DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Ismeana Nur. Show all posts
Showing posts with label Ismeana Nur. Show all posts

Friday, 1 April 2022

Penakluk Hati Abang Jambang - Bab 9


“AWAK ni ke budak yang nama Fatehah tu?” Lontaran suara Iftitah kedengaran tegang. Renungan tajam matanya memang tunjuk rasa tidak puas hati. Angin marah seakan menguasai diri. Namun hakikatnya sewaktu Fatehah masuk ke bilik pejabatnya tadi, perasaannya berdebar tak tentu arah. Tak tahu kenapa. Tetapi, dia cuba abaikan saja.

“Err... ya saya, Encik Iftitah. Saya Fatehah,” tergagap-gagap juga dia jadinya apabila terpaksa berhadapan dengan lelaki ini. Nampaknya ini kali kedua dia masuk ke bilik itu.

Tatkala Tasya datang memanggilnya tadi, dia sudah tak senang duduk. Mengapa lelaki itu memanggilnya? Dia teringat perbualannya dengan Tasya sebentar tadi.

“Ada hal apa ya Cik Tasya? Kenapa saya pula yang kena panggil?” sempat juga Fatehah bertanya tatkala gadis itu datang ke mejanya. Manalah tahu dia boleh bersedia lebih awal jika disoal jawab.

“I don’t know. Sendiri buat, sendirilah tanggung. Dah, pergi. Karang I pula yang kena.” Hanya itu yang dijawab Tasya sebelum berlalu meninggalkan dirinya terkontang-kanting. Apa yang pasti, dia perasan jelingan dan senyum sinis gadis itu.

Fatehah tundukkan wajah. Tidak mampu rasanya mahu terus mengangkat kepala menghadap wajah kacak yang masam mencuka itu. Debar di dada kini sangat menyeksakan. Tubuh pula rasa seram sejuk. Dia masih tidak tahu alasan apa yang membawanya ke sini. Berkenaan laporan yang dia buatkah? Kalau silap, memang terpaksalah dia menerima teguran daripada bosnya ini.

Fatehah menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Dia tidak mahu lelaki ini melihatnya gelabah. Kedua-dua telapak tangannya sudah berpeluh.

“Awak tahu sebab apa awak kena panggil ke sini?” soal Iftitah. Tangannya bersilang ke dada sambil menyandar di kerusi empuknya dengan gaya megah.

Fatehah menggeleng.

“Boleh awak jawab fasal kertas ni?”

Kertas ronyok berwarna merah jambu kini dicampak di atas meja di hadapan si gadis. Fatehah tersentak. Dia mendekati meja itu dan mengambil kertas yang telah ronyok lalu dibaca isi tulisannya. Hanya sekadar dibaca di dalam hati. Matanya terus membulat.

“Saya nak awak baca apa yang tertulis atas kertas tu.” Fatehah telan liur. Wajah Iftitah dipandang.

“Tengok saya kenapa? Saya kata baca!” Fatehah terkejut apabila dijerkah begitu.

“Baca!” Iftitah menghentak meja.

“Saya suka awak, Encik Iftitah.” Fatehah terus laju membaca. Namun perlahan sahaja suaranya.

“Kuat sikit!”

“Saya suka awak, Encik Iftitah.” Kini suara Fatehah lebih kuat berbanding tadi.

“Once more! Baca sambil pandang saya.”

Gulp! Rasa kering tekak Fatehah mendengar arahan yang tak masuk akal itu. “Saya... saya...” Memang rasa tak terkeluar suara apabila memandang wajah yang mencuka itu.

“Awak dengar tak arahan saya!” Sekali lagi suara itu menerjah tajam ke pendengaran.

“Ya... ya... saya dengar.” Fatehah membetulkan kedudukan cermin mata di puncak hidung. Nafasnya ditarik dalam cuba mencari sedikit kelegaan. Seperti yang diarah, terpaksa juga dia mengulang baca ayat yang tertulis sambil matanya memandang wajah ketat dan tegang di hadapannya.

“Saya... suka awak, Encik Iftitah.” Ton suara Fatehah lembut sahaja.

Iftitah memandang gadis yang tertunduk. “Saya nak cakap ni, tolong pandang saya!”

Mendengar suara itu segera Fatehah angkat wajah.

“Sekarang ni saya nak awak jelaskan apa tujuan sebenar awak tulis memo tu dan beri kepada saya. Awak nak tackle hati saya ke?” Renungan mata Iftitah menyambar mata bundar di sebalik cermin mata itu. Fatehah menggeleng.

“Jawab dengan suara!”

“Maaf, Encik Iftitah. Ni bukan saya yang tulis. Saya tak tahu apa-apa.” Sedaya upaya Fatehah bersuara untuk memberi penjelasan.

“Jangan nak menipu!” Iftitah tepuk meja dengan kuat. Berdentum bunyinya. Terjongket bahu Fatehah kerana terperanjat.

“Saya... saya cakap betul, Encik Iftitah. Ni bukan tulisan saya. Nampak hampir sama, tapi bukan saya yang tulis. Tulisan saya tak bulat-bulat sangat macam ni.” Berani juga Fatehah menjawab walau dalam takut-takut. Sememangnya bentuk tulisan yang tertulis itu berbentuk sedikit bulat. Tidak sama seperti tulisannya.

“Berani betul awak menjawab depan saya ya!” Anak mata Iftitah mencerlung memandang wajah si gadis.

“Saya tak bermaksud melawan encik. Saya cakap yang benar. Lagipun saya memang tak suka dekat encik. Takkan saya nak tulis macam ni. Sumpah!” Fatehah mengangkat tangan kanannya separas bahu, bukti dia bersumpah.

