DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 17 October 2019

Dia…Suami Tak Dirancang - Bab 7

BERKALI-KALI mata dipejam celikkan.
Dinzly harap sangat yang dia sebenarnya sedang
bermimpi. Malangnya, tetap kenyataan yang benar-benar
pahit harus ditelan. Ternyata tempoh seminggu itu
bagaikan angin lalu. Begitu cepat beransur pergi. Tapi
sudah cukup mampu membuatkan hidupnya berubah
seratus peratus.
Terbeban.
Terseksa.
Saat mata jatuh pada jemarinya yang dihiasi
cincin pernikahannya dengan Darwisya, Dinzly pejam
mata. Dada yang tadi beralun tenang mula berombak
ganas.
Sakit hati terhadap Aiman.
Sakit hati terhadap Darwisya.
Malangnya, rasa sakit hati itu harus dipendam
dan ditanam jauh-jauh di sudut hati. Tak mampu
dilepaskan. Cuba memujuk hati, nafas yang berombak
dihela perlahan-lahan.
Breathe in, breathe out.
“Selagi Dinz tak reda dengan apa yang berlaku,
selagi tu Dinz akan jadi macam ni.”
Zap! Terpaling wajah Dinzly saat satu suara
mula menegurnya dari belakang.
“Ayah...”
“Ibu kamu cakap Wisya dah balik ke rumah
keluarga dia.”
Jantung seperti disentap.
“Kenapa kamu tak ikut sekali?”
Soalan jerut leher. Dinzly telan liur yang mula
dirasakan berpasir. Menggeleng Encik Fairuz kerana
dia sudah bisa mengagak.
“Kamu halau dia, Dinz?”
Laju Dinzly menafikan.
“Ayah dah banyak kali nasihatkan kamu. Wisya
dah jadi tanggungjawab kamu. Kalau boleh, ayah tak
nak tengok rumah tangga kamu macam ni. Ayah yang
paksa Dinz kahwin dengan Wisya. Bila jadi macam ni,
ayah rasa bersalah, Dinz.” Luluh bicara Encik Fairuz.
Diakah yang sudah tersilap membuat
keputusan? Fikir Encik Fairuz, keputusan itulah yang
paling tepat.
“Wisya minta izin dengan Dinz untuk balik ke
rumah daddy dia.”
“Sekalipun dia yang nak balik ke sana, kenapa
kamu masih di sini?”
“Ayah tahu Dinz dengan daddy dia memang tak
sekufu, kan?” Dinzly tertekan.
“Sampai bila Dinz nak biarkan macam ni?”
“Dinz tak tahu.” Mengeluh dalam.
Encik Fairuz berjalan menghampiri Dinzly.
Berdepan dengan si anak, berharap kali ini nasihatnya
mampu untuk diterima oleh Dinzly.
“Dinz tak boleh terima Wisya sebab dalam perut
dia ada anak kawan baik Dinz?”
“Mana-mana lelaki pun akan rasa sama seperti
yang Dinz rasa.”
“Tapi anak tu tak berdosa.”
“Kalau ayah nak Dinz terima budak tu, memang
Dinz tak boleh. Wisya pun Dinz masih tak mampu
terima sebagai seorang isteri, inikan pula budak...”
“Dinzly Fariqal.” Nama penuh Dinzly diseru.
Cuba menghentikan Dinzly kerana dia cukup arif
ayat seterusnya yang bakal meluncur pada bibir anak
tunggalnya.
“Dinz tak boleh, ayah. Dinz cuba untuk
ikhlaskan hati. Tapi...” Menghempas punggung ke sofa,
kedua-dua belah tangan naik meraup wajah.
“Allah ciptakan hamba-Nya untuk berpasangan.
Untuk melengkapi kekurangan setiap pasangannya. Jika
cela yang Dinz nampak pada diri Wisya, Dinz anggaplah
Allah hantarkan Dinz kepada Wisya untuk bantu Wisya
tutup cela tu. Selagi Dinz anggap ujian ni sebagai satu
beban, selagi tu hidup Dinz takkan aman.”
“Kadang-kadang Dinz tak faham. Kenapa ayah
selalu menangkan Wisya sedangkan Dinz anak ayah?”
“Sebab dia manusia yang teraniaya. Dari
sepasang mata dia, ayah tahu dia tak pernah minta
semua ni terjadi pada dia. Dia cuba senangkan hati Dinz.
Ibu cakap, Wisya nampak makin cantik bila bertudung
tadi.” Penuh makna kata-kata Encik Fairuz.
Tersenyum tawar semata-mata. Tidak tahu
hendak bereaksi bagaimana. Berbolak-balik rentak
perasaan. Hampir saban hari dia berharap Aiman akan
pulang. Mengambil kembali Darwisya daripadanya. Tapi
dalam waktu yang sama, hati Dinzly jadi berbelah bagi.
Kalau Aiman pernah melepaskan
tanggungjawabnya terhadap Darwisya dengan
sewenang-wenangnya, tak mustahil Aiman akan
mensia-siakan Darwisya dan bayi yang dikandung buat
kali kedua.
Pelik bukan? Hati membenci, mulut memerli
hampir tiap waktu, namun jauh di sudut hati, Dinzly
mahu pula mengambil peduli tentang kebajikan
kedua-duanya. Sungguhlah Dinzly keliru. Benar-benar
keliru.
“Dinz patut buat apa, ayah?” Longlai. Merenung
wajah tua Encik Fairuz, berharap jawapan Encik Fairuz
mampu mengusir rasa serabutnya.
“Bagi peluang pada perkahwinan ni. Setiap
manusia layak dapat peluang kedua.”
Jawapan yang benar-benar jelas. Selebihnya,
terpulang kepada Dinzly sama ada mahu menerima
atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment