DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Dayana Darwisy. Show all posts
Showing posts with label Dayana Darwisy. Show all posts

Wednesday, 22 February 2017

Jom... Bercinta! - Bab 10




Ayman Hyeqal tersenyum sebaik sahaja berdiri
di hadapan Atilia. Bukan main cantik lagi gadis itu hari ini
pada pandangan matanya. Pertama kali berbual dengan gadis
itu semalam, dia rasakan Atilia banyak keistimewaannya.
Cakap pun sopan dan lembut saja. Rugi jika gadis sehebat
Atilia dilepaskan begitu sahaja.
“Raf ada?”
“Ada,” balas Atilia bersama senyuman. Walaupun
sakit hati dengan sikap Rafiq, dia harus bersikap profesional
ketika bekerja. Seawal pagi lagi lelaki itu sudah menguji darjah
kesabarannya. Boleh pula lelaki itu kata, tak jumpa telefon
bimbitnya. Bila dia ingin bantu mencarinya, Rafiq menolak.
Dengan alasan, dia hanya mengganggu kerja-kerja lelaki itu
dan bakal menjadikan bilik lelaki itu seperti tongkang pecah
semata-mata hendak mencari telefon bimbitnya yang tiada
nilai itu. Macam mana hatinya tak meletup pagi-pagi buta?
Mulut lelaki itu memang... JAAA... HATTT!!!
“Abang nak jumpa dia. Dia sibuk tak?”
 “Sebentar ya?” Atilia bangun dari tempat duduknya.
Memandangkan di mejanya tiada lagi kemudahan telefon
mahupun interkom, dia terpaksa bertemu empat mata
dengan Rafiq jika ada sesuatu.
Bunyi ketukan pintu, Rafiq angkat wajahnya.
Terjengul kepala Atilia dan diikuti Ayman tidak lama kemudian.
Bulat matanya melihat kehadiran Ayman. Selalunya rakannya
itu malas hendak bertemu dengannya jika tidak ada apa-apa
masalah dan akan menghubunginya terlebih dahulu untuk
memaklumkan kedatangannya. Tapi hari ini tidak. Alih-alih
muncul di depan mata. Ada perkara penting sangat ke hingga
Ayman tidak sempat menghubunginya?
“Boleh aku masuk?” tanya Ayman sambil tersenyum.
“Bukan kau dah masuk ke?” Rafiq menempelak
rakannya itu.
“Buatkan aku air Horlicks.” Arah Rafiq apabila Atilia
memandang ke arahnya.
Atilia angguk kepala, akur dengan arahan ‘tuan
besar’.
“Ayman, kau nak air tak?”
“Boleh juga.” Ayman kemudiannya memandang
wajah Atilia. “Buatkan abang teh tarik. Buat kaw-kaw tau.”
Dia mengenyit nakal.
Hendak termuntah Rafiq lihat sikap Ayman sehari
dua ini. Bukan main miang lagi.
Atilia angguk kepala dan tersenyum manis. Dia
kemudiannya berlalu.
“Macam mana dia kerja, okey?”
“Bolehlah. Lagipun baru dua hari dia kerja. Takkan
nak harapkan lebih.” Rafiq bersuara malas.
“Wah, ada peningkatan nampak?”
 “Apa maksud kau?”
“Selalunya apa saja tentang dia akan buat kau
melenting. Apatah lagi jika yang bertanyakan tentang dia tu...
lelaki. Tapi hari ni, boleh pulak kau lindungi kelemahan dia.”
Ayman tersenyum-senyum.
Rafiq mendengus kurang senang. Terperangkap dia
dengan soalan yang diajukan oleh Ayman sebentar tadi. Tak
pasal-pasal kena ejek.
“Orang lain tanya, aku malas nak layan. Disebabkan
kau yang bertanya, aku jawablah. Kau kan tahu siapa aku dan
siapa dia selama ni.” Rafiq mengingatkan Ayman akan hakikat
antara dia dengan Atilia. Manalah tahu andai Ayman terlupa
atau buat-buat lupa segala apa yang telah dia sampaikan
kepada lelaki itu selama bertahun-tahun ini.
Perbualan mereka terhenti apabila terdengar bunyi
ketukan. Muncul Atilia bersama dulang berisi minuman yang
mereka pinta. Melihatkan Atilia terkial-kial membawa dulang
di tangan sambil membuka pintu, Rafiq bingkas bangun dan
membantu. Dulang di tangan Atilia segera diambilnya.
“Terima kasih kerana sudi bantu.” Atilia melunakkan
suaranya dan tersenyum manis biarpun dia tahu Rafiq tidak
suka mendengar dan melihatnya.
“Biar aku aje yang bawa air ni. Kau boleh keluar.