“Jadi, awak tak suka saya?”

“Tak.” Fatehah menjawab sambil menggeleng kepala.

Iftitah terdiam sambil hembus nafas kasar. Matanya masih merenung wajah si gadis yang bercermin mata.

“Sebab apa awak tak suka saya?”

Kini giliran Fatehah pula terdiam. Terkelu untuk menjawab soalan itu.

“Saya tanya sebab apa awak tak suka saya?” ulang Iftitah. “Jawab!” jerkahnya.

“Diaorang kata encik ni garang.” Keluar juga ayat dari mulut Fatehah. Jujur dan berani.

“Garang? Saya ni garang ke?” Renungan tajam Iftitah masih tidak berganjak pada seraut wajah cuak pekerjanya ini.

Fatehah jongket bahu.

“Jadi, awak dengar orang lain cakap saya ni garang, awak pun tak suka sayalah.”

Fatehah diam lagi. Tidak tahu nak menjawab. Hanya terpaksa telan liur sendiri sambil kepala kembali tertunduk menekur lantai. Sedih rasa hati. Apalah nasib. Baru seminggu masuk kerja, dah kena marah-marah dengan bos sendiri. Rasa nak menitik juga air matanya saat ini. Namun ditahan sahaja. Dia tidak mahu dilihat cengeng oleh lelaki ini.

Suasana jadi sepi.

Iftitah hela nafas kasar. Ditenangkan diri seketika. Kemudian dia mengambil kertas memo pelbagai warna di dalam laci mejanya lalu ditolak ke hadapan Fatehah. Fatehah hanya memandang. Keliru.

“Okey. Kalau awak kata tu bukan tulisan awak, tak apa. Saya nak awak buktikan. Saya nak awak tulis semula ayat tu pada kertas yang saya beri ni. Nah, pen. Tulis sekarang. Dekat depan saya.”

“Saya cuma nak pastikan bentuk tulisan awak. Satu perkara saya nak ingatkan awak. Jangan cuba tipu tulisan awak. Kalau awak cuba menipu, siaplah. Tahulah saya nak hukum awak!” tambah Iftitah lagi.

Fatehah mengangguk. Nampaknya lelaki ini serius. Siapakah yang cuba menganiaya dirinya dengan cara sebegini? Adakah orang itu Cik Tasya? Atau mungkin Kak Nori? Yalah. Kak Nori kan setiausaha lelaki itu. Pastinya fail itu diterima Kak Nori dahulu sebelum diserahkan kepada bosnya.

“Apa berangan lagi. Tulis!”

“Err... boleh saya duduk?” pinta Fatehah. Lagipun takkan dia nak tulis sambil berdiri.

“Duduklah.” Iftitah mengizinkan walaupun nada bicaranya tidak mesra.

Fatehah melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan dengan lelaki ini. Hanya meja menjadi pemisah mereka berdua. Dalam perasaan yang tidak tenang, dia mengambil jua kertas memo berwarna merah jambu itu berserta pen yang telah disediakan untuknya. Dia terpaksa juga menulis apa yang dikehendaki lelaki itu.

‘Saya suka awak, Encik Iftitah. Aduhai... macam tulis memo cinta pula. Suruhlah tulis ayat lain. Bukan tak boleh pun,’ desis hatinya.

Helaian pertama kertas yang ditulis diserahkan kepada lelaki ini. Iftitah melihat tulisan sebenar milik Fatehah. Dia cuba membandingkan dengan tulisan di atas kertas ronyok berwarna merah jambu tersebut.

“Tulis lagi. Ingat. Jangan cuba tipu tulisan awak!”

Fatehah akur. Ditulis lagi dan diserahkan kepada lelaki itu. Iftitah terus membuat perbandingan.

“Lagi.”

Fatehah menurut sahaja. Setelah ditulis, kertasnya kembali dihulurkan.

Pandangan mata mereka bertaut untuk seketika. “Kenapa pandang saya? Tulislah lagi. Pastikan setiap helaian kertas tu awak tulis ayat yang sama.” Nada itu serius sahaja dengan roman wajah yang langsung tidak terlorek senyum.

“Semua ni ke encik?” Fatehah menunjukkan kertas memo yang agak tebal, tetapi tidak tahu berapa helai.

“Ya. Semua tu. Sekarang ni saya ada kerja nak buat, jadi saya buat kerja saya dan awak siapkan benda tu. Lepas ni saya nak semak satu per satu.” Kini tangan Iftitah beralih kepada papan kekunci laptopnya.

“Kalau macam tu saya buat dekat tempat saya ajelah encik. Saya tak nak ganggu kerja encik.”

“Tak payahlah nak balik tempat awak tu. Buat aje dekat sini. Tak hadap pun saya kalau awak ada dekat depan ni.” Sinis benar bicara itu dengan muka tanpa secalit senyum.

Fatehah akur. ‘Berlagak! Patutlah orang tak suka dia. Garang campur berlagak. Gagak! Pakai pula kot hitam. Memang gagak hitamlah. Memang gelaran Gagak Hitam tu sesuai sangat untuk kau. Hmm... tapi itulah. Memang tak sangka dia ni Abang Jambang Hensem yang selalu beli cempedak di gerai abah tu. Berbeza sangat personalitinya. Sebab sebelum ni nampak dia ramah mesra, tak sombong walaupun kaya, sekarang ni, aduhai... menyakitkan hati pula rasanya,’ bebelnya dalam hati.

