DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 21 December 2015

TANYA DIA TENTANG CINTA - BAB 12

BAB 12

DATIN Fatimah terus meletakkan majalah di tangannya ke atas meja sebaik Puteri memanggil namanya. Kepalanya didongakkan. Terpandangkan bakal menantu yang tegak berdiri di hadapannya, dia tersenyum.
“Cantik,” puji Datin Fatimah dan terus berdiri.
Puteri turut senyum. Dia pun rasa dia cantik ketika itu. Bukan setakat cantik, tapi terlebih cantik daripada biasa. Hahaha... Kalau tak perasan, bukan Puteri Chempaka Emelynlah namanya.
“Puteri rasa macam mana? Okey tak?” soal Datin Fatimah lagi.
Bakal menantunya itu dipandang dari atas ke bawah.
“Puteri rasa okey dah ni,” balas Puteri lembut. Berbicara dengan bakal mentua, nama yang digunakan untuk diri sendiri pun sudah berubah. Bukan lagi Chem seperti selalu. Chem, Chem... pandai betul berlakon. Eh! Bukan berlakon, tapi inilah caranya untuk mengambil hati mentua, gumamnya sambil tersenyum dalam hati. Sebelum dia cairkan Ziyad sekali lagi, lebih baik dia cairkan mama Ziyad dulu. Itu yang penting.
“Warna ni pun kena sangat dengan kulit Puteri. Puteri nampak berseri-seri dengan warna ni,” puji Datin Fatimah lagi tanpa henti. Sungguh, warna jingga muda itu nampak menyerlah sekali. Lebih-lebih lagi dengan kulit putih bersih menantunya itu.
“Betul sangat tu Datin. Memang nampak gorgeous sangat Puteri dengan warna ni.” Puan Maria, pemilik butik pengantin itu mengiakan. Bersetuju dengan kata-kata pelanggannya itu.
Ya Mar, I memang suka sangat. I puas hati dengan rekaan you.”
Puan Maria hanya tersenyum sahaja. Pandangannya dipalingkan ke arah Puteri semula. “Orangnya dah cantik, pakai apa pun memang akan tetap nampak cantik, Datin.”
Puteri pamer sengih. Malu pula asyik dipuji sedari tadi walaupun dalam hati bukan main bangga lagi. Pandangannya terus dibuangkan ke sekeliling. Mana Ziyad? Aiseh, baru nak tunjuk dirinya yang terlebih cantik petang itu, tapi dia pula entah ke mana. Memang spoil betul! Kalau tidak, bolehlah berbangga sebab dipuji tak henti-henti.
“Cari siapa?” tegur Datin Fatimah sambil tersenyum. Faham sangat dengan riak yang dipamerkan bakal menantunya itu.
Laju sahaja Puteri menggeleng apabila ditegur begitu. Memang muka tidak tahu malu betul sampai bakal mak mentua pun perasan riaknya.
“Ziyad keluar sekejap. Pergi kedai buku dekat sebelah.” Datin Fatimah bersuara lagi.
Tidak menjawab, Puteri hanya buang senyum sahaja. “Biar Puteri tukar baju dulu ya aunty. Rasanya dah okey dah ni.”
“Mama, sayang. Tak sampai dua minggu pun lagi,” sanggah Datin Fatimah lembut. Jemari Puteri diraih dan diusap-usap perlahan. Puteri tersenyum malu dan kepalanya dianggukkan perlahan.
“Dah, pergi tukar baju. Lepas ni kita pergi minum. Mama dah haus ni,” suruh Datin Fatimah pula. Pegangan tangannya dilepaskan.
Akur, Puteri mengangguk. Dia terus berjalan masuk ke dalam semula. Datin Fatimah dan Puan Maria hanya memerhati sahaja dan meneruskan perbualan mereka mengenai majlis itu nanti.
“Cari apa yang lambat sangat?” bebel Datin Fatimah sambil berjalan keluar dari butik pengantin sahabatnya itu.
“Cari buku, ma.” Dengan senyum terukir di bibir, Ziyad membalas. Buku di tangannya ditunjukkan.
“Tak habis-habis dengan buku. Jangan nanti asyik dengan buku sampai abaikan isteri.” Datin Fatimah mengingatkan. Ziyad bukannya kira, kalau menghadap buku makan pun boleh lupa.
“Insya-Allah tak.”
Puteri yang sedang berjalan di sebelah mamanya, dikerling.
“Rugilah Iyad tak tengok Puteri tadi. Cantik tau. Mama suka dengan warna baju pengantin tu. Pandai Puteri pilih. Rekaan Aunty Maria pun cantik,” cerita Datin Fatimah beria-ia sambil membuang pandang ke arah anak lelaki di sebelahnya.
Ziyad buang senyum sambil rambutnya yang tidak gatal digaru perlahan. Leka di dalam kedai buku sampai terlupa apa tujuan mereka ke situ. Puteri pula hanya tersengih sahaja dipuji tanpa henti sedari tadi.
“Dua hari lagi semua baju-baju tu siap. Nanti Iyad ambil ya. Mama dah beritahu Aunty Maria tadi.”
Ziyad hanya mengangguk sahaja. Akur dengan arahan mamanya itu.
“Jom kita minum dekat kedai sana tu,” ajak Datin Fatimah tiba-tiba.
Puteri dan Ziyad menoleh ke arah yang ditunjukkan. Tidak membantah, kepala dianggukkan.

MAMA PERGI toilet sekejap ya,” ucap Datin Fatimah tiba-tiba. Beg tangannya dicapai dan dia terus bangun.

