DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 23 August 2021

Pengantin Untuk Dia - Bab 2

 

TAJAM renungan Encik Hafsham terhadap gadis yang sedang menunduk di kakinya. Nampak jelas yang gadis itu ketakutan. Puan Salmah yang duduk di sebelahnya hanya mengerling ke arah suaminya tanpa berkata apa-apa. Dia tak berani bersuara, bimbang menimbulkan kemarahan suaminya. Sebenarnya banyak benda yang dia nak tanyakan, tapi tak mampu diluahkan sekarang. Biarlah semuanya reda dahulu.

"Pandai pula cari jalan balik ke sini. Baru sehari menghilang, hari ni tiba-tiba muncul. Ingatkan nak terus tinggal dengan lelaki tak guna tu sampai bila-bila." Encik Hafsham bersuara dingin.

"Papa, Hanna betul-betul minta maaf sebab Hanna dah malukan mama dan papa di hadapan semua orang."

Hanna takut-takut mengangkat mukanya. Wajahnya pucat tak berdarah. Hatinya bagaikan gendang yang dipalu berdentum-dentum bunyinya. Takut akan penerimaan yang bakal diterima nanti.

"Hmm... berani pula kamu nak tunjukkan muka kat rumah ini selepas kamu malukan papa dan mama malam tadi. Kamu tahu apa perasaan kami bila kamu tiba-tiba larikan diri dengan jantan tak guna tu? Huh... apa yang jantan tu dah buat sampaikan kamu balik kat sini? Dia dah tinggalkan kamu atau dia dah dapat apa yang dia nak? Semalam kamu bersama dia, kan?

Takkan dia tak buat apa-apa?" sinis nada Encik Hafsham kedengaran di telinga Hanna. Bila dia dah marah, panggilan pun sudah berubah.

"Papa, tolonglah maafkan Hanna ya," rayu Hanna sambil memegang tangan Encik Hafsham. Namun tangan Hanna direntap kasar.

"Maaf? Semudah itu? Setelah kamu conteng arang ke muka kami, senang-senang kamu balik untuk minta maaf? Rumah ni dah tak ada ruang untuk anak yang tak menghargai ibu bapanya. Anak yang hanya pentingkan diri sendiri," ujar Encik Hafsham.

"Mama." Hanna bangkit dan duduk bertimpuh di kaki Puan Salmah pula. Kaki mamanya dipegang kemas.

"Mama, tolonglah maafkan Hanna. Hanna tahu Hanna betul-betul bersalah. Hanna bodoh sebab tak fikir panjang sebelum buat keputusan," rayu Hanna. Air mata mula lebat mengalir di pipi. Dia berharap air matanya mampu meraih perhatian mamanya.

"Mama minta maaf. Mama tak boleh buat sebarang keputusan. Semuanya mama serahkan kepada papa Hanna," ujar Puan Salmah menahan sebak. Namun hatinya tetap risau memikirkan tindakan yang akan dilakukan oleh suaminya.

"Papa." Sekali lagi tubuh Hanna berkalih menghadap Encik Hafsham. Lutut lelaki itu dipegang kemas. Wajah bengis lelaki itu dipandang dengan perasaan bersalah.

Terdengar dengusan kuat daripada lelaki itu. Malah, wajah Hanna sedikit pun tidak dipandang.

"Papa, tolonglah pandang wajah Hanna. Hanna rayu dengan papa, tolong maafkan Hanna. Hanna tahu papa dan mama masih sayangkan Hanna. Masih anggap Hanna sebagai anak mama dan papa," pujuk Hanna. Air mata makin laju membasahi pipi.

Encik Hafsham kemudian bangkit meninggalkan ruang itu.

"Mama, tolong Hanna. Tolong pujuk papa maafkan Hanna. Tolong pujuk papa untuk terima Hanna kembali. Hanna janji, kali ini Hanna takkan buat benda bodoh lagi. Hanna akan akur semua kehendak mama dan papa. Hanna janji." Hanna merapatkan kedua-dua tangannya.

Puan Salmah menarik nafas panjang. Sebagai ibu, dia tidak sanggup melihat air mata mengalir di pipi anaknya. Kepala Hanna diusap lembut memujuk agar anaknya bertenang dan bersabar.

"Mama... Hanna mohon, tolong pujuk papa agar benarkan Hanna tinggal di sini. Hanna dah tak ada tempat nak tuju," ujar Hanna.

"Abang," panggil Puan Salmah sebelum suaminya jauh meninggalkan ruang rehat itu. Namun panggilan itu dibiarkan sepi seolah-olah tidak didengari. Langkah kaki Encik Hafsham diatur menaiki anak tangga ke tingkat atas.

"Mama... tolong Hanna. Hanna merayu. Tolong terima Hanna kembali dalam rumah ni." Hanna memujuk sambil memegang kemas kedua-dua tangan Puan Salmah.

