DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 8 March 2018

Mungkinkah Dia - Bab 6

AYLA memandang lelaki bertopi yang duduk di
ruang menunggu. Dia lagi! Ayla hanya membiarkan lelaki
itu terus menunggu. Dia berjalan ke arah pejabatnya tanpa
menoleh ke arah tempat duduk Haziq.
Sebolehnya dia berusaha menyembunyikan diri dari
pandangan lelaki itu. Baru sahaja mahu memulas tombol
pintu, dia terdengar namanya dipanggil. Ayla melepaskan
keluhan berat sebelum menoleh. Sekelip mata Haziq sudah
berada di hadapannya.
“Macam mana?” Haziq bertanya. Dia sudah tidak
sabar mahu mendengar jawapan Ayla. Dia harap gadis itu
akan bersetuju dengannya.
“Macam mana apa?” tanya Ayla. Sengaja buat muka
sengal. Dia malas melayan Haziq yang buat-buat tak faham.
Meluat dia melihat muka Haziq yang poyo.
“Eleh, buat-buat lupa pula. Cepatlah bagi keputusan.
Kerja aku dah bertimbun dekat pejabat tu. Banyak lagi kerja
lain yang aku nak buat. Ingat nak hadap kau aje ke?”
Masya-Allah, lelaki ini ke bakal suami dia? Nak
kahwin tapi egonya menggunung!
“Kalau kerja awak dah bertimbun dekat pejabat, apa
kata awak balik aje pejabat awak. Jangan kacau saya dekat
sini!”
“Aku tak boleh dan tak akan balik kalau kau tak
setuju! Kau ingat aku nak sangat ke duduk kat sini? Aku
datang sini pun terpaksa. Bukan rela!” hambur Haziq. Geram
pula dia dengan kekerasan hati Ayla. Dia memandang wajah
Ayla yang sedikit merah. Mungkin sedang menahan marah.
Ah, apa dia kisah! Janji gadis itu setuju.
“Saya-tak-nak!” Ayla bercakap satu demi satu
perkataan. Berharap Haziq mengerti.
Kata-kata Ayla membuatkan Haziq kaget. Parah!
Otaknya berputar ligat. Dia perlu membuatkan Ayla
mengubah keputusan itu.
“Kau nak ke mak kau dalam kubur tu terseksa sebab
janji ni? Kau pun tahu, setiap janji mesti ditepati.” Haziq
sengaja membuatkan Ayla serba salah. ‘Kau ni degil sangat.
Meh sini aku nak tengok sampai bila degil kau tu bertahan!’
“Jangan cakap sesuka hati!” ucap Ayla, tegas. Dia
mengetap bibir. Marahnya membuak-buak. Tangannya terasa
seperti mahu menampar mulut Haziq yang celopar.
“Eh, betul apa. Dahlah, maybe kau lagi suka mak
kau tu menangis dalam kubur. Kalau aku tak fikirkan mak
kau dah berjanji, aku pun takkan cari kaulah.” Haziq bagai
mencurah minyak petrol RON95 ke atas api yang sedang
marak. Dengan selamba dia berpaling.
Kata-kata Haziq membuatkan Ayla bertambah
marah. Dia terus masuk ke pejabatnya. Pintu dihempas kuat.
Air matanya mula mengalir.
‘Kejam ke aku kalau tak tunaikan janji tu?’ hati Ayla
merintih.

