua ni. Tambah lagi apabila melibatkan
sebaris nama milik Iddin Amsyar Ikmal. Dia tak sanggup!
Pin… Pin… Pin…
Bunyi hon kereta mengejutkan Suriya. Eh,
mengelamun panjang pulak aku ni sampai tak sedar Pak Mail
dah sampai depan rumah. Kelam-kabut dia keluar dari rumah.
Setelah dipastikan semua pintu berkunci, cepat-cepat dia
masuk ke dalam perut teksi Pak Mail.
“Maaf Pak Mail, saya lambat sikit,” pohon Suriya.
“Tak apa.”
Teksi bergerak meninggalkan rumah itu.
MELANGKAH MASUK ke dalam pejabat, suasana masih suram
dan sunyi. Hanya beberapa biji lampu saja yang terpasang.
Biasanya pagi-pagi macam ni, dia akan mendengar suara
Noraini. Suara pertama yang akan menyambutnya. Tapi pagi
tu, tiada suara Noraini. Tambah lagi selepas dia cuti panjang
macam sekarang. Mesti ada punya perkataan rindu yang keluar
dari ulas bibir Noraini.
“Bad, Kak Ani tak sampai lagi ke?” Suriya pantas
bertanya pada Badrul sejurus ternampak batang tubuh Badrul.
“Eh, Su dah masuk kerja ke?” Suriya anggukan kepala
dan senyum dengan pertanyaan Badrul.
“Kak Ani cutilah Su. Anak dia demam,” maklum
Badrul.
“Oo… Berapa hari Kak Ani cuti?”
“Dua hari. Hari ni dan esok.”
“Okey, terima kasih Bad.”
“Sama-sama.” Mereka berbalas senyum sebelum
Badrul berlalu ke mejanya.
Suriya termenung seketika sebelum menekan butang
on pada komputernya. Semestinya kerjanya bertimbun-timbun
selepas habis bercuti. Sah-sah kena balik lambat lagi. Huwaaa…
Terasa nak menangis!
Ah, buat air dululah. Sebelum mula kerja, kita minum
dulu. Sorak hati Suriya. Dia angkat punggung dan berlalu ke
pantri. Buat minuman segera sudahlah... Koyakkan mulut
plastik, masukkan ke dalam mug. Tuang air panas, kacau-kacau.
Dah siap! Sedia untuk diminum!
“Su, Encik Iddin nak jumpa.”
Suriya baru aje nak duduk di atas kerusinya, Badrul
tiba-tiba mengeluarkan arahan.
“Nak apa?” Suriya bertanya tapi matanya sudah sampai
di pintu bilik Iddin. Ditenung pintu itu bagai mahu tembus.
“Entah. Dia dah tunggu dalam bilik dia,” ujar Badrul
lagi.
Malas banyak cakap, Suriya terus ke bilik Iddin. Pintu
diketuk dari luar. Selepas mendengar laungan ‘masuk’, dia
pulas tombol pintu dan tolak pintu itu perlahan-lahan.
“Yes, Encik Iddin Amsyar?” Tanpa nada Suriya menyoal.
Wajah yang dia tak nak pandang, akhirnya terpaksa pandang
jugak. Di pejabat kenalah professional. Hal peribadi tolak ke tepi
dahulu. Yang penting kena jaga periuk nasi sendiri. Kalau kena
buang kerja, di manalah dia nak mengadu nasib. Sudahlah kerja
susah nak dapat sekarang ni.
Iddin diam tak berkutik. Matanya tak beralih langsung
daripada memandang fail di tangan. Heh... kalau panggil aku
setakat nak suruh jadi patung cendana kat sini, baik tak payah!
Kerja aku banyak lagi kat luar tu. Protes Suriya di dalam hati.
Iddin capai mug di hujung mejanya dan dia tolak mug
itu ke arah Suriya. Mukanya masih tak bereaksi seperti tadi.
Suriya jongket kening. Ni apasal pulak tolak mug kat aku ni?
Demam ke apa? Sekali lagi hati kecil Suriya berbisik.
“Buatkan air untuk saya,” mendatar suara itu. Dia
faham maksud kening Suriya yang terjongket itu.
What? Buat air? Dia panggil aku masuk bilik dia pagi ni
hanya nak suruh aku buat air??? What the… Suriya betul-betul
bengang. Dia rasa seperti dipermainkan. Laju dia sambar mug
itu dan berlalu keluar dari bilik Iddin. Apabila hati bengang,
malas dia nak tanya lagi bosnya perlukan apa lagi. Ah!
Iddin senyum sambil pandang kelibat Suriya yang
sudah melangkah keluar dari biliknya. Dia tahu wanita pujaan
hatinya sedang bengang. Sengaja dia nak uji Suriya.
“Comel!” spontan mulutnya menyebut. Senyuman
menghiasi bibirnya.
“BOS NAK apa?” Ketika melintasi meja encik setiausaha Iddin,
Badrul menyoal Suriya.
Malas bercakap banyak, Suriya tunjuk mug di tangan.
“Dia suruh buat air?”
“Hmm…”
“Macam-macamlah Encik Iddin ni. Dahlah, baik Su
cepat-cepat buat air dia.” Suruh Badrul sambil tersenyum.
Tanpa cakap banyak, Suriya berlalu ke pantri. Di
matanya senyuman Badrul seperti mengejeknya. Sebab Encik
Iddin sorang, habis orang lain dia nak marah. Adoi! Suriya,
Suriya...
“Kau nak sangat air ye. Hmm… Meh Cik Suriya
Anggerik buatkan. Yang pasti... inilah air yang paling sedap
di alam semesta ini!” Kata Suriya pada diri sendiri. Niat jahat
sudah datang.
Dia capai botol Nescafe. Dua sudu besar serbuk Nescafe
dia masukkan ke dalam mug. Cukup ke tak ni? Rasa macam
tak cukup aje. Lalu dia tambahkan sesudu besar lagi Nescafe.
Dia pandang botol gula. Ah, tak payahlah. Kita kan nak buat
rancangan jahat. Kalau masuk gula, dah tak jahat namanya.
Suriya menyelongkar isi kabinet. Dia terjumpa sepaket kecil
berisi serbuk putih. Dia bawa sedikit serbuk putih itu ke lidah.
“Masin.” Gumamnya perlahan.
Lantas serbuk itu dituang masuk ke dalam mug. Lalu air
panas dituangkan. Air dikacau-kacau. Aroma Nescafe menusuk
ke dalam hidung. Harum! Sah-sah lepas ni dia berulang-alik ke
tandas aje. Hahaha… Suriya ketawa jahat.
“Air, encik.” Ujar Suriya sambil tolak mug ke arah
Iddin. Dia senyum. Senyum penuh makna!
“Terima kasih. Dah tak ada apa-apa,” balas Iddin. Dia
pandang mug itu sekilas.
“Okey, saya keluar dulu.” Suriya pusingkan tubuh dan
mula melangkah.
“Err… Kaki awak dah okey?” Soal Iddin. Sebenarnya
soalan itu yang dia nak tanya sejak tadi. Sengaja dia pusingpusing
hingga suruh Suriya buat air untuknya.
Suriya pusingkan sedikit badan. Tangan sudah
mendarat di tombol pintu.
“Dah okey.”
“Hmm…”
Suriya keluar dari bilik bosnya. Sejurus pintu tertutup,
dia ketawa. Ambik kau! Rasakan! Air yang aku buat memang
sedap! Tersangat sedap! Jerit Suriya di dalam hati.
“Amboi, senang hati nampak.” Tegur Badrul. Ketawa
Suriya mati mendadak. Pantas kepalanya memandang Badrul.
Terlupa pulak yang dia ketika itu masih lagi berdiri di depan
pintu bilik bos besar. Dekat sangat dengan meja Badrul.
“Err… Tak ada apa-apa.” Suriya pantas melangkah ke
mejanya. Hesy! Entah macam mana boleh terlepas ketawa kat
situ. Tak pasal-pasal malu sendiri.
SEMENTARA ITU, di dalam bilik bos besar.
Iddin ke tepikan fail yang tadinya hampir-hampir
menutup muka. Alah, lakonan aje tadi tu. Saja dia nak tengok
reaksi wanita pujaan hatinya. Mug yang masih berasap itu
ditarik rapat ke depannya. Aroma Nescafe menusuk rongga
hidung. Bau macam sedap aje ni, desis hatinya. Lantas air di
dalam mug dikacau perlahan. Setelah berpuas hati, dibawa mug
ke bibir. Tegukkan pertama masuk ke dalam mulut dan…
“Puiiii! Hak tui!!!” Belum pun sempat air menuruni
rengkung, ia keluar kembali.
Ya Allah! Pahit dan masin! Berapa tan Nescafe dia letak
ni? Gula dah habis ke sampai guna garam untuk buat air? Mug
ditolak menjauh. Anggerik, Anggerik... Main kasar nampak!
Iddin gelengkan kepala dan tersenyum kemudiannya. Anggerik,
nampak saja menurut arahan tapi ada muslihat di balik semua
ni. Terkena aku!
PUKUL 11.00 MALAM barulah Suriya sampai di rumah. Nak
buat macam mana. Kerja sentiasa banyak. Sampaikan nak
rehat pun tak sempat. Letih, letih, letih sangat-sangat! Selepas
dipastikan pintu pagar sudah berkunci, dia melangkah longlai
ke pintu utama. Sudah empat hari Rozairul bertugas di awan
biru. Kadang-kadang rindu juga mahu mendengar celoteh
Rozairul.
Melintasi ruang tamu, biasalah ruang dalam rumah
memang gelap sebab lampu memang tak terpasang. Sudah
nama pun dia tinggal seorang. Suriya terus melangkah ke
tangga berpandukan biasan cahaya lampu jalan. Di dalam
kepalanya kini hanya terbayangkan tilam dan bantal yang
empuk. Dah tak sabar nak berbaring dan dibuai mimpi. Mata
pun dah layu sangat.
“Lambat balik Su.”
Langkah kaki Suriya mati. Terkejut punya pasal...
Suara siapa yang menegur tadi tu? Atau hanya khayalan aku
saja? Hatinya tertanya-tanya. Ah, mainan perasaan aku saja kut.
Lalu dia mendaki anak tangga.
“Su.” Baru dua anak tangga dia daki, suara itu
memanggil lagi.
Ya Allah, suara siapa tu? Suriya diselubungi rasa seriau.
Sedikit-sedikit rasa takut mula menyelubungi hati. Sejak bila
rumah ni ada penunggu? Sebelum-sebelum ni tak ada pun. Jarijemari
Suriya menggigil perlahan. Lampu tiba-tiba terpasang.
“Hei, kenapa ni? Ini alonglah, bukan hantu.” Suara itu
menegurnya.
Suriya pusing tubuh ke kiri. Batang tubuh Rozairul
betul-betul berdiri di sebelahnya.
“Ya Allah, kenapalah along duduk dalam gelap.
Kus semangat!” Akhirnya keluar jugak suara Suriya. Masih
kedengaran getaran di dalam suara itu.
“Along duduk kat sofa tu tadi. Along tunggu Su balik.
Sorry kalau along terkejutkan Su,” terang Rozairul.
“Hmm… Bila along sampai?”
“Tengah hari tadi.”
“Oh.”
“Su, along ada hal nak bincang dengan Su. Bukan hari
ni, tapi malam esok. Su balik lewat jugak ke malam esok?”
“Hmm… Kerja banyak.”
“Kalau boleh along nak Su balik awal. Kita dinner
sama-sama kat rumah. Dah lama... kan kita tak makan sekali.”
“Insya-Allah. Tapi Su tak janji. Su naik dulu ya.”
“Okey.”
Rozairul hanya memandang belakang tubuh adiknya
yang kembali menyambung langkah, mendaki anak tangga
ke bilik. Punggung dilabuhkan kembali di atas sofa. IPhone
dikeluarkan dari poket seluar, dan sekeping kad juga dikeluarkan
dari celah dompet. Ibu jari laju dilarikan di atas skrin telefon,
menyalin kembali nombor telefon yang tertera di atas kertas
itu. Telefon pintar itu dibawa ke telinga.
“Helo,” suara di hujung talian menampar telinga
Rozairul.
“Assalamualaikum, Amsyar.” Rozairul hulur salam.
“Wa’alaikumussalam. Err… Siapa ni?” Iddin menyoal.
Pelik juga apabila nombor tak dikenali tertera di skrin
telefonnya.
“Aku ni, Azwan. Abang Suriya Anggerik.” Rozairul
perkenalkan diri.
“Oh, ehem. Err… ada apa ye kau call aku? Bunyi macam
penting,” Iddin ubah posisi duduknya. Jika tadi dia duduk santai
sambil bersandar pada kepala katil. Tapi sekarang dia duduk
bersila. Mata yang tadi layu tiba-tiba aje segar-bugar.
“Malam esok kau free tak?”
“Malam esok? Insya-Allah free.” Selepas berfikir
sejenak, Iddin menjawab.
“Hmm… Aku nak jemput kau ke rumah aku malam
esok. Boleh kita dinner sekali.” Beritahu Rozairul.
“Orait, set. Insya-Allah aku ke sana esok.” Iddin
bersetuju.
“Jumpa kau esok ya.”
Selepas berbalas salam, perbualan antara mereka
terputus. Rozairul pandang ke skrin TV bagai mahu tembus TV
itu. Matanya langsung tak mengantuk kerana siang tadi, sejurus
sampai di rumah, dia sudah tidur. Lama dia tidur.
Sekeping kertas dan sampul surat yang tersadai elok
di atas meja kopi dia pandang lama. Lambat-lambat dia capai
kertas itu. Isi dalamnya dibaca lagi. Entah yang ke berapa kali
dia baca pun sudah tak terkira.
“Haih, macam manalah nak terangkan pada Su
nanti ni?” Rozairul mengeluh. Dalam kepalanya sudah dapat
mengagak akan reaksi adiknya nanti. Mesti mengamuk sakan.

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 19

“NINI!” Tempik Suriya di telefonnya.
“Oit! Apa ni? Nak suruh telinga aku pekak ke?” Marah
Nini. Kawan dia ni bukan dia tak kenal. Asyik nak meroyan aje
memanjang.
“Ni, aku ada masalah.” Luah Suriya. Marah Nini
langsung dia tak hiraukan.
“Asal ada masalah aje datang jumpa aku. Asal ada
masalah, kau telefon aku. Apa muka aku ni ada cop tukang
penyelesai masalah ke? Ke... aku ni kaunselor tak bergaji kau?”
Ha… Tu dia. Apabila Nini dah buka mulut, sila jangan terasa
hati. Minah ni memang suka cakap lepas.
“Bukanlah macam tu. Aku sedih ni, Nini.”
Sedih pulak? Bunyi macam serius aje. Niat Nini cuma
mahu mengusik Suriya... tapi sekali kawannya itu buat suara
sedih, gabra jugak dia.
“Jom jumpa, senang kau nak cerita pada aku.” Cadang
Nini.
“Kat mana?”
“Mana-mana aje.”
“Okey, aku siap-siap kejap. Nanti aku SMS kat kau
tempatnya.” Putus Suriya. Perbualan antara mereka terputus.
Suriya berjalan ke almari baju.
Selepas lengkap mengenakan pakaian, Suriya berlalu
turun ke tingkat bawah. Dia bertembung pandang dengan
Rozairul. Sehabis dia nak mengelak, akhirnya bertembung
jugak.
“Su, nak ke mana ni? Kaki dah baik ke?” Rozairul
menyoal.
