DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 16 October 2019

Mocha Girl - Bab 6

Q menghempaskan tubuh di atas sofa. Topi
dibuka lalu dilemparkan ke atas meja. Beg silangnya dari
tadi telah selamat menyembah lantai. Tangan diletakkan atas
dahi. Jiwanya sakit dengan kerenah Luth hari ini. Kut ya pun
nak gila, gilalah sorang-sorang. Sakit kepalanya memaksa diri
menghabiskan pembacaan buku Harry Porter itu. Yang lebih
membuatkan dia angin, Luth menyoalnya satu-satu tentang
isi cerita buku itu. Ingat mereka ni di zaman sekolah?
Mata dipejam rapat. Lenguh-lenguh di badannya
terasa lega apabila tubuhnya terbaring di sofa. Diregangkan
badannya ke kiri dan kanan.
Encik Haikal melabuhkan duduk di sofa berhadapan
dengan si anak. Dia tersenyum nipis melihat tingkah si anak.
Setiap hari beginilah keadaan Q kalau balik daripada kerja.
Itu belum lagi rungutan demi rungutan yang keluar daripada
bibir halus tu.
“Ehem,” deham Encik Haikal menegur si anak.
“Pa...” meleret Q menyeru Encik Haikal dengan
mata terpejam, tangan masih di atas dahi.
“Kenapa pula kali ni?” soal Encik Haikal seakan
tahu penyebab anaknya begini. Bukan sekadar meneka, tapi
dia yakin akan kata hatinya. Tidak lain tidak bukan, Luth
Haqiemlah. Bos yang diberi gelaran singa menopaus oleh
anaknya. Macam-macam idea Q kalau hendak mengenakan
orang.
Q bingkas bangun. Mendengar soalan Encik
Haikal membuatkan semangatnya mahu bercerita datang
berkobar-kobar. Terkejut Encik Haikal dengan tingkah si
anak. Buku usuluddin yang berada dalam pegangannya
hampir saja terlepas. Mengucap panjang dia dengan anak
dara nan seorang ini.
Mata Q memandang buku di tangan Encik Haikal
dengan perasaan tidak puas hati. Luth dengan papanya sama
saja. Dua-dua ulat buku. Tapi... nak jadi ulat buku ke, ulat
daun ke, lantaklah. Asalkan jangan dilibatkan dia sekali.
“Haaa, yang tayang muka tak puas hati dengan papa
ni, kenapa? Macam papa pula penyebab mood dia terbalik,”
giat Encik Haikal selamba. Buku di tangan dibelek perlahan.
Q merengus.
“Papa nak dengar masalah Q atau nak baca buku tu?”
soal Q dalam nada geram.
“Cakaplah, papa dengar. Ni... telinga papa dah
terbuka macam telinga gajah dah ni,” Encik Haikal tunjuk
telinganya.
Bibir halus Q mencemik. Yalah sangat dengar.
Macamlah dia tidak tahu, kalau papanya sudah masuk ke
dalam dunia buku, apa pun tidak dihiraukan dah. Dengan
hati yang sebal, dia bangun membawa kaki untuk ke bilik.
Lebih baik dia mandi, manalah tahu sejuk juga hatinya yang
sedang panas ini.
“Nur Qasy Imani,” panggil Encik Haikal lembut.
“Ya,” lemah nada Q menyahut. Kepala tunduk
menekur lantai.
Encik Haikal menarik senyum. Anak daranya ini
sejak kehilangan ibu, manjanya makin menjadi-jadi. Padahal
umur sudah layak untuk kahwin, tapi tingkahnya bagaikan
remaja. Buku diletakkan ke atas meja. Dia kembali fokus pada
si anak yang muncungnya sudah boleh dibuat sangkut baju.
“Apa pula kali ni?” soal Encik Haikal.
Q kaku berdiri, langsung tidak menjawab soalan
Encik Haikal. Dia terasa hati dengan papanya itu. Barangkali
papanya sudah bosan mendengar rungutannya saban hari.
Yalah, sejak dia kerja di Luth's Cafe, pelbagai rungutan telah
diadukan kepada Encik Haikal. Satu pun tidak ada yang elok,
semuanya buruk-buruk belaka.
“Mmm, ada bau orang merajuk ni. Takpelah kalau
merajuk, ingatkan tadi papa nak ajak keluar pergi Baskin
Robbins, nak sejukkan hati orang tu. Selamatlah poket papa
kalau orang tu...”
“Papa...” Q mendekati Encik Haikal dengan sengihan
lebar. Suaranya juga sudah ceria. Dilabuhkan duduk di
sebelah Encik Haikal. Tangan papanya disauk manja lalu
kepala dilabuhkan ke bahu itu.
