AIRA mengeluh perlahan sambil memejam
matanya seketika. Zulaikha yang sedang menggubah bunga
di satu sudut sudah menggeleng kepala beberapa kali. Timbul
rasa simpati dan kasihan kepada Aira. Kalau dia berada di
tempat Aira pun, pasti sukar untuknya membuat keputusan
secara mendadak begitu. Memang tak patut Amar buat Aira
macam tu. Kasihan Aira.
Dengan ugutan daripada Amar, pasti gadis itu tak
punya pilihan lain kecuali bersetuju. Mungkin bagi gadis
lain apa yang dikatakan oleh Amar itu satu tawaran yang
cukup lumayan. Siapa akan menolak lelaki seperti Amar
yang berstatus 5K; kacak, kaya, berkereta, berkerjaya,
berkedudukan dan sempurna dari segala segi.
‘Eh, Amar tu sempurna ke? Macam ada yang kurang
aje!’ Tiba-tiba Zulaikha tergelak kecil. Langkahnya diatur ke
meja kaunter. Aira di situ masih lagi mengelamun sambil
menongkat dagu.
“Tak payah nak fikir panjang. Terima ajelah lamaran
Encik Amar tu. Nanti Aira jugak yang dapat hidup senang.
Siapa yang tak nak kahwin dengan lelaki kacak dan kaya
macam Encik Amar tu.” Zulaikha sudah mengukir senyum.
“Hesy, Kak Ika ni! Nampak sangat pemikiran akak ni
lebih kepada materialistik. Tak boleh tengok lelaki kacak dan
kaya.” Aira melirik tajam. Bibirnya diketap rapat.
“Dah itu memang naluri seorang perempuan, Aira.
Nakkan kesempurnaan, nak hidup senang dan mewah. Cuma
orang gila aje yang tolak tuah.” sambung Zulaikha lagi.
“Habis tu, Kak Ika nak samakan Aira dengan orang
gila?” Bukan main marah lagi Aira apabila Zu itu.
Zulaikha tergelak kecil.
“Eh, akak tak cakap pun Aira ni spesies makhluk
istimewa tu.” Zulaikha cuba membetulkan tanggapan Aira.
“Dah tu, Kak Ika yang cakap macam tu tadi, kan!”
Aira menjeling tajam ke arah Zulaikha.
“Sudahlah. Kita lupakan aje cerita pasal orang gila.
Kita cerita pasal orang normal, pasal Encik Amar. Akak pun
hairan, macam mana dia tiba-tiba boleh lamar Aira untuk
jadi isteri dia minggu depan. Sedangkan setahu akak dia
dah bertunang dan akan berkahwin minggu depan jugak.
Takkanlah dia nak kahwin dua sekali gus? Tamaknya!”
Zulaikha menggaru-garu kepala.
“Apa Kak Ika cakap tadi? Encik Amar tu sebenarnya
dah bertunang dan akan berkahwin minggu depan?” Mata
Aira membulat. Rahangnya hampir jatuh.
Zulaikha mengangguk kepala.
“Mati-mati dia kenakan Aira! Dasar lelaki tak guna!”
Aira mendecit geram. Entah kenapa hatinya jadi sakit
tiba-tiba.
“Betullah. Akak terdengar yang dia ada beritahu
dekat Kak Ainon dua minggu lepas. Ceria aje muka dia masa
dia beritahu yang dia nak kahwin. Tapi kan, akak tak pernah
jumpa pulak tunang dia.” Zulaikha memandang wajah Aira
yang sudah kembali bereaksi normal.
“Huh, nasib baik Kak Ika cakap awal-awal hal ni.
Adalah alasan Aira nak tolak bila dia datang nanti. Kalau tak,
sia-sia aje dapat malu dikenakan dia.” Aira menarik nafas lega.
“Nanti tak pasal-pasal Aira bermadu, kan?” Zulaikha
dah mula gelak.
Aira mengeluh perlahan. Kemudian dia termenung
mengingatkan kata-kata Zulaikha tadi.