Sebelum ni Fatehah cuba meyakini hatinya bahawa wajah itu hanya pelanduk dua serupa. Mungkin adik-beradik kut. Tapi sekarang ni memang tidak syak lagi. Memang dia yakin lelaki ini memang orang yang sama walaupun kini tidak mengenakan kaca mata hitamnya. Sebabnya, dia terlihat jelas tanda tahi lalat di cuping telinga lelaki ini. Tak mungkin hanya kebetulan. Begitu juga dengan gaya rambut. Memang persis si Abang Jambang Hensem yang dia kenal.

Fatehah terus laju menulis. Cepat siap, cepatlah dia keluar dari bilik itu.

“Jangan tulis cincai-cincai. Awak nak cepat nak ke mana? Selagi saya tak benarkan awak keluar dari bilik ni, selagi itulah awak kena duduk sini. Faham!”

Fatehah menelan liur. ‘Habis tu kalau nak terkucil macam mana? Dahlah aircond dekat dalam bilik ni sejuk semacam. Rasa sejuk dah sampai ke tulang dah ni. Dia tak sejuk ke? Hmm... agaknya orang yang berhati panas ni, haba terpendamnya lebih kut,’ desis hatinya.

“Berangan apa? Tulislah!”

‘Aisehmen... dia duk perhati aku rupanya. Sambil buat kerja, rupanya mata tu sempat menjeling,’ detik hatinya.

Fatehah meneruskan kerja menulis ‘memo cinta’ untuk bosnya itu. Job paling win di abad ini. Sesekali dia berhenti menulis. Rasa lenguh juga jari-jemari walaupun ayat tersebut tak panjang mana pun.

‘Ni kalau tulis sampai 44 kali, mahu makbul doa aku suka dekat dia ni. Huh! Tak ingin aku nak suka dia. Siapalah yang aniaya aku ni? Terpaksa aku buat kerja bodoh macam ni. Dahlah baru masuk kerja. Kalau abah tahu ni, mampus!’

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

Penakluk Hati Abang Jambang - Bab 8


 “ASSALAMUALAIKUM. Selamat pagi.” Teguran lunak itu membuatkan Fatehah menoleh pandang. Tika itu dia sedang bertinggung memberi beberapa ekor kucing makanan yang dibawa daripada rumah. Sambil itu dibelai-belai juga makhluk comel yang berbulu itu.

“Waalaikumussalam. Eh, abang rupanya. Ingatkan siapa tadi,” ujar Fatehah kepada lelaki yang kian menghampirinya. Itulah lelaki sama yang pernah menegurnya sebelum ini tika dia memberi kucing-kucing di situ makanan. Nampaknya hari ini mereka berjumpa lagi.

“Dah bertambah ke adik angkatnya tu? Hari tu 3 ekor aje. Ni dah jadi 5 pula.”

“Haah. Biasalah bang. Dia panggil geng. Hmm... nama abang siapa ya? Hari tu jumpa lupa pula nak tanya nama. Tahu-tahu kita borak aje.” Hakikatnya memang dia terlupa untuk bertanyakan nama lelaki itu.

Bicara Fatehah membuatkan si jejaka mengukir senyum. Suka melihat keperibadian gadis ini walaupun secara mata kasar.

“Nama abang, Fayyad. Panggil aje Abang Yad. Nama adik?” Dia juga ingin tahu nama si gadis berparas ayu dan comel yang bersamanya kini.

“Nama saya Fatehah. Panggil aje, Teha.”

“Oh, Teha. Comelnya nama seperti tuannya juga.” Bibir Fayyad mengulas senyum. Sememangnya dia ingin mengenali gadis ini sejak pertemuan kelmarin. Cuma waktu tidak mengizinkan kerana si gadis ingin bergegas ke tempat kerja.

“Awal sampai pagi ni.”

“Kebetulan bas cepat, cepatlah sampai.”

“Teha... tengah hari nanti lunch dengan abang jom. Saja nak borak-borak dengan Teha. Kenal Teha. Boleh tak?”

“Tak naklah.”

“Kenapa? Takut dengan abang ke?”

“Taklah takut, tapi...” Fatehah menggaru kening. Serba salah nak menjawab.

“So, kira tak bolehlah ni. Tak boleh tak apalah. Abang faham. Ni ada kuih sikit. Abang dah sarap tadi. Alang-alang ada lebih ni Teha ambillah. Ke takut juga nak ambil?” Fayyad ukir senyum. Wajah Fatehah dipandang. Dia sebenarnya cuba membuat penilaian tentang gadis ini.

Fatehah memaniskan roman wajah. Huluran itu tetap disambut. “Terima kasih. Fasal lunch tu, sorrylah. Saya tak biasa nak lunch berdua dengan lelaki. Kalau ada yang teman, saya tak kisah sangat. Lagilah saya baru kenal dengan abang.”

“It’s okay. Baguslah Teha ada pendirian macam tu. Abang saja test.” Fayyad hanya tersenyum.

Fatehah tercengang. Oh, rupanya dia sedang diuji. Nak kata takut, dia tidak rasa begitu. Sebab dia rasa si Fayyad ni kategori orang baik-baik.

“Saya pergi kerja dululah. Karang lambat pula.” Fatehah meminta diri.

“Okey, hati-hati. Kerja elok-elok. Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam.” Fatehah berjalan pergi.

Fayyad hanya memerhati langkah yang pergi itu dengan senyuman. ‘Fatehah... pastinya selepas ni kita bertemu lagi. I know you’re very special,’ bisiknya dalam hati. Fayyad kemudian menyambung kerjanya, menyapu dan membersihkan kawasan sekitar. Terkadang dia aneh dengan sikap manusia. Membuang sampah sesuka hati. Sudah disediakan tong sampah pun, sepertinya tidak berfungsi. Masih juga bersepah sana sini.

