DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 3

BAB 3


TERBUKA luas mata Iman saat kakinya melangkah keluar dari perut teksi. Rumah banglo yang tersergam indah di hadapan matanya itu direnung dengan perasaan kagum. ‘Mak, aii! Besarnya rumah. Ni kalau masuk kat dalam, mesti sesat ni.’
Bukan setakat mata Iman saja yang bulat, siap dengan mulutnya sekali ternganga luas. Pertama kali di dalam hidupnya, dia melihat rumah semewah dan sebesar itu.
Mata Iman terus meliar kesegenap laman rumah banglo itu. Lanskapnya sungguh cantik. Ada taman bunga mini, ada kolam ikan, siap dengan air pancutnya sekali. Di hadapan rumah pula tersadai beberapa buah kereta besar dan mewah. Sebuah daripadanya berbungkus kemas. Gila! Macam mimpi saja dia dapat tengok semua tu. Tudung yang terasa jatuh sedikit ke depan itu, laju dibetulkan. Rasa terganggu pula pandangannya.
“Yang kamu tercegat lagi dekat situ, kenapa?” Laung Mak Su Normah sedikit kuat. Dari tadi lagi dia tercegat di hadapan pintu besar rumah banglo itu, menunggu Iman.
“Ya, datanglah ni!” Bentak Iman, geram. ‘Mak su ni memanglah! Dekat sini pun nak tunjuk kuasa... Menyampah!’ Terkedek-kedek Iman berjalan ke pintu besar. Senget rasa bahunya menggalas beg pakaian yang boleh tahan juga besarnya. Macam dah tak nak balik dah! Mulut pula sudah memuncung panjang. Mengalahkan muncung itik.
“Buat muka! Ingat sikit Iman, ini rumah orang. Mak su nak kamu jaga perangai kamu tu!” Berdecit mulut Mak Su Normah menitip pesan. Muka Iman dipandang lama. Bukan boleh percaya sangat dengan budak Iman ni. Kalau tidak dipesan, mahunya diredah saja.
Iman juihkan bibir. Mula bosan dengan mulut Mak Su Normah yang tidak henti-henti bersiul dari tadi. Rasanya, sudah beratus kali Mak Su Normah menitip pesanan yang sama. Naik bernanah dah telinga dia. Kalau tidak fikir sekarang ini dia berada di rumah orang, pasti sudah lama dia menjawap mulut emak saudaranya itu. Kalau dia menjawap dekat sini, alamat gali lubang terjun sendirilah! Wan Bedah tak ada untuk membela dia. Mahunya masak dia kena gulai dengan Mak Su Normah nanti. Garang wooo!
“Haa... eloklah tu! Terjuih-juih bibir tu. Kalau kamu buat perangai dekat sini, siap kamu!” Mak Su Normah celikkan kedua belah matanya luas-luas kepada Iman. Budak Iman ni kalau tak gertak macam tu, memang tak jalan. Mahunya perangai menjawap dia tu, dibawa ke sini.
“Mak su ni, bising betullah! Kalau Iman tahu mulut mak su macam ni, sumpah Iman tak ikut. Dari tadi asyik berbunyi aje. Naik cair tahi telinga Iman ni.” Hah! Iman dah mula dah. Dah mula perangai menjawap dan kepala angin dia tu.
Makin bulat mata Mak Su Normah. Kalau ikutkan hatinya yang tengah geram itu, rasa mahu dicili-cilikan saja mulut Iman saat ini. Menjawap saja kerjanya! Tapi itulah... Kerana dia tahu perangai Iman itu memang sama saja dengan perangainya, sedaya upaya dia menyabarkan diri. Takut pula dia hilang sabar dengan budak bertuah sorang ni.
Mak Su Nomah urut dada sendiri. Berkali-kali dia menarik nafas dan hembus kembali. Terasa sedikit tenang.
