DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Izma Qahiera. Show all posts
Showing posts with label Izma Qahiera. Show all posts

Sunday, 10 December 2017

Lakaran Hati - Bab 10

“SUSAH sangat ke ibu nak terima Fida? Yang
dah lepas tu janganlah diungkit lagi.”
“Amboi! Bukan main senang kamu bercakap. Ibu kat
sini yang menanggung malu nanti tau.”
“Nak malu apa? Kami bukannya kena tangkap
basah.”
Pang!!!
“Jangan tunjuk sangat yang diri tu kurang cerdik.
Berfikir dulu sebelum bercakap.” Puan Rohani menempelak.
Dia pegang tangan sendiri. Tak pernah tangannya hinggap ke
muka Nazri selama ini.
“Dulu kamu kecewakan Dina. Ibu hilang kawan baik.
Sekarang kamu nak kahwin pula dengan kakak dia. Kamu
rasa-rasa keluarga dia boleh terima kamu ke?” Puan Rohani
menyoal dengan linangan air mata. Dia sudah cukup ralat
dengan apa yang berlaku dulu.
“Naz dah pergi ke rumah kawan baik ibu tu semalam.
Elok aje layanan Mak Cik Faridah tu. Dina pun ada.”
“Dina ada?” Bulat mata Puan Rohani. Tak percaya
dengan apa yang Nazri ucapkan.
“Ya. Dia baru balik dari Johor semalam,” jawab Nazri
perlahan.
“Lamanya ibu tak jumpa dia. Dia ada lagi tak kat
rumah?”
“Dia balik sekejap aje. Dah balik ke JB pun siang
tadi,” jawab Nazri acuh tak acuh. Masih ternampak-nampak
kemesraan Dina dan Izan. Hati Nazri semakin sakit
apabila ibunya nampak lebih berminat untuk mengetahui
perkembangan diri Dina berbanding Fida.
“Ya Allah rindunya ibu pada dia. Jahatnya kamu
ni Naz. Ibu dapat bayangkan macam mana sakitnya hati
Dina bila tahu kamu ada hubungan dengan kakak dia.”
Lengan Nazri ditampar berulang kali. Geram betul dia
dengan perangai anak lelaki tunggalnya itu. Suka sangat
mempermain-mainkan hati perempuan.
Puan Rohani memang amat menyayangi Dina. Sejak
hari pertama gadis itu datang ke rumahnya untuk belajar
mengaji, hatinya sudah terpaut suka. Perilaku Dina yang
lemah lembut dan mudah menerima apa yang diajar mampu
membuat sesiapa sahaja yang baru mengenalinya akan terus
tertambat.
“Dia ada bawa balik kawan. Nampak sangat yang
dia dah tak heran pun dengan Naz.” Suara Nazri mendatar.
Terpamer sedikit juihan bibir di hujung kata-kata Nazri.
“Kawan lelaki ke?”
“Kawan lelakilah. Betul tak kata Naz dulu? Bila
duduk jauh, semuanya akan turut jauh. Termasuklah hati
dia.”
“Ibu tak percaya. Dina tu jenis yang setia. Entah-entah
dia sengaja bawa balik budak tu untuk menyedapkan hati
mak dan abah dia aje.” Puan Rohani masih menyebelahi Dina.
“Ibu dah bercakap sendiri dengan Dina, kan? Dia pun
dah mengaku yang dia dah ada orang lain. Tak ada untungnya
pun kalau Naz menipu.”
“Ibu kenal sangat dengan Dina tu. Dia bukan gadis
yang cepat berubah hati. Dia budak baik.” Puan Rohani tak
mahu kalah. Dia yakin tak semudah itu luka di hati Dina
mampu sembuh. Dia masih ingat lagi ketika gadis itu datang
merayu-rayu supaya memujuk Nazri menerimanya kembali.
Cikgu Faridah juga datang mengamuk kerana Dina jatuh
sakit gara-gara mogok lapar. Nazri cinta pertama Dina. Dia
tahu betapa kuatnya usaha Dina untuk mempertahankan
hubungan mereka. Apa yang paling penting ketika itu,
percintaan mereka berdua sudah heboh diperkatakan oleh
jiran-jiran. Kedua-dua keluarga juga sudah sepakat untuk
berbesan. Siapa yang tidak malu kalau apa yang dirancang
semuanya tak menjadi?
“Ibu, kita sekarang tengah bincangkan pasal Fida.
Bukan Dina. Dina dah ada orang lain. Biarlah dia bahagia
dengan hidup dia sekarang.” Nazri menghenyak punggung di
sebelah Puan Rohani. Tangannya mengusap pipi yang masih
terasa pijar itu.
“Kamu sayang Dina lagi tak?”
“Naz dah ada Fida...”
“Tapi kamu sayang Dina lagi tak?”
“Fida tu nak letak mana?”
“Sayang Dina lagi tak?” Puan Rohani mengulangi
lagi soalannya.
Nazri tidak menjawab. Tidak faham kenapa ibunya
masih ingin menduga ketulusan hatinya terhadap Fida.
“Kalau Dina dengan Fida ada kat dalam sebuah
bilik yang tengah terbakar, kau nak selamatkan siapa dulu?”
Kali ini diubahnya pula gaya soalan. Sengaja nahu menguji
ketetapan hati anaknya itu.
“Takkanlah ibu sanggup bakar Fida semata-mata nak
Naz kahwin dengan Dina pulak?”
Puan Rohani senyum sinis. Pandai betul anaknya
memutarkan belitkan keadaan. Dalam hatinya cuma ingin
Dina jadi menantu. Sangkanya Nazri akan memujuk Dina
kembali sebaik sahaja gadis itu menamatkan pengajian.
Namun, semuanya meleset. Cepat benar Nazri jumpa
pengganti.
“Ibu, tolonglah. Ibu tak nak tengok anak ibu ni
bahagia ke?”
“Daripada tengok kau bahagia atas derita orang lain,
baik ibu tengok kau terlantar sakit. Itu lebih elok daripada
melukakan hati orang.”
“Sampai hati ibu cakap macam tu. Kenal-kenallah
dulu dengan Fida. Sekalipun jadilah. Tolonglah ibu. Naz
sembah kaki ibu. Naz bukan macam dulu. Naz sayang
Fida.” Nazri berlutut. Dia hanya inginkan satu peluang bagi
membuktikan yang dia benar-benar sudah berubah.
Puan Rohani ketap bibir. Pelbagai perkara yang
sedang bermain di kepala sekarang. Dia tidak membenci
Fida. Tapi masalahnya Fida adalah kakak Dina. Pasti banyak
masalah yang akan timbul di kemudian hari nanti. “Ibu nak
jumpa mak dan abah dia dulu.”
Wajah Nazri bertukar suka. “Ibu nak hantar cincin
tanda ke?”
“Jangan cepat sangat nak gembira. Ibu pergi ke sana
nak tanya pendapat Mak Cik Faridah. Kalau dia masih tak
boleh lupakan hal yang lepas dan tak nak maafkan ibu, kau
lupakan ajelah hajat hati tu.” Puan Rohani menepis tangan
Nazri di ribaannya dan terus masuk ke bilik. Sambil bersiap
dia membayang-bayangkan pertemuannya dengan Cikgu
Faridah nanti. Dia berharap sangat agar kawan baiknya itu
tidak bersetuju untuk mengambil Nazri sebagai menantu.
Dia lebih rela kalau pihak Fida yang menolak. Selepas apa
yang Nazri lakukan pada Dina, pasti tidak akan menjadi isu
andai hajat pihak lelaki ditolak mentah-mentah.

“AKU PENING kepalalah dengan hal budak-budak ni Idah.”
Puan Rohani mengeluh.
“Samalah aku pun. Yang sana anak. Kat sini pun
anak.” Giliran Cikgu Faridah pula mendengus perlahan.
Kedua-dua wanita itu saling berpandangan. Bukan
soal Fida dan Nazri yang mereka bincangkan. Nama Dina
yang meniti di bibir mereka. Masing-masing risau jika kisah
lama Dina dan Nazri sampai ke telinga Fida.
“Kita berterus-terang ajelah dengan Fida,” ujar Puan
Rohani.
“Jangan. Anak-anak aku tu baru aje nak berbaik-baik.
Cukuplah Dina sorang aje yang bawa hati dulu. Fida memang
tak tahu-menahu dalam hal ni. Kalau pun dia perlu tahu,
Nazri adalah orang yang paling tepat untuk buka semula
cerita ni.”
Puan Rohani hanya tunduk memandang kaki sendiri
yang terbenam sedikit di ambal tebal. Dia tahu semua ini
berpunca daripada anaknya.
“Kita diamkan dulu hal ni. Tapi abang nak Ani
percepatkan segala urusan. Kalau boleh tak perlu bertunang
lama-lama. Bertunang dan nikah pada hari yang sama pun
lagi bagus.” Pak Rahim yang hanya mendengar perbualan dua
orang wanita itu sejak tadi mengusulkan pendapat.
“Macam mana kalau rahsia ni terbongkar selepas
tu?” Cikgu Faridah memandang suaminya dengan wajah
gusar.
“Dina dah ada Izan. Kisah dia dan Nazri tu dah jadi
sejarah. Merajuk tu memang hal biasa. Orang perempuan
mana yang tak cemburu kalau kisah cinta lama diungkit,
kan? Tapi abang yakin semua tu sekejap aje nanti.”
Masing-masing membungkam. Puan Rohani
menimbang-nimbangkan kata-kata Pak Rahim. Betul juga
cakap bakal besannya. Nampaknya terpaksalah dia memujuk
dirinya untuk menerima Fida dengan rela hati. Walaupun
hatinya lebih berkenan pada Dina. “Baiklah kalau macam
tu. Abang Rahim carilah tarikh yang sesuai. Kalau boleh tiga
bulan dari sekarang. Kita tunangkan diaorang, lepas tu nikah
terus.”
“Baik. Nanti abang uruskan. Suruh Nazri buat
persiapan. Segala borang nikah dah bolehlah diuruskan dari
sekarang,” ujar Pak Rahim. Dia memang mahu segala-galanya
yang berkaitan dengan Fida diselesaikan dengan segera.
Lebih lambat diuruskan lebih tinggi risiko untuk rahsia ini
terbongkar.
“Idah, aku memang tak bawa apa-apa sekarang. Tapi,
aku tinggalkan cincin nikah peninggalan arwah Harun kat
sini. Buat tanda yang aku dah tanggam Fida untuk Nazri.”
Puan Rohani menanggalkan cincin yang tersarung di jari
manisnya sebelum meletakkan cincin itu di atas meja kopi.
Cikgu Faridah mencapai cincin kepunyaan Puan
Rohani. Dibeleknya sebentar sebelum dibawanya cincin itu
masuk ke dalam rumah.
Puan Rohani memandang dengan wajah sayu.
Alangkah bagusnya kalau cincin itu diwarisi oleh Dina.
“Abang Rahim, betul ke Dina ada bawa balik kawan
hari tu?” Tiba-tiba terpacul soalan berkaitan dengan Dina dari
mulut Puan Rohani.
“Ya. Izan namanya.” Pak Rahim berdeham perlahan.
Agak terkejut juga dengan soalan itu.
“Oh... dah lama ke diaorang berkawan?” Soal Puan
Rohani lagi.
“Kalau tak silap, dah 3 tahun rasanya.”
Terbeliak mata Puan Rohani mendengar jawapan Pak
Rahim. Betullah kata Nazri. Hati Dina lebih cepat sembuh
berbanding anaknya sendiri. “Dengan orang mana?”
“Errr... banyak benar soalannya ni. Kita ni belum
selesai lagi dengan hal Nazri dan Fida, kan?” Pak Rahim
senyum sinis. Kurang selesa bila hal Dina lebih mendapat
perhatian Puan Rohani.
“Ini gambar Fida. Rasa-rasanya kau belum pernah
jumpa dengan dia, kan?” Cikgu Faridah yang keluar semula
ke ruang tamu menghulur sekeping gambar kepada Puan
Rohani.
Puan Rohani berdeham kecil. Sempat lagi dia
mengerling Pak Rahim. Panas telinganya disindir lelaki
itu masih belum hilang, kini Cikgu Faridah menunjukkan
bakal menantu bukan pilihannya pula. Pada pandangan
pertama, mata Puan Rohani langsung tak berkenan melihat
penampilan Fida. Sudahlah tak bertudung. Mekap pula dah
macam pelakon opera cina. Hampir hilang wajah asal dek
tebalnya mekap yang tercalit di wajah gadis itu.
“Lain betul kalau nak dibandingkan dengan Dina,
kan?”
Cikgu Faridah dan Pak Rahim berpandangan
sesama sendiri. Masing-masing faham apa yang Puan Rohani
maksudkan. Sungguhpun Fida dibesarkan oleh orang lain,
tetapi dia tetap anak mereka berdua. Sedikit sebanyak mereka
agak tersinggung juga dengan komentar Puan Rohani yang
terlalu jujur itu.
“Kau tak berkenan ke?” Sengaja Cikgu Faridah
serkap jarang.
“Eh, tak adalah. Kalau Nazri dah suka, aku ikutkan
aje. Asalkan dapat juga berbesan dengan kau.” Puan Rohani
meletakkan semula gambar Fida di atas meja. Tak berminat
langsung nak menatap lama-lama.
“Baiklah. Kalau macam tu, kita tunggu ajelah pihak
lelaki datang lagi 3 bulan. Betul tak Idah? Kali ni minta-minta
biarlah betul-betul jadi majlisnya. Jangan buat perangai
macam dulu lagi ya Ani.” Pak Rahim beri kata putus. Dia
terus masuk ke dalam rumah sebaik sahaja Puan Rohani
pamer senyum kelat dan mengangguk perlahan.