Ziyad dan Puteri hanya mengangguk sahaja sambil memerhati langkah wanita separuh umur itu sehingga hilang daripada pandangan. Puteri menunduk semula. Sengaja melarikan diri daripada memandang Ziyad di hadapan. Latte di atas meja dihirup lagi. Perasan dirinya diperhatikan kepalanya didongakkan.
“Kenapa?” soal Puteri perlahan. Kenapa tiba-tiba Ziyad memandangnya begitu?
“Cincin mana?” Serius sahaja Ziyad menyoal. Jemari tunangnya dipandang tidak berkelip.
Puteri terus memandang kedua-dua jemarinya, kemudian mendongak sambil terkebil-kebil memandang Ziyad semula. Aduh! Dia memang jenis manusia tidak suka pakai barang kemas. Sejak bertunang, boleh dikira berapa hari aje cincin tu tersarung di jarinya. Rimas.
“Takut sangat orang tahu yang kau tu dah bertunang?” sindir Ziyad sinis. Puteri dipandang semakin tajam.
“Saya tertinggal dekat rumah. Buka masa solat zuhur tadi,” balas Puteri membela diri. Cakap ajelah apa pun, asal lojik di telinga Ziyad.
“Alasan!” bidas Ziyad geram.
Mengaku sajalah takut kekasih kau Nampak, Emelyn! jerit Ziyad dalam hati. Rasa ingin sahaja diluahkan apa yang terbuku di hati, tapi entah kenapa tak terucap. Apabila teringat kembali apa yang berlaku di Harrod minggu lepas, hatinya bukan main sakit lagi.
“Ziyad, boleh tak jangan prejudis sangat dengan saya. Memang saya tertinggal, bukan sengaja tak pakai.” Lembut Puteri bersuara, cuba membela diri.
Entah kenapalah Ziyad tak pernah cuba berlembut ketika berbicara dengannya. Kadang-kadang pening dia memikirkan tentang keadaan mereka.
“Aku memang akan selalu fikir macam-macam tentang kau. Entah, aku masih tak boleh percayakan kau.” Sinis Ziyad lagi.
Puteri hela nafas. Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Lelah melayan Ziyad kalau dia terus-terusan begitu.
“Macam inilah Doktor Ziyad, saya rasa tak guna kita teruskan ikatan ni kalau sikap awak terus macam tu. Apa kata kita...”
“Hei, dah sampai ke tahap ni baru kau nak putuskan? Kau gila ke apa?” bentak Ziyad keras. “Kau nampak tak persiapan semua dah buat? Kau tengok tak macam mana mama aku happy dengan semua ni? Ini semua salah kau. Kalau kau tak bersetuju dulu, tentu kita tak perlu berbalah macam sekarang,” bedil Ziyad mematikan bicara tunangnya itu. Panas hatinya mendengar kata-kata Puteri tadi. Walaupun belum sempat Puteri menghabiskan kata-katanya, tetapi dia tahu apa yang ingin Puteri sampaikan.
“Habis tu, macam mana kita nak hidup bersama kalau kita macam ni? Ada tak awak fikir?” balas Puteri cuba menegakkan kata-katanya tadi.
“Entah! Aku tak boleh fikir pasal tu.” Ziyad terus palingkan wajah. Pertanyaan Puteri memang tidak mampu untuk dia jawab.
“Kenapa ni? Tegang aje mama tengok? Bergaduh?” tegur Datin Fatimah apabila kedua-duanya dihampiri semula. Wajah kedua-duanya dipandang silih berganti.
Laju sahaja Puteri dan Ziyad mendongak, kemudian menggeleng.
“Dah tu?” Datin Fatimah duduk semula.
“Puteri ni ha, Iyad tanya tentang destinasi bulan madu, tapi semua tempat dia tak nak,” dalih Ziyad selamba.
Puteri terus menoleh, memandang Ziyad di hadapan. Amboi, pandainya anak mak tu berlakon. Depan mak dia pijak semut pun tak penyek! kutuknya dalam hati.
“Iyad nak bawak tempat tak best, memanglah Puteri tak nak. Ha, plan nak pergi mana untuk bulan madu?” soal Datin Fatimah sambil merenung tajam anak lelakinya.
Ziyad terdiam seketika. Blur dengan kata-kata sendiri. Tak pernah pun dia berfikir tentang itu. Bulan madu dengan Puteri? Tidaklah!
“Pulau Tioman kut,” ucap Ziyad main redah aje. Terfikirkan Pulau Tioman pun sebab Hafiz baru sahaja pulang dari sana minggu lepas.
“Pulau Tioman aje?” Suara Datin Fatimah mula mengendur. Ke situ sahaja Ziyad akan bawa bakal menantunya itu? Isy, isy, isy... buat malu Datuk Akbar dan Datin Fatimah aje, bebelnya dalam hati.
“Puteri tak nak pergi jauh-jauh.” Laju Ziyad membalas.
Sekali lagi Puteri memandang Ziyad. Semakin tajam dari tadi. Memandai aje! Bengangnya pula.
“Sekali seumur hidup saja, sayang. Biar mama dengan papa sponsor percutian bulan madu. Pilih saja nak pergi mana.” Datin Fatimah cuba memujuk. Jemari menantunya itu diraih dan digenggam.
“Tak apalah ma, Puteri ikut aje cadangan Ziyad. Pulau Tioman pun okey jugak.” Akhirnya Puteri mengalah. Ziyad dikerling. Kalau diikutkan hatinya, hendak saja diajaknya Ziyad ke Turki, Sepanyol atau beberapa negara Asia yang lain, tapi apakan daya... Pulau Tioman pun jadilah Puteri! Asal namanya bulan madu. Tapi akan adakah bulan madu antaranya dengan Ziyad? Hurmm, entah!

2 comments:

  1. Best citer ni...geram jgk kat Ziyad nih

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum...next chapter saudari ...saya nak tahu till the end story line dia...heee

    ReplyDelete