DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2016

Aku Dan 1B3K - Bab 3

AKU sedang membaca untuk kali yang ketiga
senarai skop kerja yang Datin Nuridah berikan petang
semalam ketika telefon berbunyi. Naani di hujung talian
memberitahu Datin Nuridah mahu berjumpa dengan aku
dalam masa setengah jam dari sekarang. Sebaik saja aku
meletakkan gagang telefon, aku bergerak ke surau. Usai solat
zuhur, aku maklumkan kepada Ms. Tan Siew Lan bahawa
Datin Nuridah hendak berjumpa dengan aku. Ms. Tan siap
ucapkan ‘good luck’ sambil tersenyum.
“Thanks,” kataku dengan tenang walaupun
sebenarnya senyuman Ms. Tan membuahkan debaran dalam
hati.
“Why did you agree to second me to the CEO’s
office?” Aku menyoal Ms. Tan yang sudah sembilan tahun
bekerja di Duta Holiday.
“Because I know you are capable. Don’t worry, Rifqi
is a nice boss if you know how to handle him.” Jawab Ms.
Tan. Jawapannya langsung tak membantu menghilangkan
debaranku.
“PA? BUAT apa pakai PA? Kan Razia ada, dia boleh uruskan
mummy dan Qi sekali.”
Aku dengar suara Bos 1B3K bertanya kepada Datin
ketika aku sampai. Pintu bilik Datin terbuka luas. Naani tidak
kelihatan di mejanya. Disebabkan aku terawal lima minit, aku
tunggu di luar, depan meja Naani.
“Kan Qi akan buat banyak kerja luar? PA yang
mummy pilih akan uruskan segala hal kerja-kerja pejabat.
Dia yang akan aturkan jadual Qi, mesyuarat dan majlis yang
Qi kena hadiri. Dia akan pastikan sebarang dokumen yang Qi
perlu tandatangani disemak terlebih dulu. Juga akan uruskan
hal-hal personal yang perlukan penglibatan Qi, macam bawa
daddy pergi buat terapi, check-up, kenduri dan lain-lain. Ini
sementara, untuk sebulan saja. Selepas Azwan balik daripada
bercuti, it will be back to normal.”
“Mummy, Qi tak perlukan PA. Teruk sangat ke Qi
ni? Baik mummy upah saja bodyguard supaya mummy boleh
kawal Qi 24 jam sehari.”
“Yes, she will also act as your bodyguard, if she has
to.”
Hah? Eh, mana ada dalam skop kerja aku juga perlu
jadi pengawal peribadi? Tiga kali aku baca, memang aku
yakin tidak tercatat langsung. Tak boleh jadi ni, kena bincang
semula dengan Datin.
“Merepek! Qi tak perlukan semua ni mummy.
Lagipun bukan senang-senang kita ambil orang bekerja. Kita
tak tahu orang tu boleh dipercayai ke tidak, boleh buat kerja
atau tidak. Tak payahlah mummy. Cari saja temporary clerk
untuk gantikan Azwan.” Bos 1B3K bercakap dengan tegas.
Aku lagi suka kalau dia tidak setuju.
“Mummy dah interviu. Kita ambil orang dalam.”
“Siapa?”
“Fina. Budak Accounts Department yang kerja
bawah Ms. Tan tu.”
Jeda. Keheningan yang membuatkan dada aku
berdegup laju. Macam mana agaknya reaksi Bos 1B3K bila dia
dengar nama aku? Dia kenalkah aku?
“Qi tak tahu yang mana satu. Kenapa mummy pilih
budak tu? Bagus ke dia tu? Boleh ke dia kerja dengan Qi?
Jangan nanti kena tengking sikit, meleleh air mata. Lepas
sehari tak tahan.”
Amboi si kerek ni, ikut sedap mulut dia saja. Kalau
tidak kenal aku, jangan buat andaian. Safinatun Najah binti
Yaakob bukan sebarang pekerja ya!
“Hoi.” Bahu aku ditepuk. Naani tersengih. “Kau buat
apa duduk sini, kenapa tak masuk terus?”
“Boleh masuk ke? Belum cukup setengah jam.”
Naani tidak jawab soalan aku. Sebaliknya dia
berjalan ke arah bilik Datin Nuridah. Pintu bilik yang
terbuka diketuknya sebelum dia memberitahu Datin bahawa
aku sudah sampai. Aku dengar Datin kata lima minit dan
suruh Naani tutup pintu bilik. Alamak, tak dapatlah dengar
perbualan mereka lagi!
Sambil tersengih, Naani kembali ke mejanya.
“Cepatlah kau kaya macam ni, gaji naik double.
Pandai kau negotiate dengan Datin.”
“Helo, jangan cemburu ya. Aku buat ni sebab nak
tolong kau. Dengan risiko kena tengking, herdik dengan si
kerek tu, berbaloilah aku dapat naik gaji.”
