STATUS ibu tunggal bukannya mudah. Setiap hari Bija merasakan dirinya sentiasa diperhatikan oleh mata-mata yang tidak menyenangi dengan gelaran yang dibawa. Idahnya tinggal lagi sebulan, semakin menjadi-jadi gangguan yang diterimanya daripada lelaki-lelaki berhidung belang termasuklah Khalil yang masih belum serik mengganggu dirinya.
Bekas suaminya pula langsung tidak datang melawat Mia, beri nafkah anak apatah lagi. Bija kasihankan anak tunggalnya. Bagaimanakah masa depan Mia nanti? Jika dia masih berkeadaan begini, sepanjang hidupnya hanya membayar hutang.
Bija terjumpa dengan Murni, teman sekolejnya dahulu di stesen LRT. Sudah lama dia tidak bertemu dengan Murni. Diperhatikan Murni semakin bijak bergaya dengan barangan berjenama. Rupanya rakannya itu baru pulang dari Arab, setelah 2 tahun bekerja sebagai jururawat di salah sebuah hospital di sana. Pendapatan yang diterima sangat lumayan.
Bija tergerak hati juga ingin bekerja di sana memandangkan hidupnya sentiasa dibayangi hutang yang bertimbun dan dalam fikirannya lebih kepada masa depan Mia.
Murni sempat menghulurkan kad agensi yang menguruskan jururawat bekerja di luar negara. Lama Bija merenung kad itu. Banyak yang harus difikirkan jika dia mahu meneruskan niatnya itu. Siapakah yang akan menjaga Mia? Mahu harapkan bekas suaminya, boleh diharapkah? Bija susah hati apabila memikirkannya. Dia dalam tekanan yang sangat berat!
BIJA MENONONG melintas jalan dengan fikiran berserabut. Sorotan cahaya lampu bersama bunyi hon yang kuat membuatkan dia tersedar yang dia melintas tanpa menoleh kiri dan kanan terlebih dahulu. Jantung berdenyut laju tatkala melihat sebuah kereta semakin hampir.
Cepat-cepat dia berlari melintas jalan. Lembik lututnya ketika kaki sudah berada di seberang jalan. Bija mencuri nafas yang semput kerana terlalu cemas berlari tadi. Lututnya terasa lembik untuk menahan kaki supaya berdiri kukuh. Tangan diletakkan ke dadanya yang masih belum berhenti berdebar. Sikit sahaja lagi tadi! Bija mengurut dada.
“Dah habis berdebar jantung tu? Mata tu letak kat lutut, heh? Atau, kepala kau berangan lebih?” Tegur suara yang semakin familiar dalam hidup Bija. Dia berpaling ke belakang. Tarik nafas dalam-dalam. Berbulu betul matanya melihat makhluk seorang itu.
“Tak ada kaitan dengan awaklah!” Bija berdiri tegak, malas hendak melayan.
“Kau ni selalu nak cari marah aku, kan? Kau tak reti jaga diri kau, tu kau punya pasal, tapi jangan depan mata aku. Kau ni buat aku tak boleh tengoklah!” Sunny membebel.
“Pergi sibuk dengan diri sendirilah, buat apa sibuk dekat sini!” Hati Bija runsing dibebel dengan orang yang tidak berkenaan dalam hidupnya. Lebih merunsingkan hati, sejak akhir-akhir ini lelaki itu sering muncul dalam hidupnya. Dia tidak selesa. Bija terasa seperti kena stalk. Hati yang runsing bertambah-tambah runsing.
“Hmm, yalah.” Sunny mencebik buat muka tidak hairan. Harga diri samseng terhormat harus dijaga.
‘Janganlah nampak sangat kau peduli dengan hidup perempuan tu, bro!’ Terngiang kata-kata Malik.
“Huh, tahu pun!” Bija buru-buru meninggalkan lelaki itu. Dalam pada itu, dia kerap menoleh ke belakang bimbang jika lelaki samseng itu mengekorinya. Terasa sesuatu yang tidak kena dengan kata-kata lelaki itu tadi membuatkan dia seram semacam. Bija mempercepatkan langkahnya.
Walaupun Bija kerap menoleh ke belakang, wanita itu masih tidak perasan yang dia masih diekori oleh Sunny. Kecekapan Sunny dalam menjejak tidak dapat disangkal lagi. Selepas ‘menghantar’ wanita itu sampai ke rumah, dia mendapat panggilan penting dan terus beredar.
