DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 25 May 2021

Hey, My Husband! - Bab 6

LAMA telefonnya dipandang. Fikirannya semakin serabut. Ditambah pula dengan permintaan mama pagi tadi, makin membuatkan Naim mahu menjerit sekuat hati. Kedua ibu bapanya tidak pernah cuba memahami dirinya. Sejak Adiba hadir dalam keluarganya, semuanya berubah.

Nafas dihembus perlahan. Bencikah dia kepada Adiba? Dia sendiri keliru. Ada masanya dia sangat rindu untuk bergurau senda dengan gadis itu. Teringat ketika kali pertama pertemuan mereka, budak comel yang bertocang dua itu berjaya menarik perhatiannya. Sejak hari itu, setiap kali tahu arwah Puan Farhana ingin berkunjung ke rumahnya, dialah orang yang paling tidak sabar mahu berjumpa dengan Adiba.

Namun semuanya berubah saat rahsia papa terbongkar. Dia sendiri yang menyaksikan kejadian ibu Adiba terjatuh dari tangga. Sejak dari hari itu, hubungan papa dengan mamanya berubah. Mama terus berpura-pura menyayangi Adiba sedangkan dia tahu dalam hati mamanya itu penuh dengan perasaan benci.

“Apa yang kau termenung tu?”

Tersentak Naim.

“Tak ada apa-apa.”

“Gaduh dengan papa kau lagi?” duga Amir. Mereka sudah lama berkawan baik. Acap kali juga dia melihat Naim berselisih faham dengan Encik Naqib.

“Biasalah. Dia tak habis-habis nak aku jaga hati anak tiri dia tu. Hati aku ni, siapa yang nak jaga?” Naim berbaring di atas katil.

“Pernah kau cuba slow talk dengan papa kau?”

Naim tergelak kecil. Berbincang bukan cara yang baik. Ada saja yang tidak kena antara mereka. Pantang berjumpa, pasti dia yang terpaksa mengalah.

“Aku malas dah nak ambil tahu tentang dia. Tahun depan aku nak tinggal kat kampung; rumah opah aku. Mama aku pun dah janji akan ikut aku.”

“Habis tu, papa dengan adik tiri kau tu macam mana?”

“Lantaklah. Selama ni pun, papa memang lebih suka jaga budak tu.”

Menggeleng Amir. Makin rumit masalah keluarga yang dihadapi oleh sahabat baiknya itu. Dia tahu Naim sangat menyayangi keluarganya. Tapi ego lelaki itu terlalu tinggi.

“Sampai sekarang kau masih bencikan adik tiri kau tu?”

“Sangat benci.”

Amir tergelak halus.

Reaksi Amir itu membuatkan Naim semakin bengang. Terus dia bangun dari perbaringannya.

“Kenapa kau gelak?”

“Kau tu cakap tak serupa bikin. Mulut kata benci, tapi hati kau tu, tak sama apa yang kau luahkan. Aku tahu semalam kau ada carikan hadiah untuk budak tu. Hari ni kan hari jadi adik tiri kau.”

Wajah Naim berubah. Lidahnya terus kelu.

“Daripada pemerhatian aku, kau tak patutlah salahkan dia. Dia pun mangsa keadaan. Yang bersalah papa kau dengan arwah ibu dia. Kenapa nak babitkan adik tiri kau pula?”

“Kau takkan faham. Aku yakin, sebab budak tu juga papa aku jatuh simpati. Perempuan tu sengaja gunakan anak dia untuk tarik perhatian papa aku.”

Terdiam Amir. Melihat wajah tegang Naim, dia perlu berhenti bercakap soal peribadi. Bukan niatnya untuk masuk campur. Tapi dia tidak mahu Naim tersilap langkah dengan menyalahkan orang yang tidak bersalah.

“Hadiah tu bukan untuk dia, tapi untuk Marsya.”

Tegak terus tubuh Amir. Terkejut mendengar nama itu disebut. Tapi, tidak pernah pula dia melihat Naim berbual dengan gadis itu di sekolah.

“Macam mana kau boleh rapat dengan Marsya?”

“Dia anak kawan baik mama aku kat kampung. Kami memang dah lama kenal. Cuma di sekolah aje kami tak berbual sangat.”