Naani angkat kening. Matanya dibulatkan. Dengkilah
tu. Dia tidak tahu betapa gementarnya aku hendak menghadap
si 1B3K tu. Walaupun Datin Nuridah sudah menegaskan yang
aku lapor terus kepadanya dan Bos 1B3K tidak boleh pecat
aku, tapi aku masih takut. Tiba-tiba aku terbayang setiap hari
dimarahi oleh dia, disuruh buat kerja yang tidak sepatutnya
aku buat, ditengking di hadapan orang ramai... macam mana
kalau itu terjadi?
“Sharkfin!” jeritan Naani membawa aku kembali ke
alam nyata. “Datin suruh masuk sekarang.”
Aku bangun. Dengan lafaz bismillah aku mengayun
langkah ke bilik Datin Nuridah. Dan sebaik saja tombol pintu
aku pulas, jantungku mula berdegum-degam. Tidak tahulah
sama ada ia sekadar perasaan aku saja atau memang betul
terjadi. Aku rasakan mata Bos 1B3K memandang aku dengan
tajam dan ada kebencian dalam pandangannya.
Datin Nuridah menuding jari ke arah kerusi kosong
di sebelah Bos 1B3K. Sebaik saja aku melabuhkan punggung
di atas kerusi, Bos 1B3K memusingkan wajahnya. Aku dapat
merasakan pandangannya merayap ke seluruh wajahku. Aku
beranikan diri untuk memandangnya. Mata kami bertembung,
tapi sekejap saja. Tak sanggup aku balas renungan tajamnya.
“Bermula esok, Fina akan jadi pembantu peribadi
Rifqi. Selain daripada menguruskan hal-hal yang berkaitan
dengan kerja-kerja di pejabat, saya mahu Fina juga atur
dan pantau semua mesyuarat dan majlis-majlis yang perlu
dihadiri oleh Rifqi. Razia akan bantu Fina untuk kerja-kerja
di pejabat.” Dengan tegas Datin Nuridah memberi arahan.
Sekejap dia memandang ke arah Bos 1B3K, sekejap ke arah
aku.
Bilik pejabat Datin Nuridah yang berhawa dingin
terasa panas. Bintik-bintik peluh terbit di dahi aku. Aku
tundukkan wajah, tenung buku nota yang ada dalam
pegangan. Debaran dalam dada masih belum surut.
‘Bertenang Fina, jangan tunjukkan kegugupan kau
depan dia’. Hati aku berbisik lalu aku mengangkat semula
wajah. Bos 1B3K sudah memandang semula ke arah Datin
Nuridah.
“Kamu dah baca job scope yang saya bagi?”
“Sudah Datin.”
“Ada apa-apa yang kamu tak faham, atau nak tanya?”
“Tak ada Datin. Saya faham semuanya.” Aku pandang
wajah Datin Nuridah. Rasa simpati menular lagi dalam hati
apabila menatap wajahnya yang nampak letih. Sebenarnya
aku nak tanya pasal kerja bodyguard yang Datin sebut kepada
bakal bos aku tadi, tapi entah kenapa tak terkeluar pulak
soalan tu.
“Qi, ada apa-apa nak tanya?”
Bos 1B3K memandang sekali lagi ke arah aku. Kali
ini aku tenung matanya lebih lama daripada tadi. Aku cuba
senyum tapi aku rasa otot-otot muka aku keras. Dia pula
masih macam tadi, renungannya tajam. Boleh tembus otak
aku kalau dia terus-terusan merenung aku macam itu. Dia
menarik nafas dalam-dalam dan bangun.
“No mummy. Qi nak sambung kerja.”
Dia terus berjalan ke arah pintu dan sebaik saja dia
keluar pintu dihempas dengan kuat. Berubah muka Datin
Nuridah apabila mendengar bunyi itu. Aku pun turut terkejut.
“Jangan takut Fina. Rifqi tu sebenarnya baik. Cuma
dia masih berdendam. Saya fikir, kalau kita sibukkan dia
dengan macam-macam aktiviti, mungkin boleh kurangkan
dia daripada berfikir tentang kisah yang dah lepas. Saya yakin
Fina boleh tolong saya.”
Aku mengangguk. Aku janji kepada diriku tidak
akan takut kepada Bos 1B3K. Dia manusia, aku pun manusia.
Kalau betul kata mereka yang dia dulunya seorang bos yang
baik, tentu dia boleh jadi baik semula. Melainkan kalau hati
dia memang kering. Kalau tengok gaya dia marah orang dan
cara dia melawan Datin, memang nampak macam hati dia
kering. Tapi kering ke, basah ke, aku hanya akan tahu esok,
apabila aku mula bekerja dengannya.