 

IFTITAH MELANGKAH masuk ke bilik pejabatnya. Sempat lagi dia menegur setiausahanya, Nori. Kini dia duduk di kerusi empuk miliknya. Terdapat 2 fail di atas mejanya. Fail pertama diambil, diselak dan dibaca. Dia tersenyum kerana berpuas hati dengan apa yang dilaporkan. Kini dia beralih kepada fail kedua. Sama seperti tadi. Helaian pertama, kedua dan ketiga tiada masalah baginya. Namun apabila tiba pada helaian keempat, matanya tertancap pada sehelai kertas memo kecil berwarna merah jambu yang dilekatkan di situ.

SAYA SUKA AWAK, ENCIK IFTITAH. 

            Membulat matanya apabila membaca coretan yang tertulis. Dia mendengus kasar. Siapalah yang berani sangat menulis kata sedemikian. Memang nak kena penampar agaknya. Tak tulis nama pula tu. Serta-merta hatinya rasa panas. Tapi, kalau difikirkan secara logik kenapa perlu marah? Normallah kalau ada orang yang suka kepadanya. Lagilah muka terlajak handsome, confirm ada yang minat. Bukan tak pernah kena mengurat pun. Zaman sekolah, zaman universiti banyak saja dapat surat. Tapi memang semua masuk tong sampahlah jawabnya.

‘Aku dahlah paling menyampah benda macam gini. Ni pula siap tulis dekat kertas, lepas tu tepek dalam fail kerja macam ni. Tak ada etika langsung! Konon nak jadi secret admirerlah tu. Huh!’ kata-kata itu berbuku di hati Iftitah. Lantas butang interkom di sisi meja ditekan.

“Nori, masuk bilik saya sekarang!” melengking suara Iftitah di hujung talian interkom membuatkan Nori terkejut. Padahal sewaktu datang tadi, mood lelaki itu nampak baik sahaja. Tanpa lengah, Nori bergegas bangun dan menuju ke bilik bosnya itu. Takut pula jika lambat dia pula yang dimarahi. Bukan tak kenal dengan perangai bosnya yang sorang ini.

“Ada apa ya, Encik Iftitah? Apa yang boleh saya bantu?” soal Nori tatkala memandang wajah itu.

“Siapa hantar fail ni?” Fail berwarna biru yang dipegang itu ditunjuk kepada Nori. Riak wajahnya agak tegang. Nampak sangat ada yang tidak kena dengan fail itu.

“Oh, fail tu. Cik Tasya yang hantar tadi. Dia sendiri yang masuk hantar ke dalam bilik encik. Ada apa-apa masalah ke Encik Iftitah?” Nori tahu jika tiada sebab yang munasabah, lelaki ini tidak akan marah membuta tuli.

“Awak panggilkan Tasya. Suruh dia masuk bilik saya sekarang!” Tajam bicara Iftitah sepertinya ada sesuatu yang dia sangat tidak puas hati. Lagilah kalau betul yang tulis kata-kata itu memang Tasya. Hmm... memang kena makan tapak kasutlah gamaknya.

Nori masih terkaku.

“I said, now!” Iftitah menghempas fail itu ke atas meja.

“Err... ya. Saya panggil Cik Tasya sekarang.” Nori segera keluar. Di luar bilik, dia mengurut dada. Sebelum ini dia tidak pernah lagi melihat lelaki itu naik angin sebegitu rupa. Apalah agaknya yang tak kena. Dalam perjalanan, dia terserempak dengan Fatehah yang baru keluar dari bilik fail.

“Teha, Cik Tasya ada kat bilik dia tak?”

“Tak adalah kak. Dia baru aje keluar tadi. Dia tak cakap pula nak ke mana.”

Nori melepaskan keluhan.

“Kenapa kak? Macam ada yang tak kena aje.”

“Encik Iftitah tengah naik angin tu. Dia cari Cik Tasya.”

“Fasal apa kak?” soal Fatehah.

“Tak tahulah. Tiba-tiba naik angin. Tapi rasanya ada kaitan dengan laporan yang dia terima tu. Takut juga akak tengok muka dia.  Tak pernah lagi tengok dia marah macam tu.”

“Kenapa dengan laporan tu kak? Salah ke? Sebab laporan tu saya yang buat. Tapi ikut contoh yang sebelum ni. Cik Tasya yang suruh saya buat.”

“Tak tahulah Teha. Tak apa. Teha jangan risau. Encik Iftitah nak jumpa Cik Tasya. Tak ada kena-mengena dengan Teha.”

“Tapi kak, Teha risau. Laporan tu, Teha yang buat. Entah-entah salah.”

“Tak apa, Teha. Kalau ada tersilap tu adatlah. Kalau betul salah, Cik Tasya mesti dah tegur Teha untuk betulkan semula sebelum hantar. Okeylah, Teha. Akak pergi dulu. Nanti kalau Cik Tasya dah masuk, tolong beritahu dia ya.” Nori kembali ke bilik Iftitah dan menyampaikan kata. Lelaki itu mengeluh berat.

Selajur Nori keluar, Iftitah kembali melihat coretan kata yang tertulis di kertas merah jambu itu.

“Huh! Siapalah yang tulis ni? Tak suka betul aku!” gumam Iftitah sambil merengus kasar. Kertas itu akhirnya dironyokkan dan dibaling ke dalam tong sampah. Makin difikir, makin sakit hati. Jiwanya ditenangkan dan dia kembali memberi fokus untuk membaca laporan dalam fail biru itu sehingga ke muka surat terakhir. Dia sangat berpuas hati dengan angka-angka yang ditunjukkan juga komentar yang diberi.

