DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 15 January 2015

Terima Aku Seadanya - Bab 2

IZZARA meletakkan beg tangan ke console table dan merebahkan badannya ke atas sofa. Dia mencapai remote control Astro dan memilih saluran AFC. Chef Emmanuel Sproobant yang tengah rancak berkongsi resipi di dalam rancangan 36 Ways to Live hanya dipandang sepi. Walaupun program masakan itu merupakan antara program tv yang diminatinya, namun kepenatan membataskannya untuk fokus pada program itu.

Sungguh! Dia sangat penat dengan rutin hari ini. Berkejar dengan masa untuk bertemu clientnya dan kembali ke pejabat semula bagi menguruskan dokumen-dokumen untuk client sebelum dia boleh balik ke rumah. Dan yang sangat mencabar dan memenatkan apabila dia menjadi pelakon tambahan dalam drama yang diciptakan dua makhluk Tuhan yang dijumpainya di Sunway Pyramid tadi. 

“Kenapa ya Rania Arissa tu beria-ia anggap aku ni mommy dia? Yang Ghaz Khuzairi pulak terkejut beruk bila tengok muka aku ni, pasal apa? Aduh, pening kepala aku dari tadi asyik fikir hal ni. Tapi tak apa. Lambat-laun aku akan tahu jugak sebab Ghaz Khuzairi tu dah janji nak explain pada aku.
Ermm… Ghaz Khuzairi tu nampak macam stok ayah mithali aje. Kacak pulak tu. Nampak caring betul dia dengan Rania Arissa. Tapi wife dia tak ada pulak dengan diaorang tadi? Mana perginya mommy si Rania tu ye?” bisik Izzara. 

Ghaz Khuzairi


Sejak terserempak dengan dua beranak itu, berselirat persoalan dalam fikirannya. Persoalan yang sering menerjah dalam ruang fikirannya apabila Rania Arissa bersungguh-sungguh menganggapnya mommy. Kenapa ya? Rania Arissa... si comel itu sangat petah berbicara. 

Sesungguhnya, hatinya sudah tertambat dengan tingkah manja dan bijak Rania Arissa. Pelik bukan? Walaupun pertemuan tersebut hanya seketika namun hatinya sudah jatuh sayang kepada Rania Arissa. Baik saja tingkahnya. 

Izzara tertanya-tanya kenapa Rania Arissa tidak ada iras Ghaz Khuzairi langsung. Macam anak mat salih saja budak tu. Rania Arissa punya sepasang mata hazel dan tampak bersinar dengan bulu mata yang melentik. Hidungnya mancung dan rambut dark brown yang panjang ditocang dua menjadikan
Rania Arissa persis anak patung saja. Si manja berkulit cerah gebu dengan pipinya yang tembam membuatkan Izzara rasa geram mahu memicit pipi gebu itu. Nampak sangat manja dan begitu rapat dengan Ghaz Khuzairi. Mungkin Rania Arissa mengikut iras ibunya. Mungkin!


“Amboi!!! Sedapnya kau landing. Kau sedar tak dah pukul berapa sekarang ni? Baik kau bangun sekarang. Pergi mandi dan solat. Karang tak sempat pulak.” Sergah Shamzlin teman serumah Izzara.
Izzara mengenali Shamzlin sejak mereka sama-sama menuntut di Universiti Malaya beberapa tahun yang lalu. 

Malah, mereka sebilik walaupun berbeza kursus. Setelah tamat pengajian, kedua-duanya berpakat untuk menyewa bersama walaupun berlainan tempat bekerja. Mereka berdua sudah kenal lama. Telah banyak kenangan pahit dan manis mereka lalui dan dikongsi bersama. Sudah mengenali baik budi masing-masing. Dah macam adik- beradik pun.

“Hesy... apalah kau ni, Sham! Main sergah-sergah. 