Jangan lupa semak laporan yang aku beri semalam. Lepas
tu ingat, pukul dua nanti kau kena ikut aku ke Dinamik.
Ada kerja yang perlu aku selesaikan di sana. Kau jangan
terhegeh-hegeh pulak. Aku pecat karang.”
Atilia angguk kepala dan beredar. Baik dia segera
menghilangkan diri sebelum Rafiq bertukar menjadi raksasa.
Ayman pandang kelibat Atilia sehingga gadis itu
menghilang di sebalik pintu. Kemudian wajah Rafiq dicari.
“Bestnya kalau aku dapat kahwin dengan dia.”
 “Apa yang bestnya?” tanya Rafiq sambil meletakkan
dulang ke atas meja kopi.
“Bestlah! Dapat isteri cantik, dapat jadi bapa saudara
kau.”
“Jangan nak beranganlah! Entah-entah dia dah ada
boyfriend.”
“Ala... belum cuba belum tahu. Apa kata orang, best
man wins? Siapa cepat bertindak, dialah yang dapat.” Ayman
jongket keningnya. Mengusik. “Eh, Raf! Bilik tidur kau
dengan dia sebelah-menyebelah, kan?”
Rafiq pantas menuntaskan pandangannya ke arah
Ayman. Kenapa Ayman tiba-tiba bertanyakan hal bilik tidur
mereka? Nak ceroboh masuk bilik Atilia melalui bilik tidurnya
ke? Andaian-andaian jahat berlegar dalam fikiran.
“Kenapa kau tanya?” Mug yang berisi air Horlicks
dicicip ke bibir.
“Nanti kalau aku kahwin dengan dia, kau jangan
terjah masuk pulak ya kalau dengar dia terjerit malam-malam
buta.” Ayman mengusik rakannya. Sengaja hendak mengajak
Rafiq bergurau.
Hampir tersembur air yang diminum Rafiq. Wajah
Ayman dipandang dengan rasa... entah! Tak tahu nak kata apa.
Macam nak bagi pelangkung pun ada. Memang betul-betul
gila sahabat karibnya itu. Belum kahwin dah fikir yang
bukan-bukan.
“Yakin benar kau akan kahwin dengan dia.”
“Manalah tahu... jodoh aku ditakdirkan dengan dia.
Kau juga yang untung dapat bapa saudara yang baik dan
beriman macam aku. Kita berdua kan kamceng? Apa salahnya
kau lobi aku kat mak saudara dan nenek kau tu. Berkat mulut
kau, dapat kita duduk sebumbung.” Ayman tahan gelak.
Seronok dapat buat Rafiq tidak senang duduk.
Betul ke Ayman nak pikat Atilia? Bukan ke selama
ini hati lelaki itu seolah-olah tertutup setelah dilukai? Oh...
Tuhan!
“Kau dah tak serik bercinta?”
Ayman jongket bahu.
“Agak-agak... ada tak yang merana dan kecewa jika
dia bergandingan dengan aku?” Bahu Rafiq ditepuk lembut
dan Ayman tersenyum penuh makna.
Rafiq pandang Ayman dengan perasaan yang sukar
dimengertikan. Apa makna senyuman Ayman itu? Ingin
membalas dendam terhadap perempuan atau apa? Lain benar
senyuman sahabatnya itu. Seperti mencabarnya pun ada.
Ayman balas kembali pandangan Rafiq.
“Peluang yang dah ada depan mata, kalau tak rebut
cepat-cepat takut kempunan aje nanti. Lagipun... macam
sia-sia ajelah kan, menaruh hati sekian lama tapi tak berani
nak bertindak. Hai, rugi-rugi kalau jadi lelaki yang takut
berdepan dengan kenyataan. Sanggup pendam perasaan
daripada meluahkan!” Ayman melontarkan apa yang sekian
lama dipendam. Dia pasti Rafiq faham apa yang cuba dia
sampaikan. Jika tidak sekarang, esok mahupun lusa, dia yakin
Rafiq dapat menangkap apa yang tersirat dalam setiap patah
katanya.

MEMANDANGKAN Rafiq tiada di biliknya, Atilia segera
masuk ke dalam pejabat lelaki itu. Dia ingin menghantar
laporan yang telah siap disemaknya untuk tindakan
selanjutnya. Walaupun tugasnya sebagai PA dan perlu
menghadap Rafiq sepanjang masa, tetapi dia lebih suka jika
tidak bertembung dengan lelaki itu. Dirinya selamat dan
jiwanya tidak sakit. Setiap masa kena ‘bambu’, siapa yang
tahan? Mood Rafiq hari ini juga tidak berapa baik. Asyik main
jeling-jeling saja setiap kali bertemu empat mata dengannya.
Ingat lagi dia akan arahan Rafiq lewat tengah hari
tadi.
