DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 February 2015

Isteri Dambaan Dia - Bab 2

MELIHAT sawah padi yang menguning di depan mata. Rifqi Ekhsan tersenyum puas. Terasa berbaloi penat lelahnya mengerjakan sawah itu. Seminggu lagi dapatlah dituai hasilnya. Untuk tuaian hasilnya itu biarlah adik lelakinya yang menguruskan. Rifqi perlu ke ibu negara esok untuk menjalani temu duga di sebuah syarikat.

Kalau ikutkan hati Rifqi dia enggan berhijrah ke bandar. Baginya tidak salah bekerja di kampung walaupun memiliki segulung ijazah. Dia tidak kisah hidup secara sederhana asalkan cukup makan dan cukup pakai. 

Rifqi sebenarnya berat hati mahu meninggalkan ibunya yang sudah tua. Bukan dia tidak harapkan Aina dan Rafiq untuk menemani ibunya tetapi untuk berjauhan dengan ibunya tentu gusar bersarang di hati. Bukannya dekat jarak Kota Kuala Muda dengan ibu negara.

Aina masih bersekolah dalam tingkatan empat. Manakala Rafiq berusia dua puluh satu tahun dan sudah bekerja. Rafiq tidak mendapat kelulusan cemerlang dalam pelajaran dan dia hanya bekerja di bengkel membaiki motor sahaja. Rifqi pula sebaik menamatkan ijazahnya dalam bidang pemasaran dia tidak bekerja di mana-mana. Sebaliknya mengerjakan sawah padi milik arwah ayahnya.

Bekas rakan sekuliahnya Zamri memberitahunya tentang jawatan eksekutif pemasaran di Sirna Jaya Kosmetik. Zamri telah setahun berkhidmat di situ. Memandangkan Sirna Jaya memerlukan kakitangan segera dalam bidang pemasaran, Rifqi telah dihubunginya. Pada awalnya Rifqi menolak namun desakan dari ibu tercinta membuatkan dia nekad untuk menghadiri temu duga itu.

“Jauhnya termenung tengok sawah. Macamlah kat tengah bendang tu ada awek cun.” Teguran Aina membuatkan Rifqi berpaling ke belakang. Rifqi tersengih. 

“Aina… mana ada awek cun nak duduk tengah bendang. Kan panas tu. Awek zaman la ni suka tempat berhawa dingin.”

“Hahaha kononnyalah. Habis Aina ni bukan awek?

Okey aje duduk tengah panas ni,” usik Aina. Siap buat gaya model yang tidak takutkan bahang mentari. 

Kepala Aina yang dililit selendang nipis digosok Rifqi.

“Adik abang ni lain. Memang kalis dengan semua ni. Tak kira panas ke, hujan ribut ke... kalau abang ada dekat sini, rela Aina datang.”

“Tahu tak apa. Abang sayang eh nak tinggalkan sawah ni?” tanya Aina dengan tangannya membetulkan selendang yang sudah meliuk-liuk kerana ditiup angin bendang. Berubah kedudukan selendang di kepalanya angkara Rifqi yang sengaja menggosok kepalanya tadi.

“Sayanglah jugak. Ini kali kedua kita bakal tuai hasil, kan.”

“Sayangkan sawah atau sayangkan pulusnya. Bimbang Rafiq bedal seorang tak bagi abang. Waima abang yang penat kerjakan,” sakat Aina. Dia gelak kecil.

“Hesy bukan macam tu. Abang tak kisah pasal duitnya. Abang tahu Rafiq pasti akan bagi pada mak. Abang cuma risau nak tinggalkan adik-adik abang dan mak.” 

“Abang kami bukan budak kecil. Mak tu bukannya uzur pun. Abang jangan risaulah. Abang kerja je kat Kuala Lumpur tu elok-elok. Ada masa abang balik jenguk kami.” 

Pipi Aina ditujahnya lembut. “Amboi hebatnya jadi penasihat abang.”