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN JANUARI 2018*** 

Lakaran Hati - Bab 9

“DINA! Telefon kau ni asyik menjerit aje
dari tadi. Aku jawabkan eh?” Terpekik-pekik Ita di ruang
tamu. Bunyi telefon bimbit Dina benar-benar mengganggu
tumpuannya menonton. Semalam dia sudah terlepas episod
drama adaptasi novel kegemarannya. Hari ni nak menonton
tayangan maraton pun ada gangguan. Dia lantas bangun dan
mengambil telefon bimbit Dina di tempat pengecas. Hanya
deretan nombor yang tertera di skrin.
“Helo...”
“Errr... Dina ada?”
“Dia tengah mandi. Siapa...” Belum sempat Ita
menghabiskan ayatnya tiba-tiba telefon itu dirampas.
“Siapa suruh jawab?” Dina bertanya keras.
“Habis tu memekak aje dari tadi. Aku nak tengok TV
pun tak senang.” Ita menjuihkan bibir dan kembali berbaring
di atas sofa.
“Helo...” Dina masuk ke bilik dan terus mengunci
pintu.
“Dah siap mandi?”
Dina diam sekejap. Dia pandang skrin telefon.
Kemudian kembali menekap telefon di telinga.
“Mana dapat nombor Dina?” Suara Dina bertukar
keras. Tak sangka lelaki itu masih berani menghubunginya.
“Abang ambil dalam telefon Fida.”
Dina diam. Pasti lelaki itu mengambil nombor
telefonnya tanpa pengetahuan kakaknya itu.
“Dina apa khabar?” Perlahan suara Nazri bertanya.
“Belum mati lagi.” Dina senyum kelat. Puas hati
dapat lepaskan geram.
“Abang minta maaf. Abang tahu Dina marah.”
“Eh! Apa hal pulak nak minta maaf ni? Jangan
berlagak macam kau kenal sangat dengan aku. Kita dah tak
ada apa-apa lagi.” Tiba-tiba Dina naik angin. Hilang terus
tutur sopannya. Kenapa Nazri menghubunginya lagi? Dah tak
ada sebab untuk lelaki itu buat begitu. Dina cuba bertenang.
Kemas genggaman buku limanya menahan geram. Kalau
Nazri ada di depannya sekarang memang lebam biji mata
lelaki itu makan penumbuknya.
“Abang betul-betul tak tahu Fida tu kakak Dina.
Kalau abang tahu...”
“Sekarang dah tahu, kan? Kau nak buat apa sekarang?
Tinggalkan dia macam kau buat kat aku dulu?” Sekali lagi
Dina memintas ayat Nazri.
“Bukan macam tu. Abang ikhlas berkawan dengan
dia. Tapi ibu abang. Dia tak setuju,” ujar Nazri perlahan.
“Itu bukan masalah aku.” Dina masih berkeras.
Air mata sudah hampir tumpah. Teringat layanan mesra
Puan Rohani satu ketika dahulu. Orang tua itu jugalah yang
beria-ia memujuknya agar bersabar dengan kerenah Nazri.
Tapi kalau tuan punya badan sendiri dah beri kata putus,
untuk apa dirinya terhegeh-hegeh lagi?
“Assalamualaikum Dina...”
Tegak badan Dina apabila suara Puan Rohani
menerjah telinga. Terketar-ketar bibirnya untuk menjawab
salam.
“Dina...” Puan Rohani memanggil dengan suara
lirih.
“Waalaikumussalam mak cik,” ucap Dina perlahan.
“Dina, mak cik tak boleh terima Fida. Mak cik
malu dengan keluarga Dina. Malu dengan orang kampung.
Mak cik tak sangka senang sangat Nazri cari pengganti.”
Tersekat-sekat suara Puan Rohani. Seperti orang menahan
sebak.
“Dah jodoh diaorang mak cik,” ujar Dina tenang.
“Tapi mak cik lebih berkenan dengan Dina.”
“Saya dah tak berkenan dengan anak mak cik.” Dina
tekup mulut. Tak ada niat nak menyinggung hati Puan Rohani.
Dia terlepas cakap sebenarnya. “Mak cik restuilah hubungan
diaorang. Tak dapat bermenantukan saya, dapat kakak
pun okeylah tu.” Dina cuba berlawak. Namun, tiada reaksi
daripada Puan Rohani. Jauh di sudut hati, risau juga kalau
Puan Rohani betul-betul tak mahu Fida jadi menantunya.
Banyak masalah akan timbul. Makin rengganglah hubungan
Fida dan Dina nanti.
“Mak cik sayang Dina tak?” Tiba-tiba terpacul soalan
itu.
“Sayang. Mak cik dah anggap Dina macam anak
sendiri,” jawab Puan Rohani lirih.
“Kalau sayang tolonglah terima Kak Fida. Saya dah
ada orang lain.” Terkemam bibir Dina. Hanya ini sahaja alasan
yang terlintas di kepalanya untuk melepaskan diri.
“Mak cik tak percaya,” bidas Puan Rohani.
“Terpulanglah. Tapi, Nazri dah jumpa orangnya.”
Dina menepuk-nepuk dahi sendiri. Betullah kata
Izan. Segalanya baru bermula. Tak pasal-pasal lelaki itu
terlibat lagi dalam konflik mereka. Dia berdeham kuat bila
tiada kedengaran suara dari Puan Rohani.
“Saya kena letak telefon dulu mak cik. Izan dah
lama tunggu tu. Takut dia terasa hati pula nanti. Tolong
ya mak cik. Terimalah Fida. Insya-Allah. Nazri akan lebih
bahagia dengan dia nanti. Assalamualaikum.” Dina tamatkan
panggilan. Lebih senang berbohong dari berkata benar. Dia
berjalan ke tingkap. Matanya menyorot pintu pagar yang
bertutup rapat. Seperti ternampak-nampak bayangan Izan di
situ. Dina pejam mata. Mindanya cuba merangka ayat yang
sesuai untuk bersemuka dengan Izan esok.
Telefon bimbit Dina berbunyi lagi tidak lama
kemudian. Laju dia menyapu air mata. Entah kenapa
ketika ini memang dia sangat mengharapkan pemanggil itu
menghubunginya.
“Abang Izan...” Dina tak mampu menahan sebak.
Hampir sesak nafasnya menahan esak tangis sendiri.
“Kenapa ni?” tanya Izan tenang.
“Nazri call tadi. Dia... dia...” Dina tak mampu
menyusun ayat. Sendat rasa dada menahan hiba.
“Kau bersiap sekarang. Kita keluar kejap,” arah Izan.
“Tapi...”
“Sekarang!” tegas Izan berkata-kata.
Dina bergegas ke almari pakaian. Buat masa ini
hanya Izan yang faham situasinya. Andai terpaksa merayu,
Dina akan merayu lelaki itu untuk terus berlakon sehingga
Nazri dan Fida selamat diijabkabulkan.

“KAU MASIH sayangkan dia ke?”
Dina menggeleng laju.
“Kalau dah tak sayang kenapa kau menangis?”
Dina tak berani angkat muka. Dia tak ada jawapan
untuk soalan itu.
“Saya kesiankan ibu dia. Dia berharap sangat saya
jadi menantu. Tapi Nazri...”
“Aku tak nak dengar. Kalau akulah, kan. Dah tak
suka, semua perkara yang ada kena-mengena dengan orang
tu pun aku dah tak nak ambil tahu. Tak ada maknalah nak
kesian-kesian ni.” Selamba Izan memberi pendapat.
Dina masih diam. Agak tersinggung dengan
kata-kata itu.
“Kesian tu sebab saya masih ada rasa
perikemanusiaan.”
Izan hanya membalas dengan juihan.
“Kalau Abang Izan ajak saya keluar ni semata-mata
nak perli-perli saya baik hantar saya balik!” Tiba-tiba Dina
naik angin.
Izan tenung Dina yang sudah berdiri bercekak
pinggang. Mujurlah kedudukan mereka agak jauh dari meja
pelanggan-pelanggan lain. Petang-petang begini memang tak
ramai orang yang ke Restoran Kampung Pasir Putih. Lebihlebih
lagi pada hari bekerja.
“Marah? Kalau marah betullah tu masih ada hati
dengan bakal abang ipar.” Izan senyum sinis.
“Abang Izan nak bukti macam mana lagi yang saya
memang dah tak hingin dengan mangkuk ayun tu?” Dina
separuh menjerit. Stres dengan perangai lelaki itu.
“Duduklah! Orang tengok tu.” Muka Izan kembali
serius.
Dina kembali duduk dengan nafas masih terhela
kasar. Geramnya pada Nazri masih belum reda. Kini Izan
seakan sengaja menaikkan darahnya lagi.
“Betullah arwah mak aku cakap, orang perempuan
ni makin lawa bila tengah marah.” Izan kenyit mata dan ukir
senyum lebar.
Dina tergamam. Terperanjat sampai tak terangkat
tangannya untuk menghalang Izan dari mengambil
telefonnya di atas meja.
“Abang Izan buat apa ni?”
Izan tak menjawab. Dia buka bateri telefon bimbit
Dina dan keluarkan SIM card. Dengan senyum sinis
ditayang-tayangkan SIM card itu kepada Dina.
“Sayang Nazri lagi tak?”
“Tak,” jawab Dina perlahan.
“Apa dia? Tak dengarlah. Sayang?”
“Tak! Pekak ke? Tak! Tak! Tak! Tak!!!”
Plup!
Dina tergamam.
Selepas mencampakkan kad SIM ke dalam laut, Izan
pulangkan semula telefon bimbit Dina dan terus bangun.
Selepas berurusan di kaunter bayaran, dia menggamit Dina
yang masih mematung di meja.
“Kenapa Abang Izan buang SIM card saya? Banyak
nombor telefon kawan-kawan kat dalam tu.” Sambil
merungut, Dina cuba menyaingi Izan ke kereta. Dia masih
enggan masuk ke dalam kereta walaupun lelaki itu telah
bukakan pintu untuknya. Dengan wajah cemberut, Dina
berpeluk tubuh.
“Orang yang tengah frust ni memang tak bercakap
guna otak agaknya.”
Dina pantas menepis tangan Izan bila lelaki itu mahu
menunjal kepalanya.
“Dah pandai menepis nampaknya. Bagus! Satu
perkembangan yang sangat memberangsangkan.” Izan
senyum sinis. Comel pula melihat Dina dalam keadaan begitu.
“Saya nak SIM card saya balik,” ujar Dina tegas.
Izan tergeleng-geleng. Dina belum faham-faham lagi
rupanya.
“Cik Dina sayang. Kalau kau masih simpan SIM card
tu senanglah Nazri cari kau lagi. Takkan itu pun tak boleh
fikir? Aduh, pening kepala aku dengan kau nilah.”
Hilang muka masam Dina bila mendengar penjelasan
Izan.
“Oh, macam tu rupanya. Cakaplah awal-awal. Ini
main lempar aje SIM card tu. Manalah saya tahu.” Dina hanya
tersenyum kambing bila terdengar dengusan kasar Izan.
Cepat-cepat dia masuk ke dalam kereta. Takut kena bebel lagi
dengan lelaki itu.
“Nanti kita pergi beli SIM card yang baru. Jangan
kau gatal-gatal pula pergi bagi nombor baru kat jantan tu.
Faham?”
“Faham bos!” Dina tunjuk tabik hormat. Sengaja
mahu mengambil hati Izan.
Sekali lagi kepala Izan tergeleng. Hati makin tercuit
dengan perangai Dina. Tapi dia tidak mahu melayan. Takut
hilang fokus. Tugas pertamanya sudah selesai. Kalau ikutkan
badan yang penat memang tak kuasa dia melayan sendu
Dina. Namun, panggilan daripada Pak Rahim ketika dia tiba
di rumah selepas menghantar gadis itu pulang tengah hari
tadi buat dirinya rasa tak sedap hati. Pasti ada yang tidak kena
apabila Dina langsung tak memaklumkan pada keluarganya
yang mereka sudah selamat tiba. Tapi, bila dia menghubungi
gadis itu tadi, cepat pula Dina menjawab.
“Kenapa Abang Izan tolong saya?” tanya Dina sebaik
sahaja kereta bergerak.
“Sebab abah kau call aku tadi. Dia yang minta aku
tengok-tengokkan kau.” Izan berterus-terang. Dia tak mahu
Dina fikir yang bukan-bukan.
“Kalau bukan abah saya yang call tadi, Abang Izan
nak tolong tak?”
“Tolong juga. Tapi aku tolong sebab aku tak nak kau
layan perasaan sampai kena ponteng kerja esok.”
Dina mengangguk faham.
‘Aku tolong kau sebab aku dah mula sayang kat kau.
Tapi aku tak boleh luahkan. Sebab masih ada janji yang perlu
aku tunaikan.’