 

PINTU BILIK diketuk dan dikuak. Muncullah Tasya dengan penuh gaya gedik dan menggodanya.

“You nak jumpa I ke If? You dah baca laporan yang I hantar? Ada masalah ke?” Tanpa dipelawa, Tasya terus tarik kerusi dan melabuhkan punggung di hadapan lelaki itu.

Iftitah hanya berpeluk tubuh dan menyandar di kerusi empuknya. Hanya renungan tajam menyapa wajah yang berias tebal dan bergincu merah menyala itu.

“I tak nak cakap fasal laporan. You tolong ambil kertas warna merah jambu dalam tong sampah tu!” arah Iftitah dengan lagak gayanya.

Tasya tersentak. Mahu tidak mahu, dia akur juga memandangkan wajah Iftitah jelas mencuka. Kerana takut dimarahi maka terpaksalah dia bangun dan mengambil kertas merah jambu yang dimaksudkan itu di dalam tong sampah. Dah macam kuli batak dah rasanya.

“Kenapa dengan kertas ni?” Tasya tunjuk kertas yang berada di tangannya.

“I nak you baca!”

“Ada masalah apa ni, If? Cuba beritahu I. Janganlah marah-marah macam ni.” Tasya bersuara manja. Kononnya nak menggoda jugalah tu.

“I kata baca. You tak faham bahasa ke?” Tegang suara Iftitah menerobos masuk ke pendengaran Tasya.

Mahu tak mahu, kertas ronyok yang diambil itu dibuka. Kemudian coretan yang tertulis di atas kertas itu dibaca perlahan.

“You nak jelaskan apa pada I fasal kertas tu, Tasya?” soal Iftitah dengan nada tidak puas hati. “Mesti you yang buat kerja ni kan? Kenapa you diam? You tak nak mengaku ke?” Riak wajah Iftitah masih tegang.

Tasya tidak cepat melatah. Malah tersenyum seolah-olah sedang mencapai kemenangan.

“You salah faham ni, If. Ni bukan I yang tulis tau. Tulisan I dah sah-sahlah lain. Kalau you nak tuduh I sekalipun, you fikirlah logik. Daripada I tulis macam ni, baik I cakap live aje depan you. I like you... I love you...” ujarnya dengan lenggok suara menggoda.

Mata Iftitah mencerun tajam. Merenyam saja mendengar suara gedik gadis ini.

“Kalau bukan you, siapa? Kertas tu I jumpa dalam fail ni!” Iftitah menghempas fail biru di tangannya.

“Nori kata you sendiri yang hantar fail ni ke bilik I, so you nak beri alasan apa lagi Tasya? Tolonglah jangan buat perkara bodoh macam ni. I tak suka!”

“If... janganlah marah. You memang dah salah faham ni. Sebenarnya I dah perasan memo ni masa I semak laporan tu. Tapi I buat tak tahu aje. I malaslah nak ambil tahu kalau ada orang nak tackle hati you. Yalah. Setakat tepek memo cinta macam tu, ingat you akan jatuh cinta ke? So funny!” Tasya gelak perlahan.

“Wait! Siapa yang buat laporan ni?”

Soalan lelaki ini membuatkan Tasya mengulum senyum. Yes! Inilah masanya. “Fatehah.” Sebaris nama itu jelas disebut oleh Tasya.

“Fatehah? Siapa Fatehah?” Iftitah inginkan kepastian. Rasanya sebelum ini dia memang tak pernah dengar nama Fatehah dalam syarikatnya.

“Alah... staf baharu I la. Rasanya you ada jumpa dia sebelum ni. I tak pasti you ingat ke tak. Rasanya pernah kan ada seorang budak perempuan terlanggar you depan bilik I sebelum ni. Yang gaya macam budak kampung tu. Pakai cermin mata, berbaju kurung. Dia pun baru kerja dekat sini.”

Iftitah masih berdiam diri. Mungkin cuba mencerna setiap baris kata Tasya tentang staf bernama Fatehah.

“You ingat tak fasal kes kopi kelmarin? Haa... budak tu jugalah punya kerja. Tak fasal-fasal you minum kopi beracun dia tu. Ni dia buat angkara lagi. Tak sedar dek untung.”

“Oh, budak tu!” Sebenarnya berkenaan kes kopi hari tu dia langsung tidak melihat tuan punya badan. Jadi kini dia cuba mengimbas memorinya tatkala insiden ‘oh, abang kau hijau’ itu terjadi. Ya, rasanya dia ingat. Sebab waktu itu dadanya tak semena-mena berdebar hebat apabila mereka saling bertentang mata walaupun hanya untuk seketika.

“You panggil dia suruh datang jumpa I sekarang!” Iftitah terus memberi arahan.

“Okey. You basuh dia cukup-cukup. Tak patut dia buat macam ni pada you tau, If. Kesian dekat you. Dia tu siapa? Dahlah budak baharu. Setahun jagung pula tu. Berani pula beri memo cinta dekat you macam ni. Otak tak betul agaknya. Memang kurang ajar. Sungguh biadab!” Tasya terus membakar hati Iftitah.

Tajam jelingan Iftitah pada gadis ini. “Itu urusan I. Tak ada kena-mengena dengan you. I nak basuh ke... I nak bilas ke... itu I punya suka. Tadi you sendiri yang cakap you tak nak ambil tahu pun fasal hal ni. Sepatutnya you buang kertas tu jangan bagi I nampak. Bukan you tak tahu I tak suka semua ni. So, sekarang ni I nak you panggil dia. Don’t waste my time!”  Suara itu bertegas sambil tangan menepuk meja.

