DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 3

“MINTA perhatian, semua pelajar kolej
dikehendaki berkumpul di dataran pelajar sekarang!” Dua
tiga kali pengumuman itu dilaungkan.
“Hish, kacau betullah. Bila aku nak study,
ada aje yang nak mengganggu,” keluh Acam lalu
mencampakkan novel di tangannya ke atas katil.
“Yalah, studylah sangat… study novel, kan,” sindir
Ros sambil menarik tudung yang tergantung di tepi pintu
bilik.
Sindiran Ros disambut dengan sengihan yang
terseringai di mulut comel Acam. Alah, biasalah siapa
tak kenal Acam dengan novel-novel dia tu. Itu belum lagi
datang mood dia melayan e-novel di blog-blog penulis.
Suruh saja dia senaraikan nama-nama blogger
merangkap penulis e-novel, mesti penuh dua muka surat.
“Alah, kau ni Ros. Bukan tak tau, malam-malam
minggu ni, study novellah pulak. Dah hari-hari asyik
hadap buku-buku rujukan tu, naik kematu otak aku. Otak
ni pun kena ada entertainment juga, kalau tak jammed
babe,” balas Acam sambil membaling kusyen lovenya
kepada Ros yang mencebik mendengar alasan Acam.
Eleh, muka ganas, tapi kusyen lovey dovey gitu. Tak
boleh blah budak Acam ini. Semakin lama mengenali
Acam, semakin menarik hati Ros untuk terus mengenalinya.
Gadis ini memang lain daripada yang lain. Mulut dan
perwatakan dahsyat, tapi hati dalam ada taman indah
yang dipagari kemas, takut diredah oleh pengunjung
tidak berhemah.
Sebelum pintu bilik digegar oleh warden,
baik cepat-cepat mereka turun. Entah apa-apalah malammalam
minggu macam ini hendak buat assembly bagai.
Orang tengah seronok-seronok layan feeling dengan
watak-watak dalam novel tu, gerutu Acam. Sekurangkurangnya
tidak dapat boyfriend macam hero dalam
novel tu, dapat membayangkan pun jadilah. Bahagianya
hidup.
Dataran Pelajar telah dipenuhi dengan pelajarpelajar
lelaki dan perempuan. Riuh-rendah suara-suara
pelajar mulai surut apabila warden mula berucap di atas
pentas.
“Petang tadi terdapat satu insiden yang agak
merbahaya berlaku di kolej kita. Telah berlaku panahan
petir di Blok H, iaitu blok pelajar lelaki yang berhampiran
dengan kantin. Saya nasihatkan agar semua pelajar
lebih berhati-hati supaya tiada lagi sebarang insiden buruk
berlaku. Untuk pelajar-pelajar di Blok H, kami terima
banyak aduan mengenai kamu ya, jadi lepas ni sila jaga
tatasusila kamu. Mungkin panahan petir tadi tu satu
pengajaran untuk kamu semua.” Panjang lebar
pengumuman dan nasihat yang diberikan oleh warden.
Acam terkekeh-kekeh ketawa mendengarnya.
Malah sampai menekan-nekan perutnya sebab terlalu sakit
menahan tawa yang tidak dapat dilepaskan habis. Ros yang
menyedari mereka menjadi perhatian beberapa kumpulan
pelajar yang berada di sekitar mereka menyiku Acam yang
ketawa tidak ingat dunia.
Menyedari mereka diperhatikan, Acam mematikan
tawa tapi masih terhinggut-hinggut menahan gelak.
Padan muka, kacaulah orang lagi, bisik hati Acam. Orang
tua-tua kata, petir itu dipanahkan kepada syaitan dan
iblis. Agak-agaknya ramailah golongan dan kawan-kawan dia
orang di blok itu ya. Kalau boleh mahu melompat-lompat di
situ juga tapi kenalah control ayu sekejap.
“Mak aku kata, Allah turunkan petir untuk fire
kat syaitan dan anak cucu cicitnya, haha... Kat Blok H
tu banyak jin kut selain daripada ungka-ungka yang
bergayut tu, tulah pasal kena panah petir,” kata Acam
dengan tawa yang masih berbaki. Ros dan beberapa orang
pelajar perempuan yang mendengar sindiran Acam
akhirnya tidak dapat menahan hati daripada tertawa.
Gelak besar mereka. Tanpa disedari ada sekumpulan
pelajar lelaki yang memerhatikan mereka dengan
jelingan yang tajam. Telinga sudah hendak bernanah.
“Hei... mulut perempuan tu,” getus Kudin
menggelengkan kepala.
“Kalau aku dapat, aku tenyeh-tenyeh mulut tu
dengan stoking bola aku yang seminggu tak cuci tu,”
sampuk Muzzafar sambil mencebik. Geram mendengar
komen gadis yang tak macam gadis tu.