Sungguh prihatin dia bertanya. Namun si adik
mengambil langkah untuk berdiam diri. Rasa marahnya masih
belum surut. Biarlah orang nak cakap apa pun. Bukan mereka
yang tanggung, tapi dia yang tanggung semua ni. Dia yang rasa
sakit itu.
Suriya menonong ke pintu utama. Sandal dikeluarkan
dari almari kasut. Matanya memandang ke arah pintu pagar.
Teksi milik Pak Mail sudah menunggu di luar pagar. Sedang
elok dengan waktu yang dijanjikan.
“Su,” panggil Rozairul.
Suriya melangkah merapati pintu pagar. Panggilan
abangnya sikit pun dia tidak endahkan. Ah, biarlah! Rozairul
hanya mampu memandang kelibat adiknya yang menghilang ke
dalam perut teksi. Dia melepaskan keluhan berat. Sudah dua
hari Suriya mogok suara dengannya. Diajak makan tapi adiknya
tetap mengeraskan diri. Langsung tidak keluar dari bilik.
Jumpa aku di taman, tempat biasa kita lepak.
Butang send ditekan. Suriya menyandarkan badan
pada kerusi. Matanya memandang ke luar cermin tingkap teksi.
Kepalanya pula sudah terbang melayang-layang.
“WHAT??? JADINYA rancangan yang keluar dari mulut gatal
aku dulu tu akhirnya menjadi kenyataan, itu maksud kau?”
Seakan mahu bertempik suara Nini. Terkejut punya pasal. Nasib
baik mereka berada di taman yang terbuka luas. Kalau berada
di restoran, sah-sah kena jelingan maut daripada pengunjung
restoran.
“Aku taklah cakap sama seratus peratus. Tapi ni semua
kebetulan. Kadang-kadang aku terfikir, mungkin kebetulan
yang dirancang.” Ujar Suriya.
“Kebetulan yang dirancang? Siapa yang rancang?”
“Yalah, seperti dirancang walaupun tak seratus peratus
sama. Dulu kau cadangkan aku supaya pikat bos aku tu. Tapi
aku tolak sebab aku tahu dia gay. Tup-tup, along aku tiba-tiba
aje bagi tawaran kat bos aku supaya kahwin dengan aku. Bos
aku pulak setuju. Apa semua ni?” Suriya melepaskan rasa yang
menyesakkan kepalanya.
“Habis, apa keputusan kau?” Nini menyoal lagi.
“Huh!” Suriya mengeluh. Susah untuk dia jawab
soalan Nini itu. Dia pandang Nini yang setia menunggu jawapan
dari ulas bibirnya.
“Kalau ikut hati aku, aku tolak cadangan bodoh tu,”
tutur Suriya mendatar.
“Kau nak tolak? Weh! Ruginya!” Spontan reaksi Nini.
“Rugi? Kenapa aku nak rugi pulak?” Dahi Suriya
berkerut. Kening juga turut terjongket.
“Ya Allah, kenapalah slow sangat kawan aku ni? Kau
tahu tak betapa kayanya bos kau tu? Kau ni betul-betul tolak
tuah!” Rungut Nini.
“Hei, kebahagiaan bukan terletak pada kaya atau
miskin seseorang tu. Wang ringgit tak boleh beli kebahagiaan.
Kau ni, asyik pandang harta benda aje. Cuba kau ubah mindset
kau tu. Kalau semua orang pegang prinsip macam kau, habislah
orang-orang miskin tak berkeluarga.” Bidas Suriya.
“Ya, ya aku tahu. Tapi kekayaan tu adalah bonus untuk
kita. Kalau asyik harapkan cinta aje, tapi dalam poket kering,
tak guna jugak. Cuba kau fikir, kalau kau kahwin dengan dia,
semua dah ada. Aku confirm, kau cuci kaki aje masuk rumah
dia. Tak payah nak susah-susah lagi. Mesti kat rumah tu ada dua
tiga orang gaji. Fuh! Kerja kau relaks aje. Kalau kau tak nak, aku
nak!” Terkeluar sudah aura miang dan gatal Nini.
“Ambiklah kalau kau nak, aku sikit pun tak hingin!”
“Amboi, senangnya kau pass dia kat aku. Macam pass
barang aje,” komen Nini. Dia sandarkan badan pada belakang
bangku. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar pipi. Nyamannya!
“Habis... kau cakap nak, aku pass ajelah kat kau. Tak
payah aku pening-pening fikir lagi.”
“Masalahnya cik kak, dia tak nak kat aku. Dia nak kat
kau. Yang tukang plan pulak bukannya along aku tapi along kau.
Apa da…”
Mereka diam. Sama-sama melayan perasaan sendiri.
Mata Suriya ralit sekali memandang sepasang suami isteri
yang sedang melayan anak mereka bermain di taman itu.
Terasa bahagia sekali di sekeliling mereka. Adakah aku juga
begitu nanti? Jika betul, alangkah indahnya. Tapi jika nasib aku
seperti ibu bagaimana pula? Ibu! Sudah 20 tahun dia hilangkan
perkataan ibu daripada hidupnya. Gelaran yang buat dia kecewa
dan buat air matanya menitis tanpa henti.
“Eh, kenapa dengan kaki kau tu?” Nini baru terperasan
kaki kanan Suriya yang berbalut.
“Terkena kaca malam tu.”
“Ya Allah, sampai begitu sekali?” Nini tak sangka
peristiwa malam itu mengakibatkan kecederaan kepada Suriya.
“Hmm…”
“Teruk tak?” Penuh risau Nini bertanya. Kalau bab
lain boleh aje dia gurau-gurau. Tapi bab ni, memang tak boleh
main-main. Kawan sakit takkan nak main-main pulak.
“Taklah, sikit je ni.”
Mereka diam lagi. Suriya melayan perasaan sendiri.
Nini pula hanya mengikut telatah Suriya. Dia kehabisan modal
nak bersembang.
“Nini.” Panggil Suriya tiba-tiba.
“Hmm…”
“Kalau kau di tempat aku, apa yang kau akan buat?”
Serius, Suriya dah buntu. Kepalanya semakin lama semakin
memberat. Dia dah puas fikir.
“Sebelum aku jawab soalan kau, aku nak tanya kau
sikit. Boleh, kan?” Nini ubah posisi duduknya. Dia menghadap
Suriya. Wajah temannya itu dipandang.
“Apa dia?”
“Kau rasa along kau serius ke dengan kata-kata dia?”
“Nini... kalau tak serius, takkan dia terus tanya bos
aku. Dengan aku langsung dia tak bincang.”
“Tapi, mesti dia ada rancangan terbaik untuk adik dia,
sebab tu dia buat macam tu. Siapa tahu, kan.”
“Rancangan apanya Nini. Dia tu macam dah tak sabarsabar
nak lepaskan tanggungjawab dia. Nampak sangat aku ni
membebankan dia,” rungut Suriya.
“Kau tahu tak... menjaga anak dara seorang lebih susah
daripada menjaga lembu sekandang.”
“Hei, aku bukan lembu... aku manusia okey!” Pintas
Suriya mendadak.
“Aku tak cakap pun kau lembu, cerdik! Yang aku cakap
tu perumpamaan orang dulu-dulu. Apalah kau ni!” Orang
belum cakap habis lagi, dah sibuk nak menyampuk.
“Kau sedar tak, selagi kau tak kahwin, selagi itulah dia
akan susah hati. Tanggungjawab seorang lelaki ke atas saudara
perempuannya sangat berat, kau tahu. Mungkin sebab tu dia
nak kau kahwin. Apabila kau dah kahwin, kau dah ada penjaga
baru. Tak payahlah dia duk pening-pening fikirkan kau. Susah
hati sebab kau. Ada faham?” Terang Nini.
“Tapi…”
“Haip! Aku tak habis cakap lagi. Tak payah nak bertapitapi
sangatlah. Pada aku, baik kau ikut saja cadangan along kau.
Senang!”
Senang kau cakap? Huh! Makin menyusahkan adalah!
Protes Suriya di dalam hati.
“Senang amendenya? Makin menyusahkan adalah.
Bukan kau tak tahu calon pilihan along aku tu gay. Aku ulang,
GAY!” Sedikit tinggi suara Suriya.
“Haip! Apa kes duk tempik gay kuat-kuat. Aku duduk
sebelah kau ni aje pun. Aku tak pekak lagi. Tu ha… Tak pasalpasal
orang sibuk pandang kau. Malulah sikit!” Marah Nini.
Nak marah pun beragaklah. Dahlah gelaran gay tu sensitif di
kalangan masyarakat Islam.
Suriya pandang kiri dan kanannya. Ada beberapa
pasang mata memandang ke arah mereka. Ada yang berbisikbisik
lagi. Tiba-tiba dia diserang rasa malu. Tahu pun malu!
“Aku tak naklah kahwin dengan gay!” Ujar Suriya.
Nada suaranya kembali kepada asal.
“Kau cakap dia gay, kau pernah ke nampak dia buat apa
yang pasangan gay buat? Kau pernah ke nampak dia berkepit
dengan lelaki? Pernah ke kau nampak dia cium lelaki? Atau dia
raba-raba lelaki? Pernah ke?” Keluar sudah soalan gila-gila dari
mulut Nini.
“Aiyark! Apa punya soalan kau ni?” Reaksi spontan
Suriya. Mahu loya tekaknya dengan soalan Nini itu.
“Jawab dulu soalan aku!”
Suriya gelengkan kepala lambat-lambat.
“Ha! Kau sendiri tak nampak tapi sedap-sedap hati
aje kau tuduh dia. Apa ni?” Meradang pulak Nini dengan sikap
Suriya. Tak tahu hujung pangkal tapi main tuduh je.
“Dah heboh satu pejabat pasal dia ni gay,” kata-kata ini
lebih kepada membela diri. Dia tak nak Nini anggap hanya dia
yang sebarkan berita si bos tu gay.
“Itulah kau. Mulut orang kau dengar sangat. Tapi kau
sendiri tak nampak kebenarannya. Lain kali, sebelum nak cop
orang gay ke lesbian ke, kau kena tengok dengan mata kau
dulu. Barulah kau boleh percaya. Barulah kau boleh canang
pada orang. Ini tak... entah-entah semua tu fitnah sematamata.”
Nasihat Nini.
Mereka diam. Betul jugak cakap Nini, hati kecil Suriya
bersuara.
“Assalamualaikum,” sapaan salam itu mengejutkan
Nini dan Suriya. Pantas mereka mendongak. Berubah terus air
muka Suriya. Apa kes pulak mamat ni muncul kat sini?
“Wa’alaikumussalam,” balas Nini. Manakala Suriya
hanya jawab di dalam hati.
“Saya Iddin, bos Anggerik.” Iddin memperkenalkan
diri. Nampak Suriya macam tak nak perkenalkan langsung
siapa dia kepada kawan di sebelahnya, dia pun perkenalkanlah
diri sendiri. Nini anggukan kepala sambil senyum mesra.
“Saya Nini, kawan baik Anggerik. Jadi, inilah bos
Anggerik?” Sengaja Nini tekankan nama kedua Suriya itu.
Amboi, siap ada nama istimewa lagi. Bukan dia tak tahu, Suriya
tu paling tak suka kalau orang panggil dia Anggerik. Dia tak
suka!
“Ya, saya. Anggerik ada cerita apa-apa pasal saya ke?”
“Oh, itu sudah semestinya. Dia selalulah cerita tentang
bosnya yang kacak, yang baik hati, yang jadi rebutan para wanita
dan semuanyalah. Jangan risau, semuanya cerita yang baik-baik
saja. Tak sangka pulak hari ni saya bertuah dapat jumpa encik di
sini,” ujar Nini. Macam sengaja mahu menjolok sarang tebuan.
Suriya di sebelah tak habis-habis jengilkan mata.
“Oo… Malu pulak saya.” Iddin tersenyum. Dia jeling
Suriya.
“Lupa pulak nak tanya. Encik buat apa kat sini?” Nini
semakin rancak mengajak Iddin berbual.
“Saja ambil angin petang. Duduk kat rumah pun tak
ada buat apa-apa. Kalau ada isteri tu... best la jugak,” balas Iddin.
Sempat dia jeling Suriya di sebelah Nini. Malangnya si pujaan
hati tetap mengeraskan muka. Jangan kata nak senyum, nak
pandang muka dia pun tidak.
“Kalau macam tu, kahwin ajelah encik.” Sahut Nini.
Suriya senggol lengan Nini. Suka-suka hati keluarkan cadangan
bodoh! Gerutu Suriya.
“Siapa tak nak kahwin, Nini. Saya nak kahwin. Tapi
sebelah sana pulak tak setuju. Nak buat macam mana. Takkan
saya nak paksa... kan. Nak kata tak berharta, Insya-Allah dia tak
lapar kalau kahwin dengan saya. Semuanya saya sediakan, tiptop.”
Iddin bersuara lemah. Lakonan aje tu. Bagi memantapkan
lagi cerita.
“Fuh! Beruntung nasib badan siapa yang dapat encik!
Kalau tak ada calon tadi, dah lama saya tawarkan diri ni,” teruja
dan selamba Nini membalas. Weh... dapat orang kaya, siapa tak
nak! Tolak tuah siapa yang tak nak tu. Jari Suriya laju mengutil
lengan Nini.
“Aduh!” Nini mengaduh.
“Eh, kenapa ni?” Iddin pelik mendengar Nini
mengaduh. Tiba-tiba pulak tu.
“Tak ada apa-apa.”
“Hmm… Okeylah. Saya minta diri dulu.” Pinta Iddin
sebelum berlalu. Sempat dia pandang Suriya yang masam
mencuka itu.
“Apasallah kau tak cakap yang dia tu handsoooome
giler! Rugi besar la siapa yang tolak dia. Kau sungguh ke tak
nak? Kalau kau tak nak, aku nak!” Setelah dipastikan yang
Iddin sudah jauh daripada mereka, Nini terus bersuara dengan
terujanya.
“Ambiklah kalau kau nak. Tak hingin aku!”
“Sungguh ni? Jangan nanti bila aku dah dapat dia, kau
pulak gigit jari. Masa tu baru padan dengan muka kau.” Beria-ia
Nini berkata-kata.
“Hmm…” Acuh tak acuh Suriya membalas.
“Eh, tapikan... aku rasa dia ni susah nak layan
perempuan. Kecuali yang benar-benar dia suka. Macam kau.
Kau sedar tak yang dia tu, suka kat kau.”
“Apa yang kau merepek ni?”
“Dari mata dia pun aku dah dapat baca. Dia memang
suka kat kau. Takkanlah masa along kau tanya dia sama ada dia
suka kat kau ke tak, dia senyap je. Kalau orang lain, awal-awal
lagi dia dah tolak, kan. Cuba kau fikir elok-elok.” Nini cuba
berdiplomasi.
“Ah, malaslah aku nak fikir. Eh, jom balik. Dah petang
sangat ni. Kau hantar aku ya,” Suriya cuba mengalihkan topik
perbualan mereka. Dia bangun dari bangku dan mendahului
langkah Nini ke kereta.
Nini gelengkan kepala. Susah nak lembutkan hati si
Suriya Anggerik ni. Hadoi! Lambat-lambat Nini mengekori
langkah Suriya.