‘Betul ke lelaki itu dah bertunang dan akan
berkahwin minggu depan? Tapi kenapa dia tiba-tiba melamar
aku dan mahu aku jadi isterinya minggu depan jugak? Pelik!’
“Aira rasa Encik Amar akan datang tak minta
jawapan daripada Aira?” Wajah Aira menjadi tatapan Zulaikha
selepas gelaknya hilang.
Dua hari lepas Aira telah menceritakan tentang
lamaran Amar kepada Zulaikha. Lelaki itu mendesak dia
menerima lamarannya walaupun telah diberi pelbagai alasan.
Akhirnya Amar akur dengan permintaan Aira untuk diberi
masa selama dua hari sebelum memberi jawapan.
Ting!
“Selamat tengah hari, Encik Danish.” Zulaikha
bersuara menyambut kedatangan pelanggan.
“Selamat tengah hari Cik Ika sayang.” Danish
menguntum senyum dan segera ke ruang menunggu yang
disediakan untuk pelanggan. Terdapat set sofa dan juga TV
untuk keselesaan pelanggan yang menunggu tempahan
mereka.
“Macam biasa ke?” Zulaikha memandang wajah
lelaki itu.
“Yup! Macam biasa.” Danish tergelak kecil sambil
matanya memandang sekitar bunga-bunga segar yang ada
di kedai itu dan pandangannya terus terhenti sebaik saja
matanya terpandangkan wajah Aira.
“Kali ini untuk siapa pulak?” Zulaikha bersuara
sambil tangannya sibuk mengambil beberapa kuntuman
bunga untuk digubah.
Danish yang masih ralit menatap wajah Aira
tidak menjawab soalan Zulaikha membuatkan Zulaikha
mendongak. Mencari kelibat lelaki itu. Mana tahu dia sudah
keluar.
“Encik Danish?”
Danish mula tersentak.
“Ya, you cakap apa tadi?” Danish sedikit kalut. Segera
dibetulkan duduknya. Kolar bajunya dibetulkan agar tampak
lebih kemas walaupun memang sudah tersedia kemas.
Zulaikha mula tergelak kecil melihat gelagat Danish.
“I tanya, kali ini jambangan bunga untuk siapa?
Maklumlah, Encik Danish inikan ramai teman wanita.
Tiap-tiap hari bertukar pasangan.” Zulaikha memandang
sekilas wajah Danish yang nampaknya sedang memikirkan
sesuatu.
“Eh, mana pulak tiap-tiap hari. Sekali-sekala ajelah!”
Sangkal Danish sambil matanya tetap melirik ke arah Aira
yang sedang membantu Zulaikha menggubah tempahan
bunga miliknya.
“Alah, tak nak mengaku konon. Siapa yang tak kenal
Danish Irham bin Datuk Mahfuz. Playboy tersohor kat KL
ni!” Zulaikha mengusik Danish menyebabkan tawa terus
meletus keluar dari mulut lelaki kacak itu.
“Apasal tinggi sangat pangkat you bagi kat I?
Playboy tersohor kat KL!” ujar Danish bersama tawa yang
masih bersisa. Sengaja tak nak mengaku walaupun diakui
hakikat itu.
“Betullah tu. Tak nak mengaku ya?” Zulaikha
menyakat Danish membuatkan gelak lelaki itu makin kuat
kedengaran di dalam kedai.
Aira yang sedang asyik membantu Zulaikha segera
memandang wajah Danish membuatkan gelak lelaki itu
terus terhenti. Lama mata Danish tertumpu pada wajah
Aira. Saat ini hatinya benar-benar tertawan dengan gadis itu.
Benar-benar menarik.
“Ika, you tak nak kenalkan I dengan kawan baru you
ni ke? Dah lama I kat sini. Teruklah you ni, kedekut!” Danish
membuat tuduhan menyebabkan Aira dan Zulaikha saling
berpandangan.
Zulaikha menggeleng kepala sambil tersenyum.
Manakala Aira pula buat muka blur.
