DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Shila Alish. Show all posts
Showing posts with label Shila Alish. Show all posts

Thursday, 26 May 2016

Mr Secret Admirer - Bab 15

Zureen memulakan rawatan fisioterapi di
bilik fisioterapi. Dia sendiri tidak menyangka lelaki itu tibatiba
sahaja akur terhadap arahannya tanpa banyak songeh
seperti biasa. Sememangnya sikap dan perangai lelaki itu
sukar untuk dijangka. Seperti air laut. Sekejap pasang dan
sekejap pula surut.
“So sementara mood dia tengah pasang ni, baik aku
cepat-cepat buat rawatan ni sebelum dia berubah fikiran
lagi,” bisik Zureen.
Zureen membantu Syed Redza untuk bangun dari
kerusi rodanya. Lelaki itu dipapah ke tempat duduk yang
disediakan. Kaki seluar di sebelah kanannya dilipat sedikit
hingga ke paras betis untuk memudahkan Zureen mengurut
seketika kaki lelaki itu sebelum menjalankan rawatan
fisioterapi.
Zureen perlu berhati-hati ketika mengurut kaki
Syed Redza. Tidak boleh terlalu kuat kerana kaki lelaki itu
telah dimasukkan besi. Bahagian hujung kakinya digerakkan
perlahan-lahan untuk melembutkan bahagian ototnya.
Zureen langsung tidak memandang wajah Syed Redza ketika
mengurut kaki lelaki itu. Bimbang jika kerjanya terbantut
sebaik terlihat wajah serius lelaki itu. Apa yang
menghairankan Zureen ketika itu, lelaki itu langsung tidak
berbunyi. “Hek” tidak “hok” pun tidak.
“Memang pelik betul mamat ni pagi ni.... tapi
okeylah. Daripada dia mengata tak tentu fasal, lebih baik dia
jadi bisu macam ni. Senang sikit kerja aku...” bisik Zureen
dalam hati tanpa menyedari dirinya sedang asyik
diperhatikan.
Syed Redza pula ralit memerhatikan gadis kecil
molek itu mengurut kakinya. Dia dapat melihat Zureen pagi
ini pada sudut dan perspektif yang agak berbeza dari
semalam sejak terpandang Zureen bersenam dan berenang
pagi tadi. Entah kenapa hatinya kini begitu senang sekali
apabila melihat gadis itu. Tiba-tiba sahaja suatu perasaan
telah menyelinap masuk ke dalam hati dan terus sahaja
meresap ke seluruh tubuh badannya.
“Berapa umur kau?” Tiba-tiba sahaja Syed Redza
bersuara.
Zureen yang agak tersentak dengan soalan Syed
Redza, secara spontan melihat wajah lelaki itu. Pelik!
Seingat-ingatnya, ini kali kedua Syed Redza bertanyakan
umurnya.
Zureen agak gerun melihat cara Syed Redza
memandangnya. Sukar untuk ditafsirkan makna renungan
itu. Apa yang pasti, kecut perutnya melihat pandangan lelaki
itu. Terasa seperti ada rama-rama yang riang berterbangan di
dalam perutnya ketika itu. Geli!
“Kau tak dengar ke aku tanya?” ulang Syed Redza.
Kali ini suaranya sedikit keras.
Bimbang jika suasana yang agak aman itu bertukar
tegang, Zureen akhirnya menjawab.
“22...” jawab Zureen pendek.
“Betul ke umur kau 22 tahun?” soal Syed Redza
lagi. Sememangnya dia tidak percaya. Sikap dan perangai
gadis itu jauh lebih matang dari usianya.
“Nak tengok IC saya ke?” jawab Zureen selamba
sambil tangannya terus mengurut kaki lelaki itu.
Senyuman terukir di bibir Syed Redza. Lucu
dengan jawapan spontan gadis itu. Bagitu selamba ‘dek’!
“Kenapa kau pilih jadi jururawat peribadi aku?”
Ini sesi temu duga kedua ke? Yalah... hari tu mama
dia aje yang interview aku! Getus Zureen.
“Correction... bukan ‘nak’ jadi jururawat peribadi
Encik Redza tapi saya memohon untuk jadi jururawat
peribadi kepada sesiapa saja... dan telah ditakdirkan saya jadi
jururawat peribadi untuk Encik Redza...” jawab Zureen
selamba. Dia agak kurang senang dengan soalan kedua Syed
Redza itu kerana seolah-olah dirinya yang beria-ia hendak
menjadi jururawat peribadi kepada lelaki angkuh itu.
Syed Redza tersenyum lagi mendengar jawapan
selamba dari Zureen. Hmmm.... semakin menarik. Memang
challenging budak ni! Getus Syed Redza.
“Kau menyesal ke jadi jururawat peribadi aku?”
Zureen agak tersentap mendengar soalan Syed
Redza itu. Dia seperti baru tersedar. Adakah jawapan aku tadi
keterlaluan sangat? Tiba-tiba perasaan menyesal
menyelubungi dirinya. Tidak sepatutnya dia melayan
pesakitnya begitu sedangkan dia tahu salah satu komponen
penting dalam rawatan fisioterapi adalah ‘terapi perasaan.’
Namun, akibat sakit hati dengan cara lelaki itu melayannya,
dia sendiri tanpa sengaja telah menyebabkan lelaki itu terasa
dengan kata-katanya.
“Err... maafkan saya Encik Redza. Saya tak
sepatutnya cakap macam tu. Honestly, saya tak pernah rasa
menyesal dengan tugas baru saya ni, cuma sebagai manusia
biasa, kadang-kadang saya rasa give up juga bila Encik Redza
tak berikan kerjasama kepada saya...” jawab Zureen dengan
perasaan bersalah.
Kedengaran Syed Redza ketawa kecil.
“Hei, come on! No hard feeling okay.... memang
patut pun kau rasa macam tu..”
Apa kena dengan mamat ni? Pelik betul perangai
dia. Selalunya perangai macam hantu! Aku bermimpi ke?
Hishh!! Tak faham betul aku dengan perangai dia ni. Mana
satu perangai sebenar dia ni? Aku salah bagi dia makan ubat
ke?
“Pandai kau berenang? Kau memang suka
berenang ya?” Syed Redza semakin galak bertanya. Dia
memang berazam untuk mencungkil apa saja tentang gadis
itu.
Soalan Syed Redza benar-benar menyebabkan
Zureen hampir pengsan. Ya Allah, maknanya memang
betullah dia nampak apa yang aku buat pagi tadi. Dia nampak
rambut aku? Aduh! Macam mana ni? Mana aku nak letak
muka aku ni?
Rasa seperti hendak menangis ketika itu pun ada.
Air matanya cuba ditahan. Selama ini dia cukup menjaga
auratnya tetapi kenapa lelaki angkuh itu pula yang dapat
melihatnya?
Silap aku juga. Kenapa mudah sangat nak buka
tudung? Dahlah di tempat yang masih asing untuk aku,
terbuka pula kawasannya. Hishh!! Kenapalah aku tak tengok
betul-betul kat balkoni tu? Zureen terus menyalahkan
dirinya.
“Err.. En... cik Red.. za na.... nampak ke apa yang
saya buat pagi tadi?” soal Zureen tergagagap-gagap. Dalam
hati dia terus berdoa semoga ia tidak seperti yang difikirnya.
“Apa yang pelik sangat kalau setakat aku tengok
kau berenang? Bukannya kau pakai bikini pun!” Soalan Syed
Redza yang sinis itu membuatkan muka Zureen tambah
merah. Jika tidak mengenangkan dirinya sedang
menjalankan rawatan fisioterapi, mahu saja dia melarikan
diri dari terus berhadapan dengan lelaki itu. Tidak sanggup
rasanya untuk terus menanggung malu!
“Relakslah... Apa yang kau panik sangat ni?” soal
Syed Redza setelah dilihatnya Zureen dalam keadaan tidak
keruan.
“Saya tak patut berenang tadi.....” Kedengaran
suara Zureen seperti mahu menangis.
“Apa masalah kau ni? Apa yang serius sangat kalau
aku nampak kau berenang? Kau ni kadang-kadang aku
tengok macam sosial tapi kadang-kadang perangai kau ni
macam gadis pingitan pun ada. Mana satu personaliti kau
sebenarnya?”
“Encik Redza tak faham dan tak akan faham. Saya
betul-betul menyesal. Saya memang tak patut berenang
tadi...” luah Zureen kesal.
“Kenapa? Sebab aku dapat tengok rambut kau tu?
Isu besar sangat ke kalau aku dapat tengok rambut kau?
Betul ke kau memang tak pernah buka tudung kau tu? Don’t
tell me that guy pun tak pernah tengok rambut kau? Kalau
dia boleh sanggup datang ke sini, itu dah cukup
membuktikan betapa dia cukup rapat dengan kau...”
That guy? Lelaki mana pula yang dimaksudkan ni?
Abang Haziq ke?
“Encik Redza.... Saya rasa Encik Redza tak berhak
nak menyentuh soal peribadi saya. Jangan persoalkan
tentang saya nak menjaga aurat saya. Okay to be honest,
memang selama ni saya cukup menjaga aurat dan maruah
diri saya. Saya memang dididik dari kecil untuk menjaga itu
semua. Memang belum ada sesiapa yang pernah tengok aurat
saya ni termasuk ‘that guy’ yang Encik Redza maksudkan
kecuali adik beradik dan kaum keluarga terdekat saya
sahaja.... tetapi disebabkan kebodohan dan kelalaian diri saya
sendiri, saya tanpa sengaja telah terbuka aurat yang cukup
saya jaga selama ini..... memang saya sangat kesal tapi saya
yakin Allah maha mengetahui.... lagi satu, bila saya rapat
dengan seseorang tu lebih-lebih lagi dia adalah lelaki yang
bukan muhrim, tak bermakna dia berhak ke atas saya sampai
dah tak tahu batasan... sampai nak tunjukkan aurat pula...”
jawab Zureen panjang lebar sebagai usaha untuk
mempertahankan dirinya dari terus dipandang rendah oleh
lelaki angkuh itu.
Zureen menarik nafas seketika untuk
mententeramkan hatinya yang sudah mula beremosi.
“Maaf Encik Redza.... izinkan saya ke toilet
sebentar..”
Tanpa menunggu kebenaran dari Syed Redza,
Zureen terus melarikan diri seketika ke tandas bagi
menenangkan perasaannya.
Syed Redza agak terkejut dengan tindakan drastik
Zureen itu. Kenapa gadis itu begitu sensitif sekali? Dia tidak
nampak sebab yang munasabah untuk Zureen berkelakuan
begitu pelik. Takkanlah disebabkan aku terlihat rambutnya
boleh buat dia jadi begitu panik sekali? Adakah soal rambut
menjadi isu yang begitu besar padanya?
Dari analisa singkat Syed Redza, sememangnya
gadis itu cukup sensitif jika soal peribadinya disentuh
terutama yang melibatkan aurat dan maruah dirinya.
Ternyata Zureen bukan gadis sembarangan.
“Patutlah jantan tu jejak dia sampai ke sini. Pasti
ada sesuatu yang sangat istimewa tentang budak ni,” bisik
Syed Redza.
Di bilik air Zureen menangis sepuas-puasnya. Entah kenapa
dia merasakan maruah dirinya telah tercemar. Mungkin Syed
Redza menganggap isu itu kecil baginya tetapi tidak bagi
Zureen.
“Ya Allah, kenapa harus dia yang melihat aurat
yang begitu aku jaga selama ini? Apakah hikmah di sebalik
kejadian yang amat memalukan aku ini??” rintih Zureen.
Zureen menampar-nampar mukanya beberapa kali.
Satu tindakan untuk melepaskan kemarahan kepada dirinya
sendiri.
Hishh!! Kenapalah aku bodoh dan cuai sangat?
Setelah beberapa ketika berada di bilik air, Zureen
baru tersedar. Dia tidak boleh lama-lama di situ. Syed Redza
sedang menunggunya untuk menjalankan rawatan
fisioterapi. Akibat terlalu sangat melayan perasaan hibanya
hingga dia terlupa seketika akan tanggungjawab yang
sepatutnya dijalankan sekarang.
Setelah dapat menenangkan hatinya dan
memastikan wajahnya kembali rapi, Zureen berjalan menuju
ke bilik fisioterapi semula. Sebolehnya dia tidak mahu Syed
Redza tahu dia menangis. Dia tidak mahu menunjukkan
kelemahan dirinya di hadapan lelaki itu walaupun dia
sememangnya lemah apabila berhadapan dengan situasi
seperti ini.
Sekembalinya Zureen ke bilik rawatan itu, dia amat
terkejut apabila mendapati Syed Redza sudah memulakan
sesi fisioterapi sendirian. Kedua-dua tangannya kuat berpaut
pada palang sambil kakinya perlahan-lahan cuba melangkah.
Sesekali dia hampir tersungkur akibat kakinya yang masih
lemah untuk melangkah. Pautan tangannya yang menjadi
penyelamat. Jika tidak pasti sudah lama dia tergolek di situ.
Zureen hampir terjerit apabila melihat Syed Redza
hampir tersungkur. Sekali lagi dia diserang perasaan bersalah
kerana meninggalkan lelaki itu sendirian sedangkan waktu
itu sepatutnya dia bersama Syed Redza menjalankan rawatan
fisioterapi.
“Ya Allah.... Encik Redza kenapa buat rawatan ni
sorang-sorang? Kenapa tak tunggu saya? Encik Redza tahu
tak bahaya? Kalau jadi apa-apa pada Encik Redza, nanti saya
yang akan dipersalahkan. Kan saya kata saya nak ke toilet
sekejap....” Zureen separuh menjerit. Dia benar-benar
terkejut dengan apa yang baru dilihatnya.
“Aku tak perlukan simpati kau! Aku nak buktikan
yang aku boleh berjalan sendiri. Tentu kau rasa jijik tengok
lelaki OKU macam aku ni kan?” balas Syed Redza tergigilgigil
akibat terlalu memaksa dirinya untuk berjalan.
Entah kenapa sebaik sahaja Syed Redza teringatkan
lelaki yang didakwa sebagai abang angkat Zureen itu, dirinya
seolah-olah rasa tercabar. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia
perlu merasa begitu tetapi yang pasti dengan keadaan dirinya
yang tidak mampu berjalan sendiri, sudah pasti dia tewas
walaupun pertandingan belum pun atau tidak langsung
bermula. Perasaannya yang gila ketika itu telah
menyebabkan dia memaksa dirinya untuk berjalan walaupun
dia tahu tindakannya itu amat bahaya.
“Encik Redza..... Encik Redza tak boleh macam ni.
Cara Encik Redza ni salah. Cara Encik Redza boleh
menyebabkan otot kaki Encik Redza semakin tercedera.
Rawatan fisioterapi ni mesti dijalankan dengan perlahanlahan
dan penuh kelembutan. Tidak boleh terlalu memaksa.
Bahaya!” balas Zureen dengan bersungguh-sungguh.
Dia terus sahaja memaut lengan Syed Redza dalam
usaha untuk menghalang lelaki itu dari terus berjalan. Peluh
membasahi wajah lelaki itu menunjukkan betapa dia
bersungguh-sungguh untuk berjalan semula. Sebaliknya
Syed Redza menepis tangan Zureen.
Zureen buntu! Tidak tahu apa yang patut
dilakukannya. Nampaknya lelaki itu begitu nekad untuk
berjalan sendiri. Apalah agaknya yang telah merasuk fikiran
lelaki itu sehingga boleh bertindak hingga ke tahap itu.
Tadi beria-ia tak nak buat rawatan fisioterapi ni!
Sekarang beria-ia pula nak buat sampai tak menyempatnyempat
lagi! Rungut Zureen sendirian.
“Tak boleh jadi ni. Kalau aku biarkan dia terus buat
sendiri, silap-silap gaya makin tak boleh berjalan pula. Ah!
Apa nak jadi, jadilah. Aku mesti tetap halang dia sebelum
perkara yang lebih buruk terjadi. Aku buat ni demi tugas aku
dan niat aku baik untuk membantunya....” azam Zureen.
Dengan kudrat yang masih berbaki, Zureen
memaut lengan Syed Redza yang baru saja berada di
permulaan palang. Dari tadi, Syed Redza hanya mampu
bergerak beberapa sentimeter sahaja.
Seperti tadi, Syed Redza cuba menolak tangan
Zureen. Akibat tindakannya yang hendak menolak Zureen ke
tepi dengan tangan kirinya, tiba-tiba sahaja tangan kanannya
yang sedia berpaut pada palang tadi juga terlepas dan...
bedebuk!