TENGAH HARI itu, Ayla ke restoran. Perutnya terasa lapar
pula. Dia malas pulang ke rumah. Dia pasti, neneknya akan
bercerita soal perkahwinan. Ceramah neneknya yang panjang
lebar itu tentunya akan membuatkan dia semakin tertekan.
Matanya terpandang seorang lelaki yang sedang
memarahi pelayan restoran. Dia pasti itu Haziq.
“Tak sedaplah. Apalah yang korang masak ni?” Haziq
sengaja mencari masalah. Dia benar-benar bosan. Walaupun
dia tahu pelbagai aktiviti boleh dia buat di sini, namun hatinya
langsung tidak tertarik apabila memikirkan tujuannya ke sini.
“Maafkan kami, encik. Kami akan masak lagi
sekali,” jawab pelayan itu yang sedari tadi hanya menunduk
merenung lantai.
“Tak payah. Biarkan dia. Kalau dia tak nak kebulur,
dia makan juga.”
Haziq terkejut mendengar suara yang menyampuk.
‘Dia datang pula! Potong linelah!’ Dia menoleh ke
arah Ayla. Matanya menjeling.
‘Setakat jelingan kau tu, aku tak takutlah.’ Ayla mula
rasa menyampah. Muka aje handsome. Perangai, hampeh!
“Yang kau tiba-tiba muncul ni apa hal?” Haziq
membuat muka tidak puas hati.
“Suka hati sayalah. Ni resort saya. Saya boleh jejak
setiap ruang kat resort ni bila-bila masa aje. So, encik ada
masalah?” Ayla tersenyum sinis. Hah rasakan!
“Eh, kau tak payah nak berlagak sangatlah! Setakat
resort kau ni, sekarang juga aku boleh beli tau. Berapa? Kau
cakap aje. 10, 50, 100K? Tapi nanti tak pasal-pasal pula kau
kerja kat sana.” Jari Haziq menuding ke arah laut. Sudah
tentulah dia memaksudkan nelayan.
“Awak boleh tak jangan cari pasal dengan saya?” bidas
Ayla dengan suara yang tertahan. Dia segera memperlahankan
suara sejurus terpandang beberapa orang yang lalu sibuk
memandang ke arah mereka.
“Kau ni mimpi ke? Bukan kau ke yang mulakan dulu
tadi?” perli Haziq.
“Awak tu yang mimpi. Bukan ke awak yang
mula-mula marah pekerja saya? Dasar sengal!”
“Kau masuk campur kenapa? Aku marah pekerja
engkau, bukan kau!” Mata Haziq merenung gadis di
hadapannya itu. Gadis itu nampak begitu kecil di hadapannya
saat ini. Boleh dipicit bila-bila masa sahaja.
“Sebab yang awak marah tu pekerja saya. Faham?”
balas Ayla. Dia terus berlalu sejurus menghadiahkan jelingan
tajam kepada Haziq.
Tidak lama kemudian...
“Haziq Asyraf.”
Haziq menoleh apabila terdengar namanya dipanggil.
“Kau ni kenapa? Siap panggil nama penuh pula. Aku
tahulah nama aku tu sedap,” tutur Haziq kerek.
Ayla menjulingkan matanya ke atas. Tanda meluat
dengan pernyataan Haziq yang masuk lif tekan sendiri itu.
“Kau ingat mata kau cantik ke nak buat macam tu?”
Bengkek hatinya melihat Ayla. Gadis itu kini sudah duduk di
hadapannya. Hesy, putus seleranya nak makan! Gelas yang
berisi jus oren di atas meja dicapai.
“Saya nak cakap yang saya setuju untuk tunaikan
janji mak saya.”
Tersembur air yang diminum oleh Haziq. Cepat-cepat
dia mencapai tisu. Biar betul!
“Tipulah.” Haziq sangsi. Mana mungkin hati gadis
itu cepat benar berubah. Daripada tsunami terus ke air yang
tenang.
“Ya... tak ada masa saya nak main tarik tali dengan
awak. Tapi ingat, saya setuju sebab mak saya dah janji... tak
ada sebab lain.”
Mendengar kata-kata Ayla, sepantas kilat Haziq
mengeluarkan sebuah fail dari beg sandangnya bersama
sebatang pen. Dia tidak peduli dengan peringatan Ayla tadi.
Dia harus segera menyelesaikan hal ini. Paling cepat, petang
ini juga mereka bertolak ke Kuala Lumpur.
“Nak buat apa pula ni?” Ayla tercengang.
“Sign kat bawah tu.”
“Kenapa pula?” tanya Ayla. Dia masih terpinga-pinga
dengan tindakan Haziq.
“Sign ajelah. Banyak tanya pula. Nanti kau mungkir
janji. Jangan banyak tanya lagi.” Bengang pula Haziq dengan
Ayla yang banyak soal.
“Bagus. Petang ni ikut aku balik KL,” kata Haziq
selepas Ayla selesai menandatangani dokumen itu.
“Nak buat apa pergi sana? Saya banyak kerjalah dekat
sini,” bantah Ayla. Baru setuju jadi isteri, Haziq dah arah dia
macam-macam. Melampau!
“Kita nak buat persiapan untuk majlis bulan depan.”
“Majlis?” Sekali lagi Ayla tercengang.
“Apalah sengal sangat kau ni. Majlis kahwin kitalah.
Kau ni memang lembablah.” Haziq mula geram. Apalah nasib
dia jumpa minah yang lembab ni?
“Kenapa awal sangat?”
“Apa-apa ajelah. Nanti aku beritahu nenek pasal
hal ni.” Haziq segera menjawab. Dia terus berlalu setelah
menyelesaikan pembayaran. Tidak sabar untuk mengemas
barang-barangnya dan pulang ke Kuala Lumpur.