Lakaran Hati - Bab 8

“TAK boleh ke balik lambat sikit? Kak Fida
seganlah nak pergi sana sorang-sorang.”
“Nak segan apa pulak? Bakal mak mentua, kan?”
Dina mengerling Izan. Mengharapkan pertolongan dari lelaki
itu.
“Izan, balik petang sikitlah. Tak manislah kalau Kak
Fida pergi jumpa bakal mak mentua sorang-sorang.” Fida
cuba memujuk Izan pula.
Dina jegil mata. Kalau lelaki itu akur dengan
kehendak Fida memang cari pasallah jawabnya. Dia menoleh
pada Cikgu Faridah dan Pak Rahim. Mak dan abahnya hanya
berpandangan sesama sendiri.
“Kalau nak nampak lebih manis, tak payah pergi
langsung,” ujar Izan selamba.
“Ha! Yang tu pak cik setuju. Kamu tu perempuan.
Kalau betul dia nak kahwin dengan kamu, dia yang kena
pujuk mak dia untuk masuk meminang. Masa tu baru boleh
tengok anak abah yang cantik ni.”
Fida menggaru kepala. Kembang hidungnya
mendengar pujian itu. Namun, hatinya masih meronta ingin
ke rumah Nazri. Kalau merengek lebih-lebih nanti takut pula
abah naik angin.
“Kalau macam tu rasa-rasanya lebih baik mak telefon
ibu dia. Terus terang aje yang mak nak diaorang terus masuk
meminang.”
“Okey,” jawab Cikgu Faridah. Ditariknya Fida ke
dalam.
Sementara maknya menyelesaikan permintaan
Fida, Dina sudah bersiap-siap untuk pulang. Lebih cepat dia
beredar lebih bagus. Bimbang kalau terlepas cakap tentang
perkara-perkara yang berkaitan dengan Nazri nanti.
“Kami kena gerak sekarang pak cik. Maaflah tak
dapat tunggu lama.” Izan bersalam dengan Pak Rahim.
Sempat mereka berpelukan seketika.
“Tolong tengok-tengokkan Dina. Pak cik tahu hati
dia masih belum sembuh,” bisik Pak Rahim di telinga Izan.
Dia sudah tahu kedatangan Izan hanyalah untuk mengaburi
mata Nazri. Semuanya sudah diceritakan oleh lelaki itu
malam tadi.
“Insya-Allah pak cik. Insya-Allah...” ucap Izan
bersungguh-sungguh.
“Apa yang insya-Allah?” Dina bertanya. Namun, Izan
tidak mengendahkannya. Sebaliknya lelaki itu mengambil
beg pakaiannya dan terus berjalan ke kereta.
“Abang Izan, apa yang insya-Allah tadi?” Dina masih
tak puas hati. Dia nampak abah berbisik di telinga Izan.
“Abah kau jemput aku datang lagi kat sini lain kali.
Aku jawablah insya-Allah. Tak betul ke?”
Dina terpempan. Tak pasal-pasal malu sendiri. Terus
dia masuk ke dalam rumah mencari maknya dan Fida. Dilihat
maknya masih lagi berbual di telefon. Dia menggeleng
perlahan apabila maknya itu bagi isyarat menunggu. Tak
sanggup mendengar perbualan antara maknya itu dan ibu
Nazri.
“Nanti Dina call mak ya. Tak boleh tunggu lama
ni. Izan ada hal lain lagi.” Sekali lagi Dina berbohong. Tak
kisahlah. Asalkan dia dapat lari daripada semua ini secepat
mungkin. Tangan Cikgu Faridah dikucup laju. Sebaik
mungkin dia pamerkan wajah manisnya. Dina tidak mahu
maknya itu melihat wajah sedihnya lagi. Memang dia sudah
lama melupakan Nazri. Tapi apa yang sedang berlaku sekarang
benar-benar buat dia panas punggung.
“Kau jangan tak balik pula masa majlis Kak Fida tau.
Akak bom pejabat Izan tu nanti.” Fida menggenggam erat
tangan Dina.
Dina kucup tangan kakaknya itu dan dipautnya
tubuh langsing itu sekejap. Sekali lagi matanya bertentang
dengan Cikgu Faridah yang sedang berbual dengan ibu Nazri
di telefon. Dina senyum dan mengangguk tanda dia masih
okey.
Cikgu Faridah hanya membalas dengan senyum
kelat.
“Jaga diri tau. Jangan nakal-nakal.” Usik Dina.
“Eleh! Pandai cakap orang. Kau tu pun sama. Nak
jalan jauh ni. Izan tu bukannya boleh percaya sangat.”
Fida juga tidak mahu kalah. Ada juga sekelumit
rasa iri kepada Dina. Teman lelakinya nampak lebih bergaya
dengan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu.
Sedangkan Nazri hanya ada Datsun Sunny 120Y. Apa boleh
buat, hati dah sayang, kan? Maka terpaksalah terima keadaan
Nazri seadanya.
“Dah sampai nanti jangan lupa telefon,” pesan Pak
Rahim. Ditutupkan pintu kereta untuk Dina.
Laju Dina menurunkan tingkap kereta.
“Abah, janji dengan Dina jangan cerita apa-apa kat
Kak Fida ya?”
“Insya-Allah. Kalau kamu tak balik masa majlis dia
nanti, mungkin abah akan buka mulut,” usik Pak Rahim
mengugut.
“Janganlah macam tu...” Meleret suara Dina,
pura-pura merajuk.
“Abah lebih rela hilang beribu menantu daripada
hilang seorang anak yang paling abah sayang.”
Panjang tangan Dina menjangkau tubuh Pak Rahim
melalui cermin tingkap yang terbuka. Berat hatinya untuk
berpisah. Sekejap sangat masa yang dia ada untuk bermanja
dengan abah. Namun berat lagi hatinya untuk menunggu
lebih lama. Dina tidak bimbang dengan perasaannya. Dia
lebih bimbangkan perasaan dan hati emak dan abahnya yang
terpaksa berpura-pura gembira menerima Nazri sebagai bakal
ahli keluarga mereka nanti. “Dina sayang abah tau.”
“Abah pun sayang Dina.” Pak Rahim senyum.
Dipegang pipi anaknya itu. “Izan, hati-hati memandu. Ingat
pesan pak cik tadi ya.”
“Insya-Allah pak cik. Kami gerak dulu ya.
Assalamualaikum.”
Kenderaan terus bergerak sebaik sahaja abah
menjawab salam. Pandangan Dina tak lepas-lepas memandang
abah melalui cermin pandang belakang walaupun kenderaan
Izan semakin jauh meninggalkan pekarangan rumah.
“Selesai satu perkara,” keluh Dina sambil menekan
punat di tepi pintu. Cermin tingkap naik perlahan-lahan.
“Selesai ke? Macam baru nak mula aje.” Izan senyum
sinis tanpa memandang Dina.
Dina pandang Izan.
“Kenapa pulak?”
“Entah. Saja aje cakap macam tu. Aku rasa masalah
kau baru bermula. Belum selesai pun lagi.”
Berkerut kening Dina. Tapi melihat wajah bersahaja
Izan, tak kuasa dia menyoal lagi. Lantas dia berpeluk tubuh
dan terus membuang pandang ke luar tingkap.
Izan mengerling Dina yang sudah senyap. Diraupnya
wajah berkali-kali. Nafas ditahan lama untuk meredakan
perasaan sendiri.
“Pak cik tahu hati dia masih belum sembuh.”
Terpejam sekejap mata Izan tatkala suara Pak Rahim
terngiang-ngiang di telinga. Perlahan helaan nafasnya
tatkala melihat Dina menyeka pipi. Dia tahu gadis itu sedang
menangis.
‘Saya mahu jadi penyembuh hatinya pak cik. Tapi
saya sendiri perlu masa. Kerana ada tanggungjawab lain yang
lebih penting perlu saya bereskan.’
Menjelang tengah hari, kereta Izan berhenti di depan
rumah Dina.
“Abang Izan, saya masuk lepas lunch boleh tak?”
“Tak payah masuk teruslah.”
“Ala, esok saya buat overtime. Saya cover balik yang
hari ni punya.”
“Kau ingat office tu kilang ke? Aku cakap tak payah
datang. Rehat puas-puas kat rumah.” Tanpa mengendahkan
muncung panjang Dina, Izan keluar dari kenderaan pacuan
empat roda dan terus buka pintu belakang. Dikeluarkan beg
pakaian Dina dan letak di depan pintu rumah.
Dina masih tercegat di tepi pintu pagar. Masih
teragak-agak nak bercakap lagi dengan Izan. Dia ikut lelaki
itu sehingga Izan masuk semula ke kereta.
“Gaji saya kena tolak tak hari ni?”
Tak jadi Izan hidupkan enjin kereta. Terkemam
bibirnya melihat Dina yang meletakkan tangan di tingkap
kereta yang terbuka.
“Bukan kau sorang aje yang dapat cuti. Yati dengan
Husna pun aku cutikan. Datang esok aje.” Izan tekan punat
automatik. Cermin tingkap naik dengan sendiri dan memaksa
gadis itu mengalihkan tangannya di tingkap.
“Abang Izan. Tunggulah sekejap. Ada lagi nak tanya
ni.” Dina mengetuk cermin tingkap bertalu-talu. Dia masih
ada lagi soalan yang ingin ditanya.
Izan mendengus kasar. Pantas pintu dibuka dengan
kasar. Dia keluar dari kereta dan bercekak pinggang di depan
Dina.
“Kau nak ikut aku balik ke?” Tinggi suaranya
menyoal.
“Tak nak. Tapi nak tanya, macam mana Abang Izan
tahu saya nak balik kampung semalam?”
Mengendur muka berang Izan. Nampak macam
teragak-agak juga dia nak menjawab.
“Aku dengar kau berbual dengan kakak kau sebelum
senamrobik.”
“Oh! Abang Izan skodeng saya eh?”
“Banyaklah kau punya skodeng! Kalau bercakap
guna loudspeaker di subuh hari, monyet dalam hutan tu
pun boleh dengar.” Spontan dahi Dina ditunjal. Kemudian
dia terus masuk semula ke dalam kereta. Baik dia bergerak
sekarang sebelum keluar lagi soalan-soalan pelik dari mulut
gadis itu.
“Abang Izan,” panggil Dina lagi.
Izan cuma memandang Dina. Wajahnya garang
bagikan harimau yang sedia menerkam mangsa pada bila-bila
masa.
“Terima kasih.” Ucap Dina. Terukir senyum nipisnya
sebelum menutupkan pintu untuk Izan.
Izan terus masuk gear satu dan memecut pergi.
Stereng digenggam sekuat hati untuk meredakan detakan
jantung yang berubah rancak.
‘Jangan jatuh cinta dengan dia Izan. Takut kau pula
yang akan kecewakan dia nanti.’ Izan mengingatkan diri
sendiri. Dia mengerling cermin pandang belakang. Dina
masih tercegat di pintu pagar. Makin kuat ditekannya pedal
minyak, cuba menjauhi bayangan Dina secepat mungkin.
Hari ini mungkin dia berjaya. Tapi bagaimana dengan esok?
Atau mungkin dia perlu menghindari gadis itu selepas ini?

Lakaran Hati - Bab 7

“DINA, biarlah dulu kerusi-kerusi tu. Kejap
lagi kita kemas sama-sama dewan ni. Marilah bergambar dulu
dengan peserta-peserta.” Husna memanggil.
“Tak apa. Kau layanlah diaorang dulu. Kejap lagi aku
datang.” Dina menolak pelawaan Husna.
Semasa orang lain sibuk bergambar kenangan
dengan para peserta, Dina menyibukkan diri mengemas
dewan. Cepat berkemas, cepat dia boleh balik. Beg pakaian
sudah dimasukkan siap-siap ke dalam kereta Izan.
“Amboi! Cepatnya buat laporan. Macam tak boleh
tunggu esok,” usik Yati bila melihat Dina tekun menaip
laporan aktiviti yang berlangsung selama dua hari itu. Mereka
masih menunggu bas para peserta berlepas pulang.
“Sementara tengah rajin ni baik aku buat. Kau
macam tak kenal bos kita tu. Nanti mesti dia mengacau
aku kat office. Bila masanya nak siap laporan ni kalau asyik
keluar aje dengan dia?” Sambil mengomel tangan Dina laju
menekan papan kekunci komputer ribanya.
“Esok ajelah kita buat post-mortem. Aku ada hal
sikit,” kata Izan.
Terhenti Dina menaip. Hatinya bersorak riang.
Cerahlah peluangnya untuk pecut pulang ke kampung
sekejap hari ini.
“Kita pergi makan dulu nak?” Husna mempelawa.
Memang mereka semua belum makan tengah
hari. Tapi di saat itu Dina berharap sangat-sangat agar Izan
menolak pelawaan Husna. Cepat Izan hantar dia pulang ke
rumah sewa, lebih awal dia akan tiba di kampung nanti.
“Kau pergi dengan Yati ajelah. Aku dah lambat ni.
Nanti serahkan kunci chalet pada Azmi.” Izan meletakkan
kunci biliknya di atas meja. Dia pandang Dina sekejap
sebelum menyeluk kunci kereta di dalam poket seluar.
“Pergi panaskan enjin kejap. Aku nak pergi buang
air,” arahnya sebelum membaling kunci kenderaan pacuan
empat rodanya kepada Dina.
“Dina. Kau jadi ke balik kampung?” tanya Yati.
“Insya-Allah jadi. Eh, siapa cakap dengan kau, aku
nak balik kampung?” Seingat Dina, dia tak beritahu sesiapa
pun tentang programnya selepas ini.
“Abang Izan cakap tadi. Sebab itulah dia tunda
post-mortem kita.” Yati menyambung lagi.
Sekali lagi Dina tergamam. Dari mana pula Izan
tahu? Dina yang ingin bertanya lagi terbantut bila ternampak
kelibat Izan dari jauh, kelam-kabut dia bersalam dengan
Husna dan Yati.
“Bawa kereta elok-elok Dina. Jalan licin lepas hujan
ni,” pesan Husna.
“Bawa baliklah apa-apa yang patut dari kampung,”
teriak Yati pula.
Dina mengangkat tangan tanda faham sambil
berkejar ke tempat letak kereta. Dia perlu ambil hati Izan.
Kalau boleh dia nak ambil cuti kecemasan esok. Alang-alang
dah balik kampung. Macam tak seronok pula kalau tak
bermalam di rumah mak nanti.
“Mana Abang Izan tahu saya nak balik kampung hari
ini?” Dina terus menyoal sebaik sahaja Izan menutup pintu
kenderaan pacuan empat roda. Belum sempat dia mendengar
balasan lelaki itu, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Terus
dia tersenyum lebar.
“Dina, kamu jadi balik tak?” tanya Pak Rahim.
“Insya-Allah jadi. Suruh mak masak sedap-sedap
tau.” Dina bersuara riang. Hilang penat membayangkan
lauk-pauk yang enak bakal tersaji di depan mata.
“Dina, kamu tahu kan Kak Fida pun ada nanti?”
“Tahu. Dia kata nak kenalkan Dina dengan seseorang.
Bakal abang iparlah tu, kan?”
Tak ada balasan dari abah. Dina mula tak sedap
hati. Tak pernah pula abahnya jadi macam ni. Kenapa tak
kedengaran langsung suara ceria abah kali ini? Adakah
sesuatu yang buruk telah berlaku pada Fida?
“Dina. Kami dah tengok gambar bakal suami Fida.
Kalau tak ada apa-apa hal, malam ni dia akan datang ke
rumah. Tapi...”
“Tapi apa abah?” Dina tak sedap hati. Dia pandang
Izan sebentar kemudian melihat jam di tangan. Rasa macam
lambat sangat dia nak memulakan perjalanan pulang ke
kampung.
“Kalau kamu tak dapat balik pun tak apa Dina...” ujar
Pak Rahim perlahan.
“Eh, kenapa pula ni?” Suara Dina ternaik satu oktaf.
Pak Rahim diam lagi.
Berkali-kali Dina memanggil tapi masih tiada
sahutan dari abahnya. Sudahnya talian termati sendiri.
“Kenapa diaorang ni?” Dina mengomel sendiri. Mata
merenung jalan raya tapi fikirannya jauh memikirkan keadaan
abah dan maknya di rumah. Apa yang terjadi sebenarnya?
“Ada masalah ke?” tanya Izan, namun pertanyaannya
langsung tidak diendahkan gadis itu.
Seketika kemudian Dina mendail nombor Fida.
Rasa-rasanya mungkin Fida mampu merungkai semua
persoalan yang memenuhi benaknya.
“Kak Fida, jadi ke akak bawa bakal abang ipar Dina
malam ni?” Dina cuba memancing Fida. Tak boleh terus pada
tujuan utama. Takut Fida syak yang bukan-bukan pula nanti.
“Kalau kau balik, insya-Allah dapatlah kau berkenalan
dengan bakal abang ipar kau tu.” Fida menjawab laju.
Dari nada suara Fida itu Dina tahu yang kakaknya
sedang bahagia.
“Okey, Dina akan balik. Tapi dengan satu syarat. Dina
nak tengok dulu gambar lelaki malang tu.” Dina mengekek
ketawa. Harap-harap usikannya menjadi.
“Weh! Cakap ada baik sikit tau. Kau tu yang malang
sebab tak kenal dia. Tunggu kejap. Nanti Kak Fida WhatsApp
gambar dia. Balik tau.” Fida mengingatkan sekali lagi.
“Tak tunjuk gambar, Dina tak nak balik. Bye.”
Meleret suara Dina menamatkan perbualan.
Tak lama selepas itu isyarat mesej masuk di
WhatsApp berbunyi. Tepat mata Dina melihat skrin. Di saat
gambar yang dikirim oleh Fida semakin jelas, ketika itulah
Dina rasa jantungnya bagai direnggut keluar.
“Ya Allah! Kebetulan apakah ini?” Barulah Dina
faham kenapa suara abahnya kedengaran pelik tadi. Spontan
dia mengetuk-ngetuk dahinya dengan telefon bimbit yang
masih terpegang di tangan.
“Kau okey tak ni?” soal Izan. Dari tadi soalannya
tidak berjawab.
Dina menoleh. Tiada jawapan yang keluar dari
mulutnya. Matanya juga tidak berkelip merenung Izan.
Semakin lama matanya yang merah semakin penuh dengan
takungan air mata.
Izan jongket kening. Hairan melihat Dina.
“Kenapa?”
“Temankan saya balik kampung. Boleh tak Abang
Izan?” Bergetar suara Dina. Pipinya sudah basah dengan air
mata. Kalau Izan tak mahu, dia takkan balik. Dia tak kuat
untuk berhadapan dengan Fida sorang-sorang.
“Okey.” Tanpa banyak soal Izan terus bersetuju. Pasti
ada sebab mengapa tiba-tiba gadis itu berubah murung dan
memerlukan pertolongannya.
Dina tersandar lemah tatkala mendengar jawapan
Izan. Sudah sampai masanya dia berhadapan dengan Nazri.
‘Maaf Abang Izan. Tak pasal-pasal kau terheret sekali
dalam konflik ini.’