“Buat apa I nak kenalkan si cantik manis ni kat you,
Encik Danish. I tak nak dia jadi mangsa you yang seterusnya
nanti.” Zulaikha memberi jawapan yang bernas membuatkan
Danish menarik muka masam. Nampak sangat dia terkilan
kerana permintaannya tidak dilayan.
Zulaikha kembali menumpukan perhatian pada
gubahannya. Aira pula siap tayang jelingan ke arah Zulaikha.
Tak suka dirinya menjadi bualan.
Danish melangkah ke arah mereka berdua dengan
penuh gaya.
“Hi, I’m Danish.” Tangannya dihulurkan ke arah
Aira.
“Maaf, saya tak boleh salam dengan lelaki yang bukan
mahram saya,” ujar Aira segera mempamerkan senyuman
agar lelaki itu tidak terasa. Sebaliknya kata-kata Aira itu
membuatkan muka Danish bertukar merah.
Perlahan-lahan dia menarik tangannya semula dan
dimasukkan ke dalam poket. Senyuman diukir semata-mata
mahu kontrol malu.
“Hmm... I suka sikap you. Membuatkan I rasa nak
lebih dekat dengan you!” Danish merenung wajah Aira
membuatkan Aira mula rasa tak selesa.
“Maaflah Encik Danish. Kawan I ni dah ada yang
booking. Tak payahlah nak jual minyak kat sini. Dah tak
laku!” tembak Zulaikha dengan muka selamba membuatkan
Aira menelan liur dan segera melarikan pandangannya. Segan
dan malu serta tak selesa apabila wajahnya menjadi tatapan
lelaki itu.
“Oh really? Nampaknya I terlambatlah ya. Tapi tak
salahkan kalau I nak kawan dengan you? Macam I kawan
dengan Zulaikha.” Danish tak mahu berputus asa.
Aira tak tahu mahu menjawab apa. Hasilnya, dia
hanya tayang senyum. Anggap saja lelaki itu tak lebih daripada
seorang pelanggan.
“Cantik senyuman you. I suka lesung pipit you.
Menarik! Buatkan I makin tertarik pada you!” Danish memuji
ikhlas membuatkan wajah Aira terus tunduk. Terbit rasa
segan menerima pujian buat kali kedua. Sebelum ni Amar
turut memuji lesung pipitnya.
“Okey, gubahan dah siap!” Zulaikha mencelah
membuatkan pandangan Danish mula beralih. Dia mengukir
senyum melihat gubahan cantik hasil tangan Zulaikha. Tidak
dinafikan yang dia sukakan hasil gubahan wanita itu. Itu
sebabnya dia selalu datang ke kedai ini.
Danish mengikut langkah Zulaikha ke meja kaunter
untuk membuat urusan pembayaran.
“Sarnia! Nampaknya sasaran baru ya?” Zulaikha
tergelak kecil melihat nama yang tertera pada kad kecil yang
diselitkan dicelah-celah jambangan mawar merah itu.
Danish tidak menjawab, sebaliknya dia hanya
mengangkat keningnya beberapa kali.
“Kali ini untuk berapa lama? Seminggu, sebulan
atau setengah tahun?” Zulaikha memandang wajah Danish.
“Eh, eh you ni. Soal I macam wartawan gosip. Sorry
to say, I rasa muka you tak sesuai jadi wartawan. I rasa muka
you lebih sesuai jadi pelakon.”
Zulaikha menggeleng kepala. Bercakap dengan
Danish memang tak boleh blah. Ada-ada saja ayat yang
dibalas untuk kenakan dia balik.
“Dah beres semuanya, kan? Silalah beredar. I nak
tunggu customer lain pulak datang. Kalau asyik layan you,
tak berjalan kerja I!” Zulaikha tayang senyum apabila melihat
Danish masih lagi berada di situ. Tiada tanda-tanda nak
keluar selepas urusannya selesai.
“Amboi, menghalau nampak! Tak pernah-pernah
I dihalau sebelum ni.” Danish buat-buat terkejut. Namun
sedikit pun dia tidak ambil hati. Dia sudah biasa berbalas kata
dengan Zulaikha sejak mereka berkenalan 2 tahun yang lalu.
