DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Manaf Hamzah. Show all posts
Showing posts with label Manaf Hamzah. Show all posts

Monday, 20 July 2020

Mutiara Dalam Debuan Kabus - Bab 10

KAMI segera menoleh dan aku melihat ibu tiri suamiku sedang tercegat di ambang pintu dapur. Tangan kirinya mencekak pinggang, sedang tangan kanan memegang beg kertas coklat berlogokan McDonald’s, yang tidak syak lagi mengandungi makanan segera untuk makan tengah hari Arianna.

“Mak cik sepatutnya tidak boleh keluar rumah selagi Aria belum pulang dari tadika,” Uzzam menegur.

Namun Puan Masirah mendengus.

“Maaf, aku bukan babu di dalam rumah ini, Zam. Lagipun, bukankah kita sudah ada orang gaji baharu sementara. Bahkan, Aria itu anaknya juga. Jadi, budak itu tanggungjawabnyalah.” Dia berjalan menuju ke meja makan, lantas meletakkan beg kertas McDonald’s di situ. “Nah, nenek ada belikan burger dan french fries untuk makanan tengah hari Aria,” tambahnya sambil memandang budak itu tetapi dengan renungan galak. Selepas itu dia pun berpusing dan keluar dari ruang dapur itu.

Arianna pula aku lihat segera melompat turun dari kerusi yang didudukinya tadi dan segera mendapatkan ayahnya sebaik sahaja kelibat Puan Masirah pergi. Dia berselindung di belakang kaki panjang ayahnya seolah-olah mahu menjauhkan diri daripada nenek tirinya itu. Adakah dia berasa takut atau benci terhadap wanita itu? Tidak dapat hendak aku duga. Bagaimanapun, aku akan cuba cungkil daripada Arianna jika ada masa yang sesuai.

“Ayah, Aria dah kenyang. Aria tak mahu makan McDonald’s yang nenek beli. Aria nak tidurlah,” Arianna mendongak memandang ayahnya. Sinar matanya sayu sahaja dan mulutnya mula menguap.

Uzzam tersenyum seraya mengusap-usap kepala anak perempuan kami itu.

“Tak apa, yang ini nanti ayah bawa ke tempat kerja dan kasi salah seorang pekerja ayah, hmm.” Lantas dia mendukung Arianna dan meninggalkan ruang dapur itu tanpa mempedulikan aku.

Aku melihat kedua-dua beranak itu pergi dengan hati yang hampa seolah-olah aku tiada di situ langsung. Tetapi perasaan itu aku segera tolak ke tepi. Yang penting, Uzzam dan Arianna suka dengan masakan aku.

 

AKU TIDAK boleh tidur malam ini. Puas aku cuba melelapkan mata yang awal tadi berasa cukup mengantuk sekali. Namun apabila kepala menyentuh sahaja bantal, tidak semena-mena fikiran aku berpusaran. Berbagai persoalan tentang diriku yang sebenar sekali lagi bergentayangan dalam kotak benakku.

Aku masih terkapar-kapar seperti seseorang yang akan lemas di lautan luas. Demi tidak mahu tenggelam dan berkubur di dasar laut itu, aku terpaksa tegarkan semangat dan tekad untuk terus berenang mencari daratan atau sebuah pulau. Aku tidak akan berputus asa.

Aku melepaskan keluh panjang seraya duduk di tengah-tengah katil dan terus mengelamun panjang dalam samar-samar malam yang mula dingin. Jam menunjukkan sudah pun pukul 2.15 pagi. Sekali lagi aku cuba buat fikiranku untuk ingat sesuatu tentang masa lampauku. Siapalah tahu dalam keadaan sekeliling yang senyap sunyi begini, aku dapat ingat sesuatu walaupun sedikit.

Maka aku pun duduk tegak, menarik nafas dalam dan pejamkan mata seperti sedang bertafakur. Kemudian aku cuba selak tabir hitam yang sekonyongnya menjadi semacam hijab menutup kenangan masa lampauku. Terutama sekali aku ingin kepastian sekiranya benar namaku ialah Aslin. Sementelah, satu sudut hatiku masih meragui bahawa itu bukan namaku.

Bagaimanapun, tabir hitam itu tidak dapat aku selak sama sekali. Yang mana apabila aku terus memaksa, itu cuma membawa mudarat kepada kepalaku sahaja. Luka di kepalaku mula berdenyut-denyut lantaran aku rasa sakit. Mungkin aku tidak harus menekan diriku dek tidak sabar ingin ingat semula.

Aku mengeluh lagi dan kali ini penuh keluh-kesah. Ada baiknya aku dengar sahaja nasihat doktor bahawa biarkanlah ingatanku kembali pulih dengan sendirinya.

Sesungguhnya, yang membuat aku payah hendak melelapkan mata ialah apabila teringatkan kata-kata Puan Masirah siang tadi. Wanita itu telah mendapatkan aku dengan wajah yang tegas dan sinar matanya yang memancarkan api marah, juga benci.

Justeru melihatkan kemunculan ibu tiri Uzzam itu, aku menggagahkan diri untuk apa sahaja kemungkinan. Bersedia untuk mendengar apa yang hendak diluahkan oleh wanita itu walaupun ia akan menggores pedih hatiku ini.

