“SAYANG. Jom turun sarapan.”
Zara tidak menjawab. Dia langsung tidak menoleh ke arah Ammar. Sebaliknya dia bergelak ketawa dengan Darlina. Darien pula dibiarkan meniarap di atas katil.
“Sayang.”
“Kalau kita tak pergi honeymoon, tentu hati sayang tak sakit macam ni. Kena tuduh macam-macam dengan mak long.” Paling menyakitkan hati, dia dituduh tak sayangkan anak kerana meninggalkan anak-anaknya untuk pergi bercuti.
Ammar melepaskan keluhan. Tidak tahu bagaimana mahu memujuk Zara lagi. Faham kalau isterinya sakit hati dengan kata-kata mak long. Dia melabuhkan duduk di sebelah Zara. Diambil Darien yang sedang meniarap lalu didukungnya.
“Sayang kan tahu mulut mak long macam mana. Mesti arwah Daniel dah cerita pasal mak long. Sebab tu adik-beradik dia sendiri pun tak berapa suka dia.” Kerana mulut bising mak long, adik-beradik emaknya yang lain lebih suka merahsiakan sesuatu daripada mak long. Kalau ada kenduri kahwin pun seboleh-bolehnya malas hendak jemput. Selalunya hendak dekat tarikh majlis baru diberitahu. Kalau tidak, semua mak longnya hendak tentukan.
Zara angguk.
“Mak longlah orang yang paling bencikan arwah mak. Siap hasut adik-beradik lain dan juga arwah nenek dengan atuk untuk benci arwah mak. Sepupu-sepupu yang lain jugak bencikan arwah Daniel sebab mak long.”
“Memang arwah mak su salah. Arwah nenek dengan atuk hantar mak su pergi luar negara untuk belajar, bukan untuk jatuh cinta. Tapi siapa kita untuk menidakkan takdir. Mak su dengan pak su pun berpisah sebab keluarga tak restu.” Ammar mula membuka cerita.
Zara tidak mengenali arwah mak sunya dan juga arwah Daniel. Arwah mak sunya meninggal ketika muda akibat kanser payudara. Selepas itu, arwah Daniel diambil oleh pak sunya dan menetap di London.
“Sebab tu jugak keluarga kami kena sisih sebab arwah papa tolong arwah mak su lepas dia bercerai. Arwah papa carikan mak su kerja. Mama tolong jaga Daniel. Waktu mak su sakit, mama jaga. Sampai mak su meninggal, nenek tak jenguk pun. Nenek marah sangat sebab mak su tak nak kahwin dengan pilihan dia.”
Zara memeluk erat Darlina. Air matanya mengalir perlahan. Daniel ada ceritakan semua kisah sedih itu. Simpati terhadap suaminya yang hidup dibuang keluarga. Dia berjanji akan memberikan keluarga buat Darlina dan juga Darien. Itu salah satu sebab kenapa dia kembali ke pangkuan Ammar.
“Sayang kena kuat. Abang pun kena kuat. Kalau kita tak kuat, tak mustahil rumah tangga kita akan musnah lagi.”
“Insya-Allah sayang akan kuat. Apa pun mak long cakap, sayang akan buat tak tahu.” Jujur, tidak pasti dirinya kuat saat ini. Tuduhan mak long ibarat sebilah pisau menghiris jantungnya. Dia bercuti kerana mahu memberikan ruang untuk suaminya bermanja tanpa gangguan. Lagipun dia mengupah Kak Zu untuk menjaga si kembar. Mentuanya hanya perlu memantau sahaja kerja Kak Zu.
“Lagi satu sayang kena tahu.” Ammar rasa Zara perlu tahu perkara ini.
“Apa dia, abang?” tanya Zara. Kenapa dia rasa ada sesuatu yang merisaukan Ammar saat ini?
“Arwah pak long sepupu dengan mak Husna. Jadi...” Berat untuk dihabiskan ayatnya. Tidak ramai yang tahu cerita tentang mereka bertiga. Tentang Husna sendiri yang membatalkan perkahwinan. Mak longnya tidak datang sewaktu pernikahan tak jadinya dengan Husna.
Zara faham maksud suaminya. Walaupun dia tidak pernah berjumpa dengan Puan Kamariah, melalui cerita arwah Daniel, dia tahu wanita itu bagaimana. Pastinya dia kena tahan telinga lebih lagi selepas ini. Sedikit sahaja dia dengar tadi, hatinya sudah sakit teramat sangat.