Kedua-duanya, Zureen dan Syed Redza terduduk
dan apa yang lebih mengharu-birukan apabila ketika mereka
jatuh terduduk, kedudukan Syed Redza yang tertimpa badan
Zureen atau dengan perkataan mudahnya tubuh badan Syed
Redza yang sasa itu telah menghempap tubuh Zureen yang
kecil molek itu.
Berada dalam kedudukan itu, menyebabkan keduadua
lidah kelu tidak terkata. Baik Zureen mahupun Syed
Redza seperti terpukau seketika. Kedua-dua pasang mata
saling bertatapan. Sukar untuk ditafsirkan makna renungan
kedua-dua insan itu!

Mr Secret Admirer - Bab 14

“Encik Redza!! Eh, kenapa tidur di sini?”
soal Zureen terperanjat apabila melihat Syed Redza terbaring
di atas lantai balkoni. Kerusi roda berada di sebelahnya.
Apa yang dah berlaku? Dia terjatuh ke?
Syed Redza terus sahaja membuka matanya sebaik
sahaja namanya diseru Zureen. Bulat matanya memandang
Zureen yang sedang melutut di hadapannya dengan wajah
bimbang.
“Encik Redza jatuh dari kerusi roda ke? Encik
Redza okey tak?” soal Zureen masih bimbang dan dicubanya
untuk membantu membangunkan Syed Redza.
Zureen tiba-tiba terfikir seketika. Adakah Syed
Redza jatuh dari kerusi roda sejak malam tadi? Jika benar, ini
bermakna semalaman dia terbaring di balkoni dengan cuaca
yang sejuk di waktu malam dan pagi ini.
Tapi kalau betul, kenapa pula dia tak panggil aku
atau mamanya? Hishh! Aku ni pun satu, macam mana dia
nak panggil kalau bangun pun tak boleh?
Entah kenapa, Zureen tiba-tiba diserang rasa
bersalah kerana sepatutnya dia mesti memastikan Syed Redza
telah tidur terlebih dahulu sebelum dia meninggalkan lelaki
itu. Ini tidak, sebaliknya dia yang tidur dahulu sedangkan
lelaki itu sedang di dalam kesulitan. Rasa kesal
menyelubungi dirinya ketika itu.
Atau.... dia baru sahaja terjatuh pagi ini. Jika benar,
maknanya Syed Redza memang berada di balkoni ini dan....
dia nampak semua yang aku buat pagi tadi!
Oh! No..... Umi, tolong Zureen!!
Aduh! Versi yang mana satu betul ni?? Hai la Syed
Redza cubalah kau beritahu aku mana satu yang betul! Getus
Zureen.
Syed Redza tidak memberi sebarang respons.
Sebaliknya matanya terus merenung Zureen. Perasaan
bimbang Zureen tadi telah berganti dengan perasaan takut
apabila dirinya ditenung dengan begitu tajam sekali.
Ya Allah.... Dia dah mula dah!
Zureen menepis jauh-jauh perasaan takut yang
mula menyelubungi dirinya. Jika dia terlalu hanyut dengan
perasaannya, dia bimbang tugasnya akan terganggu lagi.
Sedangkan tugasan penting sedang menanti untuk
dilaksanakan selepas ini.
Zureen cuba menarik Syed Redza untuk bangun.
Namun, kudrat wanitanya tidak mampu mengatasi berat
lelaki itu. Sebaliknya lengannya pula dicengkam dengan
begitu kuat sekali hingga terasa sakitnya.
“Aduh! Encik Redza.... sakitlah! Apa ni??” jerit
Zureen perlahan. Dia masih cuba mengawal suaranya kerana
bimbang pembantu-pembantu rumah banglo mewah itu
akan terdengar. Sebolehnya dia tidak mahu menimbulkan
sebarang kekecohan di awal pagi begini.
Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja disepaknya
Syed Redza sebagai usaha untuk melepaskan cengkaman
tangan lelaki itu. Namun, Zureen sedar. Perkara itu tidak
boleh dilakukannya. Dia harus bersikap profesional dan tidak
boleh menyalahi etika terhadap pesakit. Dia telah diberi
latihan secukupnya bagaimana untuk mengatasi jika berlaku
situasi genting seperti ini.
Sabar... Zureen. Sabar!!
Akhirnya Zureen memutuskan untuk cuba
berlembut. Api tidak boleh dilawan dengan minyak. Makin
marak terbakar. Silap-silap dengan aku sekali rentung!
“Encik Redza.... saya minta maaf. Saya tahu saya
tak sepatutnya membiarkan Encik Redza sendirian tanpa
memeriksa keadaan kesihatan Encik Redza sebelum saya
masuk tidur malam tadi tapi saya sangka Encik Redza dah
tidur sebab Datin beritahu saya Encik Redza memang tidur
awal. So, sekali lagi saya minta maaf. Saya tahu saya tak
sepatutnya buat begitu. Insya-Allah, saya janji lepas ni saya
akan pastikan keadaan Encik Redza dah okey... then barulah
saya masuk tidur ya....” pujuk Zureen lembut seperti si ibu
yang sedang memujuk anaknya yang merajuk bergulingguling
di atas lantai sebab tak dapat permainan yang
dikehendaki.
Cengkaman tangan lelaki itu semakin kuat. Syed
Redza dilihatnya menghadiahkannya sebuah senyuman sinis.
Mungkin lucu mendengar pujukan Zureen.
Apa dia ingat aku ni budak-budak ke? Getus Syed
Redza.
“Kau ingat aku kisah ke kau nak tidur awal ke tak?”
soal Syed Redza sinis dengan tangannya masih tidak
melepaskan lengan Zureen.
“Habis tu, kenapa Encik nak marahkan saya? Apa
yang Encik Redza tak puas hati dengan saya? Lepaslah! Sakit
tau!” balas Zureen sambil berusaha untuk menarik lengannya
dari cengkaman tangan Syed Redza.
Tanpa diduga Zureen, Syed Redza terus sahaja
melepaskan cengkaman tangannya. Dengan spontan Zureen
menyingsing lengan uniformnya. Biru!
“Ini amaran awal dari aku. Kalau kau buat aku
marah lagi, lebih teruk dari ni aku boleh buat pada kau! Ingat
tu!” ucap Syed Redza dengan nada tegas.
Buat dia marah? Apa yang aku buat sampai dia
marah macam ni sekali? Bisik Zureen. Namun, segera ditepis
keluar kata-kata yang boleh buat hatinya menanah awal-awal
pagi begini.
Malas untuk memanjangkan provokasi awal pagi
ini, Zureen segera masuk semula ke bilik Syed Redza dan
mengemaskan semula keadaan bilik lelaki itu yang berselerak
tadi. Lelaki itu dibiarkan terus terbaring di atas lantai.
Pandailah kau nak bangun sendiri! Aku nak tolong
kau bangun, kau buat macam tu pula kat aku!
Hampir lima minit, Zureen selesai mengemas bilik
Syed Redza. Dari ekor mata Zureen, dia dapat melihat Syed
Redza masih terbaring di atas lantai balkoni. Tidak ubah
seperti mayat hidup!
Kadang-kadang aku tengok perangai dia
mengalahkan anak-anak buah aku! Baik-baik aku rasa
kasihan kat kau, dah tukar jadi rasa menyampah pula! Getus
Zureen.
Agak-agaknya, apalah masalah dia sampai boleh
berkelakuan macam ni sekali? Perangai dia sekarang ni
langsung tak sepadan dengan personaliti dirinya yang
sebenar. Masih terbayang gambar-gambarnya yang kacak
bergaya di album, sesuai dengan status dirinya sebagai
seorang anak datuk yang kaya raya. Sudahlah kaya raya,
pegang pula jawatan profesional!
Adakah semua ini angkara bekas tunangnya? Jika
ya, memang bodoh benarlah si Lisa tu! Dah dapat tunang
handsome lagi kaya raya pun tak tahu nak jaga. Hebat sangat
ke si Lisa tu sampai boleh buat mamat ni jadi ‘mental’
sampai macam ni sekali?
Hmmm.... tapi kalau macam nilah perangai mamat
ni, tak hairanlah kalau si Lisa tu tinggalkan dia! Kalau aku
pun boleh surrender! Eh, cop! Siapa yang tinggalkan siapa
ni? Lagi satu, sekarang ni aku tengah puji atau kutuk dia?
“Hishh... apa yang aku merapu ni?” Zureen seperti
baru tersedar yang fikirannya sudah jauh terbabas!
Tiba-tiba Zureen jadi serba salah pula. Takkanlah
dia nak biarkan Syed Redza terus terbaring di situ.
Ya Allah, kenapalah ada juga spesies manusia
macam ni kat dunia ni? Bisik Zureen geram. Akhirnya,
dengan hati yang agak berat, Zureen melangkah juga
menghampiri lelaki sejuk beku kepala batu itu.
I love my job.... I love my job..... I love my job....!!!
Dah macam berzikir pula. Satu motivasi untuk diri
sendiri sebenarnya!
“Encik Redza.... agak-agak sampai bila Encik Redza
nak terbaring kat sini?” tanya Zureen lembut tetapi dalam
nada penuh menyindir!
Lelaki itu telah membeku di situ! Tiada respons.
Tiada reaksi.
Zureen mula memikirkan bagaimana caranya
untuk memujuk Syed Redza kerana rawatan fisioterapi perlu
dijalankan segera.
“Encik Redza.... tolonglah jangan macam ni.
Banyak lagi tugas yang mesti saya buat untuk Syed Redza.
Hari ni Encik Redza harus menjalani rawatan fisioterapi.....”
Sebaik sahaja mendengar perkataan fisioterapi,
Syed Redza terus sahaja terduduk!
Hmmm.... boleh pun duduk! Menyusahkan aku aje
nak angkat dia tadi!
Sekali lagi Syed Redza merenung Zureen tajam. Air
mukanya menunjukkan seolah-olah dia begitu benci untuk
menjalani rawatan itu.
“Aku tak perlu buat fisioterapi!” balasnya pendek
dan kedengaran tegas.
“Encik Redza... Dr. Rashdan beritahu saya...”
“Aku kata aku tak nak buat rawatan tu!! Kau tak
faham bahasa ke??!!!” tengking Syed Redza hingga
membuatkan Zureen begitu terkejut sekali.
Astaghfirullah.... dah kenapalah lelaki ni? Zureen
mengurut dada. Memang dia sangat terkejut kerana suara
Syed Redza bagaikan halilintar.
Memang sahlah mamat ni mental!
“Encik Redza tak boleh macam ni. Macam mana
Encik Redza nak berjalan semula kalau tak nak buat
fisioterapi? Encik Redza tak teringin ke nak berjalan semula?
Kalau Encik Redza dah boleh berjalan, tak payahlah terperuk
lagi kat dalam bilik ni aje!”
“Aku lebih rela terperuk dalam bilik aku ni dari
tengok dunia luar yang penuh hipokrit tu! Aku dah bosan
buat fisioterapi ni..... cuba kau tengok keadaan aku, tetap tak
boleh berjalan kan? So, buat apa aku nak susah payah buang
masa tapi hasil tak ada!” balas Syed Redza seolah-olah
melepaskan kemarahan kepada Zureen.
Hmm... ni kes dah putus asalah ni!
“Memanglah rawatan fisioterapi ni perlukan masa.
Takkanlah buat sekali dua dah terus boleh berjalan. Encik
Redza tak boleh putus asa. Tanamkan azam dalam diri yang
Encik Redza nak berjalan semula. Bukan setakat berjalan,
tapi nak berlari pun boleh....” Zureen terus cuba memujuk.
Lelaki itu diam sebentar. Seolah-olah sedang
berfikir. Kemudian, dia kembali merenung Zureen dengan
senyuman yang.... entah Zureen pun tak tahu apa maksud
senyuman itu.
“Ooo boleh berjalan? Lepas tu boleh berlari-lari?
Dah puas berlari-lari lepas tu boleh berenang-renang
pulalah?” soal Syed Redza sinis.
“Ya.... kalau Encik Redza terus rajin buat
fisioterapi, bukan setakat tu saja, semua aktiviti Encik Redza
boleh buat....” jawab Zureen jujur tanpa menyedari dirinya
sedang disindir.
Melihat reaksi Syed Redza yang terus merenungnya
dengan senyuman sinis, macam senyum mengejek pun ada,
Zureen baru terperasan sesuatu.
Erkk??!! Kenapa aku rasa lain macam aje dengan
soalan mamat ni? Tidak semena-mena Zureen rasa tak sedap
hati.
Air muka Zureen tiba-tiba berubah. Pucat! Jika
ditoreh kulit mukanya sekarang ini, pasti tiada setitik darah
pun yang akan mengalir keluar. Ya Allah, adakah sangkaan
aku ni benar? Oh, no.... umi tolong Zureen!
Relaks Zureen.... relaks.... kau tak boleh gabra atau
panik! Lagi kau tunjukkan gabra kau tu, lagi senanglah
mamat tu nak serang hendap kau.... tapi macam mana aku
nak relaks kalau dah memang aku tersangat panik ni!
Kenapa lelaki sejuk beku kepala batu tu cakap
macam tu? Dia nampak ke apa yang aku buat pagi tadi? Kalau
ya, maknanya dia nampaklah aku berenang dengan tak
bertudung tadi?? OMG!!
Hishh! Aku rasa tak mungkin dia nampak apa yang
aku buat tadi sebab aku dah berpuluh-puluh kali check
balkoni bilik mamat tu dan aku memang pasti dia tak ada di
situ.... tapi kalau betul dia tak ada kat balkoni tu, apa pula
yang dibuatnya terbaring di balkoni tadi?
Ya Allah, betapa misterinya! Zureen terus bertekateki
sendirian.
“Apa pula yang kau termenung kat situ? Kau tak
payah nak termenung panjang dan susah-susah fikir. Semua
yang kau fikirkan tu memang betul. Tak payah nak peningpeningkan
kepala kau tu!” Dengan selamba Syed Redza
melemparkan kata-kata itu kerana dia tahu ketika itu gadis
itu sedang risau dan kebingungan. Dari air muka Zureen, dia
sudah dapat membaca apa yang sedang berlegar-legar dalam
fikiran gadis itu.
Dia tahu ke apa yang sedang aku fikir ni? Getus
Zureen.
Sememangnya Syed Redza dapat melihat apa yang
telah dilakukan oleh Zureen pagi tadi tanpa disedari oleh
gadis itu walaupun berkali-kali Zureen memerhatikan ke
arah balkoni, tempat di mana dia terbaring. Kedudukannya
yang agak tersorok telah menyebabkan gadis itu tidak dapat
melihat kelibat dirinya. Tambahan pula, pintu gelangsar dan
langsirnya sengaja ditarik dan ditutup rapat.
Syed Redza sendiri tidak menyangka dia telah dapat
menonton wayang percuma pagi-pagi lagi. Apa saja
perlakuan gadis itu dapat dilihatnya dengan jelas terutama
ketika Zureen berenang di kolam! Tidak disangkanya, dia
dapat melihat diri sebenar Zureen terutama mahkota gadis
itu, rambutnya yang panjang mengurai melepasi paras
bahunya yang selama ini disorok di sebalik tudungnya.
Begitu cekap sekali gadis itu berenang. Dari air mukanya
cukup menunjukkan betapa dia sangat gembira ketika itu.
Lepas bebas daripada sebarang tekanan!
Syed Redza seperti baru tersedar. Dia memang
tidak boleh menafikan, bahawa dia agak terpesona melihat
kejelitaan gadis kecil molek itu. Tanpa sebarang mekap
diconteng pada wajahnya, dia sudah cukup jelita. Very
natural beauty.
Malam tadi, semalaman dia sukar untuk
melelapkan mata. Puas dicubanya untuk tidur, namun
fikirannya terus melayang memikirkan kisah antara dirinya
dan bekas tunangnya, Lisa.
Akibat kepalanya yang berserabut, dia mengambil
keputusan untuk mengambil angin awal pagi. Sejak jam lima
pagi dia sudah duduk di balkoni cuba untuk menghilangkan
serabut kepalanya. Penat duduk di kerusi roda, dia cuba
untuk bangun dan berdiri kerana merasakan dirinya mampu
untuk berdiri dan berjalan sendiri tanpa bantuan tongkat.
Namun, sebaliknya... bedebuk! Seperti nangka busuk dia
terjatuh!
“Memang sia-sia aje buat rawatan itu dan ini. Aku
tetap juga macam ni! Nak berdiri dan berjalan sendiri pun
tak mampu! Arghhh!! ini semua sebab kau Lisa. Damn you!”