“Dahlah, mari masuk.” Suara Mak Su Normah sudah mengendur. Pintu utama rumah banglo itu ditolak perlahan dan berhati-hati.
Iman tersengih kecil. ‘Yes! menang.’ Hatinya menjerit suka.
“Mak aii! Ini, rumah ke istana mak su?” terbeliak biji mata Iman sebaik sahaja kakinya memijak marmar putih bercorak bunga di lantai rumah banglo itu. Terasa sejuk tapak kakinya. Segenap ruang di dalam rumah banglo itu dijelajah dengan penuh minat.
 Perabot-perabot dan barang-barang hiasan yang berharga ribuan ringgit tersusun kemas dan cantik. Nampak sungguh mewah! Memang jauhlah bezanya dengan rumah papan Wan Bedah di kampung.
Seketika mata Iman terpaku pada sebuah potret lama yang tergantung kemas di sudut tengah ruang tamu besar itu. Potret seorang kanak-kanak lelaki berumur dalam lingkungan tiga tahun sedang duduk di riba seorang perempuan yang nampak anggun berkebaya. Saat matanya tersorot tepat pada gambar perempuan itu, dadanya rasa berdebar dengan tiba-tiba. Darahnya tiba-tiba saja rasa gemuruh. ‘Kenapa dengan aku ni?’ Dahinya berkerut seribu.
“Yang kamu termenung tengok gambar tu kenapa?” Mak Su Normah sudah mula balik. Sudah mula hendak pasang radio buruknya semula. Muka Iman direnung tidak berkelip.
Iman mengeluh kecil. ‘Mak su nak mula lagilah tu!’ Detik hati Iman sambil tangan sudah naik menggaru kepala yang tidak gatal.
“Mmm, tak ada apalah mak su. Cuma tertarik dengan budak lelaki dalam gambar tu.” Dalih Iman.
“Tertarik kenapa? Itu gambar lama,” giat Mak Su Normah. Dahinya berkerut juga.
  “Kenapa muka budak lelaki dalam gambar tu nampak lain?” tanya Iman.
“Apa yang lainnya? Mak su nampak macam biasa aje.” Mak Su Normah kecilkan matanya. Muka budak lelaki di dalam gambar itu, direnung bersungguh.
“Hish, mak su ni! Cuba buka mata tu luas-luas.. Bukan ke muka budak lelaki tu nampak macam muka anak orang korea sikit? Mata sepet, hidung mancung.. Tapi, kulit dia tak adalah putih melepak.” Bersungguh Iman cuba menyakinkan mak sunya. Mentang-mentanglah dia tu hantu cerita korea, terus dia bagi macam muka anak orang korea.
“Ooo... itu...” Mak Su Normah tersengih kecil.
“Mah?”
Baru saja Mak Su Normah mahu menyambung kata, nama dia tiba-tiba saja diseru. Laju dia menoleh pada tangga kayu yang berkilat dan terukir cantik itu. Mata Iman juga sudah fokus pada tempat yang sama. Di hujung anak tangga berdiri seorang wanita yang berumur dalam lingkungan lewat 50-an, tetapi perwatakannya masih lagi nampak anggun dan menawan.
Sekali lagi mata Iman terpaku lama di situ. Wanita yang nampak sebaya dengan Wan Bedah itu ditilik lama. Memang masih nampak anggun dan bergaya. Kebaya nyonya yang tersarung cantik di tubuhnya itu, dipadankan pula dengan kain batik jawa yang bercorak burung merak dan rambut yang disanggul tinggi itu, menampakkan dia lima tahun lebih muda daripada usianya yang sebenar.
Potongan badannya juga masih langsing dan cantik. Dalam hati Iman mula berasa kagum dengan wanita itu. ‘Agaknya, inilah mak engku. Mak aii, boleh tahan juga orangnya! Hmm, kalau dah duit banyak... tak mustahil Iman oii! Sekelip mata aje boleh cantik.’ Getus hati Iman.
