DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 April 2018

KEMBALIKAN MERAH CINTAKU - BAB 10


WAJAH Abang Shaari direnung tanpa berkelip. Sejurus dia ceritakan perkara itu kepada Abang Shaari, berdekah-dekah pemandu syarikat bapanya itu ketawa. Geram pula dia melihat telatah lelaki itu. Jika tidak difikirkan hendak menjaga hati Abang Shaari, mahu saja dia ugut akan berhentikan kerja. Maklumlah keadaan syarikat yang makin meruncing. Nasib baiklah rasa simpati bapanya masih bersisa dan jawatan lelaki itu masih dikekalkan.
“Dah puas ketawa?” soalnya sejurus Abang Shaari kesat air mata di bibir mata. Ketawa sehingga keluar air mata? Teruk betul! desisnya dalam hati.
“Abang rasa lucu dengan cerita kau ni Dar.”
“Apa yang lucunya?” Haydar kembali sedut air dari gelas. Abang Shaari, lelaki yang nampak sederhana tetapi beristeri dua. Mungkin sebab itulah bapanya masih tidak memecat jawatannya sebagai pemandu. Mana tidaknya anaknya sudah lapan.
 “Kaulah Dar. Kalau perempuan dalam ofis tu, memang abang tahu ada yang angaukan kau. Tapi ini lain betul, berani sampai tahap ajak kahwin. Abang rasa mungkin ini petanda jodoh kau dah sampai.” Abang Shaari sambung ketawa, membuatkan Haydar makin bengang. Dia cerita kisahnya bukan nak suruh lelaki itu ketawakan dirinya tapi nak melegakan hatinya dan minta pendapat serba sedikit.
“Habis tu abang rasa apa patut saya buat?” Tanpa mempedulikan rasa sakit hatinya, Haydar suarakan juga apa yang berlegar dalam kepala sejak tadi.
Harapkan dia nak buat keputusan, memang beku otaknya. Mana tahu Abang Shaari yang beristeri dua ni pandai nak beri nasihat. Nak ditanya kepada Najib, otak sahabatnya itu bukan boleh pakai sangat. Lagipun masa depan syarikat pun berkait rapat dengan periuk nasi Abang Shaari juga.
“Eh, kau tanya abang pulak. Kalau abang, orang dah nak, bedal sajalah.” Abang Shaari tersengih-sengih.
Haydar sudah mula kerutkan dahi. Pantang betul sebut pasal kahwin, memang itu sajalah dalam kepala lelaki itu. Dia pun lelaki juga tapi tak adalah gelojoh sampai ambil keputusan tanpa fikir.
“Saya bukan macam abang, semua pun sapu...” sindir Haydar.
“Kalau macam tu, kau tanya sini.” Abang Shaari tepuk dada sendiri.
“Kalau hati kau setuju, buat apa nak kusutkan fikiran. Benda-benda macam ni orang tak boleh tolong buat keputusan. Kau yang empunya badan dan hanya kau boleh buat keputusan,” sambungnya.
Haydar termenung jauh dengan kata-kata Abang Shaari, betul juga kata lelaki itu.
“Orang kata, dalam bab cinta, perempuan tak pernah
matang tapi abang rasa, lelaki dan perempuan sama saja. Masing-masing tak pernah matang bila melibatkan soal hati,” tambah Shaari.
Haydar akui, memang benar kata-kata itu. Lihat saja dirinya, dia boleh putuskan apa saja jika melibatkan hal kerja. Namun bila tiba hal begini, entah kenapa dia langsung tidak boleh berfikir. Apakah kerana kedudukan syarikat bergantung dengan keputusannya nanti? Tambahan lagi, dia kusut bukan kerana cinta tetapi kerana perkataan cinta itu tak pernah wujud antara dirinya dan Ava.
DATIN NIRMALA, HARRAZ dan Haydar duduk dalam satu ruang buat pertama kalinya. Jarang-jarang mereka berkumpul begitu. Datin Nirmala selalunya akan mengelak untuk duduk dalam satu ruang yang sama jika Haydar ada bersama, namun kali ini, tiada pilihan. Dato’ Muktasim memaksanya duduk di situ kerana hendak membincangkan sesuatu.
“Jadi, kenapa you buang tabiat tiba-tiba nak berkumpul macam ni?” Datin Nirmala mulakan kata-kata walaupun jelasnya matanya fokus pada majalah Wanita di tangan. Enggan memandang ke hadapan kerana Haydar ada bersama.