Akibat hatinya yang panas membara, terbakar dan
menggelegak menyebabkan cuaca sejuk di luar pun masih
tidak mampu menyejukkan hatinya. Rasa sejuk yang
menggigit langsung tidak dirasanya.
Perasaan putus asa telah menyebabkan dia
langsung tidak berusaha untuk bangun. Sebaliknya dia terus
terbaring di situ. Otaknya terus ligat berfikir bagaimana
untuk merubah keadaan dirinya itu. Sampai bila dia harus
berkeadaan begini? Sesekali hatinya seperti tersayat sembilu
apabila mengenangkan nasib dirinya.
Seawal jam tujuh pagi, tiba-tiba telinganya dapat
menangkap bunyi seperti orang sedang berlari. Dia cuba
membangunkan dirinya. Dengan penuh kepayahan, akhirnya
dia berjaya mengengsot ke satu sudut di balkoni biliknya. Dia
agak terkejut dan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Dia dapat melihat gadis kecil molek itu sedang
bersenam dan selepas itu berenang pula. Dia menyorokkan
dirinya dan menundukkan kepalanya setiap kali gadis itu
melihat ke arahnya. Sudah pasti gadis itu hendak
memastikan dirinya tidak berada di balkoni ketika itu.
Mungkin gadis itu tidak mahu peristiwa semalam berulang
lagi. Dirinya menjadi ralit melihat apa yang dilakukan
Zureen.
Sebaik sahaja terpandangkan Zureen awal pagi tadi,
dia tidak dapat membohongi dirinya, dia mula tertarik
kepada gadis comel itu. Pada masa yang sama entah kenapa
dia mula membandingkan bezakan antara bekas tunangnya
dengan gadis kecil molek itu kerana sebelum peristiwa hitam
itu berlaku, di matanya hanya Lisalah gadis terhebat. Ini
kerana hanya Lisa yang telah berjaya menawan hatinya. Syed
Redza tidak tahu kenapa kerana dia sememangnya tidak
mempunyai jawapan jika ditanya kenapa dia perlu
membandingkan antara diri Lisa dan Zureen.
Ternyata kedua-duanya sangat berbeza. Bagaikan
langit dan bumi. Kedua-duanya cantik dengan cara yang
tersendiri. Bekas tunangnya memang jelita tetapi dengan
mekap yang tebal seinci. Kalau tidak bermekap, entah
macam mana rupanya. Memang Syed Redza tidak pernah
melihat bekas tunangnya tanpa mekap tetapi Zureen pula
berbeza. Gadis itu dilihatnya begitu bersederhana sekali.
Tanpa perlu bersolek tebal, gadis itu tetap cantik jelita!
Cara gadis kecil molek itu membawa dirinya dalam
suasana baru juga sebenarnya agak mengagumkan hati
lelakinya. Gadis itu dilihatnya begitu yakin dan agak tegas.
Buktinya pelbagai kerenahnya di tangani gadis itu dengan
sabar. Satu lagi sikap Zureen yang agak ketara adalah dia
langsung tidak menunjukkan minat terhadap dirinya. Tidak
seperti gadis-gadis lain sebelum ini yang terang-terangan
tanpa segan silu cuba untuk mendekati dirinya
Akhirnya Syed Redza bertanya kepada dirinya
sendiri.
“Adakah aku sudah tertarik kepada gadis ini?”
Ego lelakinya yang tinggi dan disebabkan dendam
yang tersemat di sudut hatinya, dia cuba menidakkan
perasaannya itu.
“Ah! Tak mungkin aku boleh suka dengan budak ni
hanya dalam sehari!” protes hatinya sendiri.
Tetapi.... apa yang kau nak hairankan Syed Redza?
Jika Allah sudah membuka hati kau kembali, walau
melihatnya cuma sedetik, hati kau tetap akan suka
kepadanya!
Seperti ada satu suara halus yang membisikkan
kata-kata itu ke telinganya dan matanya pula tanpa berkelip
terus merenung jururawat peribadi yang telah berjaya
mengetuk hatinya itu!

Mr Secret Admirer - Bab 13

Syed Redza tidak dapat melelapkan matanya.
Masih terngiang-ngiang perbualan antara dia dan mamanya.
Hatinya jadi sakit semula apabila mengingatkan kisah bekas
tunangnya, Lisa.
Selama ini memang dia sengaja menutup mulut
dari bercerita kisah antara dirinya dan juga bekas tunangnya
itu. Biarlah ia menjadi rahsia dan sejarah buat dirinya.
Namun, akibat terperangkap dengan soalan-soalan mamanya,
akhirnya pecah juga rahsia yang disimpan utuh selama ini.
Syed Redza sendiri tidak tahu di mana dan
bagaimana keadaan bekas tunangnya itu sekarang. Sebolehbolehnya
dia ingin memadamkan nama itu dari hati dan
kotak fikirannya.
Sepanjang tempoh perkenalan dan pertunangan
mereka, sememangnya hati dan perasaannya hanya untuk
Lisa seorang. Walaupun dirinya sering dianggap playboy,
namun cinta dan kasih sayangnya memang tidak pernah
berbelah bagi.
Lumrah kehidupan. Bila diri dilahirkan dalam
keluarga yang berada, dikurniakan wajah yang agak menarik,
memandu pula kereta sport Mazda RX-8, maka diri akan
dicop sebagai playboy! Semuanya hanya kerana perasaan
cinta tidak berbalas, walaupun hakikat sebenarnya dirinya
bukanlah spesies itu.
Dengan status dirinya sebagai jurutera kanan
sebuah syarikat multinational di Wilayah Pembangunan
Iskandar, Nusajaya, dirinya memang sentiasa dihimpit ramai
wanita dan yang lebih menghairankan dirinya apabila wanitawanita
itu juga multiracial! Namun, semuanya dilayan hanya
seperti kawan biasa dan mungkin disebabkan cara layanannya
menyebabkan kesemua mereka salah sangka. Biasalah, bila
luahan hati dibalas dengan jawapan yang tidak seperti
diharapkan, mulalah keluar cerita yang tidak enak mengenai
dirinya.
Pertemuan dengan Lisa, seorang model sambilan
telah mengubah segalanya. Entah kenapa hati terus terpikat.
Mungkin kerana terpesona dengan kejelitaannya, hatinya
menjadi buta. Ayah Lisa pula kebetulan kawan kepada
papanya, dan segalanya menjadi mudah apabila melibatkan
persetujuan kedua-dua pihak keluarga.
Tali pertunangan diikat. Dalam tempoh setahun,
perkahwinan mereka akan dilangsungkan. Namun, baru tiga
bulan berada di alam pertunangan, pelbagai dugaan datang
ingin menguji kesetiaan. Benarlah kata orang, alam
pertunangan memang banyak dugaannya!
Selama ini tidak pernah ada seorang wanita pun
yang berpeluang duduk di sebelah tempat duduk pemandu
kereta sportnya walaupun ramai yang terhegeh-hegeh
inginkannya. Hanya Lisa yang bebas keluar masuk dari
keretanya. Itupun setelah memegang status sebagai
tunangnya. Sememangnya itulah prinsipnya. Dia tidak mahu
menjadikan keretanya sebagai alat untuk mengangkut
perempuan!
Sangkanya dia telah menemui cinta sejati, tetapi
rupa-rupanya cinta plastik!
“Damn you Lisa!!”
Serentak dengan itu bantalnya dibalingkan ke
dinding. Api kemarahannya meluap-luap seperti lava gunung
berani yang sedang meletus!
“Jangan harap aku nak layan baik mana-mana
betina pun lepas ni!” luahnya dengan penuh geram.
Pagi-pagi lagi Zureen sedah terjaga. Tepat jam enam pagi,
matanya sudah terbuntang. Mungkin akibat tidur dan rehat
yang cukup, dirinya dirasakan amat bertenaga sebaik sahaja
terjaga pagi ini.
Dia bingkas bangun dan terus ke bilik air. Dia
teruskan sahaja menunaikan solat subuh. Usai solat,
dilihatnya jam dinding.
Hmm... baru pukul 6.30 pagi. Nak buat apa ya? Nak
mulakan tugas, rasanya masih awal lagi. Rasa-rasanya lelaki
sejuk beku kepala batu tu mesti belum bangun lagi. Tengok
aje semalam, dah pukul sembilan lebih pun masih tak
bangun-bangun lagi.
Dia berjalan menuju ke tingkap biliknya. Tingkap
dibuka. Udara pagi menyerbu masuk ke biliknya. Sejuknya
hingga mencecah ke tulang hitam!
Tiba-tiba terasa pula nak berjoging.
Daripada aku duduk melahu macam ni, lebih baik
aku bersenam. Getus Zureen.
Zureen terus sahaja menyalin baju tidurnya. Dia
menyarung tracksuitnya.
“Tak payah mandi dulu.... lepas joging nanti baru
mandi,” putusnya.
Setelah bersiap, Zureen segera turun ke bawah.
Masih tiada sesiapa di ruang tamu. Hanya kedengaran
pinggan mangkuk berlaga di dapur. Mungkin Kak Siti sedang
memasak sarapan pagi. Datin Raja Fatimah masih belum
kelihatan. Mungkin masih di biliknya.
Pintu gelangsar ditarik perlahan. Dia menyarung
kasut sportnya yang memang dibawa bersama. Kemudian
pintu gelangsar ditutup kembali. Seboleh-bolehnya dia tidak
mahu mengejutkan penghuni banglo mewah itu di awal pagi
begini.
Zureen membuat stretching di halaman banglo
mewah itu sambil meninjau-ninjau kawasan sekitarnya.
Rasanya tak perlu joging di luar. Di dalam kawasan banglo
mewah ini sahaja sudah memadai memandangkan
kawasannya cukup luas.
Selesai melakukan stretching ringan, Zureen mula
joging di sekitar banglo mewah itu. Sesekali matanya melirik
ke arah balkoni bilik Syed Redza. Dia bimbang jika peristiwa
petang semalam berulang lagi akibat terleka dengan diri
sendiri hingga tidak sedar dirinya sedang diperhatikan.
Matanya sentiasa mengawasi balkoni bilik Syed Redza
walaupun dia amat pasti lelaki sejuk beku kepala batu itu
pasti belum bangun tidur lagi! Yakin lelaki itu pasti belum
bangun, Zureen merasa bebas untuk melakukan apa sahaja!
Terasa diri unfit! Sekejap sahaja nafas dah
termengah-mengah. Sememangnya sudah lama dia tidak
bersenam semenjak menamatkan pengajiannya. Tiga bulan
duduk di rumah sebagai penganggur terhormat, menjadikan
dirinya malas. Asyik makan... tidur... makan.... tidur. ‘Spare
part’ pun mula terbentuk di sana sini!
Lebih kurang setelah setengah jam berjoging,
Zureen memutuskan untuk berhenti. Rasa-rasanya cukuplah
bersenam setakat ini untuk hari ini. Tidak boleh terlalu
mendadak dan agresif sangat. Nanti badan terkejut. Lain pula
jadinya.
Dia ingin melangkah kembali masuk ke biliknya
untuk bersiap-siap bagi memulakan tugasnya untuk hari ini.
Tetapi entah kenapa, terasa dirinya ditarik-tarik apabila
melalui kawasan kolam renang. Seolah-olah kolam renang
itu memanggil-manggil dirinya untuk turun berenang.
Sekali lagi dia melihat ke arah balkoni bilik Syed
Redza. Ternyata pintu gelangsar bilik lelaki itu masih
tertutup rapat.
“Takkanlah aku nak berenang dengan baju ni aje
kut? Ah, lantaklah! Bukan ada sesiapa nampak pun! Dapat
berenang 10 minit pun jadilah!”
Setelah pasti Syed Redza belum bangun lagi,
Zureen menanggalkan sweater yang dipakainya. T-shirt yang
dipakainya dibiarkan lepas keluar. Tudung dan kasut sportnya
dibuka dan diletakkan bersama-sama sweater di atas kerusi
rehat yang terletak berhadapan dengan kolam renang itu.
“Takkanlah aku nak berenang dengan tudung pula!
Tak apalah, mamat tu pun belum bangun lagi. Kalau setakat
auntie dan maid dia yang nampak, tak kisahlah. Asalkan
jangan mamat tu nampak sudahlah!” bisik Zureen.
Tanpa melengahkan masa, Zureen terus terjun ke
dalam kolam.
Wow! Seronoknya dapat berenang. Rasa lepas
segala tension!
Berbagai-bagai gaya renang dilakukannya. Puas
berenang free style, butterfly stroke, dia berenang gaya
backstrock pula. Akhir sekali dia mengapungkan dirinya
secara terlentang. Mata dibukanya merenung ke langit yang
biru. Mentari masih malu untuk menunjukkan dirinya ketika
itu.
Setelah puas dapat berenang, Zureen segera keluar
dari kolam renang itu. dia perlu bersiap-siap untuk
memulakan tugasnya.
Alamak! Takkanlah aku nak masuk ke dalam rumah
dengan keadaan basah lencun macam ni! Kalau nampak
Datin Raja Fatimah, nanti apa pula katanya. Dia tidak mahu
dikatakan kaduk naik junjung walaupun dari awal lagi
sewaktu dia menjejakkan kaki di banglo mewah ini, Datin
Raja Fatimah sudah memberi kebenaran untuk
menggunakan apa sahaja kemudahan yang ada di banglo
mewah itu.
Datin Raja Fatimah sudah meminta dia
menganggap banglo mewah itu seperti rumahnya sendiri.
Tidak perlu rasa malu atau takut untuk menggunakan apaapa
kemudahan di banglo mewah itu. Namun, itu tidak
bermakna dia boleh melakukan apa sahaja sesuka hati. Kalau
uminya tahu yang dia berenang di banglo mewah ini, sudah
pasti teruk dirinya dileteri uminya. Sememangnya dari kecil
dia sudah dididik untuk menghormati hak orang lain. Tidak
bermakna jika tuan punya sudah mengizinkan, maka dia
boleh melakukan apa sahaja, tetapi jiwanya tidak tahan
dengan godaan kolam renang itu tadi! Hehe....
Zureen menunggu seketika di luar sambil berjalanjalan
perlahan di halaman banglo itu sementara untuk
mengeringkan bajunya. Dia hanya akan masuk ke dalam
banglo itu setelah pasti air tidak menitik-nitik lagi.
Ya Allah.... sejuknya. Huh! Padan muka aku. Siapa
suruh aku berenang tadi?
Lebih kurang sepuluh minit terpacak di luar
banglo, Zureen segera berlari anak menuju ke biliknya.
Bimbang jika lantai banglo mewah itu akan basah akibat
perangai tidak senonohnya itu!
Fuh! Lega...
Zureen menarik nafas lega apabila dia berjaya
meloloskan dirinya ke dalam biliknya tanpa dilihat oleh
penghuni-penghuni banglo mewah itu.
“Zureen... Zureen.... janganlah kau buat perangai
tak senonoh ni lagi.” Zureen memberi amaran kepada dirinya
sendiri.
Tepat jam lapan pagi, Zureen telah lengkap
beruniform. Terasa diri amat bersemangat untuk bertugas
walaupun dia sedar cabaran hari ini pasti lebih challenging!
Jika mengenangkan sikap anak majikannya itu,
memang semangat kerjanya telah jatuh merudum awal-awal
lagi. Namun, dia cuba sedaya upaya untuk berfikiran positif.
Teringat motivasi pagi yang disampaikan oleh pakar
motivasi, Dato’ Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah mengenai
petua untuk berasa seronok di tempat kerja. Menurutnya kita
harus berasa seronok untuk bekerja. Mesti cintakan kerja
kita. Ikhlas cintakan kerja dan ikhlas untuk bekerja dan
bukannya merasa terpaksa untuk ke tempat kerja. Kemudian,
barulah boleh datang aura positif dalam diri kita. Barulah
rakan sekerja atau orang-orang yang berjumpa kita di tempat
kerja juga berasa seronok melihat kita disebabkan aura
positif yang terbit dari wajah kita.
“So, as a conclusion I have to love my job no
matter what happen.....” bisiknya dengan penuh azam.
Zureen melangkah dengan penuh semangat ke
dapur. Mesti isi perut sendiri dahulu sebelum memulakan
tugas. Kalau tidak, silap-silap gaya kena serang migrain lagi.
Mungkin juga semalam dia telah mengabaikan waktu
makannya, dan disebabkan itulah dia diserang sakit kepala.
Datin Raja Fatimah dilihatnya sudah siap
menunggu di meja makan. Nampaknya wanita itu juga sudah
bersiap sedia untuk ke butiknya.