“Tugas kau... kemas bilik aku. Buat air untuk aku.
Angkat panggilan telefon untuk aku...” Buat itu... buat
ini... bukan main panjang berjela lagi tugasan untuknya.
Sampaikan gosok baju dan sediakan pakaian kerja lelaki itu
setiap hari pun dia juga. Hai... memang banyak ‘lemak’ betul
lelaki itu sekarang. Dia yakin Rafiq sengaja hendak torture
dirinya dan mengukur Celsius kesabarannya. Tak apa, dia
akan bertahan demi mamanya.
Bunyi nada dering membuatkan Atilia
memanjangkan lehernya. Dia berkira-kira sama ada hendak
mengangkat ataupun tidak telefon bimbit milik Rafiq. Risau
juga hatinya jika Rafiq mengamuk. Lelaki itu terlalu banyak
pantang larang jika dengannya. Macamlah dia lahir dari planet
lain, hinggakan lelaki itu sukar memberi muka kepadanya.
“Helo...” Akibat kasihankan si pemanggil, dia
beranikan diri mengangkat telefon bimbit Rafiq.
“Kau siapa?”
Terpinga-pinga Atilia apabila disergah sebegitu kasar.
“Err... nak cakap dengan Rafiq ya? Maaflah, dia baru
aje keluar dan telefon bimbitnya tidak dibawa bersama.” Atilia
masih mampu menyabarkan diri walaupun orang di sebelah
sana agak dingin percakapannya.
“Aku bukannya nak dengar kau hurai panjang lebar.
Aku tanya, kau ni siapa yang memandai-mandai angkat
telefon Raf?” Gina bersuara keras.
Atilia mencebik. Macam bagus saja perempuan yang
sedang bercakap dengannya itu. Terasa menyesal pun ada
kerana berhati mulia menjawab panggilan itu.
Saat mata Atilia menangkap telefon bimbit miliknya
yang tersorok di tepi timbunan fail, dia segera mengambilnya
dan menyimpan ke dalam poket seluar slek. Rasa nak
melompat akibat terlalu gembira pun ada. Apa tidaknya,
telefon itu mempunyai nilai yang tinggi baginya. Jika
ditawarkan dengan wang tunai RM10,000 pun, dia tidak akan
sekali-kali menukarkannya.
“Siapa beri keizinan untuk kau jawab panggilan
aku?” Dengan pantas Rafiq merampas telefon bimbitnya yang
berada dalam genggaman Atilia.
Semerta rasa gembira yang bergayut dalam hati Atilia
terbubar sebaik sahaja mendengar suara yang sangat-sangat
dia kenali dan cuba hindari. Kini rasa takut dan risau mula
menyerang kolam hatinya. Janganlah Rafiq belasah dirinya
gara-gara dia menjawab panggilan bagi pihak lelaki itu. Tapi...
bukan ke menjawab panggilan telefon bagi pihak Rafiq adalah
sebahagian daripada tugasnya? Hai... takkan tak sampai
sehari, Rafiq dah lupa atau hilang ingatan?
“Bukan ke menjawab panggilan telefon sudah
termaktub dalam skop kerja saya?” Atilia memberanikan diri
bersuara.
“Itu kalau guna talian pejabat, bukannya telefon
bimbit aku.” Rafiq mencerlang biji matanya. Dia tidak suka
sesiapa menyentuh barang peribadi miliknya.
“Tadi kenapa tak beritahu awal-awal?” Atilia
melawan. Asyik dia saja yang kena marah, mana aci! Lagipun
silap Rafiq juga kerana tidak memberi penerangan secara
terperinci kepadanya.
Rafiq memberi isyarat supaya Atilia diam dan tunggu.
“Helo...” Rafiq bersuara. Dia tidak mahu orang yang
menelefonnya tertunggu-tunggu terlalu lama.
 “Raf... siapa perempuan tu? You curang di belakang I
ya?” Gina mula menyerang.
Rafiq pandang skrin telefon bimbitnya seketika
untuk mengenal pasti si pemanggil, kemudian dia mengeluh
perlahan. Wajah Atilia dicari. Dia mengarahkan Atilia supaya
beredar.
Atilia menceber. Meluat! Macam bagus saja dua orang
makhluk itu. Seorang yang sedang berada di hadapannya dan
seorang lagi tidak tahu di mana duduknya. Enggan dikata
busybody, dengan pantas dia angkat kaki.
“Dia PA Ilah.”
“Sejak bila you ada PA?” Setahu Gina, Rafiq tidak
pernah ada PA mahupun setiausaha. Hatinya mula digamit
risau. Bimbang jika Rafiq tertarik dengan PAnya itu.
“Urusan kerja I, you tak perlu sibuk Gina.” Rafiq
bersuara tegas.
