DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Ida Farisya. Show all posts
Showing posts with label Ida Farisya. Show all posts

Tuesday, 9 August 2016

Kau Yang Kunanti - Bab 10

KELUHAN berat dilepaskan sebaik sahaja
matanya menangkap kelibat Hakim yang sedang bersandar
di kereta Honda City miliknya. Cekap benar suaminya akan
jalan-jalan di bandar besar ini. Lihat sajalah sekarang, sekejap
sahaja dia sudah terpacak di depan butik ini.
Untuk apa pula lelaki itu datang ke mari? Bukankah
Hakim sudah diberitahu yang dia punya kerja yang hendak
diselesaikan? Walaupun hakikatnya dia hanya menemani
Marissa dan tunangannya membuat persediaan untuk majlis
mereka, tapi itu tidak bermakna kehadiran Hakim diperlukan.
Dia masih kuat untuk melayani keletah puterinya yang sudah
semakin lasak. Dia sudah biasa.
“Mira, suami kau tu kan?” Marissa menegur.
Nampaknya bukan dia seorang sahaja menyedari kehadiran
Hakim di situ.
Amirah hanya mengangguk mengiakan. Tapi tidak
pula dia melangkah mendapatkan suaminya itu. Sengaja dia
berdiri terpacak di situ sambil memerhati kelakuan Hakim
yang masih tidak menyedari bahawa orang yang ditunggunya
sudah pun keluar dari butik itu.
“Mana suami you?” tanya Razif tiba-tiba. Matanya
meliar mencari kelibat lelaki yang diperkatakan tunangannya
itu. Teringin juga dia hendak melihat sejauh mana
ketampanan suami Amirah sehingga menjadi rebutan dua
wanita.
“Tu....” Amirah memuncungkan bibir ke arah
suaminya.
“Oo... so that’s your husband. Emm... boleh tahan.
Patutlah jadi rebutan.”
Razif mengaduh sakit apabila tangan halus milik
Marissa sudah mengetip lengannya. Memberi isyarat agar
dia tidak meneruskan kata, apatah lagi apabila melihat wajah
mendung temannya itu. Mungkinkah temannya itu sedang
bersedih selepas mendengar kata-kata Razif itu?
“Emm... kau tak nak pergi dekat hubby kau ke?”
bisik Marissa di telinga Amirah. Namun tiada jawapan yang
keluar dari mulut wanita itu. Dia hanya terus merenung ke
arah suaminya. Sedang menimbang-nimbang sama ada mahu
bersua muka dengan Hakim ataupun tidak.
“Pergilah Mira. Kami tunggu.” Suruh Razif. Dia tahu
Amirah keberatan. Tapi takkanlah hendak melarikan diri
pula, sedangkan suaminya sudah beria-ia ke mari?
Dengan berat hati Amirah menganggukkan kepala.
Nasuha yang enak berada di dalam pelukan Razif mahu
diambilnya, tetapi ditegah lelaki itu.
“You pergilah. Suha biar I yang jaga.”
Sekali lagi Amirah menganggukkan kepala.
Langkahnya diatur perlahan. Baru beberapa tapak dia
melangkah, matanya menyoroti langkah yang diatur Hakim
kepadanya. Mungkin suaminya itu sudah terperasankan
kewujudan mereka di situ. Wajah lelaki itu kelihatan tegang.
Dia juga perasan mata Hakim sesekali terarah kepada Razif
yang berada sedikit terkebelakang. Entah apa sajalah yang
sedang berada dalam fikiran suaminya itu.
“Buat apa abang datang sini? Kan Mira cakap Mira
ada kerja.” Amirah berbisik perlahan. Tidak mahu kedua
temannya itu terdengar perbualan mereka yang sentiasa
akan dihiasi pertengkaran. Dan dia pasti perkara yang sama
juga akan berlaku sebentar lagi, memandangkan Hakim juga
seperti sedang menahan kemarahan.
“Apa Mira buat dekat sini?” tanya Hakim sambil
matanya terarah kepada pintu masuk butik pengantin itu.
Hatinya jadi tidak tenteram. Untuk keperluan apa Amirah
ke sini? Butik pengantin? Hatinya dilanda kegelisahan yang
teramat. Apatah lagi apabila melihat anak kesayangannya
berada dalam dukungan seorang lelaki yang dia kira begitu
bergaya sekali. Kedudukannya di sisi Amirah terasa begitu
tergugat. Tapi, mereka berdua belum bercerai lagi!
“Kan Mira dah cakap yang Mira ada kerja. Yang
abang datang sini buat apa?”
“Dekat butik pengantin?” Hakim memandang
isterinya tajam. Dalam diam dia sebenarnya mengharapkan
penjelasan daripada Amirah. Tapi dia tahu isterinya itu tidak
akan membuka mulut untuk bercerita. Berat benar mulut
Amirah sejak akhir-akhir ini. Apatah lagi apabila bersamanya.
“Yup, butik pengantin! Kenapa? Ada masalah?”
“Siapa yang nak kahwin?”
“Yang abang nak sibuk ni kenapa? Biarlah siapa nak
kahwin pun. Bukan urusan abang, kan?”
Hakim menarik nafas panjang. Berdepan dengan
Amirah kadang-kadang mencabar kelakiannya. Tutur
bahasanya lepas dan begitu sinis sekali. Jika diturut hatinya
yang membara saat ini, mahu sahaja bibir mungil itu
dicium-cium. Biar Amirah tidak mampu bersuara lagi.
“Hai, I Razif. Dan ini tunang I Marissa, merangkap
housemate Amirah. You Hakim, kan?” Tiba-tiba sahaja
Razif datang mencelah. Ditarik sama tunangannya ke
depan. Dia dapat merasakan ada pertengkaran yang sedang
terjadi antara kedua pasangan suami isteri itu. Dia rasa
bertanggungjawab mengeluarkan pasangan itu dari dunia
mereka buat sementara waktu. Lagipun Nasuha sedari tadi
meronta-ronta hendak mendapatkan abahnya sebaik sahaja
matanya menangkap batang tubuh Hakim di situ. Mulutnya
tidak henti-henti menyebut ‘abah’.
Hakim yang pada mulanya agak tidak senang dengan
kehadiran lelaki itu, akhirnya menarik senyuman lega. Rasa
yang tidak enak sebentar tadi seakan menjauh pergi apabila
mengetahui lelaki yang disangka teman lelaki Amirah
sebenarnya ialah tunangan teman serumahnya. Dengan
lapang dada huluran tangan Razif disambut.
“Ya, I Hakim. Amirah’s husband.” Senyuman juga
diberikan buat Marissa. Tanda terima kasih yang tidak
terhingga kerana pernah membantunya suatu ketika dahulu.
Tubuh kecil Nasuha disambutnya. Anaknya itu
kelihatan tidak sabar-sabar mahu didukungnya. Seperti
biasa, pasti ada kucupan sayang akan singgah di pipi tembam
itu. Rindu kepada anaknya itu semakin menebal dari hari ke
sehari walaupun baru semalam mereka bertemu dan bermain
bersama.
Amirah berpaling ke arah lain saat Hakim
memperkenalkan diri sebagai suaminya. Entah mengapa dia
tidak suka dengan gelaran itu. Baginya untuk apa punya suami
jika hidup tidak seperti suami isteri yang lain. Dia sedar salah
dirinya meninggalkan Hakim. Tapi cara apakah lagi yang
harus dilakukan agar dia bisa bertahan di sisi suaminya. Dia
bukan jenis wanita hati batu yang tidak kenal erti kelukaan.
Apatah lagi apabila mengenangkan sikap suami yang semakin
melupakan kehadirannya dan anak mereka.
“Sorrylah Hakim, I hope you don’t mind I bawa Mira
dengan Suha keluar. I dengan Marissa perlukan pendapat
dia tentang majlis kami ni,” kata Razif lagi. Penjelasan Razif
secara tidak langsung telah melenyapkan curiga dalam hati
Hakim.
“Tak apa, I faham. Ada apa-apa lagi yang tak
siap? Sebab kalau dah selesai, I nak bawa isteri dan anak I
jalan-jalan. Dah lama kami tak keluar bersama,” pinta Hakim,
sopan. Memang itulah tujuan sebenar dia muncul di depan
rumah Amirah sebenarnya. Ingin membuat kejutan. Tapi dia
pula yang terkejut. Nasib jugalah apa yang sedang berlaku
tidak seperti apa yang difikirkan. Kalau tidak, sukarlah
jalannya untuk berbaik dengan isterinya itu.
“Yes, of course. Lagipun tinggal kad kahwin aje.
Yang tu, rasanya kami boleh settle sendiri, kan sayang?”
Marissa pantas menganggukkan kepala. Bersetuju
dengan kata-kata tunangannya. Dia juga berpendapat
pasangan suami isteri itu patut diberikan kesempatan untuk
menghabiskan masa bersama. Mungkin dengan cara itu
peluang untuk mereka berbaik lebih terbuka luas. Biarlah
isteri kedua Hakim pula merasakan apa yang telah temannya
itu rasakan.
Berlainan pula dengan Amirah. Dia ternyata
agak terkejut dengan usul Hakim. Paling dia tidak gemar
apabila Marissa dan Razif seakan memberikan ruang untuk
mereka berdua. Rela melepaskan dirinya pergi, sedangkan
mereka yang begitu beria-ia mengajaknya membantu dalam
melakukan persiapan perkahwinan. Sekarang terbalik pula.
“Ya ke? Sorrylah, terpaksa ganggu plan you all. Bila
majlisnya?”
“Bulan depan. Nanti saya kasi kad. Encik Hakim
jangan lupa datang dengan Mira ya,” jemput Marissa.
Amirah yang mendengarnya hampir tersembul biji
mata. Apa hal pula dengan Marissa? Dulu bukan main marah
lagi dengan Hakim. Sekarang boleh pula beramah mesra.
Siap jemput ke majlis perkahwinan pula.
“Sure, why not? You kawan isteri I, kan? Mestilah I
pergi,” kata Hakim ceria. Sebenarnya jauh di sudut hatinya
ingin sekali dia mengatakan bahawa kehadiran dia ke majlis
mereka itu nanti adalah sebagai tanda terima kasih yang tidak
terhingga buat Marissa atas bantuan kecil yang dianggap besar
ertinya oleh Hakim sendiri. Tapi semua itu tidak mungkin
terluah kerana Amirah berada di situ. Bimbang rahsia mereka
berdua pecah.
“Datang dengan Mira dan Suha saja, okey. Bukan
dengan orang lain. Orang lain tak dialu-alukan.” Sekali lagi
Marissa berkata. Perkataan ‘orang lain’ sengaja ditekankan di
situ.
Kata-kata sinis Marissa berjaya membuat riak wajah
Hakim berubah. Amirah menarik senyuman mengejek.
Dalam hati bertepuk gembira dengan sindiran temannya itu.
Padan muka!
Perlahan-lahan Hakim mengukirkan senyuman.
Faham maksud di sebalik kata-kata Marissa. Dalam hati
membukit rasa malu bertandang. Malu kerana teman Amirah
semestinya telah tahu masalah yang dihadapi mereka.
“Our parents?” Hakim sengaja menguji. Kata-kata
berbaur sindiran daripada Marissa cuba dilayani.
“They are most welcome! Except that ‘orang lain’.
I’m sure you understand what I mean.”
Razif menyiku tunangnya. Tidak senang dengan
sindiran itu. Sebagai lelaki, dia dapat mengesan perubahan
riak di wajah Hakim. Tapi lelaki itu bijak mengawal emosinya
dengan hanya tersenyum manis.
“We've got to go now. Have a nice date,” buru-buru
Razif menarik tangan Marissa membuntutinya. Sebelum itu,
sempat juga dia berjabat salam dengan Hakim.
Tidak sempat Amirah hendak berkata apa-apa,
kedua-dua temannya itu sudah jauh melangkah. Tinggallah
dirinya di sini bersama Hakim dan anak mereka. Bibirnya
diketap geram. Membukit rasa sakit hatinya saat ini dengan
tindakan melulu mereka tanpa bertanya dengan tuan badan
terlebih dahulu.
‘Tak apa! Balik rumah nanti siap kau, Rissa!
Memandai saja!’ gumam Amirah dalam hati dengan wajah
yang kelihatan benar kerutannya.
“Sayang....” Hakim memanggil isterinya. Dia sedar,
Amirah sedang menahan perasaan marah dan geram. Wajah
bersih isterinya itu berkerut-kerut dengan matanya tidak
lepas daripada memandang dua tubuh temannya yang sudah
menghilang ke dalam kereta Razif. Sehingga kereta itu
menghilang dalam kesesakan jalan raya yang bertali arus,
dilihatnya Amirah masih begitu. Marah benar nampaknya.
“Sayang....” Panggil Hakim sekali lagi. Berniat untuk
menyedarkan isterinya itu.
“Don’t call me, sayang!” tempelak Amirah tiba-tiba.
Pandangan matanya tajam sekali merenung ke dalam anak
mata suaminya. Terdiam juga Hakim beberapa ketika.
“Sayang ke....”
“I said don’t call me, sayang! Don’t you understand
that!”
Bicara Hakim terputus apabila sekali lagi ditempelak
isterinya.
“Okey... okey. Janganlah marah....” Hakim
tersenyum mengiringi kata-katanya. Sedikit pun tidak
ambil hati dengan kata-kata kasar isterinya itu. Api yang
sedang marak menyala tidak boleh disimbah minyak. Makin
maraklah api kemarahan itu nanti. Hanya kata-kata lembut
berserta pujukan sahaja yang dirasakan sesuai digunakan saat
ini. Bak kata pepatah, sekeras-keras kerak nasi akan lembut
juga sekiranya disimbah dengan air. Moga itulah yang akan
terjadi kepada Amirah. Tapi sudah tentulah ia akan memakan
masa. Dan dia sedia menunggu hingga ke saat itu.
“Sini Suha tu!” Amirah menyuakan tangan, cuba
mengambil Nasuha dari dukungan Hakim. Wajahnya masam
mencuka.
“Tak apa. Biarlah abang dukung dia.”
“Tak payah! Mira nak balik.” Tanpa mempedulikan
Hakim, tubuh Nasuha terus direbut dari dukungan Hakim.
Tanpa disedari, kekasarannya telah mengundang kesakitan
kepada anak kesayangan mereka. Menangis kuat Nasuha
diperlakukan seperti itu.
“Mira, Suha sakit tu.” Teguran diberikan buat isteri
yang sedang marah. Belas dia melihat keadaan anaknya itu.
Dia tidak mahu kerana masalah mereka, anak itu menjadi
mangsa. Selama ini pun tidak pernah Nasuha disakiti.
Puteri comel itu ditatang bagai minyak yang penuh. Itulah
satu-satunya buah hati pengubat jiwa mereka.
“Jangan pedulikan tentang Suha. Mira boleh jaga
dia. Abang baliklah! Kami tak perlukan abang,” kata Amirah
sambil cuba memujuk Nasuha supaya berhenti menangis.
“Mira, abang datang sini sebab nak bawa Mira dan
anak kita bersiar-siar. Dah lama kita tak bersiar-siar bersama,
kan?”
“Tak perlu. Mira pun boleh bawa Suha bersiar-siar.
Tak payah abang nak susah-susah. Lebih baik abang balik dan
jaga isteri kesayangan abang tu baik-baik. I don’t want to be
accused of taking somebody's husband!”
“Apa yang Mira merepek ni? You’re not, honey! Mira
isteri abang!”
“Kalau bukan Mira, habis tu siapa? Sofiana?”
Hakim terdiam. Serangan Amirah terlalu pantas.
Sehingga dia tidak sempat untuk bersedia. Hendak dinafikan
terasa janggal. Istilah perampas itu sudah menjelaskan
segalanya. Orang ketiga dalam sesuatu perhubungan sudah
tentulah perampas. Sama ada kita sedar atau tidak, itulah
hakikatnya.
“Kenapa abang diam? Betul apa yang Mira kata,
kan?”
