DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 8 March 2018

Polaroid - Bab 8

ZAFRIL membuka laptop. Dia lebarkan senyum
saat terpandang senyuman arwah adiknya yang terpampang
sebagai wallpaper. Gambar mereka berdua bersama Puan
Syarifah. Semuanya nampak indah. Arwah berada di
tengah-tengah sedang memeluk mereka berdua.
Zafril membawa tangannya ke skrin laptop dan dia
mengusap wajah itu. Sungguh dia rindu. Semua kenangan
mereka sangat indah. Seingatnya dia tidak pernah bergaduh
dengan Tania. Adiknya itu cukup manja dengan dia dan
emaknya. Apa saja yang dibuat oleh Tania selalu melemahkan
semangatnya. Kalau ada yang tak kena, Tania pandai memujuk
supaya dia tidak jadi marah. Itulah istimewanya Tania.
“Rindunya abang dengan kau dik.”
Zafril senyum sendiri. Teringat permintaan adiknya
untuk menyambung belajar di UTHM supaya dekat dengan
emaknya, Puan Syarifah. Sekali lagi bibirnya mengukir
senyum. Kali ini senyumannya kelat.
“ABANG, NIA nak minta something dengan abang boleh?”
“Apa dia?”
Cuti semester baru masuk hari kedua. Mereka
sama-sama pulang ke Johor untuk meluangkan masa bersama
Puan Syarifah. Tania pandang abangnya dan dia tersenyum
manja.
Zafril kerutkan keningnya dan merenung tajam.
Kemudian dia turut sama senyum. “Nia nak minta apa? Ni
mesti benda yang pelik ni sebab senyuman Nia tu lain macam
je abang tengok.” Zafril menuding jari telunjuk dekat wajah
Tania.
Tania gelak. Lucu dengan serkap jarang abangnya.
“Abang nak tolong tak?”
“Nia cakap dulu nak apa.”
“Nia rasa nak dekat dengan mak. Tak nak jauh-jauh.
Kalau boleh nak dekat dengan abang juga.”
“Meaning?” Zafril sekali lagi kerutkan kening. Dia
alihkan kerusi meja kerjanya supaya betul-betul menghadap
wajah Tania yang duduk di birai katilnya.
“Boleh tak abang tolong Nia pindah ke UTHM? Nia
nak dekat dengan mak. Boleh pergi kuliah ulang-alik je dari
sini. Kalau kat UMK di Kelantan tu jauh sangat. Abang pun
pindahlah sama. Nanti boleh tengokkan Nia.”
“Isy, mana boleh nak pindah senang-senang macam
tu je. Ni bukan pindah sekolah, urusan U rumit sikit Nia.”
“Alah... tu Nia tahulah. Sebab tu Nia minta tolong
abang uruskan. Kalau senang, Nia sendiri boleh settle.”
“Nak merajuklah tu.”
Tania tarik muka. Zafril gelak kecil. Ditarik hidung
adiknya itu dan dipicit geram. Merah.
“Dahlah tak nak tolong orang. Buat orang pulak.
Malaslah kawan dengan abang kalau macam ni.”
“Yalah. Nanti abang tolong mana yang patut. Nia nak
pindah bila?”
“Betul?”
Zafril mengangguk.
Melihat respons abangnya itu, segera dia bangun
dan peluk Zafril. Mengucapkan rasa terima kasih kerana tidak
menghampakan permintaannya. “Nia sayang abang lebih.”
Zafril geleng kepala. Memang sudah menjadi
sebahagian daripada hobinya untuk memenuhi apa yang
Tania inginkan. Entahlah... untuk nak berkata tidak kepada
adiknya itu terasa tak sampai hati. Lagipun mereka hanya dua
beradik.
“Abang tanya ni, Nia nak pindah bila?” Zafril kembali
mengulang soalan yang sama.
Tania merenggangkan pelukan. Disentuh sekejap
pipi abangnya dengan kenyitan mata. Dia gembira.
“Nia nak pindah sem depan. Tak nak lama-lama jauh
dengan mak dan abang. Macam tak best je.”
“Dulu tu okey je pergi UMK. Ke Nia ada masalah?”
“Tak ada masalah pun.”
“Hmm, nanti abang cuba tanya siapa-siapa yang
boleh settlekan pasal tu. Kalau tak dapat, jangan salahkan
abang pulak.”
“Kalau tak dapat, tak apalah. Nia tak paksa. Janji
abang dah usaha.”
“Terima kasih sebab memahami abang.”
Mereka mengekek ketawa.
“Okey, abang buatlah kerja. Nia tak kacau dah. Nak
pergi kacau mak pulak.” Tania sengih panjang. Zafril turut
sama membalas dengan sengihan.
Tania keluar dan menutup pintu bilik abangnya.
Lelaki itu meneruskan kerjanya yang tertangguh seketika
tadi. Masuk minit yang ke lima belas, khusyuknya hilang
apabila mendengar suara bising emaknya di ruang tamu.
“Zaf!”
Pantas Zafril bangun dan menyambar tombol pintu.
Dia berlari ke arah emaknya.
“Mak. Kenapa?” Zafril bertanya kalut. Matanya
menyapa wajah Tania dengan mata yang terpejam di dalam
ribaan Puan Syarifah.
“Nia... Nia pengsan.”
“Allah! Macam mana boleh jadi macam ni?”
“Tadi elok je dia duk sembang dengan mak. Lepas
tu dia bangun tiba-tiba cakap nak masuk bilik. Dia pegang
kepala lepas tu terus jatuh.”
“Ya Allah, Nia. Apa kena dengan kau ni dik?”
Puan Syarifah sudah menangis. Tidak sanggup
untuk dia melihat wajah pucat Tania.
“Mak, mak pergi siap. Ambilkan tudung Nia sekali.
Zaf angkat Nia masuk kereta. Kita pergi hospital.”
Puan Syarifah angguk. Dia segera mencari
tudungnya dan tudung Tania.

