DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 22 February 2017

Jom... Bercinta! - Bab 7



Atilia segera membuka tas tangannya sebaik
sahaja mendengar alunan nada dering tersebut. Melihat
gerangan si pemanggil, dia tersenyum senang. Baru hendak
menjawab panggilan tersebut, telefon bimbitnya telah
dirampas.
“Kau tak baca peraturan semasa melalui pondok
pengawal tadi?” Rafiq pantas menekan butang merah.
Terpinga-pinga Atilia seketika. Apa kena-mengena
jawab panggilan dengan peraturan yang terdapat di pondok
pengawal tu?
“Peraturan apa?”
“Tak boleh guna telefon bimbit dalam kawasan
kilang.”
Atilia mengeluh. Mereka sekarang berada dalam
bangunan pejabat bukannya dekat plant. Kecoh betul! Malas
bersoal jawab, dia menghulurkan tangannya. Mahu telefon
bimbitnya kembali.
 “Apa?”
“Nak balik telefon Che Su.”
“Jangan guna panggilan tu, boleh tak? Nak muntah
aku dengar.” Telefon bimbit Atilia dipulangkan Rafiq kembali.
“Pastikan kau off telefon kau tu.”
“Kenapa?”
“Aku tak suka! Kau tak faham bahasa lagi ke?”
Rafiq bersuara tegas, namun nada suaranya dalam keadaan
terkawal. Dia tidak mahu ada yang mendengar perbualan
mereka.
“Tapi...” Atilia mahu membantah.
Rafiq segera mengangkat tangannya.
“Sini tempat kerja. Jadi... kau kena ikut segala arahan
aku. Ingat... jangan nak buat kecoh atau cuba malukan aku.”
‘Dia ni... belum apa-apa dah tunjuk lagak. Tahulah
pangkat dia lebih besar daripada aku kat kilang ni. Tapi...
aku ni kan mak saudara dia, takkanlah tak boleh beri
muka langsung?’ Atilia mengomel dalam hati. Ringan saja
tangannya nak picit-picit si Rafiq Idlan ini.
“Tercegat apa lagi? Cepatlah! Kau ingat aku ni
banyak masa nak layan kau berangan?” Rafiq mendengus
geram sambil mengayun langkahnya.
Hesy... mulut! Ikutkan hati Atilia, mahu saja dia
melangkah keluar dari bangunan Polimer Qualitas itu.
Biarlah dia cari kerja di tempat lain daripada melayan sentap
Rafiq dua puluh empat jam. Namun apabila mengenangkan
pengharapan mamanya, dia cuba kentalkan hati.
“Apa jawatan saya di sini?” Atilia menyuarakan apa
yang terpendam dalam hati sebaik sahaja mampu menyaingi
langkah Rafiq.
Rafiq pandang wajah Atilia. Ternyata dia benar-benar
terkejut apabila Atilia tidak membahasakan dirinya ‘Che
Su’ seperti biasa. Dia tidak menyangka Atilia akur dengan
kehendaknya.
“Belum tahu lagi. Nanti aku bawa kau jumpa Jabatan
Sumber Manusia.”
Atilia tentang pandangan Rafiq.
‘Tak tahu? Habis tu, untuk apa dia gatal-gatal bawa
aku datang ke sini kalau belum tahu?’ gerutu Atilia geram.
Sudahlah dia dikerah supaya cepat hinggakan tidak sempat
hendak bersarapan, tapi jawatan untuknya masih belum
tahu? Adakah lelaki itu sengaja ingin menduganya? Hesy!!!
Angin satu badan Atilia dibuatnya dengan sikap tidak cakna
Rafiq Idlan.
“Minggu lepas mereka hantar e-mel kata nak guna
pekerja, itu yang aku bawa kau ke sini.” Rafiq bagai dapat
membaca apa yang berlegar dalam fikiran Atilia. Ingat dia
bodoh sangat ke nak bawa Atilia ke mari jika tiada jawatan
kosong yang ditawarkan?
Atilia melepaskan keluhan. Boleh kena darah tinggi
jika dia menghadap Rafiq lama-lama. Tidak pun sakit jiwa.