Hubungan mereka berdua agak mesra sebagai pekerja dan
pelanggan.
“Bukan menghalau, tapi mengusir dengan cara
berhemah. Kalau menghalau, I guna penyapu. Ini I guna
mulut aje!” Zulaikha membalas membuatkan Danish
mengetap bibir.
“Bukan sama ke?” Dahi Danish sudah berkerut.
“Nampak sama tapi tak serupa.”
“I faham. Dah nasib I hari ni cukup malang. Bukan
saja tak dapat pancing ikan, sebaliknya kena halau dengan
kucing.” Danish sudah buat muka sedih membuatkan mata
Zulaikha terus membulat. Kemudian terdengar suara tawa
dari mulutnya. Seronok dapat mengenakan Zulaikha lagi.
“Okey, I pun ada hal lepas ni. Nanti kita jumpa lagi.
Thanks, my dear.” Danish terus kenyit mata selepas membuat
bayaran.
“Welcome.”
Danish sudah melangkah pergi, tapi tiba-tiba dia
muncul semula di hadapan mereka berdua.
“Aik, tertinggal barang ke?” Zulaikha terus
memandang pelik wajah Danish dengan kening yang hampir
bertaut.
“Yup!” Danish menggagau tangan dalam poket
seluar dan matanya melilau mencari sesuatu di sofa tempat
duduknya tadi.
“You cari apa sebenarnya ni? Telefon, kunci kereta
atau apa dia?” kalut Zulaikha bertanya.
“Something. Very important. Apa yang I cari ni ada
kaitan dengan soal hidup dan mati.” Danish pamerkan muka
serius membuatkan Zulaikha dan Aira saling berpandangan.
Muka mereka berdua sudah mula pucat.
“Hah, betul ke? Apa benda yang hilang tu? Nanti kami
tolong carikan. Mana tahu tercicir kat mana-mana.” Zulaikha
mula tidak senang duduk. Aira pula nampak terpinga-pinga
sebab tak tahu hujung pangkalnya.
Danish mengukir senyum ke arah mereka berdua.
“Betul ni awak berdua nak tolong carikan?” Danish
mula rasa teruja. Bibirnya mengorak senyum.
Aira dan Zulaikha sama-sama mengangguk kepala.
“Okey, tolong carikan hati I yang tercicir kat sini
tadi. Susahlah hidup I nanti kalau hati I dah tercicir atau
dicuri.” Danish memberi jawapan sempoi membuatkan
Zulaikha segera mencapai majalah dan terus dihempuk ke
bahu Danish. Lelaki itu mengaduh sambil ketawa mengekek.
Seronok dapat mengenakan mereka berdua.
“Alah, gurau sikit pun dah sentap. Chilllah sayang.
You ni Cik Ika, apasal serius memanjang? Nanti muka tu
cepat berkedut. Tak pasal-pasal kurang kejelitaan you lepas
ni.” Danish mengusik membuatkan Zulaikha mendengus
geram. Rasa nak diganyang-ganyang saja mulut si Danish ni.
“Gurau-gurau jugak. Nasib baik I tak tinju kat
muka you. Kalau nasib tak baik, memang confirm tercabut
gigi depan you. Tak pasal-pasal rongak! Nanti hilang pulak
kekacakan you!” Zulaikha cuba menahan sabar sambil
memulangkan paku serpih. Sengaja berbalas kata.
“Sorry.” Danish memohon maaf dan sekali gus
menahan gelak.
“Blahlah! Buat orang sakit hati aje,” halau Zulaikha
yang masih lagi tak puas hati kerana dikenakan oleh Danish
yang masih lagi tersenyum-senyum sambil melirik ke arah
Aira.
“Alah, Cik Ika sayang ni. Makin you marah, makin
nampak cantik!” Danish masih menyakat Zulaikha.
“Hesy, tak payah nak pujuk, tak jalan punya! You
ingat I ni spesies girlfriends you kat luar sana, mudah cair
dengan pujian palsu you tu?” Zulaikha merengus kasar. Masih
tak puas hati dengan lelaki itu.
