DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Bibik Milenium- Bab 6

“Kau nak keluar makan macam ni ke?” Khalis
pandang Suhaila atas bawah. Sungguh dia tidak berkenan
dengan pakaian Suhaila.
“Kenapa?” Suhaila pandang diri sendiri. Rasanya dia
cukup comel pakai baju kurung warna kelabu bunga-bunga
pink dengan tudung pink. Menutup aurat lagi. Baju kurung
Ivy set Rizman Ruzaini ni. Harga lepas diskaun pun empat
ratus lebih.
“Kalau kau nak jadi perempuan aku, tolong pakai
seksi sikit. Tak mahulah baju ala bibik macam ni.”
Suhaila rasa hendak telan Khalis hidup-hidup. Baju
ala bibik dipanggilnya? Khalis ingat baju dia pakai ni murah
ke? Nak yang seksi-seksi aje. Sel otak dah terputus kut, banyak
sangat tengok benda haram.
“Sorry sikit, tak minat nak jadi perempuan Tengku
Kaz. Lebih rela jadi bibik aje.”
“Kalau kau nak jalan dengan aku, pergi tukar baju.
Tak payah pakai tudung, baju kurung segala bagai ni.” Khalis
tetap mahu Suhaila menukar pakaian. Semua perempuan
yang berdampingan dengannya seksi dan menggoda. Tiba-tiba
dapat isteri yang bertutup macam ini. Memang dia bakal kena
kutuk nanti.
“Jangan risau, aku jalan jauh-jauh. Kalau orang
jumpa kau, cakap aje aku bibik kau. Bukan senang nak dapat
bibik comel macam aku ni.”
“Kau ni, kalau tak menjawab tak boleh ke? Bibik pun
ada adab sopan tau.”
“Aku bibik zaman milenium. Bibik ada ijazah lagi.
Dahlah, aku dah lapar sangat ni. Jangan sampai aku gigit jari
kau satu per satu. Biar kau tak ada jari.”
Mendengar ugutan isterinya, Khalis jadi gerun.
Ugutan Suhaila tidak boleh dipandang ringan. Dia kena
berhati-hati, sebab perempuan yang suka mengugut ini
boleh buat apa saja. Buat masa ini, dia tidak boleh lari atau
ceraikan perempuan ini. Papanya sudah ugut akan serahkan
semua harta kepada adik tirinya. Dia mana boleh hidup tanpa
kemewahan.
“Kau janji kau jalan jauh-jauh. Jangan dekat pun
dengan aku.”
“Yalah. Aku cuma nak makan aje, bukan nak bercinta
dengan kau. Muka macam kau ni tak termasuk dalam senarai
lelaki pilihan aku, tahu tak? Harap muka aje handsome, tapi
tak ada tokoh khalifah.”
Khalis malas hendak dengar mulut Suhaila
membebel. Tidak sampai sehari tinggal serumah, dia dah rasa
menyampah. Bagaimana kalau seminggu, sebulan, setahun?
Mahu dia cepat dapat penyakit tiga serangkai. Rasa nak
humban Suhaila dari tingkat 18 ini.
Khalis cepat-cepat keluar dari rumah. Suhaila
mengekori.
“Aku masuk lif dulu. Kau tunggu lif sebelah. Lepas
tu tunggu aku kat luar kawasan kondo. Aku tak nak orang
tengok aku dengan kau. Jatuh reputasi aku nanti jalan
dengan bibik.”
Suhaila rasa macam hendak cekik Khalis. Tapi dia
akur. Sekarang ini memang dia kena bergantung harap
kepada Khalis. Besok lusa, apabila dia dah selesai ukur tanah
kat kawasan ini, tidak perlulah dia harapkan Khalis lagi.
Dia pun tidak ingin hendak berjalan berdua dengan lelaki
sombong itu. Dia bukanlah buruk sangat pakai baju kurung.
Ada ke dipanggilnya dia bibik? Bagaimana nak ubah perangai
lelaki macam Khalis itu?
Suhaila menapak keluar dari kawasan kondo. Kondo
mewah yang hanya didiami golongan hartawan. Mungkin
sebab itu semasa bertembung dengan jiran-jiran di lif, tidak
ada yang kisah. Silap-silap Khalis ini selalu bawa perempuan
balik.
Astaghfirullahalazim... Suhaila beristighfar.
Tidak baik buruk sangka. Rasanya satu hari ini dia banyak
buat dosa. Berprasangka buruk saja. Bagaimana perasaan
ini tidak datang, orang yang dia sangka paling baik, sudah
mengkhianatinya.
Suhaila berjalan keluar dengan tenang. Tiba-tiba...
Pin! Pin!!!
Hampir terlompat Suhaila. Bunyi hon rasa dekat di
telinga. Dia menoleh ke belakang. Porsche Panamera warna
biru. Khalis dengan kaca mata hitamnya di ruangan pemandu
mengangkat tangan menggamitnya untuk naik.
“Kau ni, masa berjalan pun boleh mimpi ke?”
Khalis terus menempelak Suhaila sebaik sahaja dia
melabuhkan punggungnya. Suhaila dah agak, pasti mamat ni
marah-marah. Suhaila pekakkan telinga. Mamat tidak betul
ini tidak boleh dilayan. Silap-silap, sampai besok pagi pun
boleh membebel.
