DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 18 May 2023

Bonjour, Mon Amour - Bab 8


SEDAPNYA Café merupakan kafe halal yang menyajikan hidangan dari Malaysia dan diusahakan oleh Madame Ines yang berkahwin dengan lelaki dari Malaysia sejak beberapa tahun lepas. Kedudukan kafe yang terletak berdekatan dengan stesen kereta api Châtelet–Les Halles membuatkan Sedapnya Café sentiasa meriah dengan kunjungan mereka yang menggemari menu masakan Malaysia terutamanya nasi lemak yang disajikan dengan rendang ayam.

Turun sahaja dari stesen kereta api, Layla singgah sebentar di kedai bunga yang terletak tidak jauh dari stesen kereta api. Dari kedai bunga di tepi jalan itu, dia berjalan ke Sedapnya Café yang terletak kira-kira 15 minit berjalan kaki dari stesen kereta api.

Bonjour, Hugo!” sapa Layla mesra apabila terlihat Hugo yang sedang menyusun kerusi dan meja di luar kafe. Sedapnya Café mula beroperasi dari pukul 8.30 pagi sehingga waktu malam. Selalunya memang staf kafe akan datang sekurang-kurangnya satu jam awal untuk membuat persediaan sebelum kafe dibuka.

“Layla! Bonjour!” Hugo sudah tersenyum lebar memandang Layla dan mengikut Layla masuk ke dalam kafe.

“Macam mana? Okey tak sepanjang saya tak ada?” soal Layla dalam bahasa Perancis. Jambangan kecil bunga lili yang dibeli tadi diubah ke dalam pasu menggantikan jambangan bunga ros yang hampir layu dan diletakkan di atas kaunter utama.

“Rasa macam nak mati tapi tak mati lagi.”

Jawapan bersahaja Hugo membuatkan Layla ketawa. Sewaktu dia mula-mula bekerja di Sedapnya Café, dia takut juga dengan Hugo kerana lelaki Perancis bertubuh besar itu jarang sekali senyum. Kalau Hugo membuat lawak pun, raut wajahnya memang selamba sahaja. Layla sahaja yang selalunya seronok ketawa.

Madame kan ada? Buku resipi pun saya dah tinggalkan dekat dapur,” balas Layla sebaik sahaja tawanya reda.

Sepanjang dia bekerja dengan Madame Ines, memang dia cef utama di kafe ini menggantikan Kak Siti yang sudah pulang ke Malaysia tahun lepas dan Hugo itu merupakan sous-chef. Sejak dia merancang untuk pulang ke Malaysia bulan depan, Madame Ines meminta supaya Hugo membiasakan diri untuk mengambil alih tugas-tugas Layla di dapur.

“Mana sama dengan adanya awak dekat dapur tu,” balas Hugo pantas sebelum dia berjeda. “Memang awak nak balik Malaysia terus lepas ni ke?” sambungnya.

“Nampaknya macam tulah. Dahlah, jangan buat muka sedih macam tu. Nanti takut pelanggan nak masuk kafe,” usik Layla sambil mengikut Hugo menyusun kerusi dan meja memandangkan ada 10 minit lagi sebelum kafe dibuka.

“Kak Layla! Bila balik sini?”

Suara ceria yang menyapa dalam bahasa Melayu itu membuatkan Layla memusingkan tubuh, kelihatan Qaisara dan Husna yang merupakan pelanggan tetap Sedapnya Café sudah tersenyum manis.

“Akak baru aje sampai dua hari lepas. Sara dengan Husna tak ada kelas ke pagi ni?” sapa Layla mesra.

“Tak ada, sebab kita orang dah start study week. Next week pula dah final exam untuk semester ni. Tu yang singgah nak breakfast dulu lepas tu nak pergi kampus,” jawab Qaisara. Dia dan Husna sebenarnya merupakan junior Layla di universiti yang sama tetapi berbeza bidang. Mereka mula-mula kenal sewaktu jamuan Aidilfitri yang diadakan dua tahun lepas.

“Sejak Kak Layla cuti ni, kita orang craving teh tarik akak tu,” tambah Husna pula dan terus Layla ketawa.

“Hugo buat teh tarik tak cukup kaw ke?” usik Layla dan bertukar pandangan dengan Hugo yang sedang menjongketkan kening kepadanya.

“Sedap aje, tapi still tak sama dengan yang akak buat.” Husna tayang sengih.

