DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 February 2015

Isteri Dambaan Dia - Bab 9

TERTINJAU-TINJAU DiaRifqi mencari gadis yang bernama Artina itu. Dia diberi klu baju lady putih dan jeans denim warna biru. Saat ternampak gadis yang berpakaian begitu, pantas Rifqi hampiri. Gadis itu pula membelakangi dirinya.

“Assalamualaikum. Ni ke Cik Artina?” Secepat kilat Nediesha berpaling dengan senyuman penuh madu. Terloncat juga Rifqi kerana dia salah tegur orang. Rupanya anak bos yang ditegurnya.

“Err… maaf Cik Nediesha. Saya silap orang.” Nediesha bangun dan berdiri rapat dengan Rifqi. 

“Awak tak silap orang Rifqi. Sayalah Artina Nediesha.” Separuh berbisik.

Terkedu Rifqi tidak percaya. 

“Saya cari Artina. Dia tu orang yang salah nombor menelefon saya.”

“Ya… sayalah Artina tu,” terang Nediesha bersungguh-sungguh. Dia ni barangkali terlupa nama penuh aku. Tak ingat ke pertemuan pertama dalam bilik Abang Rizal tu?

“Cik Nediesha janganlah main-main.” Rifqi mula tak tentu arah. Bagaimanalah dia boleh terlepas pandang nama penuh anak majikannya. Ralat dia. Tak terjangka sama sekali mereka berdua gadis yang sama.

“Erm tak percaya.” Nediesha capai telefon pintarnya. Didailnya nombor Rifqi. Rifqi seluk poket. Benar nombor gadis ‘wrong number’ tu. “Jadi… Cik Nediesha sengaja permainkan saya?” 

“Please sit down Rifqi. I can explain.” 

Rifqi akur. Dia labuhkan duduk. Serius benar dia pandang wajah Nediesha. Mindanya sarat berfikir apa motif gadis itu mengenakan dia.

“Saya tak berniat permainkan awak. Saya sekadar menguji dan dengan cara itu kita dapat keluar bersama. Banyak kali awak menolak pelawaan saya jadi apa salahnya kali ini saya kenakan awak.”

Mudahnya perempuan ni ucap kata-kata. Hari tu dalam telefon yang dia duk bersoksek-soksek apa kes? Baik punya lakonan. Tipah tertipu aku jadinya.

“Baiklah kalau macam tu. Sekarang sketsa awak dah tamat Cik Artina Nediesha. Lepas ni tak payahlah pura-pura wrong number lagi. Ingatkan betul cari bekas pakwe tapi rupa-rupanya sengaja permainkan saya.”

“Awak marah Rifqi?”

“Siapa saya nak marah cik? Don’t worry Cik Nediesha, saya tak simpan dendam. Dengan ikhlas saya maafkan cik hari ni, tapi lain kali janganlah buat perangai macam tu lagi waima
pada orang lain.”

“Rifqi, awak tak jelas lagi ke kenapa saya bertindak begitu?”

“Jelas... saya belum buta. Tapi maaflah saya kurang senang dengan tindakan sebegitu.” Sinis bunyinya tapi betul ke perasaan Nediesha difahaminya?

“Saya minta maaf tapi izinkan saya dapatkan ‘Rifqi’ saya tu.”

Berlapis-lapis dahi Rifqi. Mulut pun turut sama melopong. Mata pula dibenamkan pada bebola mata Nediesha. Mencari kesahihan di situ.

“Saya tak faham...”

Malu tapi bibir tetap mahu ucap. Jantung kembang kencup tetapi hati mahu meluah. Wajah berubah rona tapi lidah yakin untuk ungkap.

“Saya... sukakan awak Rifqi.” Rifqi tepuk pipi sendiri. Selama ini pepatah perigi mencari timba tidak dipercayainya. Kali ini terhempap atas kepala sendiri. Yakin wujud perigi yang tidak malu mencari timba rupanya. Namun hatinya belum percaya seratus-peratus. 

“Sejak kali pertama tengok awak di bilik Abang Rizal,” sambung Nediesha tanpa segan.

Rifqi mati kata. Lidahnya kini terpaku di lelangit. Yang dia nampak jalannya penuh berliku di hadapan. Bukan tidak gembira mendengar ungkapan gadis cantik di hadapannya tapi Rifqi teramat takut andai itu semua bakal menjadi racun dalam hidupnya.

USAI MENUNAIKAN kewajipan kepada Illahi, Rifqi termenung di tepi tingkap. Kereta masih banyak bersimpang-siur di jalanan. Malam pun masih muda untuk dia lelapkan mata. Pertemuan dengan Nediesha siang tadi kembali mengganggu. Luahan gadis itu terngiang-ngiang semula ke telinga. Sesaknya dada kerana hati milik sendiri juga telah berirama. Musykil dia dengan permainan perasaan ini. Nediesha gadis elit yang moden boleh tersuka pada dirinya. Sungguh dia tidak percaya. Masih terasa dirinya di awangan. Getaran di hatinya tanpa diundang hadir jua buat gadis itu. Namun dia sentiasa sedar diri. Mana mungkin suasa disatukan dengan emas.