Baru dia hendak membuka mulut, telefon bimbit Rafiq
berbunyi.
“Helo...”
‘Huh, tak aci sungguh! Dia boleh pulak’ gerutu Atilia
tidak puas hati.
“Eh, nak bawa saya pergi mana ni?” Atilia bersuara
bengang sebaik sahaja hujung lengan bajunya ditarik.
“Ikut aku ke Polimerlatex kejap. Aku ada hal di sana.”
“Tapi...” Atilia cuba membantah, namun langkah
turut diatur mengikut Rafiq. Jika dia berdiam diri macam
patung, mahu jatuh tersungkur dia dek tarikan Rafiq.
“Kau tunggu kat sini pun bukannya boleh buat apa.
Pengurus Sumber Manusia tu bukannya kenal kau.”
“Habis tu... kerja tu macam mana?” soal Atilia tidak
puas hati.
“Anggap saja rezeki kau bukan di sini.” Pintu kaca di
hadapannya ditolak.
Atilia ketap bibir. Dia benar-benar bengang dan
sakit hati mendengar jawapan Rafiq. Ada baiknya tadi dia
golek-golek atas katil sambil menunggu waktu untuk keluar
bersama Raid. ‘Hesy... geram-geram!’
Sebaik sahaja memasuki perut kereta, Atilia segera
menekan nombor Raid. Dia ingin menghubungi lelaki itu
kembali memandangkan tadi dia tidak dibenarkan menjawab
panggilan. Dia yakin Raid pasti tertanya-tanya kenapa
panggilannya tidak berjawab.
“Bukan tadi aku dah suruh kau off phone ke?”
“Err...” Atilia segera mematikan telefon bimbitnya.
“Aku tak suka sebarang gangguan semasa memandu.”
Butang radio ditekan, setelah itu Rafiq memulakan
pemanduannya.
Eleh, cakap tak serupa bikin! Itu... buka radio tu,
tak mengganggu ke? Macamlah dia nak guna suara soprano
semasa berbual dengan Raid.
“Err... boleh hantar saya ke stesen bas berhampiran
tak? Lagipun saya tak ada sebarang urusan di Polimerlatex.”
Atilia bersuara takut-takut. Risau jika Rafiq mengamuk
mendengar permintaan kecilnya itu. Lagi pula memang tidak
ada sebab untuk dia mengikut lelaki itu ke Polimerlatex.
Bukannya boleh membantu urusan lelaki itu pun.
“Kau nak balik ke?”
Atilia sekadar mengangguk.
“Kau nak balik atau kau nak pergi menggatal?”
Bukan dia tidak ingat yang ibu saudaranya itu ada janji temu
tengah hari ini.
Terkebil-kebil Atilia pandang muka Rafiq. Panas
hatinya mendengar sindiran lelaki itu. Lantak dialah nak
pergi menggatal sekalipun. Bukannya dia ajak lelaki itu
menggatal sekali dengannya.
“Itu urusan Che Su. Bukan urusan Raf.” Atilia
bersuara.
“Kan aku dah kata, aku tak suka kau bahasakan diri
kau macam tu.”
“Tapi kenapa?” Atilia melawan. Dia sebenarnya
tidak mengerti dengan sikap Rafiq. Salah ke kalau dia
membahasakan dirinya ‘Che Su’? Lagipun memang itu yang
sepatutnya.
“Kau usah banyak tanya, boleh tak?”
“Tapi Che...”
“Diam!”
Terangkat bahu Atilia. Melihat wajah lelaki itu yang
sudah memerah, dia tahu lelaki itu sedang marah. Ada baiknya
dia berdiam diri. Karang tak pasal-pasal dia terima tamparan
percuma. Angin lelaki itu bukannya boleh dijangka.
Rafiq mengeluh perlahan. Wajah Atilia yang sedang
merenung ke luar tingkap dicuri pandang seketika. Inilah
situasi yang tidak mahu dia hadapi. Dia memang tidak
gemar memarahi orang. Tapi dengan Atilia, dia tidak mampu
mengawal amarahnya yang datang tanpa diundang. Sebab
itulah dia mahu berada jauh daripada Atilia. Dia takut gadis
itu tidak mampu menerima tekanan daripadanya.

