DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 December 2014

Sesaat Cukup Bagiku: Bab 1

Buntu... Buntu... Buntu... Fikirannya buntu. Apa yang patut dia lakukan? Mengapa dalam amarah yang meluap-luap dia jadi lupa? Selalunya dia tidak begini. Selalunya semua  tindakannya terancang, walaupun sering dipengaruhi emosi. Memang inilah yang selalu disebutkan oleh Mai. Kebimbangan sebeginilah yang sering menjadi keluh-kesah isterinya itu. Tapi tak pernah sekalipun diendahkannya. 

Sangkanya dia mampu mengawal keadaan. Sangkanya dia kuat dalam menangani masalah rumah tangga mereka. Tapi akhirnya ini yang terjadi. Menyesal kini sudah tidak berguna lagi. Semuanya sudah terlambat. Sudah tiada apa lagi yang mampu dia, mahupun Mai  lakukan untuk membetulkan keadaan ini. 

Semuanya gara-gara sikap egonya yang tidak bertepi. Semuanya kerana pergaduhan yang terus-terusan berlaku walaupun berpunca daripada perkara yang kecil. Perkara kecil yang merebak menjadi perbalahan besar, dan diakhiri dengan perbuatan cabar-mencabar. 

Dia pun sudah tidak ingat sejak bila mulanya timbul pergaduhan di antara dia dan Mai. Dahulu mereka adalah pasangan yang cukup bahagia. Bernikah atas dasar cinta yang bersemi sejak Mai berada pada tahun satu di universiti dulu. Pertama kali dia mengenali gadis manja itu adalah ketika sama-sama terlibat menjadi fasilitator untuk program Khidmat Bakti yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa yang sama-sama mereka anggotai. 

Program seminggu yang dijalankan di sebuah kampung di selatan tanah air itu menjadi titik tolak perhubungan mereka. Apabila cinta mula bersemi, hati yang sama-sama parah menanggung rindu itu sering meruntun, meminta pertemuan demi pertemuan diadakan. Dan atas nasihat teman-teman, disokong pula oleh pensyarah-pensyarah yang mengenali mereka, kedua-duanya disatukan. 

Pada awalnya, ada penolakan oleh kedua-dua ibu bapa mereka. Tetapi setelah diterangkan tentang risiko sekiranya mereka tidak disatukan, akhirnya ibu bapa masing-masing  bersetuju. Bimbang juga dalam hati orang tua mereka sekiranya kedua-dua orang anak ini terjebak ke dalam kemaksiatan akibat terlalu menurut perasaan sementelah lagi mereka bebas melakukan apa sahaja apabila jauh daripada keluarga. Tiada yang mengawal  pergerakan kedua-dua anak muda itu. 

Akhirnya seawal tahun dua pengajian, Mai sudah menjadi isterinya yang sah. Cukup bahagia dirasakan pada saat itu. Tiada lagi resah gelisah, tiada lagi perasaan gundah menahan rindu dendam. Mereka melayari bahtera cinta yang diredai

Ternyata, kehidupan berumah tangga langsung tidak mengganggu kehidupan mereka berdua sebagai mahasiswa malah mereka mampu untuk belajar dengan lebih tekun lagi. Mungkin disebabkan oleh ketenangan yang dirasai hasil daripada kebahagiaan rumah tangga yang mereka bina, akhirnya mereka berdua sama-sama berjaya menamatkan pengajian mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

Setelah bergelar graduan awal setahun daripada Mai, Irfan berjaya menjawat jawatan jurutera di sebuah kilang kereta yang tersohor di Shah Alam. Setahun selepas itu, Mai juga berjaya menamatkan pengajiannya dan diterima bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah, jugan di Shah Alam. Sungguh mudah dirasakan perjalanan hidup mereka. Bahagia kerana semuanya bagaikan teratur, tanpa ada masalah yang datang mengganggu.

Cuma satu sahaja kekurangan yang amat menggugah kedamaian yang dirasakan. Di peringkat awal perkahwinan, mereka tidak begitu bimbang akan kekurangan itu. Mereka agak bersyukur kerana kekurangan itu sekurangkurangnya tidak akan mengganggu kehidupan mereka sebagai mahasiswa. Namun, tahun demi tahun, kekurangan itu mula dirasakan.

Pada tahun akhir pengajian, Mai sudah mula sering berasa gundah akibat daripada kekurangan itu. Setiap bulan dia akan mula menunjukkan kesedihannya apabila apa yang
ditunggu-tunggunya menunjukkan hasil yang mengecewakan. Tapi, apa yang mampu mereka buat? Sudah belum ada rezeki, kata doktor yang mereka lawati untuk mendapatkan nasihat pakar dalam menangani masalah itu. 

Ya, anak. Kesukaran mendapatkan zuriat sebagai penghubung kasih di antara kedua-dua suami isteri, merupakan kekurangan yang mereka terpaksa terima. Sudahhampir tujuh tahun perkahwinan, masih belum ada apa-apa tanda yang menunjukkan mereka akan dikurniakan dengan nikmat yang satu itu. Sudah pelbagai petua, pelbagai cara yang mereka lakukan. Namun masih belum ada lagi tandatanda menunjukkan Mai akan mengandung.

Doktor pakar yang mereka temui untuk mendapatkan nasihat juga buntu. Mengikut doktor, mereka berdua normal, tiada masalah kesuburan. Namun, apalah kebijaksanaan doktor pakar dibandingkan dengan kebijaksanaan Allah Subhanahuwataala. Walaupun pelbagai
kaedah telah disarankan oleh doktor dan diikuti pula dengan penuh harapan oleh mereka suami isteri, jika Allah masih lagi belum mahu memberikan rezeki, maka sudah tentun setiap usaha mereka itu tetap mengalami kegagalan. 