Atilia yang mencuri dengar mencebik. Tak
habis-habis dengan panas baran dia. Memang lambatlah anak
saudaranya itu akan kahwin jika tidak buang sikap kepala
anginnya itu. Dia kemudiannya berlalu ke tempat duduknya,
bimbang tertangkap mencuri dengar perbualan Rafiq dengan
kekasihnya.
“Sorry...” Gina lirihkan suaranya. Dia mahu Rafiq
terkesan kerana meninggikan suaranya seketika tadi. Lagi
pula, dia tidak mahu kerana sikapnya yang terlalu cemburu
itu membuatkan Rafiq bosan dan angkat kaki berlalu pergi.
Sudahlah antara mereka belum terpateri janji untuk sehidup
semati lagi, ada nanti dia gigit jari.
“I pun minta maaf sebab tertinggi suara sikit dengan
you tadi.” Rafiq luah rasa kesalnya.
Gina tersenyum puas tatkala jeratnya mengena.
“Ada apa call I ni? You tak kerja ke?” Rafiq bersuara
pelik. Bukan ke Gina sepatutnya sedang bertugas ketika ini?
“Kerja. Tapi I curi-curi masa sikit untuk call you.
Rindulah... You tak rindu kat I ke?” Gina memanjakan
suaranya. Mahu menarik perhatian Rafiq.
“Baru kelmarin jumpa, takkan dah rindu?” Rafiq
garu keningnya. Dia sebenarnya tidak berapa gemar apabila
Gina sering membangkitkan perihal hati dan perasaan.
“Untuk orang seperti I... yang terlalu cinta kan you
memanglah sering rindu.” Gina tanpa segan silu bongkar apa
yang hatinya rasa.
“Err... Gina, you ada perkara lain lagi ke nak cakap? I
sebenarnya ada meeting sekejap lagi.” Rafiq lihat permukaan
jam tangannya. Lagi pula, dia malas hendak dengar ‘syair cinta’
Gina lama-lama. Dia juga takut mendengar pengharapan
gadis itu kerana dia tahu, dia tidak mampu membalas rasa
cinta Gina itu.
Gina mengeluh kecil. Dia yakin Rafiq sengaja berkata
begitu kerana ingin melarikan diri.
“Maaflah sebab curi masa you.” Gina cuba jadi
kekasih yang memahami biarpun hatinya meragui alasan
Rafiq sebentar tadi.
“Tak perlu nak minta maaf. Kalau I free memang I
tak kisah nak layan you berbual lama mana pun.” Rafiq cuba
jaga hati Gina. Dia tidak mahu Gina rasa tersinggung dengan
cara penolakannya secara halus itu.
Gina tersenyum. Hilang keraguan yang bermain
dalam hatinya sebentar tadi.
“Raf... bila I cuti nanti kita jumpa ya?”
“Insya-Allah. Tapi I tak janji. Bimbang waktu you
cuti nanti, I sedang sibuk ketika tu.” Rafiq segera beri alasan.
Dia tidak mahu memberi harapan yang tinggi, bimbang dia
tidak mampu menunaikannya.
Sebaik sahaja Gina menamatkan perbualan antara
mereka, Rafiq lontar telefon bimbitnya ke atas meja.
Rambutnya dilurut perlahan-lahan. Hatinya mula berbicara.
Membisikkan apa yang dia rasa. Apa yang dia mahu dalam
hidupnya...

Jom... Bercinta! - Bab 9



Puan Ainon segera hampiri anak gadisnya sebaik
sahaja ternampak batang hidung Atilia. Dia sudah tidak sabar
hendak tahu apakah jawatan yang ditawarkan oleh Rafiq.
Dia risau jika cucu lelakinya itu menawarkan jawatan yang
bukan-bukan untuk Atilia dan tidak setaraf dengan kelulusan
akademik anaknya itu. Tika dia menghubungi cucunya tengah
hari tadi, Rafiq sekadar menyatakan agar dia jangan bimbang.
Mahunya dia tidak risau, sikap Rafiq bukannya boleh diramal.
“Macam mana kerja hari ni sayang?”
“Okeylah mama.”
Okeylah? Puan Ainon tidak senang hati. Jawatan
apa yang telah Rafiq berikan kepada anak gadisnya itu.
Tukang cuci? Tapi... bukan ke mereka dah ada cleaner untuk
membersihkan pejabat? Tukang buat air? Macam tak logik
pula. Tapi juga tidak mustahil. Rafiq memang sukar ditebak
kehendaknya.
“Kerja apa yang Raf beri pada Che Su?” Dia segera
memandang Rafiq.
“PA.”
“Eh, kenapa PA? Bukan ke Che Su sepatutnya
jadi manager? Tak pun engineer?” Puan Ainon bertanya
kurang senang. Susah payah anaknya belajar dalam bidang
engineering, disuruhnya jadi PA pula. Hangat betul hati
tuanya.