“Maksud kau, selama ni kau selalu berhubung dengan Marsya?”

Naim sekadar mengangguk. Memang mereka selalu saja terserempak di kampung. Rumah opah dan keluarga Marsya tidaklah jauh sangat.

“Aku nak bersiap. Petang ni mereka nak sambut hari jadi Marsya. Kau nak ikut aku?”

Tak berkelip mata Amir. Kebetulan pula tarikh hari lahir Marsya sama dengan Adiba. Macam tidak percaya pula.

Errr... tak apalah. Segan aku. Dia tak ajak aku pun.”

“Nak segan apa, dia ada juga suruh jemput kawan yang lain.”

“Tak naklah. Kau pergilah. Kirim salam dekat dia ya.”

Naim sekadar mengangguk. Tidak mahu membuang masa, dia terus mengambil tuala dan masuk ke dalam bilik air. Di dalam bilik air, dia memandang wajahnya sendiri. Pada awalnya, dia menolak untuk mengikut rancangan mama. Tapi selepas dia menerima panggilan papa, hatinya semakin sakit.

Naim tiada pilihan. Dia terpaksa mengikut rancangan mama untuk menyakitkan hati Adiba. Nafas ditarik dalam-dalam. Benci kepada diri sendiri kerana bersikap hipokrit. Sampai bilakah dia perlu berbohong di hadapan ahli keluarganya?

 

SUDAH HAMPIR 1 jam mereka menunggu kedatangan Naim. Adiba masih berkeras tidak mahu menjamah makanan selagi abang kesayangannya itu tidak muncul. Makin serba salah Encik Naqib dibuatnya.

Wajah isterinya dipandang sekilas. Wanita itu hanya sibuk membaca novel. Langsung tidak kisah dengan situasi yang berlaku sekarang. Pelik pula kerana isterinya bersikap acuh tak acuh sahaja.

“Diba, makanan dah sejuk. Kita makan dulu. Papa rasa, Abang Im ada hal sekarang.”

“Tak nak! Papa tipu Diba. Papa kata dah call Abang Im.” Hampir saja Adiba menangis. Kek yang dibeli tadi ditatap dengan mata berkaca. Bengang kerana Naim masih tidak muncul. Besar harapan Adiba untuk menyambut hari lahirnya bersama dengan lelaki itu.

“Setengah jam lagi mama nak balik. Ada janji dengan kawan mama untuk buat rawatan muka,” celah Puan Shira tiba-tiba.

Laju Adiba berpaling ke arah mama.

“Mama pun tak nak sambut hari jadi Dira?”

“Kalau mama tak nak sambut, mama tak akan buang masa duduk dekat sini hampir 1 jam.” Buku novel ditutup sedikit kasar.

Tersentak Adiba. Wajah Encik Naqib turut berubah.

“Sayang...” Tangan isterinya disentuh perlahan. Laju Puan Shira menarik tangannya daripada disentuh.

“Diba dah 17 tahun. Bukan 7 tahun. Tolong jadi matang. Jangan disebabkan tak dapat nak penuhi permintaan Diba, semua orang jadi mangsa!” Tegas nada suara Puan Shira. Kali ini dia sudah hilang sabar. Geram dengan sikap manja Adiba yang semakin melampau. Walaupun Adiba sebaya dengan Naim, ternyata fikiran Adiba masih belum matang.

“Mama nak balik.”

“Sayang... janganlah macam ni. Kita belum makan lagi.”

Adiba tunduk menekur jari sendiri. Sedar yang dia sudah menyusahkan mama dan papanya. Sungguh dia terkesan mendengar kata-kata Puan Shira tadi.

“Shira dah lambat. Jangan risau, Shira boleh balik sendiri. Abang temankanlah Diba.”

“Mama...” Adiba meraih tangan Puan Shira.

Tidak jadi wanita itu bangun. Dia berpaling ke arah Adiba.

“Diba minta maaf, mama. Kita makan dulu ya.”

Melihat wajah Adiba penuh berharap, tidak sampai hati wanita itu untuk menolak. Puan Shira akur dengan permintaan Adiba. Mereka kemudian sama-sama menjamu selera tanpa upacara memotong kek. Kek yang dibeli oleh Encik Naqib dipandang dengan perasaan sebak. Adiba sudah tiada hati untuk menjamah kek itu.