“Kalau kau fikir kau akan dapat memenangi hati Uzzam semula, hah... kau silap!” Puan Masirah menyerangku dengan nada suara yang parau. Dia berdiri tegak sambil mencekak pinggang. Matanya pula terjegil tatkala merenungku.

“Dan kau mesti ingat Aslin, bahawa kau dibawa balik ke rumah ini pun buat sementara saja. Yalah, nak pulihkan daya ingatan kau yang dikatakan tak dapat ingat masa lampau.” Nada suaranya mula agak tinggi. “Seperti yang pernah aku katakan dulu, entah-entah kau buat-buat hilang daya ingatan supaya dapat balik ke rumah ini. Dan aku yakin, tujuan kau tak lain adalah untuk pikat Uzzam semula. Mungkin setelah 4 bulan menghilangkan diri tanpa khabar berita entah dengan jantan mana agaknya, tapi selepas jantan itu bosan terhadap kau dan tinggalkan kau, kau pun terdesak untuk pulang. Mungkin, tak salah lagi, kononnya kau mengalami kecelakaan dilanggar lari adalah rancangan semata-mata.”

Serangan Puan Masirah itu yang agak bertubi-tubi, menuduh aku melulu begitu, aku pendamkan sahaja. Aku berdiam diri sahaja, tidak cuba melawan atau mencelah demi menegakkan kebenaranku. Sementelah lagi, dengan luka di kepalaku belum sembuh sangat, aku tidak mahu bergaduh atau apa. Biarlah wanita itu membuat prasangka dan andaiannya sendiri asalkan aku tahu bahawa apa yang sedang aku alami ini benar. Justeru aku menarik nafas panjang sambil beristighfar dalam hati agar aku dapat terus berdiri teguh dan imanku tidak goyah.

Seolah-olah mahu terus menyakitkan hatiku ini, Puan Masirah lantas telah bersuara lagi dengan ayat yang lebih tajam.

“Dan aku akan pastikan Uzzam tak akan ambil kau semula. Malahan, aku sungguh-sungguh berharap kau akan berambus dari rumah ini tak lama lagi. Lebih-lebih lagi, aku tak mahu hubungan Uzzam dengan Nora Asyikin yang kini semakin akrab menjadi renggang disebabkan kehadiran kau. Kerana untuk pengetahuan kau, mereka sudah bercadang untuk bertunang. Namun sebelum apa-apa yang tak diingini terjadi disebabkan kehadiran kau di sini, aku akan pujuk Uzzam agar terus bernikah saja. Bahkan sebelum itu, aku akan pastikan dia ceraikan kau dulu!” Dengan hujah-hujah yang cukup mendesingkan telingaku ini, dia pun telah berpusing dan masuk ke dalam rumah semula.

Aku mengeluh lagi sambil mengetepikan peristiwa siang tadi. Telah aku ingatkan diriku sendiri, bahawa aku mesti kuat. Malahan, aku akan menerima qadak dan qadar Allah andainya Uzzam akan menceraikan aku juga akhirnya. Mungkin hasratnya untuk memperisteri Nora Asyikin adalah yang terbaik untuk dirinya. Oleh itu, siapalah aku hendak menahan hasrat si Uzzam itu. Terutama sekali dengan sikapku yang tidak bertanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Bahkan, tanpa menceraikan aku pun Uzzam mampu berkahwin satu lagi.

Agak rimas duduk di tengah-tengah katil, sedangkan mata ini tidak juga mahu tidur, aku pun turun. Kemudian aku tuju ke bangku meja solek dan melabuhkan punggung di situ pula. Terdapat sebiji lampu meja kecil di situ dan aku pun nyalakan. Sekali gus membuat bilik yang kecil ini menjadi agak terang disimbah oleh cahaya lampu yang kekuningan.

Untuk beberapa waktu aku setakat duduk membatu sambil memandang imbasan bayangan wajahku di dada cermin meja solek itu. Aku masih mengenakan serkup berwarna hitam demi melindungi luka di tepi kepalaku. Kini rambutku sudah pun tumbuh semula. Mungkin dalam masa 3 atau 4 bulan lagi, rambutku ini akan panjang dan lebat semula.

Pada masa itulah aku teringatkan akan telefon pintar pemberian lelaki misteri itu. Maka aku pun mengeluarkannya dari laci tengah meja solek itu. Mungkin lelaki itu cuba menghubungiku melalui pesanan ringkas ketika aku sibuk siang tadi. Tetapi sekali lagi aku berasa hampa. Justeru tertanya-tanya juga aku, mengapakah lelaki itu memberikan aku telefon tersebut kalau masih senyapkan diri? Malahan aku rasa agak hairan juga, mengapa aku diberikan telefon pintar kalau perisiannya, lebih-lebih lagi aplikasi galeri kosong sahaja? Sebenarnya apakah agenda lelaki misteri itu agaknya? Haruskah aku mempercayainya? Sementelah sekali lagi aku ingin tahu, siapakah gerangan lelaki itu? Adakah kami ada pertalian antara satu sama lain?