SUNNY SAMPAI di satu tempat yang sunyi. Malik dan Zamri sedang menunggu di sebuah gudang lama. Di situ mereka akan berjumpa kumpulan kongsi gelap yang lain. Pertelagahan antara kumpulan kongsi gelap adalah perkara biasa. Siapa yang paling kuat akan menguasai dunia kongsi gelap.
Masuk saja ke dalam gudang, Malik dan Zamri sedang bertarung dengan lebih daripada 10 orang lelaki. Melihat teman-teman seperjuangannya bertarung bermati-matian, tanpa berlengah Sunny menyusun gerak tempur. Dengan langkah gagah, dia melangkah bersama renungan tajam helang pembunuh.
Jaket kulit yang sedang dipakai dibuka lalu dengan jaket kulit itu juga dia gunakan untuk melibas satu per satu musuh di hadapannya. Hanya menggunakan jaket kulitnya sebagai senjata untuk melumpuhkan musuh. Satu per satu musuh tumbang di tangan Sunny tanpa banyak menggunakan tenaga. Riak wajah Malik dan Zamri kelihatan sangat lega apabila Sunny muncul membantu mereka berdua. Mereka bertiga saling bekerjasama. Dengan kepakaran tempur mereka membuatkan musuh-musuh mereka saling tercengang. Begitu cekap dan berkemahiran. Siapakah mereka sebenarnya?
Apabila mereka bertiga hampir menumbangkan ke semua musuh, Ayahanda Waris datang bersama kumpulannya. Kedatangan mereka semua mengubah gerak gaya gempur mereka bertiga. Dari berlawan secara profesional mereka bertiga mengubah cara berlawan secara hentam kromo pula. Masing-masing berlakon kononnya mereka bertiga sedaya upaya berlawan habis-habisan.
Kini situasi berubah. Pihak musuh bertindak lebih agresif dengan mengayunkan parang secara rambang. Untuk kelihatan lebih realiti, Sunny membiarkan lengannya dilibas. Dia hanya membiarkan libasan mengenai permukaan kulit sahaja. Profesional.
Pihak musuh tercengang dan tidak faham dengan apa yang telah terjadi kepada ketiga-tiga musuh mereka.
Kalau diikutkan, mereka semua sudah lama tewas. Tidak mahu mengambil risiko, mereka semua berundur dengan kebingungan.
“Bagus! Kamu bertiga tak pernah mengecewakan aku!” tutur Waris sangat berbangga dengan mereka bertiga kerana berjaya memperluaskan lagi ‘jajahannya’.
Sunny, Malik dan Zamri saling merenung. Hanya mereka sahaja yang faham maksud renungan masing-masing.
BUNYI KETUKAN di pintu membuatkan Bija ketakutan. Ketukan itu seperti mempermainkan dirinya dan dia mengagak mungkin lelaki-lelaki yang suka mengganggunya. Tidak mustahil jika Khalil orangnya. Pintu dibiarkan. Namun semakin rancak pula pintu rumahnya diketuk dari luar. Dari ketakutan, Bija jadi menyampah apabila memikirkan betapa mudahnya dia diperkotak-katikkan oleh lelaki selama ini.
“Oh... ingat aku takut!” Bija naik berang, pergi mencari penyembur Ridsect. Kemudian perlahan ke arah pintu. Ketukan di pintu masih kedengaran. Dia membuka pintu perlahan. Dalam kegelapan malam, Bija bersedia menyembur muka penyangak kurang ajar yang suka benar mengganggunya.
Belum sempat dia mengeluarkan Ridsect dari belakang badannya, tercegat lelaki samseng dengan lengan berdarah. Ridsect yang sudah diangkat diturunkan lalu bercekak pinggang dengan wajah bosan.
“Awak ni kan... tak habis-habis macam ni!” Bija tidak berpuas hati. Kenapa dia? Kenapa dia yang selalu dicari lelaki itu jika bermasalah begini? Sejak bilakah dia menjadi perawat ‘gelap’ begini? Tidak terlintas pula dalam fikiran Bija, bagaimana lelaki itu tahu rumahnya dek terlalu sibuk memikirkan kecederaan lelaki itu.