Terkejut aku, tahu tak! Aku dah solat maghrib di ofis tadi before aku balik. Eh, yang kau ni nak ke mana dengan tudung segala ni, Sham?” soal Izzara kepada sahabatnya yang kemas mengenakan shawl di kepala. Izzara mengurut-urut dadanya. Sedang syok dia mengelamun, tiba-tiba kena sergah pulak. Gila dia tak terkejut. 

“Dah, kau jangan nak berdrama pulak. Jomlah kita keluar makan. Aku dah lapar sangat ni, Zara. Tengok kau ni macam penat sangat. Jadi aku tak budget la kau boleh bersilat kat dapur memasak untuk santapan kita malam ni. Jomlah darling... aku dah lapar sangat ni.” Jawab Shamzlin sambil melabuhkan punggungnya. Izzara yang sudah bangun dari perbaringannya itu merapatkan badannya di sebelah Shamzlin. Lalu dia melentokkan kepalanya di bahu temannya itu. 


“Perghh! Kau ni melampau betul, Sham! Mengkulikan aku nak masak segala untuk kau. Banyaklah kau punya santapan. Perasan anak raja betul kau ni ya! By the way, I’m sorry my dear baby, I’m really tired today. Tak laratlah nak jadi chef kau malam ni. Kau tu, setakat nak goreng telur pun tak reti ke? Pemalas betul! Muka je lawa. Tapi pemalas macam beruang koala... hehehe.” Izzara menjawab sambil tersengih. . 

“Wah, mulut kau! Mengalahkan mak nenek je membebel. Dahlah mengata aku ni pemalas. Dah tu boleh pulak kau samakan aku dengan beruang koala tu. Tapi binatang tu cute apa? Eh, jomlah kita keluar makan. Kalau nak biarkan kau membebel, boleh gastrik perut aku nanti.” Berjela-jela Shamzlin menjawab kutukan Izzara itu. Muncung sedepa mulutnya. Sudahlah perut lapar, free saja kena kutuk. 

“Ermm… aku penat sangat ni, Sham. Kalau boleh, aku malas betul nak keluar makan. Aku rela masak maggie kat dapur tu je. Tapi disebabkan aku sayang kau, aku turutkan jua katamu, wahai temanku. Tolonglah tarik tangan aku ni, dah tak larat nak bangun la.”

“Thanks babe! Aku pun sayang kaulah, Zara. Aku belanja. Order je apa yang kau nak makan, okey. Hesy... penat semacam je aku tengok kau ni. Penat kau tu dah macam pergi menebang kayu balak je gayanya.” 

“Hurm, aku bukan penat pergi menebang kayu balak bagailah. Kau ni suka betul merepek! Aku penat sangat ni sebab fikir pasal bala yang aku dapat hari ni. Penat kepala aku ni fikir pasal hal ni. Sampaikan badan aku pun penat sama. Nantilah aku cerita kat kau. Apa-apa pun kita pergi makan dulu.” 

BADANNYA TERASA segar semula usai mandi. Setelah mengenakan pakaian, dia mencapai pula telekung dan membentang sejadah untuk menunaikan solat isyak. Izzara selalu ingat akan pesanan kedua orang tuanya. Sesibuk mana sekalipun, solat lima waktu jangan diabaikan dan kita sebagai hamba-Nya wajib menunaikan perintah Allah. Itu salah satu tanda kita mensyukuri nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita. Kata papanya, solat itu memberi ketenangan.

Ketenangan pula adalah benih kepintaran. Dan kepintaran pula hasilnya kecemerlangan. Oleh itu, jangan sesekali tinggalkan solat kerana berjuta-juta yang berada di kubur ingin kembali ke kehidupan ini semata-mata untuk sujud kepada Allah. Izzara tidak pernah lupa akan pesanan orang tuanya. Dia tidak pernah mengabaikan perintah yang satu itu. 

Usai bersolat, Izzara melangkah ke meja soleknya dan mencapai sikat. Rambutnya yang ikal panjang melepasi bahu itu disikat rapi. Setelah itu kepala dilabuhkan di bantal. Izzara memejamkan matanya seketika. Bau haruman lavender dari pewangi bilik sedikit sebanyak menenangkan mindanya.