Telapak tangan kanan naik meraup wajah. Bungkam di hadapan Nediesha membuatkan dia tidak keruan untuk menghadapi hari esok. Hari esok dan seterusnya di Sirna Jaya bertemankan cinta Nediesha? Huluran cinta itu mustahil untuk  disambutnya. Nediesha salah meletak cinta. Bukan dia yang selayaknya.

Nediesha umpama kristal mahal yang hanya boleh dipandang tapi tidak boleh dimiliki. Apatah lagi berangan untuk memiliki. Dia kristal limited edition buat pembeli yang berkepuk duitnya. Sungguh Rifqi tidak menyangka Nediesha sanggup menyamar di dalam telefon. Pelik dia dengan gadis itu. Mengapa sanggup berusaha begitu hanya kerana dia? Dia… lelaki yang serba kekurangan ini. Apakah yang dilihat Nediesha pada dirinya? Bersungguhkah gadis itu mahukan dirinya? Mengeluh Rifqi sendirian. Sebelah tangan diletak ke dada cuba merasa degupan jantung sendiri. Jantungnya tidak berbohong. Ada degupan yang lahir untuk gadis itu. Sebelum ini tiada pula rasa itu bertandang buat gadis lain yang dikenalinya. Ah mengapa Nediesha? Terlalu awal lagi kehadirannya di Sirna Jaya. Terlalu awal juga tempoh perkenalan dengan Nediesha. Tapi mengapa Nediesha begitu yakin sehingga berani melafaz cinta. Bingung Rifqi memikirkannya. Duhai malam indahnya kamu bertemankan rembulan dan bintang. Aku di sini kelam diselaputi cinta yang tak mungkin untuk dimiliki…

Di mataku… di hatiku…
Di jiwaku hanya ada kamu...
Matamu… senyummu…
Buat kujadi tak tentu…
Hidungmu… bibirmu...
Bergetar seluruh tubuhku...
Di dadaku… di mimpiku...
Hanya ada kamu...
Gayamu... caramu...
Buat tak lena tidurku...
Rambutmu... kumismu...
Membakar gelora cintaku...

NEDIESHA BERNYANYI riang sambil melenggok punggungnya. Menari girang dia nampaknya. Siap menyanyi lagu dangdut. Rambutnya dikirai dengan jari. Nediesha kulum senyum seorang diri. Ditepuknya bibir yang menyanyi lagu Amelina tu. Tak pernah-pernah dia menyanyi lagu dangdut. Manalah dia suka lagu macam tu. Sebelum ni lagu-lagu artis hollywood yang menjadi kegemarannya. Ini sah penangan cinta. Sejak dalam bilik air lagi lagu itu dia dendangkan.

Nediesha tongkat dagu dengan tangan kanannya. Matanya tunak memandang cermin. Terbias wajah Rifqi di situ. Walaupun Rifqi membisu tentang perasaannya namun Nediesha tidak akan berputus asa. Dia yakin hati dan diri Rifqi mampu dimilikinya.

Cinta memang boleh butakan hati dan mata. Nediesha langsung tidak nampak pancaroba yang bakal ditempuhnya pada hari depan. Dia bagaikan tidak nampak wajah garang Engku Masitah. Dia langsung tidak mahu peduli tentang jalan yang bakal direntasinya jika mahu bersama Rifqi.
 

Menyukai Rifqi dalam masa yang singkat bukanlah sesuatu yang dirancangnya. Dia juga tidak menduga perasaan itu akan muncul. Pelik tapi tersangat indah untuk Nediesha. Dia mahu tidurnya bertemankan mimpi bersama Rifqi. Dia mahu lenanya didakap cinta untuk Rifqi. Tiba-tiba khayalannya dicantas. Lagu All of me nyaring berdendang mengusik gegendang telinganya. Malas namun tetap bangun untuk menjawab. Namun melihatkan nama Sally, telefon itu dihempas semula ke katil. Sally kalau call aku pasti tak ada kerja lain. Ajak clubbing, gerutu Nediesha sendirian. Sejak mula bekerja di Sirna Jaya, Nediesha jarang keluar malam. Apatah lagi mahu jejakkan kaki ke kelab yang biasa dia kunjungi bersama Sally dan beberapa orang lagi temannya.

