DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 15 January 2017

MAKMUM YANG PALING AKU CINTA - BAB 5

PETANG itu, Amru hempas tubuh ke tilam.
Walaupun segalanya selesai, dia masih sukar menerima
sebuah hakikat.
Amru bangkit seraya duduk di birai katil. Telefon
pintar yang bertapak di tengah tilam dicapai. Jemari bergerak
di atas skrin sesentuh sebelum melekapkan telefon itu ke
telinga.
“Hello, boss! Ada job lain ke?” Suara Megat
kedengaran teruja. Tak sabar menunggu habuan seterusnya.
“Kenapa kau tak cakap yang dia bisu, hah?” jerkah
Amru.
“Bisu?” Suara Megat terkulat-kulat di hujung talian.
“Oh, maksud bos, Siti Nailufar? Aik, bos tak baca maklumat
yang aku faks tu? Semua berkaitan dia, aku dah rekod.”
“Damn!” Amru merengus tatkala teringatkan
kejadian air kopi tertumpah di atas kertas kerjanya. Tentu
maklumat berkaitan Nailufar turut terselit di antaranya.
“Bos, janganlah naik angin. Nanti aku faks semula
maklumat tu.”
“Tak payah.” Amru masih bengang.
“Relaks, bos.” Megat cuba menenangkan emosi
Amru yang turun naik. “Biar aku cerita sikit maklumat yang
aku dapat daripada orang kampung. Sebenarnya Siti Nailufar
tu bukan bisu semula jadi. Maksud aku, bukan dari lahir
terus bisu. Semenjak mak kandung dia mati kena bunuh, dia
berhenti bercakap. Macam tak ada keupayaan nak bercakap.
Aku pun tak pasti cerita sebenar, bos. Mungkin hanya ahli
keluarga dia saja yang tahu.”
Terdiam. Amru semakin serabut menerima fakta
baru berkaitan Nailufar. Perasaannya sedari awal tak pernah
tenteram. Lantaran itu, dia bertindak mengubah rancangan
asal secara mendadak. Amru juga munculkan diri sedangkan
pada permulaannya dia enggan identitinya terdedah. Ini kali
pertama baginya, demi seorang perempuan.
“Bos? Bos dengar tak penerangan aku tadi?” Megat
bersuara setelah lama Amru mendiamkan diri.
“Nanti aku call kau balik.” Amru terus mematikan
talian. Telefon pintar dicampak semula ke tengah tilam. Dia
meraup wajah seperti orang yang bermasalah.
‘Apa sebenarnya aku nak buat dekat sini? Mana pergi
misi utama yang perlu aku selesaikan? Apa motif daddy pilih
Nailufar, seorang gadis bisu?’ Berkecamuk fikirannya dengan
persoalan yang tak berjawapan.
Amru bengang. Marah akan dirinya. Kerana
seorang perempuan, dia hilang fokus. Kerana kepolosan dan
kelembutan seraut wajah, dia bertukar fikiran. Perasaannya
bercelaru dan terasing. Kecewa, marah, sakit hati dan
bimbang. Selama ini untuk melihat emosinya terjejas sangat
mustahil. Bak kata mama, dia dilahirkan bijak. Segala tempoh
krisis, Amru mampu hadapi dengan mudah dan tenang.
Namun gara-gara seorang Siti Nailufar, akalnya hilang titik
kestabilan.
“If she drives you crazy, she’s probably the one.”
Amru tersentak. Bisikan itu menerjah minda.
Kata-kata yang pernah dilahirkan oleh Mustafa ketika mereka
berbual topik perempuan. Kawan baiknya itu kini bahagia
dengan kehadiran seorang isteri dan seorang anak. Ekoran
itu, Mustafa banyak mengasaknya supaya pandang perempuan
daripada kertas-kertas kerja dan pelan binaan. Mencari teman
hidup yang mampu meruntun hati, menyamankan jiwa dan
melegakan naluri.
Kepala menggeleng laju. Mengabaikan bicara
Mustafa yang tidak membawa sebarang erti. Enggan
tenggelam dalam pergolakan jiwa, Amru nekad dengan
keputusan baru. Sebelum lebih jauh dia terlibat, Amru harus
noktahkan segala kerumitan yang berpunca daripadanya.
Lebih baik dia tinggalkan semua perkara yang tak membawa
sebarang kepentingan dalam hidupnya. Amru akan hantar
semula Megat untuk selesaikan urusan yang tergendala.
Seterusnya melestarikan permintaan mama. Itu pun jika
keluarga Nailufar bersetuju dengan tawaran tersebut.
