DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 14 January 2019

Bisikan Rindu Semalam - Bab 10

“MAMA...”
“Uhukkk! Uhukkk!” Tersedak Arissa tatkala disapa
suara halus secara tiba-tiba. Hidungnya terasa pedih. Matanya
pula sudah merah berair. Gelas yang berisi separuh lagi air
putih itu terus diletakkan semula ke atas meja.
“Sayanggg... kenapa buat mama terkejut ni? Nasib
baik mama tak mati tersedak tau,” meleret suara Arissa. Dia
sengaja tayang wajah sedih. Tubuh kecil Izzara diangkat ke
atas ribanya.
“Sorry... Zara tak sengaja,” jawab Izzara
sepatah-sepatah. Tangan kecilnya sudah menyentuh kedua
belah pipi Arissa. Mata coklat cairnya pula merenung tepat ke
dalam anak mata Arissa dengan riak wajah bersalah.
“Are you okay, mama?” mulut petah itu bertanya.
Riak wajahnya masih jelas menampakkan perasaan bersalah.
“I’m fine, sayang. Don't worry okay.”
sekali soalan yang keluar daripada mulut mungil itu,
membuatkan hati Arissa sedikit tersentuh.
Senyap.
“Mama, please answer me! Don't make me worry,
pleasee...” rengek Izzara seperti mahu menangis. Dia nampak
risau benar.
Arissa tersenyum lebar kemudiannya. Hendak
tergelak pun ada dengan keletah Izzara. Comel sungguh
apabila anak kecil itu jelas nampak risaukan dirinya. Allah,
mulianya hati anak ini. Betullah kata ustaz, anak-anak ibarat
kain putih. Kitalah yang bertanggungjawab untuk mencorak
mereka bagaimana.
“No, sayang. Mama tak menangis. Mata mama merah
sebab mama tersedak air tadi. Jangan risau, ya?” Tangan Arissa
sudah mengusap lembut kepala Izzara. ‘Ya Allah, comelnya
anak ini. Kalaulah ibu dia masih hidup, mesti dia bangga
ada anak yang prihatin macam Izzara ni. Hesy, apa kenalah
dengan aku ni? Macam mana aku dengan mudah boleh jatuh
sayang pada budak ni?’
“Really mama?”
“Ya, sayang. Zara datang dengan siapa ni?” Mata
Arissa meliar ke segenap ruang dapur. Tidak ada sesiapa pun
di situ melainkan mereka berdua. Laju saja matanya berlari
pada jam di pergelangan tangan. Hampir ke pukul 8 malam.
“Dengan papa. Dengan ucu.”
“Owh... mana papa?” Pipi Izzara dicium lagi.
“Papa ada dekat sini...”
Bagai hendak luruh rasa jantung Arissa apabila
tiba-tiba saja suara garau itu menyahut. Betul-betul di
belakang mereka. Serta-merta peluh dingin merecik di
dahinya. Liur ditelan berkali-kali.
“Papaaa...” Izzara turun dari riba Arissa dan terus
mendapatkan Hariz.
“Puas papa cari, dekat sini rupanya anak papa
ni. Dating dengan mama rupanya. Papa cemburu tau!”
Hariz melirik penuh makna kepada Arissa. Kemudian dia
mendukung Izzara. Pipi anak kecil itu digomol sepuasnya.
Terserlah sifat kebapaan yang tersorok dalam dirinya selama
ini.
Izzara ketawa mengekek. Arissa pula sudah tidak
senang duduk. Tambah lagi mata Hariz sedari tadi tidak lari
walau sepicing pun daripada merenungnya. Dadanya terasa
bagai hendak pecah menampung rasa.
Arissa tunduk. Tangan menyulam jari sendiri. ‘Isy!
Apa kena dengan mamat ni? Dia renung aku macam nak
telan, kenapa? Aduh! Kalau macam ni, mati lemaslah aku.
Oksigen rasa macam tak cukup aje ni!’
Arissa bingkas bangun daripada kerusi. Rasanya lebih
baik dia cepat-cepat berlalu dari situ. Setiap kali berdepan
dengan Hariz, jantungnya memang tidak pernah kuat. Asyik
terasa sakit saja.
“Nak pergi mana?” Lengan Arissa laju saja disambar
oleh Hariz.
Tersentak Arissa. Nasib baiklah dia pakai baju lengan
panjang. Kalau tidak, mahunya terbakar kulitnya. Kuat sangat
kut aura abang sepupunya itu. Sampaikan terasa menggigil
seluruh tubuhnya.
