DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 15 August 2016

Saya Sayang Awak - Bab 14



Bilik  yang diduduki oleh Qaira dan Arleena diketuk dari keluar. Puan Serena mengejutkan mereka untuk solat subuh. Dinding kayu agak bergema juga bunyinya. Lena sekali Arleena tidur malam tadi. Letak sahaja kepala di bantal, dia pun hanyut. Terlalu letih barangkali.  
Arleena mencapai tuala yang diletakkan di rak penyidai. Menutup kepalanya. Dia keluar untuk mengambil wuduk. Melintasi ruang tidur Ian Rayyan. Matanya mencari kelibat bosnya itu. Kasihannya. Ian Rayyan kelihatan meringkuk kesejukan. Mesti dia tidak tahan dengan kesejukan malam. Rumah kampung. Malam terlalu sejuk. Tempat tidur di sebelah menyebelah Ian Rayyan telah kosong. Agaknya mereka telah bangun. Tinggal bosnya dan beberapa anak kecil sahaja. Aduhai liat juga bos ni bangun pagi.
 Arleena dan Qaira mengambil wuduk bersama. Usai solat subuh Arleena keluar semula dari bilik. Qaira menyambung semula tidurnya. Kaki diatur ke dapur. Ingin membasahkan tekaknya dengan air mineral. Kelihatan beberapa orang lelaki dan Puan Serena berada di dapur. Si lelaki sedang menunggu giliran menggunakan bilik air. Mendengar bunyi derap kaki, Puan Serena berpaling.
“Belum solat lagi?” tanyanya kepada Arleena.
“Dah...nak minum air saja.” Arleena mengambil cawan lalu menuang air mineral yang berada di atas meja.
“Boleh tolong kejutkan Ian? Yang lain semua dah bangun tu” arah Puan Serena sambil menjuihkan mulut ke arah anak buahnya yang berdiri di tepi bilik air.
Biar betul dia disuruh kejutkan bos.
Puan Serena memandang Arleena. Tiada suara yang keluar daripada mulut Arleena.
“Aunty nak kopek bilis ni. Nenek nak masak nasi lemak pagi ni.”
Faham dengan maksud Puan Serena, Arleena menganggukkan kepala.
Arleena mengatur  langkah ke arah ruang tamu. Menuju ke tempat tidur Ian Rayyan.  Macamana nak kejutkan dia ni? Arleena menggaru pelipisnya. Di mana mahu disentuhnya. Arleena berdehem. Tiada reaksi daripada Ian Rayyan. Bahu Ian Rayyan ditepuk perlahan. Nasib berlapik. Dua tiga kali dia menepuk, Ian Rayyan tetap tidak bergerak. Amboi lenanya. Arleena menguatkan lagi suara memanggil nama bosnya dan tepukan di bahu Mr. Ian.
Dari jarak dekat sebegitu membuatkan Arleena tidak keruan. Menguatkan lagi perasaannya terhadap bosnya itu. Milik siapakah hatinya ini! Matanya tidak berkalih dari menatap wajah bosnya. Sungguh mulus. Tidurnya lena persis anak kecil. Deru nafas juga teratur. Dalam mata terpejam begitu, Arleena merasakan bosnya seksi sekali. Dengan seulas bibir merah tanda tidak merokok. Cukup sempurna ciptaan tuhan. Dia ralit memerhati.
Ian Rayyan menggeliat apabila terasa badannya disentuh. Dia membuka perlahan matanya. Terperanjat apabila melihat wajah Arleena begitu hampir dengannya. Adakah Arleena yang menepuknya tadi.
“Mama bos suruh saya kejutkan bos. Orang lain semua dah bangun.”
Arleena cuba mengawal rasa gugupnya. Itulah perhati lagi anak orang lama-lama. Nasib tidak diflying kick akibat terperanjat. Dia juga terkejut melihat reaksi spontan Ian Rayyan tadi. Apabila melihat Ian duduk, Arleena bangun lalu menuju ke biliknya semula.
Agaknya bos tahu ker dia tilik mukanya tadi. Apa la ko ni Arleena. Buat malu saja. Ian Rayyan masih lagi duduk. Melihat Arleena meninggalkannya. Terbayang wajah Arleena tadi. Wajah suci waktu pagi. Sungguh ayu sekali. Hatinya semakin bergetar melihat Arleena.

            Arleena membancuh air teh dan kopi untuk sarapan pagi itu. Qaira sedang menghidangkan nasi lemak di atas meja makan. Harum sekali aroma nasi lemak. Membangkit selera Arleena. Nenek, datuk dan beberapa orang lagi mak cik sedang duduk memenuhi meja makan.
“Kita hidang kat bawah jelah yang selebih ni,” beritahu Arleena pada Qaira.
“Ambik tikar kat belakang almari sana.” Beritahu nenek pada Qaira.
“Baik nek,” jawab Qaira.
Sepupu Qaira yang lelaki telah duduk mengadap menunggu hidangan. Terasa segan pula Arleena apabila diperhatikan begitu. Mana pula bosnya ini masih tidak kelihatan.
“Abang dah bangun belum? Tak masuk dapur ni.” tanya Qaira.