Setelah semua pakaian disumbatkan ke dalam bagasi,
Amru bergegas keluar homestay. Usai memasukkan beg ke
dalam kereta, dia tercengang sekejap. Berdiri lama menatap
kenderaan beroda dua yang terletak di sebelah keretanya.
Motosikal Pak Cik Hamdan! Kenderaan yang
ditunggangnya sewaktu pulang ke homestay untuk
mengambil kereta bagi menghantar Nailufar dan Pak Cik
Hamdan ke hospital dan balai polis.
Amru mendengus. Gara-gara motosikal tersebut
dia harus bertemu lagi keluarga itu. Terhalang niatnya yang
ingin terus pulang ke KL. Nafas panjang ditarik.
‘Untuk kali terakhir, Amru!’ monolognya sendirian.

NAILUFAR MENGGELENG dan telunjuknya merentangi
mulut. Kemudian dia sambung membilas butir-butir beras
di dalam periuk untuk menanak nasi. Tidak dihiraukan
pertanyaan Nafisah sejak dia dan ayah dihantar pulang
oleh Amru. Nailufar lebih menumpukan tugasannya untuk
memasak makan malam.
Berkerut dahi Nafisah. Gadis remaja itu berdiri
sambil bercekak pinggang. Masih tak berpuas hati dengan
perkara yang cuba diselindungi oleh kakaknya. Sementelah
tadi dia dan si kembar berada di sekolah dan apabila pulang,
rumah tak berpenghuni.
“Nana nak tahu juga!” bentaknya.
Nailufar menutup pili air. Giliran dia mencekak
pinggang seraya menggeleng tegas. Tangan dan jemarinya
bergerak menghantar bicara. ‘Jangan tanya apa-apa lagi.
Lebih baik Nana tolong akak masak.’
“Nana tahu Kak Lofa sembunyikan sesuatu. Selagi
Nana tak tahu, hati Nana tak tenteram.”
Nailufar senyum sambil ‘berbicara’ lagi. ‘Kalau
hati Nana tak tenang, Nana boleh masuk bilik air dan ambil
wuduk. Lepas tu, boleh tolong akak masak.’
Nafisah hentak kaki seperti dalam perbarisan kadet.
Bengang dengan kakaknya yang masih berdalih. “Nana nak
tanya ayah sekarang juga!”
Tatkala itu, Hanif turun laju dari tangga dapur.
“Kak Lofa, kenapa Haji Pian dengan isteri
mudanya datang marah-marah ayah?” soalnya sambil
termengah-mengah.
“Marah ayah?” Nafisah terpinga-pinga sebelum
pandang Nailufar.
‘Allah!’ seru hatinya yang bimbang. Nailufar
mengeluh halus.
“Abang Nabil dengan Kak Sara pun ada sekali.
Diaorang satu keluarga marahkan ayah. Lepas tu, abang
semalam datang lagi. Tapi peliklah abang tu naik motosikal
ayah,” cerita Hanif agak kalut.
“Abang semalam, siapa?” tanya Nafisah lagi.
“Abang yang ayah urut masa kita balik dari tangkap
ikan. Mula-mula kami tengah main dekat halaman. Lepas tu
abang semalam tu datang dengan motor ayah. Tiba-tiba Haji
Pian datang satu keluarga naik kereta. Sekarang semua orang
tengah berkumpul.”
Bergegas Nailufar meninggalkan dapur. Dia naik
menuju ke biliknya untuk menyarung tudung. Dengan
langkah berat, Nailufar beranikan diri turun ke halaman.
Nafisah dan Hanif mengikut dari belakang. Mereka berdua
berdiri di anak tangga. Manakala Haziq berdiri teguh di sisi
ayah. Berlagak seperti orang dewasa untuk mempertahankan
Pak Cik Hamdan.
Semua mata tertumpu kepada Nailufar.
“Hah, Lofa! Betul ke abang aku nak rogol kau?”
Lantang suara Sara menyoal.
Nailufar ketap bibir sebelum mengangguk.
“Penipu! Mata aku jadi saksi, Lofa dengan Amru yang
tengah berasmara dekat kebun tu! Bila aku cuba nak halang,
Amru pukul aku,” jerkah Nabil dengan sebuah pembohongan.
“Don’t make up any story, asshole!” selar Amru,
geram. Terasa ingin ditumbuk lagi mulut Nabil yang sedia
luka itu.
Nailufar menggeleng laju. Menafikan kenyataan
bohong yang dicipta oleh Nabil.