“Mak engku...” Mak Su Normah sudah tersenyum lebar.
Perlahan langkah Tengku Faridah diatur menuruni anak tangga. Nampak begitu sopan dan bergaya. Mata Iman tidak berkelip, penuh kagum melihat wanita itu. ‘Mak aii, kalau nak bandingkan dengan mak su pun, memang dia nampak jauh lebih mudalah!’ dalam hati Iman tidak henti-henti memuji.
Entah kenapa saat wanita anggun itu berhenti betul-betul di hadapannya, hati Iman berdebar-debar. Rasa macam hendak gugur saja jantungnya. Lebih lagi bila mata wanita anggun itu tidak lepas daripada merenung dia. Serba tidak kena jadinya.
“Mak Engku, inilah Nurul Iman... Anak saudara saya.” Mak Su Normah perkenalkan Iman kepada Tengku Faridah. Awal-awal lagi dia sudah maklumkan tentang kedatangan Iman kepada Tengku Faridah.
Mata Tengku Faridah masih terpaku lama pada Iman. Perasaannya tiba-tiba saja terasa lain. Terpandangkan saja wajah Iman yang comel dan lembut itu, hatinya tiba-tiba saja terjatuh sayang. Wajah itu mengingatkan dia kepada seseorang. Seseorang yang sudah lama pergi dari hidupnya. Seseorang yang sudah lama menghilang. Hatinya disapa sayu dengan tiba-tiba.
“Apa khabar mak engku?” Laju Iman menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Tengku Faridah. Dalam hati terasa pelik juga melihat wajah wanita itu, yang berubah riak, menjadi mendung dengan tiba-tiba.
“Panggil nenda saja.” Laju tangan Iman disambut oleh Tengku Faridah. Tanpa disangka-sangka, tubuh ramping milik Iman diraih kejap ke dalam pelukannya. Lama. Terpinga-pinga Iman dibuatnya.
Mata Iman mula mencari anak mata Mak Su Normah. Dalam hati Iman, jangan ceritalah! Berdesup-desup persoalan datang bertamu. Apa dah jadi ni? Kenapa kena peluk dengan tiba-tiba aje ni?
Mak Su Normah nampak tenang saja. Walaupun ada riak keruh pada wajahnya, namun dia berusaha juga untuk berlagak setenang yang mungkin. Anak mata Iman ditentang juga. Ada senyuman kelat yang terukir di wajahnya. ‘Ini baru permulaan...’ Hati Mak Su Normah berbisik yakin.

IMAN bergolek ke kiri dan kanan. Kemudian bangun berdiri pula di atas katil. Macam budak-budak baru dapat gula-gula, dia melompat-lompat di atas tilam yang empuk itu. Melantun-lantun macam bola hoki yang dilambung.
“Wah... lembutnya tilam ni!”
Iman teruja. Mahunya, tidak! Kalau tilam dia dekat kampung tu, kalau dia melompat macam tu.. mesti sudah patah katilnya. Makin seronok pula dia melompat dan melompat.
“Ya Allah! Kau turun sekarang! Budak bertuah ni.” Mak Su Normah sudah menjerit macam halilintar. Lagaknya lebih dari mak tiri cinderella.
Gedebuk!!!
Dek terlampau terkejut dengan jerkahan Mak Su Normah, Iman terjatuh dari katil macam nangka busuk. Berpisat-pisat dia bangun semula.
“Apa ni, mak su... Suara macam petir! Nasib baik tak patah pinggang orang ni,” runggut Iman sambil menggosok pinggangnya yang terasa sengal. Dia buat nampak tidak nampak sahaja muka cemberut mak sunya itu. Allah, bukan tak biasa tengok pun! Sudah biasa sangat dah.
“Kamu jangan nak buat hal dekat sini, ya? Geramnya aku dengan budak bertuah ni! Kalau runtuh katil tu tadi, kamu ada ke duit nak ganti?” Mata Mak Su Normah sudah mencerlung tajam kepada Iman.