“AMBOI! DINA lagi laju daripada Fidalah mak. Ingatkan
dia balik sorang-sorang. Rupa-rupanya ada bodyguard ikut
sekali.”
Dina tersenyum kelat mendengar usikan Fida.
Dibiarkan sahaja Izan berbual-bual dengan abah di luar. Ada
hal lain yang lebih penting perlu dia selesaikan sekarang.
“Jangan fikir yang bukan-bukan tau. Itu bos Dina.
Kebetulan kereta Dina rosak pagi tadi. Tumpang kereta dia
masa buat kerja kat Tiram Indah. Kalau Kak Fida tak gesa Dina
balik, dia tak ada kat sini.” Lancar mulut Dina berbohong.
“Alololo... janganlah marah. Tak kisahlah dia tu bos
atau cik abang sayang. Yang penting kau dah ada kat sini. Eh,
cepatlah mandi. Bakal abang ipar kau dah nak sampai.” Fida
menepuk-nepuk pipi Dina. Bukan main ceria lagi wajahnya
nak memperkenalkan bakal suaminya pada semua orang.
Cikgu Faridah menarik Dina masuk ke bilik sejurus
saja Fida meninggalkan mereka berdua di dapur.
Dina terus memeluk tubuh maknya erat. Air mata
yang puas ditahan sepanjang perjalanan tadi mencurah-curah
turun membasahi pipi. Begitu lama dia membawa diri untuk
mengubat hatinya yang berkecai, kini Nazri muncul lagi.
“Macam mana boleh jadi macam ni mak? Nazri tu
memang sengaja nak huru-harakan hidup Dina, kan?” Dina
bersuara lirih.
Apa salah Dina? Bukan dia yang meleraikan ikatan
percintaan yang dipupuk bersama Nazri dulu. Lelaki itu
sendiri yang berubah pendirian. Hanya kerana tidak sanggup
menunggu Dina menghabiskan pengajian, Nazri pergi begitu
saja. Alasannya sangat mudah. Tidak percaya dengan kesetiaan
Dina bila berjauhan nanti. Sekarang siapa yang tidak setia?
Begitu mudah Nazri mencari pengganti sedangkan Dina
masih berusaha menampal hatinya yang masih berkecai.
“Mak rasa Kak Fida tak tahu hal kamu dengan Nazri
dulu. Dia kan jarang balik ke sini. Kamu pernah cerita pasal
Nazri tak pada Kak Fida?” tanya Cikgu Faridah.
“Tak pernah. Mak pun tahu Dina tak berapa rapat
dengan Kak Fida. Kalau dah jadi macam ni, mesti hubungan
kami akan bertambah renggang.” Dina teresak-esak.
Kemesraan mereka berdua baru saja bermula. Itu pun sejak
beberapa bulan kebelakangan ini. Dina tak mahu hubungan
adik-beradik yang baru saja mengharum ini berantakan
kembali hanya kerana gara-gara seorang lelaki.
“Mak, jangan beritahu Kak Fida pasal ni. Tolong mak.
Kak Fida baru nak rapat dengan Dina. Dina tak ada kakak
lain. Dina cuma ada Kak Fida aje mak...” Pelukan terlerai.
Dina memegang kedua-dua tangan mak sambil merayu. Apa
jadi sekalipun dia tak mahu Fida tahu Nazri pernah bertakhta
di hatinya sebelum ini.
“Yalah. Mak janji. Tapi sampai bila? Lambat-laun
rahsia ni akan terbongkar juga. Nazri tu kan satu kampung
dengan kita. Anak kawan baik mak pula tu. Mustahillah orang
kampung tak berbunyi nanti.” Cikgu Faridah menyuarakan
kebimbangannya.
Makin laju air mata yang membasahi pipi Dina. Dia
tiada jawapan buat masa ini. Segala-galanya berlaku secara
mengejut. Kenapalah perlu wujud manusia bernama Nazri
ini?
“Dina! Dah siap ke belum?” Pintu bilik diketuk
berkali-kali.
Kelam-kabut Dina mengeringkan pipi. Tuala yang
tergantung di belakang pintu diambil dan terus masuk ke
bilik mandi.
“Mak keluar dulu ya. Dah siap nanti Dina keluar.”
“Dina...”
Tak jadi Dina menutup pintu bilik mandi. Pandangan
sayu mak, Dina balas dengan senyuman.
“Jangan risau mak. Tahulah Dina nak buat macam
mana nanti.” Dina menabur janji. Entah apa yang akan
dilakukan, dia sendiri pun belum pasti.

“BERCINTA KAT KL. Alih-alih dapat orang sini juga?” Agak
sinis pertanyaan Dina.
“Kak Fida pun tak tahu yang dia orang kampung ni.
Selama ni Kak Fida ingatkan Nazri tu orang KL.”
“Habis tu, macam mana boleh kantoi?” soal Dina
lagi. Konon-konon nak tahu lebih lanjut mengenai latar
belakang bakal abang ipar. Walhal mengorek rahsia sejarah
perkenalan Nazri dan Fida.
“Errr... selama ni dia tak tahu pun yang Kak Fida ni
cuma anak angkat. Tapi bila dia kata nak masuk meminang,
Ayah Man suruh kenalkan dengan keluarga kandung.”
“Oh, maknanya kalau Ayah Man tak suruh, memang
sampai sudahlah kami tak tahu pasal dia. Hmmm... lupa ke?
Wali Kak Fida yang sah Ayah Man ke, abah?”
Fida senyum sumbing. Panas juga telinga disindir
Dina. Bukan mahu berahsia. Tapi dia lebih selesa dengan
keluarga angkat daripada keluarga sendiri.
“So, macam mana reaksi dia?” Dina menyambung
perbualan.
“Terperanjat juga mula-mula tu. Tapi dia tak marah.
Cuma dia ada cakap...”
“Cakap apa?” Laju Dina memintas. Jantungnya mula
berdegup laju. Janganlah Nazri buka semula kisah lama
mereka. Haru dia mahu beri penjelasan pada Fida nanti.
“Dia cakap dia kenal mak dan abah. Mak tu bekas
cikgu sekolah dia.”
“Oh...” Dina hembus nafas lega. Tak berani nak
bertanya lanjut. Bimbang Fida mengesyaki sesuatu pula
nanti.
Fida tinggalkan Dina di dapur. Sudah beberapa kali
dia masuk ke bilik untuk menatap wajah sendiri. Pantang
berpeluh sedikit, berlarilah Fida ke dalam bilik untuk
membetulkan mekap.
“Nazri dah sampai,” ujar Izan.
Dina menoleh. Tak perasan pula sudah berapa lama
Izan berada di situ. Dia hanya mengangguk. Dipandangnya
potongan kek pisang yang tersusun cantik di dalam pinggan.
Nafas ditarik dalam-dalam untuk meredakan hati yang sedang
kacau.
“Jadi semua ni ada kaitan dengan Nazri ke?” tanya
Izan perlahan.
“Cerita lama Abang Izan. Saya dah tak suka pun kat
dia.” Dina belum sempat bercerita apa-apa kepada Izan. Tentu
sebagai seorang lelaki, Izan sudah boleh mengagak.
“Kalau dah tak suka, buat apa menyorok kat dapur
ni?”
“Bila masa pula saya menyorok? Tak eloklah kalau
saya duduk kat depan.”
“Eleh! Dia bukannya masuk meminang kau. Tak
salah kut kalau duduk sekali kat situ. Berkenal-kenalan
dengan bakal abang ipar.” Izan sengaja menekan suara pada
sebutan abang ipar.
Dina menjeling. Ikutkan hati mahu saja
diramas-ramas mulut lelaki itu. Bercakap tak fikir perasaan
orang lain. Menyampah!
Izan ketawa perlahan. Tahu Dina panas hati dengan
sindirannya. Disenggolnya lengan Dina supaya beralih sedikit
dari singki. Ingin mencuci tangan. Lambat-lambat saja dia
menyabun lengannya yang berbulu lebat. Saja nak tengok
reaksi Dina yang masih marah.
“Bersihnya muka. Bila ‘menebas’?” Baru Dina
perasan yang wajah lelaki itu bersih daripada misai dan
jambang. Nampaknya dia dah buat persiapan untuk watak
teman lelaki tanpa upahan.
“Kau ni memang banyak berfikir, kan? Misai dan
jambang ni dah tak ada dari siang tadi tau. Malam ni baru
kau nak tanya?” Spontan hujung telunjuk Izan menunjal dahi
Dina.
Sumpah! Memang Dina tak perasan. Agaknya
betullah kata Izan yang dia memang terlampau banyak
berfikir.
“Abang Izan. Kita balik malam ni ya.” Suara Dina
kembali lemah. Memang dia berharap sangat agar dapat
pulang semula ke Johor dengan segera. Tak sanggup matanya
melihat kemesraan Fida dan Nazri. Dan yang paling dia takut
kalau-kalau mulutnya terlepas cakap nanti.
“Abah kau dah pelawa tidur sini. Lagipun tak elok
bawa anak dara orang jalan jauh malam-malam buta ni.
Kiri kanan hutan. Sejuk pula tu.” Izan menceceh sambil
menyabun tangan. Sampai ke siku buih sabun disapunya.
“Ala... balik malam inilah. Saya boleh drive kalau
Abang Izan mengantuk nanti. Lagipun esok kita kerja, kan?”
Dina cuba memujuk.
“Siapa bos sekarang ni?” tanya Izan. Tajam kerlingan
matanya pada Dina.
“Abang Izanlah...” Dina menjawab. Antara dengar
dengan tidak sahaja suaranya.
“Yang kau tumpang tu kereta siapa?”
“Abang Izan.”
“Aku ni kalau dah tidur memang tak ingat apa-apa
dah. Kau sanggup ke tahan kalau kaki dan tangan aku
terlanding atas paha masa kau tengah drive nanti?”
Buntang mata Dina. Hanya dengusan kasar yang
mampu dihelanya.
“Kalau dah menumpang tu buat cara menumpang.
Balik esok! Ambil pinggan tu cepat. Aku temankan kau keluar
jumpa bakal abang ipar.” Izan keringkan tangan dengan kain
lap yang tersangkut di tepi singki.
Ketika Dina dan Izan beriringan keluar, Fida pun
turut keluar dari bilik. Lebar senyumnya melihat mereka
berdua.
“Izan. Apa kata kalau kau pun hantar rombongan
meminang lepas ni? Boleh kami naik pelamin sama-sama
nanti. Nak tak Dina?”
Izan ketawa kuat. Dina kemam bibir. Lebih-lebih
pula kakaknya ini.
“Kalau saya nak, tak payah tunang-tunang dah.
Nikah aje terus. Betul tak sayang?”
“Hah? Tunang?”
Melihatkan pinggan yang berada di tangan Dina
nyaris terlepas, pantas Izan menahannya. Diambilnya
pinggan itu dan berjalan keluar bersama Fida meninggalkan
Dina yang masih terpempan di dapur.
Dina pegang dada sendiri. Kenapa ada rasa yang agak
aneh bila Izan panggil sayang tadi?

NAZRI MEMANDANG semua orang yang sedang leka
menikmati makan malam. Matanya terhenti pada Dina.
Sudah agak lama dia tidak melihat gadis itu. Dina masih
seperti dulu. Tidak banyak yang berubah melainkan rupa
parasnya yang semakin cantik dan nampak matang.
Semenjak dia tahu yang Dina bakal menjadi
adik iparnya, dia tidak dapat tidur lena. Kalaulah dapat
diputarkan masa, tak ingin dia berkawan dengan Fida. Tapi
perancangan Tuhan pasti ada sebabnya. Walaupun gerun
untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal
berlaku, Nazri tiada pilihan. Hati sudah terlajak sayang pada
Fida. Kalau dia memutuskan hubungannya dengan gadis itu,
pasti keadaan akan lebih teruk. Nak tak nak, harungi sajalah.
“Abang nak nasi lagi?” tanya Fida.
Nazri tersentak.
“Cukuplah ni. Dah banyak nasi yang Fida letak
tadi.” Nazri menolak sebelum menyambung suapannya.
Kunyahannya agak perlahan kerana matanya masih mahu
melihat Dina.
Gadis itu terlalu tenang. Melihat pada gaya Dina
melayan Izan, Nazri tahu gadis itu sudah tidak menyimpan
apa-apa rasa lagi padanya. Tapi kenapa dia pula yang sakit
mata melihat kemesraan Dina dan Izan? Adakah sayangnya
pada Dina masih bersisa?
“Fida tolong tukarkan air basuh tangan dalam bekas
ni,” arah Cikgu Faridah. Sengaja dia menyuruh Fida kerana
ada sesuatu yang ingin dia perkatakan pada Nazri. “Nanti
tolong potong sekali buah tembikai tu ya.”
“Biar Dina tolong.”
“Eh, tak apa. Biar Kak Fida buat. Kau temankan Izan
makan.” Laju Fida bangun. Bekas air basuh tangan di depan
abahnya diambil.
“Abang makan tau. Jangan malu-malu. Buat macam
rumah sendiri,” pesan Fida pada Nazri sebelum meninggalkan
meja makan.
Nazri senyum kelat. Tiba-tiba dia panas punggung.
Macam dah tahu apa yang bakal keluar dari mulut Pak Rahim
dan Cikgu Faridah.
“Apa rancangan kamu sebenarnya Nazri?” Soalan
pertama keluar dari mulut Cikgu Faridah. Sebaik mungkin
dia cuba mengawal nada suaranya. Sambil-sambil itu mata
mengawasi lorong ke dapur. Takut kalau-kalau Fida tiba-tiba
muncul.
“Mak cik. Demi Allah saya tak tahu Fida tu anak mak
cik. Dulu masa berkawan dengan Dina pun dia tak pernah
beritahu yang dia ada kakak.”
Dina ketap bibir. Betul kata Nazri. Mungkin silap
dia juga. Entah kenapa dia langsung tak tergerak hati untuk
bercerita tentang Fida ketika bercinta dengan lelaki itu dulu.
Mungkin kerana hubungan mereka yang renggang ketika itu
membuatkan dia ambil mudah.
“Habis tu sekarang ni macam mana?” Pak Rahim
pula bertanya.
Nazri pandang Pak Rahim dan Cikgu Faridah.
Kemudian perlahan-lahan matanya tersorot pada Dina. Izan
yang tunduk menghadap pinggan pun ditenungnya. Ada
sekelumit rasa cemburu tatkala melihat wajah tenang Izan.
“Saya datang dengan cara baik. Saya memang nak
jadikan Fida isteri saya. Tapi kalau mak cik dan pak cik fikir
saya ada niat lain, terpulanglah. Saya akan beritahu Fida
perkara sebenarnya nanti.”
“Jangan!” Dina pantas bangun. Dia menoleh ke
arah dapur sekejap sebelum duduk semula. Matanya tepat
memandang Nazri yang tergamam. “Kak Fida tak perlu tahu
sejarah lama kita. Tolong janji dengan Dina. Jaga Kak Fida
macam abang jaga nyawa abang sendiri. Kami baru aje nak
rapat. Jangan pisahkan kami dengan cara begini.”
Nazri teguk air liur yang terasa kesat. Ketenangan
Dina menuturkan kata buat dia yakin hati gadis itu
sudah terisi. Sebab itulah Dina nampak tak kisah dengan
kehadirannya.
“Betul kata Dina. Pak cik tak mahu pisang berbuah
dua kali. Cukuplah apa yang kamu buat pada Dina dulu. Dah
lama sangat dia bawa diri.”
“Mujur jumpa saya, kan pak cik?” Izan yang senyap
dari tadi tiba-tiba menyampuk.
Pak Rahim hanya ketawa kuat. Dina pula terus
menyepak kaki Izan di bawah meja. Tapi lelaki itu buat
bodoh saja. Perbincangan tengah serius, boleh pula lelaki itu
menyampuk dengan ayat begitu.
Izan menoleh kepada Dina dan kenyit mata. Spontan
Cikgu Faridah melepuk tangan Dina. Seronok melihat
tingkah lelaki itu.
Nazri hanya mampu mengemam bibir. Rasa
terpinggir. Makin cemburu apabila Izan lebih mendapat
perhatian daripada dirinya.
“Amboi! Meriahnya ketawa. Apa yang kelakar sangat
ni?” Fida muncul semula dengan sepinggan tembikai dan
bekas air basuh tangan.
“Abah tengah bincang dengan Nazri. Majlis korang
berdua nanti, kalau nak buat kat rumah Ayah Man pun okey
juga. Buat kat KL. Kawan-kawan Fida kan ramai kat sana.
Meriah sikit.” Sehabis daya Pak Rahim mengubah topik.
“Tak naklah buat kat KL. Ayah Man bukannya sihat
sangat. Fida nak buat majlis kat sini. Senang sikit keluarga
abang nak datang. Betul tak?” Fida pandang Nazri bersama
senyum manja.
“Errr... betul juga tu pak cik. Lagipun kat sana
keluarga angkat Fida. Yang kat sini keluarga kandung. Lebih
elok buat kat sini.” Nazri meneguk habis air di dalam gelas.
Dalam kepalanya sudah terbayangkan seseorang.
Bagaimanakah reaksi ibunya apabila mengetahui hal ini nanti?
Dulu, berbulan-bulan ibunya merajuk apabila dikhabarkan
hubungannya terkandas dengan Dina. Kalau diberitahu Fida
tu kakak Dina, adakah ibu akan merestui hubungan mereka?