“Mira, tolonglah... bolehkan kalau sehari kita
berjumpa tanpa bergaduh? Ya, mungkin Sofiana adalah
perampas. Tapi bukan salah dia seorang. Abang pun bersalah
dalam hal ni sebab biarkan semua ni berlaku,” kata Hakim.
Tanpa sedar, kata-kata itu semakin membuatkan hati
isterinya itu semakin mendidih.
“Tahu pun abang. Sedar pun abang bersalah.
Habis tu, dengan kesalahan abang ni, abang fikir abang
layak ke dapat kemaafan daripada Mira, hah?” luah Amirah
lagi tanpa menghiraukan keadaan di sekeliling mereka.
Walaupun suaranya tidak setinggi mana, tetapi sudah mampu
membuatkan beberapa orang yang melintasi mereka menoleh
untuk kali kedua.
Hakim mula berasa tidak senang duduk. Malu pula
apabila memikirkan apa kata orang. Anak dalam dukungan
pula tidak henti menangis sedari tadi walaupun telah dipujuk
ibunya.
“Mira, janganlah macam ni. Okey, abang terima
kalau Mira masih tak boleh maafkan abang. Tapi abang tetap
akan berusaha untuk mendapatkan kemaafan Mira tu walau
dengan apa cara sekalipun. Abang janji Mira. Abang akan
bahagiakan Mira. Abang nak tebus semula masa-masa yang
telah abang sia-siakan.”
Amirah tertawa mengejek. Lucu melihat Hakim
begitu bersungguh-sungguh berjanji. Tapi tidak semudah itu
dia akan percaya. Lidah Hakim tidak ubah seperti lidah ular.
Bercabang!
“Sudahlah. Tak payahlah abang nak bersandiwara
dekat sini. Sikit pun Mira tak percaya!” Sebaik sahaja selesai
berkata-kata, Amirah terus menahan sebuah teksi yang
kebetulan lalu di situ. Tanpa pamitan, dia terus meloloskan
diri ke dalam teksi itu.
Hakim yang masih terpinga-pinga tidak sempat
menghalang. Dia hanya mampu melihat teksi yang membawa
kedua-dua orang kesayangannya berlalu pergi. Tanpa sedar,
dia mengeluh berat. Libang-libu perasaannya saat ini.
Amirah semakin hari semakin membenci dirinya. Setiap kali
berjumpa, pasti disusuli dengan pergaduhan. Lebih teruk lagi,
dia langsung tidak diberi kesempatan untuk membuktikan
kejujuran hati.
Terlalu terlukakah perasaan sang isteri dengan
perbuatannya dulu? Ah, kenapa harus ditanya lagi? Sedangkan
diri sendiri tahu bagaimana sensitifnya perasaan Amirah.
Pantang dia meninggi suara sedikit, pasti akan ada mutiara
jernih yang mengalir di pipi mulus itu. Inikan pula diabaikan
kasih sayang kerana suami mabuk dengan perempuan lain.
Perlahan-lahan Hakim menapak ke keretanya.
Sempat dia berpaling ke jalan yang telah dilalui oleh teksi yang
dinaiki isterinya tadi. Walaupun teksi itu telah menghilang,
tapi matanya tetap ingin melekap di situ. Sekadar mengubat
hatinya yang lara.

Kau Yang Kunanti - Bab 9

AROMA mi goreng memenuhi segenap ruangan
rumah teres yang dihuni Marissa, Amirah dan Nasuha.
Marissa berjalan terhuyung-hayang menuruni tangga. Mata
yang masih terasa kantuk digosok perlahan-lahan. Dengan
susah payah dia melihat jam di dinding. Pukul 8 pagi. Lambat
pula Amirah menyediakan sarapan pagi hari ini. Selalunya
seawal 7.30 pagi semua telah terhidang di atas meja. Dia pula
walaupun masih berasa keletihan akibat memandu selama
empat jam dari kampungnya, tetap memaksa diri untuk
bangun kerana perutnya sudah berdondang sayang. Apatah
lagi aroma mi goreng buatan Amirah itu begitu menggoda.
“Aduh!!!”
Amirah pantas berpaling apabila dikejutkan dengan
suara seseorang sedang mengerang kesakitan. Terkebil-kebil
dia memandang Marissa yang sedang menggosok dahinya.
Bibirnya pula terkumat-kamit dengan wajah tidak
berpuas hati. Sesekali dinding dapur yang bercat putih itu
ditampar-tampar.
“Kau kenapa?” Amirah bertanya. Pelik dia
melihat gelagat temannya itu. Masakan dinding batu itu
ditampar-tampar. Telapak tangannya juga yang pedih nanti.
“Tak ada apa-apalah,” balas Marissa. Masih
menggosok dahinya. Segan berterus terang.
Jawapan Marissa tidak memuaskan hati Amirah.
Wajah itu diamati lagi. Perlahan-lahan bibirnya mengukir
senyuman lalu diikuti dengan ketawa kecil. Dia sudah
memahami situasi sebenar apabila matanya menangkap
kesan merah di dahi licin Marissa.
“Kau langgar dinding lagi, ya?” Itu bukan pertama
kali kejadian seumpama itu berlaku. Seingatnya sudah
masuk kali yang kedua sepanjang dia tinggal di sini. Mungkin
penyebabnya juga sama. Berjalan dalam keadaan mata
terpejam. Sudah diberi penglihatan yang sempurna, masih
mahu menjadi orang buta di pagi hari.
“Jangan ketawakan aku, okey.” Marissa memberi
amaran. Kerusi meja dapur itu ditarik kasar lalu dihempaskan
punggungnya di situ. Bibirnya melepaskan dengusan kasar.
Pagi-pagi begini ada sahaja perkara yang akan merosakkan
moodnya.
Amaran Marissa nyata tidak memberikan kesan
dalam hati Amirah. Dia terus juga mentertawakan temannya
itu. Wajah cemberut Marissa makin menggelikan hatinya.
“Kalau kau ketawa lagi, aku cepuk kau nanti,” marah
Marissa pula. Panas hati dia melihat wanita yang bertubuh
genit itu mentertawakannya. Amirah orangnya agak pendiam.
Tapi bukanlah wanita yang tidak punya perasaan. Lihatlah
sekarang, seronok sahaja mentertawakan orang.
“Alah, relakslah. Itu pun nak marah. Yang kau pergi
sondol dinding tu buat apa? Bila dah kena, nak marahkan
dinding tu pulak. Macamlah dinding tu nak menangis bila
kau tampar dia macam tu.”
“Bukan marah. Sakit hati saja. Kalau tak kerana mi
goreng kau yang semerbak sampai ke atas tu, tak adanya aku
nak turun. Aku lapar, kau tahu tak? Semalam aku tak berhenti
makan pun. Nak cepat sampai. Mata aku dah nampak katil
dah.”
Amirah menggeleng-gelengkan kepala mendengar
bebelan Marissa itu.
“Kau tu yang terlampau gelojoh. Kalau ya pun lapar,
tak boleh ke kau cuci muka then berus gigi dulu. Ini tak,
dengan rambut berserabai macam tu, turun nak mengintai
mi goreng aku. Tak larilah mi goreng ni. Aku masak banyak
ni. Aku tahu kau ni kuat makan,” bebel Amirah pula.
Marissa hanya tersengih menyedari kesilapan diri.
“Pukul berapa kau sampai semalam?” tanya Amirah
sambil menyenduk mi goreng dari kuali dan dihidangkan ke
dalam mangkuk.
“Pukul 2 pagi. Letih drive pun tak habis lagi ni. Sakit
belakang aku,” adu Marissa sambil menumbuk-numbuk
belakang tubuhnya.
“Kau bertolak pukul berapa?”
“Lepas isyak.”
“Apasal kau tak bertolak siang aje? Bahaya, tahu
tak?”
“Berapa kali aku nak cakap, aku tak suka memandu
waktu siang? Dalam keadaan panas terik macam tu, isyyy...
rimaslah!”
“Yalah, rimas tu rimaslah jugak. Tapi bahayalah
perempuan memandu waktu malam. Dekat luar tu,
macam-macam perkara dah terjadi. Nak keluar rumah pun
takut.”
“Kau tu yang paranoid sangat. Kau tengok aku.
Aku okey, kan? Sihat walafiat lagi. Lagipun kita ni kalau
dah sampai ajal, dalam kelambu pun boleh tau. Dahlah,
kau jangan risaulah tentang aku. Tak ada apa-apalah,” ujar
Marissa cuba meyakinkan temannya itu. Dia tahu Amirah
risau akan dirinya. Tapi baginya pula, tidak ada apa yang perlu
dirisaukan. Dia juga sedar akan bahaya tersebut. Sebab itulah
dia tidak berhenti di mana-mana. Dia memandu empat jam
tanpa henti.
“Emm... apasal mak kau suruh balik?” Amirah
bertanya lagi. Ketika itu dia sudah duduk berhadapan dengan
Marissa di meja dapur itu. Dia juga ingin benar mengetahui
sebab Marissa dipanggil balik oleh emaknya. Marissa sendiri
tidak mengetahuinya sehinggalah dia sampai ke kampung.
Emaknya enggan bercerita di telefon.
“Razif....”
“Kenapa dengan Razif?” Amirah bertanya dengan
riak tidak sabar. Rupa-rupanya kepulangan Marissa ada
kena-mengena dengan tunangnya.
“Dia minta cepatkan tarikh langsung kami berdua.”
“Ya ke? Baguslah kalau macam tu. Wah, si Razif ni
macam tak sabar-sabar aje?” usik Amirah sambil menaikkan
keningnya.
Marissa tersenyum malu. Lengan Amirah dicubit
manja. Segan apabila temannya berkata sedemikian. Terjerit
kecil Amirah diperlakukan sebegitu.
“Bukan macam itulah. Dua bulan lagi dia akan
ditukarkan ke Indonesia untuk kenaikan pangkat. Bila
naik pangkat ni, kau tahu sajalah sibuk dia macam mana,
kan? Jadi dia takut tak dapat nak balik sini selalu untuk
uruskan persiapan majlis kami. Jadi sebab itulah dia minta
dipercepatkan perkahwinan kami,” terang Marissa.
“Ooo...” Amirah menganggukkan kepala tanda
faham. “Bila tarikh langsung korang?”
“Bulan depan.” Perkhabaran Marissa berjaya
membuatkan mata Amirah membulat.
“Bulan depan? Eh, dah tak lama dah tu. Sempat ke?”
“Persiapan yang lain semua dah siap. Mak, ayah
dengan adik-adik aku dah siapkan kat kampung. Cuma tinggal
kad kahwin dengan baju pengantin sebelah lelaki aje belum.
Nanti kau tolong aku, eh? Kau kan dah ada pengalaman
tentang ni.”
“Insya-Allah.” Amirah terdiam sejenak. “Nanti aku
tinggal sorang-soranglah dekat sini.” Dia berkata sayu. Baru
sahaja beberapa bulan mereka menjadi teman serumah. Dan
kurang dari tempoh sebulan mereka akan berpisah. Marissa
sudah tentu akan mengikut suaminya ke Indonesia.
Marissa memandang Amirah yang sedang muram.
Dia juga sedih mahu berpisah dengan temannya itu. Mereka
bagaikan adik-beradik. Tidak pernah dia berkawan dengan
seseorang serapat itu. Lebih menyedihkan, dia terpaksa
berpisah dengan Nasuha. Anak Amirah yang sudah dianggap
seperti anaknya sendiri. Perlahan-lahan jemari Amirah di
atas meja dicapai. Dia menepuk-nepuk belakang tangan itu
lembut.
“Alah janganlah sedih. Nanti kalau Razif dapat cuti,
bolehlah aku balik sini jumpa kau. Lagipun dunia sekarang
ni macam-macam cara boleh digunakan untuk berhubung.
Contoh paling tepat, Facebook. Janji dengan aku yang kau
akan selalu online Facebook.” Marissa berkata tegas. Dia
berharap sangat Amirah akan menunaikan permintaannya
itu. Itu adalah cara yang paling mudah untuk mereka
berhubung.
“Okey.” Amirah menyatakan persetujuannya. “Kau
pun janji, tau?”
“Okey, aku janji. Kau jangan risaulah. Lagipun kau
bukan duduk sini sorang-sorang. Nasuha kan ada temankan
kau?”
Amirah menganggukkan kepala. Itulah peneman
sejatinya. Peneman yang sentiasa menghiburkan hatinya
yang sudah sekian lama dilanda kesuraman.
“Aku lapar...,” rengek Marissa bersama sengihannya.
Lagaknya seperti kanak-kanak yang baru menginjak usia 6
tahun.
“Pergi cuci muka dulu. Baru makan. Tak senonoh
betullah kau ni. Lagipun aku ada benda nak bincang dengan
kau ni. Nak minta pendapat sebenarnya.”
“Nak minta pendapat aku?” tanya Marissa pelik. Saat
itu soal mi goreng lenyap buat sementara waktu. Dia lebih
berminat pada apa yang bakal Amirah katakan nanti.
Amirah mengangguk.
“Tentang apa?” soal Marissa tidak sabar.
“Pergilah bersihkan diri dulu. Gosok gigi. Karang
ada jugak yang tak lalu makan ni.”
AMIRAH TURUN untuk bersarapan sebaik sahaja menyiapkan
puterinya. Mulut wanita itu tidak henti-henti berbual-bual
dengan Nasuha. Sesekali pipi tembam itu dikucup sayang.
Nasuha hanya tertawa girang apabila diusik ibunya. Kelihatan
Marissa sudah berada di dapur. Gadis itu sedang menyediakan
minuman untuk mereka.
“Sorry, lambat turun. Kau dah makan ke?” sapa
Amirah kepada temannya itu.
“Belum. Aku tunggu koranglah,” balas Marissa
sambil meletak dulang yang berisi minuman dan cawan.
“Sorrylah aku mandikan Nasuha terus. Alang-alang
nak tukar lampin, baik mandikan aje.”
“Kedekut!” ejek Marissa.
“Bukan kedekutlah. Tapi berjimat. Lampin bayi
mahal sekarang ni,” dalih Amirah.
“Yalah tu. Banyak aje alasan kau. Kan Suha, kan?
Ibu memang suka bagi alasan, kan? Meh kat Auntie Rissa
meh. Alaa, rindunya auntie dekat dia.” Serentak itu tubuh
kecil Nasuha sudah beralih ke dalam dukungan Marissa pula.
Bertubi-tubi kucupan hinggap di kedua belah pipi anak kecil
itu.
Senang sekali Amirah melihat tawa riang Nasuha.
Tangan kecil itu memeluk leher Marissa erat. Maklumlah,
sudah seminggu dia tidak melihat wajah Auntie Marissanya.
Sudah tentu anak itu kerinduan.
Amirah menyenduk mi goreng ke dalam pinggannya
dan Marissa. Minuman juga dituang lalu diletakkan agak
jauh daripada gadis itu. Bimbang sekiranya anaknya tertepis
cawan itu.
“Apa perkara penting yang kau nak bincangkan
dengan aku, Mira?”
Amirah yang baru sahaja hendak menyuap mi goreng
ke mulut menghentikan pergerakan. Sudu diletakkan semula.
Dia memandang Marissa yang sedari tadi memandangnya.
Menunggu dia memulakan bicara.
“Hakim datang semalam.”
Terangkat kening Marissa mendengarnya. Dia sudah
menjangkakan kedatangan suami Amirah kerana dialah
orang yang bertanggungjawab memberikan segala maklumat
yang diperlukan lelaki itu. Jadi, tidak ada apa-apa yang
mengejutkan buat dirinya. Baginya tiada salahnya jika Hakim
ingin menjenguk isteri dan anak mereka berdua. Hakim
punya hak.
“Hah? Macam mana dia boleh sampai ke sini?”
“Entahlah, aku pun tak tahu. Aku pun tertanya-tanya
jugak ni. Bukan setakat alamat rumah, nombor handphone
aku pun dia tahu.”
“Sebab itulah kau tidur lambat ek?” usik Marissa
sambil menghadiahkan senyuman gatal. Dia perlu
berlagak biasa di hadapan Amirah. Dia tidak mahu Amirah
menyalahkannya. Bukan dia tidak tahu bagaimana Amirah
berusaha melenyapkan diri daripada dijejaki suaminya itu.