“Diba nak ke tandas sekejap.”

Sebaik saja Adiba menghilang, Encik Naqib mengeluh berat. Dia tahu Adiba terasa hati dengan sikap Naim.

“Shira...”

“Cukup, abang. Tolong jangan manjakan Diba. Ada baiknya Im dengan Diba tak bergaul rapat. Shira lebih suka antara mereka seperti orang asing.”

“Maksud Shira?” Berkerut dahi lelaki itu.

Puan Shira tersenyum sinis. Mata tuanya tidak salah melihat. Pada hari dia terdengar pengakuan Adiba, hatinya mendidih. Terus terbayang sikap arwah kawan baiknya yang bijak berlakon seolah-olah gadis naif. Tidak sangka perwatakan itu ada dalam diri Adiba.

“Diba sukakan Im. Shira tahu.”

Tegak terus tubuh Encik Naqib. Terasa suaranya tersekat di celah kerongkong.

“Shira tak buta, abang. Shira tak nak Diba berharap sesuatu yang mustahil. Im tak pernah sukakan Shira dan sampai bila-bila pun Diba akan dibenci oleh anak lelaki kita. Kalau ditakdirkan Im sukakan Diba, Shira takkan restu hubungan mereka.”

Sekali lagi Encik Naqib terdiam. Jika betul Adiba menyukai Naim, memang tidak menjadi satu dosa. Tapi sangat mustahil hubungan mereka akan pergi jauh. Setelah mendengar luahan isterinya, dia semakin yakin Adiba tidak boleh menaruh perasaan terhadap Naim.

Keluhan terlepas daripada bibir. Mungkin selama ini dia telah terlepas pandang tentang hubungan Naim dengan Adiba. Tidak sangka dalam diam, Adiba menyukai anak kandungnya.

Usai menjamu selera, masing-masing beredar dari restoran itu. Adiba tidak terus pulang bersama Encik Naqib. Dia mahu mencari barang keperluannya terlebih dahulu. Terpaksalah Encik Naqib bersetuju walaupun dia agak berat hati mahu memberi keizinan kepada Adiba.

“Ni kad mama. Beli hadiah yang Diba suka.”

Tersenyum Adiba saat menerima kad kredit itu. Mama tidak pernah kedekut dengannya. Cuma beberapa hari ini saja layanan mama semakin dingin. Tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan, dia mengambil keputusan tidak mahu bersangka buruk. Mungkin faktor usia yang menyebabkan Puan Shira cepat naik angin.

Sedang berjalan sendirian, tiba-tiba Adiba ternampak kelibat Naim. Senyumannya semakin lebar. Laju kakinya menghala ke arah lelaki itu.

“Ni mesti Abang Im terlambat datang.” Ceria wajah Adiba. Tidak sangka lelaki itu sudi datang juga.

Langkah Adiba mati di tengah jalan. Terkejut dia melihat mama sedang memeluk Naim dengan erat. Kedua-duanya kemudian masuk ke dalam sebuah kedai makanan segera. Dada Adiba semakin berdebar-debar. Pelik melihat wanita itu bersama Naim, Adiba segera mengekori dua beranak itu.

Sebaik saja Adiba masuk ke dalam restoran makanan segera itu, tubuh Adiba kaku. Naim dan Puan Shira sedang menyertai sambutan hari lahir seseorang. Jelas senyuman yang terukir di bibir Naim bukan dibuat-buat. Ada seorang gadis manis sedang duduk di hadapan kek. Nyanyian lagu hari lahir bergema di restoran itu.

Hampir saja air mata Adiba jatuh ke pipi. Dengan kekuatan yang masih ada, dia terus melangkah keluar dari restoran itu.

Setengah jam lagi mama nak balik. Ada janji dengan kawan mama untuk buat rawatan muka.”

Kata-kata mama sebentar tadi masih jelas dalam ingatan Adiba. Kenapa mama perlu berbohong? Sungguh dia semakin keliru dengan sikap Puan Shira sekarang.

No comments:

Post a Comment