“Assalamualaikum... good morning auntie...” sapa
Zureen.
“Waalaikumsalam... good morning Zureen. Jom
kita breakfast,” jawab Datin Raja Fatimah sambil tersenyum
ke arah Zureen.
Entah kenapa dia dapat melihat wajah Zureen yang
agak berbeza pada pagi ini. Wajah gadis itu dilihatnya
berseri-seri. Suka pula rasanya untuk memandang wajah
gadis comel itu berkali-kali.
“Wah, Zureen nampak happy sangat pagi ni. Muka
Zureen pun auntie tengok berseri-seri. Ada apa-apa ke?”
“Muka Zureen berseri-seri? ya ke auntie? Ada-ada
ajelah auntie ni.....” balas Zureen malu. Mekap aku tebal
sangat ke? Eh, aku mana pernah bermekap? Paling dahsyat
pun aku cuma berbedak dan bergincu nipis.
Zureen tiba-tiba rasa malu apabila dipuji Datin Raja
Fatimah begitu. Adakah wanita itu ikhlas memujinya?
“Awal auntie siap hari ni? Auntie dah nak ke butik
ke?” soal Zureen cuba menukar topik.
“Hmmm... ya... memang auntie nak keluar awal
sikit hari ni. Hari ni stok baru banyak sampai. Nak harapkan
staf auntie aje, kasihan pula. Kelam-kabut dia sampai tak
menang tangan dibuatnya...”
“Zureen sarapanlah dulu. Jangan skip time makan.
Nanti sakit kepala lagi. Kejap lagi dah nak mula sesi
fisioterapi kan? Zureen okey ke buat sendiri? Auntie memang
tak dapat nak tunggu....”
“Eh, it’s okay auntie.... Zureen boleh buat sendiri.
Semalam kan Dr. Rashdan dah terangkan kepada Zureen.
Lagipun, Zureen dah belajar fasal fisioterapi ni masa kat kolej
dulu. Cuma sekarang Zureen kena aplikasikannya. Auntie
janganlah risau. Zureen boleh buat sendiri semua tu....”
“Okeylah kalau macam tu. Auntie cuma minta satu
aje.... Auntie harap apa pun Redza buat kepada Zureen,
auntie harap Zureen boleh bersabar ya.....” pesan Datin Raja
Fatimah sebelum meninggalkan Zureen bersarapan
sendirian.
“Insya-Allah auntie...”
Apa lagilah yang mampu diungkapkannya? Dalam
hatinya berdoa semoga segalanya berjalan lancar hari ini dan
hari-hari seterusnya tanpa sebarang masalah.
Usai sarapan pagi, Zureen sudah sedia untuk
memulakan tugas untuk hari ini. Dia memeriksa jadual
tugasnya.
Sekali lagi doa dipanjatkan dalam hati memohon
agar dirinya diberikan kesabaran yang tinggi dalam
menghadapi apa jua kerenah lelaki sejuk beku kepala batu
itu.
Zureen memutuskan untuk membawa bersama
sarapan pagi untuk Syed Redza kerana biasanya Kak Siti yang
akan menghantarnya ke bilik lelaki itu.
Pintu bilik Syed Redza diketuk beberapa kali.
Kemudian dia terus masuk tanpa menuggu jawapan daripada
lelaki itu. Zureen agak terkejut melihat keadaan bilik itu
sebaik sahaja melangkah masuk.
Bersepah! Bantal bertaburan di lantai. Namun, apa
yang lebih menghairankan Zureen ialah Syed Redza tiada di
dalam biliknya. Sarapan pagi itu diletakkan seketika di atas
meja. Zureen memeriksa bilik air. Manalah tahu kalau-kalau
Syed Redza sedang mandi. Bilik air juga kosong. Dia dah
bangun ke? Kalau dah bangun, ke mana pula perginya? Di
balkoni kut? Tapi pintu gelangsarnya tertutup rapat!
Tiba-tiba sahaja perasaan bimbang menerjah
dirinya. Bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini
kerana dia memang tahu Syed Redza sedang marahkan
dirinya sewaktu dia meninggalkan bilik lelaki itu petang
semalam dan selepas itu dia langsung tidak menjenguk lelaki
itu sehinggalah pagi ini.
Zureen memberanikan dirinya untuk membuka
pintu gelangsar di bilik itu. Langsir yang menutupi pintu
gelangsar itu disingkap ke tepi. Kemudian pintu gelangsar
itu ditariknya pula.
Hampir gugur jantung Zureen sebaik sahaja dia
menarik pintu gelangsar itu. Bagaikan tidak percaya dengan
apa yang dilihatnya. Mujur dia dapat mengawal dirinya. Jika
tidak pasti dia sudah terjerit di situ.

Mr Secret Admirer - Bab 12

“Zureen! Zureen!” laung Datin Raja
Fatimah beberapa kali.
Puas sudah dipanggil nama Zureen, namun senyap
sunyi tiada jawapan. Diketuknya pula pintu bilik Zureen
sampai naik merah bahagian tengah jarinya akibat mengetuk
lama, masih juga tidak berjawab.
Datin Raja Fatimah mulai bimbang. Pengsan ke
budak ni?
Sejak Zureen meninggalkan bilik anak bujangnya
petang tadi, kelibat gadis itu langsung tidak kelihatan. Datin
Raja Fatimah mula tertanya-tanya. Apa yang dibuatnya di
dalam bilik sampai tak keluar-keluar dari tadi?
Datin Raja Fatimah mencuba lagi memanggil
Zureen. Namun masih tiada jawapan. Akhirnya dia
memutuskan untuk membuka sendiri kunci pintu bilik
Zureen. Entah kenapa dia tiba-tiba jadi bimbang. Dia ingin
tahu sangat apa yang dilakukan Zureen di dalam biliknya
hingga tidak menjawab panggilannya.
Datin Raja Fatimah membuka pintu bilik Zureen
menggunakan kunci pendua. Sebaik sahaja pintu dibuka,
Datin Raja Fatimah agak terkejut kerana mendapati bilik
Zureen itu gelap gelita.
Ke mana pula perginya si Zureen ni? Takkanlah dia
dah lari pula?
Datin Raja Fatimah terus sahaja memetik suis
lampu di tepi pintu. Sebaik sahaja bilik itu terang, sekali lagi
dia terkejut apabila terlihat Zureen sedang terbaring di atas
katil dengan uniform masih tersarung di badannya.
Datin Raja Fatimah terus sahaja mendapatkan
Zureen. Diperhatikan wajah Zureen untuk memastikan
keadaan gadis itu. Ternyata gadis itu tidur dengan begitu
nyenyak sekali.
Zureen agak terganggu tidurnya. Mungkin
terganggu dek cahaya lampu yang terang.
“Zureen... bangun.” Datin Raja Fatimah
mengejutkan perlahan.
Zureen cuba untuk membuka matanya namun dia
merasakan matanya seperti digam. Dia sedaya upaya untuk
cuba membuka matanya. Dicubanya pula untuk bangun,
namun kepalanya terasa begitu berat sekali.
“Zureen... bangun sayang. Kenapa tidur maghribmaghrib
ni?” Datin Raja Fatimah mengejut lagi apabila
dilihat Zureen agak susah untuk membuka matanya.
“Err... Auntie.... eh, dah maghrib ke?” soal Zureen
dengan suara yang agak serak dan tidak bermaya.
“Bukan maghrib lagi, dah nak masuk isyak pun....”
“Err... Maaf auntie, Zureen tertidur. Tadi tiba-tiba
Zureen rasa kepala Zureen sakit sangat. Zureen makan ubat
sakit kepala, lepas tu terus tertidur...” terang Zureen dengan
perasaan bersalah kerana telah tertidur sedangkan
sepatutnya dia bertugas merawat Syed Redza.
“Kenapa? Zureen tak sihat ke?” soal Datin Raja
Fatimah bimbang. Tangannya dengan spontan terus sahaja
memegang dahi Zureen, tetapi tidak pula panas.
“Zureen kena migrain tadi. Rasa tak tahan sangat
sampai terpaksa ambil pain killer... maaf auntie... Encik
Redza macam mana? Zureen dah tertidur agak lama tadi...”
balas Zureen lemah dan berusaha untuk bangun.
Zureen... Zureen... Dalam keadaan diri sendiri tak
sihat pun, masih juga fikirkan tugasnya! Getus Datin Raja
Fatimah.
“Eh, kalau Zureen rasa tak sihat, tak payahlah
bangun. Zureen rehat aje... fasal Redza tak usah bimbang.
Dia pun tengah berehat lepas makan malam tadi....”
“Zureen dah okey sikit, auntie..... Zureen nak
mandi dan solat dulu...” Dengan keadaan yang masih lemah,
Zureen berusaha juga untuk bangun. Kepalanya masih
berdenyut-denyut sedikit tetapi sudah kurang sikit
berbanding tadi. Dia ingin segera bangun dan mandi. Mudahmudahan
selepas mandi dia akan kembali segar.
“Okeylah... Kalau macam tu biar auntie keluar dulu
ya.... lepas Zureen dah siap mandi dan solat, nanti turun
bawah. Kita makan malam sama-sama ya...”
Zureen hanya mengangguk.
Setelah Datin Raja Fatimah berlalu meninggalkan
bilik, Zureen bingkas bangun menuju ke bilik air. Waktu
maghrib sudah hampir ke penghujungnya.
Usai mandi, Zureen kembali segar. Sakit kepalanya
sudah beransur-ansur hilang. Perut pula sudah
berkeroncong.
Begitulah keadaannya setiap kali sakit kepala. Rasa
kepala seperti hendak pecah hingga menyebabkan dia
termuntah. Dia akan kembali lega setelah muntah dan
selepas itu dia akan merasa kelaparan seperti sudah
berbulan-bulan tidak jumpa makanan.
Zureen sendiri tidak menyangka dia diserang
migrain lagi kerana sudah lama penyakit itu tidak
menyerangnya setelah menjalani rawatan tradisional.
Seingat-ingatnya, kali terakhir dia diserang penyakit itu
adalah ketika dia baru mendapat tawaran untuk melanjutkan
pelajaran dahulu, iaitu kira-kira tiga tahun lepas.
Babanya, Haji Zailan yang membawanya pergi
mendapatkan rawatan tradisional setelah dilihatnya keadaan
Zureen yang semakin kerap diserang migrain. Dahulu, dia
akan diserang migrain hampir setiap minggu. Alhamdulillah,
setelah menjalankan rawatan tradisional itu, dia tidak lagi
diserang sakit kepala.
Tetapi kenapa pula hari ini aku diserang penyakit
ini semula? Adakah aku telah melanggar pantang larangnya?
Memang dia harus berpantang selepas menjalani
rawatan tradisional itu. Pantang dari segi pemakanan. Dia
tidak boleh makan makanan yang mengandungi belacan!
Itulah pantang utama dan yang kedua dia diingatkan supaya
tidak sekali-kali lalu di bawah ampaian kain. Walaupun
Zureen tidak tahu apa kaitannya pantang kedua dengan
penyakitnya itu, asalkan penyakitnya boleh pulih, dia patuh
pada pantang-larang itu.
Seingat-ingatnya dia memang cukup menjaga
pantang larang yang telah ditetapkan. Dia langsung tidak
menyentuh makanan yang mengandungi belacan. Adakah
sebab makanan tengah hari yang diambilnya tadi? Adakah
makanan tadi mengandungi belacan? Rasanya tidak
mungkin, kerana dia pasti dapat mengesan jika sesuatu
makanan itu mengandungi belacan!
Atau... disebabkan stres dengan sikap lelaki sejuk
beku kepala batu itu? Huh! Mengingati kembali lelaki itu,
kepalanya kembali berdenyut-denyut.
Bimbang sakit kepalanya akan menyerang semula,
Zureen terus sahaja menunaikan solat maghrib yang sudah
sampai ke penghujungnya itu dan selepas itu dia ingin terus
sahaja menunaikan solat isyak memandang waktu isyak
sudah hampir masuk.
Usai mengerjakan solat maghrib dan isyak, Zureen
segera turun ke bawah memandangkan perutnya sudah
menjerit-jerit minta diisi.
Bau asam pedas membuatkan perutnya bertambah
lapar. Teringat pula asam pedas uminya. Rindu pula akan
masakan uminya walaupun baru sahaja sehari meninggalkan
rumahnya.
Sebaik sahaja Zureen sampai di dapur, hidangan
makan malam sudah sedia terhidang. Amboi, banyaknya!
Siapa lagi yang nak makan ni? Seingat-ingatnya hanya dia
dan Datin Raja Fatimah berdua sahaja yang akan makan
kerana pembantu-pembantu rumah banglo mewah itu akan
makan kemudian.
Adakah Syed Redza akan makan bersama? Tapi
mana mungkin kerana menurut Datin Raja Fatimah, Syed
Redza hanya akan makan di biliknya sahaja memandangkan
keadaan dirinya yang tidak boleh berjalan itu.
“Hah, Zureen... apa lagi yang tercegat kat situ? Mari
duduk sini. Kita makan...” tegur Datin Raja Fatimah setelah
melihat keadaan Zureen yang seolah-olah pelik melihat
makanan yang terhidang.
Zureen agak tersentak apabila ditegur Datin Raja
Fatimah. Dia segera mendapatkan tempat duduk
bertentangan dengan wanita itu.
“Macam mana sakit kepala Zureen? Dah okey?”
“Alhamdulillah auntie... Dah kurang sikit...”
“Zureen memang selalu kena sakit kepala ke?” soal
Datin Raja Fatimah sambil tangannya menghulurkan
mangkuk nasi kepada Zureen.
“Dah lama Zureen tak kena sakit kepala ni auntie....
Dulu memang keraplah tapi sejak baba Zureen bawa pergi
berubat tradisional, alhamdulillah memang lama juga tak
kena.... tapi tak tahulah kenapa hari ni tiba-tiba kena
semula....”
Mungkin sebab stres dengan perangai anak bujang
aku kut? Getus Datin Raja Fatimah.
“Sebab Redza ke?” pantas Dain Raja Fatimah
menyoal.
Zureen agak tersentak dengan soalan spontan Datin
Raja Fatimah.
Hmmm.... kalau aku kata ya macam mana? Tapi...
takkanlah aku nak cakap macam tu pula? Fikir Zureen dalam
hati.
“Eh, taklah auntie.... tak tahulah kenapa. Mungkin
Zureen alah dengan makanan sebab Zureen memang tak
boleh makan makanan yang ada belacan...” Zureen cuba
berdalih agar Datin Raja Fatimah tidak berkecil hati jika anak
bujangnya dikatakan sebagai punca dia sakit kepala.
“Zureen jangan risau sebab kat rumah ni memang
masak langsung tak guna belacan. Memang auntie dan Redza
tak makan belacan, cuma uncle aje yang tak boleh jauh
dengan belacan. Sebab tu Siti kena masak asing makanan
untuk auntie dan Redza dengan makanan uncle. Kalau uncle
memang tak boleh jauh dengan belacan. Nama aje keturunan
Arab tapi tahap Melayu dia lebih Melayu daripada orang
Melayu sendiri...” terang Datin Raja Fatimah sambil ketawa
lucu apabila teringatkan perangai suaminya.
“Auntie.... banyaknya makanan! Kan kita berdua aje
yang makan?” soal Zureen pelik.
“Oh ya... lupa pula auntie nak beritahu Zureen.
Sebenarnya auntie tengah tunggu Dr. Rashdan. Tadi dia
telefon auntie nak minta bercakap dengan Zureen.... tapi
puas auntie panggil Zureen tadi tapi Zureen tak jawab.
Auntie tak tahu pula yang Zureen tengah sakit kepala.....”
“Ada apa Dr. Rashdan nak cakap dengan Zureen?”
soal Zureen lagi. Dia pelik kenapa Dr. Rashdan menelefonnya.
“Katanya dia nak terangkan fasal rawatan fisioterapi
untuk Redza sebab pagi tadi dia terlupa nak terangkan pada
Zureen.... yalah kelam-kabut sangat nak ke kliniknya tadi. So,
auntie minta Dr. Rashdan datang terus ke sini. Lagipun kan
susah kalau nak terangkan dalam telefon. Auntie minta dia
terangkan betul-betul pada Zureen dan auntie pun nak
dengar sekali. Nanti bolehlah auntie tolong mana yang patut.
Auntie ajak dia makan malam sekali....”
Zureen hanya mengangguk-angguk tanda faham.
Kedengaran loceng ditekan sebaik sahaja Datin
Raja Fatimah selesai menerangkan pada Zureen.
“Haa... itu pun Dr. Rashdan dah sampai. Panjang
umur dia...”