Arleena hanya mengangkat bahu. Tidak tahu di mana lelaki itu berada ketika ini. Takkan masih tidur lagi.
“Kita tunggu diaorang habis makan dulu la ya.” Saran Arleena kepada Qaira. Segan pula hendak duduk bersama mereka. Dahla semua lelaki.
            Belum sempat Qaira menjawab, kelihatan Ian Rayyan datang ke dapur. Kacaknya. Walaupun Ian Rayyan hanya mengenakan kain pelikat dan baju melayu sahaja. Pandai pula mamat saleh ni pakai kain pelikat. Kelihatan hujung rambutnya masih basah. Ian Rayyan mengambil tempat di sebelah Arleen. Alahai dia ni. Kenapa tak duduk sebelah adiknya sahaja.
“Awak nak makan sekarang ker?” Tanya Arleena.
Setahunya bosnya tidak makan awal pagi. Lagi satu boleh ker mamat ni makan nasi lemak?
“Abang nak makan apa?” Qaira bertanya kepada abangnya. 
            Ian Rayyan serba salah. Matanya hanya melihat nasi lemak yang terhidang. Apa yang hendak dimakannya. Kalau mintak lain agak-agak kena kutuk tak. Dahla malam tadi jenuh dia diusik oleh sepupunya. Matanya memerhati ke arah meja. Mencari kelibat mamanya. Tiada pula. Kalau tak, boleh juga dia mengendeng dengan mamanya. Takkan nak minta Qaira sediakan telur masak separuh untuknya. Kecoh nanti minah ni. Sekadar untuk mengalas perut. Bukan berlagak tapi perutnya akan sakit apabila makan hidangan berat pada waktu pagi.
“Mama mana?” tanya Ian Rayyan kepada adiknya.
Qaira memandang ke arah meja. Mamanya tidak kelihatan. Hanya papanya sahaja yang ada.
            “Kenapa?” tanya Qaira kembali.
 “Buatkan abang telur masak separuh ngan baked bean.” Pinta Ian Rayyan kepada adiknya. Dah tak ada orang lain nak minta tolong. Takkan nak susahkan Arleena. Ian Rayyan merendahkan suaranya takut didengari orang lain.
 Dato’ Kamarudin hanya memerhati tingkah anaknya. Melihat reaksi cemberut anak terunanya memandang nasi lemak sudah tahu apa dalam fikiran si anak bujangnya. Bukannya dia tidak tahu perangai Ian Rayyan. Alahai anak bujangnya itu. Apa yang dipinta dari si adik. Nak tergelak apabila melihat si abang membuat muka simpati kepada si adik. Dahla si adik hati kering. Dia tahu sejak sampai semalam lagi Qaira sering membuli abangnya itu. Nasib ada Arleena sebagai pelindung.
Dato’ Kamarudin hanya memerhati. Melihat keadaan anak bujangnya, dia rasakan keputusan meminta Ian Rayyan pulang adalah tepat sekali. Tengok sekaranglah anak bujangnya itu kekok dengan suasana kampung. Ikut perangai jahatnya mahu saja dia humbankan Ian Rayyan ke dalam tali air. Biar dia rasa bau lumpur. Kenal lintah dan pacat. Biar dia tahu asal usulnya.
            Arleena hanya menjadi pemerhati dua beradik itu tolak menolak.
“Ala..abang ni.. Ni kampungla.. makan aja lah nasi lemak ni. Kat sini mana ada baked bean or sosejla..” malas pula rasanya melayan karenah abangnya.
Sedangkan dia dengan Arleena masih belum menjamah hidangan. Tunggu turn. Mata masih mengantuk lagi ni. Dia tahu hari ini tenaga banyak hendak digunakan.
            Ian Rayyan masih merengek kepada adiknya.
Arleena menahan gelak. Kelakar pula rasanya melihat bosnya bersikap begitu. Boleh tahan juga bosnya itu.
Ian Rayyan beralih memandang Arleena. “Kalau nak gelak, gelak sajalah. Jangan nak buat hidung kembang macam tu.” Selamba badak Ian Rayyan menegur.
Dua tiga orang sepupunya memandang Arleena. Mereka tergelak kecil.
Arleena menarik muka. Hampeh malukan dia saja.
“Awak tolong carikan biskut atau roti untuk saya.” Tidak  jalan dengan adiknya, Arleena pula menjadi mangsa.
Arleena menggeleng.
Ian Rayyan membulatkan mata ke arah Arleena. Dalam kami saling membalas pandang, Puan Serena masuk ke dapur.
Ian Rayyan menarik nafas lega. Penyelamatnya sudah datang. Dia menjelirkan lidah kepada Arleena. Spontan saja tingkahnya. Tersentak Arleena.
            Bingkas Ian Rayyan bangun mendapatkan mamanya. Dipeluknya bahu mamanya.
“Mama tolong carikan abang biskut or what everlah..not nasi lemak please.” rayu Ian Rayyan kepada mamanya.
Dato’ Kamarudin tersengih melihat aksi manja anak bujangnya. Walaupun umur dah meningkat, kadang-kadang ada juga sikap keanak-anakkan. Macam manalah kalau anaknya sudah berumah tangga nanti.