“Ayah cakap semalam, tangan Amru terseliuh sampai
kena urut dengan Pak Cik Hamdan. Tapi aku tengok dia
tumbuk aku tak macam orang sakit langsung. Entah-entah
dia tipu ayah! Mungkin itu agenda dia nak mengintip Lofa
dekat rumah ni.”
Ikutkan hati, Haji Sufian mahu menyumbat mulut
anaknya yang sudah melalut-lalut. Bukan itu isu utamanya
sekarang!
“Sekarang ni masalah dah jadi kes polis. Hamdan,
kenapa kau dan Lofa tak bincang dulu dengan aku? Kita
selesaikan baik-baik. Ini tiba-tiba polis datang rumah aku
nak tangkap Nabil. Mujur anak aku tak ada dekat rumah.”
Kata-katanya lebih menambahkan ketegangan tadi.
Pak Cik Hamdan mula bersuara.
“Aku nak Nabil belajar daripada kesilapan dia, Pian.
Dia tak boleh bertindak sesuka hati dengan anak aku. Lofa
ada maruah. Sebagai ayah, aku cuba lindungi maruah anak
aku.”
“Kau dah lupa dengan jasa-jasa aku selama ni?
Takkan dalam banyak kebaikan aku pada kau sekeluarga, tak
ada satu pun yang kau kenang? Kalau Nabil tersalah langkah,
kenapa kau sampai tergamak nak dakwa dia?”
Amru lihat Pak Cik Hamdan bungkam. Dia geram
bila Haji Sufian cuba menyamaratakan jasa dulu dengan
noda yang Nabil cipta. Dua perkara yang cukup berbeza. Ini
berkaitan maruah seorang gadis. Nilainya tak terhingga!
“Abang, entah-entah betul cerita Nabil! Amru dan
Lofa buat kerja tak senonoh dekat kebun tu. Bila Nabil
nampak, Amru pun gelabah sampai belasah Nabil. Kita
bukannya ada dekat tempat kejadian. Manalah tahu Lofa
dengan Amru pusing cerita dekat polis. Konon nak jatuhkan
semua kesalahan atas Nabil. Padahal nak tutup aib sendiri,”
tokok Che Kiah selamba.
Amru terkesima. Terkejut melihat wajah sebenar di
sebalik topeng yang dipakai oleh ahli keluarga Haji Sufian.
Tak sangka keluarga pertama yang dikenalinya sejak tiba
di kampung ini pandai bermuka-muka sewaktu berada di
hadapannya.
“Haah, ayah. Ada betulnya kata Che Kiah. Mungkin
Lofa dengan Amru yang buat cerita konon Nabil nak merogol
Lofa. Pagi tadi Sara sendiri nampak Amru berjoging ke arah
kebun. Mungkin dia dah berjanji dengan Lofa dari mula,”
tambah Sara sesedap rasa.
Nailufar segera menggelengkan kepala. ‘Itu
tak betul!’ Hatinya menyanggah dengan tuduhan yang
dilemparkan. Pedih jiwanya bila maruahnya dengan mudah
dienjak-enjak seperti tak bernilai.
Dada Amru sesak lantaran mendidih marah. Hati
lelakinya sakit bila Sara dan Che Kiah menuduh membabi
buta. Malah dia lebih sakit melihat air mata Nailufar. Nyata
perasaan gadis itu terseksa dengan tuduhan yang begitu
melampau.
“Sudah! Jangan mainkan maruah anak aku lagi.
Jangan tuduh Lofa bukan-bukan. Aku kenal anak aku sejak
dia lahir ke dunia. Lofa tak mungkin buat kerja tak senonoh.”
Semua orang terdiam. Air mata Nailufar menitis
laju. Pilu melihat ayah sanggup meninggikan suara demi
pertahankan maruahnya.
Haji Sufian menghela nafas berat. Dia tahu
Amru dan Nailufar tak bersalah kerana mereka tak saling
mengenali. Lagipun Nabil telah lama ada hati dengan
Nailufar. Kebarangkalian sangat besar jika Nabil cuba
merogol Nailufar. Malah dia sanggup menolak keinginan
anaknya yang ingin memperisterikan Nailufar. Bukan kerana
kekurangan Nailufar yang membuatnya tak bersetuju tapi
dia ternampak lubuk emas sedang menanti. Haji Sufian telah
menjadi orang tengah untuk menyatukan Nailufar dengan
Dato’ Syed Qassim. Jika dia berjaya, banyak ganjaran yang
bakal diperolehinya.
“Nabil, aku rasa lebih baik kau pergi dari sini sebelum
aku call polis dan beritahu kedudukan kau sekarang.” Amru
mencelah dengan lebih tenang.