“Kotornya fikiran!” tempelak Amirah. Mukanya
terasa panas. Apa sajalah temannya itu fikirkan.
Temannya itu hanya ketawa nakal. Seronok dapat
mengusik Amirah. Baru diusik sedikit, sudah memerah
wajahnya.
“Dia datang nak jenguk Nasuha. Ini kali kedua dia
datang. Kali pertama selepas dua hari kau balik kampung.”
“Nak jenguk ibu Nasuha jugalah tu. Macamlah aku
tak tahu,” usik Marissa lagi. “Dia tidur sini ke semalam? Aku
tak nampak pun kereta dia masa aku sampai malam tadi?”
Sungguh, ketika dia sampai hanya kereta Suzuki Swift milik
Amirah sahaja yang berada di garaj. Kasut lelaki pun tidak
kelihatan. Kalau ada, sudah tentu dia menyedarinya.
“Isy, merepeklah kau ni. Dalam pukul 12.30 pagi dia
balik semalam. Main dengan Suha. Kau tahu sajalah Suha,
kalau masuk tidur lambat sangat, dia dah tak boleh tidur.
Sampai pukul berapa entah aku dodoikan dia semalam. Aku
pun tak tahu. Sedar-sedar dah pukul 7.”
“La... lewat sangat dah dia balik. Kenapa kau tak
suruh dia bermalam dekat sini saja? Hari ni bukan kerja pun.”
“Isy, tak kuasalah aku nak suruh dia bermalam dekat
sini. Dia ada isteri. Takkan nak tinggalkan isteri dia pulak?”
“Kau pun isteri dia jugak. Suha ni anak dia. Dah
sampai masanya dia lunaskan malam-malam giliran kau yang
dia sengaja lupakan dulu. Kalau dalam keadaan macam ni
pun dia masih pentingkan second wife dia tu, aku tak tahulah.
Tak payah jadi suamilah kalau macam tu.”
Tanpa sedar, mulutnya sedap mengata suami
temannya itu. Hatinya diamuk geram. Memang dia berniat
ingin menolong lelaki itu, namun ketika itu dia menganggap
Hakim akan berubah dan memujuk isteri pertamanya pulang.
Tapi kalau pertolongannya tidak dihargai, rasanya mahu
sahaja dia menanam lelaki itu hidup-hidup.
“Dia memang nak bermalam dekat sini. Aku saja
yang tak kasi,” celah Amirah.
“Aik, membela nampak! Tapi tak apa. Satu perubahan
yang baik.”
“Bukan membelalah. Cuma beritahu perkara yang
betul aje.”
“Okey... okey... sekarang ni perkara apa yang kau
nak minta pendapat aku tu? Kalau soal Hakim nak bermalam
dekat sini, aku tak kisah. Janji dia faham batas-batas kat
rumah ni. Remember aku pun tinggal kat sini. Tak kahwin
lagi pula tu. Kau pun tahu kan....”
“Wait!!!” Amirah mencelah percakapan temannya
yang seakan tidak mahu berhenti. “Apa yang kau merepek ni?
Bila masa pula dia nak bermalam dekat sini? Yang aku nak
berbincang dengan kau, tentang Suha ni.”
Marissa mengetap bibirnya. Nampaknya dia tersalah
anggap pula.
“Kenapa dengan Suha? Dia nak tuntut hak penjagaan
ke?”
“Bukanlah. Nak tuntut hak penjagaan apanya? Kami
belum bercerai lagilah,” tempelak Amirah lagi. Geram dengan
sikap Marissa yang suka membuat telahan melulu. “Dia nak
melawat Suha setiap minggu. Kau rasa patut ke aku izinkan?”
“Hehehe... sorry... sorry.... Memang patutlah kalau
dia nak melawat Suha setiap minggu. Bukan setakat patut
lagi, memang kena pun. Macam kau cakap tadi, korang berdua
belum bercerai lagi. Memang itulah sepatutnya dia lakukan.
Bukannya berat sebelah. Itulah... orang nak beristeri, dia pun
nak beristeri. Tapi tak pandai nak jaga!” Sekali lagi marahnya
dihamburkan. Sesekali dijelingnya wajah Amirah. Mahu
melihat sejauh mana terusiknya hati wanita itu apabila suami
sendiri dikutuk. Namun dia hanya mampu mengeluh hampa
apabila tiada langsung riak yang dipamerkan Amirah untuk
tatapannya. Wanita itu berwajah tenang saja.
“Tapi aku takutlah Rissa,” luah Amirah.
“Apa yang kau nak takutkan? Kau takut dia berjaya
tawan hati kau balik? Buat kau lemah semula?”
Perlahan-lahan Amirah menganggukkan kepala.
Memang itu yang ditakutkannya. Luka yang ditinggalkan
terlalu dalam. Dia tidak mahu dengan mudah memaafkan
lelaki itu. Hatinya belum puas menyakiti. Ah, ternyata
peredaran masa telah membuatkan Amirah menjadi seorang
pendendam.
“Kau perlu kuatkan semangat Mira. Ini semua
untuk kebaikan anak kau juga. Yang ada masalah, korang
berdua. Bukan anak korang. Kasihankanlah dia. Biarlah dia
membesar dengan kasih sayang kedua orang tuanya.”
PETANG ITU Marissa mengajak Amirah menemaninya ke
butik pengantin untuk memilih persalinan pengantin bagi
majlis di sebelah bakal suaminya. Kerana sudah berjanji,
Amirah menuruti. Lagipun kasihan pula kepada temannya
itu. Majlis Marissa dan Razif tinggal sebulan sahaja lagi. Dia
bimbang mereka tidak sempat hendak membuat tempahan.
Razif telah memilih Butik Rins Suzana di Taman
Permata, Kuala Lumpur sebagai wedding planner kepada
majlis di sebelahnya. Semua persiapan telah diserahkan
kepada butik tersebut kecuali baju pengantin sahaja yang
belum dicuba.
“Mira, yang ni okey tak?”
Amirah berpaling ke arah kedua pasangan yang
sedang berdiri di hadapannya ketika ini. Kedua-duanya
tampak cantik dalam persalinan tersebut. Sedari tadi dia
hanya menumpukan perhatian kepada anaknya yang asyik
merengek-rengek. Mungkin anak itu bosan berada di situ.
“Okey jugak. Sesuai dengan kulit kau yang cerah
tu,” komen Amirah.
“Sesuai dengan kulit Rissa. But I don’t think it suits
me, Mira. Kulit I hitam manis.” Ini merupakan busana kedua
yang dicuba bakal pasangan pengantin itu. Tema majlis di
sebelah lelaki ialah merah. Jadi mahu tidak mahu, mereka
terpaksa mencari busana berwarna merah. Bagi pihak Marissa,
ia tidak mendatangkan masalah. Tetapi keengganan Razif
membuatkan mereka sedikit bermasalah dalam menentukan
busana yang sesuai. Katanya warna merah itu terlalu terang.
“Alah, bolehlah bang. Rissa berkenan sangat dengan
baju ni. Cantik. Please....” Marissa memujuk, membuatkan
Razif serba salah. Dia menggaru-garu kepalanya.
“Betul tu Zif. Persalinan ni cantik. Sesuai untuk
both of you. Pakaian lelaki tak melampau sangat merahnya
I tengok. Ada warna putih jugak. Actually it suits you. And
I am sure you two will be the most glamourous bride and
groom on that day. Trust me.” Amirah meyakinkan Razif.
Kasihan pula dia melihat Marissa yang begitu mengangankan
busana berwarna merah putih sebagai persalinan mereka.
“Betul tu bang. Bolehlah ya, kita ambil yang
ini? Cantik sangat,” pujuk Marissa lagi. Matanya sengaja
dikerdip-kerdipkan untuk mengundang persetujuan
tunangnya itu.
“Betul baju ni sesuai dengan I? Tak terang sangat
ke? Tak hilangkan kehenseman I ke?” Razif bertanya kepada
Amirah lagi. Terselit juga gurauan di situ. Dengan sepantas
kilat Amirah dan Marissa menganggukkan kepala.
“You nampak lebih handsome dengan baju tu,” puji
Amirah. Sememangnya tunangan Marissa itu kacak. Pakailah
apa pun, tetap nampak kacak bergaya. Malah Amirah akui
yang Razif lebih kacak daripada Hakim, suaminya. Cuma
Hakim kelihatan lebih manis. Terutamanya ketika lelaki
itu tersenyum. Eh, kenapa pula fikirannya melencong
mengingati Hakim? Kacau!
“Okay. We’ll take this.” Tiba-tiba Razif menyatakan
persetujuan sambil tersenyum.
“Amboi, kata handsome terus setuju. Kalau aku
tahu, dari tadi lagi aku puji dia handsome, Mira. Thanks ya.”
Amirah tergelak kecil. Pasangan ini benar-benar
melucukan.
“Bu... bu...,” rengek Nasuha. Dia berusaha
melepaskan diri daripada pangkuan ibunya.
Amirah mengeratkan pelukan. Dia tahu anaknya
itu ingin berjalan-jalan. Tapi melihatkan tempat yang agak
sempit dan penuh dengan barang, dia jadi bimbang. Khuatir
jika anaknya itu merosakkan barang-barang yang ada di situ.
Tadi pun hampir sahaja vas bunga dihempasnya. Untung dia
cepat menangkap vas tersebut. Kalau tidak, tak pasal-pasal
kena bayar.
“Tak boleh sayang. Ni, tengok ibu ada ni. Let's play
ya, sayang.” Amirah memujuk anaknya. Untung juga pemilik
butik ini punya anak kecil. Segala mainan yang ditinggalkan
anaknya boleh juga dimanfaatkan untuk memujuk Nasuha.
“Nanak....” Nasuha menggelengkan kepala. Diikuti
dengan tolakan lembut di dada ibunya. Menandakan dia tidak
termakan langsung dengan pujukan ibunya itu. Dia tetap
mahu berjalan-jalan.
“Sayang janganlah macam ni. Tadi Suha dah hampir
nak pecahkan vas bunga tu. Nanti auntie butik ni marah.
Suha nak auntie marah Suha?”
“Kenapa tu?” tanya Razif yang telah kembali dari
bilik persalinan.
“Dia nak berjalan-jalan,” beritahu Amirah.
“So, lepaskanlah dia.”
“I risaulah. Dekat sini banyak sangat barangan kaca.
Tadi pun nasib baik I sempat sambar vas bunga kat tangan
dia. Kalau tidak, melayang duit I macam tu aje.”
Razif turut meliarkan pandangannya ke sekeliling.
Benar juga apa yang dikatakan Amirah itu. Kasihan juga
dia melihat Amirah yang terkial-kial memujuk anaknya.
Sepatutnya di saat seperti ini suami ada di sisi sama-sama
melayan kerenah anak. Tapi Amirah sendirian. Kadang-kadang
dia terfikir betapa ceteknya akal suami Amirah kerana
sanggup berpaling kasih daripada isteri secantik wanita di
sebelahnya ini.
“Biar I yang cuba pujuk dia,” cadang Razif sambil
menyuakan tangan kepada Nasuha.
“Suha nak jalan-jalan ya? Mari uncle bawa
Suha jalan-jalan,” pujuk Razif. Cepat sahaja anaknya itu
menghulurkan tangan. Nasuha memang mudah mesra
dengan sesiapa sahaja.
Razif terus membawa anak itu keluar dari butik.
Senang Amirah melihat cara tunangan Marissa melayan
anaknya itu. Ada tokoh menjadi bapa mithali. Beruntung
benar temannya.
“Eh, Razif dengan Nasuha mana?” Marissa sudah
pun duduk di sebelahnya. Matanya meliar mencari.
“Razif bawa Suha jalan-jalan kat keluar. Suha tu
bosanlah tu. Asyik merengek saja dari tadi,” beritahu Amirah.
“Patutlah tunang kau tu tak sabar nak kahwin. Aku tengok
cara dia layan Suha dah macam expert aje. Beruntung kau
Rissa.”
Marissa tersenyum senang mendengar pujian
temannya. “Sebab tu aku pilih dia,” katanya pendek.
“Aku doakan kebahagiaan kau. Jangan jadi macam
aku. Sakit Rissa bila perlu berbahagi kasih,” nasihat Amirah.
Dia meletakkan tangannya di atas tangan Marissa.
Marissa berpaling merenung temannya. Pilu hatinya.
Dia sedar akan penderitaan yang dilalui Amirah. Kenapalah
Hakim tega menyakiti isterinya sebegitu sekali? Tidakkah
Hakim punya belas pada mereka berdua? Namun, dia amat
berharap temannya itu akan kembali berbahagia seperti
dahulu. Hakim sudah mula mengingati isterinya ini. Sudah
pandai menagih kemaafan dan kasih sayang yang diabaikan
suatu masa dahulu.
Mungkin lelaki itu sudah sedar akan kesilapannya.
Cuma dia harus mengakui jalan Hakim tidak begitu mudah
kali ini. Temannya ini telah lama bersedia dengan tembok
pertahanan yang dia kira agak tebal. Entah bilalah mereka
akan bersama semula? Tapi yang pasti, selepas tiada apa-apa
ikatan antara Hakim dengan Sofiana! Dia juga fikir tiada
guna Amirah bertolak ansur dengan perempuan yang tidak
langsung berusaha menghormati hak orang lain. Hanya akan
menambahkan deritanya sahaja.
“Thanks Mira. Kaulah sahabat aku dunia akhirat.
Aku pun akan selalu doakan kebahagiaan kau. Kau sabar,
ya. Aku yakin suatu hari nanti kebahagiaan kau akan datang.
Kalau bukan dengan Hakim pun, tentu akan ada lelaki yang
baik sedang menanti kau di luar sana.”
Amirah hanya tersenyum hambar. Adakah lagi
kebahagiaan untuk dirinya? Berpeluangkah dia merasai
nikmat kasih sayang daripada seorang suami lagi? Dia sendiri
tidak pasti. Yang dia pasti, kebahagiaan Nasuha adalah
kebahagiaannya. Jika Nasuha gembira, dia akan tumpang
gembira. Untuk anaknya, dia rela lakukan apa sahaja.
“Rissa, boleh kita berbincang sekejap?” Kak Balqis
serta pembantunya tiba-tiba datang menyertai mereka di
ruangan santai itu. Perkara yang ingin dibincangkan sudah
tentu berkenaan majlis perkahwinan Marissa dan Razif.
“Yeah, sure.” Balas Marissa.
Amirah turut memberikan perhatian kepada
perbincangan itu. Sesekali dia turut memberikan pendapat
pada perkara yang dirasakan perlu. Telefon bimbit yang
tiba-tiba berdering sedikit mengganggu perbincangan
mereka. Amirah menyelongkar tas tangan untuk mencari
telefon bimbitnya. Nama yang terpapar di skrin membuatkan
dia bergerak menjauhi temannya itu. Dia mengeluh perlahan.
Untuk apa panggilan itu?
“Helo.” Dengan berat hati dia menjawab.
“Assalamualaikum sayang,” sapa Hakim.
“Waalaikumussalam,” balas Amirah malas. “Ada
apa call saya ni?” Suaranya mendatar tanpa menunjukkan
sebarang perasaan.
“Abang ada kat depan rumah Mira ni. Macam tak ada
orang aje. Tapi kereta Mira ada. Mira dekat mana sekarang?”
Amirah mengerutkan dahi. Pelik! Kenapa Hakim
berada di depan rumahnya? Petang-petang begini? Bukankah
lelaki itu sudah melawat dirinya dan Nasuha semalam?
“Buat apa datang rumah Mira? Kan dah datang
semalam?”
“Abang rindukan Mira dan anak kita. Tak puas main
dengan Suha semalam. Sebab tu abang datang lagi.”
Amirah melepaskan keluhan berat. Lagi-lagi itulah
alasannya. Rindu... boleh percayakah?
“Tapi kan abang kata abang nak melawat Suha
seminggu sekali aje?”
“Bila masa pula abang kata nak melawat Suha
seminggu sekali? Abang cuma kata nak melawat Suha setiap
hujung minggu. Tak kisahlah berapa kali pun.”