“Hehehe mestilah... adik abang kan...” Aina sungging sengih.

“Mailah kita balik. Abang dah lapaq ni. Aina masak apa tadi?”

“Aina goreng telur dadaq. Mak pula buat gulai ikan kering campur nenas. Terangkat!” 

Provoke Aina tentang menu tengah hari itu. 

“Wah sedapnya!” Rifqi teruja. Cepat ditariknya tangan Aina supaya mereka segera sampai ke rumah. Membebel Aina kerana dia hampir tersadung.

Rifqi Ekhsan

Artina Nediesha

RIFQI MELETAKKAN beg pakaiannya. Kini dia berada di rumah bujang yang disewa Zamri. Kebetulan housemate Zamri telah berpindah jadi dapatlah Rifqi menjadi teman baru  Zamri di rumah yang mempunyai dua bilik itu.

“Duduklah Qi. Apasal tegak berdiri macam tiang bendera pula? Maaflah rumah aku ni berselerak sikit. Sempit pula tu,” tegur Zamri. Tangannya laju mengutip plastik dan pakaian yang berselerakan. 

“Kau duduk seorang diri Zam, tapi rumah kau macam kapal karam. Apa kes?”

“Semalam aku ajak member lepak sini. Makan sambil layan movie. Akhirnya tertidur kat depan ni. Pagi tadi terkocoh-kocoh ke pejabat tak sempat pula aku nak kemas.” 

“Housemate kau dulu tak kisah ke kau sepahkan rumah?”

“Kisah kut… sebab tu dia pindah.” Selamba badak saja Zamri memberitahu. Baginya membiarkan kediaman bersepah tidak menjadi masalah baginya.

“Teruklah kau ni.”

“Relakslah bro. Kita kan hidup bujang. Nanti dah ada bini lainlah,” balas Zamri mudah.

Rifqi menggeleng. Dilabuhkan jua punggung ke sofa murah milik Zamri. “Lumayan ke gaji kau kerja di Sirna Jaya Kosmetik tu?”

“Bolehlah setakat hendak tampung hidup di bandar besar ni. Tapi kalau nak mewah tak bolehlah,” gumam Zamri. Kemudian dia ke dapur untuk mengambil dua tin minuman dari peti sejuk. Satu tin air hundred plus dihulurkan kepada Rifqi supaya sahabatnya membasah tekak. Rifqi membuka penutup tin dan meneguk minuman berkarbonat yang diberi Zamri. Dia kembali mengutarakan pertanyaan kepada sahabatnya. “Syarikat tu buat kosmetik eh?”
Zamri hala alat kawalan jauh dan membuka televisyen. “La... dah namanya syarikat kosmetik takkan mereka nak buat perkakas elektrik pula. Apa orang kampung kau tak pernah pakai ke produk Sirna?”

“Wei Sirna tu produk mahal. Orang kampung aku dapat pakai Safi pun dah kira cun sangatlah…”

“Aku dah beritahu Encik Nik Rizal yang kau akan temu duga esok. Aku ada cakap yang kau tu bestfriend aku. Jadi aku rasa hundred percentlah kau akan diterima.”

“Macamlah kau tu bos. Belum apa-apa lagi dah bagi keyakinan seratus peratus.”

“Encik Rizal tu percayakan aku. Sebab tu bila bahagian pemasaran memerlukan kakitangan dia suruh aku carikan.” 

“Boleh percaya ke kau ni?”

“Tengok kaki la bro,” ujar Zamri konon ada lagak. 

“Aku takut nanti aku kena jaja produk tu kat pasar raya. Mahu biru wajah aku duk promote produk tu kat perempuan. Tak pasal-pasal wajah hensem aku ni dibuatnya demo.” 

“Hensem ke kau ni? Meh dekat sikit biar aku tilik.” Didekatkan wajahnya dengan Rifqi tetapi belum apa-apa Rifqi tolak.

“Kau jangan berhomoseksual dengan aku,” Rifqi memberi amaran dalam bercanda.