Ian Rayyan mengambil tempat di sebelah papanya. Kerusi yang baru sahaja dikosongkan oleh pak ciknya.
            “Tak nak jamah nasi lemak?” tanya si papa kepada anak bujangnya.
Ian Rayyan hanya menggeleng kepala.
“Ian tak makan nasi lemak ker? Rugi la.” Nenek bersuara.
Semua mata memandang Ian Rayyan. Ada yang tersengih. Ian Rayyan hanya mengacip bibir.
“Dia dari kecil tak boleh makan berat waktu pagi. Nanti perut dia meragam. Nak pula sambal macam ni.” Puan Serena menjawab bagi pihak anak sulungnya.

“Arleena pun tak makan nasi lemak juga ker?” tanya nenek kepada Arleena apabila melihat Arleena belum makan lagi.
Arleena tersentak. Tidak disangka dia pula yang ditanya. Macam la dia ada kaitan dengan bosnya.
“Makan nenek. Sekejap lagi. Tunggu diaorang ni habis dulu.”
“Ooo...ingatkan kamu pun sama tak makan pedas.”
Arleena memandang ke arah Mr. Ian. Bosnya itu membuat isyarat kepada Arleena. Alahai nak air lain lagi ker. Dia tahu apa yang diminta oleh bosnya itu. Banyak betul pantang larang bosnya ini. Kopi dan teh tidak diminumnya. Tapi neslo boleh pulak. Susah nak bawak masuk majlis ni.
Arleena bangun. Dia bergerak ke arah almari yang menempatkan barang-barang untuk membancuh air. Susu di dalam peti ais diambilnya. Melihat tingkah Arleena, Puan Serena sudah tahu. Mesti dipinta oleh anaknya. Setahunya Arleena minum sahaja apa yang dihidangkan. Tidak banyak kerenah. Nampaknya Arleena begitu mengikut arahan si bosnya. Dah macam isteri melayan suami pula. Wajah dipaling ke arah anak bujangnya.
Ian Rayyan mengadap hidangan dengan tertib. Merah juga telinganya apabila digiat ketika Arleena meletakkan air neslo di hadapannya. Apa nak kisah, janji perutnya kenyang. Sesekali matanya menjeling Qaira. Menayangkan rasa kemenangan di pihaknya. 
“Pukul sebelas semua bersiap. Nanti kita muatkan sahaja ke dalam kereta siapa-siapa. Tak perlu bawak banyak kereta.” Datuk memaklumkan agenda pagi nanti.
Riuh rendah bunyi suara. Masing-masing mengatur kereta siapa yang hendak digunakan. Arleena dan Qaira hanya melayan nasi lemak di hadapannya. Baru sekarang mereka dapat menjamah hidangan.
“Sedapnya nasi lemak ni.” Ujar Arleena.
“Sedap kan? Nenek memang pandai masak. Tambah lagi kak jangan malu-malu.”
“Malu rugi,” jawab Arleena.


            “Jom pergi gym.” Ajak Harith sebaik sahaja Ryzal menyambut panggilannya.
“Ko tak keluar dengan Nina ker?” Tanya Ryzal.
 “Nina balik rumah parent dia. Arleena pun tak ada kan?” tanya Harith balik. Sebab itulah dia mengajak kawannya itu ke gym. Terasa badanya telah naik. Tidak sempat hendak bersenam.
            Terdiam Ryzal dengan pertanyaan Harith. Berubah mukanya. Nasiblah mereka bercakap di talian. Kalau tak pastinya Harith akan perasan perubahannya.
 “Ok..nanti aku jumpa ko kat gym.” Ujar Ryzal sebelum menamatkan perbualan mereka.
Ke mana pula Arleena? Arleena tidak memaklumkan apa-apa semasa mereka berjumpa semalam. Dia mendail nombor Arleena. Tidak berjawab. Dia mendail lagi. Masih lagi sama. Panggilannya masih tidak bersambut. Dia menghantar mesej kepada Arleena. Hatinya tidak tenteram.

“Akak tak bersolek ker?” soal Qaira. Baginya walaupun Arleena tidak mengenakan make up, wajahnya tetap cantik. Amat cantik. Geram melihat wajah Arleena. Dahla wajah Arleena tidak dicemari sebarang kesan jerawat.
“Meh Qaira make up akak.”
“Betul ker boleh make up?”
Arleena hanya mengenakan make up ketika menghadiri majlis-majlis sahaja. Kebiasaan Arleena lebih suka mengenakan lip glos dan foundation sahaja. Ada orang menawarkan diri, nak juga dia menadah muka. Lagipun dia suka cara Qaira make upkan mukanya sendiri. Nampak natural sahaja. Kena pula dengan kulit putih gebu Qaira.
Arleena menadah mukanya kepada Qaira. Melihat cara Qaira menyolek dirinya sendiri tadi dia percayakan kepada Qaira.
 “Jangan tebal-tebal tau.” Pesannya kepada Qaira.
 “Relaksla akak. Muka akan dah cantik. Qaira Cuma tambah-tambah sikit saja.”
Telefonnya Arleena berdering.
“Nak angkat ke kak?” Tanya Qaira.