Amirah mengetap bibir. Ada saja alasannya!
“Mira tak ada dekat rumah.”
“Mira dekat mana sayang? Abang pergi dekat sana
ya?”
“Tak payah. Abang baliklah. Mira mungkin lambat.
Mira ada kerja dekat luar.”
“Anak kita Mira bawa sama ke?”
“Emm....” Amirah sudah malas menjawab.
“Kalau macam tu, abang ke sanalah. Mira kan ada
kerja, biar abang saja yang jagakan Suha. Nanti dia ganggu
Mira.” Hakim memberikan cadangan.
“Kan Mira cakap tak payah. Mira boleh uruskan
Suha sendiri. Selama ni pun Mira yang besarkan dia sendiri,”
tempelak Amirah.
Kedengaran keluhan berat dilepaskan Hakim.
“Sayang janganlah macam ni. Abang tahu Mira boleh
besarkan Suha sendiri. Tapi, abang abahnya, kan? Abang pun
berhak ke atas Suha.”
“Mira, I rasa Suha nak susu kut. Dari tadi asyik sebut
syu syu aje!”
Razif tiba-tiba datang menyapa. Nasuha sudah
menangis di dalam dukungannya. Pantas tubuh kecil
itu disambut Amirah. Dipujuk anak itu supaya berhenti
menangis.
“Syu... syu...,” pinta Suha lagi.
“Anak ibu nak syusyu ya? Zif, tolong ambil kan botol
susu dalam beg tu kejap.”
Razif pantas menuruti permintaan Amirah. Sebaik
sahaja mendapatkan susu, anak itu terus menyusu dengan
rakusnya. Tangisannya berhenti begitu sahaja.
“Dah lapar sangat agaknya Suha ni.” Razif mencubit
geram pipi tembam Nasuha.
“Thanks Zif,” ucap Amirah. Berterima kasih kepada
lelaki itu kerana sudi melayan kerenah anaknya.
“Alah, tak ada hallah.” Kemudian dia menyertai
Marissa di ruangan santai.
Amirah mencari kerusi lalu melabuhkan
punggungnya di situ. Tubuh Nasuha disandarkan ke
tubuhnya. Memberikan keselesaan buat anaknya menyusu.
Punggung anaknya ditepuk perlahan.
Telefon bimbit yang tiba-tiba berbunyi nyaring
mengingatkan Amirah pada perbualan antara dirinya dengan
Hakim yang tergendala sebentar tadi. Mungkin Hakim telah
menamatkan panggilan dan menelefon semula.
“Helo.”
“Mira dekat mana ni?” Kedengaran suara Hakim
sedikit tegas. Tiada lagi ucapan lembutnya.
“Mira dekat luar.”
“Dekat luar tu dekat mana?”
“Buat apa abang nak tahu?”
“Abang tanya, Mira dekat mana sekarang ni?” Hakim
mengulangi pertanyaan sambil menahan geram.
“Dekat Butik Rins Suzana, Taman Permata.”
“Dengan siapa?” tanya Hakim lagi. Masih dalam nada
tegas.
“Dengan Suhalah!”
“Mira jangan nak tipu abang. Abang dengar suara
lelaki tadi. Siapa?”
“Abang ni kenapa? Nak soal Mira macam polis pencen
ni kenapa? Suka hatilah Mira nak keluar dengan siapa pun!”
“Mira jangan lupa, Mira tu masih isteri abang yang
sah!” tekan Hakim. Lelaki itu nampaknya sudah dilanda
perasaan cemburu.
“Mira tak pernah lupa bang. Abang tu yang lupa.”
Balas Amirah juga dalam nada tegas.
“Apa maksud Mira?”
“Yalah... kalau abang ingat abang tu masih suami
Mira, abang takkan kahwin dengan Sofiana.”
Hakim terdiam seketika.
“Abang... abang....” Lelaki itu sudah kehilangan
kata-kata, membuatkan Amirah tersenyum mengejek.
Senang hatinya dapat mematahkan kata-kata Hakim.
“Sudahlah, asssalamualaikum.” Talian dimatikan.
Telefon bimbitnya turut dimatikan juga.

Kau Yang Kunanti - Bab 8

AMIRAH ingin berlalu ke dapur sebaik sahaja
menyerahkan Nasuha kepada Hakim. Suaminya itu
kelihatan tidak sabar benar hendak mengambil Nasuha dari
dukungannya. Belum pun punggung mencecah sofa, tangan
dihulurkan kepada Nasuha. Sudah tentu anak yang kelihatan
girang dengan kehadiran abahnya itu terus menyuakan
tangan minta didukung.
Entah mengapa, melihatkan perilaku Hakim kepada
anak mereka membuatkan jiwanya resah. Prasangka-prasangka
tidak elok mula menerjah minda. Bagaimana jika apa yang
difikirkannya sebelum ini benar? Oh Tuhan, janganlah itu
terjadi. Tidak sanggup dia berjauhan dengan satu-satunya
puteri kesayangannya itu. Dalam hati, dia berdoa semoga apa
yang difikirkan tidak terjadi dan kedatangan Hakim bukan
untuk merampas Nasuha daripadanya.
“Tak nak salam abang ke? Selalunya Mira tak pernah
lupa nak salam abang.” Teguran Hakim menghentikan langkah
kaki Amirah yang baru setapak dua maju meninggalkan ruang
tamu. Perlahan-lahan dia berpaling memandang Hakim yang
sedang tersenyum manis.
Untuk sesaat dua, Amirah hanya terpaku di tempat
dia berdiri. Hanya mampu untuk terus memandang ke arah
wajah yang sudah hampir dua minggu tidak ditatapi. Sudah
lama benar dia tidak melihat senyuman itu. Terlalu lama.
Semenjak suaminya itu berkahwin lagi, dia sudah tidak
mampu untuk terus menatapi wajah itu. Hatinya terluka!
Di depan Hakim dia berpura-pura ceria, sedangkan
hatinya menangis. Namun, saat Hakim menghulurkan
tangan, dia terpaksa menyambut jua. Jemari kasar suaminya
itu dikucup lembut. Memang itu yang sepatutnya dilakukan
oleh seorang isteri. Sepanjang mereka menjadi suami isteri,
dia tidak pernah lupa untuk menyalami suaminya setiap kali
bertemu dan berpisah.
Amirah berkira-kira ingin cepat berlalu selepas
menyalami suaminya itu. Tetapi sebaik sahaja mengangkat
kepala, dia sedikit tergamam apabila Hakim memegang
belakang kepalanya lalu di tarik rapat ke bibir. Dahi Amirah
dicium mesra.
“Emm... wanginya isteri abang. Sayang masih pakai
perfume yang abang hadiahkan tu?”
Amirah yang masih kaget pantas menggelengkan
kepala. Tanda menafikan telahan suaminya itu.
“Tapi baunya sama. Abang masih ingat lagi
harumannya,” ujar Hakim. Sesungguhnya dia yakin
haruman yang melekat di tubuh Amirah itu haruman yang
dia hadiahkan pada hari ulang tahun kelahiran isterinya itu.
“Memang haruman yang sama. Tapi yang abang
hadiahkan dah habis. Mira beli yang baru,” jelas Amirah.
Sengaja tidak mahu Hakim berfikir yang dia masih
menyayangi pemberian suaminya itu.
Hakim tersenyum mendengarnya. Terlupa sudah,
hampir empat tahun usia perkahwinan mereka. Tentulah
sudah habis.
“Tapi tetap haruman yang sama, kan? Tu tandanya
Mira masih menghargai pemberian abang.”
Isterinya itu hanya mendiamkan diri. Tidak mahu
mengulas apa-apa. Malah tiada reaksi yang dapat dibaca
di wajah itu. Dia sedar Amirah masih marahkan dirinya
kerana memaksanya sebentar tadi. Tapi itu semua tidak
melemahkannya untuk terus memujuk isterinya itu.
“Abang duduklah dulu. Mira nak buat air.”
Pelawaan Amirah disambut Hakim dengan
senyuman. Dia hanya memerhati langkah isterinya ke dapur.
Hatinya sedikit terusik dengan pakaian yang melekat di tubuh
isterinya itu. Amirah hanya mengenakan gaun malam paras
tumit yang dia kira agak nipis dan seksi. Cuma bahagian
atas telah ditutupi oleh kardigan berwarna putih. Mungkin
dikenakan sebelum keluar untuk membukakan pintu tadi.
Amirah ternyata telah melakukan perubahan yang
dia kira agak drastik. Sepanjang dua tahun berkahwin, belum
pernah dia melihat isterinya itu mengenakan gaun malam
sebegitu. Isterinya itu lebih gemar mengenakan pijama apabila
malam menjelma. Pernah dia berniat mahu membelikan
gaun malam untuk Amirah, tapi ditolak mentah-mentah oleh
isterinya itu. Alasan yang diberikan, segan.
Hakim menarik nafas dalam. Rasa yang sebentar
tadi menyelubungi hati cuba diusir jauh-jauh. Tujuan utama
dia ke sini adalah untuk memujuk isterinya itu pulang ke
rumah. Bukan memikirkan perkara-perkara lain yang boleh
merosakkan rancangannya itu.
“Hai, anak abah. Sayang sihat? Kenapa tak tidur lagi
ni? Tengok, dah pukul berapa tu?” Hakim mula berbicara
dengan Nasuha. Perhatiannya perlu dialihkan. Anaknya itu
kelihatan riang benar ditegur begitu. Segala mainannya
diberikan kepada Hakim satu per satu. Tanda mahu mengajak
abahnya itu bermain bersama.
Hakim yang ternyata memahami kehendak anaknya
itu segera mengangkat Nasuha dan diletakkan di ribaannya.
Pipi anak kecil itu dikucup bertalu-talu sebelum menemani
Nasuha bermain. Suaranya dan suara Nasuha berselang-seli
meriuhkan ruang tamu itu. Nasuha ternyata gembira dengan
kehadiran Hakim. Dia kelihatan ceria benar. Semua itu
mengingatkan Hakim pada keadaan Amirah dan Nasuha
ketika bersendirian tanpanya di sisi. Bagaimana agaknya
isterinya menguruskan Nasuha seorang diri?
Tiba-tiba Hakim terasa sayu. Semua ini salahnya.
Kalaulah dia tidak berbuat onar, tentu Nasuha tidak akan
kehilangan kasih sayang seorang ayah berbulan-bulan
lamanya. Namun melihatkan kehidupan yang dijalani Amirah
dan Nasuha sekarang, dia yakin isterinya itu telah melakukan
pengorbanan yang besar untuk menyara kehidupan mereka
berdua.
Amirah telah bekerja. Sesuatu yang telah lama
dia tinggalkan semenjak bergelar isteri. Bukan dia tidak
membenarkan, tetapi Amirah yang merelakan diri untuk
menjadi suri rumah demi menguruskan rumah tangga
mereka dulu. Dia juga berharap wang yang didepositkan
setiap bulan ke akaun Amirah mencukupi untuk perbelanjaan
mereka berdua. Amirah sudah menjauh dari sisinya. Itulah
saja yang mampu dia lakukan untuk terus melunaskan
tanggungjawabnya sebagai suami.
Sementara itu di dapur, Amirah memasang telinga
sambil duduk menunggu air mendidih. Bergenang air
matanya saat mendengar keriuhan suara Hakim dan Nasuha
bermain bersama. Hakim masih sama perwatakannya.
Seorang ayah yang sangat penyayang. Perhatian buat anak
mereka tidak pernah kurang. Walaupun penat bekerja, dia
tidak akan lupa untuk melayan anaknya itu bermain. Selepas
berkahwin dengan Sofiana, dia tetap akan pulang ke rumah
barang seketika untuk menjenguk mereka sebelum kembali
ke rumah Sofiana.
Bagi pihak anak sekecil itu, perhatian yang
ditunjukkan oleh abahnya sudah cukup. Kanak-kanak tidak
banyak pintanya. Tapi bagi dirinya? Seorang isteri sepertinya?
Apakah itu memadai? Tentu sahaja tidak. Hakim tidak adil
berbahagi kasih dan perhatian buat dirinya. Dan semua itu
tidak mungkin diterima oleh mana-mana isteri pun. Dia
yakin itu.
Amirah pantas bangun menyediakan minuman
sebaik sahaja air mendidih. Kalau diikutkan hatinya, malas
benar dia hendak bermurah hati begini. Tapi dia lagi malas
hendak menatap wajah Hakim pada saat hati yang panas
begini. Jadi ini mungkin saja caranya untuk dia melarikan
diri sementara menenangkan hatinya yang sedang marah.
Minuman yang telah siap dibawa ke depan lalu
diletakkan di atas meja kopi. Agak canggung langkah yang
diatur apabila mata Hakim tidak lepas daripada memandang
wajahnya.
“Jemput minum, bang,” pelawa Amirah. Cawan
berisi minuman ditolak menghampiri Hakim.
Hakim tersenyum menyambut huluran isterinya
itu. Dalam hati berlagu riang. Walaupun Amirah marahkan
dirinya, tetapi wanita itu masih mahu menyediakan minuman
untuknya. Dalam degil terserlah kelembutan isterinya itu.
“Thanks, sayang.”
Tiada balasan dari bibir Amirah. Telinganya seakan
mual dengan panggilan ‘sayang’ itu. Kalau dahulu dia cukup
gemar dipanggil begitu, tapi tidak kini.
Amirah hanya memerhati Hakim menghabiskan
minuman yang dihidangkan. Mungkin suaminya itu haus
benar. Sekali teguk sahaja, habis secawan teh dikerjakan.
“Teh yang sayang buat ni masih sedap macam dulu.
Dah lama abang tak rasa,” puji Hakim.
Namun pujian itu hanya mengundang cebikan kecil
di bibir Amirah. Ternyata dia tidak senang dengan pujian
itu. Baginya pujian itu hanya datang daripada lelaki yang
bermulut manis.
“Suha, mari dekat ibu sayang. Dah pukul berapa ni.
Suha kena tidur.” Amirah memanggil anaknya yang masih
dalam ribaan abahnya. Anak itu sudah kelihatan mengantuk
benar. Matanya sudah memerah. Namun mungkin dek kerana
rindukan Hakim, rasa mengantuk itu dilawan.
“Sayang, abang baru saja datang. Rindu dengan
Suha pun tak habis lagi ni. Berilah peluang abang nak main
dengan dia sekejap. Kejap lagi abang tidurkan Suha, ya?”
pinta Hakim. Baru setengah jam dia bersama dengan anaknya
itu. Dia belum puas bermain dengan Nasuha. Kerinduan yang
ditahan begitu lama tidak akan mampu terbalas hanya dalam
masa tiga puluh minit.
“Dah lewat. Suha perlu tidur,” balas Amirah.
“Abang tahu. Tapi tak apalah kalau malam ni dia
tidur lewat sikit. Abang tengok Suha pun macam nak main
lagi. Kesian dia,” ujar Hakim pula.
“Suha tak boleh tidur lambat. Kalau lambat sangat,
takut dia tak boleh tidur pulak. Dia memang selalu macam
tu.”
“Ya sayang, abang tahu. Abang kan abahnya. Mestilah
abang dah masak benar dengan perangai anak kita sorang ni.
Tak apa... kalau dia tak boleh tidur malam, biar abang sajalah
yang dodoikan dia sampai dia tidur. Mira tidurlah dulu.
Tinggalkan Suha dengan abang, ya?”
Amirah mengerutkan dahi. Kata-kata Hakim jika
diteliti seakan punya maksud tersirat.
“Kenapa pula abang nak tolong tidurkan Suha? Are
you planning to spend the night here?”
Hakim tersenyum mendengar pertanyaan Amirah.
Baguslah kalau isterinya faham maksud kedatangannya itu.
“Tak salah kalau abang bermalam dekat sini, kan?”
“Salah!” Kata-kata tegas Amirah membuatkan
Hakim terkejut. Isterinya itu kelihatan marah. Sedangkan
tadi Amirah kelihatan sudah boleh berbicara dengannya
dengan nada lembut. Apabila soal bermalam disebut, terus
isterinya itu berubah rentak. Dia fikir, tidak salah kalau dia
bermalam di situ. Mereka masih suami isteri. Agama pun
tidak melarang.