“DAH BERAPA lama kawan dengan Dina?” Sementara Fida
dan Dina sibuk mengemas meja makan, Nazri menggunakan
kesempatan yang ada untuk mengorek rahsia sebanyak
mungkin mengenai Dina. Pak Rahim pula sibuk membantu
Cikgu Faridah menyiapkan tempat tidur Izan.
“3 tahun.” Spontan jawapan bohong itu keluar dari
mulut Izan.
Terjongket kening Nazri mendengar jawapan Izan.
Ini bermakna sangat cepat Dina mencari penggantinya. Dia
sendiri baru setahun berkawan dengan Fida. Beberapa bulan
ini sahaja hubungan mereka bertukar serius.
“Dia pernah cerita tentang aku tak?”
“Masa mula-mula kenal dia dulu, dia ada cerita yang
dia baru frust dengan lelaki tak guna. Lelaki tu minta putus
tanpa sebab. Tapi tak sangka pula kau orangnya,” ujar Izan
mereka cerita. Namun bila melihat Nazri terdiam, dia pasti
temberangnya mengena.
Nazri memang lelaki tak guna. Lelaki yang hanya
mementingkan ego sendiri. Alasan yang digunakan untuk
memutuskan hubungannya dengan Dina langsung tidak
masuk dek akal. Hanya kerana dia tidak sanggup menunggu
Dina menghabiskan pengajian. Kesetiaan gadis itu juga turut
diragukan. Ternyata dia telah melakukan silap besar. Kini dia
hanya mampu gigit jari apabila melihat Dina langsung tak
terkesan dengan perpisahan ini. Malah dengan bangganya
menayangkan Izan di depan Nazri.
“Tolong jaga dia baik-baik,” ucap Nazri perlahan.
“Kau tu yang kena jaga hati sendiri baik-baik. Dulu
adik, sekarang kakak. Kalau kau buat perangai kali ni gerenti
bapak diaorang akan tembak kau dengan senapang gajah.”
Nazri ketawa kecil. Tersiat hatinya disindir Izan.
Pedas sungguh kata-kata lelaki itu. Dalam diam Nazri dapat
rasakan Izan mampu menjaga Dina lebih baik dari dirinya.
“Bertuah kau dapat Dina. Aku harap hubungan
korang akan sampai ke jenjang pelamin.” Nazri menepuk
bahu Izan. Tak sanggup nak berbual lama dengan lelaki itu.
Takut makin nipis cuping telinganya kena sindir.
“Sampai ke tidak itu urusan Tuhan. Lepas ni balik
rumah buat solat hajat. Minta Tuhan tutup pintu hati kau
untuk perempuan lain. Cabaran lepas ni lebih besar sebab kau
kena jaga banyak hati yang kau dah lukakan. Terutama sekali
Dina,” ujar Izan lantas meninggalkan Nazri sendirian.
Nazri hanya mengangguk faham.
“Mak cik, boleh pinjam tuala? Saya nak mandi.
Badan dah melekit-lekit,” pinta Izan. Niat awal nak mencari
Dina. Tapi, terserempak pula dengan Cikgu Faridah di ruang
tengah. Dilihat tempat tidurnya sudah terhampar kemas di
situ.
“Izan tak mandi lagi ke sejak tadi?”
“Mana sempat. Sampai-sampai aje terus borak
dengan pak cik. Lepas tu bakal menantu mak cik pula
sampai...” Izan hanya tersengih lebar.
“Hmmm... tak tahulah mak cik, Nazri tu bakal
menantu ke bakal hantu.” Ujar Cikgu Faridah selamba
sebelum mengeluh perlahan.
“Tak baik cakap macam tu mak cik. Kalau dia hantu,
kering darah anak mak cik dia sedut nanti.”
Hilang wajah sugul Cikgu Faridah dengan jenaka
Izan. Mengekek dia ketawa. Dia mula menyenangi lelaki itu.
Tanpa sedar Dina sedang menelinga perbualan
mereka berdua. Hatinya mula resah. Satu masalah lagi akan
timbul kalau mak sudah berkenan dengan Izan. Izan tu pun
satu. Kenapa berlebih-lebihan sangat?

Lakaran Hati - Bab 6

DINA baru sahaja selesai solat subuh ketika
telefon bimbitnya berbunyi. Pembesar suara ditekan. Sambil
berbual dia berkemas. Mana tahu kalau-kalau dapat kebenaran
daripada Izan untuk balik awal. Tidaklah kelam-kabut nak
berkemas nanti.
“Kau jadi balik tak hari ni?” tanya Fida selepas
berbalas salam.
“Tak tahu lagilah Kak Fida. Program belum habis
lagi ni.” Meleret suara Dina memberi alasan. Serba salah
juga rasanya. Sudahlah mereka berdua jarang berjumpa. Bila
dapat peluang untuk bertemu dia pula tak dapat balik.
“Ala... janganlah macam tu. Kak Fida nak kenalkan
kau dengan seseorang ni.”
“Bakal abang ipar ke?” Dina mengusik. Dari cara
Fida bercakap pasti seseorang itu sangat penting bagi
kakaknya itu. Kalau tidak takkanlah beria-ia benar suruh dia
balik. Selama ni kalau Fida pulang ke rumah, kakaknya itu
bukan ambil kisah sangat kalau dia tak ada. Mereka memang
tak rapat sejak kecil. Kalau berjumpa, lebih banyak bergaduh
dari berbual mesra.
Fida membesar dengan keluarga angkat. Suami
isteri yang kematian anak pada hari yang sama kakaknya itu
dilahirkan. Pada peringkat awal, Asiah dan Rizman cuma
menjaga Fida pada siang hari. Tapi lama-kelamaan melarat
hingga ke malam. Bila Cikgu Faridah bekerja semula, Asiah
telah menawarkan diri untuk menjaga Fida tanpa sebarang
bayaran. Sejak hari itu, Fida ditatang bagai minyak yang
penuh. Kadang-kadang Dina pun terlupa yang dia ada kakak.
“Dina...”
“Ya, Dina dengar ni.”
“Baliklah.” Fida merayu.
Dina kemam bibir. Tak berani menjanjikan apa-apa.
Dengan badan yang penat begini mustahil baginya untuk
memandu dalam jarak yang agak jauh. Lima jam perjalanan
pulang ke Batu Kikir. Kalau boleh bermalam di rumah tak
apalah juga. Tapi dia perlu bekerja pada hari Isnin.
“Dina...”
Terdengar Husna memanggil di luar bilik dengan
berselang-seli ketukan di pintu.
“Kak Fida, nanti Dina call balik.”
“Ala, hari tu pun kau janji nak call balik. Tapi
sudahnya kau tenggelam juga. Kak Fida tak kira. Kau kena
balik juga. Kalau tidak jangan panggil aku ni kakak kau,” ujar
Fida terus menamatkan panggilan.
Dina terduduk di katil, namun cuma seketika apabila
ketukan di pintu semakin kuat. Hesy! Masalah dengan Fida
belum selesai. Husna pula tak henti-henti memanggil di luar.
“Tidur lagi ke?” tanya Husna sebaik saja pintu dibuka.
“Aku tengah solat tadi. Apa hal?” Mujur Dina masih
bertelekung. Kukuhlah sikit alasannya.
“Jangan lupa hari ini kau handle senamrobik.”
Husna menolak daun pintu dan melangkah masuk ke dalam
bilik Dina.
“Tak lupa pun. Tapi macam tak confidentlah nak
handle sorang-sorang,” ujar Dina sambil menanggalkan
telekung. Ditariknya beg pakaian di hujung katil untuk
memberi ruang pada Husna.
“Abang Izan ada. Aku dengan Yati kena siapkan track
untuk treasure hunt.”
Dina buat muka kesian, namun temannya itu cuma
menjongket kening. Dah tak ada alasan untuknya mengelak
lagi. Dia sendiri sudah bersetuju semasa mereka semua
berbincang tentang atur cara program.
“Husna.” Suara Izan kedengaran di luar bilik.
Dua-dua terbangun dari katil. Dina terus menyorok
di belakang pintu. Husna pula berlari keluar dari bilik Dina.
“Kau pergi kumpulkan peserta di padang. Yang kat
dalam tu berapa lama lagi nak bersiap? Yati mana?” Laju
mulut Izan bertanya.
“Yati dah pergi ambil radio kat pejabat Encik Azmi,”
balas Husna sambil mencapai kasut. Kalau Izan dah tercegat
di depan mereka, alamatnya semua dah kena sedia.
“Aku bagi korang lima minit untuk kumpulkan
semua peserta kat padang. Kalau tidak, korang aku denda
dulu.” Izan terus menonong ke pejabat urusan Tiram Indah
Village and Resort. Sempat lagi dia menoleh pada Husna
dan Dina yang masih kalut. Ada senyum yang ingin terukir,
tapi cuba ditahan. Memang seronok kalau dapat membuli
anak-anak buah. Lebih-lebih lagi Dina. Gadis itu semakin
berjaya mencuri tumpuannya.
“Cepat Dina! Malulah kalau kena denda depan
peserta nanti.” Husna menggesa dari luar bilik.
Kelam-kabut Dina menyarung tudung. Tak sempat
dah nak berbedak. Lantaklah. Daripada kena denda dia lebih
sanggup tak berbedak. Lagipun sekejap lagi nak bermandi
peluh. Buat rugi saja nanti kalau tepek bedak mahal di muka.
Ketika tiba di padang, hampir kesemua peserta sudah
berada di situ. Tapi, masing-masing masih belum bersedia di
dalam barisan. Pembesar suara di tangan Dina genggam erat.
Gerun juga nak beri arahan pada para pendidik di depannya
sekarang. Tapi kalau dia tak buat kerja, takut dia pula yang
Izan denda nanti.
“Saya kira sampai sepuluh. Seorang saja yang tak ada
dalam barisan, saya akan denda semua orang!”
Laungan Dina melalui pembesar suara berjaya
menarik perhatian peserta program motivasi. Dengan
wajah yang sengaja dimasamkan Dina bercekak pinggang
di tengah-tengah padang. Dalam ramai-ramai peserta yang
sedang berlari, dia ternampak kelibat Izan. Mata lelaki itu
tepat merenungnya.
‘Apa tengok-tengok? Kau fikir aku ni lembik, kan?
Tengoklah nanti.’ Getus Dina dalam hati.
“Sepuluh! Sembilan! Lapan! Tujuh! Enam! Encik
Izan, tolong cepat sikit. Atau saya denda awak sekali?”
Izan tersenyum lebar melihat Dian bercekak
pinggang. Tak sangka Dina berani buat macam tu. Para
peserta yang sudah berada di dalam barisan juga sudah
terjerit-jerit memanggil namanya.
“Lawan tauke nampak?” Izan mengambil pembesar
suara di tangan Dina.
Dina memandang wajah Izan. Tiada riak berang
pada wajah itu. Cuma matanya sahaja mengarahkan dia
menjarakkan dirinya sedikit daripada lelaki itu.
Selepas ucapan alu-aluan yang serba ringkas, Izan
memulakan senamrobik dengan warm up. Lega hati Dina
kerana Izan sudi ambil alih. Betullah kata Husna. Nampak
saja tegas. Tapi dia mudah beri kerjasama.
“Kangkangkan sedikit kaki anda, bongkokkan
badan perlahan-lahan. Dalam kiraan lapan, berdiri tegak
dan bengkokkan pinggang ke belakang. Satu... dua... tiga...
empat...”
Telinga Dina terdengar tawa kecil peserta-peserta
wanita semasa Izan sedang mengira. Ada juga yang
memalingkan wajah ke tempat lain. Tapi mata masing-masing
masih mengerling kepada sesuatu. Dina melihat ke tempat
yang menjadi perhatian mereka. Serta-merta mukanya
berbahang.
“Errr... Abang Izan.” Dina memanggil dengan suara
perlahan.
Izan cuma menoleh. Posisinya masih seperti tadi.
“Apa?” tanya Izan dengan suara yang agak keras.
“Errr... tu. Abang Izan salah ‘parking’.
Spontan Izan berdiri tegak. Matanya tepat pada
bahagian bawah tubuh sendiri. Kedengaran tawa para peserta
makin kuat. Termasuklah peserta lelaki. Dia hanya tersengih
dengan muka yang selamba.
“Sorry... tunggu sekejap. Saya nak betulkan
‘parking’.” Izan mengerling Dina dan terus berlari ke tepi
padang.
Makin kuat tawa yang terhambur. Termasuklah
Dina. Terbantut sekejap program senamrobik dengan insiden
di luar jangkaan itu. Tak lama kemudian Izan datang semula.
Hilang tawa masing-masing. Yang tinggal cuma senyum
simpul para peserta wanita yang berdiri di barisan hadapan.
“Okey, ‘burung’ dah masuk sarang. Jom sambung
senamrobik,” ujar Izan selamba.
Untuk kesekian kalinya mereka ketawa
terbahak-bahak sekali lagi. Izan kenyit mata pada Dina.
“Balik nanti jangan lupa tuam mata dengan susu
kambing tau. Takut ketumbit nanti,” pesannya ketika dia
melintas di depan gadis itu untuk memainkan CD.
Dina tarik nafas dalam-dalam. Ada rasa nak ketawa
tapi ditahan sebaik mungkin. Kalau dah namanya lelaki
memang tak ada langsung segan silunya.
Selesai program senamrobik, aktiviti seterusnya
diambil alih oleh penceramah jemputan untuk aktiviti di
dalam dewan. Pasukan Izan akan bersama para peserta pada
pukul sepuluh nanti untuk aktiviti terakhir. Masa terluang
yang ada Izan gunakan untuk membawa Husna, Yati dan Dina
memeriksa laluan dan peralatan yang akan mereka gunakan
untuk aktiviti Laluan Berhalangan sebentar nanti.
“Nampak mendung aje awan hari ni Abang Izan.
Harap-harap tak hujan. Kesian cikgu-cikgu tu kalau kena
mendaki tanah licin nanti,” ujar Husna.
Izan melihat langit yang memutih.
“Kalau hujan turun pun tak lama rasanya.”
Dina telan air liur. Dalam hatinya berdoa agar cuaca
cerah hingga selesai program mereka hari ini. Dia pernah
merasa bagaimana sukarnya mendaki tanah yang licin. Seksa
sungguh. Kalau boleh dia tak mahu melaluinya sekali lagi.