“Tak pelah. Qaira teruskan je. Nanti akak call kawan akak tu balik.”
Qaira menyudahkan solekannya. Dia meminta Arleena melihat cermin solek. Terpegun Arleena melihat wajahnya.
“Cantiknya akak.”
Terasa kembang hidung mendengar pujian Qaira. Bukan nak bangga diri tapi dia rasakan wajahnya berlainan sekali. Cun jugak dia ek. Anak sape la ni haha..kalau Nina tengok ni mesti ternganga mulut...
“Siapa sebenarnya pengantin ni?”
Arleena mengusik Qaira. Keningnya dijongket.  
“Tengokla siapa jurusoleknya.” Qaira juga tidak mahu kalah.
“Eleh, dah model semula jadi lawa.” Nampaknya masing-masing tak nak mengalah. Akhirnya dua-dua ketawa besar.
Arleena mengambil tas tangannya. Lupa untuk melihat gerangan yang menelefonnya tadi. Mereka keluar dari dalam bilik. Jam menunjukkan hampir sebelas pagi. Pukul sebelas sudah hendak bertolak. Kami keluar sambil bergelak ketawa. Sampai di ruang tamu Arleena tercengang. Kenapa masing-masing senyap memandang dia dan Qaira ni.
Antek ye acik... nak awenn..”
Suara dari budak kecil yang memakai kemeja biru laut. Entah siapa namanya. Cute juga budak ni dengan rambut ala mohawknya. Trend rambut budak-budak sekarang. Amboi laju pula mulut budak ni. Menarik perhatian mereka yang berada di ruang tamu. Tak pasal-pasal Arleena menjadi tontonan mereka.
 “Ni siapa pengantin? Cantiknya.” Mak Ngah bersuara.
Yang lain mengangguk. Setuju dengan pendapat Mak Ngah mereka.
Alahai lawa sangat ke dia ni. “Ishh... mana ada Mak Ngah.. Qaira ni ha gatal nak solekkan saya.” Arleena cuba menutup rasa malu.
Ian Rayyan dan Abang Zainal naik ke ruang tamu. Dari tadi mereka menunggu di bawah. Apabila dirasakan lambat, mereka berdua naik ke atas semula. Ternganga Ian apabila melihat Arleena. Subhanallah.. cantiknya dia. Laju hatinya berdegup. Tidak pernah dia melihat Arleena bersolek demikian. Menyerlahkan lagi kecantikannya. Tidak jemu mata memandang.
“Mak Ngah tahu la awek kamu cantik, tak payah nak ternganga macam tu.”
Bahu Ian Rayyan ditepuk oleh Mak Ngahnya. Tidak disangka perbuatannya dilihat Mak Ngahnya. Untuk menutup rasa malunya Ian Rayyan hanya tersengih sahaja.
“Ni dah kalahkan pengantin.” Abang Zainal pula bersuara.
Dia amat terpesona dengan kecantikan ciptaan Ilahi di hadapannya. Nasiblah dia akan berkahwin sekejap lagi.
Berdesing telinga Ian Rayyan apabila mendengar kata-kata sepupunya itu. Amboi dah nak kahwin gatal lagi. Apasal la Arleena ni cantik sangat.
Kemunculan nenek ke ruang tamu menghentikan perhatian mereka kepada Arleena. Masing-masing bangun untuk bergerak ke rumah pengantin. Nasiblah barang hantaran awal-awal lagi telah disusun dalam kereta. Arleena menarik nafas lega. Segan  kerana dari tadi hanya dia yang menjadi fokusnya. Tak disangka mereka mengagumi kecantikannya. Kalau macam ni sah-sah la aku cantik. Haha. Angkut bakul sendiri nampaknya.
Arleena perasan dengan wajah tegang Ian Rayyan. Apa yang tak kena pula ni. Arleena mengekori Qaira ke kereta papanya.
 “Ian pandu ye. Ikut saja kereta yang lain. Rumah pengantin tak jauh pun.” Dato’ Kamarudin menyerahkan kunci kereta ke tangan anak bujangnya. Ian Rayyan menyambut kunci kereta yang dihulurkan oleh papanya.
Ian Rayyan masih bengang apabila Arleena menjadi perhatian mata-mata sepupunya. Ini belum lagi di tempat majlis kahwin nanti. Baginya Arleena hanya layak dipuji olehnya. Dia tidak suka orang lain melihat Arleena dengan maksud ingin memiliki. Faham sangat dengan pandangan orang lelaki ni.
Qaira mencuit Arleena. Dia  menjuihkan mulut ke arah abangnya. Arleena hanya mengangkat bahu. Bermaksud dia tidak tahu apa-apa.  Qaira tersengih. Mesti kes cemburu. Tapi mereka hanya kawan. Takkan cemburu kot. Tidak banyak perbualan dalam kereta. Masing-masing fokus melihat kereta saudara yang lain. Takut tertinggal. Maklumlah orang yang memandu Alphard ketika ini agak terganggu emosinya.