“Kenapa salah pula? Abang masih suami Mira. Tak
salah, kan?”
“Pada Mira salah!” Kata Amirah tanpa memandang
wajah suaminya.
“Tapi kenapa? Dah lama kita tak bermalam bersama,
kan?”
Kali ini Amirah membuang pandang ke wajah Hakim
dengan pandangan penuh kebencian.
“Salah siapa tu?”
“Mira... jangan macam ni sayang. Okey, abang
mengaku memang abang salah. Tapi sayang boleh bagi
peluang dekat abang sekali lagi, kan?”
“Peluang untuk apa? Peluang untuk abang sakitkan
hati Mira lagi? Dahlah bang, Mira bukan bodoh. Kalau dulu
bolehlah.”
Hakim melepaskan keluhan kecewa.
“Kenapa Mira berubah sampai macam ni sekali?
Mira tak pernah macam ni dulu. Mira yang ada depan abang
sekarang ni dah jauh sangat berubah. Kadang-kadang abang
rasa Mira bukan isteri abang.”
Amirah tersenyum cuma.
“Baguslah kalau macam tu. Baguslah kalau abang
rasa Mira ni bukan isteri abang yang dulu. So, lepas ni tak
payahlah abang susah-susah nak datang sini melawat Mira.
Mira baik-baik saja kat sini.”
Amirah bangun lalu mengambil Nasuha di dalam
dakapan Hakim. Anak itu kelihatan seperti tidak mahu
melepaskan pelukan abahnya. Tetapi Nasuha tidak membuat
kerenah. Anaknya itu ternyata anak yang baik. Tidak pernah
menyusahkan dirinya.
“Mira betul-betul dah berubah.” Kata Hakim lagi.
Sengaja memancing perhatian Amirah yang sedang berjalan
menghampiri tangga. Seperti yang diinginkan, kata-katanya
berjaya menghentikan langkah isterinya itu. Amirah
berpaling menghadapi Hakim.
“Ya, memang Mira dah berubah! Amirah yang
ada depan mata abang sekarang ni bukan Amirah yang
dulu. Yang boleh abang belakangkan, yang boleh abang
perkotak-katikkan, yang boleh abang perbodohkan, yang
boleh abang ambil kesempatan! Itu bukan diri Mira lagi.
Amirah yang ini adalah Amirah yang sudah tinggalkan
sifat-sifat bodoh tu! So, kalau abang ingat abang boleh
pergunakan Mira lagi, abang silap! I’m not that stupid!” ujar
Amirah dengan nada marah yang ditahan-tahan. Bimbang
sekiranya anaknya menangis pula jika dia meninggikan suara.
Lagipun adalah tidak wajar anak sekecil itu telah dihidangkan
dengan pertengkaran mereka berdua.
Hakim mengeluh lagi. Ya, memang benar seperti
yang dikatakan Amirah. Wanita yang berada di hadapannya
ini memang sudah berubah. Amirah sudah pandai berbalas
kata dengannya. Juga sudah pandai meninggikan suara
apabila bercakap dengannya. Malah seulas bibir yang cantik
itu sudah malas mengukirkan senyuman buat dirinya. Semua
itu berpunca daripada kesilapan yang telah dia lakukan.
Perlahan-lahan dia bangun menghampiri Amirah. Wajah
isteri yang dicintainya itu direnung lembut.
“Sayang, abang menyesal. Disebabkan abang, Mira
berubah sampai macam ni sekali. Abang tahu, sukar untuk
Mira lupakan semua tu. Apatah lagi memaafkan abang.”
Hakim berjeda seketika. “Abang tak akan memaksa Mira lagi
untuk pulang ke rumah. Ambillah seberapa banyak masa
yang Mira nak. Abang sanggup tunggu. Tapi... cuma satu
yang abang minta, tolonglah jangan halang abang untuk
terus menjalankan tanggungjawab abang sebagai seorang
suami dan ayah.”
Amirah membalas pandangan mengharap Hakim.
“Apa maksud abang?”
“Mira dan Suha masih di bawah tanggungjawab
abang. Sudah berbulan-bulan lamanya abang tak berpeluang
nak menjalankan tanggungjawab abang pada Mira dan Suha.
Cuma wang saja yang mampu abang kirimkan setiap bulan.
Tapi abang tahu, semua tu tak cukup tanpa kasih sayang.
Abang faham kalau Mira tak boleh terima abang lagi. Cuma
tolonglah... jangan pisahkan abang dengan Nasuha. Dia anak
abang jugak. Dia perlukan perhatian abahnya.”
“Jadi, apa yang abang nak?”
“Izinkan abang melawat Suha di sini setiap hujung
minggu? Abang sayangkan dia. Abang tak nak dia lupakan
abahnya gara-gara masalah kita ni. Walau apa pun yang
terjadi, pertalian antara abang dan Suha takkan terputus,”
ujar Hakim sambil memandang Nasuha yang berada di dalam
dukungan Amirah. Anaknya itu kelihatan sudah terlentok
di bahu ibunya. Cuma matanya saja masih belum pejam.
Mungkin sekejap lagi dia akan terlena.
Untuk beberapa ketika, Amirah hanya mendiamkan
diri. Cuba memikirkan rasionalnya dia menyetujui
permintaan Hakim itu. Kalau diikutkan, dia memang tidak
punya hak untuk menghalang. Hakim berhak. Cuma hatinya
saja yang enggan. Dia tidak mahu anaknya itu rapat dengan
Hakim. Dia bimbang jika Hakim berjaya memujuk Nasuha
untuk tinggal dengannya, bagaimana dengan dirinya nanti?
‘Ah, Mira! Kau terlalu berprasangka. Kau ibunya.
Sudah tentu kasih seorang ibu tidak akan mampu terbalas
dengan kasih seorang ayah. Nasuha tidak mungkin akan pilih
dia. Tidak ada sebab untuk dia pilih abahnya.’
“Sayang... boleh, kan?”
Hakim sudah tidak sabar menunggu. Dia berharap
benar Amirah dapat bertolak ansur dalam hal ini.
“Nantilah, Mira fikirkan dulu.”
PEN DI tangan dipusing-pusingkan sesuka hati. Tubuhnya
pula enak disandarkan ke kerusi. Sudah hampir 2 jam waktu
bekerja bermula. Tapi satu kerja pun tidak mampu dia
lakukan. Sedari semalam dia memikirkan permintaan Hakim
itu. Wajarkah dia memberikan kebenaran?
Kata-kata Hakim ada benarnya juga. Anak itu
memerlukan kasih sayang daripada ibu dan abahnya. Jika
terbayangkan wajah riang Nasuha ditemani Hakim semalam,
dia tidak sampai hati. Tapi jika dia membenarkan, bimbang
pula sekiranya itu semua akan memberikan peluang untuk
Hakim terus memujuknya pulang. Biar pun semalam
suaminya itu mengatakan dia tidak akan memaksa, tapi
Amirah yakin Hakim tidak akan mempersiakan peluang yang
ada.
Ah, lagi difikir lagi kusut fikirannya! Kerjanya
juga tidak selesai. Kalaulah Encik Faris tahu, mahunya dia
dibahasakan lelaki itu. Bukan dia tidak tahu, bosnya itu
begitu pantang melihat pekerja yang curi tulang sepertinya.
Tapi untuk memulakan tugas, dia perlukan sesuatu untuk
menyegarkan fikiran. Lalu, mug yang sengaja diletakkan di
almari belakang mejanya dicapai. Pantri destinasinya saat
ini. Dia mahu menyediakan minuman. Sedari pagi belum ada
satu makanan dan seteguk minuman yang masuk ke dalam
perutnya. Masalah yang melanda membuatkan dia kenyang
dengan serta-merta.
Sebaik sahaja memasuki pantri, Amirah agak pelik
kerana bosnya berada di situ. Sedang menikmati minuman
sambil membaca surat khabar. Selalunya setiausaha Faris
yang akan menyediakan minuman. Tapi kenapa Faris
menyediakannya sendiri hari ini? Nampaknya bosnya juga
sedang curi tulang.
“Hai Amirah, nak buat minuman ke?” tegur Faris
kepada pekerjanya.
Amirah tersenyum sambil menganggukkan kepala.
“Ya, bos. Tiba-tiba dahaga pula. Bos kenapa buat
minuman sendiri hari ni? Anita mana?” ujar Amirah sekadar
berbasa-basi. Dia tidak bimbang untuk berbual dengan
bosnya itu. Faris seorang bos yang peramah dengan semua
pekerja bawahannya.
“Dia ada. Terasa nak sediakan sendiri pula hari ni.
Tak salah, kan?”
“Saya tak cakap salah pun. Just asking,” balas Amirah
sambil menyediakan minuman kegemarannya. Nescafe susu.
“Emm... sedapnya bau,” kata Faris tiba-tiba. Aroma
Nescafe susu yang menusuk ke hidung membuatkan
seleranya pada minuman itu tiba-tiba terbuka.
“Nescafe bos, memang semerbak baunya.”
“Mungkin juga. Tapi if you don’t mind....” Faris
menyuakan mugnya yang sudah kosong kepada Amirah.
Amirah pelik dengan perbuatan Faris itu. Namun
saat matanya merenung ke wajah Faris yang seperti meminta
sesuatu, dia sudah bisa menangkap maksudnya. Dengan
senyuman juga, Amirah mengambil mug di tangan Faris lalu
mula menyediakan Nescafe susu untuk bosnya itu.
“Kan bos dah minum tadi.”
“Salah youlah... sengaja nak menggoda I dengan
minuman tu. Lagipun sesekali nak rasa minuman yang you
buat, apa salahnya, kan?”
Tersenyum Amirah menyambut gurauan Faris.
“Nah, bos.” Amirah meletakkan mug kepunyaan
Faris ke atas meja. Kemudian, dia berlalu untuk kembali ke
bilik pejabatnya.
“You nak ke mana tu?”
Amirah berpaling. “Balik ke bilik saya la bos.”
“Alah, duduklah sini dulu temankan I.”
Pelik Amirah dengan permintaan Faris itu. “Nanti
bos kata saya curi tulang pula.”
“Bukan you dah memang curi tulang ke tadi?”
Terangkat kening Amirah. Alamak, nampaknya
Faris sudah nampak apa yang dilakukannya sebentar tadi.
Bilik bercermin begitu, apalah sangat dapat disembunyikan.
Akhirnya Amirah hanya tersengih malu.
“Come, have a seat. Sesekali minum berteman, apa
salahnya, kan? Boleh jugak kita borak-borak.”
Amirah menurut. Kerusi di hadapan Faris ditariknya.
Kemudian dia duduk sambil memandang wajah bosnya itu.
Menanti bicara Faris.
“So, apa khabar Nasuha?”
“Dia baik, alhamdulillah,” jawab Amirah. Sudah
kerap benar Faris bertanya tentang Nasuha.
Faris telah diperkenalkan kepada anaknya sewaktu
mereka terserempak di Taman Tasik Titiwangsa. Ketika itu
dia dan Marissa sedang membawa Nasuha bersira-siar. Lelaki
itu berseorangan dan akhirnya Faris menyertai mereka.
Sepanjang berada di sana, lelaki itulah yang melayani kerenah
Nasuha. Bosnya itu kelihatan seperti sukakan kanak-kanak.
Itulah kali pertama Faris melihat Nasuha. Tidak ada lagi
pertemuan selepas itu.
“Comel betul anak you tu. Rindu pulak I dengan dia.
I hope I can see her again.”
“Yeah, sure. Tapi kesian pulak dekat bos kena layan
dia. Suha tu lasak sikit. Tapi dia tak banyak kerenah.”
“I know. Hari tu pun dia baik sangat dengan I. That’s
why I like her. Tak macam budak-budak lain. Belum I dekat,
dah lari.”
Tergelak Amirah dengan cerita Faris itu.
“Agaknya diaorang tengok muka bos tu menakutkan
kut. Muka tak pandai layan budak-budak,” seloroh Amirah.
“Emm... I guess so. You tahulah I ni, ada dua beradik
saja. Ada kakak yang dah kahwin pun menetap di London
sana. Manalah I biasa dengan budak-budak ni. But that day, I
managed to be a father, right?”
A father? Wow! Jauh betul angan-angan Faris.
Mungkinkah naluri lelaki itu sudah terpanggil untuk
mempunyai anak sendiri?
“Kalau macam tu, bos kena kahwin cepat-cepatlah.
Nampaknya bos macam dah ready nak jadi ayah.”
“Nak kahwin macam mana Mira, calon pun tak ada.”
“Hai, orang macam bos ni takkan tak ada steady
girlfriend? Saya tak percayalah.”
“Kenapa, you ingat orang macam I ni girlfriend
keliling pinggang ke? I tahulah I ni tall and handsome. Tapi
tak bermakna semua perempuan I rembat. I ada taste tau.
Selagi tak memenuhi syarat I, bermakna orang tu takkan
berjaya ketuk pintu hati I.” Bicara Faris mengundang cebikan
di bibir Amirah. Perasanlah pula bos dia ni.
“Susahlah bos kalau macam tu. Kalau tak jumpa,
alamatnya bos tak kahwin sampai ke tualah.”
“I dah jumpa dah.”
“Really?” teruja Amirah tiba-tiba. Nampaknya tak
lama lagi merasalah dia makan nasi minyak bosnya itu.
Faris mengangguk sambil tersenyum manis.
Terserlah ketampanan lelaki itu.
“So, who is she? Saya kenal ke?”
Sekali lagi Faris menganggukkan kepala.
“You kenal dia.”
Amirah dilanda tanda tanya. Dia mengenali
perempuan yang berjaya mengetuk pintu hati bosnya itu?
Bermakna perempuan bertuah itu berada di pejabat ini? Tapi
siapa? Takkan Marissa kut? Isy, mengarutlah! Temannya itu
sudah bertunang. Faris pun tahu tentang itu.
“Siapa bos?”
“Adalah... nanti you akan tahu jugak,” jawab Faris
sambil tersenyum penuh makna.
Amirah hanya terdiam. Tidak mahu terus menyoal.
Bimbang dikatakan busybody pula. Apatah lagi renungan
mata Faris yang agak tajam kepadanya seakan-akan terus
mengunci bibirnya saat itu

Kau Yang Kunanti - Bab 7

SUDAH dua minggu peristiwa di tempat letak
kereta itu berlalu. Namun, ia tidak menghalang Amirah untuk
terus mengingatinya. Puas dihalau memori itu daripada
singgah ke kotak fikirannya, tetapi ia datang menjengah jua.
Ia seakan besi magnetik yang hanya mahu melekat di sudut
fikirannya. Masih jelas dalam ingatan renungan Hakim yang
mengasyikkan dan pelukan hangatnya. Tidak dilupakan juga
riak penuh kejutan dan tidak percaya yang jelas sekali terukir
di wajah itu.
Amirah akui, walau sekeras mana pun dia bersuara
menyatakan kelukaan, rasa rindu itu tetap hadir di celah-celah
kepedihan yang sekian lama bermukim dalam hati. Hakim
tidak banyak berubah. Masih kacak dan tampan seperti
dahulu. Cuma tubuhnya agak susut sedikit. Mungkinkah
suaminya itu merindui dirinya?
Tanpa sedar, air matanya menitis di pipi. Meratapi
nasib dirinya kini. Tapi untuk apa? Dia yang memilih jalan
hidupnya begini. Alangkah bagus jika masa boleh diundur.
Dia mahu pulang kembali ke zaman belajar mereka di
Universiti Malaya agar saat cintanya menyulami hati Hakim
dapat dielakkan. Jadi tidak perlulah dia merasa peritnya hidup
saat ini.
Tidak semena-mena Amirah terkenangkan saat di
mana Hakim melamarnya. Saat di mana Hakim berjanji tidak
akan mensia-siakannya. Betapa indahnya waktu itu.