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 18

PENGGERA telefon berbunyi mengejutkan Suriya
daripada lenanya. Terpisat-pisat dia bangun. Cerahnya! Matanya
dibuka sedikit. Cahaya lampu menerangi ruang bilik. Sampai
silau matanya. Aku tidur dalam cerah ke semalam? Seperti
orang bingung dia menyoal diri sendiri. Memang dia tak suka
kalau tidur dalam keadaan yang cerah. Boleh sakit kepala.
Tangan meraba-raba telefon bimbit tapi tak jumpa. Eh, kat
mana aku letak kau ni? Hatinya tertanya-tanya.
Semalam, lepas bergaduh dengan Rozairul, dia terus
naik tidur. Oh, masih dalam beg tanganlah tu. Fikirnya.
Matanya ligat mencari kelibat beg tangan. Sejurus nampak,
kakinya bersedia mahu memijak lantai.
“Ouch!” Tiba-Tiba kakinya mencucuk kesakitan. Lalu
spontan punggungnya kembali menyembah tilam.
Suriya pandang kaki yang sedang berbalut. Dan
peristiwa semalam kembali menerjah kotak memorinya. Terasa
seperti baru sebentar tadi aje dia bergaduh dengan abangnya.
Seperti baru lima minit sudah Rozairul dengan selambanya
memberikan tawaran gila kepada bosnya. Suriya tenung baju
yang tersarung di tubuhnya. Masih baju semalam. Langsung tak
bersalin. Layan jiwa sangat semalam sampai tak hirau langsung
badan yang berbau ni.
Dia bangun perlahan-lahan ke bilik air. Nak mandi.
Walaupun kaki terincut-incut sewaktu melangkah, dia gagahkan
juga. Hari ni, dia nak juga pergi kerja. Duduk kat rumah pun
bertembung dengan Rozairul. Buat tambah sakit hati pulak.
Siap mandi, solat dan berpakaian, dia turun ke tingkat
bawah sambil membawa beg tangan. Beg kerjanya masih
tersadai di ruang tamu. Semalam terlupa dia nak bawa masuk
ke dalam bilik. Dia lambat bersiap hari ni kerana kaki yang sakit
melambatkan pergerakannya. Nak berjalan pun susah. Sanggup
dia seksa diri gara-gara tak nak bertembung muka dengan
Rozairul.
“Su, jom sarapan sekali. Along dah siap masak ni,” ajak
Rozairul sebaik ternampak kelibat adiknya.
Suriya buat-buat tak dengar. Menonong dia
mendapatkan beg kerja di tepi almari hiasan dan berlalu ke
pintu utama. Nasib baik Pak Mail sudah menunggu di depan
pintu pagar.
“Su,” cepat-cepat Rozairul tanggalkan apron di leher
dan mendapatkan Suriya. Tak pernah-pernah Suriya marah kat
dia sampai macam ni sekali.
Suriya yang mahu menyarung sandal comfort yang
biasanya dia pakai untuk santai terasa tangannya ditarik dari
belakang. Sudah dia tahu siapa yang menarik tangannya.
Dia buat macam tak ada apa yang berlaku. Belum pun
sempat Rozairul berkata apa-apa, Suriya tarik tangannya dari
cengkaman Rozairul. Dia dah malas nak dengar patah kata
Rozairul. Dia bosan!
Rozairul memandang cara adiknya berjalan. Terincutincut
dan kaki itu berbalut. Allah! Macam teruk saja. Suriya
masuk ke dalam perut teksi tanpa memandang langsung wajah
Rozairul.
Sekarang bukan waktu yang sesuai untuk dia balas
segala permintaan Rozairul. Biarkan dia sejuk dahulu. Takut
nanti lagi teruk perkataan yang akan keluar dari mulutnya jika
Rozairul terus-terusan memaksa dia bercakap.
Tak sempat Rozairul menghalang, teksi sudah pun
hilang dari pandangan mata.
“EH, SU! Kenapa ni?”
Masuk saja dalam pejabat pagi tu, Noraini terus
menerpa ke arah Suriya. Dia pelik melihat Suriya berjalan
lambat-lambat. Macam orang sedang tanggung sakit yang
amat. Lantas dia pandang kaki Suriya. Sepasang kaki itu hanya
mengenakan sandal dan kaki kanan berbalut. Berbalut? Accident
ke? Hatinya menyoal.
“Tak ada apalah kak,” dalih Suriya.
Alhamdulillah, ucap Suriya penuh syukur. Dapat
sampai ke mejanya dan duduk di atas kerusi ini, dia rasa
sangat bersyukur. Lega kakinya kerana dapat berehat daripada
bergerak.
“Tak ada apa-apanya kalau kaki tu berbalut. Cepat
cakap, kenapa dengan kaki tu?” Tersangat prihatin Noraini
mengorek cerita sebenar dari mulut Suriya.
Makcik ni, selagi aku tak cakap perkara sebenar, selagi
itulah dia sibuk nak mengorek rahsia orang. Geram pulak
Suriya rasa...
“Luka sikit je kena kaca.”
“Sikit? Akak tak nampak luka sikit, tapi nampak macam
teruk aje. Kalau sikit, Su takkan terincut-incut macam ni. Dahdah,
sekejap akak ambilkan borang EL. Hari ni Su pergi klinik.”
Selamba Noraini mengarah. Lantas dia berlalu ke mejanya,
mahu mengambil borang EL.
Ala, kerja banyaklah. Protes Suriya di dalam hati. Asal
dia dapat duduk dan jangan suruh dia banyak bergerak, Insya-
Allah kakinya takkan apa-apa.
“Nah, borang EL.” Suriya pandang Noraini.
“Tapi kak, saya tak apa-apa.”
“Cuba jangan degil. Sakit tu buatlah cara orang sakit.
Jangan nak mengada-ada.” Tegas suara Noraini. Dia bimbang
luka itu akan melarat jika dibiarkan begitu tanpa rawatan.
“Kerja banyaklah kak,” Suriya cuba lagi. Manalah
tahu kalau-kalau hati Noraini berubah arah. Tapi nampak gaya
macam tak... aje.
“No more excuses! Cepat isi borang ni dan pergi klinik.”
Noraini letak borang di tangan di atas meja Suriya apabila
hulurannya tak bersambut. Memuncung mulut Suriya tanda
sedang tunjuk protes.
Kemudian Noraini berlalu ke ruang depan pejabat
itu. Dia ligat mencari rakan sekerja yang boleh menolongnya
menghantar Suriya ke klinik. Tak sanggup dia nak biarkan
Suriya naik teksi ke klinik. Sudahlah tengah sakit begitu.
“Kak Ani, tengah cari apa ni?” Iddin menegur. Pelik
betul dia lihat Noraini melilau sekeliling ruang pejabat. Macam
kucing hilang anak pulak.
“Encik, nasib baik ada encik.” Noraini kelegaan.
“Kenapa kak?”
“Eh, sebelum tu. Encik sibuk tak pagi ni?”
“Pagi ni? Tak sibuk sangat. Cuma tengah hari nanti ada
appointment dengan client. Kenapa kak?” Dalam masa yang sama
kepala Iddin berfikir. Mengingati kembali jadual kerjanya untuk
hari ni.
“Encik, boleh tak hantar Suriya ke klinik?”
“Hantar Suriya ke klinik? Kenapa kak?” Pelik Iddin.
Tiba-tiba Noraini suruh hantar Suriya ke klinik.
“Kaki dia cedera. Tertusuk kaca katanya. Tapi degil
jugak nak kerja hari ni. Akak bimbanglah nak biarkan dia pergi
sorang ke klinik. Naik teksi pulak tu,” terang Noraini.
“Oh. Mana dia? Jom, saya bawa ke klinik.” Laju Iddin
menyahut. Menggelabah pun ya jugak. Sampai Noraini senyum
melihat Iddin begitu. Dia dah banyak makan garam, dah faham
sangat dengan tingkah begini.
“Su ada kat meja dia.”
Mereka beriringan ke arah meja Suriya.
“Su, Encik Iddin yang akan hantar Su ke klinik. Dah,
tak payahlah buat kerja tu.”
Suriya yang sedang memandang skrin komputer
tersentak. Dia pandang Noraini. Iddin pula dia hanya jeling
dengan ekor mata. Dia bagi isyarat mata dengan Noraini. Kak,
tak ada orang lain ke? Cubalah cari orang lain. Yang penting
bukan dia! Suriya berasa mahu menjerit aje.
“Su, cepatlah.” Gesa Noraini. Dia buat-buat bodoh aje
dengan isyarat mata daripada Suriya. Nak tak nak, terpaksalah
Suriya bangun. Langkah diatur perlahan-lahan. Dia yang tak
mahu banyak berjalan, terpaksa juga berjalan.
“Akak bawa Suriya ke lobi, saya nak keluarkan kereta
sekejap.” Arah Iddin. Lantas dia berlalu ke ruang parkir,
meninggalkan Suriya yang macam susah sangat nak berjalan
itu.
“Jom,” Noraini paut lengan Suriya, membantu cik adik
itu berjalan.
MEREKA DIAM tak berkutik sejak masuk ke dalam kereta.
Masing-masing sibuk melayan perasaan sendiri. Jarak klinik
dengan bangunan pejabat IMIA Technology hanya lima
kilometer sahaja. Jadi, Suriya tak sempat nak rasa bosan. Tuptup,
dah sampai di klinik.
Kereta berhenti di petak parkir. Suriya buka pintu di
sebelah kirinya.
“Boleh jalan tak ni?” Soalan pertama keluar dari bibir
Iddin. Dia sudah berdiri di sebelah pintu kereta. Kalau ikutkan
hatinya, mahu aje dia dukung cik adik ni. Tapi, mereka belum
halal. Kalau Suriya ni isterinya, dah lama dia dukung. Nampak
seksa sangat setiap kali kaki itu mahu melangkah.
Suriya diam. Selagi dia boleh melangkah, selagi itu dia
akan berusaha melangkah sendiri. Selepas peristiwa semalam,
rasanya dia memang tak nak jumpa lelaki ini lagi. Terasa
malunya berinci-inci. Ini semua angkara Rozairul. Tak pasalpasal
dia yang tanggung malu.
Melihat Suriya yang kekal senyap begitu, Iddin
akhirnya paut lengan Suriya. Suriya cuba menolak. Tapi cepat
Iddin bersuara.
“Jangan nak melawan. Kalau awak jatuh, lagi sakit kaki
tu.” Penuh rasa bimbang, dalam nada lelaki itu.
Akhirnya Suriya berdiam diri. Sudah malas dia nak
melawan lagi.
“Keluarkan IC awak.”
“Nak buat apa?” Pertama kalinya pagi itu mulut Suriya
bersuara.
“Nak daftar kat kaunterlah.”
Lambat-lambat Suriya keluarkan purse dari beg
tangannya. IC bertukar tangan. Dia duduk di kerusi menunggu,
manakala Iddin ke kaunter untuk pendaftaran. Usai mendaftar,
Iddin duduk di sebelah Suriya. Sementara menanti nama Suriya
dipanggil, sempat lagi dia membelek kad pengenalan Suriya.
Comelnya gambar pada kad pengenalan tu.
Belum pun sempat Iddin tenung lama-lama wajah
itu, Suriya pantas menyambar kad pengenalannya dari tangan
Iddin. Iddin pandang Suriya. Mencerlung sepasang mata itu
memandang Iddin.
Alah, tengok aje pun. Bukannya dia usik tuan gambar
tu. Bisik hati Iddin.
“Cik, dah boleh masuk sekarang.” Panggil petugas di
kaunter.
Dengan susah payahnya Suriya bangun dan melangkah
ke bilik doktor. Iddin setia mengekori dari belakang.
“Sila duduk. Sakit apa ni?” Doktor yang memakai tag
nama Intan Zahara itu menyoal Suriya.
“Kaki dia terkena kaca,” laju mulut Iddin menjawab.
Doktor tanya Suriya, dia pulak yang sibuk-sibuk menjawab.
Iddin turut duduk di kerusi bersebelahan Suriya. Lagak mereka
tak ubah seperti pasangan kekasih. Suriya jeling orang sebelah.
Sibuk aje! Rungut hatinya.
“Oh, awak duduk di atas katil ni. Saya nak tengok luka
tu,” arah Doktor Intan Zahara.
Suriya patuh. Dia melangkah ke arah katil yang
dimaksudkan itu. Doktor Intan Zahara mula menjalankan
kerjanya. Iddin hanya bertindak sebagai pemerhati. Balutan
di kaki dibuka perlahan-lahan. Dahi Suriya berkerut menahan
kesakitan.
“Nasib baik encik cepat bawak isteri encik ni ke klinik.
Dah nak melarat luka ni. Nasib baik tak bernanah.” Ujar doktor
muda itu sambil membersihkan luka Suriya.
Isteri? Suriya berasa air liurnya tersekat di kerongkong.
Payah sekali untuk ditelan. Aku dikatanya isteri kepada mamat
ni? Heh! Doktor ni betul-betul tak pandai tengok orang. Rungut
Suriya. Dia pandang Iddin di sebelah. Amboi, lebarnya senyum.
Senyum ada makna tu! Suriya gigit bibir bawah.
Iddin tak sudah-sudah senyum. Siapa tak senyum
kalau orang cakap Anggerik tu isteri dia. Sudahlah si Anggerik
tu pujaan hatinya. Kembang rasa hati.
“Okey, dah siap. Nanti ambil ubat di kaunter ya. Oh
ya, luka tu encik kena tengok-tengokkan juga.” Pesan Doktor
Intan Zahara.
“Baiklah, doktor. Terima kasih,” balas Iddin sambil
tersenyum. Dia cuba memaut lengan Suriya. Kononnya mahu
membantu Suriya berjalan. Sudah diberi gelaran ‘suami’
makanya dia perlulah berlagak sebagai seorang suami yang
sangat bertanggungjawab.
“Err… Dah lama ke kahwin?” Tiba-tiba Doktor Intan
Zahara menyoal. Di matanya pasangan ini sangat serasi. Bagai
pinang dibelah dua.
“Baru lagi,” selamba badak Iddin menjawab. Muka
Suriya pula sudah berbahang. Dah tak tahu nak sorok kat mana
lagi muka tu.
“Kami minta diri dulu, doktor.” Sambung Iddin
kemudiannya. Doktor Intan Zahara hanya menganggukkan
kepalanya.
“KENAPA ENCIK cakap saya ni isteri encik pada doktor tu?”
Rasa marah yang membuak-buak di dalam hati yang dia tahan
sejak di klinik tadi dihamburkan keluar.
“Saya tak cakap tapi doktor tu yang cakap.” Iddin
membela diri.
“Yang encik pergi iakan aje tu kenapa?”
“Kalau saya tak iakan, saya nak mengaku awak ni
sebagai apa? Kawan? Kita tak pernah pun berkawan.” Kening
Iddin terjongket menanti jawapan Suriya.
“Saya cuma pekerja encik, tak lebih daripada tu. So
mengaku ajelah sebagai pekerja. Bukan susah pun.” Nada suara
Suriya naik sedikit.
“Tapi saya tak anggap awak sekadar pekerja saya. Saya
anggap awak lebih daripada tu.” Balas Iddin perlahan.
“What???” Woo… Suriya sudah naik angin.
“Saya nak terima cadangan abang awak semalam.”
Spontan ayat itu keluar dari mulut Iddin.
“No!” Berombak dada Suriya menahan marah. Semua
ni betul-betul kerja gila!
“Kalau encik nak kahwin, jangan libatkan saya!
Kahwinlah dengan perempuan lain tapi bukan dengan saya!”
Tinggi nada suara Suriya. Dia tak dapat berfikir dengan waras
ketika itu.
“Kenapa?”