TANIA MEMBUKA matanya perlahan. Terasa berat di
bahagian atas kelopak. Kepalanya juga terasa berat.
“Nia.”
Tania mendengar namanya disebut lembut. Dibuka
matanya semakin luas. Kiri dan kanan tangannya dipegang
oleh Zafril dan Puan Syarifah.
“Nia dah sedar?”
Kedua-duanya melebarkan senyum. Tania turut
sama gagahkan diri untuk senyum. Terasa berat di kepalanya
seperti dia memikul beban yang sangat hebat. Dikerutkan
wajah. Tangan dibawa menyentuh kepala itu.
“Nia sakit ke?”
Tania menggeleng perlahan. Cuba menidakkan sakit
yang ditanggung.
“Mak tahu Nia sakit.” Puan Syarifah mengusap wajah
dan kepala anaknya perlahan.
Zafril berpaling ke belakang. Tubir matanya sudah
tidak mampu menampung air mata.
“Abang...” Tania memanggil.
Segera Zafril mengesat air jernih itu dan berpaling
ke arah adiknya. Dia gagahkan bibir untuk senyum. Tania
turut sama membalas.
“Abang dengan mak tak payahlah sedih. Kita terima
ujian ni sama-sama. Nia dah reda dah.”
Zafril sekali lagi tidak dapat menahan sebaknya. Air
mata lelakinya keluar dengan laju. Dikesat pun bagai tidak
memberi apa-apa erti. Air itu tidak mahu kering. Basah di
pipinya.
“Bila Nia dapat tahu?” Puan Syarifah lebih tenang.
Dia tidak mahu tunjukkan hati yang parah di depan
anak-anaknya.
“Dua minggu lepas. Semuanya mengejut. Sebelum
ni Nia selalu sakit kepala. Bila pergi check doktor, diaorang
cakap yang Nia sakit kepala biasa, migrain. Tapi dua minggu
lepas Nia pengsan. Doktor buat CT Scan. Doktor baru dapat
detect penyakit sebenar Nia. Kanser tu dah tahap tiga. Nia
reda. Dah tak ada apa Nia boleh buat selain tu.”
“Patutlah Nia nak pindah UTHM.”
Tania angguk. Dia senyum. Dipegang tangan
abangnya dan juga tangan emaknya. Digenggam erat.
“Nia dapat rasa yang mungkin masa Nia dah tak
lama. Jadi Nia nak habiskan masa Nia untuk dekat dengan
mak dan abang.”
Zafril bangun. Dia melepaskan genggaman tangan
adiknya. Dibawa langkahnya ke luar bilik wad. Tak sanggup
untuk dia berdepan dengan emak dan adiknya. Sungguh tabah
gadis itu. Gadis yang selama ini sangat manja dengannya.
Dia menyandarkan badan ke dinding. Di situ, dia menangis
semahunya.
“Zaf...” Suara lembut Puan Syarifah memanggil anak
lelakinya.
Zafril tidak memberikan tindak balas. Hatinya
sedang cedera.
“Tak apa mak. Nanti abang okeylah tu. Masa
mula-mula Nia tahu pun, Nia macam tu juga.”
Tania senyum lagi. Puan Syarifah turut sama
senyum. Beberapa minit kemudian, Zafril kembali menapak
masuk ke dalam bilik wad.
“Abang dah kenapa nangis macam budak kecil? Nia
sihat je lagi ni. Cuma penat nak bangun.”
“Nia nak makan apa-apa tak? Abang belikan.”
“Nak! Nia nak KFC.”
“Tak boleh. Jangan nak minta yang bukan-bukan.”
“Alah mak... tengok abang. Dahlah Nia sakit. Jahat
lagi dengan Nia.”
“Dah Nia tu kan tengah sakit. Tak elok makan fast
food macam tu.”
“Mak pun sama. Tak naklah kawan dengan semua
orang macam ni. Biar jelah Nia macam ni.”
“Yalah, yalah. Abang belikan.”
Zafril kembali bangun, memandang Puan Syarifah.
Wanita itu angguk tanda membenarkan. Melihat muka sayu
Tania membuatkan mereka mengalah.
“Dah, tak payah merajuk. Nanti abang belikan.”
Tania memang merajuk. Pandai untuk sensitif
tiba-tiba bila dirinya dalam keadaan begitu. Air matanya turut
sama keluar. Kecil hati dengan kata-kata emak dan abangnya.
“Jangan nangis. Nanti sakit lagi kepala tu. Nia kan
kuat.”
“Memanglah Nia kuat. Tapi abang dengan mak tu
sengaja buat Nia sedih.”
Zafril mendekat kepada adiknya. Dia memeluk Tania.
Faham yang keadaan sekarang membuatkan Tania mudah
tersentuh. Puan Syarifah menyapu air mata Tania dengan
tangannya. Dia senyum melihat keakraban dua beradik itu.
“Abang minta maaf ya.” Zafril mengucup ubun-ubun
Tania.
“Pergilah beli KFC. Nia lapar.”
“Ya. Abang nak pergilah ni.”
“Nanti abang sorok. Jangan bagi nampak kat nurse.
Nanti diaorang bising.”
“Tahu pun takut.”
Tania sengih. Puan Syarifah menggaru kepalanya.
Bibirnya tetap sentiasa dengan senyuman. Apa yang ada dalam
hatinya, dia biarkan. Tidak mahu menunjukkan kesedihan di
depan mereka. Biarlah dia menangis di depan yang Hak.

No comments:

Post a Comment