“TAK NAMPAK tanda-tanda nak berhenti pun hujan ni
Abang Izan.” Husna mendongak ke langit. Ada riak risau di
wajahnya. Jam sudah menunjukkan pukul sepuluh pagi.
Dina senyum dalam hati. Kalau tadi dia mendoakan
agar cuaca kembali cerah, kini harapannya agar hujan lebat
tidak berhenti sehingga melepasi jadual untuk Program
Laluan Berhalangan. Tidak mudah nak menjaga empat
puluh orang peserta. Bukan setakat menjaga, perlu dibantu
pula untuk menyelesaikan setiap bahagian dalam aktiviti
itu nanti. Kalau keadaan berterusan begini, aktiviti hanya
akan diadakan di dalam dewan. Itu yang dia suka. Tak perlu
bermain dengan lumpur dan mendaki tanah yang licin.
Setengah jam berlalu. Pagi yang mendung
perlahan-lahan bertukar cerah. Nampaknya doa Dina tidak
termakbul kali ini. Dengan hati yang berat, terpaksa juga dia
menyertai Husna dan Yati serta beberapa orang sukarelawan
lelaki mengetuai kumpulan-kumpulan pendidik yang telah
dibahagi-bahagikan oleh Izan. Tugas mereka nampak mudah.
Cuma perlu melakukan demonstrasi cara-cara untuk melepasi
laluan berhalangan. Tapi, baginya tugas itu agak berat.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan baru lepas hujan. Memang
lencunlah badannya nanti dengan becak dan lumpur.
“Cik Dina, tak ada jalan lain ke selain kena turun
bukit ni?” tanya seorang peserta wanita. Ketika itu mereka
sudah bersedia untuk melakukan aktiviti rappelling iaitu
halangan yang terakhir sebelum pulang semula ke resort.
“Ada. Tapi jauh cikgu.”
“Saya rasa saya tak mampu buat. Kaki saya dah
injured.” Dengan muka yang berkerut menahan sakit, cikgu
lelaki itu memegang kakinya yang berbalut. Dia tercedera
ketika menuruni tembok tinggi sebentar tadi.
“Sekejap.” Dina berdiri agak jauh sedikit dari
kedudukan cikgu itu. Walkie talkie yang tersisip di bahagian
poket lengan bahagian kiri diambil.
“Abang Izan. Ada sorang peserta tak boleh buat
rappelling. Kaki injured,” lapor Dina sambil meninjau ke
bawah. Izan yang menunggu di kaki bukit dilihat memberi
isyarat bagus padanya.
“Suruh dia tunggu situ. Nanti aku hantar orang
temankan dia balik ke resort.”
Selepas menyampaikan amanat Abang Izan kepada
cikgu lelaki itu, Dina kembali pada ahli-ahli kumpulannya.
Masing-masing sudah dibekalkan dengan helmet, pad tangan
dan lutut untuk keselamatan. Seorang demi seorang Dina
lepaskan untuk menuruni cerun bukit.
“Kuat ke tali ni Cik Dina?” tanya seorang peserta
wanita. Digoyang-goyangnya tali yang sudah bertukar warna
itu berulang kali.
“Insya-Allah, kuat. Setakat berat badan seratus
kilogram tali tu masih boleh tampung lagi,” seloroh Dina.
Cuba menyedapkan hati cikgu yang berbadan gempal itu.
“Saya tak risaukan tali tu. Saya risaukan pokok
tu. Takut saya bawa sekali pokok tu turun ke bawah nanti.”
Cikgu wanita itu juga tak mahu kalah. Rasa risau berjaya
disembunyikan dengan ketawa .
Dina amati pokok besar yang dimaksudkan. Dia yakin
tali yang melilit pokok itu mampu menampung dan bertahan.
Bersama senyuman yang masih lebar Dina membantu cikgu
itu memakai harness.
“Bismillah dulu cikgu. Jangan risau. Jurulatih lain
dah tunggu kat bawah.”
Perlahan-lahan peserta wanita itu menuruni lereng
bukit yang licin. Pada mulanya semua kelihatan berjalan
lancar. Tapi di pertengahan jalan...
“Cik Dina, tolong! Tali ni macam tersangkut kat
brake,” jerit peserta wanita itu.
“Bertenang cikgu. Dengar arahan saya. Lonjak kaki
dan lepaskan brake serentak.” Dina melaung dari atas. Rasa
cemas mula menjentik hati.
“Arghhh!” jerit peserta wanita itu apabila dia tidak
dapat mendarat dengan betul kerana permukaan tanah
yang agak licin. Mana tidaknya, sudah ramai peserta yang
menggunakan laluan yang sama. Ditambah dengan keadaan
tanah yang basah selepas hujan.
“Abang Izan ada masalah. Peserta salah landing.”
Sekali lagi Dina melaporkan keadaan terkini kepada Izan.
“Kau turun. Tolong apa-apa yang patut.”
Buntang mata Dina mendengar arahan Izan di
dalam walkie talkie. Kalau tak mengenangkan dia juga
bertanggungjawab atas keselamatan peserta, mungkin dia
akan menyuruh orang lain yang melaksanakan arahan Izan.
Dengan pantas dia menyarung harness. Setelah memastikan
semuanya lengkap dan betul dia mula berdiri di lereng bukit.
“Bismillahirrahmanirrahim...” Dina menarik
nafasnya dalam-dalam dan terus melonjakkan kaki untuk
menuruni bukit yang tak berapa curam. Empat kali lonjakkan,
Dina tiba di tempat peserta wanita itu. “Cikgu ikut saya.”
“Eee... tak nak. Saya takut!” Laju peserta itu
menggeleng. Mukanya dah pucat lesi.
“Jangan bimbang cikgu. Saya ada. Kita turun
sama-sama, ya?” Dina masih berusaha memujuk.
“Saya takut!” Peserta wanita itu sudah mengalirkan
air mata. Ketakutan sudah menguasai dirinya.
Dina melihat ke bawah. Izan sedang memerhatikan
mereka berdua. Ternampak juga riak risau di wajah lelaki itu.
Wajah peserta itu direnung sekejap. Otaknya ligat berfikir
cara yang sesuai untuk membantu peserta itu turun dengan
selamat. Perlahan-lahan Dina merapati cikgu yang mungkin
lebih kurang sebaya dengan dia itu. Dengan tangan kanan
masih memegang brake, Dina melilit pinggang peserta itu
dengan kedua-dua kakinya.
“Kau buat apa tu Dina?”
Terdengar suara Izan menjerit dari bawah. Tapi
jeritan itu tidak dihiraukan oleh Dina. Yang penting dia mesti
bawa peserta wanita itu turun dengan selamat.
“Cikgu... lepaskan brake tu.”
“Nanti kita berdua akan jatuh Cik Dina.”
“Cikgu kena percaya pada saya. Kita akan selamat.”
Bersungguh-sungguh Dina meyakinkan cikgu itu. Kakinya
masih erat melingkar di pinggang wanita itu.
“Hati-hati Dina!”
Terdengar pula laungan Husna. Entah bila rakan
sekerjanya berada di atas bukit, tidak pula Dina perasan.
Tumpuannya beralih ke arah peserta wanita itu yang sudah
mula meraung. Dia tak ada jalan lain melainkan memotong
tali yang sedang menampung dirinya. Atau mereka berdua
akan terus tersangkut di situ. Pisau bersarung yang sentiasa
tersisip di pinggang dikeluarkan. Dengan satu niat yang
nekad, Dina menampar tangan cikgu yang sedang memegang
brake. Ketika tangan cikgu itu terlepas, ketika itu jugalah
Dina memotong tali dan sebelah tangan lagi mengambil alih
brake yang terlepas tadi. Dengan sekuat tenaga, kakinya cuba
bertahan. Mereka mungkin akan jatuh terhempas sekiranya
dia melepaskan brake terlalu laju.
“Lonjak!” Izan dan peserta-peserta lain yang sudah
berada di bawah menjerit untuk memberikan semangat
kepada Dina dan rakan mereka.
Spontan kaki cikgu itu melonjak dan mereka
meluncur turun ketika Dina melepaskan brake. Kakinya
sudah menggigil. Dia tidak pasti sama ada dia mampu
bertahan atau tidak.
“Lonjak! Bertahan Dina!” Izan menjerit. Dadanya
berdebar kencang. Belum pernah perkara sebegini berlaku.
Sudah berpuluh-puluh kali dia mengendalikan aktiviti
rappelling bersama peserta-peserta baru. Ini adalah insiden
yang pertama. Menyesal pula dia menyuruh Dina turun tadi.
“Sikit lagi cikgu. Kita dah nak sampai bawah. Saya
lepaskan brake. Cikgu lonjak sekuat hati tau.” Dina menepuk
bahu peserta itu. Kalau ikutkan, tiada apa-apa yang akan
berlaku pada peserta itu andai kata dia melepaskan kakinya.
Sebaliknya dirinya sendiri yang menanggung risiko untuk
cedera kerana sekarang dia hanya berpaut pada peserta yang
sedang diselamatkan dan breke yang dipegang.
“Sedia cikgu. Satu... dua... lonjak!” Dina lepaskan
brake. Tapi nasibnya kurang baik. Lonjakan yang dibuat oleh
peserta itu agak kuat dan menyebabkan kakinya terlepas.
“Dina!” Izan menjerit kuat. Kering darahnya melihat
Dina terhempas ke tanah. Walaupun dalam jarak tak sampai
tiga meter, tapi itu sudah cukup untuk mencederakan gadis
itu.
“Selamatkan cikgu tu!” jerit Dina. Walaupun sedang
terbaring, kedua-dua tangannya terdepang luas seakan cuba
menyambut peserta yang sedang meluncur turun.
Peserta-peserta lelaki berlari ke kaki bukit dan
bersedia untuk menyambut rakan mereka yang telah
diselamatkan oleh Dina.
“Pergi tengok peserta tu. Dia okey tak Abang
Izan?” Dina cuba bangun. Tapi tangan lelaki itu lebih pantas
menahannya.
“Siapa ajar kau cara selamatkan orang macam tu?”
Izan menyoal. Kepala Dina diangkat perlahan dan bahagian
belakang badan gadis itu diperiksa. Dia takkan puas hati
selagi tidak memastikan gadis itu tidak mengalami sebarang
kecederaan.
“Idea spontan,” jawab Dina perlahan. Bagaikan
mimpi. Dia sendiri tidak percaya yang dia tidak mengalami
sebarang kecederaan. Melainkan sedikit calar-balar di tangan.
“Cik Dina okey?” Peserta wanita itu menghampiri
Dina. Pipinya masih lencun dengan air mata.
“Alhamdulillah. Saya tak apa-apa. Tengok...”
Dina berdiri dan buat lompat bintang. Pinggangnya rasa
sedikit sengal tapi berjaya disorokkan kesakitan itu dengan
senyuman. Apa yang penting, dia tak mahu peserta itu rasa
bersalah. Janji semuanya selamat.
“Okey, semuanya dah selamat. Boleh balik ke resort
sekarang dan kita jumpa semula di dewan untuk majlis
penutup nanti.” Izan memberikan arahan. Peserta mula
bersurai dan bergerak pulang ke resort.
“Betul Cik Dina okey ni?” Peserta tadi masih enggan
berganjak. Laju matanya menilik tubuh Dina dari atas ke
bawah.
“Ya betul. Saya sangat-sangat okey. Betul tak Encik
Izan?” Dina memandang Izan mengharapkan lelaki itu
mengiakan kata-katanya.
Izan cuma mengangguk dan senyum sedikit.
“Terima kasih kerana selamatkan saya.” Peserta
wanita itu lantas memeluk Dina lama sebelum dia berkejar
pada kumpulannya yang sudah jauh ke depan.
Dina pandang Izan yang masih tercongok di
situ. Tanpa menghiraukan pandangan tajam lelaki itu, dia
menanggalkan harness yang masih tersarung. Disandangnya
peralatan mendaki itu di bahu sebelum menyertai yang lainlain
pulang ke resort.
“Dina.” Izan memanggil.
Dina menoleh. Izan mendekatinya sambil menggaru
kepala dan senyum sinis. Tak semena-mena lelaki itu
membuka jaket yang tersarung di tubuh sebelum dihulur
kepadanya. Dina jongket kening. Tak faham.
“Mari sini.” Dengan selamba Izan mengikat jaketnya
di pinggang Dina. Mulut masih tersengih nakal.
“Eh, nak buat apa ni? Saya tak sejuklah.” Dina
kehairanan.
“Ini bukan masalah sejuk. Ada ‘bumper’ terjongket
tu...” Mulut Izan terjuih ke bahagian bawah tubuh Dina.
“Hah?” Dina kurang faham. Matanya juga tercari-cari
sesuatu yang pelik di tempat yang dimaksudkan oleh Izan.
“Seluar kau koyaklah. Tu, nampak spender
bunga-bunga.” Jawab Izan selamba.
Spontan kedua-dua tangan Dina menutup punggung
sendiri. Merah padam mukanya menahan malu. Macam
mana dia boleh tak perasan yang seluar dia koyak? Bila pula
koyaknya?
“Tutup dengan jaket tu. Takut lebah datang hisap
madu kat bunga-bunga tu karang.” Izan mengambil harness
yang tersangkut di bahu Dina.
Sekali lagi Dina terkedu. Malunya! Dalam
ramai-ramai, kenapa Izan yang harus melihatnya? Ketika dia
sedang kalut membetulkan ikatan jaket Izan di pinggang,
sekali lagi lelaki itu menoleh. Kali ini siap dengan senyum
nakal yang terukir di bibir.
“Kira adillah sekarang, kan? Kau nampak ‘burung’,
aku jamu mata dengan ‘bumper bunga-bunga’.”
“Apa pulak Abang Izan ni? Saya bukannya nampak
betul-betul!”
Izan ketawa kuat. Siap dengan pakej bunyi lebah.
Geram betul Dina melihat tingkah Izan. Kalau
garang tu, garanglah sangat, Tapi kalau masa kepala tu
tengah miring, kalah orang sasau pula perangainya.

