DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 1


AISYAH tersenyum tatkala terpandang wajah
abah dan emak yang duduk bersembang di pangkin
halaman rumah. Bukan main rancak lagi abah dan emaknya
bersembang petang itu. Siap dengan gelak tawa yang dipenuhi
bunga-bunga bahagia. Entah apalah yang abah ceritakan
kepada emak sampai begitu sekali kedengaran tawa emak.
Abah memang penuh dengan cerita lawak jenaka. Aisyah
juga suka mendengar cerita abah yang sering buat dia ketawa
riang.
Emak dan abahnya memang pasangan yang bahagia.
Tidak pernah sekali pun dia melihat emak dan abahnya
bertengkar. Jika ada pun emak marahkan abah, hanyalah
marah-marah sayang gitu. Marah emak tidak pernah
berpanjangan. Emak wanita paling baik pada pandangan
Aisyah. Ibu mithali dunia akhirat.
Tiba-tiba Aisyah mematikan langkahnya. Akalnya
terlintas sesuatu yang nakal untuk menyakat emak dan
abahnya yang masih belum sedar kepulangannya dari sekolah
petang itu. Dengan tersengih-sengih, dia terjengket-jengket
menghampiri emak dan abah. Seronok berbual sampaikan
kehadiran anak nakal seorang ini pun tidak disedari.
‘Heheheee!’ Aisyah ketawa nakal dengan kedua belah
tangan menekup mulut.
Senyuman pada bibir comel Aisyah semakin lebar
tatkala sudah berdiri betul-betul di belakang emak dan
abahnya. Tidak sabar hendak menjalankan rancangan
nakalnya untuk menyakat. Sebentar saja lagi pasti kecoh
suasana petang yang hening ini dengan latah emak. Tunggu
dan lihat sajalah nanti.
“Abah! Mak! Orang dah balik!” sergah Aisyah sengaja
membesarkan volume suaranya sambil mencuit pinggang
Puan Ainon.
“Oh, mak kau! Oh… oh… balik kampung, oh… balik
kampung, eh balik kampung!” terus sahaja Puan Ainon yang
terkenal dengan sikap latahnya itu melatah. Siap dengan aksi
tarian balik kampungnya sekali. Berjoget sakan dia.
Aisyah ketawa berdekah-dekah. Lucu melihat emak
yang kuat sangat melatah. Pantang dicuit, mulalah emaknya
itu melatah tak ingat dunia. Kiranya, latah emak merupakan
ubat paling mujarab mengubati kesedihan.
Encik Latiff yang turut terkejut disergah
sedemikian rupa hanya mampu tersengih. Nakal benar anak
kesayangannya seorang ini. Suka buat isterinya terkejut dan
melatah. Tapi… memang lucu isterinya apabila melatah, siap
dengan pakej tarian pak pong pak pongnya sekali. Sampaikan
dia sendiri tidak dapat menahan rasa lucu. Ketawanya turut
bergema menyaingi tawa si anak dara.
Setelah sedar daripada latahnya, Puan Ainon
mengetap bibir. Geram dengan perangai Aisyah yang kuat
menyakat.
“Nakalnya! Suka buat mak mati terkejut.” Gumam
Puan Ainon sambil jarinya sudah memulas lengan si anak
yang putih melepak.
“Adoi! Sakitlah mak.” Aisyah mengadu sambil
menggosok-gosok lengannya yang sudah berbekas merah.
“Siapa suruh nakal sangat? Suka buat mak terkejut.
Hah… terima la padahnya!”
Aisyah menahan tawa. Punggung sudah dilabuhkan
di sebelah abah dan lengan abah yang masih sasa itu dipaut
lalu kepala dilentokkan ke bahu abah tersayang.
“Alaaa… Aisyah gurau sikit ajelah mak. Mak tu
yang kuat melatah. Baru cuit sikit, dah menari lebih-lebih.
Kan abah kan?” Aisyah berpaling kepada Encik Latif
meminta sokongan padu lelaki itu. Dia tahu abah pasti akan
menyokongnya. Anak kesayangan abah katakan...
Serentak itu juga Encik Latiff mengangguk.
Menyokong penuh kata-kata anak manjanya yang baru
berusia empat belas tahun itu. Masih keanak-anakan.
Melihat anggukan kepala suaminya, Puan Ainon
menarik muka. Muncung sudah panjang sedepa. Geram
apabila sang suami terlalu menyokong si anak. Apa saja yang
anak manja seorang itu kata, dianggukkan saja kepalanya
tanpa membantah. Tak pernah nak geleng. Dia juga yang
bersendirian.
“Alamak… Aisyah nampak tak muncung itik
kampung dah muncul?” sakat Encik Latiff.