Aku mengeluh panjang dan membelek sejenak alat komunikasi itu lantas mendapati kuasa baterinya sudah cukup rendah. Ia perlu dicas. Setelah melakukan begitu, aku sekali lagi duduk membatu di bangku bulat itu. Malam yang semakin larut membuat sekeliling senyap dan sunyi. Melainkan nyanyian cengkerik yang setia menemani malam. Nun di kejauhan kedengaran pula salakan beberapa ekor anjing. Mungkin sedang berkelahi. Namun begitu, aku senang mendengarkannya kerana hiruk-pikuk di luar sana meskipun kecil, membuktikan bahawa aku masih berpijak di bumi nyata.

Mataku lantas tertumpu pada almari pakaian. Pada masa yang sama aku teringat akan kitab suci Al-Quran yang tersorok di salah sebuah rak di sebelah bawah. Justeru mendapati tubuhku bersih dari sebarang hadas, aku pun bingkas, bercadang untuk ambil kitab suci itu. Sesungguhnya niat aku tidak lain, aku ingin tahu sekiranya aku tahu membacanya. Maklumlah kalau aku perempuan seperti yang dituduh oleh Uzzam, tentulah aku seorang yang jahil agama.

Setelah almari berdaun dua pintu itu aku kuak lebar-lebar, aku duduk di lantai seraya mencapai kitab suci Al-Quran itu. Menarik nafas panjang, lantas aku membuka Al-Quran itu tetapi dengan tangan yang terketar-ketar sedikit. Cahaya samar-samar dari lampu meja solek membolehkan aku membacanya. Dan aku setengah terpegun apabila aku dapat membaca surat Al-Fatihah dengan lancar. Selepas itu aku cuba membaca surat Al-Baqarah dan mendapati aku boleh membacanya dengan baik walaupun agak merangkak-rangkak.

Maka berasa lega dan puas hati yang aku sebenarnya tidaklah sejahil seperti yang aku sangkakan, aku pun menutup kitab suci itu. Setelah aku simpan semula kitab suci itu, aku terus duduk di situ, termangu sejenak. Kini aku sedang terfikir tentang soal solat. Pernahkah aku melakukan solat fardu lima waktu?

Sebaik sahaja perkara itu terlintas dalam benakku ini, tiba-tiba hatiku tergeletak untuk melakukannya. Memandangkan waktu dini hari adalah masa yang dikatakan cukup baik untuk melakukan solat sunat, bahkan dengan keadaanku sekarang ini, tentu inilah masa yang elok untuk memohon petunjuk dan hidayah daripada Ilahi. Pada masa yang sama aku akan tahu sendiri sekiranya aku seorang yang beribadah ataupun tidak.

Apabila keputusan itu aku capai, aku pun tidak berlengah dan bingkas ke bilik air. Aku setengah terpegun juga apabila mendapati aku tidak sedikit pun rasa kekok ketika mengambil wuduk. Seolah-olah aku sudah biasa melakukannya. Selesai berwuduk, aku pun mengenakan telekung yang ada bersama-sama dengan kitab suci Al-Quran itu. Bagaimanapun, selepas itu aku dalam dilema pula. Di manakah arah kiblat?

Justeru aku terkial-kial sejenak. Mungkin kerana niat aku murni, tiba-tiba gerak rasa naluriku seperti mengarahkan agar aku memeriksa salah sebuah laci di almari pakaian itu. Maka aku pun buka satu per satu. Alangkah bersyukurnya aku apabila aku menemui kompas petunjuk arah kiblat.

Setelah berjaya menemui arah kiblat, aku pun berdiri tegak di atas sejadah sahaja, seolah-olah tidak tahu bagaimana hendak memulakan. Mataku setakat merenung lama-lama gambar Kaabah yang ditenun indah pada sejadah itu. Namun akhirnya aku melafazkan niat, tetapi dalam bahasa Melayu, dan lantas memulakan solat. Tanpa aku sedari sendiri, aku dapat membaca setiap bacaan dalam solat tanpa teragak-agak.

Sebaik sahaja salam akhir aku beri, air mata yang telah bergenangan tatkala aku melakukan sujud yang agak lama, mengalir lesu ke pipiku. Selepas itu aku menadah kedua belah tangan dan mula berdoa dengan air mata yang terus berlinangan.

“Ya Allah, sesungguhnya kau saja yang mengetahui siapakah gerangan diriku ini yang sebenar. Justeru aku pohon kepada-Mu oh ya Allah, sembuhkan ingatanku ini semula. Andainya aku sememangnya seorang isteri yang curang dan inilah balasan yang aku terima demi ingin menyedarkan aku, aku reda oh ya Allah. Namun aku berharap Kau lembutkan hati suamiku agar dia memaafkan aku. Kerana tanpa kemaafan daripadanya, aku tahu Kau tak akan terima taubatku ini. Bagaimanapun, aku berharap Kau berikanlah aku petunjuk dan hidayah.”