“Err... nak pergi depanlah. Jumpa wan dengan
Rania.” Arissa menarik lengannya dari genggaman Hariz.
Seketika matanya merenung dalam lelaki itu. Alahai, kalau
dah kacak, pakai apa pun tetap nampak kacak! Pakai kain
pelekat pun nampak macho.
“Hah, Rissa! Kenapa ni? Riz?” Wan Kalsom sudah
terpacul di hadapan mereka. Di sebelahnya pula Rania.
Nampak sibuk benar dengan telefon pintar di tangan.
“Errr... tak ada apa-apa wan. Tadi Rissa minum air.
Ini nak pergi dekat wan dengan Ranialah ni,” kalut Arissa
menjawab. Senyuman kelat dikoyak.
Hariz dijeling dengan hujung mata. Lelaki itu
nampak tenang saja. Sesekali pipi Izzara dicium. Buat tidak
reti saja dengan jelingan Arissa dan renungan tajam Wan
Kalsom.
“Kamu berdua ni nampak pelik saja,” duga Wan
Kalsom dengan dahi yang berkerut. Dari hari pertama Arissa
dan Hariz bertemu lagi, dia dapat merasakan seolah-olah
ada sesuatu yang tidak kena dengan cucu-cucunya itu. Lain
macam sungguh gayanya.
“Eh, mana ada wan. Kan, abang?” laju Arissa
menjawab. Mata Hariz dicari. Mengharap sangat lelaki itu
mahu bersekutu dengannya. Bukan dia tidak kenal dengan
perangai Wan Kalsom. Kalau wanita tua itu rasa ada yang
tidak kena dengan sesuatu perkara, sampai ke akar umbi akan
disiasatnya.
“Haah, wan. Tak ada apalah. Maklumlah, lama sangat
tak berjumpa. Perasaan tu... rasa lain macam sikit. Kan
Cinta?” Hariz kenyitkan matanya kepada Arissa. Saja mahu
mengusik Arissa di hadapan Wan Kalsom. Padahal dia tahu
sangat Arissa sedang menggelabah sekarang ini.
“Errkk...” Hanya itu yang terbit daripada mulut
Arissa. Sumpah! Dia tidak tahu mahu menjawab apa.
Lambat-lambat dia nampak senyuman kecil mula menghiasi
wajah tua Wan Kalsom. Giliran dia pula yang berkerut dahi.
“Kenapa wan senyum macam tu?”
“Akak, wan memang suka tau kalau akak dengan
along kahwin.” Rania yang tadinya nampak sibuk benar
dengan telefon pintar di tangan tiba-tiba saja mencelah.
Matanya lurus memandang ke wajah Arissa. Senyuman di
bibirnya, jangan ceritalah. Mekar bak bunga mawar sedang
berkembang.
“Hah?” terjerit kecil Arissa. Apa semua ni? Ya Allah,
semput dah rasanya nafasnya!
Liur ditelan. Kelat.
Hariz simpan senyum. Perlahan dia berbisik di
telinga Izzara. Namun telinga Arissa dapat menangkap
dengan jelas pertanyaan Hariz itu.
“Honey, do you want her to be your mama?”
Zup!!! Wajah Arissa terasa pijar dan meruap.
Seolah-olah baru sahaja terkena simbahan cili merah kisar.
Apa jenis soalan yang Hariz tanyakan kepada Izzara ni?
“Yes, papa,” bisik Izzara bersama senyuman yang
menguntum di bibir. Mata anak kecil itu nampak bersinar
penuh harapan.
Tiba-tiba saja dada Arissa menjadi sebak. Kenapa?
Kenapakah lelaki itu memberi harapan palsu kepada anak
kecil itu? Anak itu tidak tahu apa-apa.
“Hmm... kalau kamu berdua memang suka sama
suka, wan lagilah suka. Esok juga wan boleh langsungkan.”
Senyuman lebar menghiasi wajah tua Wan Kalsom. Memang
itu yang dia harapkan dari dulu.
“Yeayy... Rania memang suka kalau Kak Rissa jadi
kakak ipar Rania. Cantik! Baik!” Adik bongsu Hariz itu sudah
bertepuk tangan.
Arissa celikkan matanya kepada Rania. Luas. Geram
sungguh dia dengan budak seorang itu. Nampak macam tak
hiraukan keadaan sekeliling. Tapi kalau bab nikah kahwin,
dialah nombor satu!
Baru saja Arissa mahu menjawab, azan isyak sudah
berkumandang dari surau kampung. Masing-masing terus
diam sebagai tanda menghormati seruan yang Maha Esa. Usai
azan bergema, Wan Kalsom menoleh ke arah Arissa.