“Haah la abah. Panjangnya muncung. Dah serupa
itik dekat rumah Pak Cik Yakub pulak Aisyah tengok. Sebijik!”
tambah Aisyah disertai tawa besar si abah.
Puan Ainon ketap bibir. Anak-beranak berdua itu
suka sangat menyakatnya.
“Huh! Abah dengan anak sama aja perangainya!”
dengus Puan Ainon. Terasa apabila ditertawakan dua beranak
itu.
Inilah padahnya apabila anak hanya seorang. Tiada
anak lain yang boleh disogok untuk menyokong. Yang
seorang ini memang tentu-tentu penyokong setia suaminya.
Bukannya dia tak ingin beranak lagi. Cuma, sudah tiada
rezeki untuk dia mempunyai anak yang ramai setelah
melahirkan Aisyah. Puas sudah dia berusaha. Berurut ke sana
sini. Namun hanya Aisyah seorang sahaja satu-satu cahaya
mata yang Allah berikan kepada dia dan suami.
Melihat wajah masam si emak, Aisyah cuba memujuk.
Dipeluk tubuh Puan Ainon dari belakang dengan aksi manja.
Pipi itu pula menjadi mangsa kucupannya bertalu-talu. Dia
memang suka mengucup pipi emak. Manjanya dia kepada
emak tidak pernah berubah meskipun dia sudah berusia
empat belas tahun.
“Alaaa… Aisyah dengan abah gurau ajelah mak. Mak
janganlah merajuk. Tak lawa la mak buat muka macam ni.
Senyumlah sikit, senyuman mak senyuman paling cantik kat
dunia ni. Senyum la mak.” Penuh manja, si manis berusia
empat belas tahun itu memujuk. Lunak suaranya meraih
perhatian sang ibu sambil melentok manja kepala ke bahu
Puan Ainon.
Puan Ainon menghela nafas. Inilah yang dia lemah
apabila anak seorang itu sudah mula merengek manja
memujuknya. Buat rajuknya tidak betah dan senyuman indah
terukir pada bibirnya yang memerah bak buah delima. Pantas
tangannya menyentuh mesra pipi halus mulus Aisyah.
Aisyah mengucup pipi emaknya penuh kasih.
Sungguh! Dia amat bahagia punya abah dan emak yang
begitu menyayanginya. Emak dan abah begitu bererti dalam
hidupnya.
KELOPAK BUNGA cempaka yang gugur dan jatuh ke
atas riba mengembalikan Aisyah ke alam nyata. Jauh dia
terkenangkan kenangan silam sehingga membuatkan air
mata membasahi pipinya yang gebu dan mulus. Pantas air
mata yang berguguran membasahi pipi diseka.
Jag berisi air dan kelopak-kelopak bunga mawar
merah di tepi dicapai. Lalu diangkat dan disiram ke tanah
pusara milik Encik Latiff dan Puan Ainon. Sayu rasanya hati
kala menyiram air tersebut ke pusara dua orang tersayang.
Terasa bagaikan baru semalam dia kehilangan abah dan
emak, sedangkan telah masuk lima tahun dia bergelar anak
yatim piatu.
“Abah… mak… Aisyah rindu sangat dekat abah
dan mak. Rindu teramat sangat.” Luah Aisyah bersama air
mata yang kembali gugur membasahi pipi. Rindunya begitu
menggebu dan tak pernah padam buat dua insan yang begitu
bermakna dalam hidupnya ini. Sejak mak dan abah pergi,
hidupnya kosong dan bagaikan sudah tiada maknanya lagi.
Dia hidup bertemankan kenangan manis sepanjang hayat
bersama mak dan abah.
“Aisyah kena balik. Nanti mak su marah. Minggu
depan Aisyah lawat pusara mak dengan abah lagi ya. Aisyah
balik dulu mak, abah. Aisyah tak akan pernah lupa doakan
semoga roh mak dan abah tenang di sana.”
Dia bangun. Tikar dan juga jag tadi dibawa bersama.
Beginilah rutin harian hidup Aisyah setelah kehilangan abah
dan emaknya lima tahun lalu. Tanah perkuburan ini sudah
menjadi tempat setianya setiap pagi hari Jumaat. Tidak
pernah dia lupa datang ke tanah perkuburan ini. Hanya di
sini dia dapat melepaskan rindu kepada emak dan abah.
Matahari yang kian menampakkan diri membuatkan
Aisyah mempercepatkan langkah kakinya. Dia perlu sampai
ke rumah dengan segera. Takut jika dia lambat, mak sunya
sudah bangun. Nanti bising pula mak su apabila nampak tiada
sarapan pagi terhidang di atas meja makan.