Tasya terperanjat. Cepat-cepat dia keluar. Takut. Pelik pula angin Iftitah ni. Baru nak jadi batu api. Tak fasal-fasal dirinya disambar sekali. Tapi, tak apa. ‘Yang penting lepas ni Fatehah yang kena sembur. Bagus! Padan muka kau Fatehah. Puas hati aku!’ bisik hatinya. Tasya sudah melepas tawa. Rasa memang berbaloi dia cuba meniru tulisan itu semalam.

Penakluk Hati Abang Jambang - Bab 7


SAMBIL berjalan menuju ke tempat kerja, bibir Fatehah ringan mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Sememangnya itulah yang diamalkan sejak kecil. Pergi ke sekolah atau ke mana-mana, selawatlah lagu pembasah bibir kerana itulah yang diajarkan abahnya. Selawat itu untuk mendapat syafaat nabi di akhirat kelak. Maka, rajin-rajinlah berselawat.

“Selamat pagi, dik. Beri ‘adik-adik’ makan ke?” ujar seorang lelaki yang tidak dikenali. Tiba-tiba saja muncul dan menegurnya. Baju yang dipakai bercorak kotak-kotak dan nampak luntur warnanya. Namun begitu wajahnya kelihatan maco dengan jambang nipis serta rambut yang agak panjang diikat kemas. Topi pula ala-ala pak cik tukang kebun. Bersamanya ada sebatang penyapu dan scoop sampah. Sudah pastinya lelaki ini bekerja sebagai tukang sapu sampah. Kenapalah sejak kebelakangan ni asyik bertemu mata dengan lelaki berjambang saja. Pelik! Handsome pula tu.

“Haah, bang. Kesian. Saya beri apa yang mampu aje. Tak banyak mana pun.”

Pertama kalinya mereka bertemu, anak-anak kucing itu datang menggesel di kakinya, namun tika itu dia tidak membawa bekal makanan. Maka dengan rasa ihsan, keesokan harinya dia membawa sedikit bekalan makanan untuk anak-anak kucing itu. Lagipun di rumahnya juga ada membela kucing. Jadi tak hairanlah dia ada stok bekalan makanan untuk makhluk bulus itu. Sehinggalah dia menjadikannya sebagai rutin. Baginya, dia hanya memberi sekadar yang mampu. Walaupun dia tahu tidak mencukupi untuk mereka, namun sekurang-kurangnya dia tahu mereka tidak kelaparan.

“Mulianya hati adik. Sejuk perut ibu mengandung. Hmm... sebelum ni abang tak pernah nampak pula adik ni di sini,” ujar lelaki itu memanjangkan perbualan antara mereka.

“Saya baru aje dapat kerja di kawasan sini bang. Baru nak masuk 3 hari,” jawab Fatehah sambil membelai-belai salah seekor kucing comel itu.

“Patutlah. Kerja di kompeni apa?”

“Iftira Empire,” jawab Fatehah jujur.

“Oh, IE. Bangunan biru tu ya.” Nampaknya lelaki itu seperti arif benar dengan kawasan sekitar sini.

“Haah.” Fatehah mengangguk dengan senyuman. “Abang memang kerja area sini ke?” ramah Fatehah bertanya.

“Merata. Sekejap sini. Sekejap sana. Tukang sapu jalanan aje dik. Sukarela. Tapi sebelah pagi aje. Lepas tu bawa Grab. Selain tu ada jugalah buat kerja sampingan lain.” Lelaki itu juga membalas kata dengan lembut bicara.

“Janganlah merendah diri sangat bang. Abang buat kerja murni kut. Sebab tu tengok kawasan sini sentiasa bersih. Sejuk perut ibu mengandung.” Fatehah memberi pujian.

Lelaki itu hanya tersenyum mendengar pujian itu. Pagi-pagi lagi dah bertemu orang yang positif. Jadi bersyukurlah. Itu juga rezeki dan nikmat.

“Okeylah, bang. Saya pergi dulu. Takut lambat pula. Kalau ada masa kita sembang-sembang lagi ya. Assalamualaikum.” Fatehah meminta diri.

“Waalaikumussalam. Baik-baik jalan tu.” Si tukang kebun sempat menitipkan pesan. Sambil itu diperhatikan si gadis yang berjalan pergi. Dia tersenyum.

Fatehah berjalan sendirian. Tempat kerjanya tidak jauh mana pun dari perhentian bas itu. Berjalan lebih kurang 5 minit saja sudah sampai.

 

FATEHAH TERKEJUT apabila Tasya muncul dan berdiri di sebelah ruangan kerjanya. Tika itu tangannya lincah menaip di papan kekunci menyiapkan tugasan pertama yang diberi oleh gadis itu.

“I nak you bancuhkan kopi. Tapi I tak nak kopi sembarangan. Hanya mineral coffee,” sambil berpeluk tubuh tayang lagak, suara itu tajam saja menusuk ke pendengaran.

Fatehah berhenti menaip. Otaknya berfikir sesaat. Mengapa dia ada kerja tambahan membancuh kopi, sedangkan sudah ada Kak Pah yang membuat kerja itu? Padanya Tasya memang sengaja nak membulinya kerana dia budak baharu. Oh, mungkin Kak Pah cuti kut. Sebab sejak tadi dia memang tidak nampak kelibat wanita itu.

“Dah. Cepat. Pergilah pantri tu. Jangan malas!” Tasya sudah memekik sambil bercekak pinggang.