Dr. Rashdan disambut oleh Datin Raja Fatimah dan
terus sahaja dibawa ke meja makan walaupun pada awalnya
Dr. Rashdan menolak untuk makan bersama.
“Rezeki jangan ditolak... musuh jangan dicari.
Jemput makan doktor...”
Selesai makan, mereka terus bergerak ke ruang
tamu. Tanpa melengahkan masa, Dr. Rashdan terus sahaja
menerangkan mengenai rawatan fisioterapi yang harus
dijalankan terhadap Syed Redza.
“Patutnya saya terangkan pagi tadi, tapi asyik nak
berkejar dengan masa aje sampai terlupa dibuatnya...” Dr.
Rashdan memulakan bicara.
“Tak apa doktor.... sekarang pun doktor boleh
terangkan kepada saya,” balas Zureen.
“Sebenarnya Syed Redza perlu menjalani rawatan
fisioterapi sekerap mungkin. Sepatutnya rawatan ni perlu
dijalankan di hospital tetapi memandangkan di rumah ni
sudah ada kelengkapan untuk rawatan fisioterapi yang
lengkap, jadi rawatan ni boleh dijalankan di sini saja....”
“Bukan apa Zureen.... Redza memang menolak
kalau rawatan ni dijalankan di hospital, so terpaksalah auntie
dan uncle belikan peralatan-peralatan tersebut....” celah
Datin Raja Fatimah kerana bimbang kedua-dua mereka salah
sangka terhadap Syed Redza.
Hmmm.... orang kaya... tentu tiada masalah nak
beli peralatan tu semua. Getus Zureen.
Zureen hanya tersenyum. Begitu juga Dr. Rashdan.
Dr, Rashdan memulakan penerangan mengenai
rawatan fisioterapi yang harus Zureen jalankan terhadap
Syed Redza. Untuk memudahkan penerangan, Datin Raja
Fatimah terus sahaja membawa Zureen dan Dr. Rashdan ke
bilik yang menempatkan peralatan untuk rawatan fisioterapi.
Zureen mendengar dengan teliti penerangan Dr.
Rashdan kerana dia sedar dia langsung tidak boleh tersilap.
Kalau dia cuai, silap-silap haribulan, baik-baik nak bantu
Syed Redza berjalan kembali, lain pula jadinya. Baik-baik
urat-urat dan otot-otot Syed Redza nak dilembutkan dan
diluruskan semula, makin berbelit pula jadinya!
Rasa-rasanya tiada masalah untuk Zureen
menjalankan rawatan fisioterapi tersebut setelah mendengar
penerangan dari Dr. Rashdan tapi..... satu bab yang amat
merunsingkan Zureen adalah apabila dia diberitahu oleh Dr.
Rashdan, kaki lelaki sejuk beku kepala batu itu harus diurut!
Aduh! Boleh ke urut kaki dia nanti? Nak tengok
muka dia pun aku dah tak lalu, ini kan pula nak mengurut
kaki dia. Dahlah esok pagi rawatan fisioterapi tu harus
dijalankan. Silap-silap haribulan, mau makin patah kaki dia
aku buat kalau dia terus provoke dan sakitkan hati aku!
Astaghfirullah.... mengucap Zureen. Ingat! Kau
harus profesional. Jangan campur adukkan emosi dengan
tugas kau!
Selesai menerangkan bidang tugas Zureen, Dr.
Rashdan meminta diri untuk pulang. Zureen pula meminta
izin untuk berehat di biliknya setelah dia dan Datin Raja
Fatimah menghantar Dr. Rashdan pulang di muka pintu.
Dia mengambil kesempatan untuk berehat awal
memandangkan Syed Redza memang tidur awal menurut
Datin Raja Fatimah. Walaupun, niat awalnya ingin
menjenguk keadaan Syed Redza seketika akibat rasa bersalah
kerana tertidur agak lama petang tadi, sedangkan waktu itu
sepatutnya dia menjalankan tugasnya.
Hmmm.... bagus juga! Boleh aku rehat awal sikit.
Satu hari menghadap kerenah mamat sejuk beku kepala batu
tu, sampai aku migrain dibuatnya!
“Okeylah.... good night Mr. Arrogant! See you
tomorrow....” ucap Zureen perlahan sebaik sahaja sampai di
hadapan pintu bilik Syed Redza sebelum dia meloloskan diri
ke dalam biliknya.... Dia sedar, dia perlukan rehat yang cukup
kerana sudah pasti tugas yang lebih mencabar sedang
menantinya. Satu hari yang cukup memenatkan.

Mr Secret Admirer - Bab 11

Zureen bergegas masuk ke dalam banglo
mewah itu. Langkahnya sama laju dengan degupan
jantungnya. Dia ingin segera masuk ke biliknya untuk
menunaikan solat asar terlebih dahulu sebelum
menyambung kembali tugasnya. Mudah-mudahan dia
beroleh ketenangan sebelum berhadapan dengan satu lagi
situasi yang pasti lebih sukar nanti.
Berpegang pada kata-kata abang angkatnya tadi, dia
harus profesional ketika menjalankan tugasnya. Walau betapa
bencinya dia pada Syed Redza, namun dia tidak boleh terlalu
mengikut perasaannya.
Ketika Zureen dalam keadaan kelam-kabut menuju
ke biliknya, tiba-tiba dia disapa Datin Raja Fatimah dari
belakang.
“Zureen.... kenapa kelam-kabut ni? Mana abang
Zureen? Dia dah balik ke?” soal Datin Raja Fatimah yang
agak pelik melihat perlakuan Zureen yang seperti sedang
mengejar sesuatu atau mungkin juga lari dari sesuatu.
“Eh... Auntie... Zureen nak cepat ni sebab Zureen
belum solat asar lagi ni. Abang Haziq baru aje balik...” balas
Zureen agak gugup. Bimbang jika ketakutannya dapat dihidu
oleh wanita itu.
Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Datin Raja
Fatimah sedar apa yang sedang berlaku.
“Dah balik? Kenapa cepat sangat? Siti baru aje
siapkan minum petang. Auntie pun tak sempat nak kenal
dengan abang Zureen lagi,” balas Datin Raja Fatimah pula.
Tadi dia berhasrat untuk memastikan dakwaan anak
bujangnya tentang status ‘abang’ Zureen itu.
“Abang Haziq cuma nak jenguk Zureen kat sini aje
tadi. Dia saja nak tengok macam mana Zureen jalankan tugas
sebab hari ni kan first day Zureen kerja kat sini. Okeylah
auntie.... Zureen nak solat dulu...”
Zureen belum bersedia untuk berbicara dengan
Datin Raja Fatimah kerana wanita itu memang pandai
menghidu jika Zureen ada sesuatu yang cuba disorokkan
darinya.
Datin Raja Fatimah hanya mengangguk tanda akur
dengan permintaan Zureen. Biarlah. Masih banyak masa
untuk mencungkil rahsia gadis comel yang mula
disayanginya itu.
Zureen segera meloloskan diri ke dalam biliknya.
Setelah mengunci pintu biliknya, Zureen duduk sebentar di
atas katil. Seperti biasa, dia akan duduk memeluk lututnya
sambil menggoyang-goyangkan badannya ke depan dan ke
belakang. Satu posisi duduk apabila dia ketakutan.
Zureen seperti sudah dapat mengagak apa yang
bakal berlaku sebentar nanti apabila dia kembali
menyambung tugasnya terhadap Syed Redza. Rasanya ingin
sahaja dia menjerit sekuat hati bagi melepaskan apa yang
terbuku dalam hatinya. Jika ketika itu, abang angkatnya
masih berada di banglo mewah itu, mahu saja dia mengikut
abang angkatnya pulang ke rumah. Tidak sanggup lagi
rasanya untuk berdepan dengan Syed Redza walaupun
seminit.
Bagi mengurangkan rasa getarnya, Zureen segera
mengambil wuduk dan terus sahaja menunaikan solat asar.
Doa dipanjatkan agar dirinya dikurniakan kekuatan dalam
mengahadapi apa jua cabaran yang mendatang.
Selesai menunaikan solat asar, Zureen kembali
menyambung tugasnya. Dia menarik nafas sedalamdalamnya
dan menghembus perlahan-lahan bagi
menenangkan dirinya seketika.
Zureen sudah berazam, apa jua reaksi dan tindakan
yang akan dilakukan Syed Redza kepadanya, dia akan cuba
sedaya upaya untuk bertahan dan bersabar. Jika sebaliknya
berlaku, dia hanya berserah kepada keadaan.
Zureen berhenti seketika di hadapan pintu bilik
Syed Redza. Sekali lagi, dia menarik nafas sedalam-dalamnya
dan menghembuskan perlahan. Setelah benar-benar bersedia,
dia mula mengetuk pintu dan terus masuk ke dalam tanpa
menunggu kebenaran dari Syed Redza. Di tangannya telah
tersedia alat untuk memeriksa tekanan darah.
Sebaik sahaja Zureen melangkah masuk ke dalam
bilik Syed Redza, debaran dadanya yang agak kencang tadi
lega seketika apabila mendapati Datin Raja Fatimah juga ada
bersama Syed Redza.
Entah apa yang dibualkan oleh kedua-dua beranak
itu kerana sebaik sahaja Zureen masuk, mereka terus
terdiam.

“Assalamualaikum....” ucap Zureen.
Tiba-tiba sahaja Zureen dihujani perasaan bersalah
kerana merasakan dirinya telah mengganggu perbualan
kedua-dua beranak itu.
“Waalaikumsalam... Zureen marilah kita minum
petang sama-sama,” jawab Datin Raja Fatimah sambil
mempelawa Zureen untuk minum petang bersama-sama.
Suasana tegang sudah mula dapat dirasainya sebaik
sahaja dia melangkah masuk ke bilik itu. Syed Redza
dilihatnya seolah-olah tidak mempedulikan kehadirannya.
Mungkin disebabkan mamanya ada di situ, kalau tidak sudah
pasti awal-awal lagi Zureen sudah kena!
“Err... tak apa auntie.... Zureen cuma nak periksa
tekanan darah Encik Redza. Maaflah kalau Zureen
dahmengganggu auntie berbual...” balas Zureen keberatan
untuk menerima pelawaan Datin Raja Fatimah itu.
“Eh, apa pula mengganggunya! Zureen kan nak
jalankan tugas Zureen. Tak apalah Zureen periksa tekanan
Redza dulu, lepas tu kita minum sama-sama ya....” jawab
Datin Raja Fatimah yang masih juga mahukan Zureen
minum bersama-samanya.
Aduh! Aku datang sini bukan untuk minum. Kalau
ikutkan hati aku, memang aku tidak akan pijak lagi bilik
lelaki angkuh ni! Bisik Zureen.... Namun demi tugasnya,
digagahkan juga dirinya untuk berada di situ.
Hmm... bagus juga Datin ada kat sini, senang sikit
kerja aku. Lelaki ni perangai dia akan sopan sikit kalau mama
dia ada bersama agaknya! Getus Zureen.
Tangan Zureen lincah memasang alat memeriksa
tekanan darah pada lengan Syed Redza. Dia sedar, dia tidak
boleh berlengah-lengah kerana jika Datin Raja Fatimah tidak
ada bersama ketika itu, rasa-rasanya pasti dia sudah terkena
serangan laser dari mulut Syed Redza.
Zureen dapat merasakan dirinya sedang ditenung
dengan tajamnya ketika dia sedang memeriksa tekanan darah
lelaki ego lagi angkuh itu. Namun, Zureen hanya buat tidak
tahu dan seolah-olah tiada apa yang sedang berlaku. Zureen
sedikit pun tidak melihat wajah Syed Redza. Datin Raja
Fatimah turut sama melihat Zureen melakukan tugas itu.
Mak aihh!! Tingginya tekanan darah dia! 150/90! Ni
memang sebab penyakit dia atau sebab dia tengah naik darah
dengan aku ni?
Zureen secara automatik memandang wajah Syed
Redza sebaik sahaja melihat angka yang tertera di skrin alat
memeriksa tekanan darah itu.
Pandangan mata Zureen dan Syed Redza bersatu.
Entah kenapa Zureen dapat merasakan aura kurang senang,
tidak puas hati dan segala macam aura negatif sedang
mengalir kepadanya.
“Kenapa Zureen?” Datin Raja Fatimah bertanya
apabila melihat reaksi Zureen yang agak pelik.
“Tinggi sangat ke tekanan darah Redza?” Datin Raja
Fatimah bertanya lagi setelah melihat Zureen lambat
menjawab soalannya.
“Err.... agak tinggi jugalah auntie..” balas Zureen
pendek.
“Berapa?”
Syed Redza langsung tidak bersuara. Sebaliknya dia
hanya merenung Zureen dan membiarkan gadis comel itu
yang menjawab soalan-soalan dari mamanya. Hatinya masih
sakit mengingatkan aksi mesra antara Zureen dengan lelaki
yang didakwa abangnya itu.
“150/90.”
“Eh, ya ke? Tinggi tu Zureen. Kenapa pula tinggi
sangat? Sebelum ni Redza tak pernah pula ada masalah
dengan tekanan darahnya. Selalunya kalau Dr. Rashdan
check, tekanan darahnya mesti normal,” soal Datin Raja
Fatimah agak pelik.
Eh, manalah aku tahu kalau tekanan darah dia tibatiba
tinggi. Takkanlah salah aku pula kalau tekanan darah
anak bujang dia tinggi! Bisik Zureen dalam hati yang agak
kurang senang dengan cara Datin Raja Fatimah bertanya.
Seolah-olah dialah punca tekanan darah anaknya tiba-tiba
jadi tinggi.
Tapi... mungkin juga aku penyebabnya. Tengok aje
muka dia sekarang, dah macam nak telan aku. Kalau tak
disebabkan mama dia ada kat sebelah, dah lama aku kena
kunyah dengan lelaki angkuh ni! Getus Zureen.
“Err... mungkin emosi Encik Redza tak berapa
stabil masa ni atau ada sesuatu yang sedang mengganggu
fikiran Encik Redza sebab biasanya kalau kita dalam keadaan
emosi yang tak menentu seperti marah, stres, bimbang atau
apa-apa jua perasaan yang menyebabkan kita tidak tenang
juga boleh mempengaruhi tekanan darah kita,” jawab Zureen
cuba memberi jawapan dari sudut perubatan.
“Redza... Redza okey ke ni? Redza ada apa-apa
masalah ke? Ada apa-apa yang mengganggu fikiran Redza.
Beritahu mama apa dia. Manalah tahu kalau mama boleh
membantu,” ujar Datin Raja Fatimah kepada anak bujangnya
sebagai respons kepada penerangan Zureen tadi.
Syed Redza hanya membisu.
Hmmm... dia dah tunjukkan lagi perangai sejuk
beku dia tu! Getus Zureen.
“Err... tak apalah auntie... mungkin Encik Redza
nak cakap sendirian dengan auntie. Zureen minta izin keluar
dulu” celah Zureen setelah sedar akan reaksi Syed Redza
sejak dari awal dia melangkah masuk ke bilik lelaki itu tadi.
Zureen mula bangun dan hendak melangkah keluar
dari bilik itu tanpa menunggu kebenaran dari Datin Raja
Fatimah.
“Siapa sebenarnya jantan tu tadi?” Tiba-tiba Syed
Redza bersuara dengan agak sinis.
Zureen tersentak. Jantan? Hampir sahaja terlepas
alat memeriksa tekanan darah di tangannya itu tadi. Dia
sama sekali tidak menjangkakan Syed Redza akan
bertanyakan soalan itu ketika itu. Apatah lagi Datin Raja
Fatimah juga ada bersama di situ.
Zureen terkaku seketika. Dia tidak tahu apakah
jawapan yang terbaik yang harus diberikan ketika itu.
Adakah soalannya itu yang telah menyebabkan
tekanan darahnya naik begitu tinggi sekali. Kalau benar,
tetapi kenapa pula? Kenapa dia harus marah? Biar siapa pun
Dr. Haziq dengannya, ia memang langsung tiada kenamengena
dengan dia! Getus Zureen.
Ingin sahaja ditanya soalan yang terdetik dalam
hatinya ketika itu. Namun, bimbang pula ia akan
mencetuskan perbalahan. Seboleh-bolehnya Zureen mahu
mengelakkan insiden-insiden pertengkaran antara dirinya
dan Syed Redza daripada berlaku di hadapan Datin Raja
Fatimah.
“Kenapa kau diam? Sebab jantan tu bukan abang
kau kan?” soal Syed Redza semakin galak setelah melihat
Zureen membisu tanpa kata.