Pintu gril dibuka dengan muka masam. Bija menoleh ke kiri dan ke kanan sebelum orang nampak dia terus menarik lelaki itu masuk. Bija tahu lelaki itu memerlukan pertolongannya dan dia tidak sampai hati buat tidak tahu, mungkin kerana setiap hari menjalankan tugas merawat orang sakit membuatkan dia tidak sampai hati.
Bija terus ke bilik mencari first aid kit. Kemudian, dengan muka masam pergi mendapatkan lelaki samseng itu di ruang tamu. Dengan muka tidak ikhlas dirawat lelaki itu.
Sunny memerhati Bija yang sedang mencuci lukanya. Wajah masam wanita itu mencuit hati lelakinya. Senyuman nipis terbit di bibirnya.
“Nama aku Sunny.” Sunny mengenalkan dirinya. Nama wanita itu dia sudah tahu, biarlah wanita itu tahu namanya pula.
Tangan yang sedang merawat luka terhenti, Bija mendongak.
“Tak tanya pun,” cebiknya. Kemudian, tunduk meneruskan kerjanya semula.
Tingkah Bija buat bibir Sunny herot ke tepi. Dia tidak pula melenting.
“Nama kau Bija, kan?”
Bija terus mendongak dengan muka tercengang.
Sunny tergelak kecil.
“Aku kan samseng.” Setakat nama, perkara itu sangat enteng baginya.
“Nurbijaseri... nama macam orang kampung.” Sunny selamba mengutuk nama Bija. Dalam hati sebenarnya dia suka dengan nama itu. Sungguh klasik dan mudah mendapat tempat di hatinya.
Bija pula bengang apabila namanya dijadikan bahan jenaka lelaki samseng itu. Nama, nama jangan dibuat main. Buat berderau darah orang betul samseng sorang ni!
“Haah, nama saya memang kampung, tapi saya suka sebab mak ayah saya yang bagi nama tu. Kenapa, tak puas hati?” Sakit hati punya pasal, tangan mula buat kerja tidak ikhlas. Bija sengaja menekan luka lelaki itu kuat-kuat dengan kapas. Biar padan dengan muka!
“Aduh! Sakitlah!” Sunny mengaduh sakit.
“Bergaduh tadi tak sakit. Cuci luka macam ni sakit pula!” perli Bija sambil menekan lagi luka lelaki itu sekuat-kuatnya. Nah, rasakan!
“Aduh, aduh!” Sunny menyeringai kesakitan. Tidak tahan. Dia terpaksa menangkap pergelangan tangan Bija dari menyakitinya lagi. Wajah Sunny sangat serius dan dia merenung tajam Bija seperti ingin ditelan hidup-hidup.
Bija menikus. Boleh pula dia terlupa lelaki di hadapannya adalah seorang samseng. Samseng tetap samseng! Menyesal pula kerana terlalu berani menarik lelaki itu masuk tadi. Kenapalah dia baik hati sangat? Sepatutnya dibiarkan sahaja lelaki itu. Mahu menyesal tiada gunanya lagi.
“Sa... saya minta maaf. Saya tak sengaja...” Tergagap bibir Bija memohon maaf. Berharap lelaki samseng itu tidak mengapa-apakan dirinya.
“Kau sengaja, kan?” Sunny terus menerus merenung tajam. Buat wanita itu gelisah tidak menentu.
“Saya...” tidak tahu apa yang harus dia suarakan.
“Kau!” Bija disentap ke depan, betul-betul tepat ke mukanya. Bija amat terkejut.
“Haa...” Sekali lagi dahi Bija menjadi sasarannya. Dijentik kuat tanpa belas.
“Aduh! Sakitnya...” Bija mengaduh sakit sambil menggosok-gosok dahinya. “Tak ada tempat lain ke? Dahi ni... gunanya bersujud pada Tuhan. Suka hati awak aje!” Bija luahkan rasa tidak puas hatinya. Balik-balik dahi, dah tak ada tempat lain lagi ke? Bija mengomel dalam hati.
Terbit senyuman pelik di bibir lelaki itu sewaktu mendengar dia mengomel. Lelaki samseng itu merenung Bija semacam. Kenapa dia rasa tidak sedap hati dengan renungan itu?
“Dahi tak boleh... jadi di mana yang bolehnya? Hmm...” Sunny tersenyum dengan kedua belah keningnya diangkat. Lain benar bunyinya. Meremang bulu roma Bija dibuatnya.