“Sesungguhnya, aku sedar juga bahawa setiap kejadian ada iktibarnya. Oleh itu, berikan aku bimbingan agar aku dapat menjadi seorang perempuan, juga isteri, yang sebaik dan semurninya dari dulu. Dan aku reda juga andainya ketentuan-Mu aku terpaksa berpisah dengan suamiku. Memang aku hamba-Mu yang kerdil, oh ya Allah. Mungkin ada baiknya aku ditakdirkan hilang daya ingatanku ini kerana aku berasa malu akan apa yang telah aku lakukan pada masa lalu sekiranya aku akhirnya dapat ingat semula. Apa pun, terimalah taubatku ini oh ya Allah, agar hatiku tidak terus ditujah oleh perasaan serba salah dan berdosa.”

“Berikanlah aku jalan keluar dari apa saja masalah yang sedang dan akan aku hadapi. Kuatkanlah imanku agar aku tidak melakukan sesuatu yang melanggar akidah. Teguhkan semangatku supaya aku dapat menempuh masa depan dengan ketakwaan. Sesungguhnya, hanya kepada-Mu saja aku berserah supaya aku akhirnya mendapat rahmat-Mu. Amin.”

Namun aku tidak terus bingkas dari tikar sejadah itu. Aku terus duduk antara dua sujud, pejamkan mata seraya mengayun-ayun kecil tubuhku ini kerana hatiku berasa cukup damai sekali tika dan saat ini. Seolah-olah aku sedang dirangkul oleh perasaan sesuatu yang indah yang payah hendak aku gambarkan. Hingga air mata mengalir semula ke pipiku dan aku biarkan ia kering dengan sendirinya.

Aku mungkin telah terlelap sejenak di atas sejadah itu kerana tiba-tiba aku seperti dikejutkan oleh suatu bunyi yang datang dari arah pintu. Aku pun menoleh ke arah itu, tetapi pintu itu tetap tertutup rapat. Kemudian aku melepaskan keluh kerana mungkin itu setakat bunyi dalam mimpiku tatkala aku terlelap sejenak tadi.

Aku lantas melepaskan keluh panjang seraya menanggalkan telekung. 
 

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN JULAI 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah)

Mutiara Dalam Debuan Kabus - Bab 9

AKU akhirnya mendapat tahu bahawa semenjak tukang masak di rumah agam ini bercuti kerana balik kampung, keluarga itu sering makan di luar. Atau mereka akan membuat pesanan untuk dihantar ke rumah. Aku rasa kasihan pula walaupun hatiku masih memberontak untuk menjadi tukang masak sementara seperti yang disarankan oleh Uzzam.

Dan mana-mana makanan yang tidak habis, aku dengan senang hati menikmatinya. Namun begitu, aku lebih suka masak sendiri. Aku terus berasa pelik akan kegemaranku yang suka memasak itu. Sedangkan, kalau mengikut dari keterangan Uzzam, aku adalah seorang wanita yang suka melaram dan membeli-belah di kawasan Orchard Road. Tetapi apabila aku memasak, aku akan pastikan ahli keluarga rumah ini, terutama sekali Puan Masirah, tiada di rumah.

Sudah 5 hari aku berada di rumah ini. Aku mulakan tugasku sebagai orang gaji semalam. Seperti yang telah diarahkan, aku melakukan kerja-kerja orang gaji dengan hati yang rela. Aku akan mencuci pakaian-pakaian, membersihkan rumah serta menggosok. Bahkan aku diminta mengemas bilik juga. Bagaimanapun, aku dilarang keras masuk ke dalam bilik Uzzam. Perintah itu datangnya daripada Puan Masirah.

Sementara menunggu pakaian-pakaian yang sedang aku cuci di dalam mesin basuh siap untuk dijemur, aku duduk di bangku meja solek, membelek telefon pintar pemberian lelaki misteri. Sesungguhnya, aku mengharapkan lelaki itu menelefon atau menghantar pesanan ringkas selanjutnya, kerana aku seperti tidak sabar untuk mengetahui siapakah gerangan diriku yang sebenar. Namun apabila telefon itu terus senyap, aku dicuit rasa hampa juga. Ataukah masanya belum sesuai untuk lelaki itu menghubungiku lagi?

Siapakah gerangan lelaki itu agaknya?

Aku melepaskan keluh panjang seraya bingkas dan menuju ke jendela yang telah aku kuak lebar-lebar itu. Pandangan lantas aku lepaskan ke arah kebun kecil sekangkang kera yang masih belum aku usahakan demi membaiki keadaannya. Lagipun, aku belum punya peralatan yang sesuai untuk melakukan tugas itu. Sebenarnya aku sedang menunggu tukang kebun yang aku dapat tahu akan ke rumah ini sebulan sekali untuk mencantas dan mencantikkan pohon-pohon dan rumput yang memanjang di halaman depan rumah agam ini. Sebaik sahaja dia datang kelak, aku akan ajukan hasratku serta meminta pertolongannya. Mungkin nasihatnya juga.

Di muka jendela itu aku mengelamun sejenak. Angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa membelai lembut wajahku dan cukup menyamankan. Hingga membuat fikiranku terlontar untuk seketika memikirkan tentang keluarga suamiku ini.

Uzzam merupakan anak yang ketiga dalam empat orang adik-beradik. Dua orang yang tua adalah perempuan dan mereka sudah pun berumah tangga. Yang tua kini menetap di Dubai kerana mengikut suami yang bertugas di sana sebagai jurutera. Kakak yang nombor dua pula bertugas sebagai guru dan tinggal di kawasan Punggol. Sementara yang bongsu, berusia 23 tahun sedang melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Melbourne dalam jurusan kejuruteraan.