Datin Raja Fatimah juga seolah-olah terpaku
mendengar soalan yang tidak dijangkakan dari mulut anak
bujangnya. Walaupun dia juga ingin tahu siapakah status
sebenarnya lelaki tadi dengan Zureen, namun ketika itu
bukan masa yang sesuai untuk bertanya.
Datin Raja Fatimah sedikit pelik. Dia pelik dengan
soalan dan cara anak bujangnya bertanya. Anak bujangnya
dilihat seperti tidak berpuas hati dengan lelaki yang didakwa
Zureen sebagai abangnya. Adakah itu punca kenapa tekanan
darahnya tiba-tiba jadi tinggi? Adakah dia cemburu? Jika
benar, tetapi kenapa?
“Redza kenapa tanya soalan macam tu? Tak baik
cakap abang Zureen macam tu! Kan tadi Redza dah dengar
sendiri dari mulut abang Zureen....” soal Datin Raja Fatimah
cuba untuk memulihkan keadaan kerana dia sudah
merasakan suasana yang agak tegang ketika itu apabila
melihat reaksi kedua-duanya baik anak bujangnya sendiri
mahupun Zureen.
“Huh! Abang? Ya ke abang? Kalau betul abang,
takkan mesra semacam aje!” balas Syed Redza lebih sinis. Dia
sudah hilang rasa malu di hadapan mamanya akibat sakit hati
yang ditanggungnya itu.
“Auntie.... Encik Redza. Memang betul Abang Haziq
tu bukan abang kandung Zureen tapi hanya seorang abang
angkat kepada Zureen dan merupakan anak angkat untuk
orang tua Zureen. Walaupun dia hanya seorang abang
angkat, namun Zureen memang dah anggap dia seperti
abang kandung Zureen sendiri. Malah umi dan baba Zureen
dah anggap Abang Haziq seperti anak kandung mereka
sendiri...” Akhirnya Zureen bersuara juga.
Zureen sedar, jika dia terus berdiam diri, itu
bermakna dia sengaja membiarkan Syed Redza terus
melontarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada dirinya.
Datin Raja Fatimah terdiam sebaik saja mendengar
jawapan daripada Zureen. Dia berfikir seketika. Apa salahnya
jika lelaki itu abang angkat kepada Zureen? Akhirnya dia
mengambil keputusan untuk tidak mencampuri urusan
peribadi Zureen sebagai menghormati hak dan privasi gadis
comel itu.
“Redza.... apa salahnya kalau Dr. Haziq tu hanya
abang angkat Zureen? Zureen sendiri dah cakap dia dah
anggap Dr. Haziq tu sebagai abang kandungnya sendiri...”
Datin Raja Fatimah cuba menasihati anak bujangnya.
“Zureen.... tak apalah... Zureen boleh keluar dulu.
Auntie ada hal sikit nak bincang dengan Redza.” Akhirnya
Datin Raja Fatimah memutuskan untuk berbual bersendirian
dengan Syed Redza tanpa kehadiran Zureen kerana dia sudah
mula dapat mengesan bibit-bibit cemburu pada anak
bujangnya!
“Zureen keluar dulu ya auntie....”
Tanpa berlengah, Zureen segera meninggalkan bilik
panas itu sebelum soalan-soalan yang keluar dari mulut
lelaki angkuh itu bertambah ganas!
Datin Raja Fatimah hanya mengangguk.
Setelah Zureen berlalu, Datin Raja Fatimah mula
untuk mengorek isi hati anak bujangnya. Dia ingin
memastikan adakah itu hanya nalurinya sahaja atau memang
anak bujangnya cemburukan Zureen.
“Redza.... kenapa ni sayang? Kenapa marah-marah
ni? Kalau Redza terus bersikap macam ni, kesihatan Redza
yang akan terus terjejas... Tengok tadi tu, tak fasal-fasal
tekanan darah jadi tinggi macam tu sekali...” Datin Raja
Fatimah memulakan bicara dalm usahanya untuk mencari
punca sebenar anak bujangnya bersikap agak pelik.
Syed Redza hanya membisu. Malas rasanya hendak
menjawab soalan-soalan mamanya itu kerana padanya
dengan menjawab soalan-soalan itu, langsung tidak dapat
memulihkan perasaan sakit hatinya itu.
“Redza... tak dengar mama tanya ni? Cuba Redza
cakap apa yang sebenarnya bersarang di kepala Redza.
Mungkin Redza akan rasa tenang sikit kalau dah dapat
luahkan apa yang terbuku kat hati Redza tu....” pujuk Datin
Raja Fatimah.
“Tak ada apa-apalah ma.... Redza okey aje..” Syed
Redza cuba berselindung.
“Sejak bila Redza dah pandai berahsia dengan
mama ni? Redza dah tak nak share apa-apa dengan mama
lagi ke?” soal Datin Raja Fatimah sayu setelah melihat reaksi
anak bujangnya itu.
“Betul.... Redza okey aje. Mama jangan risaulah.”
Syed Redza masih berdegil.
“Redza.... Redza lupa ke siapa yang
mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Redza?
Sekilas ikan di air, mama dah tahu jantan betinanya. Wajah
Redza dah menceritakan segala-galanya....”
Syed Redza kembali membisu. Tidak tahu apa lagi
yang harus dikatakan kepada mamanya kerana dia tahu dia
memang tidak boleh menipu mamanya. Mamanya itu seolaholah
boleh membaca apa jua yang ada dalam hatinya.
“Okay fine.... kalau Redza dah tak nak share apaapa
lagi dengan mama, mama tak boleh buat apa-apa.
Okeylah mama keluar dulu...” ujar Datin Raja Fatimah yang
agak terasa hati dengan sikap anak tunggalnya yang terus
membisu dan cuba berahsia dengannya.
Memang sikap Syed Redza sudah jauh berubah
semenjak terlibat dalam kemalangan. Dahulu, dirinyalah
tempat anak bujangnya meluahkan apa saja kepadanya.
Segalanya diluahkan. Tidak keterlaluan jika dikatakan antara
mereka dua beranak memang tiada rahsia langsung. Namun,
segalanya kini telah jauh berubah.
Datin Raja Fatimah berlalu meninggalkan Syed
Redza seorang diri. Sayu benar hatinya apabila diri
dipinggirkan oleh anak sendiri.
“Ma.... Redza tak tahu nak buat apa...” Tiba-tiba
Syed Redza bersuara setelah lama membisu. Dia tahu
mamanya telah terasa hati dengannya.
Langkah Datin Raja Fatimah terhenti sebaik saja
mendengar kata-kata anak bujangnya.
“Redza pun tak tahu kenapa Redza jadi macam
ni....” luah Syed Redza lagi.
Datin Raja Fatimah kembali menghampiri Syed
Redza. Dipeluk bahu anak bujangnya dari belakang. Sedih
benar hatinya mendengar luahan hati Syed Redza. Ibu mana
yang tidak tersentuh hatinya bila mendengar kata-kata
seumpama itu dari anaknya sendiri yang sememangnya
sedang menanggung penderitaan.
Datin Raja Fatimah menggosok-gosok bahu
anaknya. Dia tahu anak bujangnya sedang menghadapi satu
situasi yang amat sukar dan dia sebagai ibunya juga dapat
merasakan keperitan yang ditanggung oleh anak bujangnya
itu. Air matanya mula tumpah, namun ditahannya kerana dia
sedar, dia harus kuat. Jika dia sendiri menunjukkan reaksi
sebegitu, dia bimbang anak bujangnya akan terus kesedihan
dan akan terus berputus asa.
Datin Raja Fatimah kembali mengambil tempatnya
tadi. Kini, kerusinya ditarik berhadapan dengan Syed Redza.
Dia menggenggam kedua-dua tangan anak bujangnya bagi
memberi kekuatan.
“Okey... now, cuba Redza berterus terang dengan
mama. Redza luahkan apa saja yang terbuku dalam hati.
Jangan tahan-tahan. Let it go... Redza tak perlu berselindung
atau rasa malu pada mama. Mama akan dengar dengan sebaik
mungkin...” ujar Datin Raja Fatimah lembut.
Syed Redza diam seketika. Dia seolah-olah sedang
berfikir apa yang harus diungkapkannya. Kemudian, dia
menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskan
perlahan.
“Ma.... Redza tak tahu nak mula dari mana sebab
semuanya tiba-tiba jadi bertambah kalut. Redza jadi serabut
sampai tak dapat nak berfikir secara rasional....” Syed Redza
mula meluahkan apa yang ditanggungnya.
“Okey... kalau Redza tak tahu nak start dari mana,
biar mama tanya soalan. Redza cuma perlu jawab soalan
mama saja ya?”
Syed Redza hanya menganggukkan kepalanya.
“Kenapa Redza marah sangat pada Zureen? Mama
tanya ni sebab mama dapat rasakan yang Redza macam
sengaja nak cari salah Zureen...”
“Bukan Zureen aje... semua bekas jururawat pun
kena marah dengan Redza kan?”
“Tapi mama tengok cara Redza marah Zureen tak
sama macam Redza marahkan mereka dulu.... macam mama
cakap tadi, Redza macam sengaja nak cari salah Zureen.
Kenapa sayang?”
Syed Redza terdiam seketika. Dia sendiri tidak tahu
kenapa.
“Entahlah ma.... Redza sendiri tak tahu kenapa.
Mungkin sebab dia berani sentuh fasal Lisa...”
“Tapi bukan ke Redza dah start cari fasal dengan
Zureen sebelum dia sebut fasal Lisa lagi kan? Katalah Redza
marahkan Zureen sebab dia sebut fasal Lisa, tapi yang
sebelum tu kenapa pula?” soal Datin Raja Fatimah seolaholah
sengaja ingin menjerat anak bujangnya supaya tidak
menyembunyikan apa-apa lagi dengannya.
“Redza pun tak ada jawapan khusus kenapa tapi
Redza sendiri tak tahu kenapa setiap kali berdepan dengan
dia, Redza rasa asyik nak kenakan dia aje...”
Datin Raja Fatimah tersenyum mendengar jawapan
anak bujangnya itu.
“Kalau mama cakap Redza layan Zureen macam tu
sebab Redza dah mula sukakan Zureen macam mana?” Datin
Raja Fatimah bertanya straight to the point. Dia merasakan
dia tidak perlu berselindung lagi.
“What?? Tak mungkinlah ma. Takkanlah baru
sehari dia bekerja mama nak cakap yang Redza dah mula
sukakan dia. Nonsense!”
“Redza... bila kita dah tak ada sebab kenapa kita
buat sesuatu kepada seseorang tu, maksud mama Redza tak
ada sebab kenapa nak marah dia, tak tahu kenapa nak marahmarah
dia, itu maknanya Redza sebenarnya dah mula
menyukai dia. Am I right?”
“Tak semudah tu Redza nak sukakan seseorang
ma.... apatah lagi pengalaman yang Redza telah lalui ni.
Terus terang Redza katakan, yang sebenarnya Redza memang
agak berdendam dengan perempuan setelah apa yang Lisa
lakukan kepada Redza. Pada Redza semua perempuan sama
aje!” luah Syed Redza geram.
Datin Raja Fatimah agak terpaku mendengar
luahan hati anak bujangnya kerana semenjak Redza sedar
daripada koma, baru kini Redza dapat berbual secara terbuka
mengenai bekas tunangnya, Lisa dengan dirinya.
Datin Raja Fatimah juga diam seketika. Dia sedang
memikirkan jawapan yang terbaik untuk luahan hati Syed
Redza. Dia sedar, dia tidak boleh tersilap cakap. Bahaya!
“Kalau betul Redza sengaja cari fasal dengan
Zureen kerana rasa dendam Redza pada perempuan
disebabkan perbuatan Lisa dulu, tapi kenapa Redza marahkan
sangat kepada abang angkat Zureen tu?”
Kini Syed Redza merasakan dirinya telah
terperangkap dengan soalan mamanya itu.
“Do you have the best answer for my question my
dear?” soal Datin Raja Fatimah lagi setelah menyedari anak
bujangnya telah terperangkap dengan soalannya itu tadi.
Syed Redza terdiam lagi. Dia benar-benar tidak
tahu apakah jawapan terbaik untuk soalan mamanya itu.
Syed Redza menyoal dirinya sendiri. Kenapa aku
rasa marah sangat kepada abang angkat Zureen itu? Kenapa
pula hati aku rasa sakit sangat melihat kemesraan mereka
tadi? Akhirnya dia mendapat jawapannya!
“Ma... oleh kerana mama dah sentuh soal abang
angkat si Zureen tu, Redza nak beritahu mama satu perkara
yang Redza memang rahsiakan daripada mama sebelum ni.
Redza rahsiakan perkara ni daripada mama sebab memang
Redza dah berjanji tak akan sentuh soal ni lagi. Redza mahu
lupakan perkara ni kerana hati Redza cukup sakit setiap kali
mengingati soal ni.....” luah Syed Redza secara tiba-tiba
kerana perkara inilah yang telah menyebabkan dia agak
marah dengan lelaki yang didakwa Zureen sebagai abang
angkatnya walaupun dia sedar abang angkat Zureen itu
langsung tiada kena-mengena dengan peristiwa yang telah
dilaluinya.
Datin Raja Fatimah agak terkejut dengan kata-kata
daripada Syed Redza itu kerana dia langsung tidak
menyangka bahawa anak bujangnya telah menyimpan satu
rahsia selama ini.
Walaupun Datin Raja Fatimah belum tahu lagi
rahsia yang dimaksudkan oleh anak bujangnya itu, namun
kesanggupan Syed Redza untuk menceritakan apa yang
dirahsiakan adalah satu rahmat baginya. Jauh di sudut
hatinya, dia amat berterima kasih dengan kehadiran Zureen
dalam keluarganya kerana disebabkan Zureenlah, anak
bujangnya rela untuk meluahkan apa yang telah
dirahsiakannya selama ini.
“Apa dia sayang? Redza ceritalah. Mama akan
dengar...” balas Datin Raja Fatimah agak terharu.
Syed Redza diam seketika sebelum kembali
berbicara.
“Mama tentu nak tahu apa punca Redza
kemalangan kan?” soal Syed Redza.
Datin Raja Fatimah mengangguk. Memang perkara
itulah yang menjadi tanda tanya kepadanya sehingga ke saat
ini. Selama ini dia tidak berani untuk bertanya terus kepada
Syed Redza di atas nasihat doktor kerana bimbang akan
memberi implikasi buruk kepada kesihatan anak bujangnya
walaupun hatinya sendiri meronta-ronta ingin tahu kenapa.
“Sebelum kemalangan berlaku, Redza dan Lisa
bertengkar. Redza ternampak Lisa dengan seorang lelaki.
Mereka mesra sangat....”
“Siapa lelaki tu?” Akibat terlalu terkejut mendengar
kisah bekas tunang anak bujangnya, Datin Raja Fatimah
tanpa sengaja telah memotong kata-kata anak bujangnya
yang sedang bercerita. Akhirnya dia sendiri rasa kesal.
“Err.... maafkan mama. Mama tak sabar nak tahu.
Okey, Redza sambung semula...” ujar Datin Raja Fatimah lagi
setelah tersedar keterlanjurannya. Dia bimbang jika Syed
Redza membatalkan hasrat untuk menceritakan rahsianya
disebabkan sikap kurang sabarnya itu.
“Sebelum ni Lisa pernah kenalkan lelaki tu kepada
Redza tapi masa tu Lisa perkenalkan lelaki tu sebagai abang
angkatnya walaupun pada awalnya Redza agak curiga namun
bila Lisa berkali-kali meyakinkan Redza yang lelaki tu
memang abang angkatnya, akhirnya Redza percaya juga....
Kami pernah keluar makan bersama-sama. Memang masa tu
Redza yakin yang lelaki tu memang abang angkat Lisa sebab
dari cara perbualan mereka, langsung tak ada apa-apa yang
mencurigakan hinggalah Redza ternampak kemesraan
mereka berdua dengan mata Redza sendiri. Sebelum ni,
kawan-kawan Redza ada juga cuba beritahu Redza fasal lelaki
ni tapi Redza tak percaya sebab Redza lebih percayakan
Lisa.....”
Syed Redza menarik nafas panjang. Kemudian dia
menyambung lagi.
“Sebaik saja ternampak kemesraan mereka, Redza
langsung tak boleh kawal perasaan masa tu. Redza terus
dapatkan mereka berdua. Masa tu Redza dah tahu yang Lisa
dah berbohong pada Redza sebelum ni sebab memang dia
terkejut dan takut sangat bila nampak Redza datang. Muka
kedua-duanya pucat lesi. Kat situ Redza dah boleh agak
memang mereka dah menipu Redza. Kalau mereka tak salah,
takkan muka dua-dua pucat....”