AYMAN HYEQAL tersengih tatkala melihat Rafiq
menghampirinya. Tidak jauh dari situ kelihatan ibu saudara
sahabatnya yang sedang berjalan dengan riak tidak puas hati.
Mungkin telah berlaku sesuatu antara mereka. Jika tidak,
masakan raut wajah Atilia seperti buah pauh muda. Masam!
Mujur sahaja cantik. Masih kelihatan manisnya walaupun
hati tengah panas membara.
“Kenapa dengan dia tu?” Ayman memuncungkan
mulutnya ke arah Atilia.
“Mana aku tahu.” Rafiq jongket bahunya.
“Mesti kau dah hangatkan hati dia tak?”
“Kau main tuduh-tuduh ni... kau tahu ke puncanya?
Jangan main serkap aje.”
“Helo... kawan! Macamlah aku kenal kau sejam yang
lalu.” Ayman menempelak Rafiq. “Kali ni apa pula yang kau
dah buat?”
Rafiq mengeluh perlahan. Wajah Ayman ditatap
geram. Tahu saja temannya itu punca Atilia mencuka.
“Dia marah aku ajak dia datang sini.”
“Takkanlah hal sekecil tu boleh buat dia merajuk?
Kenapa? Dia tak nak kerja kat sini?”
Rafiq geleng kepala.
“Tadi aku bawa dia ke Polimer Qualitas, tapi bila kau
call tadi, terus aku angkut dia ke sini.”
Berkerut dahi Ayman. Kurang mengerti.
“Kenapa kau bawa dia ke situ? Bukan ke semalam
kau memang nak bawa dia datang kerja kat sini?”
Rafiq hela nafas. Terasa sukar sekali dia nak bernafas.
“Kau kan tahu aku dengan dia bagaimana selama ni.
Sebab itulah aku nak dia kerja kat sana.”
 “Habis tu, kenapa kau angkut ke sini pulak?”
“Dah kau call aku. Takkanlah aku nak biarkan dia
sorang-sorang kat sana? Kalau berlaku apa-apa kat dia, jenuh
aku nak hadap muka nenek dan ibu aku. Kau bukan tak tahu
bagaimana sayangnya mereka kat dia tu.” Itulah hakikatnya.
Jika tidak, masakan Atilia tidak punya kenderaan sendiri
untuk ke tempat kerja pun mereka sudah kecoh. Siap bagi
arahan lagi kepadanya supaya mencari kereta untuk gadis itu.
“Kau takut kena marah dengan nenek kau atau
kau takut ada orang mengurat mak saudara kau tu?”
Ayman senyum menyindir sambil jongket kedua-dua belah
keningnya.
“Kau jangan nak melalut. Karang tak pasal-pasal
sarapan pagi dengan penumbuk aku.” Geram hati Rafiq
dengan sikap suka bercanda rakannya itu.
“Macam mana? Jadi tak nak tawarkan dia jawatan
yang aku cakap semalam?” Ayman pandang wajah rakannya.
“Masalahnya Ayman, dia tu budak engineering. Boleh
ke buat kerja-kerja setiausaha ataupun pembantu peribadi?”
Rafiq menempelak rakannya. Lagi pula belum pernah hayat
dia ada setiausaha. Takkan semata-mata ingin mengambil
Atilia bekerja di Polimerlatex, dia perlu mewujudkan jawatan
tersebut?
“Jangan pandang sebelah mata, Raf. Dia budak
cerdik. Cepat aje dia belajar. Kalau kau tak nak dia kerja
dengan kau, kau suruh dia jadi setiausaha aku. Tahulah
aku nak buat macam mana. Kalau dia tak reti buat kerja di
pejabat, aku suruh dia jadi setiausaha aku kat rumah. Senang
hidup aku. Balik rumah, ada orang sambut. Pasti hilang penat
lelah bekerja seharian.” Ayman mengusik rakannya.
Rafiq mendengus kurang senang. Memang Ayman ni
nak sarapan pagi dengan penumbuknya hari ini.
“Apa hal kau call aku tadi?” segera Rafiq mengubah
topik perbualan mereka. Malas dia hendak mendengar
ayat-ayat merapu sahabatnya itu.
“Oh... yang tu!” Baru Ayman teringat akan tujuannya
menghubungi Rafiq tadi. “Aku nak minta tolong kau sikit.”
“Minta tolong apa?” Wajah Ayman menjadi santapan
mata Rafiq.
“Pasal pipeline.”
“Jomlah kita bincang kat bilik aku.”
Ayman angguk kepala tanda setuju. Takkan mereka
nak bincang perkara tersebut di sini? Sambil berdiri pula tu.
Mahu lenguh kakinya berdiri lama-lama.
Atilia melabuhkan punggung di sofa yang terdapat
di ruang legar pejabat Polimerlatex. Malas dia hendak
menghadap muka Rafiq. Buat menyakitkan hatinya saja. Dia
mengeluarkan telefon bimbitnya, namun apabila matanya
bertembung pandang dengan Rafiq, segera dia menyimpan
kembali telefon bimbitnya ke dalam tas tangan. Bimbang
Rafiq merampas telefon bimbitnya seperti tadi.
“Kau tengok. Macam mana aku tak naik darah
dengan dia. Langsung tak dengar cakap aku. Padahal tadi aku
dah pesan kat dia jangan guna telefon bimbit dalam kawasan
kilang. Degil betul!”
“Kat sini tak ada hallah kalau dia nak on handphone.
Jangan kat area production sudah.”
Rafiq jegil matanya. Tanda kurang senang dengan
sikap Ayman yang memenangkan Atilia. Dia atur langkah
menghampiri Atilia.
Geleng kepala Ayman melihat ketegasan Rafiq yang
tidak bertempat itu. Bukannya lelaki itu tidak pernah guna
telefon bimbit dalam kilang, saja hendak dengki terhadap
Atilia.
“Bak sini telefon kau.” Rafiq hulur tangannya.
 “Nak buat apa?” Atilia lawan pandang.
“Kau dah langgar peraturan dan tak dengar arahan
aku. Sebelum kilang ni meletup, lebih baik aku cegah,” tegas
Rafiq.
Atilia melepaskan keluhan. Namun telefon
bimbit dikeluarkannya juga. Tidak sempatlah dia hendak
menghubungi Raid dan membatalkan janji temu mereka.
Pasti Raid tertunggu-tunggu akan panggilan daripadanya
untuk keluar bersama tengah hari nanti.
“Dah, bangun! Ikut aku.” Rafiq bersuara dan berlalu
sesudah itu.
‘Dia ni... langsung tak pernah berwajah manis kat
depan aku. Asyik nak sentap dan berangin satu badan aje,’
gumam Atilia bengang. ‘Helooo... Atilia! Itu bukan perkara
pelik okey. Kalau dia senyum dan sapa kau baik-baik, itu baru
dikira ajaib.’
Dengan langkah kurang bermaya, Atilia susun atur
kaki mengekori Rafiq dan Ayman dari belakang.

No comments:

Post a Comment