“Hah, kau orang jangan nak mengada-ngada ya,
aku dah chop dulu budak tu. Kalau aku dapat mulut tu,
tahulah apa aku nak buat, hehe…” ujar Dzil sambil
menjeling Acam yang masih ketawa. Tersungging satu
sengihan di mulut lelaki itu.
Rakan-rakan yang dapat mengesan niat nakal Dzil
turut tertawa sambil menepuk-nepuk bahu Dzil.
“Semoga berjaya, kawan,” ucap mereka serentak.
Pecah berderai tawa yang akhirnya terbantut apabila
berpasang-pasang mata mula memandang ke arah
mereka.
Acam juga tidak terkecuali memandang ke arah
kelompok pelajar yang ketawa tidak ingat itu. Segera dia
mengalihkan wajah apabila menyedari siapa yang berada
di antara kelompok itu. Malah, Dzil sempat mengenyit
sebelah mata ke arahnya. Hish, ada juga mamat ni kat sini,
benci! bentak Acam sendirian. Ros yang terperasan insiden
itu tertawa kecil. Takut hendak ketawa kuat-kuat, nanti
dapat satu penangan daripada budak Acam ini.
Setelah mendengar sepatah dua amanat
daripada warden, perhimpunan disuraikan. Pelajar-pelajar
bersimpang-siur menuju ke arah hostel masing-masing.
Dalam pada itu, masih terdengar di telinga Acam namanya
disiulkan. Ada yang kena panah petir sekali lagi ni nanti,
kali ni bukan petir dari langit, petir dari mulut aku ni pulak,
getus Acam tidak puas hati.
Acam menjeling tajam ke arah suara-suara
gatal yang menyiul namanya tadi. Pandangannya yang tajam
terhenti pada seraut wajah yang tersenyum
memandangnya. Ada getaran hebat yang melanda
hatinya saat itu. Namun segera dia tersedar dan cepatcepat
berlalu. Sepanjang malam, Acam masih berfikir
tentang insiden tadi. Dia tidak faham kenapa ada rasa
getar di hatinya itu. Novel yang ada di tangan hanya
nampak huruf-huruf kecil yang tiada makna. Fikiran jauh
melayang, mencari apa sebenar yang terdetik di hati…
KALUT! Di Blok H, hati Dzil semakin berbunga. Renungan
polos gadis idamannya tersemat di ruang ingatan.
Rasanya, itulah pertama kali dia melihat wajah itu setenangtenangnya.
Tiada garis amarah dan tiada rona ganas
memberontak di wajah putih bersih itu. Niat dan tekad
untuk memiliki sekeping hati itu dikukuhkan. Biar apa pun
yang mendatang, akan ditempuh dengan tabah. Acam, kau
akan jadi milik aku suatu hari nanti, bisik Dzil dan terlena
dengan senyuman serta ingatan terhadap gadis pujaannya
itu.
Hari ini ada pasar malam di belakang hostel
perempuan Blok F, blok yang diduduki oleh Acam dan Ros.
Dari tingkap bilik pun sudah boleh nampak gerai apa yang
dibuka. Kecur air liur Acam melihat bermacam-macam
makanan yang dijual di gerai-gerai yang berderet itu.
Tergerak pula hati Acam hendak berjalan-jalan ke
pasar malam. Sambil-sambil mencuci mata, boleh juga
mencari sesuatu untuk menjamu selera.
“Ros, jom jalan-jalan cari makan kat pasar
malam,” ajak Acam yang sudahpun tercongok
di hadapan Ros.
“Boleh juga, aku pun rasa lapar juga ni.”
“Awal bulan, kan. Ongkosnya masih banyak
untuk dihabisi, bu.” Perghh, tiba-tiba terkeluar bahasa
seberang pula.
“Banyaklah kau punya banyak. Poket aku dah nak
rabak asyik beli mechanical set aje bulan ni,” sangkal Ros
sambil tangannya lincah mengemas alat tulis yang bersepah
di atas meja belajar setelah digunakan sebentar tadi.
“Betullah kan, aku pun kena jimat juga ni. Banyak
lagi barang nak kena beli.” Seboleh-bolehnya mereka tidak
mahu terlalu banyak membebankan keluarga dengan
perbelanjaan mereka di situ.
Masing-masing menyalin pakaian yang dipakai.
Mustahil nak ke pasar malam pakai cardigan aje. Hish,
kenalah pakai lawa-lawa juga. Sekurang-kurangnya selesa
dan manis dipandang orang. Eleh, bukanlah pakai cardigan
tu tidak lawa tapi selalunya macam itulah. Asal sarung
cardigan saja, mesti tidak sempat tengok cermin lama-lama.
Kadang-kadang muka pun tidak sempat hendak sapu bedak
bagai.
Rupanya ramai juga pelajar yang turun ke pasar
malam itu. Mungkin awal-awal bulan ini, poket masih
tebal. Bila sudah surut poket itu nanti, lenganglah pasar
malam ini. Dari satu gerai ke satu gerai mereka singgah.