“Hee... Tak ada! Allah, bukan runtuh pun mak su. Ni katil mahallah mak su, mana boleh senang-senang nak runtuh. Lagipun, Iman ni bukan besar sangat. Kalau mak su yang lompat dekat atas ni tadi, Iman yakin mesti runtuh punya. He... he... he...”
Sempat lagi Iman mengenakan mak sunya.
“Eeii.. Geramnya aku dengan budak ni! Nah, rasakan..” Satu cubitan halus sudah hinggap di lengan Iman.
“Aduh! Mak su... Sakitlahhh...” Iman sudah terjerit kecil.
“Padan muka! Mulut tu kalau tak menjawap, memang tak aman kan?”
“Mak su, ni... Mentanglah wan tak ada dekat sini, suka-suka aje nak buli orang! Menyesallah ikut mak su ni. Patutnya Iman duduk aje dekat kampung tu. Tunggu Abang Asyraf masuk meminang.” Iman buat muka. Sakit hati betul dengan Mak Su Normah. Sakit tau, kena cubit!
“Hah, baguslah! Berangan tak sudah.. Kalau perangai macam kamu ni, tak ada siapa nak buat bini. Sepatah orang bercakap, sepuluh patah kamu menjawap!” Bidas Maksu Normah. Geram!
“Habis tu, mak su tu? Oo... patutlah sampai sekarang maksu tak kahwin! Kuat menjawap rupanya...” Selamba Iman membalas. Dia sudah tersenyum senget. Suka tengok muka mak sunya bertukar jadi merah macam biji saga.
Makin bulat mata Mak Su Normah. Iman dekat depan dia nampak macam besar-kecik, besar-kecik saja. Kalau ikut hati, memang selamat dah mulut anak saudaranya itu kena cili. ‘Huh! Sabar Mah.. Kalau kau berlawan cakap dengan budak ni, sampai esok pun belum tentu habis.’ Mak Su Normah tarik nafas dalam-dalam. Cuba menyabarkan dirinya.
“Hmm, malaslah mak su nak layan kamu! Dah, pergi tidur. Esok nak kena bangun awal. Ingat tu... Esok dah mula kerja.” Suara Mak Su Normah sudah mengendur. Segaris senyuman diberikan kepada Iman sebelum dia berlalu ke pintu.
“Mak su!”
 Langkah Mak Su Normah terus mati tatkala namanya diseru oleh Iman. Spontan dia menoleh ke belakang.
“Iman sayangkan mak su. Maaf, ya?” Pinta Iman perlahan. Muka Mak Su Normah ditatap lembut. Sungguh, dia sayangkan wanita itu. Wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri.
Mak Su Normah terdiam sejenak. Hatinya disapa hiba dengan tiba-tiba. Kalau Iman sayangkan dia sebesar gunung, dia sayangkan Iman lebih dari itu. Bergunung-gunung banyaknya! Sebuah senyuman lambat-lambat terukir di bibirnya.
“Dahlah! Mak su pun sayangkan Iman. Tidur, ya?” ucap Mak Su Normah perlahan. Dia kemudiannya menutup semula pintu bilik Iman dan berlalu ke biliknya.
Iman tersenyum sendiri. Tubuhnya direbahkan semula ke atas tilam yang empuk itu, sambil matanya masih meliar ke segenap ruang bilik yang sedang dihuninya kini. Cantik dan selesa. Tapi, kenapa hatinya tidak gembira? Dia masih rindukan tilam kerasnya di kampung. Dia rindukan Wan Bedah. Walaupun baru saja berpisah, rindunya pada Wan Bedah sudah menggunung tingginya.  Dalam kepayahan dia cuba juga untuk lelapkan mata. Entah pukul berapa barulah dia terlena.





No comments:

Post a Comment