Rahang Nabil mengejang. Tangannya mengepal erat.
Hati mendesak mahu menumbuk Amru namun akhirnya dia
menapak undur.
“Kau tunggu hari kau!” jerkahnya sebelum berlari
meninggalkan halaman rumah Hamdan. Perbuatan itu jelas
membuktikan siapa benar dan siapa bersalah.
“Macam nilah, Hamdan. Kita lupakan kejadian hari
ni. Mungkin betul Nabil bersalah tapi maafkanlah dia. Aku
jamin perkara ini tak mungkin berulang lagi. Kau tariklah
dakwaan ke atas Nabil. Ya?”
Lama Pak Cik Hamdan berfikir tapi akhirnya dia
mengangguk.
“Baiklah, Pian.”
Amru tidak setuju. Dia yakin bukan semudah itu
penyelesaiannya. Tiada riak kesal dan insaf di wajah Nabil.
Hanya keangkuhan untuk membalas dendam. Lantas Amru
bimbangkan Nailufar. Tiada jaminan bahawa peristiwa
durjana itu tak berulang. Selagi Nabil tak meringkuk di dalam
penjara, keselamatan Nailufar bakal terancam. Melainkan
Nailufar tinggalkan kampung halaman.
“Kalau kau kahwinkan Nailufar macam aku cadang,
tentu keselamatan dia lebih terjamin. Lagipun Dato’ Syed tu
nampak sayang sangat dengan Nailufar. Dia mampu jaga anak
kau dengan baik. Tak mustahil dia boleh pasang bodyguard
demi keselamatan Nailufar. Kau tak perlu risau lagi kalau ada
sesiapa cuba ganggu Lofa.”
Amru hela nafas berat. Telapak tangannya
menggosok belakang tengkuk bagi meredakan ketegangan.
Setiap patah perkataan Haji Sufian membakar hatinya. Tak
sangka lelaki tua itu bijak menggunakan kesempatan atas
kebodohan anaknya untuk memujuk Pak Cik Hamdan.
Lantas denyut jantung Amru berdebar. Cemas jika Pak Cik
Hamdan terpengaruh dengan kata-kata itu.
“Betul tu, Hamdan! Kahwinkan saja Lofa dengan
Dato’ tu. Kamu pun boleh tumpang senang. Anak-anak
kamu yang lain boleh berjaya selepas ni. Tak payah pening
fikir segala hutang-piutang dan cari rezeki lagi. Dato’ tu
mampu tanggung kehidupan kamu sekeluarga.” Che Kiah
memainkan peranan. Menyokong kenyataan suaminya.
Nafas Amru makin sesak. Dadanya turun naik. Dia
ingin hamburkan kebenaran. Menceritakan segala keburukan
Dato’ yang dibincangkan oleh suami isteri itu. Namun
kewarasan menyekat dirinya.
“Lofa, dah sampai masanya kamu berbakti untuk
ayah dan adik-adik. Dah lama kamu hidup susah, ambil
peluang ini untuk bahagia. Bukan senang orang kaya nak
pinang gadis kampung. Lagi-lagi yang bisu macam kamu.
Lofa sangat bertuah. Sara pun tak bertuah macam kamu.”
Kali ini Che Kiah cuba mempengaruhi Nailufar.
Dia telah bersetuju untuk membantu suaminya dalam misi
memujuk keluarga Hamdan agar menerima pinangan Dato’
Syed Qassim. Tentulah ganjarannya lebih lumayan jika dia
turut menjayakan rancangan suaminya.
Sara bengang bila dirinya dibandingkan dengan
Nailufar. Dia merengus sebelum masuk ke dalam kereta dan
menghempas kuat pintu belakang.
“Like hell!” Amru menggumam hujung bibir. Benci
melihat permainan suami isteri yang gilakan duit. Mereka
berusaha memanipulasi keluarga Pak Cik Hamdan demi
sebuah ganjaran. Jauh di sudut hati, Amru mohon Nailufar
dan Pak Cik Hamdan tidak memberikan sebarang jawapan.
“Amru, untuk mengelakkan sebarang masalah
berlaku lagi, pak cik rasa eloklah kamu berkemas pulang ke
KL.”
Demikian itu, dia telah dihalau secara berhemah!
Amru terpaksa akur. Setengah jam lalu dia sendiri nekad
untuk pulang. Namun saat ini kakinya seperti dibebani
seketul bata. Berat. Dia seperti tertinggal sesuatu di belakang.
Iaitu hatinya!

No comments:

Post a Comment