“Kat Polimerlatex tak ada kekosongan jawatan tu.”
Letihnya dia hendak melayan pertanyaan kesayangan Atilia
ini.
“Bukan pagi tadi Raf kata nak tempatkan Che Su di
Polimer Qualitas ke? Kenapa alih-alih kerja kat Polimerlatex
pulak?” Siti yang baru tiba menyampuk.
“Pagi tadi bukan ke ibu suruh tempatkan dia di
Polimerlatex?” Rafiq bertanya kembali sambil menjeling ke
arah Atilia yang berada tidak jauh daripadanya. Butang kemeja
dibuka hingga ke paras dada. Sesak nafasnya. Tadi neneknya
menyerang, kini ibunya pula. Teruk sangat ke jawatan PA tu?
Buatnya dia suruh jadi penyambut tetamu, mahu terangkat
bumbung rumah ini agaknya.
‘Tak kisahlah PA sekalipun. Janji Raf dan Tia kerja
sebumbung,’ bisik hati Puan Ainon. Risau hatinya jika Atilia
dan Rafiq bekerja di tempat yang berasingan.
“Kenapa lambat sangat balik?” Puan Ainon segera
menyoal.
“Banyak kerja mama.” Rafiq menjawab lemah.
Macamlah balik pukul sepuluh dah dikira lewat. Lainlah
kalau dia balik pukul dua belas malam. Tapi jika ada masalah
di kilang, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil.
“Raf nak balik lewat, mama tak kisah. Tapi suruhlah
Pak Taha ambil Che Su. Bukannya Raf tak boleh buat kerja
jika Che Su tak ada.” Puan Ainon menambah.
 ‘Adoi, balik lewat pun jadi isu!’ Rafiq mengeluh.
Kalau dia tahu banyak sangat pantang larang neneknya, baik
dia letak Atilia di Polimer Qualitas. Boleh dia jawab tidak tahu
jika ditanya hal-hal berkaitan dengan Atilia.
“Betul tu mama, banyak sangat kerja tadi. Lagipun
ada masalah yang Raf kena settlekan kat kilang. Jadi dia tak
sempat nak telefon sesiapa suruh ambil Tia.” Atilia segera
mencelah. Bimbang Rafiq ‘berasap’ satu badan jika disoal
selidik macam-macam.
Sudahlah hari ini Rafiq asyik mencari pasal
dengannya di tempat kerja. Ada karang disebabkan hal yang
sekecil ini Rafiq semakin memusuhinya. Tak pasal-pasal dia
perlu hadap wajah tegang Rafiq setiap saat walaupun memang
itu yang Rafiq sering perlihatkan kepadanya setiap masa.
‘Nasib kau back-up aku. Kalau tak, tahulah aku nak
ajar kau macam mana esok,’ gumam Rafiq.
“Raf dah carikan kereta untuk Che Su?”
“Belum lagi mama, tak ada masa. Nanti-nantilah.”
Puan Ainon geleng kepala. Tahu sangat dia akan
perangai cucunya itu. Bila dipaksa, akan lambatlah buat
kerja. Kalau tak, belum disuruh lagi dah buat.
“Raf naik atas dululah, nak mandi dan solat.”
“Dah makan ke belum?” Siti bertanyakan anaknya.
“Dah,” balas Rafiq sepatah. Sebaik sahaja keluar
dari bangunan pejabatnya, Ayman sudah pun menunggu
dan mengajaknya keluar makan malam bersama. Enggan
menghampakan permintaan kecil sahabatnya, dia akur juga
walaupun ketika itu wajah Atilia sudah mencuka. Mungkin
bengang kerana tidak dapat keluar dengan kawan lelakinya
yang bernama Raid itu.
“Emmm... pergilah naik.” Siti bersuara.
Rafiq terus mengatur langkah sebaik sahaja ibunya
membuka mulut menyuruhnya beredar.
“Telefon Tia mana? Puas mama dan ibu telefon, tapi
tak dapat-dapat.” Puan Ainon bertanyakan anak gadisnya itu.
Atilia pantas tepuk dahi. Dia memang terlupa hendak
meminta kembali telefon bimbitnya daripada Rafiq.
“Kenapa Tia? Kenapa tepuk dahi macam tu sekali?”
cemas Siti bertanya.
“Err... tak ada apa-apa ibu. Telefon Tia sebenarnya dah
habis bateri,” dalih Atilia. Kasihannya Raid. Pasti sepanjang
hari ini lelaki itu tidak henti-henti menghubunginya.
Perasaan bersalah menyerbu kolam hati. Argh... ini semua
Rafiq punya pasal!
“Mama... ibu... Tia naik atas dulu ya. Nak mandi dan
tidur. Letih sangat rasanya hari ni.”