“Abang harap, besok lusa mak long baliklah rumah dia. Kenapa entah tiba-tiba dia datang sini?” Risau juga kalau tiba-tiba mak long menyerang Zara. Tidak mustahil mak longnya akan menyalahkan Zara atas pernikahan tak jadinya.
“Abang jangan risaukan sayang. Tahulah sayang jaga diri nanti.” Sekuntum senyuman dihadiahkan buat Ammar. Tidak sepatutnya dia menyalahkan suaminya atas tuduhan mak long. Berhadapan dengan orang seperti itu, apa sahaja mereka buat akan nampak salah.
“Terima kasih sayang. Sekarang jom sarapan. Abang lapar ni.”
“Abang tak sarapan lagi?” Sangkanya Ammar sudah bersarapan.
Ammar menggeleng.
“Dah ada orang sebelah ni, mana seronok sarapan sorang. Kan Darien kan...” Ammar mengagah Darien. Mengekek ketawa bayi kecil itu.
“Kejap lagi kita turun. Sayang nak susukan Darien dulu.” Tubuh kecil Darlina dibaringkan ke katil. Usai itu, dia mengambil Darien dari tangan Ammar.
Ammar mengambil pula Darlina. Ubun-ubun si kecil itu dicium. Bahagia rasanya menjadi ayah. Memang dia impikan sejak lama dahulu. Tak sangka rezekinya menjadi ayah untuk 4 orang anak sekali gus.
“Entah-entah nanti kita dapat anak kelima dengan keenam sekali gus. 3 kali beranak cukup dah... penuh rumah kita nanti.”
Pantas Zara menjeling Ammar.
“Abang gurau saja. Jeling macam nak makan orang.”
“Kalau boleh nak rehat 2 tahun. Penat tau bawak anak kembar ni.” Zara memberi amaran awal-awal. Jangan pula Ammar sibuk hendak menimang bayi buat masa sekarang. Darlina dengan Darien belum pun setahun.
Ammar ketawa. Cukuplah dengan Darien dan juga Darlina buat masa ini. Izz dengan Naurah juga boleh tahan nakalnya. Sudah boleh menyesuaikan diri hidup bersama keluarga besarnya.
“Bilik kita kena renovate. Tambah lagi 2 bilik. Macam bilik along. Untuk budak-budak ni.” Biliknya memang besar. Boleh lagi diubah suai dan ditambah 2 bilik. Kasihan pula dengan Izz dan Naurah yang terpaksa tidur di lantai beralaskan Toto. Kadangkala tidur bersama Nek Zue di bilik tamu.
“Kalau kita duduk rumah arwah Daniel tak boleh ke? Rumah tu besar. Tak payah nak renovate. Kat tingkat 2 tu pun dah ada 4 bilik termasuk master bedroom. Kak Zue biar duduk bilik dia yang lama,” Zara memberi cadangan. Rumah milik Daniel sudah lama dipindah milik ke atas namanya. Dibiar kosong sejak dia bernikah semula dengan Ammar. Hanya ada Bibik Yanti dan juga keluarga Pak Jamal.
Ammar terdiam. Sudah banyak kali Zara menyuarakan cadangan agar mereka tinggal di banglo arwah Daniel.
“Abang tak suka ke cadangan sayang?”
“Bukan tak suka. Sayang dah jadi isteri abang. Kalau boleh, biar abang yang sediakan tempat tinggal untuk sayang. Rumah tu amanah Daniel untuk sayang dan juga kembar ni.”
Zara angguk. Kata-kata Ammar ada benarnya. Tanggungjawab seorang suami untuk menyediakan tempat tinggal untuk keluarga. Dia ikut sahaja kehendak suaminya.
“Darien dah kenyang. Jom, kita turun sarapan.”
“Okey, jom. Dah tidur pulak si Darlina ni.”
*** READY STOK KELUARAN MEI 2021. SEBARANG PERTANYAAN ATAU UNTUK MEMBUAT BELIAN BOLEH WHATSAPP NO DI BAWAH ***
019-372 9676 (Cik Shida) 011-4004 9752 (Cik Admin)
No comments:
Post a Comment