DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 2

MALAM semakin tua. Qaseh masih lagi
terpisat-pisat di tempat tidur, resah di perbaringan. Sekejap
dia berpusing ke kanan dan sekejap pula berpusing ke kiri.
Kemudian dia terlentang semula merenung terus pada atap
rumah yang sudah semakin uzur itu.
‘Hesy... mata!!!! Kenapalah kau susah sangat nak
lelap malam ni?’ gerutu Qaseh mula berasa bosan.
Qaseh terus bangun menuju ke jendela biliknya
lalu jendela itu dikuak luas. Ombak laut jelas kedengaran
di cuping telinganya bagaikan sebuah irama yang begitu
mengasyikkan. Bayu malam terus menerobos masuk ke
biliknya menerusi jendela yang terkuak luas itu, menampar
lembut tubuhnya sehingga membuatkan dia kedinginan.
Cahaya bulan purnama begitu terang pada malam itu
membolehkan dia melihat dengan jelas pokok-pokok kelapa
di halaman rumah yang daunnya terbuai lembut ditiup angin
malam.
Dia terus berdiri tegap di jendela sambil merenung
jauh ke halaman rumah. Fikirannya saat itu sudah melayang
entah ke mana. Qaseh masih buntu sebenarnya dengan
persoalan yang telah dibangkitkan datuknya semasa makan
malam sebentar tadi.
‘Atuk nak aku kahwin?’ Dia terus berperang dengan
emosinya, bagaikan tidak percaya dengan permintaan
datuknya itu. Tambah meresahkan hatinya apabila teringat
kembali kata-kata datuknya sebentar tadi.
“Qaseh, dua hari lepas ayah kamu ada datang
berjumpa dengan atuk. Kedatangan dia kali ini membawa
hajat.” Luah Tok Daud perlahan seolah-olah mencari ayat
untuk menyusun kata.
Dahi Qaseh sudah berlipat rapat merenung wajah
tua datuknya, menanti ayat seterusnya dari bibir tua itu.
Tetapi nampaknya Tok Daud masih belum berjaya menyusun
ayat dan Qaseh pula sudah tidak dapat menahan sabar lagi.
“Hajat apa tok? Buat apa dia datang ke mari?”
Ada nada tidak senang dalam suaranya. Muka Qaseh sudah
mencuka. Hatinya tiba-tiba saja terasa pedih apabila persoalan
tentang ayahnya dibangkitkan.
“Hmmm... dia ada bertanyakan tentang kamu, sama
ada kamu dah ada kekasih ataupun belum. Dia bercadang
nak jodohkan kamu dengan cucu majikannya.” Tok Daud
sudah tidak berselindung lagi. Dia sudah bersandar rapat
pada dinding dapur, merenung wajah Qaseh yang sudah mula
berubah riak.
“Apa ni tok? Kenapa dia nak sibuk-sibuk pasal
Qaseh? Selama ni dia tak pernah pun nak ambil tahu pasal
Qaseh, sekarang senang-senang datang nak jodohkan
orang!!!” bentak Qaseh dengan suara sedikit kuat tanda tidak
suka dengan apa yang telah disampaikan datuknya itu. Mana
tidaknya, tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba datang mahu
mengatur hidupnya.
“Hmm... apa pun dia tetap ayah kamu Qaseh.
Kamu wajib hormat dan taat pada dia. Mana ada seorang
ayah yang sanggup tengok anaknya hidup susah.” Luah Tok
Daud kedengaran lemah. Dia tidak mahu cucunya itu terus
berdendam dengan ayah kandungnya sendiri. Dia faham
perasaan Qaseh, tetapi dia tidak mahu cucunya itu menjadi
seorang anak yang derhaka.
“Qaseh tak nak tok!!! Qaseh janji, lepas ni Qaseh
akan cari kerja, Qaseh akan ubah nasib hidup kita.”
“Tapi, atuk pun mahu Qaseh kahwin.” Tegas Tok
Daud.
“Apa ni tok???” Mata Qaseh sudah membulat,
merenung tajam pada wajah tua datuknya meminta
penjelasan.
‘Kenapa dengan atuk ni? Kenapa nak suruh aku