Syed Redza diam lagi. Datin Raja Fatimah hanya
diam menunggu anak bujangnya terus bercerita.
“Masa tu Redza memang dah tak dapat nak kawal
diri Redza lagi. Redza terus tumbuk muka jantan tu dan
tampar muka Lisa. Jantan tu memang tak melawan
langsung. Mungkin sebab dia tahu memang dia bersalah tapi
Lisa pula tak boleh terima apa yang Redza buat kepadanya.
Keadaan jadi terbalik. Lisa pula yang memaki hamun Redza.
Habis diluahkan semuanya.....”
“Dan apa yang amat menyedihkan Redza masa tu,
bila Lisa cakap yang selama ni dia langsung tak pernah
cintakan Redza. Dia bersama Redza hanya disebabkan
desakan keluarganya. Keluarganya telah mendesak dia untuk
terima Redza disebabkan status keluarga Redza... apa yang
lebih memedihkan hati Redza bila dia kata yang Redza ni
bodoh sebab tak tahu menilai hati dan perasaannya, sangat
mudah diperbodohkan dan jadi hamba cinta. Maruah Redza
betul-betul telah dipijak-pijak kat depan jantan tu!”
“Redza dah tak sanggup nak dengar hinaan Lisa
lagi. Redza terus tinggalkan mereka. Redza pandu kereta
selaju mungkin sebab masa tu Redza memang dah tak nak
tengok muka mereka berdua lagi... dan selepas tu Redza tak
tahu apa yang berlaku. Sedar-sedar Redza dah berada di
hospital...”
Tanpa disedari, air mata Datin Raja Fatimah telah
mengalir keluar dari tubir matanya. Sejak tadi dia cuba
menahan air matanya daripada tumpah, namun akhirnya dia
tewas juga apabila mendengar penghinaan yang diterima
anak tunggal kesayangannya itu.
Akhirnya Datin Raja Fatimah mula mengerti
kenapa Redza marahkan sangat abang angkat Zureen itu.
Mungkin abang angkat Zureen telah mengingatkan kisah
dirinya.
Datin Raja Fatimah terus sahaja memeluk Syed
Redza sebaik sahaja mendengar kisah yang telah menimpa
anak tunggal kesayangannya itu.
Mereka berpelukan seketika. Datin Raja Fatimah
tidak dapat menahan perasaannya lagi. Dia menangis
semahu-mahunya. Syed Redza pula hanya tenang dipeluk
ibunya. Tiada setitis pun air matanya yang tumpah!
Jauh di sudut hati Datin Raja Fatimah masih amat
bersyukur kerana dari situ dia tahu bahawa ingatan Syed
Redza tak pernah hilang akibat kemalangan yang dialaminya.
Sebelum ini, dia menyangka Syed Redza telah hilang ingatan
kerana sikap dan tindak tanduknya menunjukkan dirinya
seperti telah hilang ingatan.
Syukur alhamdulillah Ya Allah. Terima kasih
Zureen. Terima kasih, Haziq. Kehadiran kalian berdua telah
membuka satu rahsia besar yang disimpan utuh oleh Syed
Redza selama ini.
Memang benar, sesungguhnya apa saja yang
berlaku, pasti ada hikmah di sebaliknya...

Mr Secret Admirer - Bab 10

Suasana di banglo mewah petang itu
sungguh hening. Zureen membawa Haziq duduk di sebuah
gazebo yang terletak di sebelah kolam renang. Sebolehnya
dia ingin membawa abang angkatnya jauh dari Syed Redza.
Bimbang jika tercetus perang mulut antara Syed Redza dan
abang angkatnya pula.
Perang mulut antara Syed Redza dan Haziq hampir
tercetus tadi. Jika dia tidak membawa abang angkatnya
segera keluar dari bilik Syed Redza tadi, sudah pasti satu lagi
episod perang mulut akan tercetus!
Pandangan kedua-dua lelaki itu tadi amat
menggerunkan Zureen. Perasaannya yang masih membara
akibat perbalahan dengan Syed Redza tadi belum lagi reda,
kini dia terpaksa berhadapan pula dengan satu lagi situasi
yang agak tegang.
Zureen masih lagi tertanya-tanya kenapa abang
angkatnya tiba-tiba sahaja boleh berada di banglo mewah itu.
Apakah yang mendorong Haziq datang ke situ? Zureen
menyangkakan SMS daripada Haziq yang mengatakan dia
ingin ke banglo itu hanyalah satu gurauan, tetapi ruparupanya
memang benar Haziq melakukannya.
Setelah pasti tempat mereka duduk kini ‘selamat’
seketika dari Syed Redza, Zureen mula meluahkan apa yang
bersarang dalam fikirannya.
“Abang Haziq.... macam mana abang boleh sampai
ke sini?”
Haziq tidak menjawab. Sebaliknya dia merenung
tajam adik angkatnya itu. Akhirnya dia tersenyum.
Kalaulah kau tahu kenapa aku sampai ke sini,
adakah kau akan percaya? Bisik Haziq sayu.
“Orang tanya kenapa, dia senyum pula!” luah
Zureen geram apabila melihat reaksi abang angkatnya itu.
“Zureen nak tahu kenapa?” soal Haziq cuba
berteka-teki.
Zureen mengangguk.
“Sebab abang rindu kat Zureenlah....” luah Haziq
berani walaupun ada sedikit getar pada suaranya.
“Alah abang ni.... Zureen serius ni! Main-main
pula!” balas Zureen geram.
Orang tengah serabut, dia nak bergurau pula!
Getus Zureen.
“Lah... betullah apa yang abang cakap ni. Kalau
bukan sebab rindu, Zureen rasa ada sebab lain ke abang
datang ke sini?”
“Kalau abang nak bergurau macam ni, Zureen
malaslah nak layan abang! Zureen tengah stres ni, abang nak
main-main pula!” Zureen mula merajuk.
Seperti yang dijangka Haziq, Zureen memang tak
akan faham!
Haziq diam seketika. Dia sedang berfikir bagaimana
untuk membuat gadis comel di hadapannya itu sedar akan
perasaannya selama ini.
Tetapi.... Haziq tiba-tiba sahaja tersedar. Teringat
pula akan nasihat rakan baiknya tadi, Anaz.
“Aku tak boleh terlalu obvious sangat. Sekarang
bukan masa yang sesuai. Biarlah perasaan yang aku harap
dari dia itu lahir secara semula jadi dalam dirinya tanpa perlu
aku memberitahunya....” bisik Haziq sendiri.
“Okey.. Okey... Abang minta maaf. Abang gurau
aje... janganlah serius sangat. Nanti orang yang dah memang
sakit tu makinlah bertambah sakit, dah tu adik abang yang
sihat dan ceria selalu ni pun ikut sakit sama. Kalau dah
jururawat peribadinya yang sakit, macam mana nak jaga
orang sakit? Baru betul!” balas Haziq cuba menukar rentak
perbualannya tadi agar tidak kedengaran seperti dia sedang
meluahkan perasaannya.
Zureen masih menarik muka kerana dia memang
tidak suka jika abang angkatnya mengatakan sesuatu yang
melibatkan perasaan walaupun dia tahu Haziq hanya
bergurau dengannya. Namun, entah kenapa dia memang
tidak suka jika abang angkatnya bergurau begitu.
“Zureen..... Abang dah minta maaf kan? Kalau
Zureen terus nak tarik muka macam tu, baik abang balik
ajelah sekarang. Susah payah abang datang sini nak jenguk
Zureen, tapi macam ni pula Zureen layan abang....” ujar
Haziq seolah-olah merajuk dalam usahanya cuba untuk
menenangkan keadaan.
Aikk?? Siapa marah siapa ni? Siapa pula yang
tengah merajuk? Aku ke dia? Bisik Zureen agak keliru.
Bimbang jika abang angkatnya benar-benar akan
pulang, Zureen pula yang memujuk Haziq yang agak berkecil
hati dengan layanannya kerana ketika itu sememangnya dia
amat memerlukan seseorang seperti Haziq untuk meluahkan
perasaannya.
“Alah... Abang ni, sikit-sikit nak merajuk.... sikitsikit
nak merajuk. Macam budak-budaklah! Patutnya abang
yang tolong pujuk Zureen sekarang ni, sebab Zureen yang
tengah stres, tapi dah terbalik pula!” balas Zureen.
Hah, dah baguslah tu! Aku merajuk, dia pujuk. Dia
merajuk, aku pula yang nak kena pujuk. Jawabnya, sampai ke
sudah tak selesai juga masalah aku ni! Pi mai pi mai tang tu!
“Bila pula abang merajuk? Dah orang tu tak suka
kita datang sini, so lebih baik kita balik aje!”
“Ada ke Zureen cakap kat abang yang Zureen tak
suka abang datang ke sini? Zureen cuma terkejut aje tadi bila
tengok abang datang dengan Datin!”
“Maknanya Zureen sukalah abang datang sini ya?”
Haziq masih tidak berpuas hati.
“Okeylah, to be honest, Zureen rasa sayu sangat
bila tengok abang datang tadi. Zureen rasa macam nak peluk
abang aje. Kalaulah abang ni Abang Zahin, dah lama Zureen
peluk sebab masa abang sampai dengan Datin tadi, Zureen
memang tengah tension sangat dengan perangai anak
majikan Zureen tu...”
Haziq agak tersentak. Berderau darahnya apabila
mendengar kalimah Zureen seperti ingin memeluknya.
Hatinya terharu. Bukan terharu disebabkan Zureen ingin
memeluknya tetapi rasa terharu disebabkan perasaan luhur
yang lahir dari hati gadis di hadapannya itu sudah cukup
mengharukan biarpun perasaan Zureen itu bukan perasaan
seperti yang diharapkannya.
Hatinya sudah cukup gembira bila mengetahui
dirinya amat diperlukan oleh Zureen biarpun kehadirannya
hanya dianggap seperti kehadiran seorang abang sahaja!
“Okeylah... sekali lagi abang minta maaf kalau
abang dah tersalah cakap tadi. Sebenarnya, abang pun nak
beritahu Zureen satu perkara...”
“Apa dia?”
“Sebenarnya..... Abang sendiri pun tak percaya
macam mana abang boleh berada di banglo mewah ini
sekarang. Walaupun, abang tulis kat SMS tadi cakap nak
datang sini, sebenarnya abang memang tak terfikir nak
datang sini pun. Abang saja-saja cakap macam tu sebab nak
takutkan Zureen. Yalah, siapa tak risau kalau abang call tapi
langsung tak jawab. Hantar SMS pun tak reply...”
“Eh, kan Zureen reply mesej abang?” Zureen
memotong kata-kata Haziq.
“Memanglah reply tapi..... lambat!” balas Haziq
pula.
Haziq menyambung kembali kata-katanya.
“Mula-mula abang dah putuskan tak nak ganggu
Zureen, tapi abang tak tahu kenapa tiba-tiba abang rasa
macam tak sedap hati. Abang terasa macam Zureen
memanggil-manggil abang datang ke sini and who knows
that you’re really need me right now! Memang instinct
abang tak pernah salah!”
“Ya ke abang rasa macam tu? Maknanya kita ni
memang ada chemistry kan? Kita ni macam ada alpha
wavelah pula!”
“Zureen baru perasan ke? Abang dah lama notice
benda ni!”
“Kalau macam tu senanglah Zureen. Kalau Zureen
ada apa-apa masalah, tak payah susah payah nak beritahu
abang, tup.. tup.. Abang dah terpacak depan Zureen. Eee...
bestnya macam tu!”
Hai, Zureen... masih tak faham-faham lagi ke apa
maksudnya? Bisik Haziq.
“Okey, now Zureen cerita kat abang apa yang
menyebabkan Zureen tension dan stres sangat ni? Belum pun
sehari bekerja, takkan dah stres macam ni sekali?”
Zureen mula bercerita apa yang dialaminya
sepanjang satu hari bertugas dengan lelaki sejuk beku kepala
batu itu.
Haziq Daniel khusyuk mendengar luahan adik
angkatnya. Sesekali dia menarik nafas yang dalam dan
melepaskan pula suatu keluhan. Dari apa yang diceritakan
Zureen, sememangnya adik angkatnya itu sedang melalui
satu situasi yang amat sukar.
Jika diikutkan hatinya, mahu saja dipaksanya
Zureen untuk berhenti kerja dan segera meninggalkan
banglo mewah dan lelaki pelik itu. Namun, dia sudah berjanji
dengan dirinya sendiri, dia tidak mahu lagi bertindak dengan
hanya mengikut perasaannya sahaja.
Dia harus lebih matang dalam usaha membantu
Zureen menyelesaikan masalahnya atau jika tidak mampu
menyelesaikannya, cukuplah jika dia dapat membantu
meringankan bebanan yang terpaksa digalas oleh Zureen.
Baru sebentar tadi dia berazam untuk menjarakkan
dirinya dari Zureen untuk sementara waktu, tetapi ternyata
dia tidak mampu melakukannya. Hatinya meronta-ronta
ingin segera bertemu dengan Zureen.
Dia tidak sanggup menunggu walaupun sehari
untuk menemui Zureen apatah lagi harus menunggu hingga
ke hujung minggu, dan disebabkan perasaan itulah yang
telah membawanya ke banglo mewah ini.
Sangkanya apabila dia sampai di banglo itu tadi,
Zureen akan memarahi dirinya seperti kebiasaannya kerana
Zureen pasti tidak suka dia datang mengganggu tugasnya
yang baru sahaja bermula. Namun, sangkaannya meleset. Dia
cukup tersentuh dan terharu melihat reaksi Zureen terhadap
kemunculannya yang secara tiba-tiba di banglo mewah itu.
Entah kenapa, dia dapat merasakan Zureen sangat
memerlukan kehadirannya tadi. Dari renungan matanya,
sudah cukup menceritakan apa yang sedang ditanggungnya
itu dan andaiannya tepat setelah mendengar sendiri
pengakuan dari mulut adik angkatnya tadi.
Melihat pula lelaki pelik itu memberikannya suatu
renungan yang tidak menyenangkan dan kata-kata kesat yang
telah dilemparkan kepadanya tadi, dia tahu, memang tugas
adik angkatnya itu bukan mudah!
“Zureen okey tak ni?” soal Haziq sebagai respons
terhadap luahan hati dan wajah keruh Zureen.
“Abang Haziq tengok Zureen macam mana? Okey
ke?” soal Zureen pula.
“Hishh... kita tanya dia, dia boleh tanya kita balik
pula!” balas Haziq cuba berseloroh untuk meredakan
ketegangan Zureen. Tidak sanggup rasanya melihat wajah
insan yang paling disayanginya itu bersedih sebegitu rupa.
“Entahlah Abang Haziq. Mula-mula Zureen rasa
macam Zureen okey aje, tapi makin lama, Zureen makin tak
tahan pula dengan sikap si kepala batu tu! Ni baru aje sehari,
kalau lama lagi boleh gila Zureen dibuatnya...” luah Zureen.
Zureen melepaskan satu keluhan. Lega sedikit
rasanya setelah dapat melepaskan apa yang berbuku dalam
hatinya sejak tadi.
“Zureen.... kalau abang cakap sikit, Zureen nak
dengar tak?”
Zureen merenung Haziq seketika. Dia agak pelik
dengan sikap abang angkatnya itu. Kenapa tingkah laku
lelaki di hadapannya itu lain benar? Rasa-rasanya, itu
bukanlah sikap sebenar abang angkatnya! Apa kena dengan
dia ni?
“Zureen nak dengar tak?” soal Haziq lagi setelah
melihat Zureen hanya merenungnya dengan suatu
pandangan yang pelik.
Zureen tersentak.
“Kenapa abang tanya macam tu pula? Sejak bila
pula abang Zureen ni pandai minta permission dulu bila nak
cakap?” soal Zureen masih lagi pelik.
“Abang tanya ni, Zureen nak dengar tak?” soal
Haziq lagi masih tidak berpuas hati.
“Yalah... yalah... Zureen dengarlah ni. Abang cakap
ajelah.”
“Abang cuma nak bagi pendapat abang. Kalau
Zureen rasa boleh pakai cakap abang ni, Zureen pakailah.
Kalau tak, Zureen abaikan aje...”
Zureen hanya diam menanti apakah yang hendak
disampaikan oleh abang angkatnya.
“Zureen.... apa yang boleh abang cakap, Zureen
mesti banyak-banyak bersabar. Semua kerja ada cabarannya.