“Okey, kita stop kat sini. I sebenarnya nak tahu siapa
nama kawan baru you ni. I takut tidur I malam nanti tak lena
kerana asyik terkenangkan cik adik manis ni!” Bibir Danish
sudah menguntum senyum.
“I bukannya apa, hanya nak tahu sebagai kawan.
Tak ada niat lain. I masih boleh bezakan antara kawan dan
teman.” Danish mula bersikap serius.
Aira memandang wajah Zulaikha. Cuba meminta
pendapat Zulaikha. Melihat anggukkan kepala wanita itu,
dia terus memandang wajah Danish yang masih menanti
jawapan.
“Nama saya Aira.” Aira membuka mulut.
“Wow! What a lovely name and lovely voice. I like
it! Very nice.” Tanpa berlengah Danish terus memuji sambil
mengenyit matanya. Bibirnya turut mengorak senyum ceria.
“Tak payah nak puji lebih-lebih. Aira ni tak akan cair
punya. Dia tak pandang pun lelaki kasanova macam you ni!”
Zulaikha melirik ke arah Danish yang masih lagi mengoyak
senyum.
“Betul ke? Itu you yang cakap. Aira tak cakap apa-apa
pun. Entah-entah you jealous tak sebab I bagi perhatian
kat Aira ni!” Danish menaikkan keningnya beberapa kali
membuatkan Zulaikha mencebik bibir.
“Tak ada maknanya I nak jealous. You silap orang
tau!” Zulaikha melempar jelingan.
“Okey, I tak nak gaduh dan I tak nak rosakkan mood
ceria I sekarang. Jumpa lagi Cik Aira yang cantik manis dan
Cik Ika sayang.” Danish terus berlalu pergi sambil bersiul
riang.
SELEPAS PULANG dari makan tengah hari, Aira
menghampiri Zulaikha yang sedang membetulkan susunan
bunga supaya nampak lebih cantik, kemas dan menarik.
“Kak Ika, Aira nak tanya sikit ni.” Aira melabuhkan
punggung ke kerusi plastik berdekatan dengan Zulaikha.
“Nak tanya pasal apa? Pasal Encik Amar ya?” tembak
Zulaikha sambil menguntum senyum.
“Taklah. Aira nak tanya pasal Encik Danish.”
Zulaikha segera memandang wajah Aira sebaik saja
nama Danish keluar dari mulut Aira.
“Kenapa nak tahu pasal dia? Aira berminat dengan
dia ke?” Lama mata Zulaikha terpaku pada wajah Aira
“Tak adalah.”
“Betul ni?” Zulaikha menyimpul senyum.
“Betul. Aira tak berminat pun kat dia. Cuma sekadar
nak tahu pasal dia. Dia kan pelanggan kedai ni. Kak Ika jugak
cakap yang dia tu regular customer. Lagipun, Aira tengok dia
macam dah mesra sangat dengan akak.”
“Maksud Aira?”
“Kak Ika sebenarnya ada hati dengan Encik Danish,
kan?” Aira memandang ke arah Zulaikha yang sedang
menyusun jambangan bunga di dalam pasu.
“Apa ni Kak Ika!” Aira mendecit geram apabila
Zulaikha melemparkan tangkai bunga ke mukanya.
“Aira tulah, ada ke cakap macam tu.” Zulaikha
mengetap bibir.
“Entahlah. Aira rasa Kak Ika dengan Encik Danish
tu macam sepadan aje. Macam gaduh-gaduh sayang.” Aira
melahirkan pendapatnya.
Tiba-tiba kedengaran tawa meletus dari mulut
Zulaikha.
“Aira belum kenal lagi siapa Encik Danish tu. Dia
memang macam tu, nakal dan sweet talker. Sebab tu ramai
perempuan terpikat kat dia.”
Bila Aira menyebut nama Danish, serta-merta
Zulaikha terbayangkan wajah lelaki itu. Lelaki kacak yang
selalu mengunjungi Ainon Florist untuk membeli jambangan
bunga untuk dihadiahkan kepada teman-teman wanitanya.