“Yalah. Pergilah naik dan berehat. Esok nak kerja
lagi.” Puan Ainon mengusap lembut bahu anaknya.
Atilia tersenyum manis.
“Tia naik dulu.” Tangan mama dan kakak iparnya
dikucup sebelum berlalu ke kamar tidurnya di tingkat dua.
Sebaik sahaja menghampiri kamar Rafiq, Atilia
berhenti seketika. Dia memikirkan kewajaran sama ada
perlu atau tidak dia bersemuka dengan lelaki itu. Hatinya
tersangat geram dengan tindakan Rafiq yang masih belum
memulangkan kembali telefon bimbitnya. Memikirkan
betapa perlunya telefon bimbit tersebut, dia mengetuk daun
pintu. Saat tersedar kemungkinan bakal timbul kekecohan,
dia pantas bergerak menjauhi kamar lelaki itu.
“Kau nak apa?”
“Haaa... apa dia?” Atilia pura-pura tidak mengerti.
‘Alahai, cepat pulak dia ni memberi tindak balas,’ komen
Atilia dalam hati.
Tatkala melihat keadaan Rafiq yang tidak sempurna,
membulat besar biji matanya. Kemudian dengan pantas
bola matanya dihalakan ke arah lain. Tombol pintu biliknya
dipulas. Dia ingin segera meloloskan diri. Tidak sanggup dia
hendak membiarkan matanya melihat keadaan Rafiq yang
hanya bertuala itu.
Rafiq segera mendapatkan Atilia. Lengan gadis itu
dicengkamnya.
“Kau kan yang ketuk pintu bilik aku tadi? Apa kau
nak?”
“Errr... tak ada apa-apa.”
“Kalau tak ada apa-apa, takkan kau suka-suka ketuk
pintu bilik aku?”
“Err... err... dah lupa nak tanya apa,” dalih Atilia. Dia
ingin berlalu pergi secepat yang mungkin.
“Lepas kau dah ingat, jumpa aku. Aku tunggu
kau kat balkoni pukul sebelas setengah malam nanti.”
Lengan Atilia dilepaskannya perlahan-lahan. Dia pun malas
hendak memaksa gadis itu. Pasti Atilia tidak selesa melihat
keadaannya ketika ini. Tapi dia bukanlah seseksi mana pun,
tuala yang membaluti tubuhnya masih boleh dikira menutupi
aurat lelakinya.
Atilia angguk kepala dan segera menghilangkan diri.
Sebaik sahaja daun pintu ditutup, dia mengurut dadanya
yang masih berdebar dek rasa terkejut.
“Kalau ya pun nak buka pintu, pakailah sempurna
sikit dulu. Ini asal boleh aje. Hesy... tak tahu malu langsung!”
omel Atilia bengang.

 “ASSALAMUALAIKUM...” Atilia menyapa Rafiq yang
sedang enak menyandar di balkoni. Memang menepati masa
sungguh lelaki itu.
“Waalaikumussalam. Kau dah ingat nak tanya apa?”
tanpa berlengah Rafiq bertanya.
Atilia angguk kepala. Sebaik sahaja masuk ke
kamarnya tadi, letih kepala otaknya memikirkan sama ada
perlu atau tidak dia bertemu dengan Rafiq. Jika tidak bertemu
dengan lelaki itu, dia tidak boleh mendapatkan kembali
telefon bimbitnya. Dan jika telefon itu tidak ada, dia tidak
boleh hubungi Raid untuk menerangkan hal yang sebenar
dan sekali gus memohon maaf.
“Haaa... cepatlah cakap, apa tujuan kau nak jumpa
aku tadi?”
“Errr... saya nak balik telefon bimbit saya,” ujar
Atilia gementar. Hendak guna panggilan ‘Che Su’, takut
Rafiq meroyan. Karang tak pasal-pasal tak dapat balik telefon
kesayangannya itu.
“Kau ketuk pintu bilik aku semata-mata nak telefon
bimbit?” tanya Rafiq sinis.
Atilia ketap bibirnya menahan rasa. Pelik sangat ke
kalau dia nak balik telefon dia tu? Telefon tu ibarat jantungnya,
okey. Penting! Banyak benda yang tersimpan di dalamnya.
Yang paling penting ada nombor ‘Raid’ kesayangannya. Dan
paling dia takuti dan risau jika Rafiq terbaca luahan hatinya
terhadap ‘Raid’. Andai hal itu terjadi, mahu bumi Malaysia
terpaksa dia tinggalkan untuk selama-lamanya. Dapat saja
balik telefonnya nanti, dia nak delete semua luahan hatinya
yang tersimpan dalam S Note.
“Boleh tak kalau Raf bagi balik telefon tu?” Malas dia
hendak berdebat dengan Rafiq.