Mujurlah juga kawasan tanah perkuburan Darul
Salam itu tidak berapa jauh dari rumah. Hanya lima belas
minit berjalan kaki, dia sudah sampai di halaman rumah
kampung berasaskan papan dan batu di bahagian bawahnya
itu. Bergegas dia mendaki anak-anak tangga batu untuk
masuk ke dalam rumah. Syukur kerana keadaan di dalam
rumah ketika itu masih sunyi. Itu petanda mak su dan
anak-anaknya belum bangun lagi.
Cepat-cepat Aisyah melangkah ke dapur. Langkah
dibawa menuju ke singki, lalu mengisi air ke dalam cerek
untuk dimasak. Tadi sebelum dia pergi ke tanah perkuburan,
dia sempat menyediakan nasi lemak untuk hidangan sarapan
pagi. Jadi tak adalah dia nak kelam-kabut sangat menyediakan
itu dan ini. Sekurang-kurangnya, tak adalah dia kena leter
dengan mak sunya nanti.
Dalam sibuk membancuh air teh kegemaran
keluarga itu, dia dikejutkan dengan satu suara. Mujurlah tak
gugur jantungnya mendengar teguran maha keras itu.
“Hah! Kau dah sediakan sarapan pagi ke?” sergah
Puan Ainin.
Aisyah yang terkejut melurut dadanya berulang kali.
Ingatkan siapalah yang tegur dia pagi-pagi begini. Mak su
rupanya. Awal pula wanita itu bangun hari ini. Biasanya mak
su hanya akan bangun apabila matahari sudah mencanak
naik di atas kepala.
“Hoi! Kau ni pekak ke apa? Tak dengar ke aku tanya
kau ni? Kau ingat aku ni bercakap dengan tunggul ke? Kau
ni kan memang suka tau buat aku hangin! Sengaja nak bagi
aku marah.” Geram pertanyaannya tidak berjawab, Puan
Ainin terus meluru ke arah Aisyah. Ditolak kasar kepala anak
saudaranya itu tanpa rasa simpati.
“Errr… dah mak su. Aisyah dah sediakan. Cuma
tinggal nak bancuh teh ni aje lagi.” Kalut Aisyah menjawab.
Takut sungguh dia apabila mak sunya sudah naik hantu.
Puan Ainin menjeling tajam. Sakit hatinya setiap
kali memandang wajah Aisyah. Wajah itu akan mengingatkan
dia kepada arwah kakak kembar tidak seirasnya. Dendamnya
kepada arwah Ainon masih lagi bersisa biarpun arwah kakaknya
itu sudah lama pergi. Disebabkan arwah Ainon, arwah Latiff
tidak pernah memandangnya. Dulu dia tergila-gilakan arwah
abang iparnya itu tetapi arwah Latiff mencintai arwah Ainon
dan begitu setia kepada kakak kembarnya itu.
“Dah! Pergi dari sini! Aku benci tengok muka kau.
Buat semak pemandangan aku je pagi-pagi ni.” Usir Puan
Ainin.
“Huarghhh!!! Apa bising-bising ni? Orang nak tidur
pun tak senang!” tiba-tiba muncul Fasha dengan muka yang
dipenuhi krim muka dan rambut menggerbang macam
pontianak tak cukup harum. Selamba badak saja gadis itu
menggaru-garu rambutnya yang menggerbang itu.
“Mak! Hantu kapur!!!” Seraya itu juga jeritan Puan
Ainin kedengaran memenuhi ruang dapur. Terkejut bukan
kepalang lagi dia apabila terlihat wajah anak daranya yang
sudah serupa hantu itu.
“Mak! Apa ni? Ini Fas la, bukannya hantu kapur. Apa
mak ni... samakan Fas dengan hantu pulak.” Gumam Fasha
geram apabila emaknya menyamakan dia dengan hantu.
Hantu kapur pula tu.
“Huh… krusss semangat! Nasib baik jantung mak ni
sihat. Kalau tidak… mahu gol mak sebab tengok muka kamu
tu.” Balas Puan Ainin sambil mengurut dada yang sudah reda
rasa debarnya.
Fasha menarik muncung. Teruk sangatkah muka
dia sampai emak sendiri pun tidak kenal. Atau… emaknya
sengaja nak buat drama. Alaaa… macamlah dia tak kenal mak
dia tu. Pelakon wanita terbaik dekat kampung mereka ni.
Aisyah yang sedari tadi menjadi pemerhati sudah
terlepas tawa melihat pertelingkahan mak sunya dan Fasha.
“Apa yang kelakar sangat ni sampai kau ketawa?