Ayah Uzzam bernama Zulkarnain Ibrahim, sudah pun berusia lewat 50-an. Seorang peniaga yang sentiasa sibuk dan berwibawa. Sekarang ini dia berada di Jakarta atas urusan perniagaan.

Begitulah yang telah diberitahu oleh Uzzam 2 hari yang lalu apabila aku bertanyakan tentang keluarganya. Sikapnya yang terus dingin terhadapku masih membuatkan aku terkesan dan tersinggung. Sesungguhnya, aku mula mendapati jiwaku ini sudah menjadi begitu sentimental sahaja. Kini hatiku mudah tergores dan merasa sedih.

Namun apa yang membuat aku masih terpinga-pinga dan tidak betah ialah perasaanku apabila berdekatan dengan lelaki itu. Naluriku sentiasa seperti tergugat dek kelemasan. Lebih-lebih lagi akan bauan colonge dan after-shave yang melekat pada tubuh sasanya. Cukup menyegarkan sehingga aku bagaikan dipukau mahu sahaja mendekatkan hidungku ke leher dan pipi kejapnya, menghidu bauan yang membuat suamiku itu lebih jantan dan gagah.

Pun begitu, aku segera mengingatkan serta mengawal diriku. Sikap gatal yang terbit bak bahang matahari di tengah hari dalam sanubariku ini membuatkan aku merasa aib terhadap diri sendiri. Aku tidak menyangka sama sekali aku boleh berkelakuan demikian. Sememangnya Uzzam cukup menggoda naluriku. Sayang sekali, dia bukan milikku lagi.

Aku mengeluh lagi seraya cuba mengikis semua bayangan diri suamiku itu dari benak. Apa sudah kena dengan aku ini? Aku sepatutnya cuba sembuhkan diriku sekali gus kembalikan daya ingatanku. Sebaliknya aku berkelakuan seperti seorang yang gila bayang sahaja. Terhegeh-hegeh terhadap suami yang tidak lagi mahu ada sebarang hubungan antara kami.

Aku lantas menumpukan semula fikiranku pada apa yang telah Uzzam beritahuku tentang keluarganya tempoh hari. Aku lantas telah rumus sendiri daripada penjelasannya itu.

Tentang Puan Masirah pula, dia telah menjadi ibu tiri Uzzam selama 2 tahun. Ibu kandung Uzzam telah meninggal lebih kurang 3 tahun yang lalu akibat barah hati. Sebenarnya Puan Masirah ialah kawan baik arwah ibu Uzzam dan seorang anak dara tua. Wanita itu cukup tegas dan susah hendak melihat senyum tersungging pada bibirnya. Sentiasa berpakaian rapi meskipun di dalam rumah. Tidak hairanlah anakku Arianna takut kepadanya. Tiada kemesraan di antara mereka. Atau mungkinkah Puan Masirah sejenis orang yang tidak suka kepada kanak-kanak?

Aku sedia maklum wanita itu memang tidak suka aku berada di rumah ini langsung. Kalau boleh, dia mahu menghalau aku seperti anjing. Pun begitu, dia terpaksa akur juga dengan kehadiranku. Bagaimanapun, aku tahu Puan Masirah akan cuba untuk mencari kesilapanku agar aku diusir sahaja oleh Uzzam. Maka itu aku akan pastikan wanita itu tidak dapat peluang berkenaan.

Ketika mengemas ruang tamu, potret keluarga yang besar dan disangkut pada satu dada dinding menarik perhatianku. Arwah ibu kandung Uzzam dan Encik Zulkarnain sedang duduk di sofa klasik yang berukir indah. Duduk bersama-sama mereka ialah dua orang anak-anak perempuan mereka. Sementara tiga pemuda berdiri di belakang. Salah seorang tidak salah lagi ialah suami kepada anak perempuan itu. Dan ibu kandung Uzzam aku dapati adalah seorang wanita berperawakan kecil dan jelita.

Turut menghiasi permukaan almari ialah beberapa buah gambar Arianna, dari bayi sehinggalah usianya sekarang. Tetapi yang menjadi kemusykilanku, mengapakah tiada gambar-gambar diriku di antaranya? Walaupun dalam gambar yang diambil beramai-ramai, tiada satu pun kelibatku kelihatan. Seolah-olah aku tidak pernah wujud dalam keluarga suamiku ini. Apatah lagi, gambar perkahwinan kami.

Tiba-tiba juga aku seperti dapat merasakan bahawa dengan membawa aku pulang ke rumah ini demi ingin kembalikan ingatanku mungkin sia-sia sahaja. Betapa tidak, sejarahku di dalam rumah ini, lebih-lebih lagi gambar-gambarku demi membuktikan aku pernah tinggal di rumah ini tiada langsung. Jadi, dengan tiada itu semua, bagaimana hendak menolongku dapat ingatanku semula?