Jelajah mata, nafsu dan selera. Mata dijamu dengan
berbagai juadah yang dijual.
“Hai awak, seorang aje ke?” Satu suara menegur
Acam. Macam pernah dia mendengar suara itu, lalu Acam
menoleh ke arahnya.
“Hish... sibuk ajelah awak ni. Tak ada tempat lain
ke awak nak pergi, mainlah jauh-jauh,” balas Acam dengan
nada sebal. Mamat kerang busuk ni lagi, tak ada muka lain
ke, bisik Acam.
“Sombongnya, tak apa…” jawab Dzil sambil
tersenyum lebar.
“Hai Ros, beli apa?” Dzil beralih kepada Ros yang
berdiri di sebelah Acam.
Hoi, buta apa mata mamat ni? Sah-sahlah kalau
tak beli nasi kerabu beli nasi dagang. Dah ini aje yang
dijual di gerai ni, takkan nak beli rojak kut, gerutu hati
Acam. Bengkak dengan soalan darjah satu si Dzil itu. Sudah
tidak ada idea lain ke hendak mengayat perempuan.
“Oh, Dzil. Ros dan Acam nak beli nasi kerabu
ni. Rindu kat kampung halaman, tulah boleh juga buat
pengubat rindu,” jawab Ros dengan senyuman Colgatenya
tu. Alahai Ros, rajin betul kau melayan, gerutu Acam lagi.
“Hmm... seorang aje ke?” tanya Dzil lagi. Ros
menggelengkan kepala.
“Taklah, Ros dengan room-mates Ros ni... Puteri...
ehh... Acam ni ha.”
Acam menyiku lengan Ros apabila tersedar
yang rakannya itu hampir menyebut nama penuhnya.
Semakin besar senyuman di wajah Dzil apabila melihat
wajah Acam yang sudah merah padam. Comel, comel,
comel! Cuba cakap kuat-kuat macam Upin, harus makan
pelempang.
“Jom Ros, sibuk aje mamat ni.” Tangan Ros
ditarik sesudah bungkusan nasi kerabu bertukar tangan.
Ros hanya tersenyum melayan kerenah Acam dan Dzil.
Dalam hati sudah dapat menangkap sesuatu tentang
mereka berdua.
“Budak Dzil tu baik sebenarnya,” kata Ros ketika
mereka duduk bertimpuh di atas tikar menghadap nasi
kerabu yang dibeli. Acam hanya mendiamkan diri, tidak
berkutik. Malas hendak mengkritik kata-kata Ros tapi
dalam hati terlonjak-lonjak ingin mengetahui lebih
lanjut. Malu-malu kucinglah pula.
“Dzil tu satu kelas dengan aku, budak Johor juga,”
sambung Ros lagi.
“Aku tahu dia budak Johor, kau ingat tak pasal
budak yang aku pernah ceritakan kat kau dulu? Alah,
mamat poyo yang selalu sakat aku, yang selalu buat
aku sakit hati tu? Hah, mamat nilah a.k.a ungka-ungka
yang bersidai kat Blok H tu,” celoteh Acam dan disambut
dengan gelak besar daripada Ros.
“Oh.. kisahnya. Patutlah kau angin satu badan
aje dengan si Dzil tu. Jangan angin sangat Acam oii. Mak
aku kata, kalau nak benci orang, biar berpada-pada. Nanti
takut kau tercinta gila-gila kat orang tu,” usik Ros sengaja
menduga hati Acam.
Kelat wajah Acam mendengarnya. Bibirnya
dijuihkan sedikit tanda memprotes kata-kata Ros.
“Aku? Jatuh cinta gila-gila dengan mamat tu? Nehi
kabhi nehi!” Wah, sempat buat drama Hindi pula si Acam
ini. Nasib baik tidak tersembur nasi kerabu dari mulut Ros
mendengarnya. Mana datang versi Hindi dalam ini cerita.
Semenjak insiden di pasar malam itu, setiap kali
habis kuliah pasti ada sahaja kiriman salam yang dibawa
pulang oleh Ros untuk Acam. Sudah jadi posmen tidak
bertauliah pula budak Ros itu. Setiap kali itu jugalah, Acam
akan menyuruh Ros untuk tidak melayan kerenah Dzil.
Jauh di sudut hati, Acam sudah terasa ada benihbenih
suka yang semakin bercambah. Makin cuba diracun,
makin subur pula ia mekar memenuhi ruang hati yang
sempit tu. Alahai, nak buat macam mana ni, jerit Acam. Tapi
dalam hati ajelah, mana boleh jerit kuat-kuat. Hilanglah
ganas si Acam tu nanti. Kantoi dengan Ros, lagi malu.
Jangan-jangan sumpahan yang Ros katakan tempoh hari
sudah terkena kut.

No comments:

Post a Comment