Dia lebih suka keluar bersama Julia. Julia tidak suka bersosial pada malam hari. Malah Julia berpakaian sopan dan menutup aurat. Jika dibandingkan Julia dan Sally, Julia lagi molek dijadikan sahabat. Sally dan teman-teman clubbing yang lain hanya mahu mengikis duitnya. Jika dia tidak berduit mana mungkin mereka semua rapat dengannya. Masak benar dia dengan perangai Sally. Belajar sama-sama di UK. Dalam dan luar Sally dikenalinya. Apa yang dia tahu Sally mudah dibawa ke tempat tidur oleh teman lelakinya. Mujur dia tidak  terpengaruh.

Ke kelab malam bersama Sally, setitik wain pun tidak diteguknya. Jika dia mahu berbuat kemungkaran, pasti wajah daddynya akan terbayang. Dia tidak sanggup melukakan hati daddynya. Apatah lagi mencalit arang ke wajah kesayangannya itu.

HIDANGAN MAKAN malam sudah siap terhidang di meja makan. Datuk Rosli, Engku Masitah, Artini dan Nik Rizal mengambil tempat untuk menjamu selera.

“Tini, mana Diesha? Kenapa dia tak turun makan?” 

tanya Engku Masitah kepada anak sulungnya.

“Tadi sebelum turun, Tini ada panggil. Katanya tak mahu makan. Dia nak mandi.”

Berkerut kening Engku Masitah mendengarkan jawapan Artini. “Malam-malam macam ni dia mandi?” 

“Tidur waktu maghrib macam tulah Mas,” sampuk Datuk Rosli.

“Tentu keluar lepak dengan kawan-kawan dia siang tadi tu. Balik penat, terbongkanglah tidur jawabnya. Apa nak jadi dengan budak tu?”

“Tak apalah mama, dia kan masih belum kahwin. Nanti dah kahwin tahulah dia macam mana cara betul nak bersosial.” Artini membela Nediesha. Nik Rizal juga turut menadah telinga saat perut perlu diisi.

“Kalau begitu gayanya lebih baik mama cari calon suami untuk dia.”

“Mas, bukan masanya lagi. Tak perlu tergesa-gesa. Biar dia berjaya uruskan Sirna Jaya dulu,” telah Datuk Rosli dengan lembut.

“Betul tu mama. Tini setuju cakap daddy tu. Awal sangat kalau mama mahu carikan jodoh untuk dia,” tukas Artini. Hatinya benar-benar takut jika Engku Masitah beria carikan calon untuk Nediesha. Dia tahu siapa di hati Nediesha sekarang. Kerabu sotong disudu ke dalam pinggan. 

“So setakat ni, bagaimana prestasi dia di Sirna?” Artini menyudu tomyam udang pula ke pinggan dia dan suaminya.

“Baik je mama tapi banyak yang Diesha perlu belajar.”

“Tini ajarlah dia. Dalam masa yang sama pantau sikit aktiviti sosial dia tu. Mama tak sukalah dia berkawan dengan orang sembarangan. Budak Sally tu bukan elok perangainya.”

“Mas... Artini ni punya suami dan anak. Takkanlah Nediesha yang besar panjang tu mahu dipantaunya lagi. I yakin Diesha tahu mana yang baik dan buruk. Budak-budak ni tak boleh dikongkong sangat.”

“Li, I bukan apa takut dia pergi bercinta dengan lelaki yang entah apa-apa. Habislah dikikisnya duit kita nanti.” Sejak dulu lagi Engku Masitah memanggil suaminya dengan panggilan singkatan dari nama Rosli. Mungkin kerana berasal dari keturunan orang yang hebat-hebat dia tidak gemar memanggil suaminya dengan panggilan yang lebih manis.

Moyang lelaki Engku Masitah merupakan kerabat diraja. Kunyahan nasi terhenti. Datuk Rosli dapat agak sebenarnya. Soal harta keutamaan isterinya.

“Eh ke situ pula awak. Ingat risau dia berkawan dengan  Sally, tapi risau dia jatuh cinta.”

“Mestilah kena risau juga pasal tu. Berderet tau nama anak-anak VIP yang boleh saya jadikan senarai calon suami untuk Diesha.”

“Berderet ke berdozen ke biarlah dulu. I tak rasa Nediesha sudah bersedia,” bangkang Datuk Rosli. 

“Betul tu mama...” Artini menyokong bapanya.

“Ermm... yelah.” 

Mendatar sahaja suara Engku Masitah. Tak kuasa untuk bertekak hal itu di meja makan. Namun dalam mindanya sudah terlakar agenda tersendiri untuk anak bongsunya itu. Selepas itu masing-masing menikmati makan malam. Dalam hati Artini berdoa moga hal Nediesha sukakan Rifqi tidak sampai ke pendengaran ibunya. Takut membayangkan tsunami kemarahan seorang Engku Masitah.

No comments:

Post a Comment