DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 21 August 2017

Mahkota Kertas -Prolog




GURUH berdentum kuat disertai petir yang
memanah, ibarat membelah langit yang kelam malam itu.
Hujan lebat menyimbah bumi. Di sudut sebuah kamar kecil,
seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun sedang
duduk memeluk lutut. Esakannya berlagu-lagu di sebalik
pintu sebuah almari yang terkuak sedikit. Matanya lurus
ke arah cermin tingkap. Biasan air hujan melekat di situ.
Dalam kegelapan ruang biliknya, dia seolah-olah ternampak
bayangan seseorang sedang merenung ke arahnya.
“Mama... Mama dah tak ada... May takut,” esak anak
kecil itu perlahan. Dingin malam membuatkan bibirnya
membeku dan terketar-ketar menyusun kata. “May takut...”
Dia mengulang lagi dua patah perkataan itu. Tubuhnya
menggigil. Pelukan pada lutut dikemaskan.
Bayang-bayang itu datang mendekat sebelum duduk
melutut di depan anak kecil yang baru kehilangan ibunya itu.
Tiada suara yang keluar dari mulutnya, tapi kehadirannya di
situ nyata menghantar ketenangan buat anak kecil itu.
“Kenapa mama pergi? Mama tak sayang May ke? May
tak nak duduk dengan Aunty Linda. May takut...” Anak kecil
itu menangis-nangis lagi. Mengenangkan yang hidupnya akan
terus ditimpa kegelapan buat selamanya, hatinya mengecut
dengan ketakutan.
Bayang-bayang itu mengusap rambut anak kecil
itu. Bibirnya tersenyum, meyakinkan anak kecil itu bahawa
semuanya akan baik-baik saja.
Anak kecil itu meletakkan kepalanya di atas riba
bayang-bayang itu. Namun, yang dia rasakan hanyalah dingin
lantai biliknya.
“Betul ke?” soalnya polos.
Bayang-bayang itu mengangguk. Tangannya terus
mengusap-usap lembut kepala anak kecil itu.
Anak kecil itu memejam mata. Mutiara jernih yang
menemaninya sejak tadi sudah hampir kering di pipi.
“May!”
Panggilan yang disertai dengan ketukan kuat di
pintu menyentakkan anak kecil itu. Dia terus duduk tegak
di lantai. Papa! Dia menoleh ke arah bayang-bayang yang
menemaninya. Wajahnya sudah pucat, takut tertangkap
kerana membawa masuk ‘seseorang’ ke biliknya, walaupun
jelas hanya dia yang nampak ‘seseorang’ itu dengan mata
kasarnya.
“May!” Sekali lagi panggilan itu kedengaran.
Anak kecil itu jadi semakin takut. Faham dengan
reaksinya, bayang-bayang itu segera bangun. Dia tersenyum
sambil meletakkan jari telunjuk di atas bibirnya.
Anak kecil itu mengangguk. Rahsia antara mereka
akan kekal rahsia.
Bayang-bayang itu berjalan mengundur sebelum
terus hilang dalam kegelapan ruang bilik.
Terdengar kunci pintu dibuka dari luar, anak kecil itu
segera melompat naik ke atas katil. Badannya dibungkuskan
dengan selimut tebal. Matanya dipejamkan.
“May...” Derap tapak kaki melangkah masuk. Sesaat
kemudian, bibirnya melepaskan keluhan berat melihat anak
perempuannya sedang nyenyak tidur. Dia keluar semula.
Anak kecil itu menyelak selimutnya dan duduk tegak
di atas katil.
“Meimei? Awak kat mana? Meimei?” Dia cuba
memanggil semula kawan bayang-bayangnya tadi tapi wanita
itu tiada di mana-mana lagi. Dia turun dari katil lalu kembali
semula ke arah almarinya.
Dia mencapai gunting di lantai, sebelum mula
mengukirkan sesuatu pada dinding almarinya dengan mata
tajam gunting itu. Ukiran tiga orang lidi. Ditulis nama di atas
setiap satunya; Mama, May dan Meimei.
“May janji, May takkan lupakan mama sampai
bila-bila,” bisik anak kecil itu sendiri, sambil mengesat sisa
air matanya.

No comments:

Post a Comment