DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 22 January 2015

Sesaat Cukup Bagiku - Bab 3

Suasana bening di luar bilik meyakinkan Maizatul Hazirah yang dia kini telah ditinggalkan sendirian. Seperti biasa dia ditinggalkan lagi. Setiap kali mereka bergaduh, Irfan akan terus meninggalkan rumah. Keluar entah ke mana untuk mencari ketenangan hati. Mungkin
bersama Maya ataupun mana-mana perempuan yang lebih senang untuk didampingi.
 
Kini, Mai tahu yang dia akan terus ditinggalkan pergi. Irfan tak akan kembali pada kali ini. Dia sudah tidak layak lagi untuk kembali. Nekad sungguh lelaki itu dalam pergaduhan pada kali ini untuk memutuskan hubungan yang sudah sekian lama terjalin. Nekad tidak mahu kembali sehinggakan dia dihadiahkan dengan talak tiga sekali gus. Mungkin kini puas hatinya, merayakan perpisahan ini. Mungkin kini dia sudah bersama Maya untuk  meraikannya.
 
Perlahan-lahan Mai menguak pintu bilik tidur. Dia melangkah keluar dari bilik, matanya menyoroti ruang tamu yang kembali tenang setelah menyaksikan kekecohan yang membawa kepada peristiwa hitam pada petang semalam. Menyaksikan keadaan ruang tamu dan dapur yang bersepah, Mai jadi sedikit terkejut dengan perlakuan di luar sedarnya. 

Ruang yang bersepah dengan majalah-majalah yang dibalingnya kepada Irfan ketika perang mulut sedang meletus itu diamati dengan perasaan yang sungguh sayu. Entah bila masanya dia melemparkan majalah dan perhiasan-perhiasan kecil itu sehinggakan keadaan yang berantakan menyambutnya di ruang tamu. Sungguh dalam rasa marahnya, dia tidak sedar apa yang telah dilakukannya. 

Bergerak ke dapur, kelihatan suasana di dapur juga agak bersepah. Nasib baiklah dia tidak bertindak melemparkan pinggan mangkuk kepada Irfan dalam peperangan tadi. Dalam rasa marah, masih ada sekelumit akal waras yang membisikkan supaya perlakuan itu tidak dilakukannya. Matanya terarah pula ke meja makan. Pantas sekali dia mengangkat tudung saji yang masih elok letak duduknya di atas meja.

Melihat makanan yang telah basi masih terhidang di atas meja, mengundang rasa pedih dan pilu dalam hatinya. Pulangnya ke rumah lewat tengah hari semalam, dia nekad untuk menjernihkan keadaan di antara mereka berdua yang telah lebih sebulan dilanda badai. Tiba saja dari sekolah dia terus ke dapur untuk menyediakan juadah makan malam.Nasihat daripada Kak Gee beberapa hari yang lalu masih terngiang-ngiang di telinga.

“Mai cubalah bersabar dengan dia. Jangan timbulkan marah dia. Kalau boleh, hari-hari Mai masak untuk dia. Pikat balik hati dia. Suami ni, kalau makan pakai dia kita jaga, layanan kita first class, orang Kelantan kata, mati di kaki dia dengan kita,” kata Kak Gee dengan  menyebut peribahasa Kelantannya siap dengan loghatnya sekali. Tergelak kecil Mai mendengarkan kata-kata Kak Gee.

“Mati di kaki, Kak Gee? Apa maksudnya tu?”

“Maksudnya... Suami kita sayangkan kita, sampaikan semua yang kita nak dia turutkan. Tak marahmarah, tak mudah jauh hati sebab sayangkan kita.” Dia menarik nafas dalam-dalam mengenangkan kata-kata Kak Gee yang sudah tidak mendatangkan apa-apa erti lagi pada saat ini. Belum pun sempat dia menunjukkan hasrat hatinya untuk menjernihkan keadaan mereka, dia diduga lagi. Kepulangan Irfan yang agak lewat pada petang semalam  mengundang seribu tanda tanya dalam hati. Lantas dia menghubungi telefon bimbit suaminya.

Terkedu dia saat mendengar satu suara lunak manja milik seorang wanita yang bagaikan berbisik menjawab panggilan tersebut. Lantas hatinya bagaikan gendang dipalu debarannya. Tak semena-mena darahnya terasa bagaikan naik ke kepala. Tanpa membalas panggilan itu, Mai terus memutuskan talian. Hatinya cukup panas pada saat itu. Bagaikan ada lava yang sedang menggelegak mengalir keluar dari gunung berapi yang hampir mahu
meletus, dia menanti masa untuk mengamuk. Kepulangan Irfan ditunggunya dengan perasaan yang cukup berapi. 