Setengah jam selepas aku balik semula ke tempat
aku di Bahagian Akaun, telefon aku berbunyi. Ini mesti
Naani. Tentu dia sibuk hendak tahu apa yang Datin dan Bos
1B3K cakap. Aku kerling jam tangan. Sudah pukul lima lima
puluh petang. Tinggal aku seorang saja di pejabat ketika ini.
“Datang pejabat aku sekarang.” Suara garau yang
memberi arahan dengan keras itu bukan suara Naani. Aku
jawab ‘okey’ dan terus letak telefon. Alamak! Masa aku nak
baliklah dia telefon. Aku cepat-cepat capai buku nota dan pen.
Terus naik ke tingkat 10.
Bilik dia terbuka luas ketika aku sampai. Tapi sebagai
tanda hormat, aku ketuk pintu bilik yang terbuka. Biasanya
memang macam itulah aku buat kepada Ms. Tan, Datin dan
bos-bos lain.
“Kau buta ke? Dah nampak pintu tu terbuka, masuk
sajalah.” Bos 1B3K bercakap dengan wajah yang langsung
tidak mesra alam sambil berdiri mencekak pinggang di
belakang mejanya.
“Close the door.” Dia mengarah.
Aku turuti arahannya.
“Duduk situ,” katanya lagi sambil menuding jari ke
arah sofa kulit di sebelah kanannya. Tak ada masalah, aku lagi
suka kalau duduk jauh daripada dia.
“Aku nak berterus terang dengan kau. Aku tak suka
idea mummy… tapi aku dah malas nak berbalah dengan
mummy. So, aku ikutkan saja. Aku nak tahu, kenapa kau
setuju untuk kerja sebagai PA aku?”
Bos 1B3K duduk selepas ajukan soalan itu kepada
aku. Dari riak wajah dia, aku dapat rasakan aku mesti beri
satu jawapan yang betul-betul hebat sampai dia tidak boleh
cabar jawapan aku.
“Sebab Datin tu bos syarikat ni. Mana-mana
pekerja pun akan turut arahan Datin. Siapalah saya untuk
melawan arahan Datin.” Aku bagi jawapan ini dulu walaupun
sebenarnya sudah ada jawapan lain dalam kepala.
“Bukan semua arahan harus diikuti dengan membuta
tuli. Kalau Datin suruh kau terjun lombong, kau nak terjun?”
Alahai, cerita pasal terjun lombong? Bungee
jumping pun aku pernah buat. Setakat terjun lombong, itu
perkara kecil. Tapi sebenarnya aku belum pun pernah terjun
lombong.
“Bergantung kepada keadaan. Kalau saya perlu
terjun lombong untuk selamatkan seseorang, saya akan buat.
Kalau ganjaran yang menanti berbaloi, saya akan buat juga
asalkan tak melanggar agama.”
Bos 1B3K senyum. Aku rasa sinis sangat senyuman
dia.
“So besarlah ganjaran yang Datin janjikan?”
Okey, masa yang sesuai sudah tiba. Aku nak
keluarkan jawapan yang power, harap-harap dia terkedu.
“Besar bagi saya, tapi bagi orang kaya macam bos
mungkin tak besar langsung. Sebesar mana pun ganjaran
yang Datin bagi, itu bukan alasan utama. Saya sekadar
mengikut arahan Datin. Bila saya pandang wajah sayu
Datin, saya teringat emak saya di kampung. Macam manalah
perasaan emak saya kalau saya ingkar arahannya? Tentu emak
kecil hati kalau saya melawan cakap emak.”
Muka dia berubah. Tadi nampak kerek sangat rupa
dia. Sekarang muka tegang dia sudah kendur. Rasakan kau!
Dia diam. Matanya sudah berkalih dari memandang aku ke
arah pintu. Lama dia tenung pintu itu, sebelum dia mengeluh.
“Dengar sini baik-baik,” akhirnya dia bersuara dan
memandang aku semula. “Jadi pembantu peribadi aku tak
bermakna kau boleh campur tangan dalam hal-hal peribadi
dan hal-hal keluarga aku. Kau uruskan hal-hal kerja saja.
Jangan sibuk pasal aku dan mummy. Kalau kau campur
tangan dalam hal peribadi aku, aku akan pastikan kau tak
tahan kerja dengan aku. I can make your life miserable.
Understand?” tegas nada suara dia.
Aku mengangguk. Memang aku pun tak berminat
dengan hal peribadi dia. Aku cuma akan uruskan hal-hal yang
berkaitan dengan urusan syarikat sementara Naani bercuti.
“Satu lagi, esok datang kerja jangan pakai tudung.
Aku tak suka perempuan yang pakai tudung.”
Hah? Dia ni main-main ke? Tapi muka dia serius.

No comments:

Post a Comment