Zamri gelak jahat. “Cinabeng kau tuduh aku. Aku samak juga mulut tu karang. Pasal kerja tu… kau ingat jawatan salesman ke Encik Rizal tu offer?”

“Entah! mana aku tahu. Kut indah khabar dari rupa mana tau. Konon eksekutif, tiba masa salesman aje.” 

“Huh! Merabanlah kau ni. Kau angkut kau punya beg ni masuk bilik. Mandi dan solat. Kejap lagi aku belanja kau makan nasi kandar kedai mamak.”

“Cantik!” Rifqi angkat ibu jari. 

 
HARI KETIGA di Sirna Jaya Kosmetik sebagai Chief Operating Officer (COO) dilayari Nediesha dengan sebal di hati. Dokumen di hadapannya dibaca dan diteliti tanpa perasaan. Hanya bosan yang menguasai minda dan hati.

Daun pintu dibuka dan dia menapak keluar. Dia ingin ke bilik Artini. Banyak hal mengenai syarikat yang belum dia ketahui. Saat melintasi bilik abang iparnya dia berpaling di  situ. Matanya tertancap pada lelaki yang sedang ditemu duga oleh Nik Rizal. Dia tahu tentang sesi temu duga untuk jabatan pemasaran itu. Semalam dia ada terdengar perbualan Artini dengan daddynya mengenai hal itu. Kacak. Tengok sebelah sisi pun aku memuji wajahnya. Inikan pula memandang wajahnya. Aduhai. Tak apa kejap lagi dia keluar, bolehlah aku tengok betul ke mamat tu kacak. Desis hati Nediesha.

“Diesha intai siapa tu?” Artini menegur adiknya yang terteleng-teleng mengintai bilik suaminya.

Nediesha berpaling. “Err... tengok siapa yang Abang Rizal temu duga.”

Artini kerling sekilas bilik Nik Rizal tetapi dia tidak berminat untuk mengambil tahu.

“Tak payahlah tengok dia. Mari masuk bilik akak. Ada hal akak perlu briefing Diesha sebelum mama bising.” 

“Memang Diesha nak ke bilik akak pun.”

“Habis tu apa lagi? Marilah...” ajak Artini tanpa mempedulikan ekor mata adiknya yang meliar ke bilik suaminya.

“Alright...” Sempat Nediesha berpaling sekali lagi. Hatinya meronta mahu melihat wajah lelaki itu sepenuhnya. Namun percubaannya gagal kerana lelaki itu masih tekun memandang abang iparnya.
 

Di dalam bilik Chief Marketing Officer (CMO)...

“BAIKLAH RIFQI Ekhsan. Dengan ini saya melantik awak sebagai eksekutif pemasaran di Sirna Jaya Kosmetik Sdn. Bhd. Esok awak boleh mula bertugas di bahagian pengiklanan dan promosi. Awak perlu berganding bahu bersama Zamri dan beberapa orang lagi kakitangan lain untuk membantu hal ehwal pemasaran di bawah pemantauan saya.”

“Ya ke Encik Rizal? Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak,” ucap Rifqi dengan penuh kesyukuran. 

“Di sini saya ingin menjelaskan skop kerja awak. Dengar dengan teliti tetapi untuk penerangan detail awak boleh rujuk dan tanyakan kepada Zamri supaya lebih faham. Pertama, awak perlu mengkoordinasi bahan-bahan pemasaran untuk produk Sirna Jaya Kosmetik. Kedua, perlu uruskan acara-acara untuk pemasaran produk di hypermarket. Ketiga, mengkoordinasi kempen-kempen Sirna Jaya Kosmetik untuk para pengedarnya. Keempat awak wajib libatkan diri dalam perancangan pemasaran. Dan yang kelima awak harus merancang dan menguruskan pengiklanan produk Sirna Jaya Kosmetik tidak kira di laman sosial, media cetak ataupun di media massa,” terang Nik Rizal secara terperinci.