“Aik, bukan tadi merajuk ke?” giat Encik Haikal.
“Eh, mana ada. Siapa yang merajuk dengan papa Q
yang handsome ni? Tak patut! Tak patut!” ujar Q bersama
gelengan panjang.
Terhambur tawa Encik Haikal dengan olah Q.
Sempat lagi loyar buruk.
“Pandai ek.” Hidung Q ditarik kuat sehingga merah
hidung mancung itu.
Q sengih.
“Okey, sekarang cerita kat papa, apa pula bos singa Q
buat hari ni?” soal Encik Haikal laju sementara mood si anak
telah kembali okey.
“Perkara yang paling menjengkelkan!” ulas Q dalam
nada geram.
Encik Haikal kerut kening.
“Teruk sangat ke?”
“Teruk, pa. Dia kurung Q dalam bilik pejabat dengan
dia.”
“Hah?” Bulat mata Encik Haikal memandang anak
gadisnya. Kurung dalam bilik pejabat? Berdua? Tak boleh jadi
ni!
“Ada lagi, pa.”
“Ada lagi?” soal Encik Haikal tidak sabar.
“Haah, kali ni apa yang dibuat ni... cukup
membuatkan Q nak benci dia seumur hidup. Sampai hati dia
paksa Q buat semua tu. Bukan dia tak tahu Q tak suka, tapi
dipaksa juga. Dia cakap denda sebab Q protes. Mana boleh
denda macam tu, memalukan tau. Dia dah mencabul...”
“Apa?” Melengking suara Encik Haikal bergema di
dalam banglo dua tingkat itu.
Q menggosok-gosok telinga yang berdengung
dengan jeritan Encik Haikal. Terkebil-kebil dia memandang
Encik Haikal yang sedang memandangnya dengan mata bulat
serta tangan mencekak pinggang. Alunan nafas Encik Haikal
pun tidak stabil. Kenapa teruk sangat reaksi papanya ni?
“Cabul apa ni Q? Mana nombor telefon bos Q, bagi
papa!” keras suara Encik Haikal meminta.
“Hah? Nak buat apa?” Q garu kepala. Bingung.
“La, nak buat apa lagi? Nak suruh dia
bertanggungjawablah. Dah dia cabul anak papa,” marah
Encik Haikal.
“Pa!” jerit Q kuat. Isy, lain yang dia nak sampaikan,
lain pula yang papanya faham. Geram.
“Kenapa menjerit ni? Tak eloklah anak dara
menjerit.”
“Papa tulah. Ada pula cakap Luth cabul Q.”
“Dah tu, Q yang cakap Luth cabul tadi...” sanggah
Encik Haikal.
“Ya, tapi bukan cabul yang ada dalam kepala papa
tu. Kalau cabul yang tu, memang mandullah dia Q kerjakan.
Hesy, papa ni...” Q mengerutu geram.
“Erkk, bukan ek?” Encik Haikal sengih.
Q geleng kepala. Kenapalah dia dapat papa yang
sengal macam ni? Namun hakikatnya, kesengalan Encik
Haikal inilah madu dalam kehidupan seorang Q. Sepanjang
hidupnya tidak pernah dia merasakan kekurangan kasih
seorang ibu. Kasih sayang yang Encik Haikal curahkan
melebihi segalanya. Membuatkan dia tidak sempat
membiarkan ruang hatinya kosong.
Arwah mamanya meninggal ketika dia berumur 10
tahun kerana kanser rahim. Terlalu perit kehilangan insan
yang tersayang di saat dia masih memerlukan kasih seorang
ibu. Selepas itu, Encik Haikallah ibu dan ayahnya. Sakit, susah
dan sedihnya hanyalah kepada Encik Haikal dia mengadu.
“Okey, sambung balik cerita tadi. Dia cabul apa?”
“Dia cabul masa Q. Ada ke patut dia suruh Q
temankan dia membaca. Kalau sekadar teman takpelah
juga. Ini tidak, disuruhnya Q sama-sama membaca dengan
dia. Dahlah tu, kena habiskan satu buku masa tu juga. Dia
ingat Q ni robot ke? Ikutkan hati Q masa tu, nak aje direbus
buku tu bagi dia minum. Kut ya pun dia nak jadi ulat buku,
tak payahlah ajak Q. Bosan tau hadap buku tu, sampaikan Q
tertidur. Lepas tu boleh pula dia cakap Q tidur keluar air liur
basi, dan sebagai denda, dia suruh Q bawakan sarapan pagi
untuk dia esok. Daripada air tangan Q sendiri!” tekan Q di
hujung katanya. Penuh perasaan dia bercerita.