Setengah jam perjalanan mereka telah sampai ke rumah pengantin perempuan. Rombongan mereka telah disambut oleh pihak pengantin perempuan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Kini mereka menikmati hidangan pengantin ditempat yang telah disediakan untuk rombongan pengantin lelaki, Ian Rayyan mendekati Arleena. Kerusi kosong sebelah Arleena ditariknya. Badannya dirapatkan ke arah Arleena.
“Kenapa pakai macam ni?”
Dari tadi dia tidak dapat menahan perasaannya. Marah kerana Arleena terlalu cantik. Tajam matanya merenung Arleena. Arleena berpaling setelah mendengar Ian Rayyan berbisik di telinganya. Terasa semacam.
Matanya menangkap renungan tajam Mr.Ian Rayyan. Angin apa pula ni. Tegang sekali mukanya.
“Kenapa pula?  Saya pakai biasa saja. Apa salah dengan baju saya. Bukan seksi pun.” Jawab Arleena.
“Lain kali jangan pakai baju ni.”
Baju kurung moden yang dipakai Arleena dirasakan mengikut badan. Nampak setiap lekuk badan Arleena. Nasiblah badan Arleena kurus sahaja.
Malas Arleena hendak melayan perangai bosnya itu. Dia meneruskan suapannya. Qaira disebelah hanya tersengih. Dia dapat mendengar perbualan abangnya tadi. Apa la abang dia ni. Awal-awal lagi dah kongkong. Macam manala kalau dah jadi suami nanti. Mintak-mintakla diaorang ni ada jodoh. Biarpun abang hanya mengaku mereka rakan sekerja, Qaira dapat rasakan ada aura tersembunyi antara mereka berdua.
            Sepanjang majlis, Ian Rayyan tidak melepaskan Arleena walau sedetik. Di mana Arleena berada, pastinya dia ada disebelahnya. Kadang-kadang tangannya memegang pinggang Arleena. Berapa kali Arleena menepisnya. Takut dilihat oleh saudara mara yang lain. Buat malu sahaja. Tengok saja lah ketika acara bergambar bersama pengantin tadi. Acap kali tangan Ian Rayyan berada di pinggangnya. Arleena menepis takut hatinya tewas. Dia tidak mahu bermain dengan perasaannya. Apa tah lagi hatinya bertambah sayang terhadap Ian Rayyan  setelah melihat wajah Ian waktu subuh tadi. Masih terbayang wajah Ian ketika itu. Begitu kudus. Tapi sayang Ian tidak pernah meluahkan perasaan kepadanya. Hanya dia menyintai Ian dalam diam. Cinta ke suka? Dia pun confius. Yang pasti hatinya akan berirama apabila berada bersebelahan dengan Ian Rayyan.

           
            Keadaan di rumah nenek agak sibuk. Kaum lelaki sedang mendirikan khemah. Kaum perempuan pula sibuk di dapur. Esok akan diadakan majlis di pihak pengantin lelaki pula. Masing-masing sibuk menjalankan tugas. Arleena menyusun bahan basah yang dibeli ketika pulang tadi ke dalam peti ais. Bahan itu akan digunakan untuk hidangan makan beradap esok.
            Arleena melangkah ke dalam bilik. Ingin melihat handphonenya. Sejak sampai semalam rasanya dia belum melihat lagi telefonnya. Asyik melayan Qaira sahaja. Ruang senggang ini barulah dia teringatkan telefonnya. Dia membuka kunci di skrin. Banyaknya mesej dan miss call. Salah satu miss call dari Ryzal. Alamak dia lupa nak bagitahu Ryzal. Dia mendail nombor Ryzal.
            “Awak kat mana?” Belum apa-apa Ryzal dah menyoalnya.
“Assalamualaikum..” sengaja ingin mengenakan Ryzal. “Saya ikut bos balik kampung dia. Ada majlis kahwin.” Terang Arleena.
“Kenapa pula awak perlu ikut. Awak ada hubungan dengan diakah?” Rasa tidak enak mula timbul di hati Ryzal. Kenapa Arleena perlu mengikut bosnya. mereka mempunyai apa-apa hubungan kah?
“Dia tak pernah pulang ke kampung. Dia  minta saya temankan. Sekurangnya dia ada kawan hendak berborak.” Terang Arleena lagi. Bunyi nada suara Ryzal agak lain. Macam marah saja. Ingat dia ni kekasih ker nak marah-marah.
“Tak ada orang lain ker nak temankan dia?”
“Yang awak nak marah ni kenapa?”
Mendengar suara Arleena sedikit tinggi menyedarkan Ryzal atas keterlanjurannya. Mana mungkin dia menyekat pergerakan Arleena. Apatah lagi mereka hanya berkawan.
“Bila awak balik?” Ryzal cuba mengubah topik. Tidak mahu timbul pertelingkahan.
“Malam esok. Ok la awak, saya ada kerja ni. Nak tolong diaorang masak.”
Arleena menamatkan perbualannya. Hangin juga dengan sikap Ryzal. Belum apa-apa dah mengongkongnya.
            Ryzal merenung handphonenya. Terasa keadaannya sedikit tergugat. Kenapa Arleena boleh mengikut bosnya sedangkan sebelum ini jenuh dia mengajak Arleena berjumpa mamanya, tapi ditolak Arleena. Ryzal perlu melakukan sesuatu. Dia tidak mahu Arleena terlepas dari tangannya. Dia bertekad untuk memiliki Arleena secepat mungkin. Selagi belum mempunyai ikatan yang sah, dia berasa tidak selamat. Dia tidak mahu gadis pujaannya terlepas ke tangan orang lain.