“Saya tak nak!”
“Tapi saya nak.”
“Saya kata saya tak nak, maksudnya saya tak naklah!”
“Tapi saya tetap cakap nak.”
“Huh!” Suriya hilang kata-kata.
Iddin bawa keluar telefon pintarnya dan terus mendail
nombor pejabat.
“Kak, bawa turun beg kerja Suriya. Lagi lima minit
saya sampai. Akak bawa turun ke lobi ya, saya dah tak naik ke
atas.” Iddin mengeluarkan arahan. Sejurus mendapat balasan,
telefon kembali diletakkan di tepi tempat duduknya.
“Kenapa pulak dengan beg kerja saya?” Nada Suriya
masih sama seperti tadi. Angin puting beliung tak surut-surut
lagi.
“Saya hantar awak balik.”
“Saya tak nak balik. Kerja saya berlambak kat opis
tu. Saya nak sambung buat kerja.” Separuh merayu Suriya
membalas.
“Nak buat kerja dengan keadaan macam ni? Biar kaki
awak baik dulu, baru awak boleh sambung kerja.”
“Yang sakit, kaki... bukan tangan saya. Saya masih
boleh buat kerja saya,” Suriya cuba berdegil.
“Boleh tak jangan degil. Ikut aje arahan saya, susah
ke?” Suara Iddin meninggi sedikit. Terkedu Suriya seketika.
Ambik kau!
“Orang bagi cuti tu... suruh rehat, ini tak... sibuk nak
buat kerja dia.” Omel Iddin sendirian.
Keadaan mereka kekal begitu sepanjang perjalanan.
Dua-dua membisu. Suriya nak memprotes tapi akhirnya dia
juga yang kalah. Segala keputusan terletak di bahu encik
bosnya. Huh! Macam ni nak kahwin? Sah-sah nanti aku kena
ikut telunjuk dia! Omel hati Suriya kegeraman.

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 17

KERETA sport itu sudah hampir setengah jam
berada di atas jalan raya. Tapi jangan kata nak berbual, nak
dengar suara masing-masing pun susah! Macam ada berlian
pulak dalam mulut masing-masing.
Sesekali mata Iddin curi pandang kotak yang setia di
riba Suriya. Alhamdulillah, dia tak buang kotak tu. Kalau tak,
sia-sia aje usaha aku! Getus hati Iddin.
“Apa tu?” Tiba-tiba terkeluar pertanyaan dari bibir
Iddin. Kepala Suriya laju berpaling.
Dia cakap dengan aku ke? Suriya berkata-kata di dalam
hati. Dia pandang ke belakang. Tak ada orang. Sah! Encik bos
ini sedang bercakap dengan dia.
“Err… Encik tanya saya ke?”
“Hurm… Berapa ramai lagi manusia kat dalam kereta
ni selain saya dan awak?”
Oh! Hari ni mereka berlawan soalan, berbalas soalan.
Dari mula mulut Iddin terbuka mengeluarkan soalan pertama
dan Suriya balas dengan soalan jugak.
“Apa tu?” Melihat Suriya terus membisu, Iddin
mengulang soalannya tadi.
“Hadiah,” malas Suriya membalas.
“Daripada siapa?” Apa kes pulak sibuk sangat nak tahu
apa dan daripada siapa hadiah ni? Ada kena mengena dengan
awak ke encik bos? Getus hati Suriya.
“Entah.”
“Boleh pula entah-entah. Daripada pakwe kut.” Omel
Iddin. Sengaja dia nak tarik minat Suriya dengan perkataan
pakwe itu.
Suriya diam. Dia tak ada mood nak berlawan cakap
dengan Iddin. Biarlah pakcik tu cakap sorang.
Mata Suriya setia pada jalan raya. Macam dia pula
yang sedang pandu kereta itu. Kereta membelok masuk ke
kawasan perumahan Suriya. Selang beberapa buah rumah dari
rumahnya, Suriya sudah nampak kelibat seseorang sedang
berdiri berhampiran pintu pagar. Siapa? Hati kecilnya terdetik
soalan.
Kereta berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar.
Suriya pantas sangkutkan beg tangan di bahunya. Sebelah
tangan sudah mendarat di pintu kereta, berkira-kira mahu
menolak pintu itu. Sementara sebelah lagi memegang kotak
hadiah di tangan. Cermin kereta diketuk mendadak. Suriya
pantas mendongakkan kepala. Along? Bukan ke along kerja hari
ni? Desis hati Suriya kepelikan.
Suriya pandang ke kanan. Ya Allah! Aku balik dengan
mamat ni hari ni! Mesti along fikir yang bukan-bukan. Hati
Suriya berbisik. Dia menggelabah di tempat duduk sebelah
pemandu. Tiba-tiba terasa seperti ada sesuatu di atas kusyen itu
yang menjadikan dia tak senang duduk.
Iddin tolak pintu kereta mendadak. Kan ada orang tu,
apa kes pulak dia nak bersenang-lenang di dalam kereta. Dia
menghampiri lelaki yang setia berdiri di sebelah keretanya
itu. Tangan dihulur untuk bersalam. Suriya tayang muka
tercengang semacam kerana terkejut dengan tindakan Iddin.
Akhirnya Suriya turut tolak pintu kereta apabila melihat Iddin
menyalami tangan Rozairul.
“Siapa ni dik?” Rozairul tak dapat menahan dirinya
daripada terus menyoal.
“Err… Bos Su.”
“Masuk dulu, kita cerita kat dalam.” Mendatar nada
Rozairul mengeluarkan arahan. Dia menonong masuk ke dalam
rumah, meninggalkan Suriya yang terpinga-pinga. Reaksi
Iddin? Tak payah cakaplah. Dah jelas mamat beku, mana pernah
ada riak kat muka dia. Sabar ajelah aku!
Suriya menapak ke pintu utama. Usai menanggalkan
kasut, dia masuk ke dalam rumah. Ruang tamu hala tuju
pertamanya. Rozairul sudah menanti di situ.
“Hmm... duduk,” pelawa Rozairul. “Dik, buat air.”
Arahan pula tertuju kepada Suriya.
Apasal pulak kena buat air bagai? Orang dahlah tengah
penat. Suriya merungut di dalam hati. Tapi dalam merungut
pun dia turutkan juga arahan abangnya.
“Jadi, kaulah bos adik aku?” Rozairul menyoal selepas
kelibat Suriya hilang di balik dinding dapur. Masakan dia boleh
lupakan lelaki di hadapannya ini. Dialah yang menegur Iddin di
perkarangan masjid beberapa minggu lepas.
“Err… Ya.”
“Kenal aku lagi?”
Kenal aku lagi? Iddin ulang kembali menyebut soalan
itu di dalam hati. Apa punya soalan tu? Dalam masa yang sama
kepala Iddin ligat berfikir. Dia mencari-cari kelibat lelaki itu
di dalam kotak memorinya. Tapi langsung tak dapat dikesan.
Akhirnya dia gelengkan kepala tanda tak kenal.
“Takkan tak ingat lelaki yang tegur kau beberapa
minggu lepas? Aku tegur kau kat masjid lepas solat subuh.
Masa tu kau tengah berjalan ke kereta kau. Ingat?” Rozairul
membuka kembali kisah pertembungan mereka.
Iddin berfikir. Fikirannya teraba-raba mencari titik
pertemuan antara mereka yang disebutkan oleh Rozairul.
“Yang pakai baju Melayu warna hijau tu?” Iddin
meneka. Dia masih samar-samar lagi.
“Yes!”
“Sorry la. Aku lupa.”
“It’s okey.” Rozairul berjeda seketika.
“Hurm… Kau dengan adik aku ada apa-apa ke?”
Rozairul terus kepada titik persoalan utama. Dah malas nak
berkias-kias bagai.
“Ada apa-apa? Maksudnya?” Kening Iddin terjongket
sama. Bukan dia tak faham maksud soalan abang Suriya itu,
tapi dia mahukan kepastian. Tersilap teka nanti orang cop
perasan sendiri pula.
“Kau suka kat adik aku?” Rozairul berterus terang. Dia
berkias-kias pun, lelaki di depannya ni bukannya boleh tangkap.
Slow aje dia rasa.
“Err…” Iddin terkedu. Soalan jenis apa ni? Soalan
sebelumnya tak berjawab, timbul pulak soalan lain. Iddin
sampai tak tahu nak jawab apa. Nak angguk ke, nak geleng ni?
“Apasal senyap? Takkan terus bisu kut.” Ambik kau!
Rozairul ni bukan boleh kira sangat. Bila dah naik angin, dia
memang jadi macam tu.
“Err… Suka.” Tergagap-gagap Iddin menjawab. Siapa
tak gagap kalau kena serang dengan soalan-soalan macam tu.
Kalah polis pencen!
“Hmm…” Rozairul sandar badannya di belakang sofa.
Nafas ditarik dan dilepas sekali dua.
“Kalau aku suruh kau kahwin dengan adik aku, kau
nak?” Senafas soalan itu keluar dari bibir Rozairul.
Prang!!!
Bunyi kaca berderai menyembah lantai memecah
kesunyian di ruang tamu itu. Pantas kepala Iddin dan Rozairul
memandang ke arah datangnya bunyi itu. Kaki laju diatur ke
muka ruang tamu.
“Su, kenapa ni?” Rozairul pandang Suriya yang
sedang duduk terpaku di sebelah kaca-kaca yang bersepah di
atas lantai. Rozairul menunduk sedikit sambil tangan ligat
mengutip serpihan kaca yang bersepah itu. Iddin pun sama.
Sangat berhati-hati mereka kerana bimbang kaca-kaca itu
terkena tangan.
“Apa maksud soalan along tadi?” Suriya menyoal. Dia
sehabis baik cuba mengawal rasa hati yang sedang bergelodak.
“Nanti kita bincang,” Rozairul meneruskan kerja-kerja
mengutip serpihan kaca itu. Dia bangun dan berlalu ke dapur.
Dia kembali dengan penyapu dan penyodok di tangan.
“Su, bangun.” Arah Rozairul apabila dia melihat Suriya
kaku di situ. Dia tarik lengan Suriya, memaksa Suriya bangun.
Nak tak nak terpaksalah Suriya turuti. Iddin jadi belas dengan
Suriya. Nak tolong... tak boleh. Jangan nak tunjuk hero sangat
depan abang dia, suara hatinya bergema di dalam sana.
“Err… Aku nak minta diri dulu,” Iddin tiba-tiba
bersuara di tengah-tengah kekalutan dua beradik itu.
“Sekejap,” Rozairul meneruskan kerja-kerja
membersih serpihan kaca sebelum kembali bersuara.
“Jom, aku hantar kau ke kereta.”
Mereka beriringan ke kereta Iddin. Sampai di tepi
kereta, Rozairul bersuara.
“Kita tak habis bincang lagi. Fikir-fikirkan pasal soalan
terakhir aku tu,” Rozairul menepuk bahu Iddin perlahan.
Mereka bagai sudah lama kenal lagaknya. Iddin angguk.
Iddin seluk poket seluar dan bawa keluar sekeping kad
dari celah dompetnya. Dihulurkan kepada Rozairul kad itu.
“Ini kad aku. Kalau ada masa, kau call aku.” Ujar Iddin.
Rozairul anggukkan kepala.
Mereka berjabat tangan sebelum Iddin memecut kereta
mewah itu dan menghilang di sebalik kepekatan malam. Kad di
tangan, Rozairul pandang lama. Iddin Amsyar Ikmal...
“Aku tak silap buat keputusan.” Bibir Rozairul berkata.
Sememangnya dia mahukan yang terbaik untuk adiknya
yang seorang itu. Dia perlu lihat dahulu latar belakang lelaki
yang akan sehidup semati dengan adiknya. Bukan mudah mahu
lepaskan seorang adik perempuan. Besar tanggungjawabnya.
Rozairul mengeluh. Dia berlalu masuk ke dalam rumah.
“ALONG! APA maksud soalan along tadi?” Nampak saja kelibat
Rozairul di muka pintu, Suriya terus menyerang dengan
soalannya. Hatinya memang tengah berapi tika ini.
“Kenapa? Bukan Su suka ke?”
“Sejak bila Su cakap Su suka? Ada Su cakap suka? Ada?”
“Tak ada. Tapi dah beberapa kali along nampak dia
datang dan hantar Su balik. Along tak rasa Su dengan dia tak
ada apa-apa.” Rozairul mengemukakan pendapatnya.
“Kami tak ada apa-apa. Hanya hubungan antara
pekerja dan majikan. Tak lebih daripada tu semua. Langsung
menyimpang daripada apa yang along fikirkan.” Bentak Suriya.
“Mustahil!”
“Sama ada along nak percaya atau tidak, itu terpulang.
Su dah cakap apa yang Su rasa.” Dia mahu atur langkah ke
tangga. Kakinya terhenti.
“Kenapa along nak sangat Su kahwin? Kalau along dah
tak nak jaga Su, cakap depan-depan. Tak payah nak libatkan
orang luar. Su boleh keluar dari rumah ni.” Suriya sambung
kembali langkah yang terhenti tadi. Tapak kakinya terasa
mencucuk-cucuk tapi dia lawan. Dia gagahkan diri.
“Su, darah!” Rozairul bertempik. Mulut yang tadinya
mahu membidas kata-kata Suriya, terkeluar perkataan lain.
Terkejut sangat sebab ternampak darah.
Namun, panggilan itu langsung tak diendahkan.
Suriya terus melangkah, melangkah dan terus melangkah. Dia
masuk ke dalam bilik. Punggung dilabuhkan di atas katil. Kaki
kanan yang terasa mencucuk-cucuk dia angkat dan diletakkan
di atas lutut kiri. Matanya tertumpu pada darah yang sedang
mengalir keluar.
“Bismillahirahmanirrahim.” Suriya tarik kaca yang
mencucuk kaki. Sambil air mata menitis menahan pedih. Ya
Allah, sakitnya!
Dia mengengsot ke bilik air. Kaki yang luka dia cuci
dengan air bersih. Rasa sakit yang mencucuk akibat terkena
air, ditahan bersama tangisan. Luka terkena kaca tersangat
sakit okey... Tambah lagi kalau luka tu dalam. Kotak kecemasan
yang sentiasa tersedia di dalam bilik air dia capai dan berlalu ke
katil. Luka di kaki perlu dirawat segera sebelum melarat. Jika
melarat, sudah tiada ubatnya lagi.
Usai membersihkan bekas darah di atas lantai bilik,
Suriya berbaring di atas katil. Setiap patah kata-kata alongnya
masih terngiang-ngiang di tepi telinga.
“Kalau aku suruh kau kahwin dengan adik aku, kau
nak?”
Suriya mencapai bantal dan ditekup ke muka. Dia
menangis lagi. Dia kecewa dengan Rozairul. Nampak sangat
yang dia ni membebankan Rozairul sampai sanggup Rozairul
beri tawaran begitu kepada bos besarnya.
Kalau tak nak jaga aku, aku tak kisah. Aku boleh
menumpang tinggal dengan Nini! Tempik suara hatinya.
Akhirnya dia terlena bersama deraian air mata yang
beranak sungai di pipi. Lampu juga terpasang. Dia tak punya
tenaga lagi untuk menutup lampu. Lalu dibiarkan saja lampu
itu terpasang begitu.
“SALAH KE tindakan aku?” Rozairul tertanya-tanya sendiri.