Lakaran Hati - Bab 5

DINA buka mata luas-luas. Ikutkan hati mahu
saja dia nyalakan lampu suluh. Tapi takut kena marah pula
dengan Izan. Suatu masa dulu dia pernah menyertai aktiviti
Night Walking. Izan adalah fasilitatornya pada masa itu. Tapi
kini dia dah jadi sebahagian daripada pasukan Izan. Baru dia
tahu beginilah persediaan yang dibuat sebelum aktiviti Night
Walking dimulakan.
“Bila nak mula ni?” Dina keresahan. Bunyi nyamuk
berdondang sayang di telinganya. Mujurlah Husna bekalkan
krim untuk menghalang gigitan nyamuk. Tapi, duduk dalam
gelap sorang-sorang di tengah-tengah ladang tebu ini buat
dia seram. Dahlah tak nampak apa-apa. Janganlah ada benda
yang bukan-bukan muncul di depan mata pula nanti.
“Wooo... wooof!!!”
Terdengar isyarat bermulanya aktiviti Night Walking.
Dina bersila rapat di atas tanah. Makan masa juga peserta
untuk melalui checkpoint yang dijaga. Sementara menanti,
Dina keluarkan biskut dari dalam porch bag.
“Bismillahhirrahmanirrahim,” ucap Dina perlahan.
Sambil mengunyah dia mengawasi keadaan sekeliling.
Masuk kepingan biskut yang kedua, telinganya menangkap
bunyi rumput dipijak. Kunyahannya terhenti. Liar matanya
mengawasi keadaan sekeliling dalam gelap. Tiba-tiba datang
idea nakalnya. Pantas dia mengeluarkan telefon. Ditekupnya
telefon itu dengan baju sejuk untuk menghalang cahaya
lampu. Beberapa ketika kemudian...
“Krooohhhhh... kruh kruh kruhhh...”
Dina tersengih lebar. Tak sabar nak tengok reaksi
peserta setelah mendengar suara dengkuran Izan yang
dirakam petang tadi. Makin kuat debaran di dada bila bunyi
rumput dipijak semakin dekat. Tiba-tiba bunyi itu hilang.
Bunyi rumput dipijak berganti dengan suara orang ketawa.
Sangat perlahan suara itu. Tapi sudah cukup untuk buat Dina
ketar lutut. Laju mulutnya terkumat-kamit membaca apa
sahaja ayat-ayat suci yang terlintas di kepala.
“Dinaaa...”
Mengilai-ilai suara itu menyeru namanya. Dina
berdiri.
“Dinaaa... hiii... hihihi...”
Lintang-pukang Dina berlari meninggalkan
checkpoint. Habis patah batang-batang tebu dilanggarnya.
Sedar yang dia sudah tersesat, Dina berhenti sekejap. Dia
mencari arah jalan keluar. Tapi sukar matanya mencari jalan
yang betul dalam keadaan gelap. Torchlight yang berada di
dalam porch bag dicari. Belum sempat berbuat apa-apa ilaian
tadi kedengaran lagi.
“Mak!!!” Dina menjerit kuat.
“Syyy! Diamlah!” Mulut Dina terus ditekup dan
tubuh itu ditolak kasar hingga gadis itu jatuh terduduk.
Dina kenal suara itu. Ketika dia cuba untuk bangun,
sekali lagi tubuhnya ditolak.
“Akulah! Suara apa kau guna tadi tu?” Izan berbisik
keras.
Dina telan air liur. Rasa-rasanya kena jerut tak
leher dia kalau dia beritahu suara tadi tu adalah rakaman
dengkuran Izan? Telefon bimbit yang masih berada di tangan
digenggam sekuat hati. Padan muka! Nak kenakan lelaki itu
sudahnya dia yang terkena balik.
“Kita dalam hutan ni. Jangan buat benda yang
bukan-bukan boleh tak?” Izan mendengus keras. Niat awalnya
tadi ingin mengawasi Dina dari jauh. Tapi, bila terdengar
bunyi pelik di checkpoint gadis itu, dia mula tak sedap hati.
Dalam kepalanya tak ada lain, pasti ada sekumpulan khinzir
yang sedang berkeliaran di dalam ladang tebu itu. Tapi bila
makin dekat, bunyi itu adalah rakaman dari telefon bimbit
Dina. Tak sangka gadis itu berani mempermainkannya.
Tidak lama kemudian seorang demi seorang peserta
melintas di depan mereka. Tak ramai yang perasan Izan dan
Dina di situ kerana suasana di sekeliling mereka yang agak
gelap. Batang-batang tebu yang agak tinggi juga membantu
persembunyian mereka berdua.
“Abang Izan.” Dina memanggil perlahan.
“Hmmm...”
“Nak shishi.” Dina gigit bibir sekuat hati. Malu. Tapi
dia sudah tidak boleh bertahan lagi. Baju panas yang dipakai
tidak mampu menahan kesejukan malam yang mencucuk
hingga ke tulang hitam.
“Kau ni macam-macamlah!”
“Serius ni Abang Izan. Dah tak boleh tahan ni.” Suara
Dina tertahan-tahan. Kalau Izan tak ada di situ memang dah
lama dia lunaskan saja kehendak sistem perkumuhannya itu.
“Pergi ajelah kat tepi sungai tu,” arah Izan.
“Takkan nak pergi sorang-sorang?”
“Habis tu?” Izan pula yang cuak. Tak pernah lagi
dia temankan mana-mana perempuan pergi kencing.
Mengada-ada betullah Dina ni.
“Saya tak biasa dengan tempat ni Abang Izan.” Suara
Dina sedikit merayu. Dia sudah berdiri.
“Hesy! Lain kali pakai lampin. Menyusahkan
betullah!” Izan bangun. Sengaja dia tak nyalakan lampu
suluh. Dina sudah mendahuluinya menuju ke sungai. “Dina.”
“Saya kat sini.” Dina menyalakan lampu telefon
bimbitnya. Kemudian cepat-cepat dia menyimpannya semula
di dalam poket seluar.
“Hati-hati. Jangan sampai kena gigit pulak.” Izan
menekup mulut. Seronok dapat menakut-nakutkan orang
yang dah memang penakut ni.
Selang beberapa saat, Dina kembali semula ke
tempat Izan menunggunya.
“Dah?” tanya Izan.
“Tak jadi. Dah tak nak keluar,” ujar Dina lemah.
Kata-kata Izan tadi benar-benar menakutkannya.
“Kenapa tak jadi?” Sengaja Izan bertanya setelah
mereka kembali ke checkpoint.
“Takut kena gigit.”
Izan tekup mulut menahan tawanya dari terhambur
keluar. Padan muka Dina. Masing-masing sudah seri.
Aktiviti Night Walking selesai tepat pukul dua belas
tengah malam. Dina sudah tersengguk-sengguk menahan
mata yang mengantuk. Beberapa kali juga dia terlentok di
bahu Izan.
“Kau ni mesti kuat membuta, kan? Mujur kau
terjaga. Kalau tidak aku tinggalkan aje kat sini. Biar babi yang
berbunyi tadi sondol kau.” Sambil berjalan Izan mencerabih.
Dina yang mengikut dari belakang mengayun tinggi
tangan kanannya. Ingin sahaja dia meluku kepala lelaki itu.
“Kau buatlah macam tu. Nanti ada benda lain yang
ketuk kau dari belakang.” Sekali lagi Izan menakut-nakutkan
Dina. Pandai betul dia membaca gerak-geri gadis itu.
Tak berani Dina menoleh ke belakang. Laju
langkahnya mendahului Izan. Jalan keluar menuju ke resort
sudah dihafalnya. Rasa-rasanya lebih elok dia terus ke bilik
sebelum lelaki itu bertanya lagi tentang suara yang dirakam
tadi.
“Husna, Yati... aku nak ke bilik dulu. Dari tadi tak
tahan nak terkucil. Nanti aku terus tidur tau. Kita jumpa
esok, ya.” Sambil berlari ke bilik, Dina memadam rakaman
dengkuran Izan. Lebih baik jangan cari pasal lagi dengan
lelaki itu. Kalau tidak susahlah dia nak minta izin balik awal
esok.
“Dina!”
Langkah Dina terhenti tatkala mendengar laungan
Izan. Dia menoleh sambil menyembunyikan telefon bimbit di
belakang badan.
“Sepuluh minit lagi tunggu aku kat kereta,” ujar
Izan. Suaranya masih tinggi seperti tadi.
“Nak ke mana pulak?” Tanpa sedar Dina tunjuk
muka tak puas hati. Namun, bila melihat lelaki itu bercekak
pinggang terus mukanya berubah serius. Tegak sahaja
tubuhnya.
Izan melihat jam di tangan.
“Sepuluh minit. Kalau lambat jangan harap kau
dapat tidur malam ni.” Izan bergerak meninggalkan Dina
yang masih tegak berdiri.
Dengan ayunan kaki yang sengaja dihentak kuat,
Dina mengikut Izan ke kereta. Dia pula yang masuk ke dalam
kereta terlebih dahulu sebelum lelaki itu. Dina berpeluk
tubuh tanda tak puas hati. Ke mana Izan nak bawa dia
tengah-tengah malam begini? Enjin sudah dihidupkan. Tapi
pacuan empat roda milik Izan masih tidak bergerak. Lelaki
itu sibuk membelek telefon. Entah dengan siapa dia berbalas
mesej, tak kuasa pula Dina nak ambil tahu.
“Kita nak pergi mana sebenarnya ni?” Akhirnya Dina
bersuara. Tak selesa betul berdua-duaan dengan lelaki itu
dalam keadaan gelap.
“Pergi makan roti canai,” jawab Izan.
“Makan roti canai? Aduh! Saya tak laparlah Abang
Izan.”
“Siapa pula yang suruh kau makan? Aku suruh
temankan aje.”
Dina terdiam. Melampau betul! Nak mengenyangkan
perut dia tak pasal-pasal aku pula yang kena jadi tukang
teman. Apa kata Husna dengan Yati nanti kalau mereka tahu
aku keluar makan dengan Abang Izan? Memang masaklah
telinganya kena perli nanti.
“Tunggu apa lagi ni? Hari dah makin lewat. Esok
kita kena bangun awal, kan?” Ikutkan hati mahu sahaja Dina
merampas telefon di tangan Izan. Muka selamba lelaki itu
buat dia makin panas hati.
“Sorry bos. Ada peserta injured tadi. Kaki kejang.”
Dina nyaris terjerit ketika Husna tiba-tiba muncul
di tepi pintu kereta. Memang sengaja dia membuka tingkap
kerana tak tahan dengan bau asap rokok Izan. Tak lama
kemudian Yati pula muncul. Mereka berdua mengambil
tempat di belakang. Lega hatinya. Izan sedang menunggu
mereka berdua rupanya.
“Korang bertiga ni memang suka supper ke?” tanya
Dina sebaik sahaja mereka tiba di restoran mamak.
“Ni bukan supper. Dah nak masuk waktu sahur ni.”
Seloroh Husna.
Izan senyum senget. Sempat lagi dia mengerling
Dina yang rasa agak jengkel dengan tingkahnya.
“Kami jarang makan tengah malam ni Dina. Abang
Izan aje yang tak reti kenyang. Dia memang macam tu.
Tak boleh tidur kalau perut lapar katanya. Lagipun sambil
minum-minum boleh berbincang untuk aktiviti esok.”
Panjang lebar ulasan Yati.

DUA KEPING roti canai dah habis. Tapi Izan masih belum
menampakkan tanda-tanda nak balik. Makin rancak pula
perbualan antara dia, Husna dan Yati. Dari hal-hal kerja
sudahnya melarat sampai ke rancangan televisyen. Pada awal
perbualan ada juga Dina turut serta. Tapi lama-kelamaan dia
ambil langkah untuk tutup mulut. Penat. Apa yang terbayang
di kepalanya ketika ini hanyalah bantal.
“Pergi bayar Husna. Belikan sekali rokok dua kotak.”
Sekeping not 50 dihulurkan kepada Husna.
“Dah dekat pukul 2. Hmmm... berapa jam aje dapat
tidur ni...” keluh Dina perlahan. Sudah beberapa kali dia
menguap. Kalaulah tak ada perbincangan yang diselitkan
dalam perbualan tadi, memang dah lama dia letak kepala atas
meja. Tidur dulu sementara menanti mereka bertiga berbual.
Dalam perjalanan balik, sengaja Dina mengambil
tempat di belakang bersama Yati. Senang sikit dia nak
melelapkan mata barang sekejap. Ketika Izan, Yati dan Husna
menyambung perbualan di dalam kenderaan, Dina sudah
hanyut entah ke mana.
“Dina... bangun. Dah sampai ni.” Yati
menggoncang-goncang badan Dina.
Terus tegak badan Dina. Lega hati kerana boleh
masuk ke bilik selepas ini.
“Nak ke mana tu?”
Pertanyaan Izan mematikan langkah Dina.
Yati dan Husna yang baru keluar dari kenderaan juga
memerhatikan tingkah Dina. Mata temannya itu seperti dah
tak boleh buka. Nampak sangat yang Dina sudah kelesuan.
“Nak masuk biliklah.” Dina terus berpaling. Tak
kuasa nak bersoal jawab dengan Izan lagi.
“Oi! Siapa kata kau boleh tidur? Kita kena siapkan
barang-barang untuk aktiviti esok.”
Buntang mata Dina mendengar kata-kata Izan.
Dilihat Husna dan Yati mengangguk tanda setuju. Jadi
betullah memang mereka takkan tidur hari ni?
“Okey,” balas Dina lemah. Dia menukar haluan
ke pejabat pengurusan Tiram Indah Village and Resort.
Langkahnya bagaikan orang mabuk. Antara sedar dan masih
pisat-pisat.
“Dina!” Laung Yati.
“Apa lagi?” Dina makin hilang sabar. Dia menoleh.
Tapi, ketika itu dia melihat Izan sudah pun berada di depan
pintu chalet.
“Kau ‘kena’ lagi dengan dia. Jom tidur.”
Mengekek tawa Yati dan Husna. Teringat saat-saat
awal mereka menyertai pasukan Izan dulu.
Dina rasa macam nak meraung di situ juga. Tak
mengapa. Ada ubi ada keledek. Ada masa boleh buli balik.