“KAHWIN DENGAN Hakim?” Amirah mengulangi pertanyaan
Hakim yang baru sahaja menyapa telinganya. Mata yang
sedikit sepet dibulatkan. Telinga yang sedari tadi hanya
difokuskan kepada gelagat pasangan yang berada di sebelah
mereka terus dipusatkan kepada Hakim. Lelaki itu sedang
merenungnya dengan pandangan penuh mengharap.
Amirah seakan-akan tidak percaya. Berkali-kali
dia bertanya kepada diri sendiri. Dia salah dengar atau apa?
Namun anggukan lelaki itu membuatkan jantung Amirah
berdegup kencang. Ternyata dia tidak salah dengar. Jadi
inikah perkara penting yang hendak dibicarakan lelaki itu
sehingga membawanya ke restoran berorientasikan selera
Itali ini?
“Hakim bergurau, kan?” tanya Amirah cuba mencari
kepastian di sebalik renungan itu.
“Tak, Hakim serius.” Jelas Hakim berserta gelengan
yang menunjukkan dia tidak main-main. Menandakan apa
yang lahir daripada bibirnya adalah suara hati yang penuh
keikhlasan.
“Tapi kenapa tiba-tiba?” Amirah sebenarnya keliru.
Selama mereka berteman, tidak pernah mereka berdua
berbincang tentang perasaan. Mereka hanya sekadar teman
rapat yang saling memerlukan antara satu sama lain. Namun,
perubahan Hakim semenjak mereka mula memasuki alam
pekerjaan sedikit ketara. Sesuatu yang tidak pernah mereka
lakukan iaitu bergayut berjam-jam di telefon selepas jam 11
malam. Tapi itulah yang terjadi selepas sebulan lelaki itu mula
bekerja sebagai jurutera di syarikat milik bapanya sendiri.
Walaupun pelik dengan perubahan itu, tetapi rasa bahagia
tidak dapat diusir pergi. Dia senang dengan perubahan
perhubungan mereka itu.
“Bukan tiba-tiba. Dah lama sebenarnya Hakim
fikirkan tentang hal ni. Tapi baru hari ini Hakim berani
bersuara,” jelas Hakim lagi.
“Tapi... kita kan cuma teman rapat?”
Kelihatan lelaki itu menganggukkan kepala. Tanda
mempersetujui kata-kata wanita di hadapannya ini.
“Memang kita teman rapat. Tapi tak salah kalau
kita berkahwin. Kita halal untuk bernikah,” ujar Hakim
dalam nada bergurau. Jelas senyuman mengusik terukir di
wajahnya.
“Seriuslah Hakim. Janganlah main-main,” tegur
Amirah. Dia tidak suka Hakim bercanda pada waktu
kritikal begini. Hakim sedang melamarnya. Dan sekarang
dia dalam keadaan yang tidak percaya. Bagaimana seorang
teman melamar temannya sendiri? Sepatutnya Hakim cuba
meyakinkannya saat ini. Bukan dengan bercanda begitu.
“Yes, I am. I'm serious about this. Hakim tak
main-main. Hakim memang nak Mira jadi isteri Hakim. Bukan
lagi sekadar teman biasa. Tapi teman yang akan menemani
Hakim hingga ke akhir hayat. Yang boleh menyayangi Hakim
dan yang bisa Hakim cinta.”
“Cinta?”
Perlahan-lahan Hakim menganggukkan kepala.
“Yes, cinta. Hakim cintakan Mira.”
Terlopong Amirah mendengarnya. Cinta? Hakim
mencintainya? Tapi sejak bila? Bukankah lelaki itu mencintai
Sofiana sehingga hampir gagal dalam peperiksaan akibat
ditinggalkan wanita itu? Dan Amirah yakin, cinta untuk
Sofiana masih ada dalam hati Hakim. Tapi bagaimana pula
hari ini Hakim mengatakan cinta kepadanya?
“Kenapa? Terkejut?”
Sudah tentu Amirah terkejut dengan pengakuan
itu. Siapa yang tidak terperanjat apabila seseorang yang telah
dianggap teman baik meluahkan perasaan. Kalau orang lain,
mungkin dia boleh percaya. Tapi ini Hakim! Lelaki yang
begitu setia pada cintanya walaupun telah dikhianati.
“Hakim kan terlalu cintakan Sofiana. Macam mana
tiba-tiba Hakim cintakan Mira pula? Tak masuk akallah
Hakim. Kalau Hakim nak bergurau pun, ini bukan masa yang
sesuai.”
Sekali lagi lelaki itu menggelengkan kepala.
Jemari halus Amirah di atas meja dicapai lalu diusap mesra.
Senyuman manis dihulurkan buat Amirah. Gadis itu semakin
keliru. Matanya memandang jemarinya yang digenggam oleh
Hakim. Satu lagi perkara yang tidak pernah dilakukan oleh
lelaki itu sebelum ini. Amirah pula seakan terkaku dengan
usapan itu. Lalu, bertindak membiarkannya saja.
“Hakim dah katakan yang Hakim bukan bergurau.
Hakim serius. Mungkin dulu Hakim cintakan Sofiana separuh
mati. Tapi sekarang tak lagi. Dia dah tinggalkan Hakim. Kisah
kami dah jadi sejarah. Bukankah Mira juga yang nasihatkan
Hakim supaya berpijak di bumi yang nyata dan jangan
ikutkan perasaan kecewa? Hakim ikut nasihat Mira. Hakim
sedar masih ada cinta yang menanti Hakim. Putus cinta tak
bermaksud the end of the world, kan? Hakim jumpa cinta tu
Mira. Cinta tu ada depan Hakim sekarang,” terang Hakim
panjang lebar. Matanya terus-terusan merenung sepasang
mata hazel milik Amirah, membuatkan gadis itu malu lalu
menunduk dan membuang pandang ke arah tautan jemari
mereka.
Buat sementara waktu Hakim dan Amirah hanya
mendiamkan diri. Amirah sibuk memikirkan lamaran Hakim.
Manakala Hakim pula, hanya membuang pandang ke arah
gadis itu. Mungkin memberikan sedikit masa untuk gadis itu
berfikir.
“Mira takut kalau keputusan Hakim ni hanya
disebabkan Hakim berasa sunyi. Yalah... selepas Sofiana
pergi, Hakim tak pernah cari pengganti, kan?” duga Amirah.
“Siapa cakap Hakim tak pernah cari pengganti?”
Amirah mengangkat kepala. Merenung wajah yang
agak serius itu. Kenapa Hakim berkata begitu? Adakah Hakim
pernah mencari pengganti Sofiana? Tapi kenapa dia tidak
tahu? ‘Ah, sedar Amirah! Kau siapa pada dia? Cuma seorang
teman. Takkan semua perkara hendak diceritakan pada
engkau!’
“Mungkin sudah jodoh kita Mira. Mira hadir dalam
hidup Hakim bila Hakim begitu kecewa. Mira berjaya mengisi
kekosongan hati Hakim ni. Hingga Hakim rasa Hakim tak
pernah sunyi walaupun tak ada teman istimewa. Kerana bagi
Hakim, Miralah teman istimewa Hakim. Hakim tak tahu
sejak bila Hakim pandai merindui Mira. Tapi Hakim yakin
Mira ialah cinta Hakim. Dan Hakim juga yakin, Mira pun
mempunyai berperasaan yang sama, kan?”
Telahan Hakim membuatkan Amirah gelisah
tiba-tiba. Bagaimana Hakim tahu tentang perasaannya?
Adakah ia begitu jelas ketara? Tapi tak mungkin! Dia sudah
sedaya upaya berlagak biasa walaupun hatinya begitu
mencintai Hakim. Semua itu dilakukan untuk mengelakkan
salah faham antara dia dan Sofiana. Dia takut jika gadis itu
menuduhnya tergila-gilakan kekasih orang. Tapi semenjak
Sofiana meninggalkan Hakim, perasaan itu semakin kuat
mencengkam jiwa.
Siapa yang tidak jatuh hati dengan Hakim. Boleh
dikatakan semua wanita yang mengenali Hakim akan
merelakan hati mereka kepada lelaki itu. Tapi Sofiana yang
dipilihnya. Sepatutnya gadis itu bersyukur. Tapi lain pula yang
terjadi. Hakim ditinggalkan. Dan takdir telah menemukan
Amirah dan Hakim dalam satu tugasan berkumpulan yang
melibatkan subjek teras universiti.
Semenjak itulah mereka semakin rapat. Kata Hakim,
dia lebih senang bekerja dengan Amirah berbanding ahli
kumpulan yang lain. Pada waktu itu, Amirah terasa bagaikan
bermimpi apabila dapat duduk berdua-duaan dengan Hakim
di perpustakaan untuk berbincang tentang tugasan tersebut.
Satu perkara yang hanya terbayang dalam angan-angannya.
Tapi itulah kuasa takdir Allah.
“Ap... apa yang Hakim cakapkan ni? Mak... maksud
Hakim, Mira cintakan Hakim? Merepeklah Hakim ni,”
dalih Amirah. Dalam diam dia mengutuk diri. Kenapa dia
tergagap-gagap menuturkan kata? Mungkin itu semua akan
menambahkan keyakinan Hakim pada telahannya sebentar
tadi.
“Kalau merepek, kenapa Mira genggam tangan
Hakim kuat sangat ni? Mira gelabah, ya?”
Amirah nyata terkejut dengan teguran Hakim itu.
Pantas matanya beralih ke arah itu. Benar! Pada saat ini dia
sedang menggenggam jemari kasar Hakim dengan eratnya.
Sehingga timbul segala urat yang ada. Entah bila dia pun
tidak sedar. Pantas tangannya ditarik. Mahu melepaskan
tautan jemari itu. Namun dia sedikit terpinga-pinga apabila
Hakim tidak membenarkannya. Tautan jemari mereka masih
erat. Cuma yang berbeza bukan dia lagi yang menggenggam,
tapi Hakim.
“Tak perlu nak menipu diri sendiri Mira. Hakim tahu
Mira pun mencintai Hakim. Please terima lamaran Hakim,
dan Hakim berjanji tak akan sia-siakan Mira.”
“Macam mana dengan Sofiana?”
“Dia tak ada kena-mengena lagi dengan Hakim.
Mungkin dah bahagia dengan kekasih baru. Hakim pun
berhak cari kebahagiaan diri Hakim sendiri. Kita kahwin, ya?
Minggu depan Hakim akan bawa Mira jumpa parents Hakim
untuk bincang pasal kita.”
Sekali lagi Amirah terlopong. “Cepatnya!”
Hakim tergelak dengan reaksi Amirah.
“Lagi cepat lagi bagus, sayang. Hakim dah tak sabar
ni,” bisik Hakim mesra. Hanya untuk pendengaran Amirah.
Gadis itu tertunduk malu. Dalam diam, dia mengukir
senyuman. Hati sudah berbunga riang. Ternyata hari itu
merupakan hari paling bahagia dalam hidupnya. Dilamar
oleh orang yang dia cintai. Dan akhirnya dia mengangguk
setuju.
Lamunan Amirah terhenti apabila kedengaran loceng
rumah tiba-tiba berdenting beberapa kali. Menandakan ada
tetamu yang sedang menunggu di luar. Amirah mengerutkan
dahi. Siapa pula yang ingin menziarahinya pada malam-malam
begini? Dia membuang pandang ke arah jam yang tergantung
di dinding. Sudah menunjukkan jam 10 malam. Walaupun
bagi sesetengah orang waktu sebegitu masih terlalu awal,
tapi tidak bagi Amirah. Baginya waktu sebegini semua
orang sudah sepatutnya beristirahat di rumah. Bukan lagi
mengunjungi rumah orang.
Terlintas dalam fikiran, mungkin Marissa sudah
pulang. Tapi takkanlah secepat itu, sedangkan gadis itu
baru sahaja dua hari berada di kampung. Katanya mahu
menghabiskan cutinya selama seminggu di kampung.
Masakan sudah berubah fikiran? Amirah sudah mula bersoal
jawab sendirian. Sesungguhnya dia takut hendak menjenguk
ke luar. Apatah lagi tinggal dia dan anaknya sekarang di
rumah itu.
Loceng rumah kembali berdenting. Mungkin
tetamu itu merasakan dia sudah terlalu lama menunggu di
luar, lalu tetamu itu membunyikannya sekali lagi. Dengan
penuh berhati-hati, Amirah menyelak langsir lalu menjengah
ke luar. Dia seakan-akan tidak percaya apabila matanya
menangkap batang tubuh Hakim yang sedang berdiri di luar.
Dengan pantas, Amirah kembali menutup langsir itu lalu
bersandar di balik pintu.
“Macam mana dia boleh datang ke sini? Dari mana
dia tahu aku tinggal kat sini? Hakim mengintip aku ke?”
Amirah bermonolog sendirian. Dia sudah dilanda keresahan.
Otaknya galak berfikir tentang tujuan suaminya itu datang
ke rumahnya.
Dia memandang Nasuha yang sedang bermain
sendirian di ruang tamu. Tiba-tiba dia jadi takut dengan
kehadiran suaminya itu. Mungkinkah Hakim mahu
merampas Nasuha daripadanya? Tidak!!! Dia tidak akan
benarkan. Nasuha anaknya. Lelaki itu tidak berhak merampas
anak ini daripada ibunya.
Amirah tidak berniat untuk keluar dan menjemput
lelaki itu masuk. Biar lenguh jemari lelaki itu menekan
loceng. Tetapi tidak akan sesekali dia melangkah keluar.
Seperti yang diharapkan, loceng rumah itu tidak
lagi kedengaran selepas beberapa minit dibunyikan. Amirah
menarik nafas lega. Hakim sudah berputus asa barangkali.
Namun tidak beberapa lama kemudian telefon bimbitnya
pula berdering. Pantas dia mencapai telefon bimbitnya yang
terletak di meja kopi di ruang tamu itu.
“Nombor siapa ni?” Hairan juga kerana si pemanggil
tiada dalam senarai kenalannya. Tanpa mengesyaki apa-apa,
Amirah terus menjawab panggilan tersebut.
“Helo, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” jawab orang di sebelah sana.
“Mira, abang ni.”
Untuk kesekian kali Amirah terperanjat. Hampir
terlepas telefon di tangan. Bagaimana pula Hakim
mendapatkan nombor telefon bimbitnya? Dia benar-benar
tidak percaya. Nampaknya Hakim benar-benar telah
mengintipnya.
“Mira, abang dekat luar ni. Abang tahu Mira ada
dekat dalam. Abang nampak bayang-bayang Mira tadi. Tolong
buka pintu pagar ni, sayang. Abang nak jumpa Mira dengan
anak kita,” pinta Hakim lembut.
“Buat apa abang datang sini? Macam mana abang
tahu alamat dan nombor telefon Mira? Siapa yang beritahu
abang?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Amirah. Dia
tidak berganjak sedikit pun dari tempat dia berdiri.
“Semua tu tak penting Mira. Yang penting sekarang,
tolong buka pintu pagar ni. Abang nak jumpa Mira dan anak
kita,” pinta Hakim lagi. Dia sudah mundar-mandir di luar.
Tidak sabar menunggu isterinya itu membukakan pintu.
Dia mahu menatap wajah itu lagi. Sudah dua minggu wajah
Amirah menemani tidurnya. Hampir saban malam lenanya
bermimpikan isterinya itu. Sehingga dia dan Sofiana bergaduh
besar gara-gara isteri keduanya itu menangkap dia menyebut
nama Amirah ketika tidur. Itulah penangan Amirah buat
dirinya. Dia menjadi terlalu rindu untuk memeluk tubuh itu.
“Buat apa datang ke sini? Mira tak nak jumpa abang!”
“Tapi abang nak jumpa Mira dan Nasuha. I miss
both of you so much. Please sayang, bukalah pintu pagar ni.”
Hakim merayu pula. Dia tahu bukan senang untuk memujuk
Amirah sekarang ini. Strategi perlu ada.
“No, pergilah balik bang. Jangan ganggu kami
berdua lagi,” bantah Amirah.
“Okay, fine! Kalau Mira tak nak buka pintu pagar,
tak apa. Abang akan bunyikan hon kereta. Biar semua orang
dekat taman ni keluar. Mira nak macam tu ke?” ugut Hakim.