kahwin pulak???’ Qaseh sudah berperang dengan perasaannya.
“Atuk dah tua Qaseh. Entah esok atau lusa atuk dah
tak ada lagi kat atas dunia ni. Siapa nak tengok-tengokkan
kau masa tu? Tak kan nak harapkan Aamar tu. Dia pun nanti
akan berkahwin, akan ada kehidupan sendiri. Lainlah kalau
kau nak kahwin dengan budak Aamar tu.”
“Tok!!! Qaseh boleh jaga diri sendiri. Ni zaman
moden tok. Perempuan dah boleh hidup tanpa lelaki.” Qaseh
masih belum mahu mengalah.
“Atuk tahu. Tapi kita ni diciptakan Allah
berpasang-pasangan. Lelaki itu memang diciptakan Allah
sebagai pelindung kepada kaum wanita. Kau kena ingat
tu.” Hujah Tok Daud panjang lebar. Dia harus perbetulkan
tanggapan Qaseh sekarang, tidak mahu Qaseh menyesal di
kemudian hari.
Lama Qaseh bungkam, akhirnya dia bersuara sinis.
“Menjadi pelindung? Kenapa ayah buang ibu daripada
hidup dia macam tu saja? Itu yang atuk panggil sebagai
pelindung?” Qaseh sudah tersenyum sumbing mematahkan
hujah yang disampaikan datuknya tadi. Sakit benar hatinya
apabila teringat kembali segala perbuatan ayahnya. Hatinya
bagaikan dicakar-cakar dengan benda yang tajam.
“Itu namanya tak ada jodoh, Qaseh. Cinta tu tak
kejam, tapi manusia yang silap menilai erti cinta dan lalai
dalam bercinta. Atuk rasa, atuk dah bagi pelajaran agama
yang cukup pada Qaseh. Tentu Qaseh percaya dengan qadak
dan qadar Allah.” Tok Daud merenung lembut ke dalam anak
mata cucunya itu, mengharap agar Qaseh akan mengerti. Dia
tahu, berkeras dengan Qaseh saat itu tidak akan membuahkan
apa-apa hasil.
“Hurrmm... atuk dah tak sayangkan Qaseh ye?” Ada
sebak dalam suaranya yang sudah tidak dapat dibendung lagi.
Air matanya hampir menitik. Dia tunduk merenung lantai
papan yang beralaskan tikar mengkuang itu. Sedih rasa
hatinya apabila datuknya tetap berkeras.
“Sebab sayangkan Qasehlah atuk buat semua ni,”
tegas Tok Daud lagi.
“Gangggg!!!”
Bunyi pelepah kelapa yang jatuh menimpa hujung
atap rumahnya itu menyentak lamunan Qaseh.
“Astaghfirullahal'azim...” Qaseh beristighfar
panjang. Air mata yang bergenang di tubir matanya diseka
laju. Entah kenapa perasaannya menjadi hiba tatkala
teringatkan segala perbualan bersama datuknya tadi. Dia
tiba-tiba berasa jauh hati dengan datuknya itu.
Bayu pantai terus berhembus lembut menyapa
tubuhnya yang ramping, lantas membuatkan hujung
rambutnya yang terlepas bebas separas pinggang itu terbuai
lembut ke kiri dan kanan. Malam semakin larut tetapi mata
Qaseh masih lagi segar dek kerana fikirannya yang bercelaru.
Akhirnya dia menutup jendela biliknya dan terus
menghilangkan diri ke dalam bilik air yang terletak di hujung
dapur. Dia mahu mengambil wuduk dan mahu menghadap
Sang Pencipta. Mahu mengadu segala resah dan gundah yang
sedang beraja di hatinya sekarang.
Saat dan tika ini, hanya Allah saja yang mampu
memahaminya. Hanya Allah sahaja yang mampu menjadi
pendengar yang setia, yang mampu memberi ketenangan
kepadanya.
Qaseh tidak salahkan Tok Daud. Dia tahu, datuknya
itu mahukan yang terbaik untuknya. Tetapi, hatinya...
hatinyalah yang sedang parah sekarang. Dia tidak pernah
percaya pada cinta, pada sebuah perkahwinan. Macam
mana dia mahu berkahwin? Tambah lagi dengan lelaki yang
langsung tidak dikenalinya. Hanya Allah saja yang maha
mengetahui perancangan-Nya.

No comments:

Post a Comment