Entah kenapa, dia terasa betul-betul penat dengan aktivitinya siang tadi. Bukannya dia tidak biasa mengejar masa ke sana sini memenuhi appointment dengan client. Mungkin juga dia banyak berfikir agaknya. Seharian dia memikirkan tentang Rania Arissa dan Ghaz Khuzairi. Sungguh! Dia ingin tahu di sebalik misteri kisah dua beranak itu. 

Izzara bangun semula dan mencapai Blackberrynya. 


“Kenapa sampai sekarang Ghaz Khuzairi tu tak call aku  ye? Tadi beria-ia dia nak name card aku. Ingatkan nak call aku. Tapi sampai sekarang tak call pun.” Izzara berbicara sendiri.

Tiba-tiba dia teringat akan kekasih hatinya, Qaleef. Qaleef yang bertugas sebagai Aircraft Maintenance Engineer kini menghadiri kursus di sebuah aviation centre di Sheffield selama sepuluh hari. Namun dia hairan, sudah empat hari sang kekasih menyepi tanpa sebarang khabar. Ketika dia menghantar Qaleef ke KLIA beberapa hari lepas, sempat juga dia berpesan agar memaklumkannya jika si dia selamat sampai di Sheffield. 

Namun, Izzara hampa kerana tiada sebarang berita daripada Qaleef. Rindu kian sarat bertamu dalam kalbunya. 
“Ah, rindunya pada dia! Erm, tak apa. Baik aku try Skype dia. Mana tahu dia tengah online ke.” 

Baru saja Izzara bangun untuk mengambil iPad, tiba-tiba kedengaran lagu A Thousand Years di Blackberrynya. Lantas Izzara mencapai telefon dan senyuman terukir di bibir mungilnya apabila melihat nama si pemanggil. Serasa ingin melompat pun ada. Terus saja dia menekan punat hijau.

“Assalamualaikum… baby.” Sapa si pemanggil.

“Waalaikumussalam… I missed you so much, honey! 

I baru aje nak try Skype dengan you.” Jawab Izzara manja.

“I missed you too, baby. Hmm, Zara… Sorry ya.

I tak call you empat hari ni. Jadual I kat sini padat sangat, sayang. I nak rest pun tak cukup masa. Baru empat hari kat sini, I dah rasa nak balik Malaysia je sebab I rindu sangat kat you.” Terang Qaleef yang sememangnya rasa bersalah kerana mengabaikan Izzara tanpa sebarang khabar. Tuntutan kerja di sana membataskan Qaleef untuk mengirim berita kepada buah hatinya itu.

“Takpe. I faham you busy dengan kerja you kat sana. Cuma I bimbang you senyap je empat hari ni. You apa khabar? I heard it can be snow quite heavily in Sheffield.” 

“Thanks. Sayang jugak you pada I ya. By the way,sini dah tak snow lagi, Zara. Sekarang spring season. Even masa pun dah cepat satu jam. So beza masa kat sini dengan Malaysia tujuh jamlah. Cuma still sejuk walaupun matahari memancar. Sejuknya kadang-kadang tu buat I nak balik Malaysia je. Kalau you ada, boleh la I peluk. Jadi heater I... hehehe.” Usik Qaleef sambil gelak kecil.

Amboi bukan main lagi si Qaleef ni. Sejuk punya pasal, siap nak peluk anak dara orang. Muka si gadis di Malaysia sudah kemerahan menahan malu bila diusik si jejaka yang jauh di Sheffield sana. Macamlah dia tu pernah peluk Izzara. Hampeh punya Qaleef!

“Eeii… tak senonohlah you ni. Siap nak peluk I. You ingat I ni apa? Nak samakan dengan heater pulak? Sampainya hati you. Baru empat hari kat sana, you dah tak boleh bezakan your girlfriend dengan heater. Sedihlah I macam ni.” Drama Izzara. Sengaja mahu bermanja. Hakikatnya dia faham yang Qaleef hanya bergurau. 