Fatehah mengangguk. Dia kemudian bangun dan berjalan menuju ke pantri. Namun mulutnya tetap mengomel sendiri. Pagi-pagi lagi dah nak memekik cik kak sorang ni. Jiwa kacaulah tu gamaknya. Gaduh dengan boyfriendlah tu.

Di pantri, Fatehah mencari mineral coffee yang dimaksudkan.

“Mineral coffee tu kopi yang macam mana? Tak ada nampak pun label mineral coffee dekat dalam kabinet pantri ni.” Fatehah sudah garu dahi yang tidak gatal. Diselongkar kabinet atas dan bawah.

Tanpa sedar, ada seseorang masuk ke ruang pantri.

“Awak cari apa tu?” soal Wany yang bertugas sebagai penjaga kaunter di tingkat bawah. Dia meletakkan 2 tin biskut di situ. Mungkin Wany juga bertindak sebagai penjaga stok makanan di setiap aras bangunan itu. Kalau diikutkan hati, ada sedikit rasa tidak puas hati dengan Wany sebab wanita inilah yang membuatkan dia dimarahi oleh Tasya pada hari pertamanya melapor diri. Mungkin waktu itu Wany hanya mahu bergurau, namun sememangnya itu tidak patut berlaku. Gurauan itu agak melampau.

“Oh, Kak Wany. Kak, nak tanya. Dekat pantri ni mana letaknya mineral coffee ya? Dari tadi saya cari tak jumpa.”

“Awak minum mineral coffee ke?”

“Taklah. Cik Tasya yang suruh saya bancuhkan.”

“Oh, Cik Tasya suruh. Kopi tu kopi biasa aje, tapi letak garam sikit. Sebab tu namanya mineral coffee. Itu pun tak tahu ke?”

Setelah memberitahu, Wany kemudian berlalu pergi bersama senyuman sinis.

‘Huh, berlagak juga minah kaunter ni! Ni mesti kroni Cik Tasya juga ni. Sepesen saja perangai tu,’ detik hatinya.

Fatehah mengambil kopi uncang yang sedia ada. “Kopi letak garam. Sedap ke? Kalau tak cuba, takkan tahu. Tapi kalau air kelapa letak garam jadi sedap berlemak, inikan pula kopi. Mesti kaw-kaw kut rasanya.” Fatehah kemudian mengambil muk yang bertutup di atas rak. Dia mula membancuh kopi. Letak gula secukup rasa. Tetapi kemudian ditambah dengan sedikit garam dan dikacau perlahan. Cuba dirasa sedikit di hujung sudu. Hmm... sedap rupanya. Kopi itu kemudian dihantar ke bilik Tasya. Selajur kopi diletakkan di atas meja, dia diminta keluar.

Baru melabuhkan punggung di atas kerusi, dia lihat Tasya sudah keluar dari bilik sambil membawa minuman yang dibancuh tadi. Tak tahulah nak dibawa ke mana. Ah, lantaklah. Yang penting dia dah buat apa yang disuruh.

Sedang dia kembali menyiapkan kerja, dia dikejutkan dengan suara tegang Tasya. “Fatehah, sini kau!”

“Ya, Cik Tasya. Kenapa?” Fatehah segera berdiri.

“You buat air apa ni, huh?” Tasya sudah memetir sambil meletakkan muk kopi itu di atas meja Fatehah.

“Mineral kopilah. Macam yang cik minta.”

“Macam mana you buat kopi ni? You ambil kopi ni dekat mana?” soal Tasya sambil menjegilkan mata.

“Kopi uncang yang sedia ada tu saya buat macam biasa aje. Lepas tu letaklah mineral sikit.”

“Mineral apa yang you guna?” soal Tasya ingin tahu. Berkerut juga dahinya.

“Garamlah.”

“Garam apa?” Mata Tasya kian membulat.

“Garam yang ada kat pantri tu.”

“Huh, garam putih yang ada kat pantri tu? Kalau macam tu, I nak you minum air ni sekarang! I said now!” Nampaknya marah Tasya sudah memuncak. Tangannya sudah bercekak pinggang.

Tanpa banyak bicara, Fatehah mencecap sedikit air yang dibancuhnya itu. Apa yang tak kenanya? Rasa okey saja. “Habiskan!”

“Maaf, Cik Tasya. Kopi ni panas lagi. Nanti saya habiskan. Apa yang tak kena dengan air ni, Cik Tasya? Saya rasa sedap aje airnya.”

“Oh, berani ya menjawab. You jangan cuba nak permainkan I. Sedar sikit you tu budak baharu. Jangan nak tunjuk lagak dekat sini!” Nada itu berbaur amaran.

“Maaf, Cik Tasya. Saya tak faham apa maksud Cik Tasya sebenarnya,” soal Fatehah. Dia tidak ingin mewujudkan salah faham dengan gadis itu. Sudahlah dia baru bekerja di sini. Jika salah faham ini berpanjangan maka rasa tidak seronok untuk bekerja. Boleh mengganggu emosi.

“Sekarang I nak you masuk bilik Encik Iftitah, pergi minta maaf dengan dia.” Tasya memberi arahan.

“Hah? Encik Iftitah? Tapi apa kena-mengena dengan kopi yang saya buat ni?” tanya Fatehah bingung.

“Untuk pengetahuan you, kopi yang you bancuh ni tadi untuk dia. You sedar tak kopi yang you bancuh tu rasa entah apa-apa. Memang you sendiri yang cari nahas. I suruh you bancuh mineral coffee. Tapi yang you bancuh tu kopi apa? So, silalah jumpa dia ya, Cik Fatehah. Jawab sendiri dengan dia!” Tasya tunjuk lagak yang menjengkelkan.