Apa guna kalau dia seorang sahaja yang berusaha untuk menjernihkan keadaan di antara mereka kalau Irfan masih terus mengulangi perlakuannya? Sudah beribu-ribu kali diucapkan kata-kata dusta bahawa tiada apa-apa hubungan di antara dia dengan perempuan lain. Namun mengapa selalu sahaja ada perempuan yang berada di
sampingnya. 

Ah... Sememangnya Irfan bagaikan seorang kasanova. Hidupnya sejak  akhir-akhir ini sering dikelilingi wanita. Mana mungkin Mai mampu percaya dengan kata-kata dusta suaminya yang sering menafikan sikapnya itu? Hati mana yang tidak terus rasa curiga dengan kata-kata Irfan. 



Saat Irfan tiba di rumah, hati Mai sudah cukup menggelegak. Melangkah sahaja kaki suaminya ke dalam rumah, dia disambut dengan balingan majalah, kusyen, dan entah apaapa lagi yang mampu dicapai oleh tangan Mai. Isterinya itu sudah bagaikan gila menanti kepulangannya. Tangisan dan jeritannya bercampur baur. Hati lelakinya yang sebentar tadi
tenang tiba-tiba bagaikan mahu pecah dirasakannya. 

Mai buat hal lagi. Pecah lagi pertengkaran antara mereka. Tubuh Irfan yang letih akibat penat dengan tugas-tugas seharian di pejabat, bercampur dengan perasaan geramnya terhadap Mai akhirnya membawa kepada pergaduhan yang lebih hangat lagi. Dan seperti pertengkaran yang lalu, sekali lagi tamparan Irfan hinggap di pipinya. Terjelepok Mai di lantai. Pedih di pipi sememangnya sungguh menyakitkan. Namun, pedih dalam hatinya lebih hebat bagaikan tidak mampu ditahan lagi.

“Tamparlah... Tamparlah Mai ni kalau abang rasa dah benci sangat dengan Mai. Tak ada guna lagi Mai jadi isteri abang kalau macam ni la caranya abang layan Mai. Mai benci abang... benci...” jerit Mai.

“Ingat Mai aje yang benci... Ingat abang suka Mai buat abang macam ni? Terjerit-jerit macam orang gila.” 

“Memang... memang Mai dah gila. Abang yang buat Mai gila. Dah tak sanggup lagi rasanya Mai hidup dengan abang. Hari-hari asyik dok menipu Mai aje. Kata tak ada apa-apa  hubungan dengan perempuan lain, tapi tadi tu siapa? Masa Mai call tadi tu abang dok buat apa dengan perempuan tu?”

“Abang dah cakapkan... abang dah dalam perjalanan balik... Lepas tu baru perasan abang tertinggal handphone tu. Kebetulan Maya masih kat office. Dia jawablah... Mai ni asyik-asyik dengan sikap cemburu buta Mai. Langsung tak nak dengar cakap abang...” balas Irfan juga dengan nada geram. Geram sungguh dengan sikap cemburu buta Mai.

“Hah... Tak habis-habis dengan Maya. Maya... Maya... Maya... macam tak ada orang lain... Agaknya memang betul abang ada affair dengan dia. Apa dia buat dalam office dengan abang waktu-waktu macam tu? Kalau dia tak ada dalam office abang takkanlah dia boleh jawab call tu. Meja dia kan kat tempat lain? Sejak bila pula dia pindah duduk dalam bilik, bang?” bentak Mai keras sekali, membuat andaian sendiri.

“Mai jangan tuduh dia bukan-bukan. Dia bukan macam tu... bukan macan yang Mai tuduh tu,” herdik Irfan dengan nada yang cukup marah.

“Oh... sekarang... abang dah bela dia pula, buah hati abang tu. Dia yang baik, ya... yang salahnya Mai, kan? Apa yang dia dah bagi kat abang? Body dia?” jerit Mai pula. 

Kesabarannya sudah hilang melayang entah ke mana. Akal warasnya sudah tidak lagi mampu untuk mengawal hatinya yang kini hanya dibaluti dengan rasa marah. Menyembunyikan segala rasa kasih sayang dan cinta untuk suaminya itu. Sekali lagi pipi Mai terasa panas dan pedih dek tamparan tangan lelaki Irfan. Kali ini lebih kuat hinggakan dia terjelepok di lantai. Kesabaran Irfan betul-betul hilang kini. Lantas dia menyepak punggung Mai yang separuh tertiarap di lantai. Geramnya bagaikan tak sudah rasanya. 

Sakit sungguh hatinya apabila dia dituduh sebegitu. Akalnya kini diselubungi nafsu amarah yang membuak-buak. Azan maghrib yang berkumandang sudah tidak didengarinya lagi.
Kini yang ada dalam hati hanyalah perasaan marah yang dibakar dek hasutan syaitan.
Memang betul dia tertinggal telefon bimbitnya di pejabat pada petang tadi. Setelah menyedari kesilapannya itu, dia kembali semula untuk mendapatkannya. Maya yang ketika itu sedang terpinga-pinga sambil memegang telefon bimbitnya, terus memberitahu Irfan tentang perkara yang berlaku. Tapi, hatinya tidak sedikit pun mengesyaki apa-apa.