Tangan meraup muka. Melihat muka Suriya tadi, dia rasa
bersalah sangat. Terasa dia telah membuat keputusan yang
silap. Tapi… Dia cuma mahukan yang terbaik untuk adiknya.
Badan dia sandarkan ke belakang sofa. Sambil itu
terkeluar keluhan dari celah bibirnya.
Kisahnya, memang sepatutnya dia terpaksa
menggantikan salah seorang teman yang bercuti kecemasan.
Isteri kawannya bersalin. Tapi sampai aje di lapangan terbang,
penerbangan pula ditunda kerana sebab-sebab yang tidak dapat
dielakkan. Sepatutnya pukul 10.00 pagi tadi dia sudah sampai
di Mumbai. Namun, kerana masalah teknikal, terpaksalah
dia balik semula ke rumah. Sebab tu Suriya terkejut nampak
batang tubuh Rozairul ada di rumah.
Rozairul meraup muka lagi. Dia cuba lakukan yang
terbaik untuk adiknya. Baginya Iddin Amsyar itu tidak punya
cacat celanya. Sangat sesuai dijadikan suami. Tahu perihal
agama, mereka bekerja satu pejabat lagi. Berharta pun ya juga.
Jadi, apa lagi yang Suriya cari? Atau adiknya sudah punya pilihan
sendiri. Jika sudah punya pilihan hati, siapa lelaki itu? Rozairul
buntu. Niat murninya telah disalah anggap oleh si adik.
SEPANJANG PERJALANAN balik ke rumah agam itu, hati
Iddin tak sudah-sudah fikirkan cadangan lelaki yang dikenali
dengan nama Azwan, abang kepada Suriya.
“Kalau aku suruh kau kahwin dengan adik aku,
kau nak?”
Masih terdengar-dengar di tepi telinganya akan soalan
itu. Abang Anggerik lamar aku ke? Pihak perempuan lamar
lelaki? Betul ke tak ni? Dah macam cerita 3 Abdul pulak dia rasa.
Sebenarnya inilah yang dia tunggu-tunggu selama ni. Sudah
lama dia mengintip dari jauh anak dara orang. Sekali si abang
lamar dia, baru tercengang kau!
Kereta dia tempatkan di dalam garaj. Belakang badan
disandarkan pada tempat duduk pemandu. Nafas ditarik dalamdalam
sebelum dihembus kembali.
Untuk apa lagi kau fikir. Bukan ke kau yang nak sangat
peluang macam ni? Kau tak payah susah-susah tackle Anggerik,
abang dia dah lamar kau. Nak tunggu apa lagi? Pucuk dicita
ulam mendatang beb!
Senyuman lebar tiba-tiba terukir di bibir Iddin. Suka
la tu!
Cermin keretanya diketuk dari luar. Pantas dia
berpaling. Wajah seorang lelaki berusia pertengahan 50-an
menyapa matanya. Senyuman di bibir Iddin kembali sirna.
Cepat-cepat dia capai briefcasenya dan berlalu keluar dari perut
kereta. Dia menonong masuk ke dalam rumah tanpa menegur
lelaki itu.
Tuan Ikmal hanya mampu memandang batang tubuh
anaknya menghilang di balik pintu rumah. Tadi mulutnya
ringan aje mahu tegur Iddin, tapi melihat aje muka cemberut
Iddin, membisu terus mulutnya. Kaki lemah diatur masuk ke
dalam rumah.

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 16

TELEFON di atas meja Suriya asyik berdering. Kerja
tengah banyak la weh, aku malaslah nak angkat kau! Rungut
hati kecil Suriya. Tapi disebabkan bunyi deringan yang buat dia
rasa sakit telinga, akhirnya dia angkat juga gagang telefon.
“Helo.”
“Su, Kak Sari ni. Su turun ke lobi sekejap boleh tak?”
Suara penyambut tetamu di kaunter lobi bernama Jamsari
atau lebih mesra dipanggil Sari atau Kak Sari menyapa cuping
telinga Suriya.
“Ada apa kak? Kerja tengah banyak ni.”
“Turunlah sekejap. Ada barang sampai ni, atas nama
Su.”
“Barang? Barang apa pulak ni?” Kening Suriya
terjongket. Hilang terus fokusnya pada komputer. Aku ada order
apa-apa barang ke? Suriya berfikir-fikir. Manalah tahu kalaukalau
dia ada buat pembelian di atas talian.
“Ha’ah. Ada delivery dari kedai cenderahati ni. Cepatlah
turun, dah lama budak ni tunggu. Kesian dia.” Ujar Jamsari lagi.
Kedai cenderahati? Bila pulak aku ada order barang
dari kedai cenderahati ni? Suriya keliru. Ataupun ada orang
hadiahkan? Tapi siapa? Tetiba Suriya ada peminat misteri pula
hari ni.
“Akak sign ajelah bagi pihak saya,” Suriya dah malas
nak fikir.
“Eh, tak boleh macam tu. Budak ni cakap Su sendiri
yang kena ambil barang ni. Bos dia marah kalau bukan Su yang
datang ambil.”
“Pulak? Yalah, yalah. Su turun sekarang.” Suriya akur
akhirnya. Gagang diletak kembali dan berlalu turun ke tingkat
lobi bangunan itu.
“Eh, eh. Nak ke mana tu? Laju semacam.” Noraini
bertanya apabila melihat Suriya kelam-kabut semacam.
“Lobi.”
“Apa kes?”
“Kak, saya turun dulu. Nanti saya beritahu kat akak
ye,” Suriya terus berlalu tanpa menghiraukan muka Noraini
yang penuh dengan tanda tanya.
“KAK, MANA budak yang hantar barang tu?” Sampai saja di
kaunter penyambut tetamu, Suriya terus menyoal Jamsari.
“Tu.” Jari Jamsari lurus menunjuk ke arah seorang
remaja lelaki yang sedang duduk santai di sofa.
“Dik, mari sini. Inilah Suriya,” beritahu Jamsari pada
remaja lelaki tersebut.
“Kak, saya Azam. Saya ditugaskan hantar hadiah ini
untuk akak.” Azam menghulurkan kotak hadiah. Bentuk kotak
seperti kotak kek.
“Untuk saya? Betul ke ni?” Manalah tahu kalau Azam
ni silap orang.
“Akak ni Suriya Anggerik, kan?”
“Ya,” teragak-agak Suriya mengiakan.
“Ha… Betullah tu,” Suriya ambil kotak yang dikatakan
hadiah itu dari tangan Azam.
“Apa ni?” Suriya cuba goncang kotak tersebut tapi
sempat dihalang oleh Azam.
“Eh, jangan goncang kak. Habis pecah nanti.” Jelas
riak risau pada wajah Azam. Siapa tak risau beb. Rosak hadiah
tu apa dia nak jawab dengan bos di kedai?
“Habis, apa kat dalam ni?” Suriya tak puas hati.
Soalannya dibiar tak bersahut.
“Hadiah.” Azam keluarkan fail kerjanya. “Akak sign
kat sini,” pinta Azam sambil hulur pen kepada Suriya. Suriya
turutkan permintaan Azam.
“Terima kasih, kak. Saya pergi dulu.”
“Azam, hadiah ni daripada siapa?” Tanya Suriya.
“Akak buka kad tu dan baca,” suruh Azam sebelum
angkat kaki.
Suriya pandang pada permukaan atas kotak hadiah.
La… Ada kad rupanya.
“Apa tu? Dari siapa?” Sibuk Jamsari menyoal Suriya.
Macam Noraini jugak ni. Suka ambil tahu hal orang.
“Entah.” Tak sempat Suriya nak tengok isi kad itu,
wanita itu sudah bertanya dulu.
“Saya naik dululah kak. Terima kasih ya,” Jamsari
mengeluh hampa. Tak dapat dia nak tengok apa hadiah di dalam
kotak tu.
Suriya melangkah ke arah lif. Pintu lif terbuka dan
dia terus masuk ke dalam perut lif. Langsung tak pandang kiri
dan kanan. Dalam kepalanya sekarang sibuk nak tahu isi dalam
kotak yang sedang dia pegang itu.
“Ehem! Besar kotak. Dapat hadiah ke?” Ada suara
menegur Suriya. Laju kepalanya berpusing ke belakang.
“Bad. Hmm… Ada orang hantar tadi. Tapi rasa macam
salah orang je.” Jawab Suriya. Dia tak hiraukan orang sebelah
yang asyik pandang perbualan dia dan Badrul. Mesti sedang
pasang telinga sekali.
“Salah orang? Nama Su yang dia tulis, mestilah untuk
Su. Takkan untuk orang lain pulak.”
“Tapi peliklah. Su tak pernah pun ada admirer. Tup-tup
dapat hadiah hari ni.” Suriya luahkan apa yang dia rasa.
“Alah, adalah tu yang nak surprisekan Su, siapa tahu...
kan. Terima ajelah.” Serentak dengan itu pintu lif terbuka.
Suriya bergegas melangkah keluar dari lif. Dia sempat senyum
ke arah Badrul. Tapi lelaki segak berkot di sebelah Badrul,
langsung dia tak pandang. Tak rugi apa-apa pun kalau tak
pandang!
Suriya masuk ke ruang kerjanya. Noraini tak ada.
Selamat! Suriya segera mendapatkan mejanya. Kotak hadiah
diletak di atas meja. Tangannya gatal mengusik sekeping kad
yang siap bersampul yang terselitkan di atas kotak.
“Ha! Wah, wah. Dapat hadiah rupanya.” Sergah Noraini
yang entah dari mana muncul. Tadi tak ada. Tiba-tiba aje
muncul.
“Akak ni! Terkejut Su.” Terperanjat Suriya. Dia urut
dadanya yang berdebar-debar akibat sergahan Noraini.
Noraini tayang sengih. Suriya pula cepat-cepat
sorokkan kad di tangan ke dalam laci. Masak dia kalau Noraini
dapat baca kad itu. Yang penting biar dia sorang yang baca kad
tu. Lepas dah baca, nak simpan ke, nak buang ke, itu terpulang.
“Apa yang kat dalam ni? Kek ke?” Noraini galak nak
tahu apa isi di dalam kotak yang Suriya bawa masuk tadi.
“Entah, Su tak buka lagi.”
“Habis tu, tunggu apa lagi? Cepatlah buka.” Noraini
merengek suruh dia buka kotak tu seperti kotak itu Noraini
yang punya. Ya ampun! Dah teruk akak sorang ni.
Dengan lafaz bismillah, Suriya buka kotak tersebut.
Kalau tak buka karang, ada jugak yang tak sambung kerja
sampai waktu balik. Hii… Tak kuasa Suriya nak melayan
rengekan Noraini yang lebih banyak drama daripada yang betul.
Penutup kotak dia tarik ke atas. Dan terlihat di ruang mata
mereka berdua isi dalam kotak tersebut. Suriya tergamam.
“Wow! Cantiknya Su!” Teruja sekali suara Noraini.
“Hei, Su!” Noraini goncang bahu Suriya yang diam
membisu. Dah macam patung pulak.
“Hah?”
“Orang sibuk cakap pasal hadiah ni, boleh pulak dia
sibuk termenung. Apa kes ni?” Noraini senggol lengan Suriya.
Suriya diam. Soalan Noraini dia tak jawab. Matanya
sibuk memerhatikan apa yang terhidang di depan mata. Nak tau
apa isi di dalam kotak tu? Susunan coklat berwarna-warni dan
berukiran cantik membentuk sebuah taman bunga. Di tengahtengahnya
tersusun huruf-huruf membentuk perkataan, ‘I’M
SORRY’. Sangat cantik! Sekali lagi Suriya terpegun. Tapi kenapa
I’M SORRY? Siapa yang buat salah dengan aku ni? Suara hati
Suriya berdetik.
“Daripada siapa ni?” Noraini sibuk lagi menyoal.
“Entahlah kak,” Suriya buat-buat sibuk perhatikan
sekeliling kotak. Mencari sekeping kad kononnya. Padahal kad
itu sudah dia sorokkan di dalam laci. Mau kecoh satu ofis kalau
kad tu jatuh ke tangan Noraini. Yang malu nanti, dia jugak!
“Tak ada kad pun.” Bohong Suriya.
“Tapi kenapa I’M SORRY?” Soalan yang tadinya berlegar
di dalam kepala Suriya dimuntahkan oleh Noraini.
“Entah.” Suriya jawab sambil angkat bahu.
“Su tengah merajuk dengan seseorang ke? Bertuahnya
badan. Entah-entah ada yang tengah minat kat Su ni.” Noraini
meneka.
“Eh, tak ada maknanya kak. Malas la nak layan semua
ni. Dah-dah, sambung kerja.” Suriya menutup kembali kotak
itu. Noraini pula berlalu ke mejanya.
Tanpa mereka berdua sedari, ada sepasang mata yang
ralit sekali memerhatikan tingkah mereka berdua dari cermin
kecil di pintu biliknya. Terpaksa dia pandang dari jauh saja. Ikut
hatinya, memang meronta-ronta mahu menegur Anggerik tapi
dia bimbang akan penerimaan Anggerik nanti. Mahunya gadis
itu mengamuk di hadapan semua pekerja bawahan Iddin nanti.
Saja je Iddin dapat malu free!
Apa dia nak buat dengan hadiah tu? Janganlah dia
buang. Atau dia nak bagi pada Kak Ani? Iddin berfikir-fikir.
Dia lihat Noraini begitu sibuk mahu tahu apakah isi di dalam
kotak tersebut. Seketika kemudian, dia lihat Noraini berlalu.
Dan Iddin melepaskan nafas lega. Nasib baik Anggerik tak bagi
hadiah tu pada Noraini. Kalau tak, saja buang duit aku! Gerutu
Iddin.
SURIYA PANDANG kotak di depannya tak berkelip. Tika itu
semua rakan sekerja sudah beransur pulang. Hanya dia yang
tinggal di ruang kerja itu. Dia sedang mengira detik ke pukul
6.00 petang, menanti Pak Mail datang menjemput dia. Siapa
yang hantar kau kat aku? Itu soalan yang berlegar di dalam
kepalanya.
Suriya teringatkan kad yang dia sorokkan dari
pandangan Noraini tengah hari tadi. Ya ampun. Lupa terus dia.
Lantas dia capai kad itu dari dalam laci. Serentak itu, telefonnya
berdering minta diangkat. Siapa pulak yang call petang-petang
ni? Pak Mail.
“Helo, assalamualaikum Pak Mail.” Mesra suara Suriya
memberi salam.
“Wa’alaikumussalam. Su, Pak Mail sebenarnya tak dapat
nak ambil Su petang ni. Teksi ni tiba-tiba pulak meragam.”
Takut-takut kedengaran suara Pak Mail. Dia bukan apa. Dia
bimbangkan keselamatan Suriya jika terpaksa pulang sendiri.
“Oh,” Suriya pandang jam di pergelangan tangannya.
Lagi dua puluh minit sebelum pukul 6.00 petang.
“Tak apalah Pak Mail. Rasanya sempat lagi saya tunggu
teksi kat bawah.” Suriya bangun dari kerusi.
“Tak apa ke ni?”
“Tak apa Pak Mail. Tak payah risau.” Di mulut kata
begitu. Tapi di dalam hati sudah berfikir-fikir. Kat manalah nak
cekau teksi petang-petang ni?
“Okey, Pak Mail minta maaf Su.”
Selepas berbalas salam, talian terputus. Kelamkabut
Suriya menyimpan kembali telefon bimbit di dalam beg
tangannya. Takut tercicir aje jika tersilap simpan. Wah! Hari
ni banyak barang yang dia kena bawa balik. Biasanya dua buah
beg aje. Hari ni ada pertambahan sebuah kotak hadiah pulak.