Fatehah terdiam. Rupanya itulah sebab gadis itu beria-ia sangat marah padanya. Pastinya tadi dia dimarahi oleh bosnya. Jadi sekarang dilepaskan pula rasa tak puas hati itu kepada dirinya. Huh, sekarang ni dia pula disuruh masuk berjumpa lelaki itu! Ini bermakna dia juga bakal disembur. Oh, tidak!

“Dah. Tunggu apa lagi. Pergi sekarang!” Tegang suara itu kedengaran. Mata-mata yang memerhati terpaksa berbuat tidak tahu dan tak mahu masuk campur. Silap-silap mereka juga dimarah secara berjemaah oleh gadis itu.

“Baik, Cik Tasya.” Fatehah terpaksa akur. Kakinya terasa lemah untuk melangkah ke bilik bosnya. Untuk pertama kalinya dia akan masuk ke bilik itu. Memang bercampur baur perasaannya. Dia berselawat sebanyak mungkin bagi menenangkan perasaannya. Lagilah apabila mengenangkan insiden yang berlaku terhadap lelaki itu sebelum ini.

Setibanya di situ, Kak Nori selaku setiausaha lelaki itu tiada di tempatnya. Fatehah jadi serba salah. Boleh ke dia ketuk pintu dan masuk terus ke bilik itu tanpa kebenaran? Hampir 5 minit dia berdiri di situ, namun Kak Nori masih belum muncul. Mungkin ke bilik air barangkali.

Mahu tak mahu, Fatehah ketuk saja pintu bilik itu bersama debaran hebat di dada. Sesaat kemudian kedengaran suara di dalam membenarkannya masuk.

Masuk ke bilik itu, dia rasa debar dadanya semakin menyeksakan sehingga dia sendiri rasa berpeluh. Walaupun bilik itu terasa nyaman dan berbau harum, namun tetap tidak mampu membuat perasaannya lega.

“Who are you?” Lelaki  yang duduk membelakangi dirinya itu mula bersuara. Nada suara itu memang tidak menyenangkan. Tidak mesra malah kedengaran angkuh di pendengaran.

“Saya Fatehah, encik.” Fatehah menjawab dengan wajah sedikit tertunduk.

“Siapa suruh awak datang sini?”

“Cik... Cik Tasya,” tergagap-gagap Fatehah bersuara.

“Untuk?”

“Err... saya datang nak minta maaf. Fasal air kopi tadi tu,” tutur Fatehah agak takut-takut.

“Oh... kopi tu. Kopi nak bunuh orang tu!” jerkahan itu mengejutkan Fatehah. Sinis benar bicara lelaki ini.

“Saya minta maaf ya, encik. Saya janji perkara ni tak berulang lagi.” Fatehah memohon maaf.

“Anything else?” suara itu sedikit menjengkelkan.

“Tak ada, encik.”

“So, silalah keluar ya. Tak ada hati saya nak hadap muka awak!” Tuan punya badan masih tidak berpaling wajah. Malah masih sibuk dengan iPhone di tangan.

“Terima kasih, encik.” Fatehah terus berpaling dan membawa langkah laju ke pintu. Buka pintu, dia terus keluar. Fuh, terasa lepas azabnya di bilik itu.

Tidak lama selepas Fatehah keluar, Iftitah turut keluar. Sempat dia memicing anak mata pada tubuh kecil molek itu daripada belakang.

“Gaya macam gadis Melayu terakhir. Bancuh kopi pun tak reti. Apa daa... memang rejectlah kalau nak buat bini.” Iftitah berjalan pergi dengan wajah yang masih kelat.

Kembali ke mejanya, Fatehah duduk dan mencecap kembali kopi yang dibancuh itu. Beracun ke? Sedap saja air itu masuk ke tekaknya. Orang kata jangan buang rezeki. Jadilah orang yang bersyukur. Dekat negara yang susah, secawan air pun orang boleh berebut. Tak kisahlah kopi dicampur garam ke gula. Yang penting nikmat air itu memang tiada tolok bandingnya.

‘Tapi, kenapa aku rasa Abang Jambang tu seiras wajah dengan Encik Iftitah. Orang yang sama ke? Atau pelanduk dua serupa? Harap-haraplah bukan. Baru nak acah-acah suka dekat Abang Jambang tu,’ bebelnya dalam hati. Fatehah mengukir senyum sambil menepuk lembut kedua-dua belah pipi sendiri.

Sekembali ke mejanya, Qistina sudah buka mulut bertanyakan apa yang terjadi. Tadi dia ada urusan di tingkat 3. Tahu-tahu sahaja Fatehah sudah pergi ke bilik Encik Iftitah.

Akhirnya Fatehah bercerita saja. Buat apa diselindung kalau ada mata-mata lain yang telah menyaksikan kejadian itu. Kalau bukan dia sendiri yang bercerita, wanita itu pastinya akan bertanya kepada pekerja yang lain.

“Mineral coffee tu kopi ni, Teha. Kopi ni campuran garam buluh. Kak Qis memang minum kopi ni. Tapi sekarang namanya dah berubah. Min Kaffe.” Qistina tunjuk sepeket kecil kopi itu. “Nah, ambillah. Cuba rasa. Sedap ke tidak. Kalau berminat boleh oder dengan akak. Akak ni ejen.” Sempat juga Qistina mempromosikan kopi tersebut.

“Oh, terima kasih kak.” Sepeket kecil kopi itu kini bertukar tangan.