Aku melepaskan keluh panjang. Sebenarnya, kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku meninggalkan rumah agam ini sekali lagi. Tetapi aku segera mengingatkan diriku sendiri. Aku tidak mahu menjadi seorang yang pengecut dan tiada pendirian. Sepatutnya aku tidak lekas putus asa sedangkan aku baru beberapa hari di rumah ini. Sementelah lagi, bukankah aku sudah berjanji dan bertekad untuk mengharungi apa sahaja dugaan?

Akhirnya aku menggagahkan jiwa ragaku untuk terus berada di dalam rumah ini. Lagipun, ke mana aku hendak pergi kalau aku ikutkan perasaan ini? Maklumlah dengan aku hilang daya ingatan, aku tiada arah tujuan langsung untuk mengadu kepada siapa.

AKU SEDANG menyidai pakaian di jemuran apabila van yang membawa pulang Arianna dari tadika berhenti di luar pagar besar rumah. Disebabkan tiada sesiapa yang menjemput Arianna, aku pun menghentikan apa yang aku lakukan dan menyongsong anak perempuanku itu. Aku percaya, dulu yang menyambut anak itu ialah Mak Leha ataupun orang gaji.

Namun apabila melihat diriku, Arianna tercegat di tempatnya tidak mahu bergerak. Van itu telah pun pergi sebaik sahaja mendapati ada orang yang akan jemput anak itu. Kepalanya tunduk sedikit dan merenungku dari bawah kening yang berkerut serta bibir menjebik. Kedua belah lengannya lurus ke tepi dan tangannya digenggam erat seolah-olah takut aku akan memukulnya. Bahkan dia seperti mahu menangis sahaja. Ketidakpercayaannya terhadapku masih tebal.

Justeru melihatkan kelakuan Arianna itu, aku tidak cuba mendekatinya. Aku setakat berdiri di tepi pintu pagar, memberi Arianna laluan untuk masuk.

“Nenek Sirah tak ada di rumah. Dia keluar jumpa kawan,” aku memecah dengan senyum. “Ibu... ibu saja yang tinggal. Ayuh, masuk. Aria tentu lapar. Ibu... ibu ada masak sesuatu di dapur. Aria tentu lapar, bukan?” Sesungguhnya, aku teragak-agak juga hendak menggunakan panggilan ‘ibu’ itu.

“Aria tak lapar. Aria tak mahu makan masakan ibu!” Namun Arianna menghamburkan dengan nada suara yang agak tinggi. Pada masa yang sama, dia pun berlari masuk dan terus meluru ke pintu hadapan.

Aku hanya dapat melepaskan keluh panjang, memandang kelibat budak itu lenyap di balik pintu hadapan rumah. Menyedari bukan mudah untuk memenangi hati anak perempuanku itu dalam jangka masa yang singkat, maka aku biarkan sahaja sikap dan kelakuannya terhadapku. Lagipun, aku tidak tahu apa yang telah ahli keluarga rumah ini sogok dalam hati dan minda anak itu tentang diriku ini selama aku menghilangkan diri. Sudah pasti yang buruk-buruk hingga perasaan benci akhirnya tertanam dalam sanubari anak itu terhadapku.

Pun begitu, aku rasa agak lega kerana Arianna tidak menyatakan, ‘kau bukan ibuku!’. Justeru menunjukkan dia masih mengaku bahawa aku adalah ibunya. Mungkin ada harapan untuk aku memenangi hati anak perempuanku itu.

Selesai sahaja menyudahkan jemuran, aku pun menuju ke dapur untuk makan tengah hari. Selagi Puan Masirah masih keluar, aku akan menggunakan kesempatan ini. Sebenarnya aku telah masak sedikit lauk asam pedas ikan tongkol.

Sedang aku menikmati hidangan tengah hari, naluriku merasakan bahawa aku sedang diperhatikan. Aku pun menoleh ke arah pintu dan terlihat sedikit kelibat Arianna sedang mengintaiku dari tepi birai pintu.

Sedia maklum bahawa anakku itu tentu lapar, aku pun memanggilnya masuk.

“Ibu... ibu ada masak lauk asam pedas. Kalau Aria nak makan, ibu... boleh sediakan. Tak pedas. Tapi kalau Aria tak suka, ibu boleh gorengkan telur dan Aria bolehlah makan dengan kicap,” ujarku dengan nada suara yang lembut berserta senyuman.

Tetapi apabila anak perempuanku itu tidak berganjak seolah-olah terus meragui diriku ini, aku pun terus memujuk.

“Aria tak perlu takut dengan ibu tau. Ibu... ibu minta maaf kalau ibu pernah bersikap kasar terhadap Aria dulu. Nah, sekarang ibu dah dapat balasannya. Jadi, ibu cuba berubah sedaya yang boleh. Aria maafkan ibu, kan?”

Arianna terus berdiri di tepi pintu itu menunjukkan bahawa kepercayaannya terhadapku masih di tahap sifar. Aku mengeluh dan lantas menggunakan pendekatan lain.

“Okey, macam ginilah... Aria kasi tahu ibu apa yang Aria mahu makan, ibu akan cuba sediakan. Macam mana? Maaflah, dalam keadaan ibu begini, ibu tak ingat langsung apa yang Aria gemar makan.”