“BERAPA LAMA kamu nak bawa Ayla duduk KL?” Hajah
Syamsiah menyuarakan kebimbangannya. Hati kecilnya
masih tertanya-tanya mengapa perkara ini terasa begitu
pelik di matanya. Namun dia hanya berfikiran positif bahawa
perkara yang baik tidak salah dipercepatkan.
“Nenek janganlah risau. Saya tak bawa lari pun
Ayla ni. Tak lama... lepas dah selesaikan segala urusan, saya
pulangkan Ayla balik,” seloroh Haziq. Dia tersengih ke arah
Hajah Syamsiah yang kini sudah digelar nenek.
“Ingat saya ni barang ke nak pinjam, nak pulang!”
bidas Ayla. Panas telinganya mendengar kata-kata Haziq.
“Ayla! Haziq ni bakal suami kamu, jangan nak
melawan pula.” Hajah Syamsiah menegur cucunya yang
dirasakan agak kurang sopan.
Ayla hanya menunduk.
‘Eleh, baru bakal...’ hati Ayla memberontak. Dia
memandang Haziq yang tersengih memandangnya. ‘Sukalah
tu, ada back-up.’
“Nenek bukannya apa... kalau sekarang dah pandai
melawan, dah kahwin nanti lagi teruk jadinya.”
Kata-kata Hajah Syamsiah membuatkan Ayla terasa
seperti tercekik buah durian.
‘Aduhai nenekku, kenapalah kata-kata nenek
begitu menikam jiwa ini! Sanggup nenek mempertahankan
Haziq berbanding diri ini. Ini betul-betul, kera dari bandar
diagung-agungkan, cucu di sini, disindir-sindir.’ Sempat pula
Ayla berdrama dalam hati.
“Eh Ayla, yang kamu termenung kat situ kenapa?”
Pertanyaan Hajah Syamsiah membuatkan Ayla
terkejut. Dia segera mendekati Haziq dan neneknya.
“Kamu jaga cucu nenek baik-baik ya. Jangan
bergaduh pula nanti,” pesan Hajah Syamsiah.
Haziq hanya mengangguk-anggukkan kepalanya
sahaja.
“Okeylah nek, kami gerak dulu. Nanti lambat pula
sampai KL.” Haziq meminta diri. Dia terus menyalami tangan
Hajah Syamsiah lalu mengangkat beg Ayla. Ayla pula sibuk
berpelukan dengan neneknya. Bagaikan bakal berpisah
bertahun lamanya.

No comments:

Post a Comment