Lakaran Hati - Bab 4

“KAU ni nak pergi kerja ke nak pergi camping?”
soal Ita, teman serumah Dina. Masih tak percaya yang Dina
perlu buat tugasan luar bersama rakan-rakan sekerja.
“Kalau kau tak percaya, jom ikut. Kan aku dah cakap,
aku ni macam jurulatih kem bina semangat. Kerajaan pun
pernah menggunakan khidmat syarikat ni untuk program
motivasi tau. Polis pun tak terkecuali.” Sengaja Dina sebutkan
pekerjaan yang satu itu. Biar Ita tahu yang dia bukannya
pergi bersuka ria. Dia memang sudah lama berminat dengan
kerja-kerja lasak begini. Nak jadi polis seperti Ita, tak cukup
tinggi pula.
“Dah lambat ni Ita. Aku pergi dululah. Kita jumpa
hari Ahad nanti ya.” Dina ambil kunci kereta di tempat letak
kunci.
Ita hanya melihat Dina menarik beg pakaiannya
ke kereta. Sunyilah dia sepanjang dua hari ini. Kalau tidak
terikat dengan kerja, memang mahu saja dia mengikut Dina
kerana syarikat Izan juga ada mengambil pekerja tambahan.
Selalunya mereka akan gunakan khidmat pelajar lepasan
SPM atau pelajar universiti. Dapat juga mereka buat duit tepi.
Telefon bimbit Dina berbunyi ketika dia baru sahaja
memanaskan enjin kereta. Rasa-rasanya dia belum terlewat
lagi. Apa hal pula Husna menelefonnya?
“Dina, tak payah datang office. Tunggu aje kat
rumah. Kita orang datang jemput kau.”
“Alhamdulillah. Jimat minyak kereta aku. Eh, tapi
kita orang tu siapa? Kau datang dengan Yani ke Abang Izan?
Husna... helo!” Pantas Dina menatap skrin telefon bimbitnya
yang gelap itu. Bila masa pula Husna tamatkan panggilan?
Dia ni pun dah berjangkit perangai Izan agaknya. Dah pandai
bercakap apa yang perlu sahaja.
“Tak jadi pergi ke?” Ita bertanya bila melihat Dina
matikan enjin kereta.
“Pergi. Tapi diaorang datang ambil,” jawab Dina.
“Wah! Untunglah orang tu. Pergi kerja pun bos
datang jemput,” usik Ita. Pantang dapat peluang. Kalau tak
mengusik sehari memang tak sah.
Dina tersengih lebar. Hanya membiarkan Ita
buat spekulasi sendiri. Bila tengok Husna yang datang
nanti, diamlah mulut teman serumahnya itu. Sementara
menunggu, dia memunggah semula beg pakaian yang telah
dimasukkan ke dalam kereta.
Pin!
Kedengaran bunyi hon ketika Dina menyangkut
kunci kereta di dalam kotak kunci. Langkahnya tiba-tiba
jadi perlahan ketika mengambil kasut di atas rak. Itu bukan
kereta Husna. Tapi kereta Izan. Aduh! Makin busybodylah Ita
tu nanti.
“Pergh! Four wheel tu. Kau nak join Ekspedisi
Menjelajah Gunung Pulai ke Dina?”
Dina buat-buat tak dengar. Dia pantas menyarungkan
kasut dan terus menarik beg pakaian.
Ita belum puas mengusik. Diikutnya Dina sampai
ke luar pagar. Makin lebar senyumnya apabila melihat
Izan keluar dari kenderaan pacuan empat roda itu untuk
membantu Dina.
“Selamat pagi Abang Izan.” Dina menyapa ramah.
Sebenarnya nak menghilangkan rasa cuak. Kenapa pula Izan
yang menjemputnya? Mana kawan-kawan yang lain?
“Pagi. Dah siap?” tanya Izan.
“Dah.” Dina menjuihkan bibir ke arah beg pakaian.
“Satu beg aje bawa? Cukup ke?” tanya Izan sebelum
memandang ke arah Ita. Dia cuma tersenyum tanda menyapa.
“Dua hari satu malam aje. Buat apa bawa baju
banyak-banyak?” balas Dina. Namun, melihatkan senyuman
sinis lelaki itu buat dia terasa hati. Seperti ada sesuatu yang
Izan sembunyikan. Mulutnya mahu bertanya, tapi melihatkan
Ita yang masih tercongok di situ terus terbantut niatnya.
Lebih baik dia beredar cepat sebelum Ita menyampaikan
pesanan yang bukan-bukan.
“Habis program nanti terus hantar Dina balik tau.
Jangan buat program sendiri pula lepas tu.”
Buntang mata Dina mendengar pesanan Ita.
Izan ketawa perlahan. Dia bukakan pintu untuk
Dina.
Makin terlopong mulut Ita melihat Dina dilayan
sebegitu.
Dina pula? Dia juga terlopong. Tak pernah Izan buat
perangai gila macam ni. Punyalah nak menyakat Ita sanggup
pula dia berlagak seperti lelaki romantis.
“Mana Husna? Bukan tadi dia yang call saya ke?”
Dina terus menyoal sebaik saja Izan menghidupkan enjin.
“Dia dah ada kat Tiram Indah. Kita kena pergi
Jabatan Pendidikan. Konvoi sekali dengan bas peserta.”
Dina mendengus perlahan. Kalau dia tahu Husna
tak ikut sekali dia lebih rela memandu sendiri. Dia memang
pembantu Izan. Tapi, tak bermakna dia kena ikut saja ke mana
sahaja Izan pergi. Kenapalah Izan tak suruh Husna saja yang
ambil dia di rumah? Biar mereka berdua yang mengiringi bas
peserta. Izan tu bos. Duduklah diam-diam di Tiram Indah tu.
“Ambil jaket kat tempat duduk belakang tu,” arah
Izan.
“Tak apalah. Saya tak sejuk.”
“Bukan masalah sejuklah. Itu jaket rasmi company
kita.”
Dina menoleh ke luar tingkap dan menjelir lidah.
Malunya! Nak tak nak dia menjangkau tangan ke tempat
duduk belakang. Senyum menguntum sedikit apabila melihat
jaket kulit yang tertulis namanya. Teliti betul persediaan
Izan. Semuanya disiapkan dengan rapi. Sempat pula lelaki itu
sediakan jaket untuknya dalam masa yang singkat.
“Roti dengan air kotak pun ada kat belakang tu. Isi
perut dulu sebelum mula kerja. Lepas ni mungkin tak sempat
nak makan. Kita banyak kerja lagi kat Tiram Indah nanti,”
ujar Izan lagi.
Kali ni Dina tak berani menjawab. Walaupun
pendiam dan nampak garang, tapi lelaki itu masih ambil
berat kebajikan pekerja.
“Nak tak?” Dina hulur sebungkus roti kepada Izan.
Tanpa jawapan Izan terus ambil roti di tangan gadis
itu. Lajunya sahaja dia mengunyah makan.
“Nak tanya sikit boleh tak? Dah berapa hari tak
makan?” Dina cuba bergurau. Roti di tangannya belum habis
tapi lelaki itu sudah meminta sebungkus lagi roti.
Ada segaris senyuman di bibir Izan. Tapi raut
wajahnya tetap nampak serius. “Orang tak ada bini memang
macam ni. Makan tak tentu. Itu pun untung kalau makan.
Silap-silap hari bulan minum air kosong aje.”
Berkerut kening Dina. Lain ditanya lain pula yang
dijawab. Atau, Izan sedang berkias mengenai statusnya?
“Biasa buat Night Walking tak?” tanya Izan.
“Tak.” Jawab Dina jujur. Baik berterus terang. Takut
Izan berikan tugasan yang bukan-bukan pula nanti.
“Kalau macam tu kau ikut aku ajelah sepanjang
program ni. Husna dan Yati dah biasa buat kerja. Kau
tengok-tengok aje dulu. Next project nanti baru kau handle.”
Dina mengangguk faham. Ikut sajalah arahan bos.
Macam manalah dia nak habiskan dua hari satu malam
bersama bos yang hati kering ni? Harap-harap Husna dan Yati
tidak berjauhan dengannya.
“Chalet fasilitator cuma ada tiga. Husna cakap tadi
dia kongsi bilik dengan Yati. Sampai Tiram Indah nanti kau
ambil chalet nombor dua, sebelah bilik aku.”
“Okey.” Mulut kata okey. Tapi dalam hati, Dina rasa
macam nak menjerit sekuat hati. Kenapa mesti di sebelah
bilik dia? Kenapa? Kenapa? Kenapa?

CEMBURU BETUL Dina melihat Husna dan Yati beramah
mesra dengan para peserta yang baru tiba. Dia cuma sempat
menyapa para guru pelbagai sekolah dari seluruh Johor itu
semasa di Jabatan Pendidikan tadi. Kemudian dia terpaksa
mengikut Izan memeriksa lokasi yang akan mereka gunakan
untuk aktiviti Night Walking malam nanti.
“Abang Izan!” laung Dina. Tercungap-cungap
nafasnya mengejar lelaki itu.
Izan berhenti melangkah. Sambil menunggu Dina
sempat lagi dicantasnya sebatang tebu. Dipotong dua tebu
yang sudah dibuang kulit. Kemudian dihulur pada Dina
sebaik sahaja gadis itu berdiri di depannya. “Kau tak makan
ke pagi tadi?”
“Makan,” jawab Dina. Senget kepalanya menggigit
tebu hitam yang keras itu.
“Habis tu kenapa lembik sangat? Kita kena sampai
ke checkpoint terakhir sebelum hari gelap.”
“Jauh lagi ke?” Panas pula telinga Dina.
Lembik? Pantang betul kalau dirinya diperlekehkan.
Mentang-mentanglah dia belum biasa dengan keadaan di
sini. Tunggulah malam nanti. Dina akan buktikan yang dia
tak lembik.
“Jauh lagi ni. Lepas ladang tebu kita kena masuk
sungai. Kemudian kena naik bukit dan lalu sebelah kawasan
PULADA sebelum balik semula ke resort.”
Dina mengangguk faham. Tak boleh tunjuk muka
cuak di depan Izan. Nanti tak pasal-pasal kena sindir lagi.
Walhal dalam hati dah rasa cemas. Nak masuk sungai di siang
hari pun dia fikir dua kali. Inikan pula pada waktu malam.
Macam-macam benda yang sudah terbayang di ruang mata.
“Nanti saya jaga checkpoint yang terakhir, ya?”
“Kau jaga checkpoint ketiga, dengan aku.”
Tak jadi Dina membuang hampas tebu yang masih
berada di dalam mulut. Kenapa mesti dia?
“Saya budak baru Abang Izan.”
“Budak barulah kena buat kerja lebih,” ujar Izan
sebelum meneruskan perjalanan.
Dina tak berani buka mulut lagi. Takut kena tinggal
sorang-sorang pula nanti di tengah-tengah ladang tebu ni.
Ketika tiba di resort, Husna dan Yati sudah menunggu mereka
berdua di depan chalet Izan. Dia cuma mampu menjongket
kening. Dah tak larat nak menyapa lebih-lebih. Kakinya
macam nak tercabut kerana berjalan terlalu lama hari ini.
“Semua checkpoint aku dah periksa. Malam ni lepas
isyak kumpulkan peserta di depan dewan. Pergi rehat dulu.
Maghrib nanti kita berkumpul kat surau.” Usai menuturkan
arahan tersebut Izan terus masuk ke bilik.
Husna dan Yati mengangguk faham.
Dina pandang pintu bilik Izan yang sudah tertutup.
Ada rasa tak puas hati dengan lelaki itu.
“Kita berempat aje ke yang jaga checkpoint malam
ni?”
“Pekerja Encik Azmi pun akan bantu kita malam
ni. Ada sepuluh orang semua sekali, termasuk kita. Satu
checkpoint dua orang jaga,” terang Yati.
Dina pandang pintu bilik Izan sekali lagi sebelum
mendengus kasar. Geram! Kasut yang dibawa cuma sepasang
dan sekarang sudah basah kuyup mengharung sungai
sebentar tadi. Dia mana ada kasut lain. Takkan nak pakai
kasut basah pula malam nanti.
“Kenapa kasut kau basah?” tanya Husna.
“Berjalan dalam sungai tadi,” jawab Dina kasar.
Dibukanya kasut yang sudah bertukar warna itu lalu dicampak
ke tanah. Kecut kedua-dua kakinya ketika stoking dibuka.
Melihat keadaan kasut yang sudah berlumpur memang dia
tak sanggup nak menyarung lagi kasut itu malam nanti.
“Boleh tak kalau aku pakai selipar aje malam karang?
Aku tak bawa kasut lebih.” Dina tunjuk muka sedih. Makin
sedih bila Husna dan Yati menggeleng perlahan.
“Cuba kau tanya Abang Izan. Mana tahu kalau-kalau
dia tak kisah kau pakai selipar.” Yati memberi cadangan. Nak
tergelak pun ya melihat keadaan Dina yang keletihan.
“Huish! Baik jangan tanya. Nanti tak pasal-pasal
kena marah. Macam kau tak faham pula perangai si bujang
terlajak tu.” Husna beri amaran sambil tunjuk muka seram.
Mereka semua sedia maklum, Izan bukannya orang
yang suka mendengar alasan. Dia tahu semua kerja yang
diamanahkan mesti siap. Program yang diatur mesti berjalan
lancar seperti yang dirancang. Setakat kasut basah bukan
masalah besar bagi Izan. Silap-silap hari bulan disuruhnya
Dina berkaki ayam pula nanti.
“Checkpoint kita mana ada lalu sungai.” Yati bersuara
perlahan. Disenggolnya lengan Husna mohon sokongan.
“Ada. Abang Izan cakap nama sungai tu Sungai
Oren.” Tegak badan Dina menegaskan kata-kata sendiri.
“Nama sungai tu memang betul. Tapi untuk aktiviti
malam ni kita tak lalu pun kawasan sungai. Entah-entah...”
Ternaik kening Yati melihat Husna yang dah tersenyum lebar.
Dina pandang Yati. Kemudian beralih kepada Husna.
Sedikit demi sedikit badan masing-masing terhinggut-hinggut
menahan tawa.
“Aku rasa kau dah kena buli ni. Aku pun pernah kena
macam kau.” Gelak Husna makin kuat.
“Samalah dengan aku. Dina, welcome to the club.
Bekerja dengan Abang Izan ni jangan banyak cakap. Ikut aje
apa yang dia suruh. Kalau tidak, kau tak sedar bila masa dia
akan kenakan kau balik.”
Mendengarkan kata-kata Yati menambahkan rasa
bengang Dina pada Izan.
“Kurang asam betul orang tua tu! Patutlah dia suruh
aku turun ke sungai sorang-sorang tadi. Kononnya nak ukur
kedalaman sungai. Eee, geramnya!”
Makin kuat tawa Husna dan Yati mendengar bebelan
Dina. Tak sangka Dina juga turut menjadi mangsa buli.
Dina cuba membersihkan kasutnya yang penuh
selut. Tak tergamak dia nak menyarung kasut itu semula
malam nanti. Terus dicampaknya kasut itu apabila terbayang
cacing gelang yang bersembunyi di dalam selut.
“Aku nak pakai apa malam ni? Aku tak bawa kasut
spare.” Dina mendengus kasar. Macam nak menangis pun
ya. Sekarang baru faham kenapa Izan senyum sinis ketika
mengangkat beg pakaiannya pagi tadi.
“Pakai kasut aku. Lain kali kalau ada lagi program
macam ni kau kena standby sekurang-kurangnya 3 pasang
kasut. Sekarang dah makin faham perangai Abang Izan, kan?”
Yati menepuk-nepuk bahu Dina sebelum masuk sebentar ke
dalam biliknya.
Selepas Yati menyerahkan kasutnya, Dina terus ke
biliknya untuk membersihkan badan. Ikutkan hati mahu saja
ditendangnya pintu bilik Izan. Mujur juga fikirannya masih
waras. Apa boleh buat? Izan tu bos. Dia hanya kuli. Nak tak
nak terpaksa reda sajalah.
“Kurang ajar! Hampeh! Hati kering! Mujurlah
kau bos. Kalau tidak...” Terhenti sekejap caci-maki Dina.
Telinganya menangkap bunyi orang berdengkur. Semakin
lama semakin kuat. Kedengaran bunyi itu datang dari bilik
Izan. Lantas dia tekap telinga ke dinding bilik.
‘Hahaha! Berdengkur macam kerbau kena sembelih.
Nanti kau...’
Dina ambil telefon pintarnya. Dirakamnya dengkuran
Izan yang semakin kuat. Senyum nakal semakin melebar di
bibirnya. Siaplah Izan malam ni.