Arianna mengetap bibirnya. Dari air mukanya, aku dapat membaca bahawa dia sedang berfikir panjang. Hatinya sedang berbelah bahagi.

Sambil menunggu anakku itu membuat keputusan, aku pun pura-pura menghindarinya dan menikmati semula hidangan tengah hariku. Dari ekor mata, aku memerhatikan tindak-tanduk anak perempuanku itu.

“Aria... Aria nak makan nasi telur,” akhirnya Arianna memecah dengan suara yang perlahan dan setengah teragak-agak. Dia masih tidak bergerak dari tempatnya.

“Nasi telur, hmmm?” ujarku agak kurang mengerti juga apakah yang dimaksudkan oleh anakku itu. Aku lantas mendongak dan berfikir sejenak, cuba menduga apakah sebenarnya Arianna mahu. Tidak lama kemudian, aku pun tersenyum lebar, memandang kepadanya semula seraya mengangguk.

Lebih kurang 10 minit kemudian, aku selesai menyiapkan nasi goreng yang telah aku gaul dengan dua biji telur. Sebelum itu telur-telur itu telah aku kocok dengan sedikit garam agar memberi rasa dan selepas itu aku campur dengan nasi yang telah aku panaskan menggunakan butter di dalam kuali.

Ariana yang telah duduk di salah sebuah kerusi meja makan itu menghirup asap yang berlegar-legar dari nasi goreng telur itu dengan senyum lebar, menunjukkan dia tahu nasi goreng itu tentunya sedap belaka.

“Makanlah selagi masih panas, Aria. Tapi hati-hati tau,” aku mengingatkan dengan senyum sebaik sahaja Nasi Goreng Telur itu aku hidangkan di depannya. “Aria nak minum apa?”

“Jus oren,” jawabnya dan tersenyum juga. Senyuman yang mirip denganku.

Alangkah senangnya hatiku ini melihatkan sikap Arianna itu. Justeru menunjukkan bahawa aku telah dapat meruntuhkan sedikit dinding beku dalam hati Arianna terhadapku. Aku rasa seperti ketika ini sedang mendapat anugerah sahaja.

“Sedap?” tanyaku sambil meletakkan segelas jus oren di depan pinggan berisi Nasi Goreng Telur itu yang dinikmati oleh Arianna dengan penuh selera.

Arianna mendongak dan mengangguk kerana dalam mulutnya penuh dengan nasi yang baru disuap. Bahkan dia boleh juga tersenyum.

“Ibu nak ke tandas sekejap. Aria habiskan nasi goreng itu ya,” beritahuku.

Dia mengangguk lagi lantas terus menikmati hidangan di hadapannya.

Tanganku ingin sekali mencapai dan mengelus-elus kepala Arianna, tetapi aku segera membatalkan hasrat itu kerana terlalu awal untuk aku berbuat begitu. Lagipun, aku belum pasti sekiranya hati anakku itu telah mula lembut terhadapku hanya disebabkan aku telah menggorengkan nasi untuknya.

Namun, ketika aku melangkah keluar dari tandas, tiba-tiba aku terdengar suara Uzzam menegur Arianna. Langkahku terhenti. Pun begitu, aku berasa hairan juga, mengapakah Uzzam pulang begitu awal? Dia ambil cuti setengah hari ke?

“Eh, Aria buat apa sorang-sorang di dapur ni? Curi makan, eh?” Begitulah yang disuarakan oleh Uzzam secara mengusik.

Disebabkan tandas agak terselindung dari ruang dapur, maka aku setakat tercegat di situ, menghendap demi ingin tahu apakah yang sedang anak dan ayah itu bualkan.

“Anak ayah makan apa tu?”

“Nasi goreng campur telur. Ibu yang masakkan. Sedap tau, ayah. Ayah nak rasa?”

Senyap sejenak, tetapi aku dapat bayangkan bahawa ketika ini Uzzam sedang menyahut ajakan anak kami itu. Tidak salah lagi, Arianna sedang menyuapkan sesudu nasi goreng itu ke mulutnya.

“Sedap, kan?” Arianna lantas bersuara.

“Hmm, sedap. Tapi mana ibu?”

Sebaik sahaja mendengar dia bertanya begitu, aku segera ke tandas semula, kemudian buka dan tutup daun pintunya dengan agak kuat, kononnya aku baru sahaja melangkah keluar.

Aku melangkah ke ruang makan itu semula dan pura-pura terkejut melihat Uzzam berada di situ. Pun begitu, seperti hari-hari sebelumnya, tiba-tiba sahaja degup jantungku merentak-rentak pantas. Pakaian Uzzam masih kemas dan rapi, cuma tali lehernya sahaja telah ditanggalkan.

“Eh, Encik Uzzam cuti setengah hari ke?” tanyaku, setakat hendak memulakan perbualan.

“Balik sekejap, kerana nak pastikan yang Aria pulang dari tadika dalam keadaan selamat,” jawabnya dengan nada suara yang ketat. Kemesraan yang telah aku dengar apabila dia berbual dengan Arianna tadi lenyap sama sekali. Malahan wajah yang tampan itu tegas sahaja.

Aku mengangguk sambil mengetap bibir.