           
Niat Arleena hanya berbalas mesej dengan Nina, tapi akhirnya dia yang tertidur. Deringan di handphonenya mengejutkan dia. Dia mencapai telefon. Butang hijau ditekan. Nama Ian tertera di telefonnya.
“Awak kat mana?”
Dari tadi puas Ian mencari Arleena tapi bayangnya tidak kelihatan. Melilau dia mencari. Hanya adiknya sahaja yang menyibuk di bawah khemah.
“Dalam bilik.” Arleena menjawab ringkas. Suara serak-serak Arleena menunjukkan dia baru bangun tidur.
 “Amboi tidur ke? Orang tengah sibuk kat bawah ni. Cepat turun bawah.” Arah Ian Rayyan kepada Arleena.
Arleena melihat jam di tangannya. Agak lama juga dia tertidur. Setelah mengemaskan bajunya, dia memakai tudung. Hanya tudung Alya Sarah sahaja. Sarung sahaja. Cukup senang. Antara jenama yang disukainya.
            Arleena mengatur langkah ke arah khemah apabila terpandang Qaira dan bosnya berada di situ.
“Baru bangun princess?”
Tegur Ian Rayyan setelah melihatnya. Tersengih-sengih mereka yang berada di situ.
Arleena mencebik. Bau kuah laksa penang menyucuk hidungnya. Qaira sedang khusyuk makan. Amboi tak pusing kiri kanan. Arleena mengambil kerusi kosong di sebelah Ian Rayyan.
“Makan laksa?” tanya Ian Rayyan.
Arleena mengangguk. Sedikit mamai. Ian Rayyan bangun dan mengambil laksa untuknya. Air sirap juga disua. Bagus punya layanan.
“Terima kasih. Bos tak makan?”
“Tunggu awak suapkan.”
Tersedak Arleena mendengar kata-kata Ian Rayyan. Dahla tika itu dia menghirup kuah laksa. Perit tekak. Laju tangan mencapai gelas air sirap.
Ian Rayyan menggosok belakang Arleena.
“Asal gelabah sangat?” Ian Rayyan menyoal sambil ketawa. Baru tegur sikit. Kalau ajak kahwin macam mana la keadaan gadisnya ini.
Tanpa disedari ada mata-mata yang memerhati tingkah mereka.
“Betul ker mereka berdua tu tidak mempunyai hubungan?” tanya Mak Ngah kepada Puan Serena.
“Ikut kata mereka, kawan pejabat.”
Kali pertama Puan Serena melihat Arleena hatinya telah berkenan. Ingin dibuat menantu. Naluri seorang ibu, terdapat keserasian antara mereka berdua. Dia amat berharap anaknya itu berjodoh dengan Arleena. Sepanjang berada di sini dilihat Arleena begitu pandai membawa diri. Malah Arleena juga pandai masak. Cukup sempurna untuk menjadi calon isteri. Ralit dia memerhatikan tingkah anak bujangnya dan Arleena. Nampak serasi dan sepadan. Ian Rayyan menguasai dan Arleena hanya mengikutnya. Ada tolak ansur antara mereka.
“Kakak berkenanla dengan Si Arleena tu. Sayang along tu baru habis sekolah. Kalau ada anak jantan besar, kakak dah masuk minang si Arleena tu.” Kata Mak Ngah.
“Tak payah tunggu akak. Saya ni yang cop dulu. Itu pun kalau la anak teruna saya tu berkenan.” Jawab Puan Serena. Dah berebutkan si Arleena pulak.


            “Lepas makan kita ronda kampung.” Bagitahu Ian Rayyan.
“Aik.. dah serasi dengan kampung ker?”
Qaira  ketawa mendengar kata-kata Arleena. Merah muka abangnya.
“Apa ni main cubit-cubit. Jatuhla saham saya macam ni.” Marah dia pada Ian. Suka sangat dia disentuh.
“Tak payah nak jaga saham sangatlah,” ujar Ian Rayyan.
“Akak lepas ni kita pergi kat tali air. Best tau.” Tokok Qaira.
            Rumah nenek terletak ditengah-tengah sawah. Tiupan angin tenang sekali. Sekeliling padi sedang menghijau. Saujana mata memandang. Terapi minda ni. Melihat sawah padi terbentang luas membuatkan minda tenang. Dari datang semalam Arleena telah teruja dengan pemandangan yang memukau ini tetapi belum kesempatan untuk menghayati pemandangannya.
            Usai makan, mereka bergerak ke tali air. Hanya berjalan kaki saja. Riuh rendah masing-masing mengusik. Apatah lagi dalam kumpulan itu hanya dia dan Qaira sahaja perempuan. Empat orang lagi lelaki. Sudah pasti mereka berdua menjadi mangsa. Arleena senang melihat gelagat Ian Rayyan. Nampaknya dia boleh bergaul dengan sepupunya. Malah kadang-kadang dia yang paling kuat mengusik. Kasihan Qaira sering menjadi mangsanya.