Encik Haikal ternganga. Cabul masa rupanya!
Diketuk dahinya sendiri. Aduhai... macam mana dia boleh
terfikir jauh sangat tadi. Bukannya dia tidak kenal anak
daranya ini. Bukan boleh disentuh sesuka hati.
“Papa jangan gelak,” pesan Q.
“Okey,” Encik Haikal kemam bibir. Dia hampir
saja melepaskan tawa. Senak perut menahan tawa yang
menggelodak mahu keluar.
“Apa kata Q berhenti saja kerja, lepas tu kerja dengan
papa. Tak pun sambung belajar lagi,” cadang Encik Haikal
walaupun dia sudah tahu jawapan yang bakal anaknya berikan.
Rungutan demi rungutan sering kali meniti di bibir si anak,
namun apabila disuarakan supaya berhenti kerja, pasti banyak
alasan yang dilontarkan. Anak daranya ini bukan tidak punya
kelulusan, tetapi disebabkan minat yang mendalam terhadap
kopi, Q memutuskan untuk bekerja di kafe.
“Tak pun cari kafe lain. Papa rasa banyak lagi kafe
yang nak guna barista yang berpengalaman macam Q.”
Tahap kegilaan Q terhadap kopi terlalu kritikal. Setiap
kali cuti semester, anaknya itu akan mencari di Internet
tempat-tempat yang terkenal dengan kopi dan melawat. Q
banyak tahu tentang kopi. Pernah juga dia menawarkan
untuk membuka kafe untuk Q, tapi anaknya menolak dengan
alasan tidak pandai menguruskan perniagaan. Dia mahu
menimba pengalaman dengan bekerja dahulu.
“Tak naklah kerja dengan papa. Nanti bukan hilang
stres, makin stres. Papa tu cerewet yang amat kalau libatkan
hal kerja.”
“Dah tu, cari kerja lain,” usul Encik Haikal sekali
lagi.
“Kerja lain? Lagi lecehlah pa. Nak kena pergi
interviu bagai. Itu pun belum tentu dapat lagi. Bazir masa aje.
Katakanlah dapat, dapat bos yang lagi cerewet daripada Luth,
naya aje. Belum lagi rakan sekerja yang busuk hati. Kat sana,
walaupun Luth menyakitkan hati, tapi rakan sekerja semua
baik-baik. Sekepala dengan Q. Dah macam adik-beradik dah
kita orang ni.” Bersungguh-sungguh Q membentangkan
alasannya.
“Macam-macam alasan, kan. Kalau dah hari-hari
merungut, buat apa lagi kerja kat sana. Asyik kena buli aje.
Kalau orang lain, papa rasa dah lama cabut lari.” Encik Haikal
menjeling anak dara di sebelah dengan mulut mengulum
senyum. Itulah Q dengan rungutan dan alasannya. Namun
apa yang dikatakan oleh anaknya itu tidak dapat disangkal.
Ada betulnya.
Dia pernah berjumpa rakan sekerja anaknya itu.
Daripada pemerhatiannya, memang mereka itu baik-baik
dan bertanggungjawab. Disebabkan itulah apabila Q hendak
keluar dengan mereka semua, dia tidak keberatan. Lagipun,
anak daranya nampak saja sosial, tapi seorang yang pandai
menjaga dirinya.
Q terangguk-angguk mendengarkan kata-kata Encik
Haikal. Langsung tidak perasaan maksud di sebalik kata-kata
papanya itu.
“Betul juga kata papa tu. Kawan Q yang sama-sama
minta kerja dengan Q dulu, mampu bertahan 5 hari aje. Terus
berhenti,” cerita Q lagi. Polos kedengarannya.
“Tahu pun. Orang lain semua tak tahan. Q saja yang
masih bertahan kat situ. Pelik juga papa dengan Q ni. Apa
yang istimewa sangat kat situ sampai Q sayang sangat nak
berhenti? Sebab, papa kenal anak papa ni. Kalau dengan papa,
silap sikit aje dah merajuk,” ujar Encik Haikal tenang, namun
bibirnya dikemam menahan senyum melihat telatah si anak.
Aduhai, inilah salah satu sisi Q yang sering mencuit hati
tuanya. Dalam keterbukaan Q, masih ada polosnya. Dalam
matang fikirannya, masih ada kenaifannya.
Q silangkan tangan ke dada. Keningnya berkerut
memikirkan soalan Encik Haikal. Kenapa ek dia masih
bertahan? Seingatnya, selama setahun dia bekerja di situ,
tidak pernah Luth bercakap baik dengannya. Kalau ada pun,
pasti ada sesuatu yang lelaki itu mahukan daripadanya.