“Telefon kau tak ada dalam simpanan aku. Mungkin
tertinggal kat ofis.”
 ‘Tertinggal kat ofis atau sengaja tinggal?’ Hati
Atilia sudah merusuh. Makin bertambah-tambah geramnya
terhadap lelaki itu. Kalau hilang telefon bimbit tu... siaplah
Rafiq! Akan dia minta ganti dengan telefon baru yang
mahal-mahal. Ala... kalau dapat telefon baru pun tak guna,
bukannya ada nombor telefon kawan-kawannya. Yang dia
takuti, kehilangan nombor telefon ‘Raid’. Bukan mudah
untuk dia perolehi nombor itu.
“Penting sangat ke telefon tu?” Memang dia
benar-benar terlupa hendak memulangkan kembali telefon
bimbit Atilia. Lagi pula sepanjang hari ini dia lebih banyak
berada di plant berbanding di ofisnya. Dia juga sudah tidak
ingat di mana dia letak telefon bimbit gadis itu.
“Pentinglah,” balas Atilia perlahan.
‘Raid, maafkan Tia,’ gumam Atilia. Dia teramat yakin
Raid akan berkecil hati dengannya. Pasti Raid fikir dia sengaja
tutup telefon kerana tidak mahu menemani lelaki itu. ‘Rafiq
Idlan... kenapa kau suka susahkan hidup aku???’
Melihat wajah keruh Atilia, hati Rafiq diterpa rasa
bersalah. Bukan niatnya hendak menyimpan telefon gadis
itu lama-lama. Dia sekadar ingin mengajar gadis itu supaya
mematuhi setiap arahannya.
“Esok kalau aku jumpa telefon kau, aku bagi balik.
Tapi ingat... jangan guna telefon bimbit kat kawasan kilang
kecuali kalau ada hal-hal penting atau kecemasan.”
Atilia sekadar angguk kepala. Cukuplah jika Rafiq sudi
memulangkan kembali telefon bimbitnya. Namun dia tidak
menaruh harapan yang terlalu tinggi. Esok, macam-macam
boleh terjadi. Jika okey angin Rafiq, dapatlah dia telefon
bimbitnya. Jika tidak, terpaksalah dia terus menunggu dan
menanti.

Jom... Bercinta! - Bab 8



“KAU masuk dulu. Aku nak tunggu ‘dewi
kayangan’ tu sekejap.” Rafiq memuncungkan mulutnya ke
arah Atilia sambil menguak pintu pejabatnya. Mendongkol
geram hatinya melihat telatah Atilia. Memang perempuan itu
sengaja hendak cabar benteng kesabarannya.
Ayman geleng kepala seraya meloloskan diri ke
dalam pejabat rakannya itu. Ada baiknya dia tunggu di dalam
sahaja. Lagi pula, malas dia hendak melihat tindakan kurang
cerdik sahabatnya tika bersama Atilia. Perangai macam orang
tak matang!
“Jalan laju sikit, boleh tak?” Melihat tiada reaksi
balas daripada Atilia, Rafiq hampiri gadis itu.
“Eh, apa ni main tarik-tarik?” Terkejut Atilia apabila
Rafiq menarik lengan bajunya. Dia cuba menarik kembali
tangannya tetapi tidak berjaya.
“Yang kau terhegeh-hegeh tu kenapa? Jalan macam
orang tak makan,” bebel Rafiq. Geram sungguh hatinya
dengan tingkah Atilia. Macamlah dia tak ada kerja lain nak
tunggu gadis itu lama-lama.
‘Eh... eh... dia ni! Hilang ingatan ke apa? Atau
buat-buat lupa? Helo... Mr. Sentap, memang belum makan
lagi pagi ini okey! Saja nak cari pasal,’ desis hati Atilia. Geram!
“Kau duduk kat situ dulu. Aku nak bincang pasal
kerja dengan kawan aku,” arah Rafiq sambil tunjuk sofa
yang terdapat dalam bilik pejabatnya. Setelah itu dia segera
menghampiri Ayman.
Atilia merenung kamar kerja Rafiq. Luas, kemas dan
menarik walaupun tuan punya bilik ini asyik meroyan dua
puluh empat jam setiap kali bertemu pandang dengannya.
Puas menjamu mata, dia dengan pantas mengambil tempat
duduk untuk melepaskan lelah. Lelah dek kerana melayan
kerenah Rafiq yang entah apa-apa itu.
Bosan dan tidak tahu harus berbuat apa, dia
membaca akhbar terbitan semalam yang terdampar di atas
meja kopi. Helaian demi helaian diselak tanpa rasa. Berapa
lama lagilah baru mereka hendak habis berbincang? Hendak
menyampuk atau memberi pandangan, dia tidak tahu hala
tuju perbincangan mereka. Salah bagi pendapat, mahu kena
hentam cukup-cukup dengan anak saudaranya itu. Setakat
yang dia dengar, ada masalah pipeline yang menyalurkan
produk melalui tangki A.