Dan akibat daripada kegagalan ini, hubungan mereka mula menjadi renggang. Sikapnya sendiri yang  begitu acuh tak acuh dengan kesedihan yang dialami Mai mula meretakkan hubungan mereka. Dia juga berasa sedih dengan keadaan ini. Siapa kata dia tidak sedih apabila kelelakiannya tercabar kerana gagal membuatkan isterinya mengandung? Dan untuk mengurangkan rasa kecewa yang menghambat hati, dia melekakan dirinya dengan tugas-tugas harian. 

Dia mula pulang lewat dari tempat kerja. Dia mula mengabaikan Mai. Sesuatu yang tidak sepatutnya dia lakukan. Tapi pada saat khilaf itu dilakukan, dia langsung tidak sedar tentang kesilapan itu. Akibatnya, Mai mula menunjukkan sikap merajuknya yang tidak sudah-sudah. Bosan dengan sikap Mai itu, dia semakin buat acuh tak acuh terhadap Mai sehinggalah Mai mula menuduhnya yang bukan-bukan.  

Sehinggalah kemuncaknya, sebulan yang lalu, Mai  terserempak dengannya ketika bersama Maya, salah seorang teman sekerja yang dibawanya untuk sama-sama menghadiri satu mesyuarat di kilang cawangan lain tempat mereka bekerja. Dia tak nafikan, memang dia suka berkawan dengan  Maya yang manja dan begitu menyenangkan. Maya selalu membantunya malah dia sering memberikan hadiah-hadiah kepada Maya untuk menunjukkan tanda penghargaannya kepada gadis itu. 

Baju yang dipakai oleh Maya pada hari dia terserempak dengan Mai tempoh hari juga merupakan hadiah daripadanya atas bantuan yang diberikan oleh Maya dalam menyiapkan tugas yang terpaksa dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Baju itu dibelikan bersama-sama Mai. Dia sendiri yang meminta Mai memilihnya. Cuma silapnya dia tidak memberitahu hal sebenarnya kepada Mai. Dikatakan kepada Mai bahawa baju itu hendak dihadiahkan kepada Syira adiknya. Bukan niatnya mahu menipu Mai, tetapi dia tidak berani memberitahu hal yang sebenarnya bagi tidak mengeruhkan keadaan. 

Dan atas sebab itu, timbul pula rasa curiga dalam hati Mai. Itulah yang menjadi punca pergaduhan mereka. Hal yang sekecil itu terbawa-bawa menjadi besar. Mai terusterusan menyalahkan dirinya yang dikatakan mula menjalinkan hubungan dengan perempuan lain. Memang ada waktunya, timbul niat dalam hatinya untuk melakukan itu. Tetapi, selalu fikiran waras mampu mempengaruhinya supaya menghindari perkara sebegitu. Dia cuba untuk tidak terus mengeruhkan keadaan. 

Ah, dia cukup menyesal dengan keterlanjuran ini. Sikapnya yang tidak berterus terang kepada Mai menyebabkan timbul curiga dalam hati isterinya. Salahkah jika Mai berasa curiga? Salahkah kalau Mai berasa cemburu?  Bukankah kalau dulu, pada awal perkahwinan dia cukup gembira apabila Mai menunjukkan sikap cemburunya? Malah dia pernah membuat onar semata-mata untuk melihat setakat mana cinta Mai untuknya. 

Cukup seronok rasanya ketika itu, apabila dia berjaya memujuk hati Mai dengan belaian mesranya. Dengan mudah sekali terubat rajuknya dan kembali semula memadu cinta. Ah, perempuan, sekeras-keras hatinya, apabila dipujuk rayu, dengan mudah hilang rajuknya. Bak kata pepatah, sekeras-keras kerak nasi, apabila direndam, lembut juga akhirnya.  

Namun itu dulu. Mungkin waktu itu Mai masih lagi muda remaja. Hati muda mudah dipengaruhi. Apabila masa mengubah usia, kematangan seseorang juga berubah. Mai turut berubah. Dia sudah tidak lagi mudah untuk dipujuk. Segala kesilapan yang dilakukan di luar sedarnya, kini dengan mudah dijadikan oleh Mai sebagai bahan sindiran. 

Ada ketika dia merasakan tercabar dengan kata-kata yang terkeluar dari bibir mulut isterinya itu. Ah... Berlainan sekali dengan sikapnya dulu yang mudah mengalah, mudah menyerah. Sikap inilah akhirnya menjadi pemangkin kepada selisih faham mereka yang terus menjadi-jadi sehingga akhirnya mengundang peristiwa yang tidak diingini itu. Bagaimana kini akhirnya dia sungguh-sungguh menyesal dengan kata-katanya yang terlafaz laju bagaikan air dari sungai yang mengalir. 

Bagaimana kini dia cukup menyesal melafazkan ucapan keramat yang sering dihindari semua pasangan suami isteri. Bukan satu, bukan dua lafaznya itu, tapi tiga... tiga sekali gus. Semuanya terlafaz di luar sedar. 

Kini, biarpun apa saja alasannya, semuanya tidaklagi boleh ditarik balik. Kata-kata itu telah terlafaz. Talak sudah jatuh walau sekuat mana pun dijeritkan kepada dunia yang dia tidak bermaksud untuk melafazkan kata-kata itu. Sungguh... Dia tidak mampu hidup tanpa seorang Maizatul Hafizah binti Ariffin di sisinya. Tidak mampu...

No comments:

Post a Comment