Kalau sudah dengan cara memujuk tidak berjaya, terpaksalah
dia menggunakan kekerasan.
“Tak usah nak mengugut Mira. Mira takkan
termakan dengan ugutan abang tu. Yang Mira nak sekarang,
abang baliklah. Kasihan Sofiana dekat rumah sorang-sorang.
Hampir larut malam dah ni.”
“Pandailah dia nak menjaga dirinya sendiri. Dia dah
biasa dekat rumah sorang-sorang. So, sekarang tak usah nak
fikirkan orang lain. Fikirkan pasal kita saja.”
“Senangnya abang bercakap. Abang tahu tak, sikap
abang yang suka ambil mudah semua perkara ni dah buatkan
Mira dan Suha menderita? Abang senang-senang berkahwin
lain tanpa keizinan Mira. Lepas tu abang senang-senang
abaikan tanggungjawab abang pada kami berdua. Sekarang
abang nak senang-senang tinggalkan isteri yang abang
sayang separuh mati tu kat rumah seorang diri malam-malam
macam ni? Huh, senangkan bang?”
“Mira, abang datang sini bukan nak cari gaduh. Abang
nak selesaikan hal kita. Tolonglah jangan nak mengungkit
hal-hal lepas pada waktu macam ni. Kalau Mira nak marah,
nak mengamuk, kat dalam nanti. Katalah apa saja yang Mira
nak kata. Abang akan dengar.”
“Tidak! Mira takkan benarkan abang jejak kaki abang
kat dalam rumah Mira ni. Baliklah bang.”
Kedengaran dengusan kasar Hakim di corong telefon
itu. Mungkin suaminya itu geram dengan sikapnya yang
sukar untuk dipujuk. Tapi itu semua bukan salahnya. Hakim
yang buat dirinya berubah sebegini. Hakim yang sepatutnya
bertanggungjawab.
“Okey... abang akan kira sampai tiga. Kalau Mira
tak keluar jugak, abang akan bunyikan hon kereta ni,” ugut
Hakim untuk kesekian kalinya. Kali ini dia tidak main-main.
Dia benar-benar serius dengan apa yang dikatakannya. Dia
yakin, ini sahaja cara untuknya berjumpa dengan Amirah.
“Suka hati abanglah. Mira malas nak layan,” kata
Amirah. Sikap endah tak endah isterinya itu membuatkan
dirinya tercabar.
“Okey, satu... dua....”
Amirah hanya mengangkat kening sambil tersenyum
sinis. Dia amat yakin yang Hakim tidak akan tega memalukan
diri sendiri.
“Tiga....”
Tidak lama selepas itu kedengaran bunyi hon kereta
bertalu-talu di luar. Sungguh bising dan membingitkan.
Amirah terkejut. Manakala Nasuha yang leka bermain
menangis kuat kerana terkejut. Sungguh dia tidak menyangka
Hakim akan mengotakan kata-katanya sebentar tadi. Fikirnya
Hakim hanya mengugut.
“Abang! Abang, stop!!!” Amirah terpaksa menghalang
akhirnya. Namun Hakim tidak mengendahkan kata-katanya.
Bunyi hon kereta yang kuat itu masih kedengaran. Ia pasti
akan mengganggu jiran-jiran yang sedang beristirahat. Ah,
Hakim begitu menjengkelkan!
“I said stop it bang!!!”
“Abang tak akan berhenti selagi Mira tak keluar.”
Balas Hakim sambil masih terus membunyikan hon.
Suaminya itu memang sudah gila!
“Okey... okey, Mira keluar. Puas hati? Sekarang tolong
hentikan. Nanti jiran-jiran marah,” pohon Amirah. Sejurus
selepas itu bunyi hon tersebut sudah tidak kedengaran lagi.
Amirah menarik nafas lega.
“Okey, kalau Mira tak keluar, abang akan bunyikan
hon ni lagi. Baik Mira keluar cepat sebelum abang hilang
sabar,” kata Hakim sambil tersenyum puas. Dia sudah
menang.
Amirah terus mematikan talian. Hatinya sebal.
Sebal dengan sikap Hakim yang sedikit memaksa. Sejak
bilalah suaminya berperangai begini. Setahunya Hakim tidak
gemar memaksa. Mungkin sudah terkena badi si Sofiana.
Gumamnya sendirian.
Hakim tersenyum senang saat Amirah muncul di
muka pintu. Wajah itu tampak masam mencuka. Mungkin
marah dengan tindakannya sebentar tadi.
‘Maafkan abang, sayang. Abang terpaksa.’
Senyuman Hakim semakin melebar apabila
ternampak puteri kecil kesayangan mereka dalam dukungan
Amirah. Nasuha nampak begitu comel di matanya. Sama
comel dengan ibunya. Hakim tidak dapat menafikan
kedua-dua wajah itu sudah mendapat tempat teristimewa
dalam hatinya saat ini. Tiada lagi wajah Sofiana. Hilang entah
ke mana, dia sendiri tidak tahu.

Kau Yang Kunanti - Bab 6

JAM sudah menunjukkan angka 4.30 minit petang.
Hakim semakin gelisah. Apa yang dicari masih juga tidak
menunjukkan tanda-tanda akan berjumpa. Sekejap lagi pasti
Sofiana akan pulang. Kalau dia tidak cepat, entah bilalah dia
punya peluang untuk mencari lagi.
Seingatnya kad perniagaan Marissa telah tersimpan
kemas di dalam kocek seluarnya. Apabila pulang ke rumah,
kad tersebut telah diletakkan di bawah tilam sebaik sahaja
Sofiana menghilangkan diri ke dalam bilik air. Semua itu
dilakukan untuk mengelakkan daripada diketahui isterinya
itu. Namun perancangan yang begitu rapi nampaknya masih
jua sia-sia. Pada keesokan hari, kad itu hilang begitu sahaja.
Sedangkan dia telah bercadang untuk menelefon Marissa
setelah tamat waktu kerja.
Hakim bergerak pula ke arah almari yang
menempatkan pakaian isterinya. Segala isi di dalamnya
diselongkar. Setiap satu pakaian Sofiana dibuka daripada
lipatan serta dikibarkan ke udara. Mungkin kad itu terselit
di mana-mana. Dan dia berharap dengan kibaran itu akan
menyebabkan kad itu tercampak keluar.
Namun, setelah hampir semua pakaian isterinya
diselongkar, Hakim hanya mampu melepaskan keluhan
kecewa. Kad itu masih juga tidak dijumpai. Dia meramas
rambut dan ditebak ke belakang. Pinggang dicekak dengan
kedua belah tangan sambil matanya meligas pantas ke setiap
pelosok bilik. Bukan sahaja di bilik malah sudah hampir
segenap pelosok rumah sudah dicarinya. Operasi mencari itu
sudah dilancarkan sejak dua minggu dahulu. Saat di mana dia
menyedari akan kehilangan kad itu. Hendak ditanya kepada
Sofiana bimbang isterinya itu mengamuk pula. Dia cukup
masak dengan perangai Sofiana yang tidak gemar nama
Amirah disebut oleh dirinya.
Lalu, untuk mengelakkan kekecohan, Hakim
bertindak mencarinya ketika Sofiana keluar bekerja. Setiap
hari dia pasti akan pulang awal ke rumah. Tanpa sempat
menggantikan pakaian kerja, kad itu terus dijejaki. Masa yang
ada tidak sepatutnya diabaikan. Fikir Hakim.
Entah mengapa hatinya kuat mengatakan kad
itu tidak hilang begitu sahaja. Ada seseorang yang telah
mengambilnya dari bawah tilam tempat dia merebahkan diri
pada setiap malam. Lagipun mereka hanya tinggal berdua.
Tiada siapa lagi yang boleh dikenakan tuduhan melainkan
Sofiana. Dia yakin Sofiana nampak apa yang telah berlaku dua
minggu lepas. Dan jika itu berlaku, sudah tentu Sofiana akan
berusaha untuk menghapuskan satu-satunya cara untuk dia
menuju kepada isteri pertamanya.
Mungkin juga Sofiana tidak berniat hendak ke
bilik air tetapi berniat ingin mengintainya. Ah, kenapa dia
begitu lalai? Seharusnya alamat dan nombor telefon itu telah
dihafalnya sebelum disimpan. Sekurang-kurangnya, kalau
kad itu hilang pun dia masih boleh mengingati nombor
telefon teman Amirah itu.
Bukan niat dalam hati hendak berburuk sangka
kepada isteri keduanya itu. Tetapi, berdasarkan sifat cemburu
yang ditunjukkan buat Amirah memungkinkan segalanya.
Hakim yakin memang dia tidak pernah menyentuh kad itu
selepas disimpan di bawah tilam. Dia amat yakin itu. Jadi,
siapa lagi kalau bukan Sofiana? Kalau benarlah telahannya,
entah bagaimana dia hendak menyifatkan cemburu
Sofiana yang di tahap kritikal itu. Sedangkan Amirah juga
isterinya. Amirah juga punya hak untuk diberikan perhatian
sebagai seorang isteri. Seharusnya Sofiana tidak perlu
mempersoalkan tentang itu kerana selama ini memang dia
sentiasa melebihkan Sofiana.
Tetapi itu semua kisah beberapa bulan yang dulu.
Sebaik sahaja Amirah meninggalkan dirinya, dia bertekad
untuk bertindak adil kepada Amirah dan Sofiana biarpun
isteri pertamanya itu telah hilang tanpa khabar berita. Dia
serik! Dan dia fikir dia harus belajar untuk berlaku adil.
Oleh itu, dia tidak pernah lupa untuk bermalam di
rumah Amirah walaupun isteri dan anaknya itu tidak ada. Dia
rela tidur sendirian di rumah itu asalkan dia tidak melakukan
kesalahan yang sama sehingga menyebabkan Amirah
meninggalkannya. Perasaan bersalah akan menguasai diri
jika dia tidak pulang ke rumah itu pada hari giliran Amirah.
Dia tidak mahu menyakiti hati isterinya itu lagi. Dia juga
hanya memekakkan telinga apabila Sofiana mengatakan
dirinya gila.
“Abang ni dah gila agaknya. Isteri pertama
abang tu dah tinggalkan rumah tu. Buat
apa lagi abang nak pergi bermalam di
sana? Tinggal sajalah di sini. Bukan ada
sesiapa pun di sana. Hantu adalah.”
Begitulah kata Sofiana buat dirinya. Tapi kata-kata
itu sudah jarang sekali didengari sekarang. Mungkin isteri
keduanya itu sudah bosan mengulangi perkara yang sama
lantaran sikap tidak ambil pusing Hakim.
Hari pertama bermalam di rumah itu tanpa Amirah
dia berasa sungguh sayu. Mata yang tidak mahu lelap dipaksa
jua. Sungguh seksa dirasakan tidur tanpa ditemani orang yang
disayangi. Sudah hampir dua tahun mereka melayari alam
rumah tangga. Dan baru malam itulah dia tidur sendirian.
Seakan terbayang-bayang tubuh Amirah di sisinya setiap kali
dia merebahkan tubuh di katil itu. Tapi dia sedar, semua itu
hanya ilusi seseorang yang begitu merindui isterinya.
Mungkin itukah perasaan yang sama dirasakan
Amirah semenjak dia mengahwini Sofiana? Ya Allah, dia berasa
sungguh berdosa memperlakukan isterinya sedemikian rupa.
Kenapa dia terlalu bodoh? Kenapa dia selemah itu? Kenapa
dia membiarkan nafsu menguasai akal fikiran? Kalaulah dia
menguatkan hati untuk menangkis godaan Sofiana dahulu,
tentu semua ini tidak akan berlaku.
“Ya Rabbi... apa ni bang? Kenapa selerakkan semua
baju-baju Sofi ni?”
Terperanjat Hakim apabila disapa suara nyaring
Sofiana yang membingitkan. Matanya terpaku ke arah Sofiana
yang sedang bercekak pinggang di muka pintu. Sempat juga
dia menjeling ke arah jam di dinding. Baru menunjukkan
pukul 5 petang. Kenapa isterinya itu pulang awal pula hari
ini? Sedangkan waktu kerjanya tamat pada pukul 5.30 petang.
Sungguh dia tidak bersedia hendak berdepan dengan
Sofiana dengan keadaan bilik yang lintang-pukang begini.
Cadangnya dia akan kembali mengemas pakaian-pakaian
isterinya itu selepas ini. Dia yakin dalam masa setengah jam
baju-baju itu akan tersusun rapi di dalam almari seperti
sebelumnya. Tapi rencananya telah berantakan. Dia sudah
tertangkap menyelerakkan pakaian-pakaian isterinya itu. Dan
dia pasti sekejap lagi telinganya akan menanah dijamah suara
Sofiana yang boleh menggegarkan seisi rumah.
Semenjak dua tiga bulan ini sifat sebenar Sofiana
seakan terbuka di depan matanya sedikit demi sedikit. Segala
perilaku manja dan menggoda isterinya dahulu hilang begitu
sahaja. Ini mungkin juga disebabkan sikap Hakim sendiri
yang lebih banyak menghabiskan masa untuk mencari
Amirah. Tetapi itu tidak bermakna dia membiarkan Sofiana
begitu sahaja. Tanggungjawabnya buat isteri keduanya itu
dijalankan seperti biasa.
Cuma Sofiana sahaja yang terasa diabaikan lantaran
dikuasai cemburu yang menggila. Disebabkan bosan dengan
sikap Sofiana itulah Hakim mengambil langkah tidak
kisah. Sampai masanya, Sofiana juga perlu diajar untuk
menghormati hak orang lain.
“Dengan cadar tak berkemas. Barang-barang habis
terbalik. Pakaian berlipat abang selerakkan. Eh, apa kena
dengan abang ni? Abang tahu tak betapa penatnya Sofi nak
kemaskan semua ni? Yang abang selerakkan kenapa? Apa
yang abang cari?” Seperti yang dijangkakan Hakim, isterinya
itu sudah mula membebel. Pada waktu itu Hakim bagaikan
melihat nenek tua yang sedang meleteri anaknya. Berkeriut
sana sini.
“Tak ada apa-apa,” jawabnya malas.
“Kalau tak ada apa-apa, masakan berselerak sampai
macam ni?” tempelak Sofiana. Suaranya begitu meninggi.
Kadang-kadang terasa tercabar juga ego seorang suami
jika setiap hari diherdik sebegitu oleh seorang isteri. Tapi
Hakim berusaha menyabarkan hatinya. Sofiana pula sedang
mengandung. Jika dilayan egonya itu, mahu terbalik rumah
ini dia kerjakan.
“Sofi tak kira. Sofi nak abang kemaskan balik
semua ni. Sekejap lagi kalau Sofi naik, tak siap kemas juga
lagi, abang tidur dekat luar malam ni.” Sofiana memberikan
amaran. Amaran yang langsung tidak mengocak kelakian
Hakim. Namun dia tidak membalas. Sedar kesilapan sendiri.
Selama ini pun boleh dikatakan dialah yang akan
membantu isterinya itu melakukan kerja rumah. Dia sudah
biasa melakukannya. Amirah yang mengajarnya sehingga dia
tidak kekok apabila berada di dapur. Dan apabila berkahwin
dengan Sofiana pun tabiat itu masih dikekalkan.
Akan tetapi tabiatnya itu telah menyebabkan Sofiana
semakin liat hendak melakukan kerja rumah. Dia hanya akan
mengemas jika keadaan rumah terlalu teruk. Memasak pun
hanya pada hari minggu. Bimbang sekiranya jemari halusnya
menjadi kasar. Selalunya mereka akan makan di luar sahaja.
Sarapan pula disediakan jika berkesempatan. Itu pun hanya
roti bakar sahaja menjadi alas perut. Kalau hendak merasa
makan nasi goreng atau mi goreng, terpaksalah dia yang
turun ke dapur.
Namun itu semua tidak menghalangnya untuk terus
menyayangi wanita itu. Segala keburukan isterinya itu hanya
dipandang sebelah mata. Baginya itu tidak mencacatkan rasa
cintanya buat Sofiana. Asalkan Sofiana pandai memanjakan
dirinya dan pandai menjaga penampilan diri, itu sudah cukup
baginya.