“Nasib baik saya ada di rumah, Encik Uzzam. Puan... eh, Ibu Sirah keluar berjumpa kawan. Bayangkanlah rumah ini kosong, memandangkan orang-orang gaji dah tak ada, dan van itu pula hantar dia pulang. Sepatutnya untuk sementara waktu, hingga orang gaji baharu tiba, encik ambillah Aria sendiri di tadikanya, kerana itu lebih selamat,” suaraku.

Seolah-olah aku sedang menegur akan kesilapannya, wajah Uzzam semakin sengit dan dia melemparkan aku renungan galak. Andainya Arianna tiada bersama-sama, tentu aku sudah pun dijerkah agar jangan cuba hendak mengajarnya.

Renungan tajam Uzzam itu membuat hatiku kecut. Aku segera menundukkan wajah.

“Apa kau masak?” tanyanya tidak lama kemudian dengan nada suara yang agak lembut. Teguranku tadi seolah-olah tidak dihiraukan. Atau dia sengaja buat begitu kerana aku dapati Arianna sedang memerhatikan tindak-tanduk kami dengan dahi dikerutkan dan bibir diketap. Seolah-olah menjangkakan satu pertelingkahan akan berlaku. Mungkin sebelum ini, aku dan Uzzam sering bertengkar.

“Asam pedas ikan tongkol,” aku pun memberi jawapan dengan senyum. Malahan aku memandang ke arah Arianna untuk memberi keyakinan kepadanya bahawa antara ayah dan ibunya tiada sebarang perbalahan pun.

Apa yang aku lakukan ternyata membawa kesan yang baik kerana wajah comel itu berubah cerah kembali seolah-olah lega dan sekuntum senyum kembali terukir di bibirnya.

“Ada lagi? Aku pun belum makan tengah hari lagi,” ujar Uzzam sambil melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan dengan Arianna.

Mujurlah nasi yang aku masak ada lagi setelah memasakkan Nasi Goreng Telur untuk anak kami tadi. Manakala lauk asam pedas itu ada lagi sepotong ikan tongkol dan kuahnya tidak begitu banyak. Namun begitu, cukuplah untuk Uzzam seorang.

“Adalah sedikit. Encik mahu?”

“Bolehlah,” angguk suamiku.

Setelah aku sajikan hidangan tengah hari itu untuk Uzzam dengan tambahan sayur brokoli hijau yang telah aku goreng dengan hirisan cili dan bawang besar berserta telur dadar, aku pun membiarkan dua beranak itu menikmati hidangan mereka. Malahan aku sediakan segelas jus oren juga untuknya.

Selepas itu aku sibukkan diri dengan membersihkan dapur dan pinggan mangkuk serta peralatan dapur yang telah aku gunakan.

Arianna telah pun menghabiskan Nasi Goreng Telur itu hingga bersih pinggannya.

“Sedap, ayah?” aku lantas mendengar Arianna bertanya.

Tetapi aku tidak mendengar sebarang jawapan daripada Uzzam. Aku menduga bahawa dia mungkin setakat mengangguk sahaja. Namun untuk kepastian serta begitu ingin tahu apakah pendapat dia tentang masakanku itu, aku pun menoleh.

Alangkah terpisat-pisatnya aku apabila mendapati Uzzam sedang memandang ke arahku. Mata kami bertentangan sejenak sebelum aku putuskan dengan berpusing, menumpukan perhatianku pada cucian itu semula. Debaran jantungku kembali berdegap-degup dengan pantas dan kuat, bagaikan seekor kuda sedang berlari pecut.

“Sejak bila kau pandai memasak, Aslin?” Tiba-tiba aku mendengar Uzzam bertanya di belakangku dan cukup dekat sekali.

Tentu sahaja aku terkejut dan menegakkan tubuhku sekali gus belakangku tersentuh dada bidang suamiku itu, lantaran menunjukkan bahawa dia benar-benar berdiri cukup dekat sekali. Ini disebabkan dia mahu meletakkan pinggan mangkuk yang kotor ke dalam singki.

Nafasku setengah tertahan. Debaran di dadaku semakin hebat. Lebih-lebih lagi apabila terhidu bauan dari tubuh sasa Uzzam yang acap kali membuat naluri wanitaku lemas dek terpesona. Bahkan aku hampir terjelepok ke lantai kerana pada masa yang sama, pipi kiri kasarnya menggesel pipi kananku. Sentuhan yang cukup menggetarkan zahir dan batinku.

Aku dapat mendengar nafas Uzzam juga tertahan di belakangku. Sesungguhnya dia juga tidak terkecuali. Naluri lelakinya juga terkesan. Apakah ini bermakna aku masih ada harapan?

Namun sebaik sahaja hatiku berbisik begitu, tiba-tiba Uzzam segera menjauhkan diri daripadaku, seolah-olah tidak betah berdekatan denganku lebih lama. Malahan aku mendengar dia mendengus-dengus keras dan membuatkan aku agak terkilan. Dan entah mengapa, aku rasa seperti kehilangan sesuatu apabila tubuh sasa itu berjauhan.

“Eh Zam, apa makna semua ni, hah?” Tiba-tiba kedengaran suara Puan Masirah menegur dengan nada suara yang parau.