            Berbagai aksi dibuatnya. Ian Rayyan menjadi mangsa untuk mengambil gambar mereka. Masing-masing menunjukkan pelbagai aksi ketika bergambar. Merakam kenangan terindah di sini. Selepas ini belum tentu bila dia akan datang lagi. Cukup sayang hendak meninggalkan tempat ini.
Dalam sibuk mereka bergambar, Ian Rayyan mengangkat badan Arleena. Dengan aksi hendak melemparnya ke dalam tali air. Disebabkan rasa terkejut dengan aksi Ian, Arleena memeluk leher Ian. Mendekatkan badannya dengan Ian. Qaira tidak lepaskan peluang merakamkan gambarnya.
Terkejut beruk dengan aksi Ian. Tidak disangka Ian akan mengangkatnya. Laju degupan jantungnya. Teruk dia disakat. Merah padam mukanya. Hidung kembang kempis menahan geram. Baru dia tahu Ian Rayyan ni nakal juga orangnya.
Puas bergambar, mereka duduk di tali air. Kaki terjuntai ke bawah. Aksi seperti remaja belasan tahun saja. Cukup santai. Siapa sangka di situ adanya pemilik hotel terkemuka, jurutera dan juga arkitek. Hanya Arleena sahaja pekerja biasa.
“Kalau makan kuaci best juga ni. Macam zaman kecil-kecil dulu.” Sepupu Ian bersuara.
“Saya tak pernah rasa suasana begini.” Tutur Ian Rayyan.
Terasa rugi. Hatinya tersentuh melihat kehijauan sawah padi di depannya. Hidupnya sebelum ini di bandar besar. Di kelilingi tembok batu. Kadang-kadang musim salji dia akan meluncur dengan sepupu-sepupunya.
 “Itulah abang. Suka sangat duduk di luar negara. Adik pertama kali datang sini dah suka dengan suasana kat sini. Sebab tu adik nak duduk kat Malaysia.”
 Qaira mengenakan abangnya. Bukan dia tidak tahu sebelum ini bukan main liat abangnya hendak pulang ke Malaysia. Macam-macam alasan diberikan kepada papa mereka.
“Bukan tak tahu Qaira, orang tu kan tak tahan panas. Tak makan pedasla. Lupa asal usul. Mat saleeeh la sangat.” Tokok Arleena lagi.
Teringat dia dengan sikap Ian Rayyan semasa awal-awal dia bekerja di Hotel Grenz. Satu hotel tahu perangai big boss mereka.
Geram Ian Rayyan dengan Arleena. Dia mengepit kepala Arleena dan dilukunya kepala Arleena perlahan.
 “Apa ni bos main kepala. Bayar zakat ni tau.”
Arleena geram dengan sikap bosnya. Hampir senja barulah mereka bergerak pulang. Dari tadi Arleena menahan rasa. Hari ini, Ian Rayyan begitu senang menyentuhnya.
Rumah nenek riuh rendah sekali. Hari ini majlis di sebelah pengantin lelaki pula. Dari awal pagi lagi Arleena telah bangun. Dia ingin membantu Puan Serena menyediakan hidangan makan beradap. Seperti semalam, tugasnya membuat pencuci mulut. Turut dibantu oleh Qaira. Ralit dia memerhati Puan Serena menghias masakan. Hiasannya sama cantik dengan hidangan di hotel.
            Setelah menyiapkan kerjanya, Arleena bergegas ke bilik air. Ingin bersiap. Kalau lambat nanti rumah nenek akan dipenuhi oleh jiran-jiran yang datang menolong. Segan pula dia nanti. Lebih-lebih lagi bilik air berada di bahagian dapur.
            Arleena menilik pakaiannya dalam cermin. Hari ini dia juga mengenakan kurung moden berwarna kelabu. Tudung juga dari warna senada. Kalau ditegur Ian Rayyan tidak tahulah dia hendak pakai apa. Hanya baju itu sahaja yang ada. Dia tidak membawa baju yang banyak. Malam nanti mereka akan berangkat pulang. Esok masing-masing akan bekerja.
            Keluar dari bilik Arleena bertembung dengan Qaira.
“Cantikla baju akak.” Qaira kagum dengan Arleena.
Walaupun Arleena bertudung tapi penampilannya sentiasa menarik. Apa yang dipakai begitu secocok dengan tubuhnya.
 “Akak tak nak Qaira make upkan ker?” tanya Qaira.
“Tak nakla.. banyak kerja nanti muka berminyak-minyak. Buruk pula nanti.”
Hari ini tentulah banyak kerja yang akan dilakukan. Kalau pakai make up buat rimas saja nanti.
            Arleena mencari Ian Rayyan. Selepas sarapan tadi dia tidak nampak kelibat lelaki itu. Mungkin berada di bawah bersama dengan kaum lelaki yang lain. Arleena menjenguk melalui tingkap. Melihat suasana di laman. Nampaknya tetamu telah hadir. Kelihatan tetamu telah berada di khemah. Arleena mengalih pandangan ke arah kiri. Arah khemah kaum lelaki yang ditempatkan untuk memasak. Pandangannya bertaut dengan Ian. Oo...dia ada di sana. Ian melontarkan senyuman kepadanya. Arleena membalas. Arleena bersyukur kerana Ian Rayyan telah bermesra dengan sepupunya. Nampaknya dia tidak kekok lagi.