“Kenapa ek pa orang masih bertahan?” tanpa sedar
soalan itu meniti di bibirnya.
Tawa Encik Haikal terhambur juga. Melihat wajah
polos si anak mencuit hatinya. Naif sungguh si anak dalam
soal hati dan perasaan. Andai arwah isterinya masih ada, dia
yakin yang anaknya ini tidak akan senaif ini. Bukankah orang
selalu kata, ibu merupakan kawan baik anak perempuan.
Simpati menerpa diri. Arwah isterinya pernah
berpesan supaya dia mencari seorang penjaga buat Q, tetapi
dia sendiri yang tidak mahu. Saban hari dia mendengar kisah
ibu tiri mendera anak tiri, hatinya menjadi tidak tegar. Ia
bukan provokasi daripada cerita dongeng, tapi dia melihat
sendiri sahabat-sahabatnya yang kematian isteri berkahwin.
Anak-anak menjadi deraan isteri baharu, namun di hadapan
mereka, baik saja layanannya.
Walaupun hakikatnya tidak semua ibu tiri begitu,
namun dia tetap tidak mahu mengambil risiko. Biarlah dia
susah, asalkan amanah isterinya ini terjaga dengan baik. Dia
yang jadi ibu dan dia juga ayah. Dan selama ini dia selalu
mengutamakan Q dalam segala hal. Tidak pernah sesaat
dibiarkan anaknya itu merasa kosong tanpa seorang ibu.
Dilimpahi Q dengan kasih sayang. Memanjai tanpa jemu.
“Eh, yang papa tiba-tiba gelak ni kenapa?” Dijeling
Encik Haikal dengan curiga. Pasti ada sesuatu yang papanya
sorokkan.
“Mana papa tak gelak, awak yang kerja kat sana, tapi
awak tanya papa pula kenapa boleh bertahan dengan bos kaki
buli tu.” Encik Haikal geleng kepala.
Q menyeringai, sedar akan kesilapan diri.
“Papa agak-agak sebab apa ek Q masih bertahan? Nak
kata seronok sangat, takdelah juga. Gaji? Takdelah lumayan
sangat. Cukuplah untuk belanja harian Q seorang,” omel Q.
Jujur dia sendiri tidak tahu kenapa dia masih bertahan.
“Hah! Mungkin sebab Q suka sangat dengan kopi
kut,” jawab Q dengan yakinnya.
“Papa tak rasa itu sebabnya,” ujar Encik Haikal.
Kening dijongket saat anak mata si anak memandangnya.
“Maksud papa?”
“Ni... dalam sini... tanya apa yang ada kat sini.” Encik
Haikal tunjuk dada Q tempat bersemayam seketul hati.
Q membawa pandangan ke arah yang ditunjukkan
oleh Encik Haikal. Lama matanya menatap bahagian kiri
dadanya sebelum diangkat wajah memandang wajah tua
Encik Haikal yang sedang tersenyum penuh makna. Otaknya
bekerja keras menterjemahkan apa yang cuba disampaikan
oleh papanya itu.
“Hanya orang yang hatinya punya rasa sayang
mampu bertahan apabila dibuli oleh orang yang dia ‘tak
suka’. Tapi kadang-kadang tuan punya badan sendiri tak
faham permainan hati, kerana hati ini... banyak simpang
sehingga adakalanya kita tersesat dalam mentafsir perasaan,”
ujar Encik Haikal berkias. Kepala Q diusap lembut sebelum
dia melabuhkan kucupan sayang di ubun-ubun si anak.
‘Hanim, inilah amanah sayang pada abang. Abang
telah tunaikan janji abang untuk sayangi puteri kita sepenuh
hati abang. Abang rindukan Hanim, dan Nur Qasy Imani
pengubat rindu itu.’
Q termangu. Kucupan Encik Haikal di ubun-ubunnya
tidak diberi respons seperti selalu. Biasanya dia akan membalas
kucupan itu dengan pelukan. Otaknya ligat memikirkan apa
yang cuba disampaikan oleh Encik Haikal. Kenapalah papanya
perlu berkias kata? Tidak bolehkah cakap terus terang seperti
selalu?
‘Papa suruh tanya hati aku? Hati aku?’ Berulang kali
ditanya hatinya. Kemudian dijeling Encik Haikal yang sudah
kembali fokus pada pembacaannya. Berkira-kira hendak
bertanya kepada papanya ataupun tidak. Akhirnya dia hanya
membawa diri ke bilik tanpa bertanya. Membiarkan segala
persoalan mengasak minda. Suatu masa nanti dia pasti akan
faham juga. Dia yakin itu!

No comments:

Post a Comment