Sampai terkial-kial nak tekan butang lif. Nasib baiklah ada
tangan yang sudi menghulurkan bantuan.
Keluar dari perut lif, Suriya menapak ke perhentian
teksi. Mak oi! Ramainya manusia! Entah dapat ke tidak teksi ni.
Gerutu Suriya. Biasanya tak seramai ini. Tapi hari ni, macam
terlebih ramai pulak. Lima belas minit masa berlalu. Dan
selama lima belas minit itu juga Suriya berdiri tegak di situ.
Dah naik kematu kakinya berdiri. Bukan tak ada teksi yang lalu,
tapi semuanya dikebas orang. Terasa nak menangis aje!
Pin… Pin… Pin…
Siapa pulak yang main hon ni? Nak jalan, jalan ajelah.
Tak ada yang nak block jalan kau, pun. Rungut Suriya. Bingit
bunyi hon kereta itu menyakitkan telinganya.
Pin… Pin… Pin…
Ya Allah, dia bunyi lagi? Ada jugak yang pecah cermin
kereta kena hempap dengan laptop nanti! Suriya jadi bengang.
Dah la teksi tak dapat lagi. Dapat pulak pemandu entah datang
dari mana yang sewel semacam ni. Duk main tekan-tekan hon
pula.
Telefon di dalam beg tangan berbunyi. Ni lagi satu.
Siapa pulak yang sibuk telefon time ni? Sudahlah tangan tengah
pegang kotak hadiah. Kerana muka malu dengan orang sebelah
yang sorang demi sorang jeling dia, Suriya akhirnya akur. Siapa
tak pandang kalau petang-petang macam tu terdengar lagu
berhantu Pulangkan nyanyian Misha Omar. Sudahlah hari dah
merangkak menghampiri senja...
Suriya membawa keluar telefon bimbit dari dalam beg
dengan susah payah. Nombor telefon tak bernama muncul di
skrin telefon bimbitnya. Nombor yang tak dikenali dan tiada
dalam memori kad sim telefon. Siapa pulak ni? Sejak dapat
hadiah tengah hari tadi, mood Suriya terus merudum. Dia jadi
geram. Akhirnya Suriya tekan butang merah. Settle masalah!
Tapi tak sampai seminit, telefon itu berdering kembali. Suriya
pandang sebelah, orang sebelah pandang dia lagi. Butang hijau
dia tekan.
“Helo,” teragak-agak Suriya menyapa.
“Awak nak balik ke tak?”
“Siapa ni?” Tetiba tanya aku macam tu, apa kes? Gerutu
Suriya di dalam hati.
“Anggerik!” Serentak dengan itu, ada suara yang
memanggil namanya. Pantas mata Suriya bekerja, mencari
dari mana datangnya suara tersebut. Matanya berhenti pada
seseorang yang sedang melambai ke arahnya dari dalam sebuah
kereta sport.
“Siapa ni?” Suriya masih tak nak kalah. Dia mara ke
depan sedikit di kalangan orang ramai yang sedang menunggu
teksi di situ.
“I’m your boss!” Beku suara di hujung talian. Bos???
Sungguh. Dia tak cam akan suara itu.
Pin… Pin… Pin…
Hon dibunyikan lagi. Suriya terkejut. Selepas pandang
kiri dan kanan, Suriya melangkah ke kereta sport itu. Terdengar
soseh-soseh cakap belakang ketika dia melintasi orang-orang di
situ. Pintu dibuka, arahan daripada encik bos menyapa telinga.
“Beg letak kat belakang.”
Suriya akur. Nasib baik bosnya ada perasaan
perikemanusiaan. Kalau tak tadi, sah-sah Suriya kutuk kawkaw
punya! Sejurus punggungnya menghenyak kusyen, kereta
terus dipecut laju. Wajah orang di sebelah, sedikit pun dia tak
pandang!

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 15

HARI ni Suriya cuti. Bukan cuti hujung minggu
tapi cuti yang sengaja dia minta. Sistem untuk sebuah syarikat
penerbitan buku sudah dia bereskan. Sebelum memulakan
kerja baru, dia mahu berehat barang sehari dua. Sedang molek,
dia minta cuti hari ni, bersambung terus dengan cuti hujung
minggu esok dan lusa.
Matahari sudah meninggi di luar sana. Namun
Suriya masih belum punya tanda-tanda mahu bangun dari
pembaringan. Selimut masih utuh membalut tubuhnya.
Suhu penghawa dingin pula memang sengaja direndahkan
sejak semalam. Makanya, makin selesa dia berlingkar di dalam
selimut.
Breep… Breep…
Bunyi penggera telefon bimbit mengejutkan Suriya.
Dengan mata terpejam, tangannya meraba-raba ruang sebelah.
Mencari di mana letaknya telefon bimbitnya itu. Sejurus jumpa,
pantas diamatikan bunyi penggera yang telah mengganggu
lenanya. Lantas dia menggeliat.
“Huwargh!” Teruk benor bunyinya!
Lalu dia berlalu ke bilik air selepas mengambil tuala
dari rak. Selesai mandi dan lengkap berpakaian, Suriya turun
ke bawah. Perut yang berkeroncong membawanya ke dapur.
Semasa melintasi meja makan, matanya seakan menangkap
objek berbentuk sekeping kertas. Kakinya terhenti melangkah.
Assalamualaikum dik. Ketika adik baca kertas
ini, along dah tak ada kat rumah. Mungkin
sudah sampai di Terengganu. Along balik ke
rumah mama untuk beberapa hari. Adik tak
nak ikut, terpaksalah along balik sorang diri.
Jaga diri elok-elok sepanjang along tak ada kat
rumah. Wassalam.
Suriya panggung kepala. Matanya tertancap pada
ruang tamu. Sungguh lesu suasana dalam rumah itu. Dia
kembali mendaki tangga, berlalu ke bilik. Perut yang tadinya
tersangat lapar menjadi kenyang secara tiba-tiba. Kenyang
selepas membaca nota pesanan Rozairul. Telefon bimbit dia
ambil dari atas katil. Jarinya ligat mencari sebaris nama.
“Ni, kau sibuk tak?” Tanpa salam, Suriya terus menyoal
Nini di hujung talian.
“Sibuk jugak, kenapa?” Nini yang sedang menyiapkan
kerjanya menyoal sambil jongket kening. Hati Nini tertanyatanya
dengan kemunculan mendadak temannya.
“Taklah. Aku boring. Kau keluar lunch tak hari ni?”
“Keluar kut,” hati Nini berbelah-bahagi sebenarnya.
Dia tak pasti sama ada nak keluar makan tengah hari atau pun
tidak. Kalau ikut kerjanya yang menimbun ni, malas pula dia
nak keluar. Memanglah waktu rehat tengah hari untuk hari
jumaat sedikit panjang dari hari biasa kerana memberi laluan
kepada kaum lelaki mengerjakan solat jumaat.
“Ala… Tak payahlah kot-kot. Jom keluar,” Suriya
merengek di hujung talian.
“Oit, kau sanggup datang dari Shah Alam ke Kajang
ni semata-mata nak lunch dengan aku? Kau sihat ke tak ni?”
Serius! Nini rasa cadangan Suriya sangat luar alam!
“Apa pulak tak sihatnya. Aku cutilah. Jom la…”
“Yalah, yalah. Tunggu aku kat Plaza Metro.” Akur juga
Nini.
“Orait. Aku tunggu kau kat tempat biasa. Sayang kau,
muah muah!” Girang suara Suriya.
Talian ditamatkan dan Suriya terus bersiap-siap untuk
berjumpa dengan Nini. Dah lama tak keluar berdua dengan
Nini.
“OIT! KAU apasal ni? Sejak aku sampai tadi, muka kau asyik
monyok aje memanjang.” Nini menegur sambil mencuit lengan
Suriya. Mereka sedang lepak-lepak di bangku yang disediakan
di sekitar pusat membeli-belah itu. Makan tengah hari sudah.
Waktu rehat Nini masih berbaki kira-kira sejam lagi.
“Hah?” Suriya terpinga-pinga.
“Kau ni kenapa? Asyik termenung aje. Dah setengah
jam aku tengok kau macam ni. Naik sakit mata aku tengok.”
Nini merungut.
“Huh!” Suriya mengeluh. “Susah aku nak cakap
dengan kau.”
“Apa yang susahnya? Cerita ajelah.”
“Aku gaduh dengan along aku.” Lambat-lambat Suriya
memberitahu.
“Gaduh lagi? Apa kes pulak kali ni?” Haih, dua beradik
ni. Tak habis-habis dengan gaduh.
“Along aku ajak aku balik kampung, tapi aku tak nak
balik. Along aku marah.”
“Kau pun satu. Kenapa kau tak nak balik? Hari ni
kau cuti, kan sia-sia aje buang cuti macam tu aje,” bebel Nini.
Dan tak pasal-pasal kau heret aku sama dalam masalah kau.
Sambung Nini di dalam hati.
“Kau kan tahu aku ada masalah dengan mak angkat
aku. Aku memang tak boleh la... Kalau balik, mesti aku rasa
sakit kat dalam ni,” Suriya menunjukkan dadanya. Tempat yang
dia rasakan sakit selama ini.
“Su, lagikan nabi ampunkan umat…” Belum sempat
Nini habis memberikan nasihat, Suriya lebih dulu memotong.
“Itu nabi. Aku bukan nabi! Aku hanya manusia biasa.
Yang akan rasa sakit apabila orang buat begitu!” Bangkang
Suriya beremosi.
“Itu aku tau. Tapi takkan dalam hati kau tak ada
langsung rasa bersalah?”
“Bersalah? Kenapa aku nak kena rasa bersalah?”
“Hei, memanglah kau bersalah. Kau buat mama kau
macam tu. Kau tau tak hati orang tua ni lembut. Mudah terasa.
Kau buat macam ni, maknanya kau bencikan mama kau. Kau
tak maafkan mama kau. Niat dia baik, Su. Dia nak kau dengan
ibu kau berbaik balik. Takkan kau tak terasa nak bermesra
dengan ibu kau macam mana hubungan anak dan ibu yang lain?
Pasal dosa dia, itu antara dia dengan Allah. Kau sebagai anak
tak ada hak nak hukum dia, nak benci dia sungguh-sungguh
macam sekarang!” Ha… Tu dia! Terkeluar sudah aura Nini tika
membebel.
“Kau sama aje dengan along aku. Cakap senanglah.
Yang tanggungnya aku. Cuba kau yang berdepan dengan semua
ni. Huh!” Balas Suriya, tak nak kalah.
“Ya, aku tak pernah rasa apa yang kau alami. Tapi aku
tahu apa yang kau rasa. Kalau aku jadi kau pun, aku takkan
buat ibu aku macam ni. Bagi aku, perkara lepas, biarlah
lepas. Bukannya kita boleh putar balik masa supaya dia boleh
perbetulkan salahnya. Memang tak boleh! Aku nak tanya kau,
takkan dalam hati kau tak ada langsung sekelumit rasa sayang
kat ibu kau?” Kata-kata Nini diakhiri dengan soalan pedas.
Suriya diam. Dia kehabisan modal. Tak tahu nak jawab
apa untuk soalan Nini itu. Hati Suriya jadi keras kini. Nasihat
yang Rozairul hulurkan langsung tak jalan. Nasihat Nini
lagilah. Bukan Nini tak kenal Suriya. Orangnya memang begini.
Nampak lembut luarannya tapi hati di dalam, keras sekali.
“Eh, aku balik ofis dululah. Lunch hour dah nak habis
ni.” Nini pandang jam seraya bersuara.
Menunggu Suriya terus diam begitu sangat
membazirkan masa. Selepas bersalaman dan melaga pipi, Nini
berlalu meninggalkan Suriya di bangku itu. Biarlah Suriya fikir
semasak-masaknya.
PAGI ISNIN itu, Suriya masuk ke pejabat macam pagi-pagi
Isnin yang lepas. Baginya tak ada yang istimewa pun. Cuma
terasa malas nak bangun awal pagi. Selepas tiga hari bercuti
dan selama tiga hari itu dia asyik berlingkar di atas katil, tiba
pagi ini memang terasalah tersangat malas. Mata pun susah nak
celik.
Lengkap berpakaian, Suriya turun ke ruang dapur. Tak
berniat pun nak buat sarapan sebab masa yang semakin suntuk.
Bangun lewat, inilah padahnya. Saat melintasi peti sejuk,
matanya terpandangkan sekeping kertas memo yang dilekatkan
di situ. Ni mesti kerja along. Biasanya kalau nak pesan apa-apa,
along akan buat macam ni. Bisik hati Suriya.
Selamat pagi dik. Along tak sempat nak inform
kat adik. Malam semalam along sampai dari
Terengganu. Tapi along terpaksa terus ke airport.
Emergency. Along terpaksa ganti kawan along.
Sorry okey. Nanti dah sampai Mumbai, along
call adik ya. Bye, take care. Salam.
Haih. Susahnya kerja macam Rozairul. Sentiasa tak
lekat di rumah. Waktu kerjanya sentiasa standby. Tunggu
orang panggil aje. Telinga Suriya menangkap bunyi hon kereta.
Mesti teksi Pak Mail tu. Bergegas Suriya keluar dari rumah
mendapatkan Pak Mail.
“Haip, awal cik adik. Hari ni datang dengan cik abang
ke?” Masuk saja dalam pejabat, Noraini terus mengusik dia.
“Cik abang? Siapa?” Cik abang mana pulak ni? Kepala
Suriya tak sempat nak tangkap maksud soalan Noraini itu.
Sampai di meja, dia letak beg kerja yang sangat memberatkan
bahu.
“Alah, buat-buat tanya pulak. Su ni suka tau buat
akak cakap kuat-kuat. Dari orang tak tahu, jadi tahu.” Rungut
Noraini.
“Su datang dengan pakcik yang duduk dalam bilik tu
ke?” Noraini berbisik selepas matanya melilau pandang kiri dan
kanan. Dia memang, kalau nak bercakap pasal Suriya dan Iddin,
mesti mata tu sibuk bekerja jugak.
“Eh, taklah. Kenapa pulak saya kena datang dengan
dia?”
Oh, itu rupanya maksud soalan Kak Ani tadi. Haih,
kenapa aku mesti datang dengan dia? Lagi pun sejak kes dia
tengking aku hari tu, kami tak pernah bertegur sapa. Iddin tak
tegur Suriya, Suriya lagilah malas nak tegur Iddin.
“Manalah tahu... kan,” sahut Noraini.
“Tak ada maknanya Kak Ani oi.” Suriya segera berlalu
ke pantri. Malas dia nak tahan telinga dengar kata-kata Noraini.
Nanti apa pulak yang direpekkan lagi, tak tahulah. Lebih baik
isi perut yang sedang bergendang ni dulu. Semasa nak keluar
rumah tadi, dia tak sempat nak bersarapan.
IDDIN MASUK ke pejabat sedikit lewat. Dia sudah maklumkan
kepada Badrul. Alasannya, cuma ada urusan peribadi. Awalawal
pagi lagi kakinya sudah menapak ke deretan kedai-kedai
hadiah di sini. Dia masih mempertimbangkan cadangan Mak
Yam sebenarnya. Nak bagi bunga ke? Atau bagi hadiah? Tapi,
boleh jalan ke cara tu?