“Aikk? I baru cakap nak peluk dah merajuk? I bergurau jelah. I hormati you sebagai wanita yang paling I cinta dan yang paling I sayang. Takkanlah I nak buat benda tak senonoh kat you, baby. Kalau betul I nak peluk you, tunggu you halal untuk I. Maruah you kan maruah I jugak, Zara. You kena ingat tu. Satu lagi, takkanlah I tak boleh nak bezakan bidadari I ni dengan heater. Memang sah-sahlah bidadari I ni lebih cantik daripada heater. Lagipun you la wanita yang paling cantik di muka bumi ni.” Lembut suara Qaleef cuba memujuk Izzara yang kononnya merajuk.

Izzara di sana sudah menahan tawa. Baru sikit dia berdrama merajuk, berjela-jela pulak ayat Qaleef cuba memujuk. Walaupun ikhlas Qaleef memuji tentang dirinya, namun agak melampau saja pujian itu baginya. Lelaki biasalah. Mulut manis daripada gula. Terutamanya bila bab memujuk ni. 

Izzara tidak mahu meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada lelaki. Terutamanya yang bergelar kekasih. Dia harus berhati-hati. Payah kalau terlalu percaya dan mudah makan pujuk dengan pujian. Nanti dia jugak yang susah. 

Namun, dia sangat bersyukur mengenali lelaki bernama Qaleef Datuk Qaleed. Hampir dua tahun mereka menyulam kasih. Dan selama itu juga Qaleef sangat menghormati dan terlalu mengambil berat tentang dirinya. Hanya lelaki itu yang berjaya menakluki ruang hatinya. Baginya, Qaleef lelaki yang begitu istimewa. Sungguh... cinta dan setianya hanya untuk lelaki bernama Qaleef Datuk Qaleed. 

“I tahu you bergurau je tadi. You tu kalau tak usik I, memang tak sah! Harap betullah cuma I je wanita di hati you tu. Do you know how much I love you, Qal. Please sayang, if anything happens… You jangan sekali-kali tinggalkan I.” Sayu Izzara menuturkan ayat-ayat yang terakhir itu. Demi Tuhan, dia tidak dapat membayangkan betapa tidak bermakna hidupnya tanpa kekasihnya itu. 

“Kenapa you tiba-tiba touching ni, sayang? Can’t you see how much I love you, baby? Demi Tuhan, tak terlintas di hati I untuk tinggalkan you. I’ll never let you go and I’ll always with you. Percayalah. Hanya Allah saja yang boleh memisahkan kita. You tahu, bukan? Impian I, mahu hidup bersama you.
Mahu bina kebahagiaan bersama you dan anak-anak kita. So, kita kenalah selalu mendoakan yang terbaik untuk hubungan kita ni. By the way, sayang I ni jangan buat-buat lupa ya… I nak anak sepuluh orang tau!” ucap Qaleef tulus sambil ketawa kecil. 

“Oh, sayang... How sweet of you! You make me feel wonderful, honey! Hmm, pasal anak tu... melampaulah! Siap nak sepuluh orang anak. Ingat I ni mesin buat anak ke?” usik Izzara pula.

Merepek je nak anak sampai sepuluh orang. Ingat senang ke nak beranak? Namun, hati Izzara tetap kembang semangkuk apabila mendengar luahan ikhlas dari hati sang kekasih. Sungguh! Dia rasa sangat bahagia. Siapa yang tak ingin ada anak dengan orang yang disayangi dan dikasihi sepenuh jiwanya. Syukur Ya Tuhan, di atas rasa bahagia ini.

“I’m just joking, baby. Kalau Allah bagi dua orang anak pun dah okey. Itu pun I bersyukur sangat sebab dapat anak-anak yang dilahirkan oleh perempuan yang paling I sayang dan cintai. Tak sabar rasanya I nak hidup bersama dengan you, Zara.” Tutur Qaleef penuh pengharapan.

Sesungguhnya itulah harapannya selama mengenali Izzara. Dia sememangnya ingin mengukir bahagia dengan gadis idamannya itu.

No comments:

Post a Comment