“Duduklah dulu kalau macam tu. Nak order teh tarik aje ke? Makan?” soal Layla dan spontan menarik kerusi untuk Husna dan Qaisara.

“Mestilah nasi lemak dengan rendang ayam,” jawab Qaisara dan disambut dengan anggukan kepala Husna yang tersenyum lebar memandang Layla.

“Kak Layla, sekejap.”

Layla yang mahu berlalu ke dapur kafe tidak jadi untuk meneruskan langkah dan kembali memusingkan tubuh memandang Qaisara yang nampak manis dengan gaya rambut fishtail braid yang dipadankan dengan long dress bercorak bunga-bunga halus.

“Abang Sara dah ada kat sini tau. Yang hari tu Sara minta akak tolong tu, akak okey kan?” Sengaja Qaisara tayang wajah ala-ala Puss In Boots kepada Layla yang sudah mengerutkan dahi.

“Yang hari tu yang mana?” soal Layla dengan dahi yang masih berkerut. Takkanlah yang itu pula?

“Ala, yang Sara nak minta akak jadi babysitter anak saudara Sara tu sementara abang Sara ada kerja kat sini. Sara dah try cari babysitter, tapi memang tak jumpa sebab abang pun beritahu last minute sangat. Jadi, akak aje harapan Sara sekarang.”

Layla sudah menggaru dahi sendiri. Memanglah Qaisara pernah bertanya sebelum dia pulang bercuti ke Malaysia beberapa minggu lepas, tetapi apabila Qaisara senyap, dia ingatkan yang Qaisara berjaya mencari babysitter untuk anak saudaranya itu.

Please, Kak Layla. Please, please? Lagipun Sara dah beritahu abang yang Sara dah jumpa babysitter. Tu yang dia bawa anak saudara Sara datang sini sekali,” pujuk Qaisara.

“Lagipun abang Sara ni handsome Kak Layla,” sampuk Husna pula.

“Isy, dah lama sangat hidup sampai nak kacau laki orang? Punyalah ramai lelaki single kat luar sana.” Terus Layla jegilkan mata ke arah Husna. Gadis itu hanya ketawa kecil dan kembali menghadap skrin telefon pintarnya.

“Kenapa abang Sara tak ajak kakak ipar Sara sekali kalau dah tahu nak bawa anak kecil datang sini?” soal Layla pelik.

“Sebab kakak ipar Sara tak ada. Boleh tak ni, Kak Layla?” soal Qaisara sekali lagi.

“Okey, tapi kalau akak kena back up Hugo kat kafe, akak kena bawa anak saudara Sara sekali ke sini. Abang Sara okey ke?” soal Layla semula. Memang dia pernah bertanya kepada Madame Ines sebelum dia pulang ke Malaysia dan itu yang sudah dia bincangkan dengan tuan punya kafe.

“Okey aje. Kita orang dah bersyukur sangat kalau akak nak tolong ni. Lagipun abang tak cakap yang dia nak minta tolong free sebab abang akan bayar akak juga,” jawab Qaisara.

“Okeylah kalau macam tu.” Entah kenapa Layla bersetuju juga. Mungkin kerana dia kasihankan anak saudara Qaisara itu.

“Terima kasih, Kak Layla!”

Layla hanya tersenyum memerhatikan Qaisara yang menarik-narik perlahan tangannya.

 

 

“BILA LAYLA nak balik Malaysia terus?” soal Madame Ines dalam bahasa Perancis. Kadang-kadang Madame Ines menggunakan beberapa ayat bahasa Melayu yang diajar oleh  suaminya apabila berbual dengan Layla.

“Hujung bulan ni, madame,” jawab Layla. Terkejut dia kerana tiba-tiba sahaja Madame Ines muncul di kafe.

“Layla memang tak nak kerja kat sini lagi? Saya boleh naikkan lagi gaji,” pujuk Madame Ines walaupun sebelum ini dia pernah menggunakan taktik yang sama kepada Layla.

Mommy saya dah bising suruh balik Malaysia juga, madame. Kalau saya tak jadi nak balik terus ni, mama confirm merajuk.” Layla sengih.

“Saya tak boleh bayangkan Sedapnya Café ni tanpa awak nanti, Layla. Awak dah macam ahli keluarga kami di sini.”

“Madame saja nak bagi saya berat hati, kan?”