Kalau bagi bunga, mesti Suriya cakap Iddin dah tak
betul. Mana nak betulnya kalau tiba-tiba aje bagi bunga. Macam
orang bercinta pula. Bagi hadiah? Tapi apa? Sambil menyoal diri
sendiri, sambil itu kaki Iddin melangkah masuk ke dalam kedai
yang menyediakan perkhidmatan penghantaran hadiah untuk
yang tersayang.
“Err… Ada apa-apa yang boleh saya tolong encik?”
Suara teguran itu mengejutkan Iddin. Habis terbang semua
yang dilamunkan. Wajah seorang pekerja kedai menyapa
pandangan matanya.
“Sebenarnya saya sedang mencari hadiah untuk
seseorang sebagai tanda minta maaf. Err… Awak boleh
suggestkan tak?”
“Oh. Untuk kekasih ke?” Pekerja itu senyum mesra.
Kekasih? Hati Iddin menyoal.
“Taklah. Untuk kawan perempuan aje,” gugup Iddin
menjawab.
“Hmm… Kami ada bermacam hadiah untuk perempuan.
Ada minyak wangi, purse, handbag dan bermacam lagi. Seperti
yang encik lihat sekarang ini, ada bermacam pilihan di dalam
kedai kami. Atau jika encik mahukan kelainan, saya cadangkan
ini.” Pekerja itu menunjukkan sebuah album gambar yang
penuh dengan gambar-gambar reka bentuk coklat.
“Ini adalah sample coklat handmade. Encik kena
tempah dahulu kerana kami hanya buat apabila menerima
tempahan. Jika encik tak berminat dengan design yang sedia ada
dalam album ni, encik boleh kemukakan design encik sendiri
dan Insya-Allah pihak kami akan sediakan.” Terang pekerja itu
panjang lebar.
Terlopong mulut Iddin mendengarkan penerangan
pekerja tersebut seraya tangan membelek album gambar di
tangan. Cantik-cantik semuanya.
“Saya nak yang ni. Tapi awak tukar tulisannya kepada
‘I’M SORRY’. Awak decoratekan cantik-cantik tau. Agak-agak
sempat tak siap hari ni?” Iddin cepat-cepat membuat keputusan
sebelum dia rambang mata.
“Hadiah ni akan dihantar ke mana, encik?” Dalam
masa yang sama pekerja itu memandang jam di dinding kedai.
“Area Shah Alam ni jugak.”
“Hmm… Rasanya sempat siap. Dalam 12.00 tengah
hari kami akan hantar. Encik ke kaunter dahulu, encik perlu
isi borang untuk tujuan penghantaran. Encik nak selit kad
ucapan?”
“Boleh jugak.”
Iddin mengikut langkah pekerja kedai itu berlalu
ke kaunter pembayaran. Di sana dia perlu mengisi borang
maklumat penghantaran hadiah sebelum melakukan
pembayaran. Ini adalah prosedur biasa kedai tersebut.

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 14

IDDIN capai kotak rokok dan lighter dari atas meja
kecil di dalam biliknya. Kemudian dia menghilang di belakang
rumah. Habis sebatang, sebatang lagi rokok dia keluarkan dari
kotaknya. Selepas hujung rokok dinyalakan, dia sedut asap
beracun itu dalam-dalam. Dia bukan perokok tegar. Tapi apabila
dilanda masalah, inilah jalan keluarnya. Sedangkan dia tahu,
rokok tak boleh selesaikan masalah. Makin tambah penyakit
adalah. Tapi nak buat macam mana, dia dah ajar dirinya dengan
cara ini. Asal ada masalah, hisap rokok.
Dia tension kerana Suriya masih tak nak tegur dia.
Masih melancar perang dingin. Dah masuk seminggu mereka
begini. Dia tahulah silap dia sebab tengking Suriya. Tapi takkan
selamanya gadis itu nak lancar perang dingin. Dia dah minta
maaf pun. Takkan tak nak maaf-maafkan lagi?
“Din, Ya Allah! Din merokok balik?” Sergahan suara
Mak Yam mengejutkan Iddin. Asap rokok yang dihisap oleh
Iddin telah membawa Mak Yam ke belakang dapur itu.
“Hmm… Mak Yam kan tahu, Din memang merokok.”
“Tapi, Din dah berhenti kan dulu,” Mak Yam masih
ingat. Bertahun lalu, Iddin pernah berjanji dengannya mahu
berhenti merokok. Nampaknya janji hanya tinggal janji.
“Din masih hisap rokok tapi kadang-kadang aje. Untuk
release tension.” Perlahan Iddin menjawab. Dia sedar, dia yang
salah.
“Din, Din. Kalau tension, bukan ini jalan keluarnya.
Merokok bukan boleh selesaikan masalah. Tapi, boleh bagi
penyakit pula nanti. Isy, sudahlah tu. Mak Yam dah sesak nafas
nak hidu bau rokok tu.” Mak Yam memberi nasihat seperti
seorang ibu kepada anaknya.
“Apa masalah Din sebenarnya?” Wajah sugul di
hadapannya, Mak Yam pandang lama.
“Din, Din tersilap tengking dia.” Lurus Iddin
memberitahu.
“Dia?” Serius, Mak Yam blur.
“Din silap tengking Anggerik.”
“La… Kenapa pulak Iddin tengking anak dara orang
tu?”
Sungguh Mak Yam terkejut. Iddin yang dia kenal
amat-amat susah nak marah orang. Paling-paling teruk pun
dia diamkan diri. Pendam masalah sorang diri. Tapi kalau dah
sampai marah, tengking orang ni... memang masalah serius!
Iddin pandang Mak Yam. Puntung rokok yang masih
berbaki di celah jari, dia tenyeh pada astray. Lambat-lambat
dia membuka mulut, menceritakan kembali detik permulaan
pergaduhan antara dia dan Suriya. Semuanya diceritakan, tak
tertinggal walau satu pun.
“Sekarang macam mana? Apa plan Din?” Mak Yam
bertanya.
“Mak Yam, kalau Din tahu macam mana nak pujuk
Anggerik, tak adalah Din lepas tension macam ni.” Geram pulak
Iddin rasa.
“Oh, Mak Yam lupa.” Mak Yam berfikir. Sampai
berkerut dahinya kerana berfikir.
“Mak Yam tengok kat dalam TV, tak susah pun pujuk
perempuan. Alah, Din bagilah bunga ke, coklat ke. Atau pun
Din bagi hadiah. Tak kiralah hadiah apa pun. Asalkan sesuai.
Janganlah bagi hadiah yang boleh buat dia tambah marah.”
Tuu dia… Cadangan bernas sudah keluar dari mulut Mak Yam.
Jangan pandang sebelah mata dengan Mak Yam, okey!
“Bunga? Hadiah? Boleh guna pakai ke Mak Yam?
Macam idea lama aje,” Iddin musykil. Memanglah semua
cadangan tu selalu ditayangkan dalam drama-drama tempatan.
Tapi, boleh guna pakai ke untuk pujuk Anggerik? Perempuan
sekarang bukan ke suka demand tinggi-tinggi?
“Boleh, apa tak boleh pulak. Atau pun Din boleh cuba
satu cara ni. Tapi Mak Yam pesan awal-awal ya, plan ni nampak
lagi berani daripada cadangan tadi.”
“Lagi berani? Macam mana tu? Dengar pun dah rasa
macam best aje,” tak sabar Iddin nak tahu rancangan Mak Yam.
“Din ajak dia keluar makan. Jangan sampai… Eh, apa
orang putih panggil tu. Kandel dinner... ke apa entah. Susah Mak
Yam nak sebut.”
“Candle light dinner? Tu maksud Mak Yam?”
“Hah… Benda itulah. Tapi janganlah sampai ada lilinlilin
tu semua. Buat biasa-biasa aje. Ajak dia keluar makan tanda
minta maaf. Dalam masa yang sama, Din kenalah pandai main
ayat gula-gula kat dia. Barulah nampak real!” Bersungguh Mak
Yam membentangkan cadangannya. Macam dia pulak yang
kena jumpa Suriya.
“Boleh jalan ke Mak Yam?”
“Tak cuba, Din tak tahu.”
Iddin termenung, memikirkan cadangan Mak Yam.
Macam boleh guna pakai tapi… Apa-apa pun dia kena cuba.
Macam Mak Yam cakap, tak cuba tak tahu. Bagaimana pulak
penerimaan Anggerik nanti? Ah, pasal penerimaan dia, kau
tolak ke tepi dahulu. Yang penting kau cuba! Sahut kata hati
Iddin.
“Eh, fikir apa lagi tu? Sudah-sudahlah tu.” Mak Yam
bersiap-siap mahu beredar dari belakang rumah.
“Dan lagi satu, Mak Yam dah tak nak tengok Din
merokok lagi. Cara paling senang nak redakan tension, Din
ambil wuduk dan solat. Insya-Allah, kita akan tenang selepas
itu. Sudahlah, Mak Yam masuk dulu.” Mak Yam tepuk bahu
Iddin sebelum angkat kaki.
“Okey, terima kasih Mak Yam.”
“Sama-sama.” Iddin pandang tubuh tua Mak Yam
terkedek-kedek masuk ke dalam rumah. Walaupun dia tidak
sempat melihat ibu kandungnya sendiri, Allah kurniakan dia
penjaga yang sangat baik hati untuknya. Yang menjadi pemberi
semangat serta penyokong yang kuat untuknya selama ni.
PUKUL 4.00 PAGI. Rozairul bangun awal-awal pagi dan bersiap.
Pakaian sudah dia letak di dalam beg kecil. Tak banyak dia bawa
baju. Hanya semalaman saja dia akan bermalam di sana. Pagi
ini dia akan bertolak pulang ke Terengganu. Suriya tak nak ikut,
dia balik sorang. Tinggallah Suriya sorang diri. Memang dia tak
beritahu Suriya. Hanya sekeping kertas dia selitkan di atas meja
makan. Pandai-pandai sendirilah Suriya nak hidup.
Hampir pukul 11.00 pagi, dia membelok masuk ke
taman perumahan Telaga Daing. Tempat di mana terletaknya
rumah keluarga angkat Rozairul dan Suriya yang dipanggil
mama dan papa. Rozairul melangkah keluar dari kereta. Dia
menghirup udara yang dirindukan selama ni. Dia rindukan
bayu laut. Rindukan suasana perumahan di sini.
Selepas itu, dia memandang ke rumah yang pernah
dia diami beberapa tahun dulu. Khemah sudah didirikan di
hadapan rumah. Jika pulang beraya setiap tahun, rumah itulah
yang mereka dua beradik tuju. Tapi selepas peristiwa lalu,
Suriya sudah tidak mahu pulang lagi ke Terengganu. Peristiwa
di mana Puan Jamilah membawa mereka berjumpa dengan ibu
kandung mereka.
Kerana peristiwa ditinggalkan oleh ibu sendiri sewaktu
kecil dan pernah hidup merempat di bawah jambatan, Suriya
bencikan ibunya. Baginya wanita itu tidak layak bergelar ibu.
Dan kerana Puan Jamilah mempertemukan Rozairul dan Suriya
dengan ibu kandung mereka, Suriya mula bencikan Puan
Jamilah.
“Eh, Wan. Bila sampai?” Tepukan pada bahu dan sapaan
soalan itu mengembalikan Rozairul ke alam nyata. Pantas dia
berpaling.
“Abang long. Wan baru aje sampai,” Rozairul salami
tangan menantu lelaki sulung keluarga itu.
“Meriah nampak tu?” Rozairul merujuk kepada suasana
di depan rumah yang sudah siap berkhemah bagai.
“Hmm… Mamalah punya plan tu. Eh, jom masuk
dalam.” Arif sengih mendengar kata Rozairul.
“Kejap. Nak ambil beg kat dalam kereta.”
Usai mengeluarkan beg pakaian dari tempat duduk
belakang, Rozairul mengikut langkah Arif, merapati pintu
pagar rumah setingkat itu.
“Su tak ikut balik ke?” Arif bertanya. Baru dia teringat
nak tanya.
Rozairul gelengkan kepala sambil senyum hambar.
Kemudian dia mendekati Encik Razak. Tangan tua itu dia
salami. Selepas itu, anak-anak Encik Razak mula menyerbu dia.
Akhir sekali dia menyalami Puan Jamilah. Berderai air mata
wanita itu luruh membasahi pipi.
“Su mana?” Itu soalan pertama yang keluar dari mulut
Puan Jamilah. Meliar mata Puan Jamilah mencari kelibat
Suriya. Serba-salah Rozairul jadinya.
“Err… Su tak ikut, ma.”
Puan Jamilah sudah mengagak akan jawapan itu.
Daripada air muka Rozairul sendiri dia sudah dapat baca.
“Su masih marahkan mama, kan?” Sendu kembali
berlagu di wajah itu.
“Ma, janganlah sedih sangat. Su tak marah mama.”
Rozairul cuba untuk memberikan harapan yang manis-manis
saja buat emak angkatnya. Dia tak mahu Puan Jamilah terus
berprasangka buruk.
“Kamu jangan nak tipu mama, Wan. Mama tahu,
Su masih marahkan mama. Kalau tak, dia mesti dah ada kat
sini, bersama-sama kita.” Luah Puan Jamilah bersama esak
tangisnya.
“Milah,” Encik Razak tiba-tiba bersuara.
“Abang, Su masih marahkan saya,” Puan Jamilah
mengadu pada suaminya. Pantas Encik Razak peluk bahu
isterinya. Puan Jamilah mengongoi di bahu Encik Razak.
Hatinya tersangat sedih. Anak yang dijaga sejak kecil sekarang
begitu marahkannya, membencinya.
Ya Allah! Kau mengujiku lagi.
“Sabar, Milah. Ingat Allah.” Ujar Encik Razak sambil
usap bahu isterinya. Seketika kemudian, tangisan Puan Jamilah
terhenti dengan sendirinya.
“Hesy, apa ni. Menangis depan budak-budak,” usik
Encik Razak sambil cuit hidung isterinya.
Puan Jamilah laju alihkan wajahnya dari pandangan
Encik Razak. Malulah tu. Desis hati Encik Razak. Mungkin Puan
Jamilah baru sedar yang anak-anak sedang mengelilinginya.
“Okey, dah. Tak naklah sedih-sedih macam ni.”
Sambung Encik Razak lagi.
“Wan, masuklah berehat dulu. Baru sampai dari KL,
mesti penat lagi. Pergi letak beg dalam bilik uda.” Suruh Arif
selepas suasana yang tadinya gamat dengan tangisan Puan
Jamilah sudah kembali reda.
Uda atau nama sebenarnya, Sabri, ialah anak kelima
kepada pasangan Encik Razak dan Puan Jamilah. Sabri sudah
berkahwin dengan seorang doktor. Mereka tinggal di kampung
sebelah.
“Okey,” Rozairul menuruti arahan Arif.
ASALNYA ROZAIRUL mahu sambung berehat dan tidur
selepas mandi dan bersolat tengah hari itu. Tapi puas dia
baring di atas katil. Pusing ke kiri dan ke kanan juga sudah.
Rasa mengantuk seakan sudah dibawa pergi. Lalu, dia keluar
dari bilik. Mendapatkan isi rumah yang sedang sibuk menyusun
atur keperluan untuk esok hari.
“Eh, tak tidur ke?” Kak Long atau Razinah menegur
Rozairul sambil mengendong anaknya.
“Tak boleh nak tidurlah Kak Long.” Rozairul sengih
kepada Razinah.
“Abang Long mana?” Mata Rozairul melilau mencari
Arif.