 

ENCIK HAFSHAM mengangkat muka seketika saat wajah Puan Salmah muncul di muka pintu. Kemudian dia kembali sambung membaca buku. Itulah hobi suaminya dari muda sampai ke tua. Dia bangga dengan hobi suaminya itu. Sekurang-kurangnya dengan hobi itu, suaminya akan sentiasa melekat di rumah. Tidak asyik keluar rumah sepertimana suami teman-temannya yang lain. Mereka selalu mengadu yang suami mereka jarang melekat di rumah. Ada di antaranya risau kalau suami mereka mempunyai perempuan di luar atau mereka dimadukan tanpa pengetahuan.

Melihat lagak suaminya itu, Puan Salmah menelan liur. Langkah terus menghala ke katil dan dilabuhkan punggung di sebelah suaminya.

"Abang," panggilnya penuh hati-hati.

Senyap.

Puan Salmah memandang wajah suaminya yang kelihatan khusyuk membaca.

"Abang." Kali ini tangan Puan Salmah menyentuh lengan suaminya dengan harapan apa yang bakal diutarakan mendapat perhatian si suami.

"Sal nak cakap pasal apa ni? Kalau nak cakap pasal Hanna, abang tak nak layan," ujar Encik Hafsham tanpa memandang wajah isterinya.

Puan Salmah mendengus perlahan. Sebenarnya dia tak sampai hati nak tolak permintaan Hanna yang meminta dia memujuk suaminya. Sebagai seorang ibu, dia tetap sayangkan anaknya walau apa pun yang dilakukan anaknya itu. Baik atau buruk.

"Abang, sampai bila abang nak mogok macam ni? Tak nak bercakap dengan Hanna. Dah seminggu benda tu berlaku dan seminggu juga abang dan Hanna tak bertegur sapa. Hanna pun asyik berkurung aje dalam bilik. Sal tak sampai hati tengok dia murung macam tu. Dia pun dah akui kesalahannya. Takkanlah abang masih tak dapat maafkan dia? Hanna tu kan anak kesayangan abang." Puan Salmah cuba memujuk.

Encik Hafsham menutup buku yang sedang dibacanya. Cermin mata ditanggalkan dan diletakkan di atas meja kecil di sisi katil bersama buku yang dibacanya. Kemudian wajah isterinya ditenung tanpa kata.

"Memang dia anak kesayangan abang. Anak tunggal perempuan abang, tapi ada dia fikirkan perasaan abang, perasaan kita sebagai orang tuanya bila dia buat benda yang memalukan kita? Ada dia fikirkan macam mana kita nak berhadapan dengan sanak saudara dan sahabat handai kita bila mereka tahu anak kita dah malukan kita?" luah Encik Hafsham.

Puan Salmah menarik nafas. Perkara yang diluahkan suaminya turut dia rasai.

"Tapi kita nak buat macam mana? Benda dah jadi. Nak tak nak, kita kena terima," ujar Puan Salmah cuba menenangkan perasaan suaminya.

"Memang benda dah jadi, tapi yang salahnya anak kita, si Hanna tu. Kalau dia tak larikan diri bersama jantan tak guna tu, tak adalah dia memalukan kita depan semua orang terutama sekali Datuk Badaruddin tu. Abang pun tak tahu macam mana nak berhadapan dengan Datuk Badaruddin. Abang malu sangat dengan dia. Dia tu lelaki yang baik. Dia pun pasti menanggung malu akibat perbuatan anak kita tu," ujar Encik Hafsham lagi.

Dia benar-benar kecewa dengan apa yang telah dilakukan oleh Hanna kepada mereka sekeluarga. Turut merasa tempias, mestilah keluarga bakal besannya yang tak jadi itu. Dan sudah beberapa kali dia menghubungi Datuk Badaruddin untuk memohon maaf atas apa yang berlaku. Nasib baiklah Datuk Badaruddin tidak memfailkan saman malu kepada mereka sekeluarga. Maklum sahaja Datuk Badaruddin tu orang berpengaruh.

"Jadi sekarang ni, abang nak buat apa?" soal Puan Salmah.

"Nak buat apa lagi. Buat tak tahu ajelah," dengus Encik Hafsham bersama keluhan berat.

Masing-masing diam sejenak.

"Apa kata abang bincang semula dengan kawan abang tu," saran Puan Salmah.

"Bincang pasal apa?"

"Bincang pasal nak satukan semula anak kita dengan anak kawan abang itulah. Kalau kita tak satukan Hanna dengan anak kawan abang tu, Sal risau kalau budak Yusman tu datang pujuk Hanna semula. Entah-entah kali ini dibawanya Hanna tu lari jauh daripada kita. Kita nak buat macam mana?" tutur Puan Salmah.

Encik Hafsham diam. Sedang memikirkan saranan isterinya.

"Nak ke Datuk Badaruddin tu terima semula anak kita? Abang tak nak malukan diri kita lagi sekali," ujar Encik Hafsham dengan berat hati.

"Kalau tak cuba, mana kita nak tahu," tutur Puan Salmah.

Sekali lagi Encik Hafsham diam.

 

No comments:

Post a Comment