Terus Madame Ines ketawa kecil. Disebabkan Madame Ines melayan dia dengan baik sepanjang dia bekerja di kafe ini, membuatkan dia semakin sayang untuk meninggalkan kafe ini tidak lama lagi.

“Kenapa?” soal Hugo dengan nada yang berbisik sebaik sahaja Madame Ines berlalu ke pejabat kecilnya yang terletak di bahagian belakang kafe.

Madame kata, budak perempuan yang hari tu datang lagi tadi,” jawab Layla.

“Fleur?” soal Hugo dengan sepasang kening yang sudah berkerut.

“Wahhh... dah tahu nama ke? Dah ada progress nampaknya waktu saya balik Malaysia,” usik Layla dan Hugo terus menjulingkan mata ke atas seperti gaya yang selalu Layla tunjukkan setiap kali Hugo mengusiknya.

“Fleur nak apa?” soal Hugo.

“Dia nak ajak awak pergi dating,” jawab Layla serius.

“Dia cakap macam tu kat madame?” soal Hugo dengan riak wajah terkejut.

Layla angguk. Dia sengaja mengusik Hugo sebenarnya. Memek wajah Hugo yang nampak kelakar itu membuatkan tawa Layla terlepas juga. Badan sado tapi cepat cuak juga rupa-rupanya.

“Layla! Tak kelakar okey!”

Layla ketawa lagi kerana kulit wajah Hugo yang putih kemerahan itu menjadi bertambah merah.

“Fleur huh? Fleur means flower in English. Patutlah saya tengok muka awak ni nampak macam berbunga-bunga aje bila sebut nama Fleur tadi. Dulu muka asyik stone tapi sekarang dah nampak berbunga-bunga,” usik Layla lagi.

“Layla!”

Layla ketawa seronok.

“Dahlah, saya nak pergi La Baraka Boucherie. Stok ayam kita tak cukup sampai esok.” Hugo mengatur langkah ke kaunter sebelum dia menarik keluar apron yang tersangkut di leher.

La Baraka Boucherie merupakan kedai yang menjual daging halal di Paris dan merupakan pembekal utama daging dan ayam halal kepada Sedapnya Café.

 Selepas Hugo keluar dari kafe, Layla menyambung kerjanya mengemas meja di luar kafe. Apabila dia masuk semula ke dalam kafe, terus anak matanya memandang sekilas jam vintage di dinding yang menunjukkan hampir pukul 8 malam sebelum dia menebarkan pandangan mata kepada para pelanggan Sedapnya Café yang agak ramai.

Bunyi pintu kafe yang ditolak kuat dari arah luar membuatkan Layla mengangkat wajah sebelum mengukir senyuman.

Bonjour, monsieur!” Senyuman di bibir semakin dimaniskan walaupun raut wajah lelaki di hadapannya tidak begitu manis. Spontan, Layla merenung lama wajah tegang milik lelaki di hadapannya. Semakin melebar senyumannya kerana dia kenal dengan lelaki ini. Daddy Orked!

“Hai! Dah rindu masakan Malaysia ke?” tegur Layla ramah. Dia yakin, pastinya Orked yang memberikan kad namanya kepada lelaki ini dan disebabkan itulah lelaki ini ada di depannya sekarang.

Where is my daughter?” Wajah tanpa senyuman itu sudah berada betul-betul di hadapan Layla. Sepasang anak mata tajamnya mula menikam tepat wajah Layla.

Sorry?” Hilang terus senyuman manis Layla sebentar tadi.

“Anak aku mana?”

Kali ini Layla terkejut dengan gaya bahasa daddy Orked yang kasar. Lelaki yang sedang berdiri di hadapannya sekarang seolah-olah berbeza dengan lelaki di dalam kapal terbang tempoh hari.

Sorry?”

“Kau ni tak faham bahasa or are you just plain stupid?”

Terus berderau darah Layla. Terkebil-kebil dia memandang daddy Orked yang tiba-tiba muncul di kafe selepas beberapa hari dia tiba di bumi Perancis. Bukannya nak bertanya khabar dia tetapi sebaliknya tiba-tiba muncul dan terus menyemburnya. Cakap dia bodoh pulak tu!

“Layla, kenapa ni?” soal Hugo yang baru sahaja pulang dari La Baraka Boucherie. Sempat dikerling sekilas lelaki yang sedang berdiri di hadapan kaunter. 

 

No comments:

Post a Comment