Kalau Zureen sabar mengharungi semua cabaran tu, abang
percaya itu semua akan membantu Zureen jadi lebih matang
dan seorang yang lebih kuat. Zureen tak boleh cepat
berputus asa. Bukan ke tugas Zureen sekarang ni adalah
minat Zureen? Takkanlah dengan sebab masalah kecil tu,
Zureen dah nak give up...”
Aku bermimpi ke ni? Betul ke yang duduk depan
aku ni Abang Haziq? Macam tak percaya pula! Kenapa dia
lain sangat? Atau dia ni..... dah buang tabiat? Hishh! Minta
dijauhkanlah!
Zureen memang amat pelik dengan perubahan
sikap abang angkatnya itu kerana pada awalnya dia sudah
menjangkakan pasti Haziq akan menyuruhnya berhenti dan
segera pulang sahaja ke rumahnya. Namun, kata-kata dari
mulut Haziq benar-benar tidak dijangka.
Nampaknya keadaan sekarang sudah terbalik
kerana tadi dia sudah terfikir untuk meninggalkan sahaja
banglo itu jika didesak oleh Haziq untuk berbuat begitu,
namun kata-kata yang baru sahaja keluar dari mulut abang
angkatnya amat tidak disangka-sangka.
“Abang Haziq nak suruh Zureen terus kerja dengan
lelaki angkuh tu ke? Abang tak tengok ke macam mana
perangai dia tadi tu? Zureen dah tak tahanlah bang.... ini
baru aje sehari, tapi Zureen dah kena macam-macam dengan
dia. Kalau ikutkan hati Zureen yang sakit ni, dari tadi Zureen
dah tinggalkan dia tapi Zureen tak sampai hati pula tengok
Datin yang beria-ia sangat nak minta Zureen jadi jururawat
peribadi anak dia. Lagipun, Zureen dah terjanji dengan Datin
untuk bantu dia rawat anak dia yang sakit tu...” cerita Zureen
panjang lebar.
“Betul ke Zureen yang ada kat depan abang ni
Zureen yang abang kenal?”
Zureen terdiam seketika. Pelik dengan soalan dari
abang angkatnya.
“Kenapa abang tanya macam tu?” soal Zureen pelik.
“Sebab Zureen yang abang kenal ialah seorang yang
tak mudah berputus asa. Seorang yang cekal... sukakan
cabaran.... kalau dia dah putuskan nakkan sesuatu, tak ada
sesiapa yang boleh menukar keputusannya. So, apa dah jadi
dengan Zureen yang abang kenal dulu? Takkanlah dengan
cabaran sekecil ini, Zureen dah give up??”
“Bercakap memang senang... tapi masalahnya
Zureen yang terpaksa menghadapinya. Zureen takut lamalama
nanti Zureen yang jadi tak betul sebab asyik melayan
kerenahnya saja! Zureen tak kisah kalau dia tak dapat terima
kehadiran Zureen di banglo tu, sebab Zureen dah berazam
akan cuba untuk meyakinkannya melalui tugas-tugas yang
dah diamanahkan pada Zureen, tapi sekarang ni dia telah
menghina Zureen. Dia tak habis-habis asyik merendahkan
Zureen. Kalau sekali dua, mungkin Zureen boleh bersabar
lagi, tapi nampaknya dia semakin kerap memperlakukan
Zureen sesuka hatinya. Dia layan Zureen betul-betul macam
kuli dia. Walau sekuat mana pun Zureen, secekal mana pun
Zureen, tapi kalau dah kerap sangat dilayan begitu, macam
mana Zureen nak bertahan. Zureen memang dah tak
tahan....” luah Zureen sebak. Air mata bergenang di kelopak
matanya.
Jika diikutkan hatinya, mahu saja Haziq menyuruh
Zureen berhenti 24 jam. Sedih benar hatinya bila mendengar
luahan hati adik angkatnya itu.
Hingga begitu sekali lelaki pelik itu melayan
Zureen? Tak padan diri tu sedang sakit, masih lagi nak
menghina orang sesuka hati! Bentak Haziq dalam hati.
“Zureen dah habis fikir ke ni?” duga Haziq
Zureen tidak menjawab sebaliknya hanya
mengangguk.
“Habis tu macam mana dengan janji Zureen pada
Datin?” duga Haziq lagi.
Mendengar nama Datin Raja Fatimah disebut, dia
terdiam seketika. Itulah masalahnya sekarang ini. Datin Raja
Fatimah menjadi penghalang untuk Zureen mengikut kata
hatinya.
“Kenapa Zureen diam? Zureen tak sampai hati ke?”
Haziq terus menduga kesungguhan adik angkatnya terhadap
hasrat hatinya itu.
“Itulah masalahnya. Zureen memang tak sampai
hati nak hampakan harapan Datin. Harapannya pada Zureen
terlalu tinggi hinggakan kadang kala buat Zureen jadi takut
sangat. Abang Haziq, apa patut Zureen buat? Zureen betulbetul
buntu sangat ni!” luah Zureen lagi.
“Kalau abang, abang akan cuba sedaya upaya untuk
tidak menghampakan kepercayaan yang telah diberikan
kepada diri kita. Zureen kena ingat, bukan senang orang nak
mempercayai diri kita dalam masa yang terlalu singkat.
Zureen anggaplah tugas Zureen kepada anak majikan Zureen
tu sebagai suatu amanah. Amanah yang harus dijaga dengan
sebaik-baiknya. Biar apa pun yang dia cuba buat pada Zureen,
Zureen cuba jangan ambil pusing. Anggap dia tu orang yang
tengah sakit. Orang yang sakit ni memang macam-macam
kerenahnya. Zureen dah belajar semua tu dulu kan?”
Haziq sendiri pelik dengan dirinya. Dia tidak
menyangka dia boleh memberikan nasihat sebegitu kepada
adik angkatnya sedangkan jika dia mahu, dia boleh
memanfaatkan peluang yang ada di hadapan matanya untuk
meracuni fikiran Zureen supaya berhenti dari tugas sebagai
jururawat peribadi kerana ketika itu Zureen benar-benar
sedang bingung.
Haziq menarik nafas panjang dan melepaskannya.
Entah kenapa dia merasa amat lega setelah dapat
memberikan nasihat sebegitu rupa kepada Zureen. Suatu
kejayaan buat dirinya kerana mampu melawan perasaannya
sendiri. Perasaan mementingkan diri sendiri!
Tiba-tiba sahaja Haziq merasakan seperti ada
seseorang yang sedang memerhatikan dirinya. Matanya
meninjau di sekitar banglo mewah itu untuk memastikan
perasaannya.
Pandangan mata Haziq terhenti sebaik sahaja
matanya terpandang seseorang yang sedang asyik
memerhatikan dirinya dan Zureen dari atas balkoni. Dia
mengamati seketika untuk memastikan siapakah pemilik
sepasang mata yang sedang memerhatikannya.
Sah! Sepasang mata yang sedang asyik
memerhatikannya dengan perasaan kurang senang adalah
milik lelaki sejuk beku kepala batu, gelaran yang selalu
digunakan oleh Zureen untuk menggambarkan sikap anak
majikannya itu.
Beberapa ketika mereka saling bertatapan.
Mungkin sambungan kepada episod tenung menenung di
dalam bilik tadi walaupun kali ini jaraknya agak jauh sedikit,
namun aura kurang senang masih dapat dirasai.
Kenapa lelaki pelik itu merenung aku semacam aje?
Macam ada perasaan tidak berpuas hati. Dia tak puas hati
dengan aku ke? Apa masalah dia sebenarnya? Dia
cemburukan aku ke? Kalau benar cemburu, tapi kenapa?
Takkanlah dia dah jatuh hati pada Zureen dalam masa sehari
saja? Bisik Haziq pelik.
Haziq segera melarikan pandangannya dari lelaki
pelik itu kerana bimbang Zureen akan perasan apa yang
sedang berlaku.
“Zureen, abang nak tanya sikit boleh?” Tiba-tiba
terlintas satu soalan di benak Haziq sebaik saja terpandang
Syed Redza sedang merenung dirinya dan adik angkatnya
tadi.
“Apa dia?” balas Zureen yang masih tidak sedar
tentang satu lagi episod tenung menenung yang berlaku tadi
kerana kedudukannya yang membelakangkan balkoni,
tempat di mana Syed Redza berada.
“Siapa nama lelaki pelik yang Zureen jaga tu?”
Zureen tersenyum sebaik sahaja mendengar soalan
dari Haziq. Itu ke soalannya?
“Syed Redza...” balas Zureen pendek kerana
sebolehnya ketika itu, dia tidak ingin langsung menyebut
nama lelaki sejuk beku kepala batu itu!
“Hmmm.... patutlah handsome. Keturunan Arab
rupa-rupanya!” jawab Haziq selamba dengan nada suaranya
kedengaran kurang senang!
“Handsome pun tak guna kalau perangai buruk
macam tu!” balas Zureen geram.
“Zureen... tak baik cakap macam tu!”
“Alah... betul apa Zureen cakap ni. Muka handsome
sampai ke langit pun, kalau perangai tak sehandsome muka,
tetap buruk juga!” balas Zureen lagi.
Haziq tersenyum mendengar respons Zureen.
Oooo... maknanya, kalau perangai dia sehandsome
wajahnya, Zureen akan sukalah ya? Jerit Haziq dalam hati
sahaja kerana dia tidak berani untuk meluahkan soalan itu
terus kepada Zureen kerana dia sudah mengagak respons
Zureen. Pasti marah dan tarik muka!
“Kalau abang cakap, Syed Redza tu sebenarnya
sukakan Zureen, macam mana?” duga Haziq walaupun dia
amat takut dengan soalan itu.
“What??!!” tanpa sengaja Zureen terjerit sedikit
sebaik saja mendengar soalan daripada abang angkatnya.
“Zureen! Cuba control sikit suara tu. Kalau Datin
dan Syed Redza dengar macam mana?” balas Haziq juga agak
terperanjat dengan respons tiba-tiba Zureen itu. Tambah
membimbangkannya, apabila dia dapat melihat Syed Redza
semakin galak merenungnya setelah terdengar jeritan
Zureen tadi.
“Ooppss!! Sorry... Zureen tak sengaja. Apalah punya
soalan abang tanya ni? Tak logik langsung!” jawab Zureen
sambil menutup mulutnya dengan tapak tangannya.
“Kenapa pula tak logik?” Haziq semakin berminat
untuk tahu setelah melihat respons dari Zureen terhadap
soalannya tadi.
“Yalah... memang tak logik langsung. Kalau dia
sukakan Zureen, dia tak akan layan Zureen macam tu sekali!
Dia punya layanan pada Zureen baik sikit aje dari layanan
firaun pada hamba abdinya!” balas Zureen lagi.
“Apa pula sampai sebut fasal firaun ni? Tak baik tau
Zureen,” balas Haziq pula kurang senang.
“Tak adalah.... Zureen cuma nak menggambarkan
betapa teruknya dia layan Zureen!”
“Mungkin itulah cara dia nak tackle Zureen.
Zureen kena ingat... ada sesetengah lelaki gunakan
pendekatan membenci untuk tackle perempuan!”
“Ah! Mengarutlah.... Zureen tak percaya langsung
kalau nak tackle dengan pendekatan macam tu. Zureen tak
tahulah kalau perempuan lain boleh terima cara macam tu,
tapi kalau Zureen, sorry to saylah, memang Zureen tak akan
jatuh hati dengan cara macam tu. Makin benci adalah!”
“Zureen.... jangan cakap besar. Nanti kalau jadi
terbalik, macam mana?”
“Minta dijauhkanlah! Kalau Zureen dapat bertahan
dengan tugas Zureen ni dah kira bagus sangat! Okeylah
Abang Haziq, Zureen tak boleh sembang lama sangat. Zureen
tengah kerja lagi ni. Kalau abang nak sembang panjang lebar,
tunggu hujung minggu ni bila Zureen balik rumah. Nanti
kita sembang panjang-panjang ya?” balas Zureen seraya
berdiri tanda untuk menyambung semula tugasnya.
“Hmmm.... maknanya hasrat nak bagi notis 24 jam
pada Datin tadi dah tak jadilah ya?” soal Haziq tersenyum.
“Zureen dengar nasihat Abang Haziq. Sekarang ni
Zureen cuma fikirkan Datin aje. Kalau setakat lelaki angkuh
tu, memang Zureen dah ikut abang balik sekarang juga!”
“Zureen... walau apa pun, Zureen kena ingat etika
seorang jururawat. Walaupun pesakit yang dirawatnya adalah
musuh ketatnya, Zureen tetap kena merawat dia sebaik
mungkin. Ingat, jangan sesekali terpengaruh dengan emosi
sendiri masa tengah jalankan tugas!” balas Haziq juga turut
berdiri untuk beredar meninggalkan banglo mewah itu.
“Yes!! Doktor Haziq,” jawab Zureen sambil
tangannya diangkat dan diletakkan di tepi telinganya seperti
sedang memberi tabik hormat.
Seperti biasa, tanpa sengaja Haziq akan menarik
hidung Zureen sekuat hati sebagai cara untuk melampiaskan
perasaan cinta dan sayangnya pada gadis comel itu.
“Aduh! Abang Haziq... sakitlah! Suka tau buat
Zureen macam ni...” Zureen sedikit terjerit sambil tangannya
meraba-raba hidungnya. Mesti merah ni!
Mereka berjalan beriringan meninggalkan kawasan
kolam renang itu. Ketika berjalan, Haziq sempat mengerling
seketika ke arah balkoni. Kelihatan Syed Redza masih di situ
tetapi renungannya kali ini lebih tajam. Mungkin tidak
senang dengan kemesraan dirinya dan Zureen.
Haziq sempat melemparkan sebuah senyuman ke
arah Syed Redza. Sebuah senyuman yang sukar untuk
ditafsirkan akan maksudnya. Hanya sesama lelaki yang akan
faham maksudnya!
Zureen menghantar kepulangan abang angkatnya
sehingga ke pintu pagar utama. Setelah kelibat kereta Haziq
hilang dari pandangan matanya, dia kembali masuk semula
ke banglo mewah itu.
Tiba-tiba sahaja, entah kenapa langkah kaki Zureen
kembali terarah ke arah kolam renang tempat dia dan abang
angkatnya duduk berbual tadi. Zureen terasa seperti ingin
duduk seketika bersendirian di tepi kolam renang sebelum
kembali menyambung tugasnya kerana tugas yang sedia
menunggunya selepas ini pasti lebih mencabar apabila dia
harus mengambil tekanan darah Syed Redza pula.
Dia perlu menenangkan dirinya seketika sebelum
kembali berhadapan dengan lelaki angkuh itu. Hatinya terasa
tenang seketika setelah dapat mencelup hujung kakinya ke
dalam kolam renang itu. Sejuk air kolam itu dapat
menyejukkan sedikit hatinya yang membara tadi.
Seronok pula dapat membasahkan kaki! Kalau
diikutkan hatinya mahu sahaja dia terjun terus ke kolam
renang itu. Tentu boleh release tension!
Terasa tidak puas pula apabila hanya merendam
hujung kaki. Zureen melipat sedikit seluar uniform
jururawatnya dan terus duduk sambil merendamkan keduadua
belah kakinya. Dia menyanyi-nyanyi kecil untuk
menghiburkan hatinya yang lara sambil kakinya dihayunhayunkan
di dalam air.
Sedang dia seronok bermain air sambil bernyanyinyanyi
kecil, tiba-tiba matanya terpandang ke arah balkoni.
Berderau darahnya!
Ya Allah... Syed Redza sedang merenungnya dengan
pandangan yang amat menakutkan Zureen.
Zureen panik! Rasanya ingin sahaja dia terjun ke
dalam kolam renang itu untuk menyembunyikan diri dari
renungan tajam Syed Redza itu, namun mana mungkin.
Relaks Zureen.... relaks!
Seperti ada suara halus yang berbisik ke telinganya
supaya dia bertenang. Entah macam mana, dalam keadaan
yang panik sebenarnya, dia boleh berlagak selamba seolaholah
tidak hairan langsung dengan renungan maut Syed
Redza.
Zureen selamba bangun dari kolam sambil
menurunkan semula lipatan seluarnya, menyarungkan
semula sandal dan terus berjalan meninggalkan kolam tanpa
mempedulikan Syed Redza yang masih merenungnya di
balkoni walaupun dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang
tahu.
Terasa seperti jantungnya sudah lama melompat
keluar meninggalkannya terkontang-kanting seorang diri.
Aduh! Matilah aku kali ni. Mesti aku kena lagi
dengan dia lepas ni! Ya Allah tolonglah hamba-Mu ini.