Rifqi telan liur mendengarkan penerangan skop kerjanya. Bunyinya seolah-olah berat saja. Maklumlah orang baru, pengalaman pun kosong lagi.

“Jangan gusar ya Rifqi. Kita bekerja dalam kumpulan. Bukan awak seorang yang kena galas amanah yang saya berikan. Itu hanya skop kerja yang saya nyatakan. Kita buat dalam team.
Apa-apa hal rujuk saya dulu sebelum di bawa ke pihak atas.”

“Baik Encik Rizal. Saya faham.” Senyuman dilakar bersama anggukan kecil.

“Awak perlu rajin berusaha dan menimba pengalaman Rifqi. Insya-Allah saya yakin awak boleh memegang jawatan itu dengan baik.”

“Terima kasih sekali lagi atas kepercayaan Encik Rizal. Insya-Allah saya cuba berkhidmat sebaik mungkin.” 

Pintu bilik Nik Rizal diketuk. Tak lain dan tak bukan yang mengetuk pastinya Nediesha. Hajatnya mahu melihat wajah lelaki yang ditemu duga abang iparnya harus terlaksana hari ini jua. Terjengul kepala Nediesha. “Maaf mengganggu. Boleh Diesha masuk?”

“Sure. Masuklah Diesha,” pelawa Nik Rizal. Dia tidak mengesyaki apa-apa meskipun terlintas jua rasa pelik mengapa Nediesha tiba-tiba mengunjungi biliknya. Rifqi berpaling dan matanya terus tertangkap dengan mata Nediesha. Cepat-cepat dia menundukkan pandangan kala terpandang wanita itu tidak menutup aurat dengan sempurna. Tetapi lain pula bagi Nediesha senyuman lebar dia hadiahkan bersama renungan yang penuh makna.

“Ehem… Cik Nediesha ada apa-apa yang hendak disampaikan ke?” soal Nik Rizal dengan gaya urusan rasmi. 

“Tak perlu formal sangatlah Abang Rizal,” bidas Nediesha selamba.

“Diesha, ini kan pejabat. Mama kan dah ingatkan supaya profesional di pejabat. Etika kena jaga. Protokol perlu ada.” Penuh berhemah Nik Rizal titipkan nasihat buat adik iparnya.

“Fail ni… Kak Tini suruh bagi abang.” Fail itu diletak atas meja Rizal tapi matanya melekap pada wajah Rifqi. 

“Well… I’m Artina Nediesha. COO Sirna Jaya Kosmetik.” Nediesha menghulurkan tangan kanannya kepada Rifqi.

Tergamam Rifqi dibuatnya. Dia benar-benar tidak bersedia ditegur wanita yang berjawatan tinggi itu. Tangan yang dihulur Nediesha hanya mampu dilihat tetapi tidak mampu disambut.

“Maaf.” Hanya sepatah perkataan itu yang mampu diucap Rifqi.

“Diesha… perempuan dengan lelaki tak boleh berjabat tangan,” tegur Nik Rizal apabila menyedari yang Rifqi tidak selesa dengan sikap selamba adik iparnya. Dia tahu Nediesha agak sosial. Sementelah, lama berada di luar negara. 

“Ops! Sorry... Siapa ni Encik Rizal?” Nediesha menarik tangannya.

“Rifqi Ekhsan. Eksekutif pemasaran baru syarikat kita. Esok dia akan mula bertugas.”

“Not bad. Hensem orangnya. Kalau macam ni gerenti larislah produk kosmetik Sirna Jaya.”

Rifqi pamer sekelumit senyuman. Namun matanya tetap menunduk ke bawah. Tidak sanggup dia menempah dosa percuma melihat betis gebu wanita di hadapannya. 

“Okeylah. I keluar dulu. Nice to meet you Rifqi Ekhsan. Tengah hari esok I belanja you lunch.” 

Sekali lagi Rifqi terpanar. Namun sedaya upaya dia cuba meneutralkan wajahnya yang hampir berubah warna.

No comments:

Post a Comment