Khalis terus memandu apabila Suhaila tidak
menjawab pertanyaannya.
Selepas hampir dua puluh minit perjalanan, mereka
berhenti di hadapan sebuah bangunan. Suhaila baca nama
papan tanda bangunan itu. Sri Ayuthai. Makan nak tempat
mahal aje. Memang sedap makan kat restoran ini, tapi
malaslah hendak lepak dengan Khalis.
“Kau ingat, masuk dalam tu nanti kita duduk meja
asing. Kau tak kenal aku dan aku tak kenal kau.” Sekali lagi
Khalis mengingatkan.
Suhaila mengeluh bosan. Tidak payah cakap pun dia
tahu. Dia pun tidak mahu dilihat bersama dengan buaya darat
itu.
“Aku makan kat kedai mamak sana. Kita jumpa kat
sini lepas sejam.”
“Penat-penat aku bawa kau datang sini. Kau nak
makan kat mamak pulak.” Khalis tidak puas hati.
“Aku bukan orang kaya macam kau. Aku orang
miskin aje. Mana mampu aku nak makan mahal-mahal.
Dah, jangan banyak bising. Kau masuk dalam restoran sana,
aku pergi kedai mamak. Kan tak payah susah-susah nak
makan berasingan meja. Asing kedai terus.” Suhaila sengaja
tekankan ayat ‘berasingan meja’. Biar Khalis tahu dia pun
tidak suka Khalis.
“Suka hati kaulah. Jumpa kat sini lepas sejam
setengah. Kalau kau tak ada, aku tinggal.”
Khalis dan Suhaila berpisah haluan. Khalis masuk ke
dalam restoran, manakala Suhaila menapak ke kedai mamak.
Di mata Suhaila kini hanya terbayangkan makanan.
Waktu sudah hampir pukul tiga, baru dia hendak makan.
Dia tidak suka hidupnya sekarang, tapi dia perlukan Khalis
untuk bersembunyi daripada lukanya sendiri. Dia tidak
mahu berjumpa Saiful dan Karlisa atau sesiapa saja yang
dikenalinya. Dia malu.
Suhaila memesan air teh ais. Sementara itu, dia
meninjau lauk di kaunter nasi campur. Saiful suka makan
kari kambing. Setiap kali makan di kedai mamak, memang
itu menu Saiful. Suhaila memilih untuk makan ayam
goreng dengan nasi sahaja. Terasa sunyi hidupnya apabila
terpaksa makan sorang-sorang. Tiada lagi Saiful atau Karlisa
menemani.
Ah, persetankan dua orang yang tidak boleh pakai
itu! Hidupnya tetap perlu diteruskan. Mengikut perancangan
asal, dia akan bercuti dua minggu lepas majlis perkahwinan.
Tapi, sebulan lepas dia mula culas dengan kerja selepas putus
tunang. Projek Nusa Jaya belum lagi disiapkan, padahal dia
sepatutnya membentangkan projek tersebut minggu lepas di
depan Tengku Zabidi. Tapi dia hantar memo melalui Karlisa.
Dan kata Karlisa, Tan Sri Azman sudah berbincang dengan
Tengku Zabidi untuk menangguhkan pembentangannya.
Tiba-tiba Suhaila kecut perut. Benarkah minggu
lepas Karlisa masih ikhlas bersahabat dengannya? Kenapa dia
rasa hulu hatinya senak?
Suhaila menghadap makanannya. Walaupun dia
sedih dan terluka, perut lapar perlu diisi. Takkan hanya
kerana nasib malang, hidupnya perlu dihentikan? Dia tidak
mahu soal Karlisa atau Saiful mengganggu selera makannya.
Selepas makan, Suhaila berjalan-jalan di sekitar
kawasan itu. Sempat juga dia membeli sedikit makanan
untuk dibuat alas perut. Jam di tangan dikerling. Lima belas
minit lagi daripada masa yang Khalis tetapkan. Suhaila
mempercepatkan langkah. Kalau kena tinggal, habislah dia.
Leka sangat berjalan-jalan.
“Nasib baik ada seminit lagi. Aku memang nak
tinggalkan kau dah.” Khalis bersandar di kereta sambil
memerhatikan jam.
“Kau beli apa tu?” soal Khalis apabila terlihat
bungkusan plastik di tangan Suhaila.
“Air tin dengan biskut.”
“Kau nak buat apa dengan benda-benda tu?”
“Nak makan. Nak minum. Takkan nak buat basuh
kain kut?”
“Aku tak izinkan.”
“Kalau kau nak kena tangkap sebab biarkan aku
mati kelaparan, cubalah tak izinkan. Biar semua nampak
kekejaman Tengku Kaz yang hebat ni. Seorang lelaki yang
tak ada perikemanusiaan. Biarkan bibik dia mati.”
Khalis bercekak pinggang. Geram mendengar
tiap patah bicara Suhaila. Kenapa dia ditemukan dengan
perempuan yang suka mengugut begini? Ringan saja
tangannya hendak hinggap ke pipi Suhaila.
“Jangan banyak bunyi, jom balik. Aku dah penat.”
Suhaila terus masuk ke dalam kereta.
Khalis hanya mampu menggeleng kepala. Kalau
tidak kerana harta papanya, memang dia sudah tinggalkan
perempuan itu.

No comments:

Post a Comment