Haydar yang mendengar bicara wanita tua itu menghela nafasnya. Entahkan kerana kesal ataupun rasa bersalah. Seingatnya, tidak pernah dia dengar komunikasi antara ibu tirinya dan bapanya berjalan dengan tenang seolah-olah sudah lama hilang rasa hormat kepada suami sendiri. Dan kagumnya kepada Dato’ Muktasim kerana bapanya masih boleh bersabar dan bertahan dengan sikap ibu tirinya itu. Bertahun-tahun hidup dalam kedinginan begitu, sejujurnya dia sendiri rasa tidak mampu.
 “Haydar nak kahwin,” ujar Dato’ Muktasim. Dia enggan melengah-lengah tujuannya dan mahu mengelak perbincangan itu berlangsung dengan penuh ketegangan, faham dengan sikap isterinya.
Nyata kata-kata Dato’ Muktasim berjaya menarik perhatian Datin Nirmala. Isterinya terus mengangkat wajah. Malah Harraz juga sudah terbuntang mata. Kahwin? Tiba-tiba sahaja!
“Baguslah.” Pendek jawapan Datin Nirmala. Selepas ini bolehlah Haydar berhambus dari rumahnya.
Jujurnya Haydar kecewa dengan reaksi ibu tirinya. Nampak sangat wanita tua itu langsung tidak kisah tentangnya. Walau dia sudah tahu perasaan wanita itu terhadapnya namun jauh disudut hatinya dia berharap agar ibu tirinya akan bertanyakan kenapa. Kenapa dia tiba-tiba hendak kahwin dan dengan siapa dia hendak berkahwin. Kedinginan Datin Nirmala membuatkan dia berasa sedih.
“Dengan siapa?” soal Harraz yang sejak tadi beriak hairan.
Dato’ Muktasim serba salah hendak menjawab. Walau dia tahu anak lelakinya itu sudah putus dengan Ava tapi tentu pelik juga... Haydar berkahwin dengan bekas teman wanita adik sendiri.
“Ava,” jawab Haydar terus. Tak perlu nak berteka-teki. Lagipun memang itu tujuan mereka bertemu.
Harraz yang mendengar tergamam. Ava? “Ava, ex aku?” soalnya.
Yes, your ex,” balas Haydar, tidak sinis cuma dia mahu semuanya jelas.
“Tapi... macam mana...” Harraz tidak dapat berfikir jauh dan bagaimana abang dan bekas kekasihnya sampai hendak berkahwin? Jenuh dia menyusun kronologi kisah Ava dan Haydar namun kosong fikirannya.
Dar is trying to do us a favour. In order to save our company, he needs to marry her.”
“Maksud papa?” tanya Harraz lagi. Datin Nirmala hanya tekun mendengar. Berminat sebenarnya walaupun dia buat muka macam tidak ambil berat.
“Syarikat kita bakal muflis dan Dato’ Hasni setuju akan bantu syarikat kita kalau Haydar berkahwin dengan anaknya,” terang Dato’ Muktasim.
Harraz masih keliru. Bagaimana idea kahwin macam tu boleh muncul tiba-tiba? Dan kenapa pula Haydar yang dipilih dan bukan dia sedangkan dia pernah menjalinkan hubungan dengan Ava walaupun mereka sudah putus. Pada pandangannya, dia calon yang lebih sesuai berbanding Haydar.
“Raz blur...” Harraz terus terang sambil geleng kepala.
Datin Nirmala tersenyum sinis. Baguslah kalau anak gadis liar Dato’ Hasni tu pilih Haydar berbanding Harraz kerana dia tidak mahu Ava menjadi isteri kepada anak kesayangannya.
“Raz sayang... perempuan baik untuk lelaki baik, begitu sebaliknya. Ingat tu.” Kata-kata yang sengaja ditutur untuk pendengaran Haydar. Lupa bahawa anaknya Harraz itu lebih buruk perangai berbanding Haydar.
“Kau terima?” soal Harraz yang masih tidak puas hati walaupun sudah jelas kenyataan Dato’ Hasni tadi.
“Ya,” jawab Haydar pendek. Dipandang wajah adiknya. Cuba mencari kelainan pada wajah itu, wajah cemburu barangkali namun dia tidak temukan. Cuma Harraz nampak cemas.
Harraz raup rambutnya seraya bangun. Bingung dengan perkara yang baru sampai ke otaknya tika ini. Cemburukah dia? Marahkah dia? Namun yang nyata, dia terkejut kerana baik Ava mahupun Haydar, dia kenal kedua-duanya.
Haydar dan Ava... mungkinkah?

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN MEI 2018**  



No comments:

Post a Comment