‘Lambat lagi ke nak habis? Aku dah kelaparan
ni,’ gumamnya sambil mengusap perut. Permukaan jam
yang tergantung elok dalam bilik Rafiq dipandang sekilas.
Menghampiri sebelas pagi. Patutlah perutnya sudah
bergendang dengan pelbagai rentak, dah lewat benar. Atilia
sentuh perutnya yang berkeroncong.
Nak tak nak, dia melangkah juga menghampiri
Rafiq. Mahu masuk angin jika dia lambat mengalas perutnya.
“Err... sorry for interrupting your discussion. Nak
tanya, kat sini kat mana ya tempat jual makanan?” Walaupun
pernah datang ke mari, tetapi dia tidak pernah tahu apa yang
ada di sini.
Ayman pandang wajah Atilia sebelum beralih ke arah
Rafiq. Dia yakin, Atilia pasti tidak sempat bersarapan pagi di
rumah. Dia kenal benar sikap Rafiq jika dengan Atilia.
Rafiq pandang Atilia dengan perasaan bersalah.
Kesal juga hatinya kerana mengambil mudah akan perkara
ini, sedangkan dia sedar yang Atilia tidak sempat bersarapan
apa-apa makanan lagi sejak pagi ini. Dek hambatan kerja
juga buatkan dia alpa akan kehadiran Atilia di dalam kamar
kerjanya itu.
“Anything else, Ayman?”
Ayman pantas geleng kepala. Cukuplah setakat ini
dahulu perbincangan mereka. Jika berlama-lama, mahu
pengsan Atilia dek kelaparan.
“Nanti kau suruh bahagian maintenance periksa
pipeline tu secepat mungkin.”
Ayman angguk kepala. Mengerti. Kemudian dia
menghala pandangan ke arah Atilia.
“Atilia belum sarapan lagi?”
Atilia senyum dan angguk.
“Marilah saya bawa pergi sarapan. Raf waktu-waktu
macam ni sibuk sikit.” Rafiq dikerlingnya seketika. Jelas
terpancar riak kurang senang pada wajah sahabatnya itu. Pasti
Rafiq bengang mendengar kata-katanya. Ataupun temannya
itu tidak suka dia rapat dengan Atilia. Rafiq kan anti Atilia.
“Emmm... boleh juga. Memang tengah lapar ni.”
Atilia bersuara ceria. Dek rasa lapar, hilang seketika rasa
malunya terhadap Ayman. Dan begitu mudah dia menerima
pelawaan lelaki itu.
“Bukan ke kau tengah sibuk sekarang? Ni... pipeline
yang problem ni, bila kau nak settle? Ada karang tak boleh
keluar produk. Aku tak mahu dengar sebarang kompelin
daripada pihak customer jika kita lambat hantar produk
kepada mereka.” Rafiq mengingatkan Ayman.
“Kejap lagi aku calllah engineer aku, suruh
maklumkan pada budak maintenance.” Ayman menyuarakan
pandangannya dengan bersahaja.
Rafiq kurang senang dengan tindakan Ayman.
Menyerahkan tugas kepada orang lain. Ambil mudah. Dia
bimbang sekiranya ada dalam kalangan pekerja lain yang
tidak berpuas hati. Apatah lagi mereka terlalu rapat. Dia risau
jika ada yang menuduh Ayman cuba mengambil kesempatan
walaupun hakikatnya Ayman tidak sebegitu. Cuma hari ini
saja rakannya itu terlebih ‘akal’. Nak mengurat ibu saudaranya
itu ke apa?
“Kat sini ada kafeteria ke encik?”
“Tak payahlah berencik-encik. Panggil Abang Ayman
pun dah cukup. Nak nampak mesra lagi, panggil abang. Sedap
telinga abang mendengarnya.” Rafiq di hadapannya dijeling
sekilas.
‘Sengal!’ gumam Rafiq.
Atilia tersenyum. Dari riak wajah Ayman, dia tahu
lelaki itu telus berkata begitu tanpa ada niat lain.
“Kat sini cuma ada kantin untuk pekerja. Kalau Atilia
tak selesa makan di kantin, abang boleh bawa makan di luar.”
“Tak kisahlah kat mana-mana, janji boleh makan.”
‘Mudahnya dia... langsung tak memilih dan sombong
biarpun anak orang berada. Memang beruntung siapa yang
dapat isteri macam dia ni,’ bisik hati Ayman.
Meluat Rafiq melihat sikap sahabatnya hari ini.
Tersampuk ke apa masa tidur malam tadi?