“Alah, Kak Ika ni. Mana tahu satu hari nanti akak
berjodoh dengan dia. Memang sekarang ni dia ada ramai
teman wanita, tapi tu hanya sekadar kenalan biasa, bukan suri
di hati dia. Takdir Allah, tiada siapa yang dapat menghalang,”
ujar Aira sambil memandang wajah Zulaikha.
“Tak payahlah Aira nak senangkan hati akak. Akak
sedar siapa diri akak. Aira pun tahu kan status akak. Akak ni
janda, Encik Danish tu pulak teruna. Satu lagi, akak ni lagi tua
daripada dia. Malah akak ni orang kampung. Dahlah belajar
pun tak tinggi mana. Tak ada yang hebat pun pada diri akak.”
Zulaikha merendah diri. Wajahnya muram mengenangkan
dirinya yang banyak kekurangan.
“Kak Ika, insya-Allah semua tu hanya dugaan
sementara untuk akak. Mana tahu Allah akan bagi ganjaran
yang istimewa di kemudian hari. Kita tak tahu, kan. Aira pun
sama kak. Aira terima qadak dan qadar yang Allah tentukan
untuk Aira. Aira kan ada cerita pada akak kenapa Aira datang
KL. Akak, kehidupan Aira tak sebaik dan seindah kehidupan
orang lain.”
Malam tadi Aira ada menceritakan kisah hidupnya
kepada Zulaikha. Entah kenapa dia senang bercerita dengan
wanita itu. Dia rasa dekat dengan wanita itu dan dia yakin
Zulaikha seorang yang boleh dipercayai. Dan Zulaikha turut
menceritakan kisah hidupnya.
Menurut Zulaikha, dia berkahwin ketika berusia 21
tahun. Dia hanya akur kerana tidak mahu mengecewakan
orang tuanya. Apa lagi keluarganya terhutang budi dengan
keluarga bakal suaminya.
Pada awalnya, kehidupan mereka bahagia sehingga
usia perkahwinan mereka mencecah dua tahun lebih, tetapi
Zulaikha masih belum disahkan hamil. Sejak itu, rumah
tangganya mula bergolak. Tekanan daripada keluarga mentua
membuatkan dia benar-benar rasa tertekan. Dia dituduh
sebagai perempuan mandul kerana tidak berjaya memberikan
zuriat buat suaminya.
Tanpa sedar, suaminya mula curang dan mempunyai
hubungan dengan perempuan lain sehinggalah semuanya
terbongkar. Mereka bergaduh dan saling tuduh-menuduh.
Akhirnya, suaminya melafazkan talak dengan alasan dia tidak
mampu melahirkan zuriat.
Kini dalam usia 28 tahun, Zulaikha lebih selesa
hidup sendiri. Lagi pula, dia tidak menyusahkan sesiapa.
“Aira pun kena fikirkan soal masa depan Aira. Macam
mana dengan lamaran Encik Amar tu?”
“Aira dah buat keputusan kak. Kalau dia datang,
Aira akan tolak. Aira datang sini sebab nak cari keluarga Aira,
bukan nak cari suami. Apa lagi suami macam Encik Amar tu.
Macam orang tak betul aje!” Aira memberi komen.
Zulaikha tergelak kecil.
“Hai, suka hati aje cakap Encik Amar tu tak betul.”
“Memang tak betul pun. Bukan itu aje, dia tu suka
mendesak dan terlalu ego. Kak Ika ingat senang nak hidup
dengan lelaki macam tu?”
“Tapi akak rasa Aira ni sesuai sangat dengan Encik
Amar. Nama pun agak sepadan. Amar, Aira... Aira, Amar...
perfect match, perfect couple!” Zulaikha seronok mengusik
menyebabkan dia menerima jelingan tajam daripada Aira. Dia
hanya tayang senyum.
“Kak Ika ni macam perli Aira aje. Mentang-mentanglah
tadi Aira kenakan akak. Sekarang ni, akak nak kenakan Aira
balik ya!” Aira mendengus perlahan
Zulaikha hanya pamerkan senyuman.
No comments:
Post a Comment