DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 17 October 2019

Dia…Suami Tak Dirancang - Bab 1

MERENUNG wajah-wajah yang berada
di hadapan, fikiran Dinzly masih lagi kosong.
Segala-galanya berubah dalam sekelip mata. Hinggakan
otaknya seakan lumpuh untuk mencerna. Bingung dan
keliru. Kenapa dia yang harus berdepan dengan semua
ini sedangkan dia langsung tidak bersalah?
“Jadi, ada apa-apa yang kamu berdua nak
jelaskan?”
Suara salah seorang lelaki berkopiah,
membuatkan kepala Dinzly rasa hendak pecah. Bahu
Dinzly sedikit tersentak, otak perlahan-lahan mampu
memproses.
“Saya tak bersalah, ustaz. Saya memang tak
bersalah. Saya tak tahu macam mana dia boleh berada di
dalam rumah ni.” Suara Dinzly hampir tidak terkeluar.
“Macam mana kamu tak tahu, ini kan rumah
kamu?” Salah seorang pak lebai bersuara sinis.
Dinzly terkedu. Ya, ini memang rumah dia.
Memang dia pemilik asal rumah ini. Aiman Najdi?
Aiman Najdi memang pernah menjadi sahabatnya.
Pernah menghuni di situ bersama dengannya. Tapi,
layakkah lagi lelaki itu digelar sahabat baik selepas apa
yang lelaki itu lakukan kepada dirinya? Menghilang
tanpa sebab dan meninggalkannya dengan ‘beban’
seberat ini untuk digalas sendirian?
“Perempuan ni...” Mata Dinzly menghala ke
arah Darwisya. “Sejak minggu lepas dia selalu datang
sini. Teman lelaki dia kawan baik saya. Dan kali ini saya
memang tak tahu macam mana dia boleh berada dekat
dalam rumah saya. Sumpah, ustaz... saya tak bohong.”
Dinzly rasa nak hantuk kepala di dinding kalau selepas ni
pak lebai-pak lebai itu tetap tidak percaya omongannya.
Sungguh dia tidak pelik kalau Darwisya
mempunyai kunci pendua rumahnya. Pastilah angkara
Aiman. Entah berapa kalilah rumahnya dijadikan sarang
maksiat oleh makhluk berdua itu. Memang Dinzly rasa
panas hati sangat kalau mengenangkannya semula.
Teganya Aiman mengkhianati persahabatan mereka.
“Kawan baik kamu tu teman lelaki wanita ini?”
“Ya, ustaz.” Dinzly mengangguk.
“Dan tak mustahil kalau kamu berdua berkongsi
perempuan yang sama, kan?”
“Apa maksud ustaz ni???” Dinzly panas hati.
Tiba-tiba pula dia dituduh. Dah kenapa?
“Kami tangkap kamu berdua dalam keadaan
mencurigakan. Berdua-duaan dengan dia dalam rumah
ni. Kamu nak kami percaya yang kamu berdua tak buat
apa-apa? Dengan keadaan kamu macam tu...” Mulut
Ustaz Maliki menjuih ke arah Dinzly.
Dinzly ketap bibir. Geram. Tapi, apa dia boleh
buat? Memang jelas dia sekarang tidak berbaju.
Hanya mengenakan boxer sahaja. Pulang daripada
kerja, memang sudah menjadi kebiasaannya untuk
melucutkan pakaian formalnya itu. Rimas kalau
dibiarkan melekat di tubuh lama-lama.
Darwisya yang mendengar cemuhan Uztaz
Maliki hanya mampu menahan perit dalam hati.
Seteruk ini maruahnya diinjak. Semua hanya kerana
lelaki bernama Aiman Najdi!
“Habis tu, ustaz nak saya buat apa? Saya jelaskan
apa-apa pun ustaz takkan percaya, kan?” sergah Dinzly
mula tak reti hendak bersopan. Dia cakap baik-baik pun
dari tadi, pak lebai-pak lebai ini asyik duk menyindir
dia. Dia sudah tidak betah.
“Bagi kami nombor telefon mak ayah kamu.”
Mata Dinzly membuntang. Jantung semedang
berdegup laju. Peluh merecik!
“Nak buat apa?”
“Hal ni dah dikira khalwat, kami kena
maklumkan kepada keluarga kamu.”
“Ustaz tak boleh buat saya macam ni. Ibu dan
ayah saya tak boleh tahu pasal hal ni. Saya tak nak
kecewakan mereka.” Dinzly spontan bangkit daripada
duduknya. Merah mukanya menatap satu per satu
wajah pak lebai-pak lebai di depan mata.
“Waktu kamu buat perkara tak bertamadun ni,
tak pula kamu fikir kecewa ibu dan ayah kamu?” Lagi
sekali Dinzly dihentam.
“Saya tak buat, ustaz. Dan saya tak boleh
biarkan ustaz hubungi ibu dan ayah saya. Mereka tak
boleh tahu hal ni. Saya tak nak lukakan hati mereka
berdua. Tolonglah saya, ustaz.” Dalam geram, Dinzly
terpaksa juga merayu. Walau bagaimana sekalipun, dia
lebih memikirkan hati insan-insan tersayangnya itu.
“Walau kamu menangis air mata darah
sekalipun, hal ini akan sampai pada pengetahuan ibu
bapa kamu.” Salah seorang pak lebai bersuara.
Dinzly tengadah.
“Tapi saya tak salah, ustaz! Kenapa nak libatkan
saya semata-mata kerana perempuan bodoh ni?” Dinzly
bertempik.
Terhenyak Darwisya dengan cacian Dinzly.
Memang benar dia yang bertandang ke rumah Dinzly,
tapi bukan dengan niat untuk memerangkap Dinzly.
Sumpah, bukan itu niatnya. Dia masuk ke rumah ini
hanya untuk memastikan kalau-kalau Dinzly memang
tidak menipu. Manalah tahu kalau Dinzly itu sebenarnya
membantu Aiman bersembunyi di dalam.
Ternyata, lelaki itu memang tidak berbohong.
Dan dia sudah pun menyusahkan lelaki itu dengan
perkara yang langsung tidak dijangkakan ini.
Salah seorang pak lebai menapak ke arah Dinzly.
Menghulurkan tangan seakan-akan meminta sesuatu.
“Ustaz nak apa?” lurus soalan Dinzly. Serius
saat-saat genting begini, otaknya betul-betul jadi biul.
Sayup-sayup telinga menangkap suara salah seorang
pak lebai yang sedang berdepan dengan Darwisya.
Saat melihat pak lebai yang digelarkan Hashim
itu melekapkan telefon pada telinga, mengertilah
Dinzly kini...
Segala-galanya bakal musnah! Setiap rayuannya
takkan pernah didengari lagi.
Kerana di hadapannya, ada lebih daripada empat
orang yang menyaksikan keadaan dia dan Darwisya.
Pasti setiap patah katanya untuk mempertahankan diri
takkan berguna lagi. Sia-sia.
“Kejap lagi orang tua kamu datang.” Sebaik
mematikan panggilan, pandangan Pak Lebai Hashim
tunak memandang wajah Darwisya.
Dan Dinzly sudah tergigit lidah sendiri.
‘What???’

No comments:

Post a Comment