“Mana-mana pun tak boleh!” Bija terus menangkis khayalan bukan-bukan lelaki samseng itu.
Sunny tergelak. Faham apa yang sedang terlintas dalam fikiran wanita itu. Tiba-tiba perutnya berbunyi. Khayalan nakal melayang entah ke mana.
“Aku laparlah... Ada apa-apa yang boleh aku makan?” Sunny pegang perutnya yang sudah berbunyi. Mungkin kerana dia banyak menggunakan tenaga hari ini.
“Nak makan apa?” Macam-macam kerenah samseng seorang ini. Bija mengeluh dalam hati.
“Apa yang sedap selain ‘makan kau’?” Jenaka Sunny lebih kepada mengugut. Tanpa mereka berdua sedar, mereka mempunyai pertalian halus. Mereka asing, tetapi mereka juga rapat.
“Nasi goreng, boleh?” Bosan selalu diugut lelaki itu, acuh tidak acuh sahaja dia bertanya.
“Boleh tapi cepat sikit! Aku lapar sangat ni. Karang dari lapar nasi, aku lapar benda lain pula!” Tidak habis-habis dia mahu menakutkan Bija.
“Ya, cuba bawa bersabar sikit.” Sebal betul!
“Samseng macam aku ni sabar tak ada, penampar ada. Nak?” Sunny tunjuk tapak tangannya.
Tanpa banyak bunyi Bija terus pergi ke dapur. Tidak pasal-pasal dia makan penampar karang. Nasi goreng dan Milo panas siap! Dia menemani lelaki samseng itu makan.
“Kau masih kena ganggu lagi, kan?” tanya Sunny sewaktu sedang makan.
Bija menoleh ke tepi. Lelaki samseng itu sedang rancak mengunyah makanan. Cara lelaki itu bercakap macam selalu melihatnya diganggu. Dia syak, lelaki itu mengintipnya.
“Kau pindahlah, habis cerita!” Sunny bagi pendapat. Hari-hari dia mengekori wanita itu. Sampai bilakah dia perlu memerhatikan wanita itu? Dia punya komitmen penting lain. Biarpun Bija bukan sesiapa tetapi hutang budi harus dibalas.
“Kenapa saya nak kena pindah? Saya okey aje duduk di sini.” Bija tidak faham kenapa lelaki samseng itu sibuk sangat dengan hidupnya.
“Jadi, kau sukalah ramai lelaki ganggu kau? Janda hotlah katakan,” kata Sunny dengan sinis.
“Lepas makan, saya minta tolong dengan awak pergi dari sini.” Bija berharap sangat samseng itu pergi dari rumahnya secepat mungkin. Dia nekad. Dia tak akan membenarkan samseng itu masuk dalam kehidupannya lagi selepas ini.
“Jangan risau, aku akan pergi selepas ni. Tapi, kau cuba dengar ni kalau kau fahamlah... always a wrong person teach the right lessons in life. Kau faham tak? Faham tak faham lantak kaulah.” Entah kenapa, Sunny baik hati pula belanja Bija kata-kata hikmah tentang kehidupan.
Dia sudahkan makan. Kemudian, berdiri sambil membelek lengannya yang sudah berbalut kemas. Setelah itu jaket kulit dicapai lalu disarungkan ke badan. Bija yang sedang memerhatikan dirinya dipandang tepat.
Bija bangkit berdiri dengan tiba-tiba setelah dipandang lama oleh lelaki itu. Kata-kata lelaki itu, buat dia sangsi di hadapannya seorang samseng atau ahli falsafah Inggeris? Lelaki itu sepertinya tahu banyak perkara dan buat dia keliru.
“Sedap nasi goreng kau. Hmm... kau jaga diri baik-baik, okey!” pesan Sunny. Mungkin pesanannya itu mungkin pesanan terakhir buat Bija.
Sewaktu pintu dibuka, entah kenapa hatinya terasa sesuatu yang halus. Sunny pejam mata sambil menarik nafas dalam-dalam. Mungkin hanya mainan perasaannya sahaja. Wanita itu bukan sesiapa kepadanya. Tiada alasan untuk dia merasa berat hati.
Bija juga merasakan perasaan yang sama. Namun, secepatnya dia menangkis perasaan itu. Mereka berdua bukan sesiapa. Tiada kaitan langsung!
No comments:
Post a Comment