Dia langsung tidak menyangka Mai akan berprasangka sebegitu. Sungguh tidak disangkanya. 

“Apa guna Mai jadi isteri abang lagi kalau macam ni la caranya abang layan Mai. Ingat Mai ni bola ke... boleh tendang sana tendang sini. Mai dah tak sanggup lagi. Daripada abang buat Mai macam ni... baik abang lepaskan aje Mai ni. Mai dah tak sanggup lagi jadi isteri abang... tak sanggup lagi!” jerit Mai dengan suara yang cukup sayu sekali.

Namun, kesayuan itu tidak lagi didengari Irfan. Amarahnya bagaikan membuak-buak. Terasa tercabar dengan kata-kata Mai itu. 

“Okey... Kalau kau nak sangat, aku bagi kat engkau... tiga sekali... Aku ceraikan engkau dengan talak tiga sekali... hah... puas hati...” Terkesima Mai mendengarkan kata-kata itu. Tak disangkanya kata-kata itu akan terluah dari bibir Irfan.

Walaupun dia yang membentak dan meminta-minta, namun tidak sama sekali dia menyangka Irfan akan melafazkan kata-kata itu. Kata-kata yang bagaikan menarik nafas terakhir dari tubuh kecilnya itu.

Bagaikan parang, ia menetak dan memanggal segala ketenangan yang dirasakan di tasik hatinya sejak dia meluahkan segala rasa gundahnya kepada Kak Gee beberapa hari yang lalu. Melayang jauh segala harapannya untuk membetulkan keadaan di antara dia dan suaminya. 

Hanya disebabkan amarah yang membuak-buak dan melimpah ruah, sehinggakan terlafaznya kata-kata yang sungguh tidak disangkakan itu. Untuk seketika dia memandang wajah Irfan yang masih lagi disimbah dengan api kemarahan. Mai menggelengkan kepalanya tanda kecewa dengan luahan kata Irfan yang menghancur lumatkan segalanya. Ya... segala-galanya... 

Lantas dengan raungan yang memilukan, Mai berlari pantas menuju ke bilik. Ke mana lagi harus dia pergi. Tidak sanggup lagi rasanya dia menatap wajah yang penuh dengan riak kebencian itu. Pintu bilik begitu kuat sekali dihempas kemudiannya dikunci dari dalam.

Terasa bagaikan dipanah halilintar, Irfan juga terpaku di tempat dia berdiri. Apa yang dilafazkannya sebentar tadi? Perkataan apakah yang diluahkan seketika tadi? Tiba-tiba tubuhnya rasa menggeletar. Seribu perasaankesal tiba-tiba menjelma.

Semalaman Mai berkurung di bilik tidur mereka, meraung, meratap meluahkan segala rasa yang terpahat sekian lama dalam hati. Sungguh tidak dia menduga begini kesudahan antara mereka. Lama sekali telinganya mendengar pujukan Irfan yang entah mengapa bergema tiba-tiba.

Memujuk rayu bagaikan tidak ada apa-apa kesalahan yang dirasakannya. Meminta seribu kemaafan daripada Mai. Namun, kemaafan sudah tidak membawa apa-apa erti lagi saat ini. Semuanya sudah hancur. Tiada apa lagi yang bolehdipertahankan.

Telefon tangannya mendendangkan lagu yang amat dikenalinya, mengejutkan dirinya daripada lamunan. Nada dering yang dikhaskan hanya untuk panggilan daripada suaminya. Berlagu syahdu irama lagu Lelaki Ini, nyanyian Anuar Zain. Sering dalam angannya, nada dan irama itulah yang menggambarkan perasaan Irfan terhadapnya. Namun kini semuanya hanya tinggal kenangan.

Hati yang masih lagi gementar akibat terkejut dengan kata-kata yang Irfan luahkan dalam marahnya pada petang semalam terusik lagi. Merenggut-renggut tangkai hati yang sudah bagaikan tidak mampu dipujuk lagi. Air mata yang tadinya kering kembali merembes di tubir mata. Apa lagi yang mampu dikatakannya. Dia menatap skrin telefonnya, 71 panggilan yang tidak dijawab terpapar di situ.

Semuanya daripada Irfan. Tidak satu pun dijawabnya. Untuk apa dijawabnya lagi. Tidak memberikan apa-apa maknanya lagi panggilan itu. Walaupun seribu kali diulangi, sudah tidak ada maknanya lagi.

No comments:

Post a Comment