            Cantiknya dia. Desis hati Ian Rayyan. Dia suka melihat penampilan Arleena. Tudung berbelit-belit tapi menarik. Hari ini Arleena tidak mengenakan make up. Itu yang melegakan hatinya. Dia tidak mahu Arleena menjadi perhatian lelaki lain. Tetamu semakin ramai. Sekejap lagi pengantin akan sampai. Ian Rayyan berkalih dari tempat memasak. Mengatur langkah ke arah rumah neneknya. Matanya melilau mencari Arleena. Cepat benar Arleena hilang.
            Banyak mata memerhati Arleena. Walaupun dia tidak mengenakan make up tapi dia tetap juga menjadi perhatian. Ian Rayyan bertambah geram dengan Arleena. Semalam sudah ditegur akan tidak memakai baju seperti itu lagi. Baju potongan badan menampakkan susuk tubuh Arleena. Dari tadi Arleena begitu sibuk mengambil gambar pengantin. Dia menarik Arleena agar jauh sedikit dari pelamin.
“Kenapa pakai baju macam ni lagi?” tegur Ian Rayyan. Merah sekali mukanya.
“Apa masalah bos ni. Bukan saya pakai seksi pun.” Ujar Arleena sambil menilik pakaian di badannya. Longgar ke dia rasa. Arleena geram dengan bosnya. Takkan la bajunya pun hendak ditegur. Dah ini saja bajunya yang ada.
Ian Rayyan merenung tajam ke arah Arleena. “Tak payah nak tayang body depan orang. Duduk saja diam-diam.”
“Apa kena dengan bos ni.” Arleena menunjukkan muka bengang. Tidak faham dengan angin kus-kus bosnya.
            Arleena bengang dengan Ian Rayyan. Segala geraknya dikawal dan diperhati oleh Ian Rayyan. Kalah mata helang. Tajam memerhati sampaikan dia naik rimas. Pantang dia melayan tetamu lelaki mula Ian Rayyan akan menempel dekatnya.
            Ian Rayyan perasan perubahan muka Arleena. Tak kisahla Arleena hendak marah dengannya. Janji tiada lelaki lain yang melihat Arleena. Sakit hatinya melihat mata-mata lelaki yang tidak berkalih memandang Arleena. Walau berbaju kurung menutupi tubuhnya, baginya Arleena kelihatan seksi.
            Sepanjang majlis Arleena mengelak dari bertembung dengan bosnya itu. Seolah perang dingin tercetus antara mereka berdua. Dia sengaja menyibukkan diri di dapur. Malas nak bertelagah dengan Mr. Ian. Mata Mr. Ian tajam memerhatinya. Bukan tak pernah dia pakai baju sebegini di hotel. Tak pernah pun ditegurnya. Padahal soal baju saja pun.
“Aleen kenapa tak pergi ke depan. Diaorang semua sedang bergambar.” Tegur Puan Serena yang baru masuk ke dapur.
“Tak pe aunty. Aleen tolong kat dapur ni aje.”
            “Akak...jom kita bergambar..” laung Qaira dari pintu yang menghala ke dapur.
“Akak banyak kerja ni. Korang pergilah ambik gambar,” balas Arleena.
                “Jomla kakak. Semua orang tunggu akak tu.” Panggil Qaira lagi.
Asal la pula orang tunggu dia. Dia bukannya sedara diaorang pun. Arleena meninggalkan kerja-kerja di dapur. Bingit mendengar jeritan Qaira.
            Semua saudara mara siap berkumpul  di depan pelamin. Arleena menyelitkan badan di sebelah Qaira. Mata tidak sempat memerhati di mana Mr. Ian Rayyan berada. Pelbagai aksi digayakan.
            “Suka ye bergambar?” tanya satu suara hampir dengan cuping telinga Arleena.
Mamat ni ada kat belakang ke tadi? Macam mana dia tak perasan. Perlahan Arleena berpaling. Dijeling sekilas.
            “Dik,” panggil Ian Rayyan pada Qaira. “Ambilkan gambar abang dengan kakak manis ni,” jeling Ian Rayyan pada Arleena.
            Qaira tersengih. Serasi sungguh mereka berdua.
Okay lovebirds...smile..” arah Qaira bersama DSLR di tangannya.
            Merah pipi Arleena mendengar kata-kata Qaira. Apatah lagi Ian Rayyan di sebelah telah ketawa kuat.
            “Dah jangan nak mengada,” marah Arleena apabila diarah membuat pelbagai aksi. Ini pun hatinya hampir meloncat keluar berada hampir dengan Ian Rayyan. Lemah lutut dengan bau haruman yang dipakai oleh si jejaka.  Belum lagi sesekali tangan Ian Rayyan menyentuh pinggangnya. Kononnya mengikut arahan si photographer. Walaupun berlapik, Arleena tetap tidak suka.
           
           










No comments:

Post a Comment