“Rissa tak boleh solat, kan? Hah, hidangkan makanan.
Lepas solat isyak berjemaah nanti, kita makan ramai-ramai,”
selamba badak saja Wan Kalsom. Tidak ada konar-konar dah.
Terus saja bagi arahan.
“Errr...” Arissa tersenyum kelat. ‘Aduh! Wan ni...
Main redah saja bercakap tu! Tebal 18 inci dah muka aku ni.’
Mata Arissa menjeling sekilas kepada Hariz. Lelaki
itu tersenyum-senyum memandangnya. Cepat-cepat Arissa
kalihkan anak matanya ke arah lain.
“Riz, apa tunggu lagi tu? Cepat pergi ambil wuduk.
Kita solat berjemaah. Rania, jom. Jangan nak mengelat.” Wan
Kalsom sudah menarik lengan Rania untuk beredar ke bilik
air.
Memang sudah menjadi kelaziman Wan Kalsom,
setiap kali anak cucu bertamu di rumahnya, pasti mereka
akan solat berjemaah bersama-sama.
Dada Cinta Arissa berasa sesak semula. Hariz kini
berdiri betul-betul di hadapannya. Merenung dalam ke
arahnya, sehinggakan dia tertunduk malu.
“I wish that come true.”
Spontan Arissa panggung kepala.
“Apa maksud abang?” Bulat matanya menyuluh ke
wajah Hariz.
“Perkahwinan kita.”
“Abang tolong jangan mengharapkan apa-apa
daripada Cinta. Tolong jangan bagi harapan palsu jugak
kepada Izzara.”
“Kenapa?”
Senyap. Arissa tidak membalas. Kepalanya tunduk
menekur lantai. Tangannya pula sibuk menyulam jemari
sendiri.
“Hmmm... abang memang tak mengharapkan
apa-apa daripada Cinta. Tapi abang mengharapkan sesuatu
daripada Dia. Mungkin sekarang Cinta tak sukakan abang.
Tapi, abang yakin satu perkara...” Hariz berhenti sejenak.
Kepala Izzara diusap lembut. Anak kecil itu hanya tersenyum.
Arissa panggung kepala. Pandangan mereka
bertemu.
“Apa yang abang yakin?” Debaran di dada tidak
mampu lagi ditampung. Semakin lama semakin menggila
pula rasanya. Kenapalah Hariz suka sangat buat dia begini?
“Abang yakin hati manusia, hati kita, hati Cinta
Arissa... adalah milik Allah. Bila-bila masa saja Dia boleh
tanamkan perasaan sayang, perasaan cinta... ke dalam
hati manusia. Sebab itulah abang akan terus berdoa dan
mengharap kepada Dia.”
Sekali lagi Arissa telan liur.
“Maksud abang?” Keningnya bercantum rapat.
“Abang berharap agar Allah tanamkan perasaan cinta
dan sayang di hati Cinta buat abang.” Mata dikenyitkan dan
senyuman dikoyak penuh makna.
Arissa bungkam. Lidahnya terus kelu mahu
membalas.
“Sayang pergi dekat mama. Papa nak solat. Nanti
mak tok bising!”
Satu ciuman singgah di pipi Izzara sebelum dia
berlalu. Baru beberapa langkah dia menapak, kakinya
berhenti melangkah. Dipusingkan semula tubuhnya kepada
Arissa dan menapak semula mendapatkan gadis itu. Rapat.
Terus dia terciumkan bau haruman daripada rambut Arissa
yang terlepas bebas itu.
Matanya terpejam rapat. Dadanya terus berdetak
kencang.
‘Astaghfirullahal’azim...’ Cepat-cepat hatinya
beristighfar panjang. Mengejutkan hatinya daripada terus
terbuai dengan bisikan perasaannya.
“Cinta...” lembut suara berlagu.
“Hmm...” Hanya itu yang terbit daripada mulut
Arissa. Izzara yang berada di situ hanya berdiam diri.
Semenjak tadi lagi, dia memang hanya menjadi pemerhati.
“Lain kali kalau abang ada dekat rumah wan, Cinta
pakai tudung ya? Bukan sebab tak cantik, tetapi rasanya lagi
bertambah cantik dan manis kalau Cinta bertudung. Jantung
abang ni pun tak adalah rasa sakit sangat nanti. Kalau tidak,
asyik bergetar saja tengok Cinta macam ni.” Sekali lagi
senyuman manis dikoyak, sebelum dia berlalu meninggalkan
Arissa yang nampak terkebil-kebil itu.

***BOLEH DAPATKAN DI PASARAN, KELUARAN DISEMBER 2018***

No comments:

Post a Comment