“Entahlah. Tadi Kak Long nampak kat belakang.”
“Okey, Wan cari Abang Long dulu,” Rozairul pinta diri
sebelum berlalu ke belakang rumah.
Ada beberapa orang jiran tetangga yang datang
membantu. Inilah hidup di kawasan kejiranan yang masih
kuat mengamalkan amalan tolong-menolong. Di sini masih
mengamalkan cara hidup kampung. Bukan seperti di bandar
besar. Semuanya tempah katerer. Pemilik kediaman hanya
tunjuk-tunjuk aje nak yang mana. Kemudian sedia duit. Sudah
hilang sikap bergotong-royong.
Mama cakap majlis cukur jambul tapi gaya macam nak
sambut menantu baru. Meriah kenduri. Bisik hati Rozairul.
Pada sebelah malamnya, sesudah menunaikan solat
isyak, semua isi rumah berkumpul di bawah khemah. Banyak
betul cerita yang keluar dari mulut mereka. Setiap orang sibuk
nak bercerita. Sampai satu tahap sudah seperti langau pula.
Bising sangat. Tapi suasana inilah yang Rozairul rindukan.
Riuh-rendah apabila semua berkumpul. Macam hari raya pulak
dia rasa.
“Ha, Wan. Lama tak dengar cerita orang jauh ni.
Macam mana kerja sekarang, okey?” Rizal, anak kedua Puan
Jamilah dan Encik Razak bertanya.
“Okey aje angah. Cuma sekarang ni tengah cuti
panjang. Cuara buruk tengah melanda Eropah dan beberapa
negara lain. Kapal terbang pun tak boleh nak landing,” beritahu
Rozairul.
“Oh. Angah dengar macam best aje orang kerja bawa
kapal terbang ni,” ujar Rizal. Dia sisipkan secawan teh ke bibir.
“Kadang-kadang ada best. Kadang-kadang cuak juga.
Nyawa penumpang di tangan kita. Itu yang bahaya.” Rizal
menganggukkan kepala.
Ramai yang tak tahu. Risiko seorang pilot untuk
menerbangkan sesebuah kapal terbang sangat tinggi. Segalanya
berada di bahu pilot. Yang orang ramai tahu, best kerja jadi pilot.
Pandang belakang segala risiko. Samalah dengan budak-budak
zaman sekarang. Yang best itu yang dikejar. Langsung tak fikir
kemungkinan yang lain. Dan lagi satu... mereka fikir, pilot ni
gajinya memang tak habis dibuat makan sebulan.
“Angah, siapa yang handle Darul Hilmi sekarang ni?”
Sejak sampai tadi, hati Rozairul begitu membuak-buak
mahu menjejak kembali tempat tinggalnya sejak kecil itu. Tapi
melihatkan semua orang sedang sibuk, dia pendamkan seketika
hasrat hati. Tersangat rindu akan tempat yang pernah menjadi
rumahnya. Masih terbayang di ruang mata.
Jika orang lain pulang ke rumah masing-masing,
dia dan Suriya hanya mampu tengok saja. Kerana mereka tak
pernah kenal cuti atau hari biasa. Bagi mereka itu semua sama
saja. Hari sekolah mereka tinggal di situ. Hari cuti pun mereka
tinggal di situ juga. Tiada rumah saudara-mara. Malah mereka
tak pernah kenal saudara-mara sendiri. Mereka masih punya
saudara-marakah? Kadang-kadang soalan itu terbit dalam
benaknya.
“Ayah Chen yang uruskan Darul Hilmi sekarang.”
“Wan rasa nak pergi ke sanalah.”
“Bila? Sekarang ke?”
“Eh, taklah. Bukan sekarang. Maksud Wan mungkin
esok.”
Rizal ketawa besar dengan jawapan Rozairul. Lurus
sangat! Dia bergurau aje. Wan, Wan, kau masih tak berubah.
Macam dulu-dulu jugak. Desis hati kecil Rizal.

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 13

“TUNANG???” Serentak suara Suriya dan Yuni
menyoal. Suara mereka berdua berjaya menarik perhatian
penghuni meja sebelah. Sampai tertoleh-toleh mereka
memandang Suriya dan Yuni.
“Awak berlakon aje jadi tunang saya, lepas ni saya akan
terangkan segala-galanya. Please!” Bisik Iddin di tepi telinga
Suriya. Kedudukan mereka sangat rapat ketika itu.
“Err… Ha’ah. Saya tunang enc... err... Iddin. Hai.”
Suriya hulur tangan, nak bersalaman dengan perempuan gedik
yang masih dia tak tahu nama apa ini. Rasa gugup dalam dirinya
ketika itu hanya Allah saja yang tahu. Yuni hanya menyambut
hujung jari Suriya. Tu pun sekejap aje. Angkuh sekali!
“Oh, inilah someone yang you cakap tadi tu?” Yuni
menyoal.
Someone? Suriya pantas pandang Iddin. Berapa banyak
rahsia yang dia simpan ni? Lepas ni aku kena berlakon jadi
apa pulak? Jangan cakap aku kena berlakon jadi isteri dia!
Suriya mengomel di dalam hati. Dia rasa nak angkat kaki dan
berlalu terus dari situ. Semua ni sangat-sangat memberatkan
kepalanya!
“Yup,” Iddin senyum. Senyum mengejek sebenarnya.
“Err… I have to go now, nice to meet you.” Suriya
bersuara di tengah-tengah perbualan antara Iddin dan Yuni.
Nama minah gedik ni memang dia tak tahu sebab Yuni sendiri
tak beritahu namanya dan Iddin pun tak kenalkan nama ‘kawan
baiknya’ ini.
“Eh, wait.”
Iddin cuba menghalang tapi Suriya lagi pantas
melangkah. Akhirnya Iddin mengejar langkah Suriya tanpa
berpamitan terlebih dahulu pada Yuni. Tercengang Yuni di situ.
Blah macam tu je? Ingat aku ni tunggul ke apa?
“Cik, order?” Pelayan datang ke meja itu dan bertanya
pada Yuni.
“No, thanks.”
Pantas Yuni berlalu keluar dari restoran itu. Dia
masuk ke dalam restoran mewah itu pun sebab ternampak
kelibat Iddin. Asalnya dia mahu kejar Iddin. Tapi lain pula yang
dia jumpa. Iddin bersama seorang perempuan. Patutlah selalu
mengelak. Yuni panas hati!
“Kau buat aku macam ni, aku balas balik nanti! Kau
belum kenal siapa Yuni. Itu baru bertunang, yang berkahwin
pun boleh bercerai. Inikan pula setakat tunang. Apa ada hal.”
Tekad Yuni.
“SO, APA semua ni? Sejak bila kita ni bertunang? Kita bertunang,
tapi saya tak pernah tahu pun. Hmm… Macam mana tu? Ke kita
bertunang di luar alam sedar?” Sinis Suriya menyoal. Masuk
saja ke dalam kereta Iddin, dia tak boleh tahan hatinya daripada
terus menyerang Iddin dengan soalan demi soalan.
Iddin diam. Dia tak ada mood nak layan soalan-soalan
Suriya. Fikirannya sedang berkecamuk. Sudahlah perut tengah
kosong. Keluar lunch tapi tak makan. Ada ke macam tu?
“Encik!”
“Apa?” Tengking Iddin. Aku sudahlah pening kepala
berfikir. Dia pulak tambahkan masalah. Rungut Iddin di dalam
hati. Iddin hentak tangan pada stereng kereta. Baru tersedar
keterlanjuran diri. Tak sepatutnya dia tengking Suriya.
Suriya terkejut. Terenjut bahunya kerana amat
terkejut. Terus bisu mulutnya. Pertama kali bos besarnya itu
menengking Suriya.
“I’m sorry,” ucap Iddin perlahan.
Maaf? Lepas tengking aku suka-suka hati baru nak
minta maaf! Suriya mematungkan diri. Dia terasa hati! Suriya
peluk tubuh sambil buang pandang ke tepi. Tak kuasa dia nak
pandang bos besarnya itu.
“Anggerik. Saya betul-betul minta maaf. Saya… Saya
tak sengaja nak tengking awak. Fikiran saya tengah bercelaru.”
Iddin merayu. Pertama kali dia merayu dengan perempuan tau.
Sebelum ni tak pernah dia merendahkan egonya hanya kerana
seorang perempuan.
Suriya terus membisu. Melancar perang dingin. Iddin
melepaskan keluhan. Anggerik merajuk ke? Dia tak pandai
nak pujuk perempuan. Sampai saja di parkir bawah tanah,
Suriya terus meloloskan diri dari perut kereta Iddin. Malas dia
nak berlama-lama. Makin membahang pula dia rasakan jika
berlama-lama di dalam kereta mewah itu.
“Anggerik!” Iddin memanggil Suriya, cuba menghalang
langkah Suriya. Tapi panggilannya disapa angin lalu.
Terlajak kereta bolehlah reverse balik, tapi terlajak
kata? Sendiri tanggunglah!
NORAINI HANYA pandang wajah Suriya yang masam mencuka.
Sampaikan Maria tegur dia semasa berselisih di pintu masuk
pun dia tak pandang. Tercengang kawan tu. Tak lama kemudian
muncul pula kelibat Iddin. Juga dengan wajah tegang sebelum
hilang di dalam biliknya. Hampir sepuluh minit juga dia
perhatikan tingkah Suriya. Bagus! Dua-dua balik dengan muka
pelik. Kemudiannya dia ikut langkah Suriya ke pantri. Balik
lunch pun masuk pantri jugak? Pelik.
“Oit, cari apa tu?” Noraini bertanya kerana melihat
Suriya menyelongkar isi kabinet. Macam sedang tercari-cari
sesuatu.
“Kak, ada biskut tak?”
“Biskut? Nak buat apa?” Suriya pantas pandang
Noraini. Apa punya soalan ni?
“La... akak ni. Dah nama pun biskut, mestilah nak
makan. Takkan nak buang pulak.” Suriya mengomel.
“Makan? Tadikan Su dah keluar lunch. Dengan bos besar
lagi. Takkan masih lapar kut?” Noraini kerut kening. Sungguh.
Dia tak faham maksud semua ini. Sudah keluar makan tapi
masih lapar. Pulak tu, sampai di pejabat Suriya tayang muncung
panjang sedepa. Iddin pun sama juga. Gaduh ke mereka?
“Hmm… Keluar lunch tapi tak makan. Ada tak kak?”
Kalau ikut hati, Suriya malas nak layan soalan Noraini. Perut
dia tengah lapar gila ni! Kang tak dapat makan biskut, dia
makan orang pulak!
“Ada, sekejap.” Noraini pergi ke kabinet dua paling
bawah dan tarik pintu kabinet. La… kat situ rupanya.
“Nah!”
“Terima kasih kak,” laju tangannya menyambut
bungkusan biskut itu dan berlalu ke meja. Air Milo di dalam
mug sudah suam. Noraini hanya memerhati tingkah Suriya
makan. Macam orang tak makan seminggu! Pelahap habis!
“Su.”
“Alhamdulillah,” habis sudah sepaket biskut. Kenyang
sekejap perut Suriya.
“Ya, kak.”
“Su dengan Encik Iddin keluar lunch ke mana?”
“Malaslah nak cakap pasal topik ni. Buat sakit hati
je kak.” Dengar aje soalan Noraini, mood Suriya kembali
menjunam ke bawah! Tadi dah nak happy balik, terus rasa
bengang semacam.
“Kenapa sakit hati pulak ni? Cuba cerita dengan akak,”
eceh, cerita dengan Kak Ani? Nampak tak permainan kata
Noraini. Nak dapatkan cerita hangat dan sensasi punya pasal,
sanggup dia pujuk Suriya.
“Tak ada apalah kak. Tak penting pun,” Suriya cepatcepat
berlalu ke singki dan mencuci mug yang dia gunakan tadi.
“Su, ceritalah.” Noraini tak putus-putus merayu.
“Hmm… Kak, jom sambung kerja. Akak nak duk sini
sampai bila?” Pandai Suriya mengalihkan topik perbualan.
“Yalah, yalah. Tapi Su hutang dengan Kak Ani satu
cerita.”
“Eh, ada pulak macam tu.” Kak Ani tak habis-habis
dengan hutang. Sambung Suriya di dalam hati.
“Ah, tak kira. Nanti akak tuntut hutang tu. Daa…”
Noraini berlalu ke mejanya sambil lambai-lambai lagi.
Tak nak kalah jugak tu. Sabar jelah aku! Desis hati Suriya.
KALI INI Rozairul dapat cuti lama sedikit. Kerana cuaca buruk
banyak penerbangan ditangguhkan. Jadi, kerjanya hanyalah
‘membuta’ atau ukur jalan. Kalau Suriya tak kerja, bolehlah dia
heret ke sana, ke mari. Nak holiday ke, apa ke, senang aje. Tapi
bila adik kesayangan dah mula kerja, dia pula yang jadi bosan.
Tak ada kawan nak gaduh.
“Su,” Rozairul panggil Suriya. Mereka sedang bersantai
di hujung minggu. Rasanya baru hari ni dia nampak Suriya tak
sibuk dengan kerjanya. Kalau tak, susah nak diajak bersembang.
“Hmm…” Mata Suriya sikit pun tak berkalih dari kaca
TV. Asyik sekali.
“Su nak balik Terengganu tak hujung minggu ni?”
Walaupun dia tahu jawapan Suriya, Rozairul tetap juga cuba
bertanya. Manalah tahu kalau-kalau Suriya berubah fikiran.
Lagipun sudah lama mereka tak balik kampung halaman
tercinta. Rasa rindu itu menggamit relung hati.
“Tak nak!” Laju Suriya menjawab. Fokusnya pada TV
sudah hilang.
“Sampai bila Su nak mengelak macam ni?” Rozairul
sudah kehabisan modal memujuk adiknya. Tapi semuanya tak
jalan.
“Sampai bila-bila.” Suriya lempar ke tepi kusyen kecil
yang tadinya dalam pelukan dan berkira-kira mahu angkat kaki.
“Su! Hah! Eloklah tu. Along baru cakap sikit dah
tunjuk perangai. Along tegur sikit pun tak boleh. Sampai bila
nak macam ni? Kalau rasa marah sangat, fikirlah balik semua
kebaikan mama kat kita. Kalau tak ada mama dan papa, kita
takkan berjaya macam hari ni. Silap-silap, kita masih merempat
bawah jambatan. Su, hidup ni jangan nak menongkat langit
sangat. Kita bukan selamanya kat atas. Ya, mama dan papa
ada buat salah. Tapi itu di mata Su! Su tak fikir ke sebab lain
mama buat macam tu? Su tak fikir! Mama sebenarnya nak kita
ni jumpa ibu kita. Hubungan yang renggang sejak kecil tu kita
kena sambungkan kembali!” Panjang lebar kata-kata Rozairul.
Sabarnya ada had juga.
“Dan Su kena ingat, selagi dia bergelar ibu kita, selama
itu dia tetap ibu kita. Walau seteruk mana pun dia, walau sejahat
mana pun dia, kita wajib hormatkan dia sebagai seorang ibu,
sebagai wanita yang telah melahirkan kita. Ingat tu!” Sambung
Rozairul.
Namun, Suriya tetap berkeras. Dia berlalu ke biliknya
tanpa menghiraukan kata-kata Rozairul. Rozairul buntu.
Kerana peristiwa lalu, Suriya jadi keras hati. Tersangat sukar
untuk Suriya maafkan kesalahan ibu mereka.