Seronok mengejek aku ke?” jerkah Fasha kepada Aisyah yang
dilihat sudah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Hai, kau masih tercegat dekat situ lagi? Kau tak
dengarkah aku suruh kau berhambus dari dapur ni tadi? Kau
dah tak reti nak basuh kain yang melambak-lambak kat dalam
bilik air tu? Kau tunggu apa lagi hah?” Puan Ainin sudah
masuk campur. Lengan Aisyah yang berbalut baju kurung itu
dipulas penuh geram.
“Auch… ampun mak su. Sakit mak su.” Rayu Aisyah.
Sakitnya cubitan mak su hanya Allah saja yang tahu.
“Dah tahu sakit, yang kau masih nak berdiri dekat
sini buat apa?”
Tiada jawapan daripada Aisyah. Hanya air matanya
saja yang mula mengalir menahan sakit pada lengan hasil
kepit ketam mak sunya itu. Dulu waktu emaknya ada, dia
tak pernah rasa sakit kena cubit mahupun dipukul. Kalau
ada pun emak mencubitnya, hanyalah sebuah cubitan manja
yang tidak meninggalkan sebarang kesan lebam. Tapi kini
setelah emak dan abah tiada, dia bagaikan sudah lali dengan
rasa sakit itu. Lebam-lebam itu juga bagaikan sudah biasa
kelihatan.
“Dah! Pergi dari sini. Benci benar aku tengok muka
kau tu.” Halau Puan Ainin dengan penuh rasa geram.
Tidak mahu berlengah lagi, Aisyah terus berlalu dari
situ. Dia takut andai masih berkeras di situ tangan mak su
akan naik memukul badannya pula. Itu pun kalau tangan
mak su yang naik. Kalau batang penyapu atau barang-barang
lain, tak ke naya jadinya.
Fasha hanya mencebik. Suka hatinya apabila emak
buat penyepit ketam kepada Aisyah. Jika dia diberi peluang,
mahu dicubitnya Aisyah kuat-kuat. Biar lebam kulit putih
melepak sepupunya itu. Baru puas rasa hatinya.
Dari dulu sampailah ke hari ini, dia memang tidak
pernah sukakan Aisyah. Dia cemburu melihat kecantikan
Aisyah. Dia cemburu apabila ramai anak-anak muda di
kampungnya ini yang tergila-gilakan Aisyah. Sedangkan
antara dia dengan Aisyah, dia lagi bergaya. Lagi seksi dan lagi
pandai bersolek. Nak harapkan Aisyah tu… hmmm… pakai
pun baju kurung aje. Dasar perempuan kampung yang kolot,
tak tahu peredaran fesyen semasa!
Iwan, buah hatinya itu juga sukakan Aisyah.
Macamlah dia tak faham pandangan anak mata Iwan kepada
Aisyah setiap kali lelaki itu datang menjemputnya di rumah
ini. Bukan main lagi. Menyakitkan hati! Malah dia dengan
Iwan sudah banyak kali bertekak kerana Aisyah. Dia sakit hati
apabila Iwan memberi perhatian kepada Aisyah.
“Kenapa mak lepaskan si ‘mangkuk ayun’ tu macam
tu aje?” dengus Fasha kurang berpuas hati.
“Hesy… mak bencilah tengok muka dia tu.
Menyampah! Daripada dia menyemak dekat sini, baik mak
halau dia cepat-cepat. Takde la selera mak ni mati sebab
tengok muka dia lama-lama. Buat hilang selera nak makan
aje.”
“Kalau nak halau pun, cubitlah kuat lagi. Biar dia
sedar diri sikit. Barulah mak halau dia pergi. Nanti mak
cubit dia sikit je, dia naik lemak tau.” Balas Fasha dengan
bibir yang termuncung-muncung. Punggung dilabuhkan
di atas kerusi. Bersedia mahu menikmati hidangan sarapan
pagi. Perut berkeroncong mencium aroma nasi lemak yang
membangkitkan selera makannya.
Puan Ainin memandang Fasha dengan pandangan
setajam keris taming sari.
“Hah… yang Fas ni pulak, tak reti-reti nak basuh
muka tu? Dengan muka penuh krim tu jugaklah Fas nak
melantak. Tak senonoh betul! Anak dara jenis apa ni?” Kini
geramnya beralih kepada anak gadis kesayangannya itu.
Sesekali tingkah Fasha yang entah apa-apa itu membuatkan
darahnya naik.
Fasha memuncung. Tidak suka apabila emak sudah
melampiaskan rasa geramnya. Ini semua Aisyah si mangkuk
tu punya pasal. Tak pepasal dia pula yang kena ‘sound’!

No comments:

Post a Comment