Tetapi entah mengapa hari demi hari Hakim
merasakan dirinya semakin bosan dengan semua itu.
Kecantikan Sofiana sudah tidak memberikan apa-apa makna
semenjak Amirah meninggalkannya. Tanpa dia sedari, dia
sudah pandai merindui cara layanan Amirah buat dirinya.
Cara Amirah memanjakan dirinya. Dan juga cara Amirah
menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Dia
rasakan diri Amirah terlalu sempurna sebagai isterinya.
Tidak ada satu pun perlakuan Amirah yang tidak dirinduinya.
Semuanya seakan terlayar di hadapan mata.
“Cepat kemas sekarang,” arah Sofiana lagi sebelum
berlalu ke bilik air. Sempat juga dihadiahkan jelingan buat
suaminya itu.
“Err, Sofi!” panggil Hakim.
Panggilannya itu serta-merta menghentikan langkah
lambat Sofiana yang baru sahaja sampai di muka pintu bilik
air. Isterinya itu berpaling. Matanya terus dipakukan ke mata
suaminya. Wajahnya masih menunjukkan riak marah.
“Ada apa?” Sofiana bertanya dengan nada suara yang
mendatar.
Hakim pula serba salah hendak bertanya. Tapi dia
sudah penat berprasangka. Alang-alang sudah tertangkap,
lebih baik dia berterus terang sahaja.
“Ada apa ni, bang? Sofi nak mandi ni.” Sofiana
mengulangi pertanyaannya.
“Abang nak tanya, ada tak Sofi ternampak business
card yang abang letak bawah tilam ni?”
Sofiana memerhati ke arah tempat yang ditunjukkan
Hakim. Dia terdiam untuk beberapa ketika sebelum
menggelengkan kepalanya. Hakim cuba mencari riak
kejujuran di wajah itu. Namun dia gagal mengesannya.
Dia hanya mampu memandang tubuh isterinya itu
menghilangkan diri ke dalam bilik air. Tidak berapa lama
kemudian kedengaran air pancur mencurah ke lantai.
Hakim melabuhkan punggung di birai katil. Hendak
bertanya berlebihan, bimbang pula dikatakan menuduh. Tapi
dia yakin isterinya itu ada kena-mengena dengan kehilangan
kad itu. Kalau tidak, masakan Sofiana hanya menggelengkan
kepala tanda menafikan. Tidak pula dia bertanya kad
perniagaan siapa yang Hakim letakkan di bawah tilam itu.
Selalunya isterinya itu banyak pula tanyanya.
Keluhan kasar dilepaskan. Semua tempat sudah
dicari. Di mana lagi tempat yang berkemungkinan kad itu
disorokkan? Atau mungkin kad itu telah dibuang ke dalam
tong sampah? Atau mungkin juga telah dibakar? Oh, tidak!
Tidak sanggup dia membayangkan itu semua. Hanya itu
sahaja jalan untuk dia sampai kepada isteri pertamanya.
Kepalanya dipegang dengan kedua belah tangan.
Rambutnya pula diramas. Dalam kekecewaan itu tiba-tiba dia
seakan tersedar. Cuma satu! Cuma satu tempat lagi yang dia
tidak berpeluang untuk mencari. Dengan pantas dia berlari
ke meja solek. Tas tangan Sofiana dicapai, lalu segala isi di
dalamnya dikeluarkan. Pergerakannya pantas. Bila-bila masa
sahaja Sofiana akan keluar dari bilik air itu.
Perfume, lipstick dan barangan yang tidak berkenaan
ditolak ke tepi. Dompet Sofiana dibuka, lalu ditilik satu per
satu ruangan yang berada di dalamnya. Pelbagai kad dijumpai
tetapi masih bukan kad yang dikehendakinya. Lalu, dompet itu
juga ditolak ke tepi. Tas tangan isterinya itu dicapai semula.
Setiap kocek yang ada di dalam tas tangan itu diperiksa.
Tiba-tiba dia terasa sesuatu yang keras dan agak kecil
pada kocek paling belakang tas tangan itu. Hatinya tiba-tiba
berdegup kencang. Terketar-ketar tangannya membuka kocek
itu. Dan akhirnya, apa yang diinginkan kini telah berada di
tangannya. Pelbagai perasaan berbaur dalam hatinya saat ini.
Gembira, marah dan benci bercampur aduk menjadi satu.
Hakim gembira kerana akhirnya kad itu dijumpai
semula. Peluang untuknya bertemu dengan isteri dan
anaknya terbuka semula. Dia marah dan benci akan sikap
Sofiana yang seboleh mungkin cuba untuk memisahkan
mereka. Jangkaannya selama dua minggu ini memang tidak
salah. Ternyata Sofiana orang yang bertanggungjawab ke atas
kehilangan kad itu. Betul kata Amirah, isteri keduanya itu
akan sanggup melakukan apa sahaja asalkan dirinya dimiliki
seorang diri. Lalu tanpa membuang masa, Hakim terus
menghafal setiap patah perkataan yang tertulis di atas kad itu.
Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Abang....” Kedengaran suara Sofiana kembali
memecah keheningan bilik. Namun suara itu tidak meninggi
seperti tadi. Suara itu kedengaran seperti seseorang
yang sedang ketakutan. Perlahan-lahan Hakim berpaling
merenungi isterinya itu. Wajahnya begitu bengis. Pada waktu
itu, dia dapat melihat dengan jelas tubuh Sofiana yang hanya
berbalut tuala paras dada itu menggigil hebat.
Hakim mengangkat kad nama itu lalu ditunjukkan
kepada Sofiana.
“Apa maksud semua ni?” soalnya dengan nada marah
yang cuba ditahan. “Macam mana kad ni boleh ada dalam beg
tangan Sofi, sedangkan kad ni abang simpan bawah tilam?
Boleh Sofi jelaskan?”
“Er... er kad tu... kad tu....” Sofiana berusaha
mengerah otak untuk mencari alasan. Tapi nampaknya
otaknya gagal berfungsi saat ini. Dia tidak tahu hendak
memberikan alasan apa. Sememangnya dia yang mencuri kad
itu. Semua itu dilakukan untuk menghalang Hakim daripada
menjejaki isterinya. Silapnya juga kerana tidak membakarkan
saja kad itu. Pada awalnya dia memang berniat begitu. Entah
bagaimana dia boleh terlupa. Dan sekarang Hakim telah
menjumpai kad itu di dalam tas tangannya.
“Macam mana kad ni boleh ada dalam beg tangan
Sofi?” soal Hakim lagi. Kali ini soalannya itu dituturkan
lambat-lambat. Sengaja memberikan isyarat gesaan daripada
pertanyaannya itu.
“Er... Sofi... Sofi....” Sekali lagi Sofiana gagal
mengemukakan alasan. Sungguh akal penipunya amat
buntu. Sedangkan gelagatnya itu telah memberikan kepastian
kepada Hakim. Tidak perlu disoal lagi. Isterinya itu memang
berhati busuk!
“Sofi apa???” Hakim sudah mula menengking.
Tersentak tubuh Sofiana dek kerana terkejut. Air
matanya terus membanjiri kelopak mata. Tidak pernah
dirinya ditengking sebegitu oleh Hakim. Namun sejak Amirah
dijumpai, tengkingan itu kerap kali kedengaran. Yang pasti
semua itu telah membangkitkan kebenciannya buat Amirah
berlipat kali ganda.
“Sofi sengaja curi kad ni supaya abang tak dapat
jumpa dengan Amirah lagi, kan?” Hakim menjawab bagi pihak
Sofiana. Dilihatnya isterinya itu sudah tidak mampu lagi
berkata-kata. Orang bersalah memang begitu. Dia memang
jarang marah. Tapi sekali dia marah, akan meletup seakan
gunung berapi yang sudah lama tidak meletuskan lavanya.
“Kenapa Sofi buat macam ni? Apa yang Sofi dengki
sangat dengan Amirah, hah? Selama ni pernah ke abang
abaikan tanggungjawab abang pada Sofi? Tak, kan? Habis apa
yang tak cukup lagi? Kenapa nak halang abang jumpa dengan
isteri pertama abang? Kenapa Sofi nak pisahkan kami?”
Sofiana mengangkat kepalanya. Mata yang berair
dipaksa menentang sinar kemarahan yang terpancar di mata
suaminya.
“Sebab Sofi nak abang jadi milik Sofi seorang,” jawab
Sofiana dalam tangisan.
Hakim menolak rambutnya ke belakang.
“Masya-Allah Sofi. Apa yang Sofi merepek ni? Sofi
sedar tak Amirah juga isteri abang? Dia isteri pertama abang.
Dia juga ada hak ke atas abang. Sama macam Sofi. Kenapa
pula sekarang sifat tamak timbul dalam diri Sofi? Kenapa
dulu Sofi cakap Sofi sanggup berkongsi kasih abang dengan
Amirah? Kenapa sekarang lain pula?” marah Hakim lagi. Rasa
marah yang begitu membukit cuba dikawal ke tahap minima.
Mungkin sudah tiba masanya dia perlu berkomunikasi dari
hati ke hati dengan isterinya itu. Dia perlu menyingkap rasa
yang tersimpan si sebalik wajah yang cantik itu.
“Sofi tahu. Tapi dia rampas abang daripada Sofi.
Salahkah kalau Sofi nakkan hak Sofi semula? Lagipun kalau
Sofi tak menyatakan kesanggupan untuk bermadu, mahukah
abang ambil Sofi sebagai isteri? Mahukah abang ceraikan
Amirah? Tak, kan? Sofi terpaksa!” balas Sofiana, berani.
“Jadi Sofi perdaya abang selama ni? Sungguh abang
tak sangka, Sofi. Hati Sofi busuk! Tak ada hati perut! Abang
ingat, selama ni Sofi ikhlas terima Amirah sebagai madu,
tapi abang silap. Abang menyesal sebab terpedaya dengan
janji-janji Sofi. Abang menyesal! Kerana Sofi, abang abaikan
Amirah dan anak kami!” luah Hakim dengan nada kesal yang
teramat. Dia terduduk di birai katil. Dia benar-benar tidak
menyangka yang dia telah termakan dengan janji-janji manis
wanita yang berada di hadapannya ini. Sungguh dia tidak
sangka!
Sofiana meluru ke arah suaminya. Dia melutut
di sisi Hakim. Kaki lelaki itu dipeluk erat. Hatinya luluh
melihat keadaan suaminya itu. Hakim tampak begitu kecewa.
Dia tidak sanggup melihat keadaan Hakim itu. Tapi apa yang
lebih dia tidak sanggup ialah mendengar kata-kata penyesalan
Hakim ke atasnya. Suaminya itu seolah-olah menyesal
mengahwininya.
“Abang jangan cakap macam tu bang. Sofi minta
ampun. Tapi apa yang Sofi lakukan sebab Sofi terlalu cintakan
abang. Sofi tak sanggup berkongsi kasih abang dengan orang
lain. Apatah lagi Amirah. Teman baik Sofi sendiri. Sofi
tak boleh terima, abang. Dia rampas abang daripada Sofi.
Kerana dia, abang tinggalkan Sofi,” rayu Sofiana sambil
menyembamkan wajahnya ke kaki Hakim. Air matanya
menderu laju. Besar harapannya agar Hakim memaafkannya
dan melupakan segala yang telah berlaku. Biarlah hidupnya
dan Hakim bahagia seperti di awal perkahwinan mereka.
Saat di mana Hakim sentiasa memberikan perhatian kepada
dirinya seorang walaupun ada Amirah antara mereka.
Rayuan Sofiana makin menyebabkan hati Hakim
bertambah panas. Terus dia bangun dan menarik kakinya
kasar. Tarikan itu menyebabkan pautan Sofiana terlepas.
Semakin kuat esakannya kedengaran.
“Siapa cakap Amirah rampas abang daripada Sofi,
huh? Sofi jangan nak letakkan kesalahan sendiri di bahu
orang lain. Sofi yang tinggalkan abang. Konon nak mengejar
lelaki kaya yang mampu melayan tabiat Sofi yang kuat
bershopping tu. Masa tu abang ni apalah sangat. Tak berduit.
Sebab tu Sofi tinggalkan abang, kan? Sofi tahu tak, abang
kecewa sangat masa tu. Amirahlah yang banyak merawat
kelukaan abang sehingga abang jatuh cinta dengan dia. Dia
gadis biasa, tapi penuh dengan kelembutan. Sebab cinta
kami berkahwin. Abang memang cintakan dia. Dan sekarang
Sofi nak katakan yang Amirah rampas abang daripada Sofi?
Nonsense!!! Tilik kesalahan diri sebelum menuding jari
pada orang lain. Sepatutnya Sofi bersyukur, Amirah masih
boleh terima perkahwinan kita. Kalau tak disebabkan Sofi,
mungkin kita bertiga sudah bahagia sekarang. Tapi Sofilah
penyebab rumah tangga ni berantakan! Sofi penyebabnya!!!”
Hakim berkata kuat. Segala kekecewaannya
seolah-olah cuba dikeluarkan bersama. Tapi itu dirasakan
masih tidak cukup. Hatinya masih belum tenang. Sedangkan
Sofiana pula makin galak menangis.
“Ampunkan Sofi bang. Sofi salah tinggalkan abang.
Tapi dia tak sepatutnya muncul di antara kita bang. Dia
tak sepatutnya ambil kesempatan. Memang Sofi tinggalkan
abang untuk bersama dengan Akmal. Tapi abang percayalah,
Sofi tak pernah cintakan orang lain melainkan abang. Sofi tak
cintakan Akmal. Sofi hanya cintakan abang sorang.”
“Owwhh... dengan abang cinta. Jadi dengan Akmal,
Sofi cintakan duit dia sajalah, begitu? Sebab tulah Sofi merayu
nak balik pada abang dulu? Sampai sanggup hendak menjadi
isteri kedua? Sebab abang dah bekerja? Berjawatan besar,
macam tu? Sikap tamak Sofi memang tak pernah berubah,
kan? Harga cinta Sofi terlalu murah.”
Sofiana menggelengkan kepala. Kaki Hakim cuba
dipeluknya semula. Namun suaminya itu lebih pantas
menghindar. Dia tidak ingin disentuh wanita itu buat masa
ini. Dia tidak rela!
“Ampunkan Sofi bang. Sofi janji Sofi takkan buat
lagi. Sofi hanya cintakan abang. Sofi nak hidup bahagia di
sisi abang selamanya. Sofi nak abang!” Sofiana merayu
lagi. Dalam hati dia menyesal kerana meninggalkan Hakim
dahulu. Kalaulah dia tahu Hakim akan berjaya seperti
sekarang, sudah pasti dia tidak akan meninggalkan lelaki itu.
Dan pastinya Amirah tidak berpeluang untuk merampas cinta
lelaki itu.
“Sudahlah Sofi, abang dah penat. Selagi Sofi
tak berubah, selagi itulah jiwa Sofi akan sakit melihat
kebahagiaan rumah tangga abang dengan Amirah. Sepatutnya
Sofi bergembira kerana kita berjaya mengharungi hidup
berkongsi tanpa ada masalah. Bukan berusaha meruntuhkan
kebahagiaan orang lain dan membina kebahagiaan diri sendiri
di atasnya. Abang nak ingatkan Sofi, sama ada Sofi suka atau
tidak, abang akan tetap bawa Amirah dan anak kami pulang.
Dia isteri abang. Dia berhak dapat hak dia ke atas abang. Sofi
ingat tu!”
Sebaik sahaja ayat itu dituturkan, Hakim terus
melangkah keluar. Tidak sedikit pun dia berpaling ke arah
Sofiana yang sedang meraung memanggil namanya. Cuba
menghalangnya daripada meneruskan niat murninya itu.
Biar keluar air mata darah sekalipun, dia tidak akan berganjak
daripada keputusannya. Dia sudah tekad! Amirah dan Nasuha
perlu dibawa pulang.
‘Tunggu sayang, abang akan tawan hatimu semula.’